HAKIKAT CINTA

a girl

HAKIKAT CINTA

Saidah menyusuri pantai Teluk Bidara seperti selalu bila matahari mula memohon permisi memberi laluan untuk giliran bulan menyinari bumi. Angin Laut China Selatan bertiup kuat bila hari semakin senja. Memberi peringatan pada nelayan agar berwaspada dengan gelombang laut di malam hari nanti.

Air laut sudah pasang dan surut semula. Musim sudah berganti. Agar manusia bisa mengubah rutin dan haluan. Hidup perlukan perubahan. Juga persediaan menghadapi ujian dan cabaran. Bagaimana aku?

Saidah masih di pantai ini. Menjejaki tapak-tapak yang ditinggalkan. Menyusuri kenangan yang berputar setiap kali dia tiba di sini. Saidah menghimbau pandangan ke laut terbentang. Persimpangan ini benar-benar menjerat dirinya. Menjerat dia. Mendera perasaan.

Nafas Saidah mula sesak. Nafas ini juga berpenghujung, bukan? Memikirkan itu, matanya terbuka luas. Ya, bagaimana jika tiba-tiba nafas ini tiba ke penghujungnya? Sedang aku tidak punya kuasa untuk menyambungnya! Cemas sungguh kalau udara tidak dapat dihirup lagi. Lantas Saidah menyedut udara dingin itu semahu-mahunya. Tuhan! Jangan! Tunggu! Aku belum mahu tiba ke penghujung !

Benarkah engkau ada penghujungnya? Bukankah engkau makhluk, yang nanti akan ada kehidupan selepas kematian?

Hah! Dari mana datangnya suara itu? Jangan ganggu fikiranku! Aku tak punya jawapan. Aku tidak tahu! Saidah lemas sungguh. Jemarinya diramas-ramas tidak keruan. Mindanya terus berputar.

Salman! Nama itu bagaikan petir menyambar dan bergema dalam benaknya. Saidah berpusing. Langkahnya mati. Mestikah aku biarkan segalanya terhenti kerananya?

Wajahnya pula menjelma. Dia kelihatan gelisah, serba salah. Namun dia tidak juga mahu memandang wajah Saidah yang datang menjejakinya entah kali ke berapa.

“Salman? Mengapa begini?”

“Kenapa berdiam diri, Salman?”

Kau tega membatu diri acap kali kupohon kemaafan. Kau tulikan pendengaranmu bila suaraku merayu meraih simpatimu, meminta ruang dan peluang membaiki diri, mebgubat luka dihatimu, mengusir dendam yang tersirat di jiwamu dan membuang salah sangka yang sudah berlabuh di fikiranmu.

Dosa apakah yang telah aku lakukan hingga begitu sekali hukumannya? Sedang aku hanya wanita. Tingkah dan langkah kabur antara minda dan emosi. Lafaz wanita bukan ukuran hati atau tafsiran akal semata. Kerana itu talak tidak dari lidah kaum hawa. Bukti Tuhan Maha Arif tentang ciptaan-Nya. Engkau tahu semua itu, bukan?

Saidah membuang pandangan melewati batas masa. Menerobos ruang waktu yang sudah bertahun ditinggalkan. Sejak mereka mula pandai berlari dan ketawa. Saling mengesat hingus dan peluh. Berlarian di pantai melambung wau, menjemur ikan, membina rumah-rumah pasir yang tidak pernah kekal. Sehinggalah sama-sama mengatur langkah menuju dewasa.

Bila usia baligh menjengah, Saidah berubah emosi, malu mula menguasai. Tidak lagi betah berlarian bagai anak kecil. Ilmu yang dituntut membina jiwanya dan membangkitkan rasa langsung disusun cita-cita. Dunia Tuhan terlalu luas untuk kita terokai, Salman. Dan Salman mengiyakannya.

Walaupun dilahirkan rasa kecewa kerana Saidah berubah tingkah terhadapnya namun Salman semakin matang bila menginjak dewasa. Sepatah kata darinya…

“Aku akan memilikimu kerana aku tetap mahu kau menemani aku menjejaki pantai ini bila kita tua bersama nanti.”

Saidah lahir sebagai Hawa. Mana mungkin dapat lari dari naluri ingin dikasihi dan mengasihi. Dalam diam dan taat sebagai gadis Timur, dia menyimpan kasih yang amat dalam. Berpegang pada kata-kata yang dilafazkan. Pantai itulah yang menjadi saksi.

