PERSIS AKAR DANI Bab 15

Seluruh tubuh Remy Iskandar terais di situ. Dari tingkap yang dibuka agak luas, kelihatan seorang wanita yang berjubah dan berpurdah rona biru laut keluar dari sebuah teksi, terpaku berdiri memandang ke arahnya. Siapa dia? Pemilik rumah ini? Dia yang sedang cuba mencari kalau mungkin ada barang-barang peninggalan Maya di bilik kurungannya yang boleh dijadikan petunjuk menjadi agak cemas kerana memecah masuk ke rumah itu tanpa izin.

Tiba-tiba wanita itu bergegas masuk semula ke dalam teksi yang bergerak serta-merta sebaik saja pintu ditutup. Kenapa?

‘Dia sempat beritahu aku sebelum Alvin kerjakan dia. Dia kata dia nampak Maya. Dia yakin itu Maya. Dia nampak Maya pakai purdah masa larikan diri dengan lelaki bersongkok … .’ Kata-kata Boy malam tadi menyentak ingatannya. Maya!

Refleks nama itu cukup membuatkan dia berlari turun sepantas yang boleh menuju ke pintu belakang rumah kosong itu di mana keretanya diparkir. Dan demi nama itu juga, seluruh pancainderanya difokuskan untuk mencari arah deruman enjin teksi yang sudah hilang dari pandangan sebaik saja kereta yang dipandu Remy muncul di hujung lorong belakang rumah itu yang bersambung dengan jalan raya utama.

Dia menyumpah dalam hati. Itu pasti Maya. Maya miliknya! Maya yang tergadai kerana sifat gelojohnya. Maya yang dia akan tebus dengan nilai apa pun hatta nyawanya sendiri. Itu janji Remy.

Pagi yang sunyi itu memudahkan dia menjejaki teksi merah yang menumpangkan Maya. Remy tersenyum, kemudian ketawa berdekah-dekah bila deruman enjin teksi itu menyentuh gegendang telinganya. Pedal ditekan rapat-rapat dan kereta meluncur seperti helang yang menjunam ke bumi bila ternampak mangsanya.

Seperti yang dijangka, kelibat teksi merah itu muncul di depan mata. Menyedari yang mereka sedang diekori, pemandu teksi seperti kalut mencari haluan. Habis segala lorong di kawasan perumahan elit yang sunyi itu dipintas. Namun bagai mengejar itik serati, sekejap saja Remy berjaya berada di belakang teksi itu dengan jarak yang sangat dekat. Dia terus-terusan menghentak belakang teksi itu supaya pemandunya berhenti namun sia-sia. Akhirnya mereka tiba di jalan besar. Remy mengambil peluang itu, memintas dan memusing stering secepat kilat sehingga tayar keretanya berdecit nyaring dan terseret lalu berhenti dalam kedudukan melintang di tengah-tengah jalan raya memaksa pemandu teksi itu menghentam pedal brek sehabis daya supaya tidak terlanggar kereta gila yang sedang menghadang jalan. Bukan kereta… tapi pemandunya!

Tanpa menunggu barang sesaat, Remy melangkah laju merapati kereta itu dan membuka pintu belakang. Kosong!

Tubuhnya kejung di situ. Maya tiada! Darah panas menyirap terus ke otak. Tanpa berkata sepatah, pintu kereta di sebelah tempat duduk pemandu direntap dan pemandunya yang masih terkejut dengan kejadian yang berlaku direngkuh keluar dari kereta itu. Lehernya dicekak dengan sebelah tangan yang berotot kekar itu.

“Mana dia? Mana Perempuan berpurdah tadi?” Remy memekik sehabis suara, melampiaskan rasa kecewa dan marah yang amat.

Lelaki yang berkulit cerah itu menggelengkan kepala laju-laju. Dia hanya dapat bernafas sedikit-sedikit saja dek kerana kerongkongnya dicekik. Lehernya semakin sakit bila jemari sasa lelaki itu semakin kuat mencengkam memaksa dia terjerit dalam kepayahan. “Tak… tak ada! Tak ada… perempuan! Tak ada… penumpang. Encik… salah orang!”

Mata helang Remy mencerlung ganas. “Kau jangan nak tipu aku! Aku nampak dia tadi. Kalau kau tak sayang nyawa…”

“Nampak! Nampak! Teksi tu! Bawa perempuan. Dia pecut… potong. Sungguh! Arrgh… arghhh…” Tangannya meronta menolak dada Remy supaya melepaskan lehernya. Dadanya semakin kekurangan oksigen.

