Aku Jatuh Cinta!

Suaranya yang sarat dengan rasa sebak dan tangisan yang tertahan tatkala melagukan kalam Allah itu bagaikan turut mencarik-carikkan hati. Ya Allah! Bagaikan terasa luluh hatinya…

Itu membuatkan aku tercari-cari. Surah apakah yang dibacanya? Begitu sekali penghayatannya hingga aku bagaikan ikut tenggelam dalam emosinya tanpa aku tahu maksudnya!

Al Waqiah! Benar! Itulah surah yang amat membahagiakan dan pada masa yang sama meluluhkan hati. Surah yang biasa kubaca bersekali dengan terjemahannya. Surah yang dipesan oleh Nabi tercinta agar menjadi amalan .

Tapi demi Allah, aku tak pernah merasakan penghayatan yang begitu dalam setiap kali aku membacanya. Ya, memang rasa takut dan takjub datang silih berganti tapi belum pernah sampai merobek hati sebegini.

Rasa cemburu kepada pelantunnya buat aku mula membaca surah mulia itu dengan nada lagunya. MasyaaAllah! Airmata tak dapat ditahan. Kisah yang berupa amaran itu buat hati jadi luluh ketakutan. Kemudian ketika melagukan betapa dahsyatnya kebahagiaan yang menanti bagi golongan kanan, ya… airmataku ikut jatuh kerana aku juga mahu sungguh tergolong dalam golongan yang teramat bertuah itu.

Ya Tuhan! Aku bagaikan tersungkur. Terima kasih, Zain Al Kautsar! Tak terhingga terima kasih aku kepadanya kerana berkongsi rasa yang amat hebat itu hingga aku yang jahil ini turut terkena tempiasnya. Seluruh pahala membaca surah ini andainya ada, kuhadiahkan semuanya untukmu, Zain!

Sejak hari itu, Al Waqiah menjadi lagu hatiku. Menjadi doa dan peringatan. Menjadi benteng yang amat kuat agar aku tak lalai hingga berbuat dosa. Al Waqiah menjadi wadah untuk aku bermuhasabah diri setiap kali aku membacanya seperti Zain membacanya.

Ayat cinta yang paling menyentuh itu, “Fa salaamul laka min ashaabil yamin.” Yang bermaksud, “Selamat sejahtera kepadamu (kerana engkau) dari puak kanan.”

Aku selalu tersembam ke dada kitab agung itu, hati bagaikan meraung menangis memanjat doa, ‘Tuhan! Aku takkan pernah layak untuk berada dalam puak kanan itu. Tapi ya Tuhan, aku terlalu ingin menyambut salam-Mu kerana aku terlalu ingin bertemu dengan dzat-Mu! Engkau yang selama ini Menjaga, Melindungi dan Menolongku dengan Kasih Sayang-Mu walau di saat aku sedang derhaka. Aku terlalu ingin, ya Allah!’

Al Waqiah… sungguh aku jatuh cinta berkali-kali dengan berita dan peringatan yang kau bawakan. Terima kasih, Tuhan atas kiriman ayat-Mu ini. Ampunkan aku!

Aku hanya hamba.

ISU PERCAYA

Jangan Pernah 100%!

Encik suami masih selalu bertanya walaupun selepas 20 tahun usia perkahwinan kami.

“You still don’t trust me, do you?”

And I always answer the same, “I don’t. I don’t have to.”

Seperti biasa, dia memang tak puas hati. Hehe.

Ada yang kata, tak percaya tanda tak cinta. Entahlah! Bagi Kak Juea, cinta dan percaya adalah dua perkara berbeza. Kenapa tak boleh cinta kalau tak percaya?

Dari kamus barat, isu percaya berpunca dari rasa dikhianati, ditinggalkan atau dimanipulasi sehingga menyebabkan seseorang itu menjadi sentiasa curiga, mengawasi, was-was atau skeptikal dan kemuncaknya paranoid.

Hmm… jujurnya, Kak Juea belum diuji dengan pengkhianatan dan sebagainya. Naudzubillah! Cuma sebagai wanita yang banyak kali membahu tangisan wanita lain, memang siap-siap pasang perisai pada diri. Percaya itu tak boleh sampai 100% dan mesti disandarkan kepada Tuhan.

Tapi tidaklah sampai rasa insecure, asyik buruk sangka, skeptikal atau terlalu yakin diri pula. Cukuplah sekadar berhati-hati, tak cepat melatah dan kuat bersandar kepada Allah kerana Dia yang Maha Mengetahui.

Maksudnya di sini, jika kita rasa was-was, kita mohon kepada Allah supaya tolong tunjukkan andai ada berlaku sesuatu yang perlu kita ketahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu, mohon Allah bongkarkan dan pimpin hati dan minda kita untuk menyelesaikannya.

Jika rasa diri dimanipulasi, mohon petunjuk dan kekuatan dari Allah agar diri tetap di jalan yang lurus. Mohon sungguh-sungguh perlindungan dari Allah dari sebarang penganiayaan. Bukankah Allah sebaik-baik Pelindung, sebaik-baik Penjaga dan sebaik-baik Penolong?

Kejadian di mana teman baik Kak Juea dicurangi baru-baru ini mengingatkan diri untuk benar-benar meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah tapi tidak kepada manusia amnya, lelaki khususnya.

Kisahnya, lelaki bila dah kantoi curang, bukan main menyesali diri dan sanggup lakukan apa sahaja supaya dimaafkan. Sweet, bukan? Dan wanita yang diciptakan Tuhan berjiwa lembut memang mudah memaafkan dan beri peluang kedua.

Tapi biasalah, peluang kedua selalu diberi tapi jarang dipenuhi. Bak kata seorang pegawai di Jabatan Agama Islam, biasa macam tulah! Bila dah dipanggil ke mahkamah, sanggup melutut merayu, angkat kitab, junjung kerusi demi nak dapat peluang kedua. Tapi, tak lama lepas tu, jadi kes lagi. Macam tu lah berulang-ulang. Kami yang letih main wayang. Yang lelaki lidah tak bertulang. Yang wanitanya, lembut hati, mudah cair dengan segala sumpah dan janji.

Seperti yang dijangka, teman baik Kak Juea sekali lagi dikhianati. Malah lebih parah lagi. Harapannya untuk hidup bahagia kali kedua hancur berkecai. Sedih sangat sebab dia sanggup maafkan dan terima suami seadanya tapi ‘kemurahan hatinya’ dibalas dengan pengkhianatan.

Itu yang Kak Juea katakan, wanita sangat perlu ada perisai. Kalau kita tak letak kepercayaan sepenuhnya, rasa sedih dan terluka tak terlalu dalam. Kita akan cepat bangkit dari rasa sedih dan kecewa sebab kita tak percaya 100%. Sikap tak percaya sepenuhnya buat kita akan berwaspada dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Bukanlah kita expect atau jangka semua tu akan berlaku. Tapi kita tahu yang selagi bernama manusia, sifat kita berubah-rubah, bergantung kepada unsur yang kuat dalam diri kita. Kalau nafsu merajai, maka sikap akan semakin rosak dan merosakkan. Sebaliknya kalau iman semakin teguh, seseorang itu akan semakin lama semakin baik. Dia akan tetap diuji, tapi cepat sedar, insaf dan bertaubat. Sama sekali tak mahu mengulanginya.

Pesan Kak Juea, kalau lelaki berjanji nak berubah, jangan terus percaya. Sebaliknya, dia harus diberi ruang untuk kotakan janjinya dulu. Kalau benar dia pilih untuk jadi lelaki yang levih baik, dia boleh buat dengan diri sendiri. Cari pak imam, ustaz dan orang tua-tua untuk dia belajar agama dan baiki diri semula. Buatlah semua itu tanpa ada pergantungan dengan anak dan isteri. Contohnya, “Abang betul-betul nak berubah tapi abang perlukan sayang!”

Haha! Tolonglah jangan percaya. Kalau seseorang itu mahu berubah, yang dia perlukan adalah Tuhan. Kemudian, Tuhan akan datangkan insan-insan yang baik untuk membantunya. Dia juga akan bersikap tegas dan ada prinsip hidup.

Seperti yang pernah dikongsikan oleh seorang pakar kaunseling dengan Kak Juea satu waktu dulu, seseorang itu jika dia nak berubah, kita akan lihat sikap dia yang tegas dan tak mahu mengalah. Dia akan berusaha sedaya upaya sehingga dia berjaya.

Tapi kalau dia banyak bercakap tapi asyik mengulangi kesilapan yang sama, maka dia sebenarnya tak mampu dan tak mahu berubah. Katanya lagi, “It doesn’t take a very long time to see that someone is a loser or a winner.”

Bila sesuatu yang tak diingini berlaku, bertindaklah. Jika mahu memberi peluang kedua, pastikan ada hitam putihnya seperti saksi-saksi, lalui proses kaunseling di pejabat agama, buat laporan polis dan dapatkan laporan perubatan (sekiranya berlaku kekerasan, kemungkinan dituduh nusyuz dan sebagainya).

Jangan mudah memberi peluang kedua hanya kerana percayakan janji manis. Wanita mesti bertindak mengikut saluran yang dibenarkan dan mendapat hak pembelaan kerana Islam sangat melindungi wanitanya.

Jika masih mahu memberi peluang, cukuplah hingga kali kedua. Jangan ada ketiga atau keempat melainkan bila dia benar-benar telah berjaya membuat perubahan jelas, menjadi lelaki yang soleh. Maka terimalah dia buat kali ketiga.

Wanita harus fikir jauh. Jangan pilih bahagia yang singkat. Serahkan diri sepenuhnya kepada Allah untuk mencatur masa depanmu. Dan yakinlah!

