HAKIKAT CINTA

a girl

HAKIKAT CINTA

Saidah menyusuri pantai Teluk Bidara seperti selalu bila matahari mula memohon permisi memberi laluan untuk giliran bulan menyinari bumi. Angin Laut China Selatan bertiup kuat bila hari semakin senja. Memberi peringatan pada nelayan agar berwaspada dengan gelombang laut di malam hari nanti.

Air laut sudah pasang dan surut semula. Musim sudah berganti. Agar manusia bisa mengubah rutin dan haluan. Hidup perlukan perubahan. Juga persediaan menghadapi ujian dan cabaran. Bagaimana aku?

Saidah masih di pantai ini. Menjejaki tapak-tapak yang ditinggalkan. Menyusuri kenangan yang berputar setiap kali dia tiba di sini. Saidah menghimbau pandangan ke laut terbentang. Persimpangan ini benar-benar menjerat dirinya. Menjerat dia. Mendera perasaan.

Nafas Saidah mula sesak. Nafas ini juga berpenghujung, bukan? Memikirkan itu, matanya terbuka luas. Ya, bagaimana jika tiba-tiba nafas ini tiba ke penghujungnya? Sedang aku tidak punya kuasa untuk menyambungnya! Cemas sungguh kalau udara tidak dapat dihirup lagi. Lantas Saidah menyedut udara dingin itu semahu-mahunya. Tuhan! Jangan! Tunggu! Aku belum mahu tiba ke penghujung !

Benarkah engkau ada penghujungnya? Bukankah engkau makhluk, yang nanti akan ada kehidupan selepas kematian?

Hah! Dari mana datangnya suara itu? Jangan ganggu fikiranku! Aku tak punya jawapan. Aku tidak tahu! Saidah lemas sungguh. Jemarinya diramas-ramas tidak keruan. Mindanya terus berputar.

Salman! Nama itu bagaikan petir menyambar dan bergema dalam benaknya. Saidah berpusing. Langkahnya mati. Mestikah aku biarkan segalanya terhenti kerananya?

Wajahnya pula menjelma. Dia kelihatan gelisah, serba salah. Namun dia tidak juga mahu memandang wajah Saidah yang datang menjejakinya entah kali ke berapa.

“Salman? Mengapa begini?”

“Kenapa berdiam diri, Salman?”

Kau tega membatu diri acap kali kupohon kemaafan. Kau tulikan pendengaranmu bila suaraku merayu meraih simpatimu, meminta ruang dan peluang membaiki diri, mebgubat luka dihatimu, mengusir dendam yang tersirat di jiwamu dan membuang salah sangka yang sudah berlabuh di fikiranmu.

Dosa apakah yang telah aku lakukan hingga begitu sekali hukumannya? Sedang aku hanya wanita. Tingkah dan langkah kabur antara minda dan emosi. Lafaz wanita bukan ukuran hati atau tafsiran akal semata. Kerana itu talak tidak dari lidah kaum hawa. Bukti Tuhan Maha Arif tentang ciptaan-Nya. Engkau tahu semua itu, bukan?

Saidah membuang pandangan melewati batas masa. Menerobos ruang waktu yang sudah bertahun ditinggalkan. Sejak mereka mula pandai berlari dan ketawa. Saling mengesat hingus dan peluh. Berlarian di pantai melambung wau, menjemur ikan, membina rumah-rumah pasir yang tidak pernah kekal. Sehinggalah sama-sama mengatur langkah menuju dewasa.

Bila usia baligh menjengah, Saidah berubah emosi, malu mula menguasai. Tidak lagi betah berlarian bagai anak kecil. Ilmu yang dituntut membina jiwanya dan membangkitkan rasa langsung disusun cita-cita. Dunia Tuhan terlalu luas untuk kita terokai, Salman. Dan Salman mengiyakannya.