Menara gading sama-sama dijejaki. Namun Salman pergi terlalu jauh ke seberang laut. Saidah hanya mampu mendoakan dia selamat kembali sebagai wira. Memperjuangkan agama dan anak bangsa. Yang semakin hari semakin ranap tergadai segala. Angkara maruah jadi murah tidak berharga.

Doa Saidah dimakbulkan. Pulangnya Salman menjadi kebanggaan semua. Saidah lebih-lebih lagi hati berbunga. Moga-moga mereka dapat berbakti di bumi yang sama, juga dapat membina kehidupan bahagia. Saidah juga kini kembali sebagai pendidik. Dia memilih bidang itu kerana pendidikan adalah nadi kehidupan anak bangsa.

Pertemuan Saidah dan Salman tidak pernah diatur. Sesekali terjadi, hanya bertukar senyuman dan sapa. Agama dan adat dijunjung, tidak mungkin dikhianati. Namun pantai tetap juga disusuri. Walau bersendirian berlainan waktu. Cukuplah, hati sudah tahu apa yang dirasa.

Salman akhirnya jadi rebutan. Gadis-gadis saling bersaing mengundang perhatiannya. Ramai kaum ibu dan ayah menaruh harapan. Bermenantukan Salman yang punya jati diri. Kembali sebagai anak timur memperjuangkan perusahaan warisan keturunan dan budaya. Hasil nelayan diusahakan pelbagai cara. Titik peluh dikesat bersama, nikmat hasil juga dikecapi belaka.

Akhirnya Salman menghantar keluarga, menghulur cincin tanda bertanya. Saidah menyerahkan pada ibu ayah yang lebih arif membuat pilihan. Huluran disambut, kata janji jadi sepakat. Lalu mereka berdua diikat dengan tali pertunangan hanya untuk sepurnama waktu. Putaran masa tiba-tiba menjadi lambat. Saidah dan Salman berdebar menanti hari untuk menyulam bahagia.

Rupanya ikatan itu tidak sempat disimpulkan. Ujian datang entah dari mana puncanya. Perniagaan dan kewibawaan Salman dicabar kononnya memonopoli teman dan taulan. Angin bertiup kencang mengatakan Salman rupanya sangat berkepentingan. Dia dan keluarganya diasak bertalu-talu kerana menunjuk pandai mengatur masyarakat mengikut kemahuan mereka.

Saidah tetap teruji sama. Cemas melihat diri Salman dipersalahkan. Dia cuba berkongsi rasa dan mencari jalan keluar bersama. Hanya Tuhan yang tahu derita hatinya melihat kesusahan Salman. Keyakinannya tidak disuarakan. Tidak perlu dipertontonkan. Namun dia berkongsi rasa bersama Salman untuk mendalami keadaan dan mencari penyelesaian. Segalanya cuba dilakukan agar Salman tidak kecundang dengan ribut ujian yang melanda.

Salman tiba-tiba berubah. Dalam diuji, ramai yang datang memujuk dan memberi harapan. Namun bila bertemu Saidah, Salman asyik bertingkah. Pantang tersalah kata, marahnya berhamburan. Dipujuk salah ditegur pun salah. Saidah jadi lemas. Akhirnya Salman diam membisu seribu bahasa.

Tidak mahu mengundang kemusnahan sesama, Salman memilih untuk mengundur diri dan menyerahkan kepada yang dikatakan lebih layak dari dirinya. Dan kemuncak kebisuan itu, dia pergi meninggalkan daerah ini. Dia pergi tanpa kata. Terutama kepada Saidah yang setia menghimpun segala rasa segala duka.

Jadi, apa lagi Salman? Saidah menjerit melepaskan rasa yang terbuku sekian lama. Namun suara tidak terlepas dari kerongkongnya. Dia tunduk mencari kekuatan.

Aku hanya wanita yang akur dengan apa yang tertulis pada takdirku. Selama ini aku mengutip rasa menghimpun kasih hingga menggunung segala sayang dan cinta, hormat dan kagum, rela untuk menyerahkan diriku sebagai isterimu. Janjiku pegang untuk tunduk, taat dan patuh padamu. Dirimu kujulang ke puncak. Di kakimu aku tumpang berteduh, bersandarkan kekuatan dan berpayungkan kasih.