Sesungguhnya, cinta itu perlu ada yakin dan percaya. Tapi keyakinan dan kepercayaan itu hanya kepada Allah semata-mata. InsyaaAllah, kita akan jadi wanita yang tenang dan bahagia, di dunia dan akhirat. Aamiin.

WANITA YANG PALING FAHAM WANITA LAIN

Buat wanita yang paling memahami hati seorang wanita yang lain, bangkitlah berjuang agar dirimu dan wanita lain bahagia dan terbela.

Cukup-cukuplah!

Hari ini, sekali lagi Kak Juea terpanggil untuk menulis tentang wanita. Sebab pagi tadi, seorang wanita yang sedang diuji Allah minta dirinya dipeluk kerana dia dah tak punya kekuatan. Kak Juea dakap dia dengan hati yang menangis. Apalah yang mampu Kak Juea katakan kepadanya saat hatinya sedang remuk dan terluka melainkan hanya satu, bahawa Tuhan sedang sangat menyayanginya maka dia diuji. Kak Juea ingatkan dia tentang janji Allah bahawa Dia takkan menguji di luar kemampuan hamba-Nya. Dia mesti yakin dengan janji Allah.

Bila dia menangis mengangguk, Kak Juea pesan agar dia luruskan hati, bersangka baik yang Allah takkan menganiaya dirinya. Pasti ada hikmah yang besar bila dia diuji sehebat ini.

Perlahan-lahan dia mula dapat kekuatan dan berhenti menangis. Maka bermulalah episod untuk menyelamatkan dirinya, rumahtangga dan anak-anaknya daripada musnah disebabkan pihak ketiga.

Ya, Kak Juea tegaskan, Islam adalah agama yang tampil membela wanita. Tapi pergantungan haruslah sepenuhnya kepada Allah. Ikutlah saluran yang betul dengan akal yang waras serta hati yang dalam keadaan bertaubat kerana dalam ujian itu ada banyak yang tersirat. Satunya, kerana dosa dan khilaf sepanjang perkahwinan. Ia akan jadi hukuman selagi tidak ditaubatkan. Duanya, ujian jadi penghapusan dosa bagi yang benar-benar bertaubat. Tiganya, ujian akan meningkatkan maqam iman bila hati benar-benar reda dengan ketentuan Allah.

Seterusnya, ujian itu jika diatasi dengan mengikut hawa nafsu, ia akan memusnahkan. Sebaliknya jika di atasi dengan merujuk kepada jalan-jalan yang ditunjuk Tuhan, ia akan menyelamatkan. Malah hikmah yang besar bakal menanti.

Maka kes rumahtangga begini perlu untuk merujuk kepada pihak yang lebih arif yakni pejabat agama yang berperanan untuk membantu. Diperjelaskan beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk mencari penyelesaian. Seterusnya, kes juga dirujuk kepada pihak yang arif dengan undang-undang Islam. Seorang wanita wajib tahu hak dan perlindungan yang Islam sediakan untuk dirinya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, laporan polis turut dibuat. Dan setelah dibincangkan baik dan buruknya, kes rumahtangga ini dibawa ke meja perbincangan bersama dengan kaunselor. Moga ini menjadi langkah awal untuk menyelamatkan mereka daripada terus berbuat dosa dan kembali kepada Allah.

Kak Juea balik dengan rasa letih seletihnya. Kenapa wanita sendiri sanggup menghancurkan hidup wanita lain dengan anak-anaknya hanya kerana mahu mencipta bahagia dengan seorang lelaki? Mungkin mereka tak lagi sehaluan tapi sejauh mana kamu membantu mereka untuk kembali bahagia atau kamu sebenarnya menangguk di air keruh?

Kak Juea bukan seorang anti poligami. Bukan juga pejuang poligami kerana ia bukan mudah dan jangan sama sekali dipinta. Jujurnya Kak Juea pernah berkahwin monogami tapi sekarang ditakdirkan berpoligami sebagai isteri ke empat. Ya, Kak Juea juga diuji Tuhan melalui perkahwinan tapi tak sama sekali Kak Juea memperjudikan nasib wanita lain!

Perkahwinan ini dengan izin isteri-isteri lain dan atas keperluan suami yang memerlukan seorang isteri bagi membantu perjuangannya berdakwah ke seluruh negara. Pada masa yang sama membantu beliau menulis dan menerbitkan buku-buku motivasi memperjuangkan masyarakat bertuhan. Namun apapun alasannya, sebagai seorang wanita, Kak Juea tahu betapa sakit dan terlukanya hati wanita lain kerana terpaksa berkongsi kasih. Maka, perjuangan Kak Juea yang utama selepas berpoligami adalah membela dan merawat hati-hati wanita itu.

Segalanya harus dikorbankan demi untuk memulihkan kebahagian mereka walaupun diri sendiri terkapai-kapai dalam keluarga besar itu yang pastinya menerima dengan pelbagai prasangka. Bila ditakdirkan berpoligami, hanya satu niat yang Kak Juea pahatkan kuat dalam hati yakni mahu membuktikan poligami Rasulullah SAW.

Hampir empat tahun awal perkahwinan, ujian yang datang sangat hebat. Pernah mahu mengalah sahaja. Sebab poligami memang sangat payah! Setiap wanita itu lain penerimaannya. Begitu juga dengan anak-anak. Tapi setiap seorang dari mereka harus dihadap dengan penuh adab. Apapun yang dihamburkan adalah kerana hati dan emosi yang sedang tergugat dan terluka maka dimaafkan sahaja. Sebaliknya setiap mereka dilayan dengan seikhlas dan sejujur yang terdaya.

Sebagai wanita yang baru mendatangi keluarga itu, sedaya upaya cuba mencurahkan khidmat. Apa sahaja sokongan yang mereka perlukan, diri harus bersedia untuk berbuat walaupun terpaksa mengorbankan tenaga, masa dan emosi sendiri. Akhlak yang paling utama harus dijaga. Mengalah bukan bermakna kalah. Sehingga perlahan-lahan mereka jatuh kasih dan mula menerima.

Akhirnya dengan pertolongan Allah, kami mula bersahabat dan hidup seperti satu keluarga. Kak Juea anak sulung yang dulu pernah mengidamkan kakak-kakak, ternyata Allah makbulkan. Meskipun masing-masing ada kebaikan dan kelemahan, kami belajar menerima dengan lapang dada, mujahadah dan doa yang sungguh-sungguh selain saling berkongsi kekuatan dan nasihat. Anak-anak juga semakin rapat dan menerima, seronok bila kami selalu makan-makan bersama dan berkongsi cerita.

Sampai suami selalu rasa terpinggir. Pernah merajuk kerana Kak Juea tak pedulikannya tapi menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri-isterinya. Tapi biarlah! Nanti ramai saja yang memujuk. Kalau wanita-wanita itu merajuk, belum tentu dia mahu memujuk. Betul tak?

Fasa seterusnya adalah berkongsi segala masalah kami sebagai isteri dan ibu serta madu kepada yang lain. Jawapan kepada setiap masalah adalah merujuk kepada apa yang diajar dari kalam Allah dan segala pesan nabi. Itulah tunjang kekuatan kami. Suami selalu tak sempat, kadang-kadang tak peka dan selalu juga tak mahu melayan kerenah wanita-wanitanya jadi kamilah yang selalu menyempatkan diri, peka dan melayan apa sahaja keperluan antara kami kerana kami sama-sama wanita yang paling faham wanita yang lain.

Kemuncak ujian Kak Juea adalah saat diri rebah tiba-tiba di sebuah pasaraya ketika membeli barang bersama suami. Selepas itu, terbaring di katil berminggu-minggu dalam keadaan tak mampu buat apa-apa dan disahkan minor stroke. Tuhan sahaja yang tahu betapa peritnya ujian bila anak-anak masih kecil dan si bongsu baru berusia 10 bulan.

Tapi Allah Maha Mengasihani, dua orang kakak yang tinggal berdekatan datang silih berganti menjaga dan menguruskan anak-anak malah berkongsi giliran bila suami ada bersama. Ternyata mereka sebenarnya adalah wanita-wanita yang baik budi dan pengasih bila tiada lagi luka dan duka di hati. Waktu itu, hikmah poligami paling jelas di depan mata. Dan Kak Juea jadi orang yang paling bersyukur kerana ditakdirkan bahagia dalam poligami hingga ke hari ini. Hidup susah dan senang bersama suami dan isteri-isterinya dengan anak-anak kami yang ramai.

Jelas bukan? Seorang wanita tak harus menghancurkan hidup wanita lain tapi sebaliknya bangkitlah membela kerana kitalah yang paling faham hati dan perasaan wanita. Jika bukan benar-benar atas keperluan hidup, mengelaklah sedaya upaya andai tak cukup kuat untuk berjuang membela wanita lain. Mencintai lelaki bukan segala-galanya dalam hidup tapi mencintai Allah itulah yang selamat dan sebenar-benar kebahagiaan.

Kenapa mesti bersikap seperti haiwan yang menyondol menikmati makanan dan biarkan semuanya berserakan? Kenapa mesti bina bahagia atas kehancuran hidup wanita lain? Apakah lelaki yang pernah menyakiti wanita itu takkan pernah menyakiti suatu hari nanti?

Dan kepada lelaki-lelaki ‘YANG MEMPERTUHANKAN NAFSU’, sombong kerana ‘TAK MAHU BELAJAR UNTUK BERLAKU ADIL’, kalian adalah lelaki-lelaki dungu yang sebenarnya sedang mempersiapkan neraka di akhirat sana untuk direnangi.  

Pekakkah kalian dengan amaran Allah bahawa berkahwinlah satu sekiranya bimbang tak dapat berlaku adil? Tahukah kalian bahawa maksud adil dalam Islam adalah meletakkan sesuatu itu sesuai dengan tempatnya atau kedudukannya.