Walaupun dilahirkan rasa kecewa kerana Saidah berubah tingkah terhadapnya namun Salman semakin matang bila menginjak dewasa. Sepatah kata darinya…

“Aku akan memilikimu kerana aku tetap mahu kau menemani aku menjejaki pantai ini bila kita tua bersama nanti.”

Saidah lahir sebagai Hawa. Mana mungkin dapat lari dari naluri ingin dikasihi dan mengasihi. Dalam diam dan taat sebagai gadis Timur, dia menyimpan kasih yang amat dalam. Berpegang pada kata-kata yang dilafazkan. Pantai itulah yang menjadi saksi.

Menara gading sama-sama dijejaki. Namun Salman pergi terlalu jauh ke seberang laut. Saidah hanya mampu mendoakan dia selamat kembali sebagai wira. Memperjuangkan agama dan anak bangsa. Yang semakin hari semakin ranap tergadai segala. Angkara maruah jadi murah tidak berharga.

Doa Saidah dimakbulkan. Pulangnya Salman menjadi kebanggaan semua. Saidah lebih-lebih lagi hati berbunga. Moga-moga mereka dapat berbakti di bumi yang sama, juga dapat membina kehidupan bahagia. Saidah juga kini kembali sebagai pendidik. Dia memilih bidang itu kerana pendidikan adalah nadi kehidupan anak bangsa.

Pertemuan Saidah dan Salman tidak pernah diatur. Sesekali terjadi, hanya bertukar senyuman dan sapa. Agama dan adat dijunjung, tidak mungkin dikhianati. Namun pantai tetap juga disusuri. Walau bersendirian berlainan waktu. Cukuplah, hati sudah tahu apa yang dirasa.

Salman akhirnya jadi rebutan. Gadis-gadis saling bersaing mengundang perhatiannya. Ramai kaum ibu dan ayah menaruh harapan. Bermenantukan Salman yang punya jati diri. Kembali sebagai anak timur memperjuangkan perusahaan warisan keturunan dan budaya. Hasil nelayan diusahakan pelbagai cara. Titik peluh dikesat bersama, nikmat hasil juga dikecapi belaka.

Akhirnya Salman menghantar keluarga, menghulur cincin tanda bertanya. Saidah menyerahkan pada ibu ayah yang lebih arif membuat pilihan. Huluran disambut, kata janji jadi sepakat. Lalu mereka berdua diikat dengan tali pertunangan hanya untuk sepurnama waktu. Putaran masa tiba-tiba menjadi lambat. Saidah dan Salman berdebar menanti hari untuk menyulam bahagia.

Rupanya ikatan itu tidak sempat disimpulkan. Ujian datang entah dari mana puncanya. Perniagaan dan kewibawaan Salman dicabar kononnya memonopoli teman dan taulan. Angin bertiup kencang mengatakan Salman rupanya sangat berkepentingan. Dia dan keluarganya diasak bertalu-talu kerana menunjuk pandai mengatur masyarakat mengikut kemahuan mereka.

Saidah tetap teruji sama. Cemas melihat diri Salman dipersalahkan. Dia cuba berkongsi rasa dan mencari jalan keluar bersama. Hanya Tuhan yang tahu derita hatinya melihat kesusahan Salman. Keyakinannya tidak disuarakan. Tidak perlu dipertontonkan. Namun dia berkongsi rasa bersama Salman untuk mendalami keadaan dan mencari penyelesaian. Segalanya cuba dilakukan agar Salman tidak kecundang dengan ribut ujian yang melanda.

Salman tiba-tiba berubah. Dalam diuji, ramai yang datang memujuk dan memberi harapan. Namun bila bertemu Saidah, Salman asyik bertingkah. Pantang tersalah kata, marahnya berhamburan. Dipujuk salah ditegur pun salah. Saidah jadi lemas. Akhirnya Salman diam membisu seribu bahasa.

Tidak mahu mengundang kemusnahan sesama, Salman memilih untuk mengundur diri dan menyerahkan kepada yang dikatakan lebih layak dari dirinya. Dan kemuncak kebisuan itu, dia pergi meninggalkan daerah ini. Dia pergi tanpa kata. Terutama kepada Saidah yang setia menghimpun segala rasa segala duka.