Dalam segunung rasa itu, lurah pipi tidak kering dek airmata bila aku diuji kebenaran kata. Dukaku terhimpun di tasik tangis bila dirobek cemburu. Tambah parah bila hati dituris duri ujian apatah lagi dirimu menjadi rebutan. Fitnah dan salah sangka datang meracuni kepercayaanmu padaku. Kadang-kadang tercalar sungguh dek kasarnya kata dan tingkahmu. Namun aku tetap di situ kerana kasih sudah sebati untukmu.

Bila tiba keutuhan dirimu diuji Tuhan, bagaikan letupan gunung berapi mengocak bumi! Segunung rasa yang kuhimpun turut bergegar. Aku ribut antara fikir dan rasa. Aku berlari untuk mendamaikanmu. Ingin kusejukkan amarah dan mahu kuredakan gelodak kecewamu. Dalam kekalutan aku tersadung tingkah tersalah kata. Lalu kau himpunkan semua dan menujah jarimu. Bahawa akulah racun yang menabur bisa! Hidupmu jadi musnah tak keruan kerana aku gunting dalam lipatan!

Tuhan!!

Aku tersungkur sujud ke bumi. Matahari tidak lagi sanggup memandang. Langit cerah bertukar mendung kerana tidak lagi mahu menanggung bebannya awan. Aku basah dihempas hujan amarahmu. Aku menggigil gementar kerana kau katakan aku derhaka. Raungan hatiku bergema seluruh alam. Wanita derhaka tiada harga. Tidak layak bergelar isteri setia! Tolong selamatkan aku! Ampunkan aku! Taubatkan aku!

Jasadku tercampak jauh darimu. Diriku terusir dari hatimu. Aku meratap mencari jawapan. Segunung rasa yang kuhimpunkan terbiar melata. Sudah tiada siapa mempedulikannya.

Aku bersendirian mencari jawapan. Namun aku tidak putus harapan. Kudogak ke langit memanjat doa. Hatiku parah mengutip dosa menghimpun sesalan lalu kupanjatkan taubat. Aku sedar bahawa aku tidak sempurna. Hatiku belum luhur, penuh bernoda. Aku juga lemah, tidak bijak membuat perhitungan dan pertimbangan.

Namun siapalah yang sudi mempedulikan pengaduanku. Jijik, hina dan sumbang bagi setiap halwa telinga. Hikmahnya sungguh menyedarkan aku. Bahawa diri sudah tidak punya sesiapa lagi. Melainkan Dia yang menciptakan aku…

Tuhan… tidak ada yang Engkau jadikan tanpa kasih sayang-Mu. Walau sebesar mana pun dosa dan khianat ciptaan-Mu terhadap-Mu, rantaian kasih sayang-Mu tidak pernah Engkau putuskan. Udara Engkau bekalkan mengizinkan aku terus bernyawa. Bumi-Mu luas untuk aku berpijak menumpang teduh dipayungi langit-Mu yang terbentang. Engkau ciptakan teman dan taulan untuk berkongsi kasih dan kesusahan. Tidak pula Engkau biarkan saja diriku! Berlawanan sungguh dengan sifat makhluk-Mu. Sedang Engkau yang Maha Menghukum namun Engkau pujuk dengan harapan dan peluang tanda ehsan-Mu. Pengampunan dan kasih sayang Engkau sediakan sebagai imbalannya.

Cinta agung! Itulah hakikat diri-Mu, Tuhan. Raja segala cinta. Kasih semulia-mulia kasih. Tidak terlafas dengan kata-kata oleh makhluk-Mu. Adil dan bijaksananya Engkau, tidak pernah menzalimi ciptaan-Mu walaupun Engkau dizalimi. Keampunan dan kasih sayang Engkau berikan sebagai balasan walaupun entah berapa lama Engkau kuabaikan. Ruginya aku! Ruginya seluruh ciptaan-Mu yang buta terhadap agungnya cinta dan kasih-Mu, Tuhan!

Aku melihat tetapi buta. Aku berkata tetapi bisu sebenarnya. Aku mendengar tetapi tidak mengerti. Hakikatnya, kasih sayang-Mu mengalir dalam merahnya darahku, dalam setiap nafas yang kuhirup, tidak pernah berhenti walau di saat aku derhaka dengan-Mu.