Jadi isteri dan anak-anak tak boleh diabaikan sewenang-wenangnya kerana mereka mesti mendapat perhatian (nafkah zahir dan batin) sesuai dengan kedudukan mereka.

Lelaki yang meninggalkan anak isteri terkontang kanting kerana gagal hidup bahagia dan mahu cipta bahagia dengan wanita lain, mereka seperti pejuang yang gagal dan lari dari medan perang. Mampukah mereka menyertai peperangan sekali lagi?

Wallahualam.

Nota kaki: Ampun maaf atas sebarang khilaf dari penulisan ini. Moga yang baik dijadikan panduan dan yang buruk dijadikan iktibar.

Untuk makluman, karya terbaru Kak Juea tak lagi dikongsi di blog ini tapi di FB Group POJOK JUEA dan wattpad sahaja. Jemput ke sana jika ingin mengikuti karya terbaru bertajuk LELAKI BATU di POJOK JUEA .

Blog darimindaketinta ini akan dikhususkan kepada perkongsian rasa dan cerita serta motivasi diri. Moga ukhwah kita terus bertaut di sini. Salam sayang!

NYALA RASA Bab 24

“Thia jangan masuk balai. Biar Thariq dengan Amzar sahaja. Pak cik temankan Thia ya.”

Mereka menaiki kereta Thariq yang dipandu Amzar. Thia dan Samad duduk di belakang. Suasana dalam kenderaan itu senyap sunyi. Semua mati bicara.

Thariq lagi-lagilah. Asyik melarikan pandangan. Amzar sedar perubahan sahabatnya jadi makin ketara. Dia juga bagai dapat merasakan kemelut di dalam diri lelaki itu. Apa tidaknya? Dia diminta mengambil tahu tentang seorang lelaki yang dulunya sangat dibenci. Amzar tak pasti kalau Thia tahu tentang kejadian amuk itu atau tidak. Tapi kalau bagi Thariq, jelas dari riak wajahnya, semua yang berlaku belum luput dari ingatan.

Thariq menghela nafas untuk kesekian kalinya. Kemudian dia membuang pandang ke arah luar kenderaan. Terasa berat hatinya dengan permintaan Bapak Samad. Namun untuk menolaknya, airmata gadis itu meruntun jiwa. Dan sapu tangan itu…

Saat itu juga, kereta yang mereka naiki melewati tapak kedai di pangkal titi, di tepi sungai. Kedai itu sudah lama dirobohkan. Tinggal simen yang telanjang sahaja. Tiba-tiba Thariq bagai ditarik masuk ke terowong masa dan hilang sebentar dari nyata.

13 tahun dulu.

Hujan renyai tiba-tiba turun membasahi petang yang damai dan sunyi. Seorang anak muda belasan tahun yang tadi santai mengayuh basikal selepas menziarahi pusara ayahnya kini buru-buru menujah pedal, menghalakan basikal yang dipinjamnya ke arah sebuah kedai yang sudah tutup di pangkal titi kayu di situ.

Sebaik saja basikal disandarkan ditiang, dia berdiri mengadap renyai yang nampaknya semakin melebat sambil mengibas rambutnya yang basah dengan jari-jemari.

Tiba-tiba sebuah lagi basikal meluru mendatanginya seperti sedang mengalami kerosakan brek. Terbeliak, dia hanya sempat mengangkat kedua telapak tangannya dan …

“Aaaaaaaaaaa….”

Jeritan mereka berdua bergema serentak.

“Aaahh! Ouucchhh! Aduhhh!”

Dia, basikal itu dan seorang gadis kecil serentak mendarat di atas simen keras dan kasar di bahagian hadapan kedai yang berbumbung itu.

Mendengar suara halus mengerang, dia yang terduduk langsung merenjas bangun, terlupakan sakit di tubuh sendiri. “Allah!”

Kelam-kabut dia menarik basikal itu yang menimpa tuannya. Sebaik sahaja dia dapat menyandarkannya ke tiang yang satu lagi, sepasang lututnya rebah ke atas simen yang sama, mendekati gadis kecil yang tertiarap di situ.

“Awak tak apa-apa?”

Wajah putih mulus itu terangkat dan berkalih. Seluruh mukanya berkerut. Sedang sepasang mata itu sudah berkaca.

Anak muda itu terpempan memandang. Air jernih yang bertakung di situ langsung berjatuhan di pipi yang kini comot kerana tadi mencium simen yang kotor dan basah.

Gadis kecil teresak seraya membelek kedua telapak tangan yang berdarah. Sambil berdesit menahan sakit, dia cuba untuk bangun.

Tak tahu hendak bertindak bagaimana, anak muda itu memaut kedua bahu gadis malang, membantunya bangun. Dalam susah payah, gadis kecil itu dibawa ke tepi lalu didudukkan di atas papan sekeping yang diletakkan di atas dua tong biskut yang besar untuk dijadikan bangku.

Si gadis kecil terkesit-kesit memerhatikan kedua telapak tangannya yang terketar sakit.

Si pemuda tak bertangguh lagi, menarik sapu tangan merah dari poket seluar lalu merebahkan kakinya, melutut di situ. Kedua-dua telapak tangan yang berdarah di riba gadis itu dilap selembut yang mungkin tanpa menyentuhnya setelah dia pastikan tiada pasir atau kekotoran di situ melainkan cairan darah.

Bila titis-titis air jernih berjatuhan di atas tangannya, dia terkedu. Jantungnya berdegup kuat dan seperti ada rasa tersayat menyelinap di dalam. Cepat-cepat dia menghembus perlahan setiap kali dia mengelap tangan itu supaya rasa sakit dapat dikurangkan. Apa dayanya lagi untuk membantu.

“Eh! Tangan kamu!”

Terkejut, anak muda itu menelek tangan sendiri. Tak sedar rupanya di antara telunjuk dan ibu jari, ada luka yang agak dalam di situ mungkin berlaku ketika dia menahan basikal tadi.

“Kita mintak maaf! Kita tak sengaja!” Dia semakin teresak dengan suara yang sarat dengan rasa bersalah.

“Eh… sikit je ni. Saya… saya tak sakit pun!” Dia cuba menyakinkan sambil menahan rasa pedih yang tiba-tiba semakin terasa. Kenapa tadi dia langsung tak sedar malah tak rasa sakit pun. Mungkin kerana hatinya terlalu risaukan gadis itu.

Dia terus menyambung kerjanya dalam diam. Selesai kedua tangan itu dilap sambil dihembus, dia membalut telapak tangan kanan yang lebih teruk lukanya dengan harapan dapat menghentikan pendarahan. Kemudian dia bangun berdiri.

“Sakit sangat ke?”

Gadis kecil itu terngadah dengan wajah yang basah dan kemerahan. Dia menggeleng lalu cuba menongkah diri untuk bangun tapi terduduk semula sambil berdesit kuat seraya meninjau kedua lututnya yang berbalut kain baju kurung itu. Jelas tompok rona kemerahan mengotori kain itu memberi petanda yang kedua lututnya juga berdarah.

“Lutut tu…?”

“Eh, tak apa! Kita… kita buat sendiri.” Laju kedua telapak tangannya menutup tempurung lutut seperti risau kalau kainnya akan diselak. Serentak itu dia berdesit lagi menahan sakit kerana tangan itu sedang luka.

Anak muda itu berdehem. Mengulum senyum dan bimbang serentak.

“Tangan awak macammana? Berdarah tu!”

Ada darah merah yang menitis dari tangannya dan mengembang dalam lopak air kecil di atas simen.

“Oh! Tak apa… sikit je ni…” Anak muda itu melangkah ke hujung lantai konkrit, menghulurkan tangannya ke luar untuk membiarkan rintik hujan yang lebat membasuh lukanya. Terpejam matanya menahan pedih namun tiada suara yang keluar dari halkum.

Mereka diam begitu, membisu dalam menahan rasa sakit yang mencengkam. Demi tak mahu menyusahkan pihak yang satu lagi dengan rasa bimbang atau bersalah.

Mereka membiarkan saja deru air sungai yang mengalir deras di tepi kedai itu dan suara rintik hujan meriuhkan suasana sekaligus dapat menutup detak jantung yang semakin kuat dalam dada.

Entah kenapa? Keduanya sama-sama diam tertanya.

Tak lama baru anak muda itu tersedar. Dia harus pulang segera kerana sudah berjanji. Basikal itu harus dipulangkan.

“Saya kena balik. Hujan pun dah berhenti. Tapi… err… jomlah! Saya hantar awak balik dulu.”

Berkerdip sepasang mata anak gadis itu. Bagaikan terpinga. Seketika, dia menggeleng. “Saya tunggu kawan di sini.”

“Ohh…!” Si anak muda mati kata, berpusar di tempat dia berdiri. Serba-salah.

“Tak apa ke awak sorang di sini?”

Si anak gadis angguk. Cuba pamer senyum dalam berkerut menahan sakit.

‘Kalau macam tu, saya pergi dulu ya.”

Angguk.

Si anak muda telan liur. Berdiri seketika di hadapan si gadis kecil. Tak pasti bagaimana harus mereka berpamit. Tambah pula hati berat mahu meninggalkan.

“Jaga diri!”

Angguk lagi. Pandangan mereka bersabung lama.

Kemudian basikal yang tersandar tadi dicapai lalu dia bergerak keluar dari bawah bumbung hadapan kedai itu.

Tak sempat menjauh, dia mahu melihat gadis itu lagi. Langsung dia berpaling.

Di sana gadis kecil itu sedang berdiri, seolah-olah menghantarnya dengan pandangan sambil melambai tangan dengan sapu tangan merahnya.

