PERSIS AKAR DANI

SINOPSIS

Bulan madu. Momen terindah. Watak Muhamad Nuqman yang lembut dan pengasih, kadang nakal mencuit jiwa, manalah tak cair hati Puteri Zulaikha! Mereka menghabiskan masa berdua, intim menganyam rasa sambil menghayati sejarah kegemilangan islam di bumi Turki. Sehati sejiwa, dalam diri mereka yang penuh misi dan cita-cita jadi tambah subur. Makin bulat tekad yang hidup mereka adalah untuk berbakti kepada saudara seagama walau di bumi manapun.

Menyelami derita mangsa perang pelarian Syria membuatkan pasangan ini gigih memberikan yang terbaik. Tiba-tiba rusuhan berlaku, keadaan jadi huru-hara. Enggan berpisah mahupun mengalah dengan keadaan walau nyawa terancam namun arahan dari pemerintah yang mereka mesti meninggalkan sempadan Turki-Syria tak dapat disanggah. Pasangan ini akur namun misi tetap diteruskan walau ada jarak yang memisahkan.

Sementara itu, Nur Maya, gadis yang hanyut dengan cinta, dijual kekasihnya sendiri, Remy Iskandar, kepada Alvin Lim, ketua kongsi gelap yang terlibat dengan kegiatan pelacuran. Nur Maya yang pernah diselamatkan Nuqman bertindak membantu polis dalam menjalankan siasatan yang diketuai ASP Rizal.

Menyedari bahayanya Nur Maya terhadap kegiatan mereka memaksa Alvin Lim mengerah orang-orangnya untuk menculik gadis itu. Mujur perbuatan mereka dihidu Remy yang mahukan Nur Maya semula. Terselamat dari mulut naga, masuk ke mulut buaya. Nur Maya berusaha melepaskan diri dari Remy namun itu membuahkan dendam.

Menjejaki Nur Maya membawa Remy dan Alvin Lim ke The Turban, pusat aktiviti kemanusiaan yang diterajui Nuqman dan dibantu oleh Puteri Zulaikha. Gagal mendapatkan Nur Maya, Puteri Zulaikha diculik dan dijadikan tebusan.

Nur Maya tak sanggup mengorbankan sesiapapun, bertindak sendiri mahu menyelamatkan Puteri Zulaikha. Saat genting menyelamatkan Puteri Zulaikha bersama gadis-gadis lain yang hendak dilacurkan bukan sahaja mengancam nyawa tapi juga kesetiaan, keyakinan pada cinta malah keimanan mereka.

Ujian hidup itu fitrah. Untuk menjadi yang terhebat atau mahukan yang terbaik, ujian harus dilepasi dengan cemerlang. Kekuatan menghadapi ujian itu katanya ada pada cita-cita dan cinta. Apakah benar, cita-cita itu mampu bangkit setelah gagal? Cinta terhebat itu mampu memaafkan? Yang pasti, ujian itu datang sebagai tanda kasih Yang Maha Berkuasa.

Persis Akar Dani, seindah ciptaan-Nya.