Jadi, apa lagi Salman? Saidah menjerit melepaskan rasa yang terbuku sekian lama. Namun suara tidak terlepas dari kerongkongnya. Dia tunduk mencari kekuatan.

Aku hanya wanita yang akur dengan apa yang tertulis pada takdirku. Selama ini aku mengutip rasa menghimpun kasih hingga menggunung segala sayang dan cinta, hormat dan kagum, rela untuk menyerahkan diriku sebagai isterimu. Janjiku pegang untuk tunduk, taat dan patuh padamu. Dirimu kujulang ke puncak. Di kakimu aku tumpang berteduh, bersandarkan kekuatan dan berpayungkan kasih.

Dalam segunung rasa itu, lurah pipi tidak kering dek airmata bila aku diuji kebenaran kata. Dukaku terhimpun di tasik tangis bila dirobek cemburu. Tambah parah bila hati dituris duri ujian apatah lagi dirimu menjadi rebutan. Fitnah dan salah sangka datang meracuni kepercayaanmu padaku. Kadang-kadang tercalar sungguh dek kasarnya kata dan tingkahmu. Namun aku tetap di situ kerana kasih sudah sebati untukmu.

Bila tiba keutuhan dirimu diuji Tuhan, bagaikan letupan gunung berapi mengocak bumi! Segunung rasa yang kuhimpun turut bergegar. Aku ribut antara fikir dan rasa. Aku berlari untuk mendamaikanmu. Ingin kusejukkan amarah dan mahu kuredakan gelodak kecewamu. Dalam kekalutan aku tersadung tingkah tersalah kata. Lalu kau himpunkan semua dan menujah jarimu. Bahawa akulah racun yang menabur bisa! Hidupmu jadi musnah tak keruan kerana aku gunting dalam lipatan!

Tuhan!!

Aku tersungkur sujud ke bumi. Matahari tidak lagi sanggup memandang. Langit cerah bertukar mendung kerana tidak lagi mahu menanggung bebannya awan. Aku basah dihempas hujan amarahmu. Aku menggigil gementar kerana kau katakan aku derhaka. Raungan hatiku bergema seluruh alam. Wanita derhaka tiada harga. Tidak layak bergelar isteri setia! Tolong selamatkan aku! Ampunkan aku! Taubatkan aku!

Jasadku tercampak jauh darimu. Diriku terusir dari hatimu. Aku meratap mencari jawapan. Segunung rasa yang kuhimpunkan terbiar melata. Sudah tiada siapa mempedulikannya.

Aku bersendirian mencari jawapan. Namun aku tidak putus harapan. Kudogak ke langit memanjat doa. Hatiku parah mengutip dosa menghimpun sesalan lalu kupanjatkan taubat. Aku sedar bahawa aku tidak sempurna. Hatiku belum luhur, penuh bernoda. Aku juga lemah, tidak bijak membuat perhitungan dan pertimbangan.

Namun siapalah yang sudi mempedulikan pengaduanku. Jijik, hina dan sumbang bagi setiap halwa telinga. Hikmahnya sungguh menyedarkan aku. Bahawa diri sudah tidak punya sesiapa lagi. Melainkan Dia yang menciptakan aku…

Tuhan… tidak ada yang Engkau jadikan tanpa kasih sayang-Mu. Walau sebesar mana pun dosa dan khianat ciptaan-Mu terhadap-Mu, rantaian kasih sayang-Mu tidak pernah Engkau putuskan. Udara Engkau bekalkan mengizinkan aku terus bernyawa. Bumi-Mu luas untuk aku berpijak menumpang teduh dipayungi langit-Mu yang terbentang. Engkau ciptakan teman dan taulan untuk berkongsi kasih dan kesusahan. Tidak pula Engkau biarkan saja diriku! Berlawanan sungguh dengan sifat makhluk-Mu. Sedang Engkau yang Maha Menghukum namun Engkau pujuk dengan harapan dan peluang tanda ehsan-Mu. Pengampunan dan kasih sayang Engkau sediakan sebagai imbalannya.