Sapu tangan merah yang sama muncul di cermin sisi kereta itu, menyentak Thariq dari terus hanyut dibawa arus kenangan. Serentak itu, jantungnya berdegup laju. Pandangannya menjalar ke wajah Thia yang hanya muncul sedikit dalam pantulan di cermin itu. Dia sedang mengesat matanya yang makin sembab. Thariq rasa seperti ada sesuatu yang menghentak di dada. Kenapa airmata gadis itu amat menyentuh hatinya? Apakah dia orang yang sama?

***NYALA RASA sampai di sini saja ya. Kak Juea sambung dengan beberapa teaser. Lepas ni, insya-Allah, karya bertajuk LIUK PERAWAN bakal menyusul. Mohon doakan!

***Ebook Nyala Rasa ready file ya. Sesiapa yang ingin mengetahui kisah ini sampai ke noktah terakhir, boleh dapatkan ebook atau versi cetak. Hubungi 011-20503481 untuk pesanan.

Terima kasih kepada yang sudi singgah dan ikuti karya-karya Kak Juea di sini. Salam ukhwah. Moga bahagia selalu.

NYALA RASA Bab 23

“Assalamualaikum! Pak cik! Pak cik!” Thia melaung cemas di hadapan rumah Pak Cik Samad, satu-satunya orang tua di situ yang dia agak rapat selain Encik Harun, Ketua Balainya. Dia tak tahu ke mana lagi nak mengadu. Nak bertanyakan kepada Encik Harun, dia malu!

“Thia!” Samad yang terkocoh-kocoh keluar bila namanya dilaung begitu terperanjat melihat gadis itu di hadapan rumahnya. “Kenapa ni?”

Thia kesat pipinya yang basah. Bibirnya terketar-ketar mahu berkata tapi dia tak tahu apa yang patut dia katakan. Dia tak tahu apa salah ayah!

Samad keluar mendapatkan Thia. Renta hatinya melihat keadaan gadis itu. Hatinya memang selalu belas dengan nasib Thia. “Thia masuk dulu. Ni… kita duduk di veranda. Thia dah sarapan ke belum ni?”

Thia geleng laju. Dia ikut sahaja, masuk lalu duduk di sofa di sebelah kiri veranda itu. Memang lututnya dah tak mampu nak menampung diri untuk berdiri.

“Kenapa, bapak? Thia?” Amzar yang ikut keluar menjengah terkejut melihat Thia ada di situ.

“Tak ada apa. Zar, bawakkan air teh. Mi goreng tadi tu banyak lagi, hidangkan. Thia belum sarapan.”

“Tak apa, pak cik!” sanggah Thia. Dia memang tak terfikir soal makan langsung. Dia risaukan ayahnya saat ini.

“Thia, tenang-tenang dulu. Thia minum. Lepas tu, bagitau pak cik perlahan-lahan ya. Jangan risau… Allah ada!”

Thia angguk laju-laju. Tapi air jernih terus merembes dan mengalir di pipinya. Jari-jemarinya diramas gelisah. Dia berdoa terus-terusan dalam hati. Syukur dia kenal Pak Cik Samad walaupun tak lama tapi lelaki itu memang seperti seorang ayah sifatnya, lebih mesra dan mengambil berat dari ayah kandungnya sendiri.

“Riq, bubuhkan mi tu dalam pinggan. Kita ada tamu!” pinta Amzar. Dia pula menyediakan dulang dan menuang teh ke dalam cawan.

“Tamu? Siapa?”

“Thia.”

“Thia? Budak perempuan semalam tu?”

Amzar angguk. Sempat dia menjeling mahu melihat reaksi Thariq. Lagipun sejak semalam, Thariq banyak berdiam diri.

“Kau rapat ke dengan dia?”

“Taklah. Sesekali je bertegur bila terserempak. Dia pemalu. Tapi kalau dengan bapak, memang nampak rapat. Biasalah, bapak, kan? Mesra alam!” gurau Amzar namun Thariq tak beriak langsung. Dia meletakkan sepinggan mi ke dalam dulang.

“Kau bawaklah!” Sengaja Amzar menyuruh. Thariq kalau dengan perempuan, payah nak ke depan.

Thariq mengangkat dulang tanpa berkata sepatah.

“Eh!” Terkejut si Amzar. Kemudian dia senyum meleret penuh makna sambil mengekori Thariq.

“Ada kes apa agaknya, pak cik? Ayah tu baru nak sembuh dari strok. Thia risau!”

Thariq sempat mendengar keluhan gadis itu bila mendatangi mereka. Dia meletakkan dulang di meja kopi, menghidang dalam diam kerana tak mahu menganggu perbualan mereka.

Tiba-tiba dia ternampak Thia mengeluarkan sapu tangan merah lalu mengelap mata dan hidungnya. Berkerdip sepasang mata Thariq, tak percaya dengan apa yang dilihatnya!

Sapu tangan itu! Terus dia teringatkan seseorang. Hatinya berdetik kuat… tak mungkin!

“Haa… ini pun dia! Thia jangan risau. Kebetulan Thariq ada kat sini, kita boleh minta tolong dia. Thariq, mari… bapak kenalkan, inilah Thia, pegawai bomba yang berani tu.”

“Pak cik!” Thia sempat menyanggah malu.

Samad tersenyum. “Ya, memang betul pun! Haa… pak cik kenalkan Thia, ni Thariq, peguam jenayah. Dia bercuti di sini dengan Amzar. Thia ingat Amzar, kan? Anak pak cik!”

Thia angguk. Dia malu nak berkenalan dengan muka basah begitu tapi dia juga terdesak. Lalu dia berpaling ke arah lelaki yang berdiri di tepi sofa yang diduduki Pak Cik Samad.

“Awak?” Thia terperanjat sungguh.

Thariq pula terpempan. Dia telan liur yang tiada, kemudian berdehem seketika, cuba mengawal segala emosi yang berbaur lalu mengangguk tanda berkenalan. Anak matanya berlari-lari, malu mahu memandang tapi mata asyik mencuri pandang. Diakah orangnya? Hatinya terus tertanya-tanya.

“Duduklah Thariq. Haa… Zar! Duduklah. Ada berita yang bapak nak bagitau.”

Amzar yang sudah berdiri di belakang Thariq, terus sengih lebar sambil main mata dengan bapanya.

Sebaik sahaja dua jejaka itu melabuhkan punggung di sofa bertentangan, Samad membuka cerita.

“Razali, ayah Thia, dibawa ke balai polis tadi. Katanya untuk bantu siasatan. Thia nak ikut ke balai, abangnya tak benarkan. Disuruh tunggu maknya di rumah. Dia risau sebab Razali tu baru nak kuat sikit lepas kena strok. Macam mana, Thariq? Kalau kita boleh tolong tanya-tanyakan di balai, kes apa sebenarnya?” Thariq angguk mendengarnya. Sesekali dia memandang ke arah Amzar. Hatinya berdetak sumbang. Nalurinya bagai berkata-kata, ada sesuatu yang buruk bakal berlaku nanti.

…Bersambung.

NYALA RASA Bab 22

Pagi-pagi lagi Thia sudah keluar ke bengkel kereta untuk mengambil keretannya yang sudah siap dibaiki. Kereta yang dibayar atas titik peluhnya sendiri.

Ya! Thia tak hidup mewah seperti keluarganya. Dia dan ibu memilih untuk hidup cara mereka, sederhana dan berdikari.

Pilihan itu amat menggembirakan ibu dan dua abang tirinya. Dan pilihan itu jugalah yang memisahkan dia dengan ayah serta datuknya.

Thia memandu sambil menahan debaran di dada. Dia memusatkan mindanya memikirkan kata-kata arwah ibu.

‘Thia memang anak ayah. Itu takdir yag tak boleh diubah. Kita tak boleh memilih siapa ayah dan ibu kita. Kita juga tak boleh menentukan suami kita. Itu semua takdir yang berupa ujian untuk kita sebagai hamba-nya.

‘Tapi Thia tak boleh menyalin sifat buruk ayah dan ibu! Thia mesti minta sungguh-sungguh dari Allah, minta jauhkan hati Thia dari sifat keturunan yang buruk.’

Itulah kata-kata keramat ibu selepas dia sedar dari pengsan selepas satu peristiwa hitam berlaku 13 tahun dulu. Dia tak pernah lupa dan takkan pernah lupa. Malah peristiwa itu masih menghantui dan membekas dalam hidupnya sampai saat ini.

Thia yang baru sedar dari pengsan, terbaring lemah di katil. Dia masih belum hilang trauma melihat budak lelaki itu diikat dan dibakar hidup-hidup. Walaupun tadi, ibu beritahu yang lelaki itu sudah diselamatkan bapa saudaranya tapi entah bagaimana keadaannya sekarang? Cederakah dia? Terbakarkah kulitnya? Kata ibu, tak ada siapa yang tahu.

‘Selagi dia ada dalam rumah ni, selagi itulah abang tanggung malu! Habis kami semuapun terpalit sama. Milah tak nak, abang! Kalau dua beranak ni ada di kampung ni, biar Milah dengan anak-anak yang keluar dari rumah ni!’

Tiba-tiba terdengar suara ibu tirinya memekik dari arah ruang tamu. Bilik Thia bersebelahan dengan dapur sahaja. Tak jauh dari ruang tamu di lantai bawah rumah itu..

“Kan aku dah hukum budak tu! Bukan salah Thia. Biar budak tu yang keluar dari kampung ni. Aku memang nak dia keluar!’

Thia tersentak sungguh. Dalam susah-payah dia menongkah diri untuk bangun. Dia harus buat sesuatu. Kasihan budak lelaki itu yang tiba-tiba jadi mangsa keadaan. Sedangkan dia tak bersalah!