Muka pemandu teksi itu dihunjam tajam. Cuba mengagak kebenaran katanya. Tangan yang mencekak itu dilonggarkan sedikit. Remy perlu tahu ke mana mereka kalau benar bagai dikata.

Sebaik saja kerongkongnya dilepaskan sedikit, dia terbatuk-batuk. Dan laju pemandu itu memberi keterangan tanpa diminta demi menyelamatkan diri, “saya belum dapat penumpang lagi. Encik salah orang!”

“Mereka ke mana?” herdik Remy dengan geram yang sarat.

Dia yang tak sempat ambil nafas, terus menggeleng laju.

“Arrrghhhhh…!” Sekali lagi leher tadi dicekak dan tubuh pemuda malang itu disentak dan dihenyak ke atas jalan raya tanpa belas kasihan. Tak cukup dengan itu, pintu teksi dihempas sekuat hati untuk melepaskan amarahnya yang melahar.

Remy bergegas ke keretanya dan memecut pergi sebelum ada kenderaan lain tiba. Fokusnya kini cuma satu, teksi merah yang membawa gadis berpurdah! Dan lelaki bersongkok itu yang kononnya mahu jadi hero menyelamatkan Maya dari tangan Alvin… kalau jatuh ke tangannya, akan dia cincang lumat!

****

Rizal bingkas bangun dan duduk di atas jalan raya itu sambil terbatuk-batuk kerana dicekik tadi. Tercungap-cungap dia macam orang lemas. Berkerut mukanya menahan sakit di punggung dan pinggang akibat dihenyak dan dihentak. Remy memang bukan calang-calang lelaki. Tenaga yang bercampur amarah itu sangat luar biasa. Jenuh dia menahan diri dari bertindakbalas. Seluruh ototnya menjerit supaya melawan. Tapi dia harus tampil lemah di hadapan Remy supaya dia benar-benar seperti seorang pemandu teksi biasa.

Dia merangkak ke pintu kereta dan membukanya. Dalam susah payah, dia memaut di mana saja asalkan tubuhnya dapat dianjak masuk ke dalam kereta. Kemudian tangannya menggagau sesuatu dari bawah kerusi yang didudukinya – telefon bimbit yang dicampakkan tadi. Sambil mata mengelingas keliling, dia menghidupkan enjin kereta dan tangannya laju mendail nombor Nasrul untuk mengetahui kedudukan mereka.

““Nur okey?”

“Okey, tuan!”

“Bawa dia ke pejabat. Saya ke sana sekarang.” Dia gagahkan diri bercakap dalam berdecit menahan sakit.

“Tuan okey?”

“KO!”

“Tuan?”

“Gerak sekarang!”

“Baik, tuan!”

Bunyi hon bertalu-talu dari kenderaan yang datang dari arah depan mengejutkan Rizal. Telefon bimbit itu dicampak ke tempat duduk di sebelah lalu tangannya menukar gear dan kenderaan itu berpatah balik dan meluncur laju ke arah yang bertentangan dari jalan yang diambil Remy tadi untuk menuju ke Bukit Aman.

Lega. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia bersyukur bila taktik mereka berjaya. Sebaik saja Nasrul memaklumkan kedudukan mereka yang mengintip kenderaan yang dipandu Remy, Rizal sedar yang mereka semua berada di kawasan rumah yang sama. Bezanya dia dan Nur di jalan hadapan dan mereka yang mengekori kereta Remy berada di lorong belakang rumah besar tiga tingkat yang telah dikosongkan itu.

“Nur, saya turunkan awak di depan sana. Sembunyi dalam longkang. Orang saya akan ambil awak. Saya nak alih perhatian Remy!” Rizal tak menyangka Maya seberani itu bila dia patuh dengan arahannya dan melompat turun dari kenderaan sebelum sempat dia betul-betul berhenti. Dari cermin pandang belakang, dia cemas melihat tubuh Maya berguling-guling di atas rumput namun reda bila gadis itu segera bangun, merangkak dan berlari sebelum menghilangkan diri ke dalam longkang besar di situ.

Rizal terpaksa juga memberhentikan kereta setelah memandu agak jauh untuk menutup pintu belakang yang terhayun kerana tak sempat ditutup oleh Nur Maya. Dan Remy muncul di belakang selepas beberapa minit dia memecut ke kawasan perumahan berdekatan untuk menghilangkan jejak.