Ya Tuhan! Aku jijik dan malu. Aku insaf. Aku taubat. Aku himpunkan segala kasih dan cinta untuk makhluk ciptaan-Mu. Lalu aku menumpang teduh dan berpayung dengan kasihnya. Sedang aku tahu, dia lemah sepertiku. Aku lakukan semua itu dan Engkau melihatnya!

Betapa hina dan zalimnya aku terhadap-Mu. Mencintai makhluk-Mu tetapi melupakan-Mu. Sedang tangan-Mu terbuka luas menungguku dengan limpahan kasih sayang-Mu. Sedang langit-Mu selamanya setia memayungi diriku. Sedang seluruh alam ciptaan-Mu patuh menghiburkan aku. Betapa aku buta terhadap cinta agung-Mu. Aku tuli mendengar suara-Mu. Aku bisu bila menghadap-Mu.

Ampunkan aku… ampunkan aku… ampunkan aku wahai Penciptaku. Airmataku menghambur laju. Engkau jadikanlah airmata keinsafan yang tidak berhenti ini membasuh dosa-dosaku.

Inginku laungkan kepada seluruh kaum Hawa. Bangkitlah dari terleka, bangunlah daripada mimpi indah! Usah mengagungkan cinta dan kasih pada tempat yang salah. Jangan memuja pada teruna, menggantung harapan menyandarkan kekuatan kepada mereka. Sedangkan mereka juga hanya makhluk seperti kita. Hati dan cinta mereka belum tentu untuk kita!

Keupayaan mereka cukup terbatas. Ujian untuk mereka belum tentu dapat dilepasi. Yang paling takut bila hidup mereka dikemudi oleh nafsu semata. Hancurlah kaum Hawa kalau diserahkan hari dan pengharapan. Seagung mana pun cinta mereka belum tentu menyelamatkan kita! Sehebat mana pun janji mereka belum tentu dapat dikota. Kerana itulah kebahagiaan yang kita harapkan selalu hancur sebelum tiba ke penghujungnya. Kesengsaraan dan airmata yang selalu menjadi ganjarannya.

Biarlah aku bersendirian mengubati hati. Membasuh luka mencuci dosa. Di hati inilah akan aku semai dengan benih-benih suci untuk mengagungkan Dia yang menciptakan aku. Untuk mencintai Dia yang selamanya tidak pernah mengecewakan aku.

Dialah juga yang Maha Mengetahui, siapakah yang layak untuk hidup bersamaku di bumi-Nya ini, untuk memimpin tanganku kepada-Nya dan sanggup hidup susah senang di sisiku dengan izin-Nya. Aku serahkan sungguh-sungguh kepada Dia yang Maha Mengetahui. Menyerah diri kepada qada’ dan qadar-Nya.

“Saidah…”

Suara itu datang lagi. Ya Tuhan… peganglah hatiku! Aku tidak mahu terleka lagi. Cukuplah dengan dosa dan kelalaianku yang telah lalu. Aku redha walau apa pun yang berlaku. Engkau lembutkanlah hatinya agar dia dapat memaafkan aku selama aku pernah menjadi tunangannya. Aku hanya hamba-Mu yang penuh dengan kelemahan. Berilah aku peluang untuk menjadi isteri yang solehah. Engkau hadirkanlah seorang lelaki yang bertaqwa untukku. Agar aku dapat dipimpin dan dijaga. Agar aku dapat belajar untuk patuh dan taat kepada-Nya. Agar dapat kucurahkan kasih dan sayangku kepadanya. Akan kubelai dan kuhiburkan dia sebagaimana yang Engkau perintahkan kepada seorang isteri. Agar kehidupannya lebih baik dan perjuangannya di bumi-Mu ini semakin terbantu.

Namun jadikanlah cintaku hanya untuk-Mu, wahai Tuhan! Terima kasih kerana mengajarkan aku untuk membezakan antara cinta makhluk-Mu yang punya kelemahan berbanding cinta-Mu yang terlalu agung. Moga-moga aku pandai untuk membawa hati, menaruh harapan dan bersandarkan kekuatan hanya pada-Mu.

“Saidah…”

Suara itu jelas benar kali ini. Saidah berpusing mencari-cari. Entahkan angin masih mempermainkannya seperti selalu. Namun sekujur tubuh lelaki di hadapannya menyentak diri. Dada Saidah sesak. Serentak itu, bibirnya terbuka. Terburu menghirup udara yang sangat berharga, yang rupanya selama ini tidak pernah dihitungnya.