‘Eh! Abang! Abang ingat orang kampung ni tak terus mengata? Milah peduli apa dengan budak tu. Ni… yang ada dalam rumah ni yang jadi buah mulut orang nanti. Mana Milah nak letak muka?’

‘Pedulikan cakap orang! Tahulah aku mengajar anak aku nanti.’

‘Kalau nak ajar, dari kecik, bang. Bukan dah jadi buluh. Lagipun, dah maknya macam tu, anaknya nak ke mana lagi?’

‘Kamu jangan melampau, Milah!’

‘Milah jugak yang melampau? Dah jadi macam ni pun, Milah jugak yang salah?’

Thia memekup kedua telinganya. Airmatanya berhamburan. Remuk hatinya mendengar hamburan amarah dan cercaan ibu tirinya.

Ibu! Kasihan ibu! Ibu terpaksa menanggung sama akibat perbuatannya. Tapi bukan dia sengaja. Demi Tuhan, dia juga tak mahu berdua-duaan di hadapan kedai itu waktu hujan lebat petang semalam.

Dia cuma nampak ada basikal dan kelibat seseorang. Pandangannya yang terbatas dek hujan yang mengguyur buat dia menyangka Sofiah sedang menunggu. Lagipun mereka memang berjanji nak berjumpa di situ.

Entah apa yang patut dia buat supaya ibu tak terpalit sama? Cukup-cukuplah ibu tersiksa hidup sebagai isteri kedua.

‘Thia!’

Ibu yang datang membawa makanan untuknya terus menerpa masuk lalu cepat-cepat menutup pintu. Ibu memang selalu menjaga agar Thia tak terluka dengan perbuatan keluarga tirinya. Dia lebih tega menanggung derita sendirian.

‘Kita balik rumah nek, bu!’ Rayu Thia tiba-tiba. Memang sebenarnya sudah lama dia memikirkan hal itu. Dia mahu ibunya bahagia. Dia yakin ibunya lebih bahagia kalau berjauhan dari ayah.

‘Thia!’

‘Thia tak tahan lagi, bu! Biar Thia yang minta dengan ayah. Ayah tak nak balik jaga Nek Miah, biar kita yang jaga. Tapi kita duduk rumah nenek ya.’

Mujurnya alasan itu cukup kuat untuk ayah mengalah. Ibu dan ayah memang berasal dari kampung yang sama. Mereka berpindah ke Pekan Ketinggi kerana ibu tirinya.

Sejak itu, Thia tak pernah menjejakkan kakinya ke Pekan Ketinggi lagi sehinggalah ibu meninggal dan ayah mula sakit. Dia memohon untuk berpindah atas alasan itu.

Rumah dua tingkat yang paling besar di seluruh Pekan Ketinggi itu tersergam dari kejauhan. Thia memandu masuk ke perkarangan rumah itu lalu memarkir keretanya di sebelah deretan kereta mewah keluarga tirinya.

Dengan berat hati, dia melangkah masuk ke veranda. Belum sempat mahu memberi salam, pintu besar itu terkuak tiba-tiba.

“Wah! Wah! Tengok siapa yang datang? Dah berbulan-bulan kerja kat sini, tak nampak batang hidung. Aku sampai cari kau di balai tapi kau asyik mengelak ya? Salam!”

“Isyhhh… tak boleh salamlah!”

“Berapa kali aku cakap, aku abang kau, kan? Salam cepat!”

Thia menjeling marah. Tak habis-habis dengan si Amran ni. Benda yang sama juga diulang-ulang. Sengaja! Bukan dia tak tahu, mereka berdua bukan mahram. Dia anak ibu tirinya dengan arwah suami yang dulu. Mereka langsung tak ada pertalian darah.

“Hah! Kalau tak boleh salam… maknanya kita boleh kahwin, kan?” Amran mula tersenyum-senyum dengan kening terangkat-angkat.

“Issyhhh! Tepilah!” Thia memang menyampah sungguh dengan perangai abang tirinya itu. Kata orang, hubungan mereka disebut sebagai saudara anjing. Tapi baginya, dia tak mahu langsung ada kena mengena dengan lelaki miang seperti Amran.

“Kau nak apa datang sini?” Suara Amri tiba-tiba menyergah dari belakang Amran. “Tepilah! Orang nak pergi kerja. Yang kau tercongok kat sini, tak ada kerja ke?”

“Aku bukan macam kau, gila kerja. Masuklah, Thia. Jom kita minum. Aku belum sarapan lagi ni,” pelawa Amran dengan wajah paling manis sambil membuka daun pintu lebih luas untuk Thia masuk.

Amri mendengus sambil melangkah keluar. Sempat dia menghunjam pandang ke arah Thia yang berdiri membatu diri. “Kau rasa hebat sangatlah kerja bomba tu? Macam tak ada kerja lain!”

Thia terkejut ditempelak tiba-tiba. Tak sempat dia balas, Amri sudah bergegas ke keretanya.

“Jangan layan dia tu. Jom, kita minum!” ajak Amran lagi, terlebih mesra.

“Tak nak. Thia nak jumpa ayah je!” Thia menjawab seraya melangkah laju masuk ke dalam rumah yang tak pernah membahagiakannya.

“Sombong kau! Aku mintak mak pinangkan kau ya. Senang, kita jadi keluarga betul-betul.”

“Gila!” desis Thia, marah dan menyampah. Dia terus ke dapur mendapatkan pembantu rumah, Mak Cik Nab, yang sejak dulu memang rapat dengannya. Thia mahu membuat minuman untuk ayah. Waktu begini selalunya ayah akan bersarapan di veranda belakang sendirian dengan suratkhabarnya. Ibu tirinya bukan orang yang suka bangun awal pagi.

“Eh, ayah dah boleh makan dengan tangan kanan!” Thia ceria melihat perubahan ayahnya.

“Hmm… boleh dah pelan-pelan. Tujuh bulan lebih dok buat fisio tu, dok boleh guna dah la…” Razali mengangkat cawan dengan tangan kanannya yang sudah tak terlalu terketar-ketar macam dulu. Siksa sungguh rasanya bila sebelah badannya lemah. Kamilah tak seperti Rahmah yang taat melayan kerenahnya.

“Ayah… Pak Cik Nuar yang tempang tu, kawan ayah, kan?” Thia memberanikan diri bertanya selepas ayahnya hampir menghabiskan nasi lemak di pinggannya. Dia hanya minum teh untuk menemani ayah.

“Nuaq tempang?” soal Razali, acuh tak acuh. Namun dadanya tetap berdebar bila mendengar nama itu.

“Ya, ayah. Dia macam kenal rapat dengan ayah.” Thia mula memancing cerita.

“Dia memang segagan dengan ayah. Awatnya?”

“Ayah… err… ayah pernah bergaduh ke dengan dia?”

“Huh! Nuaq tu dengan sapa ja dia tak bergaduh? Dia tu bukannya betui sangat! Awatnya yang dok tanya ni?”

Gugup Thia jadinya. Patutkah dia berterus-terang saja? “Dia… dia takut sangat dengan ayah. Dia kata… ayah nak racun dia.” 

 “Racun? Dia gi…”

“Ayah! Ayah!”

Suara Amran melaung mengejutkan keduanya. Dia kelihatan menggelabah.

“Awat?” sergah Razali, rimas waktu senggangnya diganggu.

“Ada… ada polis caghi ayah!” Thia tercengang. Dia pegang lengan ayahnya. Wajah lelaki itu pucat tak berdarah.

… ersambung.

NYALA RASA Bab 21

Anuar tersandar ke pintu papan yang dia tutup kuat tadi, tercungap tak cukup nafas. Terngadah dia ke atas sambil menutup matanya rapat-rapat. Mulutnya tak henti memekik, “Pergi! Pergi! Jangan kacau aku! Aku tak buat! Aku tak buat!”

Tangannya menghentak-hentak dada sendiri, memasak kekesalan yang amat dalam. Perlahan-lahan suaranya makin hilang dalam esakan tangisnya yang mula menggoncang tubuh.

“Thoha! Ampunkan aku, Thoha. Ampunkan aku!” Dia akhirnya melurut jatuh terduduk ke lantai simen itu. Hilang upaya untuk berdiri. Dia terus meratap pada malam yang sunyi. Malamnya yang selama ini memang terganggu dek dihurung rasa bersalah kini jadi semakin menyiksakan.

‘Kalau aku jadi hang, Nuaq, aku bakaq depa hidup-hidup!’

‘Sebab depa tu buat maksiat! Tu ja hukuman depa. Depan tunjuk alim sopan. Tapi hina berdua-duaan dalam rumah tu! Bakaq depa tu, Nuaq! Bakaq!’

Anuar pekup kedua telinganya. Hasutan Razali mula menghantuinya seperti malam-malam yang lalu. Hasutan yang akhirnya memusnahkan hidupnya.

Sampai ke hari ini, jauh di sudut hatinya, Anuar yakin Thoha tak melakukan semua itu. Namun dia tak ada bukti. Dan waktu itu, dia sedang teramat marah dengan Thoha. Hasutan Razali benar-benar menguasainya sampai dia sanggup melihat Thoha kaku tak bergerak lagi di depan mata.

‘Nu… Nuar! Fidah pengsan, Nuar! Tolong aku… tolong tarik Fidah, Nuar. Kaki aku…’

Thoha sudah terbatuk-batuk namun terus memekik merayu dari dalam rumah yang sedang terbakar. Api rakus menyambar kayu dan papan yang sudah tua dan kering. Anuar menerpa mahu mendekat.