Gadis itu kini benar-benar dalam bahaya. Remy sudah tahu kewujudannya dan purdah itu tak lagi dapat menyembunyikan Nur Maya. Hati Rizal mula berkeluh-kesah. Nur harus segera dihantar pulang ke rumah warga emas di Senawang di mana dia disembunyikan selama ini. Keberadaannya di sini amat berbahaya.

Remy dan Alvin Lim sama licik orangnya. Hanya sekali mereka sempat menyerbu premis perniagaan Alvin berpandukan maklumat dari Nur Maya namun premis itu seperti bersih dari sebarang aktiviti tak bermoral. Rumah besar tiga tingkat tadi juga seperti baru saja dikosongkan. Begitu juga megapuri milik Alvin Lim yang masih tak berpenghuni hingga kini. Mereka benar-benar bertindak pantas hingga membuatkan pihak polis menemui jalan buntu.

Terkini, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) sudah mengesahkan yang kegiatan pelacuran berubah corak dengan menjalankan kegiatan itu di premis kediaman kerana itu lebih menguntungkan dan selamat berbanding di premis perniagaan atau rumah kedai yang kos sewaan jauh lebih tinggi dan mudah dipantau oleh pihak berkuasa.

Pelanggan mereka pula mudah menjadi pelanggan tetap dan tahu sistem kod-kod keselamatan sebelum memasuki rumah-rumah tersebut. Keadaan ini membuatkan kegiatan pelacuran semakin berkembang dan sukar dijejaki kerana turut didalangi oleh pemilik rumah yang mementingkan keuntungan semata.

Kemasukan pelacur asing semakin meningkat bagai tak tersekat. Namun yang lebih memeritkan, gadis-gadis tempatan juga semakin ramai yang diheret ke kancah noda itu seperti apa yang berlaku kepada Nur kerana permintaan terhadap gadis tempatan juga tinggi.

Stering dihentak kuat. Sejak dipindahkan ke D7, Rizal kerap rasa tertekan. Mujur ada Nuqman dan kawan-kawannya di Peace Yo!, The Turban, yang menjadi tempat dia melepaskan tekanan bila ada waktu terluang. Bersama mereka, dia mendapat kekuatan dalaman untuk kembali beraksi di medan tugasan.

Tiba-tiba Rizal teringatkan Nuqman. Kenduri sambut menantu! Rasa bersalah terus menyerang benaknya. Bagaimana dia dapat menghadiri majlis itu bersama Nur dalam keadaan mereka sedang diburu. Nalurinya kuat mengatakan yang Nur bukan hanya diburu Remy tetapi juga kuncu-kuncu Alvin.

Dia sudah memohon untuk Nur dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi (Akta 696). Soalnya di mana paling selamat? Nuqman akan bertolak ke Istanbul jam satu setengah pagi nanti. Rizal maklum tentang itu. Apakah sempat kalau diuruskan Nur ke sana untuk disembunyikan?

****

Nur Maya masih menggigil di dalam kereta yang dipandu dua anggota polis yang berpakaian biasa. Saat terpandangkan Remy tadi, dia rasa bagai hendak tercabut nyawa. Sebab itulah bila Rizal minta dia turun dari kereta dan bersembunyi, tanpa sedar, dia melompat turun ketika kereta masih belum betul-betul berhenti dan jatuh berguling di atas rumput di tepi jalan.

Sakit? Hanya Tuhan yang tahu. Tapi sakit fizikal itu langsung tak dipedulikannya. Malah dia memaksa diri menongkah bangun, merangkak dan berlari menyusup masuk ke longkang besar di situ. Kemudian, barulah dia terduduk memeluk lutut di tebing longkang yang hanya sekaki lebarnya. Kepalanya disandarkan ke dinding konkrit. Lemah longlai rasa tubuhnya yang menggeletar ketakutan. Ya Allah, hanya kepada-Mu, aku memohon perlindungan, rintih Nur dengan linangan airmata penyesalan.

Hari ini, memori malam dia diselamatkan Nuqman dan Miqdam kembali segar dalam ingatan. Dan kocakan jantungnya saat ini persis ketika dia dibawa lari oleh Amir dan mereka dikejar oleh orang-orang Alvin. Jantungnya berdegup kuat seperti mahu luruh. Airmatanya merembes tak terseka. Dia takut sungguh! Takut kalau jatuh ke tangan mereka lagi.

Mukanya terdongak ke langit. Tuhan! Engkau kirimkan hamba-hamba-Mu menyelamatkan aku! Syukur, ya Allah. Hanya kepada-Mu, aku mohon perlindungan. Ampunkan aku, ya Tuhan, atas segala dosaku!