Cinta agung! Itulah hakikat diri-Mu, Tuhan. Raja segala cinta. Kasih semulia-mulia kasih. Tidak terlafas dengan kata-kata oleh makhluk-Mu. Adil dan bijaksananya Engkau, tidak pernah menzalimi ciptaan-Mu walaupun Engkau dizalimi. Keampunan dan kasih sayang Engkau berikan sebagai balasan walaupun entah berapa lama Engkau kuabaikan. Ruginya aku! Ruginya seluruh ciptaan-Mu yang buta terhadap agungnya cinta dan kasih-Mu, Tuhan!

Aku melihat tetapi buta. Aku berkata tetapi bisu sebenarnya. Aku mendengar tetapi tidak mengerti. Hakikatnya, kasih sayang-Mu mengalir dalam merahnya darahku, dalam setiap nafas yang kuhirup, tidak pernah berhenti walau di saat aku derhaka dengan-Mu.

Ya Tuhan! Aku jijik dan malu. Aku insaf. Aku taubat. Aku himpunkan segala kasih dan cinta untuk makhluk ciptaan-Mu. Lalu aku menumpang teduh dan berpayung dengan kasihnya. Sedang aku tahu, dia lemah sepertiku. Aku lakukan semua itu dan Engkau melihatnya!

Betapa hina dan zalimnya aku terhadap-Mu. Mencintai makhluk-Mu tetapi melupakan-Mu. Sedang tangan-Mu terbuka luas menungguku dengan limpahan kasih sayang-Mu. Sedang langit-Mu selamanya setia memayungi diriku. Sedang seluruh alam ciptaan-Mu patuh menghiburkan aku. Betapa aku buta terhadap cinta agung-Mu. Aku tuli mendengar suara-Mu. Aku bisu bila menghadap-Mu.

Ampunkan aku… ampunkan aku… ampunkan aku wahai Penciptaku. Airmataku menghambur laju. Engkau jadikanlah airmata keinsafan yang tidak berhenti ini membasuh dosa-dosaku.

Inginku laungkan kepada seluruh kaum Hawa. Bangkitlah dari terleka, bangunlah daripada mimpi indah! Usah mengagungkan cinta dan kasih pada tempat yang salah. Jangan memuja pada teruna, menggantung harapan menyandarkan kekuatan kepada mereka. Sedangkan mereka juga hanya makhluk seperti kita. Hati dan cinta mereka belum tentu untuk kita!

Keupayaan mereka cukup terbatas. Ujian untuk mereka belum tentu dapat dilepasi. Yang paling takut bila hidup mereka dikemudi oleh nafsu semata. Hancurlah kaum Hawa kalau diserahkan hari dan pengharapan. Seagung mana pun cinta mereka belum tentu menyelamatkan kita! Sehebat mana pun janji mereka belum tentu dapat dikota. Kerana itulah kebahagiaan yang kita harapkan selalu hancur sebelum tiba ke penghujungnya. Kesengsaraan dan airmata yang selalu menjadi ganjarannya.

Biarlah aku bersendirian mengubati hati. Membasuh luka mencuci dosa. Di hati inilah akan aku semai dengan benih-benih suci untuk mengagungkan Dia yang menciptakan aku. Untuk mencintai Dia yang selamanya tidak pernah mengecewakan aku.

Dialah juga yang Maha Mengetahui, siapakah yang layak untuk hidup bersamaku di bumi-Nya ini, untuk memimpin tanganku kepada-Nya dan sanggup hidup susah senang di sisiku dengan izin-Nya. Aku serahkan sungguh-sungguh kepada Dia yang Maha Mengetahui. Menyerah diri kepada qada’ dan qadar-Nya.