‘Bakaq depa tu, Nuaq! Bakaq!‘

Tapi sorakan Razali dalam mindanya buat langkahnya terbejat. Langsung rasa cemburu dan marah kembali membakar dirinya seperti maraknya api yang sedang menjilat rumah itu di hadapan matanya.

‘Nuaaaarrr! Tarik Fidah! Tarik Fidah, Nuar!’

Dalam keadaan sedang bertarung nyawa, Thoha tega terus memekik mahu dia menyelamatkan Rafidah. Begitu sekali dia sayangkan Rafidah. Lebih dari dirinya sendiri!

Anuar meludah benci. Dia memang nampak Rafidah tersembam waktu itu di tengah-tengah api yang sedang rakus membakar dinding-dinding di sekelilingnya. Tapi dia terlalu sakit hati dengan perempuan yang pernah menjadi igauannya itu. Kerana terlalu benci, Anuar akhirnya berpaling dari mereka. Rasakan! Biar mereka terpanggang!

Tapi Anuar tak sempat menjauh. Ada bunyi yang kuat dari atas bumbung yang sedang marak menyala.

Kraaaakkkk! Dummm!

Salah satu alang-alang jatuh terhempas ke bawah serentak dengan jeritan Anuar yang kedengaran ngeri mengatasi sorakan bunyi api yang sedang menguasai.

Pandangan Anuar kelam. Sakitnya bukan kepalang. Dia cuba bangun, mahu lari dari situ tapi malangnya dia bagai tertambat. Saat itulah baru Anuar tersedar yang kakinya terlekat di situ, dihempap kayu alang-alang yang jatuh.

Hanya Tuhan yang tahu perasaannya waktu itu. Serta-merta dia sedar yang mungkin itu balasan Tuhan ke atasnya kerana dia tak mahu menolong sahabatnya yang selama ini ada waktu susah dan payahnya. Dia sanggup berpaling hanya kerana seorang perempuan!

Anuar menjerit sekuat hati meminta tolong sehabis suara meskipun dalam keadaan menahan sakit kaki yang melecur terbakar. Tapi nafasnya kian sesak kerana tertelan asap. Akhirnya pandangan jadi kelam dan dia tak sedarkan diri.

Hanya beberapa hari selepas itu, dia membuka mata di katil hospital. Sangkanya, dia bertuah kerana dihidupkan semula. Namun kenyataan yang menanti adalah lebih pahit lagi.

Dia dituduh membakar Thoha dan Rafidah hidup-hidup kerana cemburu! Dan dia tahu siapa yang punya angkara!

Hingga ke hari ini, Anuar insaf! Kalau sebelum itu, Anuar yang sebatang kara selalu bertemankan Thoha. Selepas kejadian itu, hidupnya jadi lebih parah lagi. Dia disisih orang kampung.

Apatah lagi dalam keadaan kakinya tempang, dia tak mampu melakukan kerja-kerja seperti dulu. Mujurlah ada tanah peninggalan orang tuanya yang hanya sekangkang kera tapi cukuplah untuk dia berkebun dan menyara hidupnya yang kini seperti kais pagi makan pagi.

Anuar tersandar lemah, tak mampu menangis lagi. Selalunya bila tak tahan dengan segala yang menyesakkan jiwa, dia akan ke kubur arwah Thoha. Di situlah dia akan mengadu. Nasihat-nasihat yang pernah Thoha berikan kepadanya akan perlahan-lahan diingati semula dan dia akan merasa ada sedikit kekuatan untuk meneruskan hidup.

Kubur Thoha… Anuar terdiam di situ. Akalnya berputar ligat mengingati apa yang berlaku. Apakah dia dah gila? Thoha dah lama meninggal. Jadi, lelaki tadi tu siapa?

…Bersambung.

NYALA RASA Bab 20

“Kenapa, Riq? Pak Cik Nuar mengamuk ke?” soal Amzar sambil melangkah ke pintu dapur untuk meletakkan beg plastik berisi keperluan asas. Beras sekampit yang dibawa Thariq tadi tersadai di tanah, diambil dan diletakkan di tempat yang sama.

Thariq yang masih memandang kereta Myvi merah itu bergerak pergi, sekadar angkat bahu.

“Kau tak dengar dia cakap apa tadi?”

“Tak! Aku… aku sembang dengan budak tu tadi. Lepas tu, aku dengar bunyi orang marah-marah…”

“Kau kenal ke dengan dua orang perempuan tu, Zar?”

“Aku tengah berkenalan la tadi tu!”

“Ya Allah! Aku serius ni. Aku hairan kenapa pak cik tu marah dengan dia. Dia takut perempuan tu nak racun dia…”

“Thia? Thia tu nak racun dia?” Amzar tergelak dan tergeleng serentak. “Pak cik tu nyanyuk dah kot. Salah orang agaknya!”

“Thia?”

“Riq, dia la yang bapak cakap tu. Cucu Tok Hitam yang kerja bomba tu. Yang kau selamatkan dia malam tu…”

“Cucu Tok Hitam?”

“Eh! Korang ni macam berjodoh pulak ya? Malam tu, sampai terlentang kau selamatkan dia. Malam ni, kau selamatkan dia dari Pak Cik Nuar pulak ke? Sampai terpe…”

“Yang ziarah keluarga Hazim malam tu, Tok Hitam yang sama?” pintas Thariq sebelum Amzar terus melalut.

“Haishhh… di Pekan Ketinggi ni, ada sorang je Tok Hitam!”

Topik yang membosankan pulak tu!

“Kalau Tok Hitam tu datuk dia, siapa ayah Thia?” soal Thariq lagi. Kakinya mula melangkah mahu pergi dari tempat itu. Tapi mindanya terus berpusar mengingati kata-kata Pak Cik Nuar tadi.

‘Aku tau ayah kamu nak aku mati!’

“Pak Cik Zali. Razali. Kau ingat dia?” Amzar mula naik risau. Laju dia ikut melangkah menyaingi Thariq yang kini memandang terus ke depan dengan riak wajah yang ketat.

Zali? Pak Cik Zali? Darah Thariq menyirap tatkala mendengarkan nama itu.

“Aku dah kata! Hampa semua percaya sangat Thoha tu baik! Hah… zaman ni, letak songkok ataih kepala, semua oghang hormat. Kata alimlah, beragamalah…”

“Zali!”

“Apa, tok ketua? Salah ka apa aku kata? Dah terbukti, kan? Cakap aku, hampa semua tak mau dengaq!”

“Hang jangan melampau, Zali! Jenazah pun belum kebumikan lagi, dah macam-macam hang kata. Hormat sikit dengan si mati, Zali!”

“Haa… tengok! Tengok! Betul dak apa aku kata? Zaman ni, oghang yang buat mungkar pun kita kena hormat!”

‘Zali!’

‘Yaaaaaaaaaahhhhh!’

Tubuh lelaki yang duduk santai di atas motor di hadapan masjid itu tiba-tiba ditolak laju sampai dia jatuh terlentang ke tanah. Tak sampai tiga detik, motosikalnya pula menimpa tuannya.

Penduduk kampung yang sedang menunggu jenazah tiba terkejut sungguh dengan kejadian tak disangka itu.

‘Yaaaaaaaaaahhhhh!’

Tak sempat mereka bertindak, seorang budak lelaki berusia dua belas tahun melompat ke atas motosikal yang terbaring itu dan memijak kepala Razali bertubi-tubi.

Riuh-rendah jadinya bila orang kampung cuba menghentikan perbuatan budak itu tapi tak semudah yang disangka kerana dia menepis, menggigit dan menendang siapa sahaja yang menghalang.

Bila budak yang mengamuk itu dapat dipegang beramai-ramai, kepala dan muka Razali sudah berdarah-darah.

Pak imam yang berlari turun dari dalam masjid segera mendapatkan budak itu.

‘Ali! Ya Allah! Sabar, Ali! Sabar!’

‘Sudahlah! Tolong uruskan si Zali. Lepaskan budak ni,’ perintah pak imam dengan lembut.

Perlahan-lahan mereka melepaskan pegangan dan pak imam menarik budak itu ke dalam pelukannya.

Sekujur tubuh anak itu yang tadinya tegang dan keras mengendur perlahan-lahan dalam pelukan pak imam. Pandangan matanya yang tajam menghunjam ke arah Razali terbaring akhirnya terpejam rapat di dada orang tua itu. Kemudian air jernih mula dari tubir matanya dan dia menangis menggogoi di situ sambil mulutnya tak berhenti menyebut, ‘Ayah! Ayah! Ayah!’

“Thariq! Kenapa kau diam ni? Kau okey ke tak, ni?”

Amzar tersedar yang dia sedang bercakap seorang diri. Thariq berjalan di sisinya dalam keadaan diam seribu bahasa sejak dia mendengar nama ayah Thia tadi.

“Hmm…,” jawab Thariq acuh tak acuh. Namun hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana kuatnya jantung berpalu di dalam. Nama itu dan pemilik nama itu sangat membekas dalam hatinya.

Itulah yang membuatkan dia menyisihkan diri dari orang kampung. Kerana dia mahu mengelakkan diri. Bertahun dia cuba mengusir dendam di hati. Dia amat bimbang kalau budak amuk itu masih hidup dalam dirinya!

Amzar serba-salah dengan kebisuan sahabatnya. Dia akhirnya membiarkan Thariq melayan emosi sendiri. Amzar tahu yang Thariq masih ingat dengan peristiwa dulu. Walaupun Amzar tak dilahirkan di situ dan membesar bersama nenek sebelah ibunya di Gombak tapi setiap kali cuti sekolah, dia akan balik bersama ibu dan bapak di Pekan Ketinggi ini.

Kebetulan kejadian amuk itu berlaku pada hari terakhir persekolahan ketika itu. Bila Amzar balik bercuti, hampir semua penduduk Pekan Ketinggi kecoh dengan budak amuk.