“Aku datang, Saidah…”

Saidah terduduk semula di akar kayu pohon rhu yang kukuh berpaksikan bumi.

Salman melangkah yakin. Menghampiri.

Tubuh Saidah terdorong berdiri. Dia mendongak ke langit biru. Menatap matahari yang memancar cerah. Seketika dia menghimbau pandangan melihat alam hijau menghiburkan. Akhirnya, pandangannya jatuh ke wajah dia.

“Saidah…”

“Kau datang dan kau mungkin pergi, Salman. Segalanya di luar jangkauanku. Aku redha kau perlakukan apa pun. Tapi aku takut dengan dosa dan hukuman Tuhan. Aku mohon kemaafanmu… maafkan aku atas segala kesalahanku. Aku terima apa pun hukumanmu.”

“Saidah, aku pulang untuk bersamamu. Sudah lama aku maafkan dirimu. Kita mulakan hidup baru. Aku berjanji tidak akan mengecewakanmu.” Anak matanya bercahaya.

Kupejam kedua mataku. Merasakan bayu yang lembut memeluk sekujur diri. Udara kuhirup penuh nikmat. Mengisi tiap ruang dalam diri dengan kekuatan dan kasih sayang-Nya. Inilah buktinya. Kasih Tuhan yang sentiasa menghiburkan makhluk-Nya. Engkau kembalikan dia bersama dengan kemaafannya. Terima kasih, wahai Tuhan!

“Moga-moga air mata penyesalanku yang tumpah sekian lama dapat membasuh dosaku dan mengubati lukamu. Terima kasih atas kemaafanmu! Aku akan sentiasa mendoakan. Teruskanlah perjuanganmu, jadilah khalifah di bumi Tuhan ini. Aku juga punya tugas dan tanggungjawab kepada anak bangsaku. Moga-moga kita semua dibantu. Sudah bermusim aku di sini. Aku mohon untuk undur diri.

“Eh, mengapa begini? Aku kan kembali untukmu? Aku sangat menghargai kesetiaanmu, kasih dan cintamu. Aku juga masih mencintaimu, Saidah. Percayalah!”

“Salman, sudah kujulang cinta ke langit tujuh! Hanya Dia yang berhak atas kasih sayang dan cintaku. Walaupun cintaku pada-Nya masih tidak ada nilai dan harga kerana aku lemah dan tidak sempurna, tetapi aku yakin, Dia tetap menerimaku seadanya. Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui segala-galanya tentang diriku. Apa yang berlaku di antara kita, biarlah berlalu.” Saidah melangkah tenang. Hatinya bagaikan terlepas dari segala rasa yang sekian lama membelengu. Dia rasakan diri bagai rama-rama yang terbang bebas. Alam Tuhan tiba-tiba semakin luas untuk dia terokai.

“Bagaimana dengan hubungan kita, Saidah? Kau tetap perlukan teman dalam hidupmu, bukan?”

“Aku tidak punya jawapan untuk persoalan itu. Seperti yang aku katakan tadi, aku berserah kepada yang Maha Tahu. Dialah yang menentukan siapa yang bakal hidup di sisiku moga-moga hingga ke akhir hayatku. Selama waktu ini, biarlah aku jadikan hidupku ini untuk menghambakan diri kepada-Nya. Teruskan hidup-mu, Salman. Aku tetap akan mengasihimu dan mendoakanmu kerana Tuhan juga menuntut untuk kita berkasih sayang dengan sesama. Moga kau juga temui apa yang aku temui. Cinta Tuhan, itulah seagung-agungnya cinta! Kerana cinta-Nya, kita akan jujur berkasih-sayang dengan sesama manusia.”

Saidah melangkah tidak menoleh lagi. Hatinya, mindanya, nafsunya dan seluruh dirinya akan diusahakan untuk tunduk dan patuh kepada Khaliqnya. Moga-moga kehidupannya sentiasa terpelihara di sisi Tuhan, Cinta Agungnya.

Terbitan Majalah Jelita
September 2008

Diterbitkan semula dalam
Antologi Cerpen HAKIKAT CINTA
Terbitan Buku Prima Sdn Bhd
HAKIKAT CINTA

Advertisements