“Saidah…”

Suara itu datang lagi. Ya Tuhan… peganglah hatiku! Aku tidak mahu terleka lagi. Cukuplah dengan dosa dan kelalaianku yang telah lalu. Aku redha walau apa pun yang berlaku. Engkau lembutkanlah hatinya agar dia dapat memaafkan aku selama aku pernah menjadi tunangannya. Aku hanya hamba-Mu yang penuh dengan kelemahan. Berilah aku peluang untuk menjadi isteri yang solehah. Engkau hadirkanlah seorang lelaki yang bertaqwa untukku. Agar aku dapat dipimpin dan dijaga. Agar aku dapat belajar untuk patuh dan taat kepada-Nya. Agar dapat kucurahkan kasih dan sayangku kepadanya. Akan kubelai dan kuhiburkan dia sebagaimana yang Engkau perintahkan kepada seorang isteri. Agar kehidupannya lebih baik dan perjuangannya di bumi-Mu ini semakin terbantu.

Namun jadikanlah cintaku hanya untuk-Mu, wahai Tuhan! Terima kasih kerana mengajarkan aku untuk membezakan antara cinta makhluk-Mu yang punya kelemahan berbanding cinta-Mu yang terlalu agung. Moga-moga aku pandai untuk membawa hati, menaruh harapan dan bersandarkan kekuatan hanya pada-Mu.

“Saidah…”

Suara itu jelas benar kali ini. Saidah berpusing mencari-cari. Entahkan angin masih mempermainkannya seperti selalu. Namun sekujur tubuh lelaki di hadapannya menyentak diri. Dada Saidah sesak. Serentak itu, bibirnya terbuka. Terburu menghirup udara yang sangat berharga, yang rupanya selama ini tidak pernah dihitungnya.

“Aku datang, Saidah…”

Saidah terduduk semula di akar kayu pohon rhu yang kukuh berpaksikan bumi.

Salman melangkah yakin. Menghampiri.

Tubuh Saidah terdorong berdiri. Dia mendongak ke langit biru. Menatap matahari yang memancar cerah. Seketika dia menghimbau pandangan melihat alam hijau menghiburkan. Akhirnya, pandangannya jatuh ke wajah dia.

“Saidah…”

“Kau datang dan kau mungkin pergi, Salman. Segalanya di luar jangkauanku. Aku redha kau perlakukan apa pun. Tapi aku takut dengan dosa dan hukuman Tuhan. Aku mohon kemaafanmu… maafkan aku atas segala kesalahanku. Aku terima apa pun hukumanmu.”

“Saidah, aku pulang untuk bersamamu. Sudah lama aku maafkan dirimu. Kita mulakan hidup baru. Aku berjanji tidak akan mengecewakanmu.” Anak matanya bercahaya.

Kupejam kedua mataku. Merasakan bayu yang lembut memeluk sekujur diri. Udara kuhirup penuh nikmat. Mengisi tiap ruang dalam diri dengan kekuatan dan kasih sayang-Nya. Inilah buktinya. Kasih Tuhan yang sentiasa menghiburkan makhluk-Nya. Engkau kembalikan dia bersama dengan kemaafannya. Terima kasih, wahai Tuhan!

“Moga-moga air mata penyesalanku yang tumpah sekian lama dapat membasuh dosaku dan mengubati lukamu. Terima kasih atas kemaafanmu! Aku akan sentiasa mendoakan. Teruskanlah perjuanganmu, jadilah khalifah di bumi Tuhan ini. Aku juga punya tugas dan tanggungjawab kepada anak bangsaku. Moga-moga kita semua dibantu. Sudah bermusim aku di sini. Aku mohon untuk undur diri.

“Eh, mengapa begini? Aku kan kembali untukmu? Aku sangat menghargai kesetiaanmu, kasih dan cintamu. Aku juga masih mencintaimu, Saidah. Percayalah!”