Amzar pernah berjumpa dengan Thariq sesekali bila bapak terserempak dan berbual dengan ayahnya. Namun dia dan Thariq sekadar senyum dan bersapa sahaja.

Hanya di tingkatan satu, kebetulan mereka bersekolah di sekolah berasrama penuh yang sama. Perlahan-lahan mereka jadi akrab. Tapi Amzar tak pernah bertanya tentang kejadian amuk itu kerana Thariq sendiri tak suka bercakap tentang Pekan Ketinggi atau keluarganya. Malah dia perkenalkan namanya sebagai Thariq, bukan Ali seperti yang biasa dipanggil oleh keluarga dan jiran-jiran.

Cerita bapak, Pak Cik Thoha berpindah balik ke rumah pusaka ibunya setelah lama merantau. Sayangnya tak lama sebab tak sampai setahun, berlaku peristiwa ngeri yang meragut nyawanya. Thariq dan ibunya meneruskan hidup di Pekan Ketinggi namun kata bapak, hidup mereka susah dan menderita.

Akibat cacian orang, akhirnya Thariq dan ibunya keluar dari Pekan Ketinggi dan balik ke rumah keluarga nenek sebelah ibu di Perak.

Selepas lima minit berjalan, mereka akhirnya tiba ke selekoh jalan yang agak besar di mana kereta Thariq ditinggalkan. Sengaja mereka masuk berjalan kaki tadi kerana Thariq mahu melihat suasana keliling tempat tinggal Pak Cik Nuar. Amzar pula memang biasa ke rumah Pak Cik Nuar sebulan sekali untuk menghantar barang keperluan asas bagi meringankan kesusahannya.

“Kita nak balik ke, Riq? Atau nak terus buat agihan?” Amzar bertanya juga dalam serba-salah.

“Teruskan je!” Thariq menjawab sepatah sambil membuka pintu kereta.

Dalam kereta memang sudah sarat dengan makanan keperluan asas yang mereka beli petang tadi untuk diagihkan di kampung-kampung sekitar Pekan Ketinggi.

Memang setiap bulan, Thariq akan menghantar wang untuk keperluan asnaf di Pekan Ketinggi secara atas talian kepada bapanya untuk diagihkan. Malah siap disertakan upah untuk budak-budak yang membantu bapanya melaksanakan amanah itu.

Tapi kali ini, sudah kebetulan Thariq balik bercuti maka kerja-kerja itu dilakukannya sendiri. Amzar yang sudah biasa membantu bapanya tahu di mana letaknya rumah-rumah asnaf di daerah itu memudahkan kerja-kerja agihan.

Golongan asnaf di daerah itu tak tahu siapa sebenarnya yang membantu mereka. Kerana dia terlalu sibuk dan tak berkesempatan menyantuni secara langsung. Cukuplah Amzar dan Bapak Samad sebagai wakil. Yang penting baginya, mereka tahu
yang rezeki itu adalah bantuan yang Allah datangkan buat mereka. Dia selalu berpesan melalui Amzar agar golongan ini terus berikhtiar untuk hidup yang lebih baik, banyakkan beribadah dan berdoa kerana doa-doa mereka besar keberkatannya.

…Bersambung.

NYALA RASA Bab 19

“Thia!”

“Thariq!”

Amzar dan Tini memanggil serentak, masing-masing berlari anak berdatangan ke arah mereka. Tapi langkah mereka tiba-tiba mati.

Thia dan Thariq yang baru berkalih dari arah pintu memandang ke arah mereka dalam keadaan terpinga.

“Korang kenapa?” Amzar memandang dengan rasa tak percaya.

Tini terbeliak sambil tangan menutup mulut. Dia hilang kata!

Thariq sedang memaut tubuh Thia dalam keadaan begitu rapat?

“Allah!” Thariq yang baru tersedar hampir terlepas pegangannya dan kelam kabut membantu Thia yang juga tersentak dengan keadaannya, jadi terhoyong-hayang mahu berdiri sendiri.

Amzar pandang Tini. Tini pandang Amzar. Kemudian mereka memandang dua insan yang sedang berwajah kelat dan serba-salah di hadapan mereka.

“Kenapa pak cik tu takut sangat dengan awak?” soal Thia dalam nada marah. Dia juga sedang cuba menutup malu kerana berada dalam pangkuan lelaki itu tadi. Kalut dia tunduk mengutip bekas makanan yang berselerak kerana terkeluar dari plastik akibat terpelanting kuat.

Thariq ikut membantu sambil melarikan pandangan. “Entah! Kenapa pulak dia takut nak makan makanan awak? Takut awak nak bunuh dia?”

Thia menjeling tajam. Orang tanya dia, dia tanya kita pula!

“Manalah saya tahu. Saya tak kenal sangat dengan dia!”

“Tapi dia macam kenal awak. Kenal ayah awak.”

Jantung Thia berdegup kencang mendengarnya. Dia berdiri tegak dengan plastik di tangan, berpusing membelakangi lelaki itu demi mahu melindungi rasa terkejutnya yang masih menguasai diri. Kemudian dia teringatkan kata-kata Pak Cik Nuar tadi. “Dia juga macam pernah kenal awak. Dia takut sangat dengan awak. Apa awak buat?”

Thariq ikut berdiri sambil mengeluh. Payah bercakap dengan perempuan ini.

Tini dan Amzar mendekat. Masing-masing cuba ‘membaca’ apa yang sedang terjadi bila melihat keadaan di situ. Amzar terus melangkah perlahan-lahan lalu meletakkan plastik yang mengandungi barang keperluan asas di hadapan pintu dapur Pak Cik Nuar seperti yang selalu dia lakukan. Sekampit beras yang terlepas dari tangan Tariq tadi, diambil dari atas tanah dan diletakkan sekali di hadapan pintu itu.

“Awat, Thia? Tadi tu… sogha Pak Cik Nuaq ka? Dia maghah?” tanya Tini sambil mengambil plastik makanan dari tangan Thia. Sebelah tangan lagi memaut lengan gadis itu, mahu membawanya ke kereta. Thia nampaknya belum stabil selepas keluar dari wad.

Minda Tini kalut menelah suasana. Thia nak ghebah ka tadi? Takkan tiba-tiba mai berpeluk tang ni! Oghang maghah boleh terpeluk ka? Selalu oghang nampak hantu ja yang terkejut sampai terpeluk oghang lain!

Teringat tentang hantu, serta-merta romanya berdiri. Pandangan Tini mula melilau. Sempat dia menoleh ke belakang, melihat dua lelaki tadi masih terpacak di situ.

Hish… mana mai depa dua oghang ni? segak-segak pulak tu! Malam-malam macam ni, depa ni oghang ka apa? Bunian? Sepasang mata Tini makin membesar. Rasa tak cukup langkah nak sampai ke kereta. Lutut pun dah makin lembik macam agar-agar.

“Err… Thia! Lekaih! Lekaih! Tini ghasa tak sedap ati la!”

Thia yang masih belum hilang terkejut makin terpinga dibuatnya. Tini yang memimpinnya tadi semakin kuat memaut lengannya. Sekarang siapa yang pimpin siapa ni? Tapi Thia tak ada masa nak fikir semua tu. Bila Tini seakan mahu melurut jatuh, dia pegang lengannya kuat-kuat. Tambah pula bila mereka terpaksa mendaki bukit sedikit untuk sampai ke kereta.

Tini kalut membuka pintu dan memboloskan dirinya masuk ke tempat duduk pemadu. “Lekaih, Thia! Lekaih!”

 “Ya Allah… kenapa Tini?” Thia cepat-cepat masuk ke dalam kereta.

“Hishh… jangan tanya! Oghang tua-tua kata malam-malam macam ni, jangan tanya!”

Terkelip-kelip mata Thia memikirkannya sambil tutup pintu kereta. Betul ke? Macam tak pernah dengar pula. Dia berkalih memandang Tini yang sedang kalut mengundurkan kereta dan membuat pusingan U dengan agak laju.

Thia teringatkan dua lelaki tadi. Pantas dia berpaling ke belakang.

“Thia! Jangan la!” Tini tepuk peha Thia sekuat hati.

“Adoii! Jangan apa pulak, Tini?” Pehanya digosok laju. Sakit ya amat!

“Jangan pandang belakang!” jerkah Tini sambil memecut keretanya di lorong kebun pisang Pak Cik Nuar. Ya Rabbi! Thia tepuk dahi. Kalau dah penakut tu kan… macam-macam!

…Bersambung.

NYALA RASA Bab 18

“Eh, Thia… dah solat? Jomla makan! Kak Ju masak banyak tau dak bila Thia habaq kata nak balik petang ni,” becok mulut Tini bercerita. Lega sungguh dia bila Thia dapat keluar wad.

Thia tergelak. Kalau dengan Tini, memang tak perlu jawab kalau dia bertanya. Kadang-kadang tanya banyak soalan sekaligus sampai orang tak tahu yang mana satu nak jawab.

Selepas menunaikan solat maghrib tadi, Thia keluar ke ruang tamu. Dia tersandar keletihan di sofa. Kalau nak baring pun, matanya belum mengantuk. Pesan Ibu Fatimah waktu melawatnya petang tadi, jangan menyendiri melainkan jika dapat khusyuk dengan Allah seperti solat, baca quran dan berzikir. Jadi eloklah waktu ini dia keluar duduk-duduk bersama rakan serumahnya.

“Kami dah siap nak ke hospital, bila tak jadi, kami memasaklah!” sampuk Juliana sambil ketawa. Dia keluar dari dapur membawa jag air oren yang baru dibancuhnya.

Thia senyum seraya menghela nafas panjang. “Bertuah Thia, kan! Duduk dengan Kak Ju, dengan Tini, tak pernah lapar.”