Dia memang tak tahu entah bagaimana dia dapat kekuatan saat kali pertama dia terpandangkan Nuqman di sebuah kafe. Ketika itu, mereka terpaksa menunggu di situ kerana pelanggannya belum tiba. Lelaki yang mengiringinya keluar sebentar selepas memesan minuman, meninggalkan Nur sendirian di meja.

Waktu itulah, dia tersedar Nuqman memandangnya. Di sebalik topi dan net hitam yang dipakainya, dia dapat melihat reaksi wajah lelaki itu yang langsung tak memandangnya seperti lelaki lain. Tiada pandangan menghina. Tidak juga dia tergoda. Dia hanya lurus memandangnya tanpa riak prejudis. Namun hatinya berdebar dengan pandangan itu. Saat gadis pelayan kafe datang menghantar minuman yang dipesan, dia mengambil kesempatan itu meminta pen dan buku nota kecil yang ada di poket bajunya. Menggigil jemarinya saat dia menulis hanya dua patah perkataan di atas kertas kecil itu.

TOLONG SAYA

Mujur Nuqman ketika itu kembali berbual dengan temannya. Nur menunjukkan kepada gadis itu kepada siapa nota itu patut dihantar. Dan ketika itu juga, bahunya disentuh. Degupan jantungnya seakan terhenti. Memang dia akan dihukum seberat-berat hukuman sekiranya ditangkap cuba melepaskan diri. Mujur gadis itu sudah berlalu dan lelaki pengiringnya datang memanggil kerana pelanggan sudah tiba. Laju saja dia bangun meninggalkan kafe itu dengan hati yang berzikir dalam sebak. Tuhan, tolong aku!

Dan Tuhan benar-benar menolongnya! Langsung dia tak menyangka, doa seorang pelacur yang jijik sepertinya dimakbulkan Tuhan!

Nuqman, lelaki berhati mulia itu sanggup menggadaikan nyawa, datang bersama teman seperjuangannya menjejaki Nur dan bawa dia keluar dari dunia gelap itu. Maka sejak itu, Nur tak mahu berpaling lagi. Walaupun seumur hidupnya dia harus bertaubat, dia sanggup!

Segala kenangan hitam dia bersama Remy kembali menerjah ingatan. Puas ditepis namun ia tetap datang mendera hati dan mindanya. Rasa jijik dan hina mula menguasai diri. Serentak itu, airmata taubat bagaikan tasbih yang terputus talinya, berjuraian jatuh ke pipi.

“Aku sanggup mati dari disentuh lagi, ya Allah! Selamatkan aku dari mereka, ya Tuhan!” Nur menangis mengogoi di situ.

Tiba-tiba bunyi enjin kereta yang menderum kuat melintas laju dan perlahan-lahan hilang dari pendengaran. Terpejam sepasang mata Nur yang pernah menjadi kegilaan Remy satu waktu dulu. Itu pasti kereta Remy! Jantungnya berdegup kencang, cemas menunggu pegawai polis yang disebut Rizal. Mujur mereka muncul tak lama selepas itu.

Sepanjang perjalanan ke Pejabat Polis Bukit Aman, Nur membulatkan tekad. Dia akan berusaha untuk membantu pihak polis menghancurkan kongsi gelap milik Alvin termasuk Remy. Dikerah mindanya untuk mengingati apa lagi maklumat yang dapat membantu pihak polis. Hampir semua nama dan gambaran orang-orang Alvin sudah dimaklumkan kepada pihak polis. Dia harus menjejaki semula ingatannya ke tempat-tempat yang pernah dia kunjungi untuk melayan para VIP durjana itu. Memang payah kerana dia selalu diikat matanya. Atau dikepit oleh orang-orang Alvin sehingga dia susah hendak bergerak. Malah sepanjang masa bersama pelanggan, segala perbuatannya didengari melalui telefon bimbit yang tak boleh dimatikan panggilannya selagi khidmatnya tak selesai.

Apapun, dia mesti memberi bantuan sehabis baik kepada pihak polis. Dia takkan bersembunyi lagi. Tak mahu menjadi pelarian juga. Bulat hatinya mahu mengheret mereka ke muka pengadilan. Malah dia sanggup kalau terpaksa dijadikan umpan sekalipun!

>>>Novel Persis Akar Dani sudah dibuka preorder hingga 15 Ogos ini. Harga preorder hanya RM27 sahaja.
Hubungi 011-20503481 untuk pesanan.

Terima kasih sudi singgah!

2 thoughts on “PERSIS AKAR DANI Bab 15

Leave a comment