“Salman, sudah kujulang cinta ke langit tujuh! Hanya Dia yang berhak atas kasih sayang dan cintaku. Walaupun cintaku pada-Nya masih tidak ada nilai dan harga kerana aku lemah dan tidak sempurna, tetapi aku yakin, Dia tetap menerimaku seadanya. Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui segala-galanya tentang diriku. Apa yang berlaku di antara kita, biarlah berlalu.” Saidah melangkah tenang. Hatinya bagaikan terlepas dari segala rasa yang sekian lama membelengu. Dia rasakan diri bagai rama-rama yang terbang bebas. Alam Tuhan tiba-tiba semakin luas untuk dia terokai.

“Bagaimana dengan hubungan kita, Saidah? Kau tetap perlukan teman dalam hidupmu, bukan?”

“Aku tidak punya jawapan untuk persoalan itu. Seperti yang aku katakan tadi, aku berserah kepada yang Maha Tahu. Dialah yang menentukan siapa yang bakal hidup di sisiku moga-moga hingga ke akhir hayatku. Selama waktu ini, biarlah aku jadikan hidupku ini untuk menghambakan diri kepada-Nya. Teruskan hidup-mu, Salman. Aku tetap akan mengasihimu dan mendoakanmu kerana Tuhan juga menuntut untuk kita berkasih sayang dengan sesama. Moga kau juga temui apa yang aku temui. Cinta Tuhan, itulah seagung-agungnya cinta! Kerana cinta-Nya, kita akan jujur berkasih-sayang dengan sesama manusia.”

Saidah melangkah tidak menoleh lagi. Hatinya, mindanya, nafsunya dan seluruh dirinya akan diusahakan untuk tunduk dan patuh kepada Khaliqnya. Moga-moga kehidupannya sentiasa terpelihara di sisi Tuhan, Cinta Agungnya.

Terbitan Majalah Jelita
September 2008

Diterbitkan semula dalam
Antologi Cerpen HAKIKAT CINTA
Terbitan Buku Prima Sdn Bhd
HAKIKAT CINTA

KENAPA BUKAN AKU?

Saya cuma menulis dengan rasa hati, tanpa ilmu tanpa guru. Lalu saya kongsikan di sini, siapa tahu… di sini saya mendapat ilmu dan mendapat guru. Sesungguhnya bukankah jalan kehidupan ini adalah guru yang paling baik untuk kita? Moga bermanfaat…

KENAPA BUKAN AKU?
Juea Abdullah

“Zack tak mahu, Umi!”

“Ini arahan Atuk, Yim! Dah cukuplah Umi dengan Abah kena marah sebab hantar Ayim pergi States. Jomlah kita balik jumpa Atuk. Kita mengalah, Yim. Abah dengan Kak Long dah ambik cuti tu…,” berdenyut kepala Masyitah memujuk anak lelaki tunggalnya untuk pulang ke kampung mengadap ayahnya demi mendekatkan semula jurang perselisihan. Entah apa yang menguasai pemikiran Zarim sehingga keras sangat keputusannya, tidak mahu balik ke kampung.

Ayim! Ayim! Susahnya Umi hendak menukar nama panggilannya. Sudahlah nama macam budak-budak, dirinya yang sudah matang sekarang pun hendak diperbudakkan juga!

“Dia satu-satunya cucu lelaki aku, kamu hantar pulak dia ke Amerika! Apa nak jadi dengan keluarga kamu ni? Kalau rosak anak kamu nanti, kamu ingat mudah nak dibetulkan semula?!” Habis satu kampung tahu Tok Karim Mejar bersara itu menyinga kerana cucunya dihantar ke negara orang putih.

Sepuluh tahun lebih tidak cukup menguji kesabaran Masyitah dan Abdullah, suaminya. Keadaan lebih parah bila Zarim berkahwin dengan ‘orang putih’. Parah bertukar kronik bila dia hanya pulang membawa seorang anak kecil hasil dari perkahwinannya yang kini khabarnya sedang terumbang-ambing.

“Daddy…!” Sepasang tangan putih mulus melingkar di lehernya. Sentuhan ajaib gadis kecil itu sentiasa mengubati hati Zarim walau dalam situasi apa pun.