“Haa… sebab kami ni kaki makan! Thia jangan stress-stress tau, rasa stress je, makan!” beriya Juliana berpesan.

“Lepaih tu, pakat tembun macam kami!” sambung Tini pula, pekat dengan dialek utaranya. Mereka ketawa mengekek dengan saiz badan sendiri. XL!

“Eh, oklah! Tak tembun manapun. Thia suka tengok, dua-dua comel!” balas Thia, tersenyum dengan gelagat mereka berdua yang selalu menghiburkan hati.

“Eh, mai lekaih… tak tahan bau asam pedaih Kak Ju hang masak ni. Jom, Thia!”

Mereka jarang dapat maka bersama begitu sebab waktu kerja mereka berbeza. Juliana keluarnya awal pagi kerana mengajar di sekolah rendah di situ. Kartini bekerja sebagai kerani di sekolah yang sama. Jadualnya ikut waktu pejabat. Thia pula bekerja ikut shif. Kalau shif pagi, dia selalu ke rumah ayahnya lepas waktu kerja. Ayah Thia diserang strok lapan bulan yang lepas. Mukanya lumpuh sebelah. Tubuhnya juga terkesan tapi tak terlalu teruk.

Malah Thia memohon berpindah balik bekerja di Pekan Ketinggi juga adalah kerana mahu berada dekat dengan ayahnya. Dia tak punya sesiapa lagi melainkan ayah.

Thia cuba sedaya upaya berlagak biasa. Enam bulan bersama, Thia yang mereka kenal awalnya adalah gadis lasak, sensitif dan suka menyendiri tapi rupanya mesra dan manja bila kenal rapat dengannya. Namun mereka tak pernah tahu latar belakang Thia yang tak suka berkongsi tentanng kisah keluarganya.

“Thia dapat MC dak?” tanya Tini bila tiba-tiba perasan yang Thia diam menguis makanan.

“Tu lah, nampak pucat lagi tu. Macam mana doktor lepas Thia balik ni?” Juliana naik risau pula melihatnya.

“Thia laghi pa ni?” Tini membeliakkan biji mata mengadap Thia.

Terkekek gadis itu ketawa. “Taklah! Thia okey dah. Doktor bagi MC dua hari, suruh Thia rehat je kat rumah. Sabtu ni, Thia ingat nak minta cuti. Sambung sampai ahad ni, jadi empat hari lagilah Thia cuti. Nak rehat sambil jaga ayah. ”

“Waah, best la, Thia cuti lama. Haa… bagitau Thia nak makan apa. Kita masak-masak!” ajak Juliana sambil teragkat-angkat kening.

Mereka ketawa. Lepas itu, mulalah sesi membincangkan resepi yang cair liur bila mendengarnya.

“Kak Ju, Thia ingat nak keluar kejap, nak belikan makanan kat Pak Cik Nuar. Tadi dia jatuh motor tapi tak teruklah. Luka sikit rasanya.” Thia tiba-tiba teringatkan lelaki itu ketika mencuci pinggan di sinki.

“Ya Allah! Kesiannya. Iyalah… dia sebatang kara. Eh, Kak Ju masak banyak asam pedas ni, boleh sangat nak hantar kat dia malam ni. Lepas ni, kita pergi,” usul Juliana, turut simpati kerana pak cik tempang itu memang sudah lama kematian isteri dan tak ada zuriat. Mereka semua tahu tentang keadaannya yang hidup susah kerana kecacatan kakinya.

“Eh, biar Thia je pergi. Lagipun, Kak Ju dengan Tini dah penat masak.”

“Ya Allah! Hang tu baru keluaq wad, Thia oiii…!”

Thia tergelak. “Alah, Tini! Thia hantar makanan je pun. Risau jugak kalau dia sakit, tak ada makanan ke… . Tapi nak pinjam kereta Tini ya.”

“Haa… tak payah gatai nak drive. Biaq Tini bawak pi sana. Jom lekaih! Sat lagi tengah malam. Anak dara apa pi ghumah oghang bujang tengah-tengah malam ni!”

Thia bergegas bersiap sambil ketawa bila kena ‘marah manja’ dengan Tini. Sementara itu, Juliana menyiapkan makanan ke dalam bekas.

Rumah Anuar agak menyeramkan kerana di kelilingi pokok pisang. Namun cahaya dari luar pintu rumah itu menerangi lorong masuk ke perkarangan rumahnya.

“Thia, kecik sangat jalan tu. Macam tak celuih ja!”

“Okey, tak pe. Tini tunggu je dalam kereta. Thia hantar kejap je ya.”

Agak mudah untuk Thia bergerak kerana lorong itu terang dengan suluhan lampu kereta Tini. Sempat dia mengitari keliling, rumah itu yang kelihatan usang tak terjaga, Mungkin kudrat Pak Cik Nuar dah semakin kurang. Yang Thia tahu, Pak Cik Nuar selalu menghantar pisang dari kebunnya ke kedai-kedai di Pekan Ketinggi. Itu sahajalah punca pendapatannya.

Lebih lima kali Thia memberi salam sambil mengetuk pintu depan rumah itu tapi tak bersahut. Hairan juga. Tak mungkin Pak Cik Nuar tiada di rumah kerana motosikal roda tiganya ada diparkir di sisi kanan halaman rumah itu.

Seketika kemudian, terdengar bunyi daun pintu dibuka. Thia terkejut lalu meninjau ke belakang rumah. Daun pintu terbuka tapi tiada orang yang muncul.

Tiba-tiba tersembul muka Pak Cik Nuar di situ. Agaknya dia mengesot ke pintu kerana tak kuat untuk berdiri disebabkan luka tadi. Thia bergegas mendapatkannya dengan rasa simpati melimpah.

“Pak Cik Nuar!” Thia merapati pintu dapur rumah itu seraya duduk bertinggung untuk bercakap dengannya. “Ni saya ada bawa makanan untuk pak cik. Pak cik sakit ke?” Thia ramah bertanya sambil pandangan matanya meninjau kaki Pak Cik Nuar yang terselindung di balik daun pintu. Kerjaya jururawat yang pernah disandangnya dulu membuatkan dia peka dengan kesakitan seseorang.

“Kamu ni siapa? Dari mana?” Garau suara lelaki itu bertanya. Sepasang matanya memicing memandang Thia.

“Saya Thia, pak cik. Anak Zali.”

“Anak Zali?” Matanya membulat seperti tak percaya.

“Ya, pak cik. Ayah saya Razali, anak Tok Hitam. Pak cik mesti kenal ay…”

“Pergi balik!”

Keras suara lelaki itu menengkingnya dengan tiba-tiba. Thia hampir terduduk kerana terkejut diherdik begitu.

“Kamu ingat aku tak tau? Ayah kamu hantar kamu ke sini, kan? Pergi balik, aku kata!”

Lelaki itu terus memarahinya sambil berpaut pada jenang pintu dalam susah payah untuk bangun berdiri. Wajahnya bengis bercampur cemas. Dia langsung tak mahu memandang wajah Thia.

“Err… pak cik… saya ni yang jumpa pak cik petang tadi. Saya dari rumah sewa, pak cik. Ayah tak tahu saya datang. Saya… err… errmm nak bagi pak cik…” Thia hulurkan juga bekas makanan yang dibawanya ke tangan lelaki itu.

“Aku kata balik! Bawak balik apa yang kamu bawak tu! Aku takkan makan! Ayah kamu nak bunuh aku! Kamu ingat aku ni bodoh?”

Terbeliak sepasang mata Thia mendengar-nya. Pak Cik Nuar ni salah orang agaknya! Atau dia dah mula ada penyakit nyanyuk? Kasihannya! Tak sampai hati pula dia nak biarkan sahaja.

“Pak cik! Ni kawan saya yang masak. Saya tak duduk dengan ayah. Saya dari rumah sewa. Ambillah pak cik…” Thia melangkah merapat ke pintu lalu meraih tangan lelaki itu untuk diserahkan plastik bekas makanan.

“Kamu nak racun aku! Aku tau ayah kamu nak aku mati! Pergi! Pergi!”

Serentak itu, tangan Thia yang terhulur ditepis kuat sampai terpelanting plastik bekas makanan yang dipegangnya.

Dalam terkaku dan terlopong, bahu Thia pula tiba-tiba ditolak kuat.

“Pergi! Kamu jangan datang lagi!”

Thia yang masih lemah, tersentak ditolak sekuat itu. Tangannya tak sempat berpaut pada bingkai pintu. Tubuhnya terasa melayang…

“Allah!”

Ada suara terkejut di belakangnya dan serentak itu tubuhnya disambar dan ditahan dek sepasang tangan. Kalau tidak, dah tentu Thia terlentang ke tanah.

“Awak okey?”

Thia keras mematung diri dipangku seseorang. Dia memandang antara wajah kacak dan langit kelam itu dengan rasa tak percaya. Kemudian terpaku pada sepasang mata yang sedang cemas memandangnya. Muka mereka begitu dekat dan nafas berlaga. Lelaki tadi!

“Kkka… kamu! Kkka… kamu nak apa?”

Mereka berdua berpaling serentak ke arah pintu. Lelaki tempang itu sedang terbeliak di situ, menghunjam pandang ke arah mereka dengan wajah yang ketakutan.

“Jjja… jjangan! Jjajangan! Bbbuuu… bukan aku! Sssumm…sumpah!” Dia mula tergeleng-geleng dan meracau. Dummm! Pintu itu dihempas kuat dan tertutup rapat. Lelaki tempang itu terus bertempik-tempik di dalam rumahnya. “Bukan aku! Aku tak buat! Tolong, ya Allah! Aku tak buat!”

…Bersambung.