“I’ve packed my bag. When can we go…? Can I bring my little frogie…?” Terkelip-kelip bulu mata lentik Sal Sabila yang kini berubah posisi, melentok manja dalam pelukan ayahnya. Zarim hanya menciumnya bertalu-talu, tidak menjawab.

“We are going soon, Bella. Atuk and Mak Long will come back from work soon. We’ll go with them. Come, bring your bag to the car now, we have to get ready…,” Masyitah bijak mengambil kesempatan. Dia tahu, Zarim kalah dengan anaknya. Jadi, Sal Sabila adalah satu-satunya ‘umpan’ untuk menundukkan ego lelaki muda itu.

Kampung Lawin di daerah Grik, utara Perak dijejaki setelah begitu lama ditinggalkan. Memang berat bagi Zarim menjejaki semula tempat tumpah darahnya yang terpencil itu. Apalah yang dibanggakan dengan kampung yang jauh dari pembangunan, penuh lalang dan nyamuk. Entah apa yang membuatkan Tok Karim sampai sanggup hidup matinya di situ!

Zarim berkeras mahu pulang dengan Ducati Monster 696 yang baru dibeli sebaik saja tiba ke tanahair. Malas mahu bersesak-sesak dalam kereta bersama Umi dan Abah serta Kak Long. Dia terpaksa ikut pulang kerana mengalah dengan kemahuan puteri kecil yang menguasai jiwa dan raganya saat ini, Sal Sabila. Lagipun sengaja dia mahu melihat wajah-wajah jakun teman-teman sepermainannya dulu. Berani potong jari, di antara mereka, tidak ada yang pernah menunggang motor sepertinya apatah lagi memilikinya.
Masyitah dan Abdullah duduk rapat di tikar mengkuang yang cantik dianyam dengan corak geometri pelbagai warna, mengadap wajah Tok Karim yang mencuka. Wajahnya hanya manis bila dia memandang atau bercakap dengan Sal Sabila. Mujurlah!

Opah Ngah Lijah berjalan masuk dari arah dapur diikuti seorang gadis hitam manis, bertudung dan berbaju kurung yang menatang sebuah dulang minuman. Senyuman tidak lekang dari bibirnya kerana gembira menyambut kepulangan anak menantu dan cicit barunya.

“Dahlia?! Dah besar sekarang, hampir tak kenal! Dah jadi anak dara dah…!” Opah Ngah Lijah tergelak. Dahlia, anak saudara arwah isteri abangnya tunduk menyalami Masyitah dan Zarra selepas meletakkan dulang minuman di meja makan ala Jepun di hadapan mereka. Sopan memikat.

“Apa khabar Makcik, Pakcik dan Kak Long?”

“Alhamdulillah. Dahlia masih belajar lagi ke?”

“Dah habis, Makcik. Baru mula kerja bulan lepas. Jemput minum Makcik, Pakcik, Kak Long…” Teh yang dituang ke dalam cawan dan diletakkan di hadapan para tetamu.

“Terima kasih, Dahlia,” baru terdengar suara Abdullah yang mendiamkan diri sejak tadi. Dahlia tersenyum mengangguk.

“Minumlah sama, Dahlia…” Pelawa Zarra pula. Mereka saling berbalas senyum. Kemudian, dia memberanikan diri menyuakan secawan teh di hadapan Tok Karim.

“Mana si Zarim ni, tak muncul-muncul?!” Nasib baik tidak tumpah secawan teh yang disuakan. Sergahan Tok Karim tidak begitu kuat tetapi cukup menggetarkan semua hati-hati orang di ruang tamu itu. Masyitah, Abdullah dan Zarra saling berpandangan, cemas. Kalau tidak buat kecoh, bukan si Zarim namanya!

Bunyi deruman motosikal berkuasa besar tiba-tiba memecah keheningan suasana. Zarim! Pandangan mata Tok Karim mencerun ke arah pintu, membuatkan Masyitah dan Zarra mahu mengecilkan diri atau menghilang saja dari ruang tamu itu. Derap tapak kaki semakin jelas dari serambi. Semua mata mengarah ke pintu. Zarim melangkah masuk dengan penuh gaya, lengkap dengan pakaian keselamatan atau riding gear, jaket kulit dan tidak ketinggalan bandana yang melilit kepala serta kaca mata hitam playboynya. Macam orang yang sedang tersesat pun ada!

“Assalamualaikum,” sapa Zarim sambil menyangkut kaca matanya di baju. Salamnya dijawab tanpa suara. Zarim duduk melutut mengadap Tok Zarim yang memperkemaskan sila. Tangan yang dihulur mujur bersambut. Namun Tok Karim tidak memandang.

“Daddy!” Sal Sabila melompat dari riba Tok Karim ke dalam pelukan ayahnya.

“Miss you! Miss you, baby…!” Kucupan rama-rama singgah ke seluruh wajah comel itu yang ketawa kegelian.
Wajah Tok Karim semakin kelat dan tegang. Tangan Opah Ngah Lijah pula dicium. Luruh airmata dari tubir mata tua itu yang amat merindui cucunya. Dahi Opah dikucup lama. Percikan memori hari-hari bersama Opah ketika dia masih kecil memenuhi kotak fikirannya. Jauh di sudut hati, Zarim juga rindu, teramat rindu. Namun entah kenapa, sukar untuk dia akui.

Dahlia menuang teh ke dalam cawan yang kosong lalu dihulurkan kepada tetamu yang baru tiba. Pandangan mata mereka bersabung dan cepat-cepat Dahlia tunduk mengalah. Macam tidak pernah tengok perempuan! Kasanova! Hatinya merungut, jengkel.

Tiba-tiba Tok Karim bingkas bangun meninggalkan mereka menuju ke serambi. Ternganga semuanya. Kemudian saling berpandangan, tidak mengerti.

“Kenapa dengan Tok, Opah?” Zarim terpinga-pinga. Apa yang tidak kena? Opah Ngah Lijah tersenyum makin lebar.

“Dia rindu sangatlah tu!”

“Rindu?!!” Kening dan kelopak mata Zarim sama terangkat.

“Umi?!” Dia memohon pencerahan. Wajah kelat Umi dan Abah menggusarkan hatinya.

“Pergilah… tanya khabar Tok…!” Masyitah menggesa. Hati dilanda bimbang. Zarim mengeluh. Lambat-lambat dia bangun menjejaki langkah Tok Karim ke serambi. Tok Karim tidak ada. Macam halimunan pula. Puas Zarim berpusing keliling rumah sampai ke belakang dapur. Akhirnya dia ternampak Tok Karim di kandang lembu yang tidak jauh dari rumah itu.

“Banyak lagi lembu Tok…,” tegur Zarim, cuba mengambil hati. Tertelan-telan airliur menahan tujahan bau di hidungnya. Ahh! Leceh!

“Pergi balik!” Zarim tercengang lama.

“Daripada kau buat kepala aku sakit, mata aku sakit, telinga aku sakit, hati aku sakit, lebih baik kau balik!!”

“Ta-tapi… Umi kata Tok suruh Ayim balik…” Tergagap-gagap suara lelaki Zarim sampai tersebut nama sendiri yang amat dia benci. Ayim?!!

“Aku memang suruh cucu aku balik. Tapi cucu aku orang Melayu. Orang Islam. Kalau dah rupa pun bukan cucu aku, maknanya bukan cucu akulah!!” Parah! Siapa berani menentang Tok Karim?! Menonong Zarim kembali ke rumah dan mendongak ke tingkap di ruang tamu.

“Umi! Zack nak balik!” Kelam-kabut semua yang ada di atas menuju ke dua tingkap yang ada di ruang tamu, menjengah ke bawah. “Kenapa pulak ni Ayim?! Kan baru sampai?!”

Masyitah panik. Lengan suaminya dipaut. Bala sudah mula tiba. Ayim! Ayim! Rasa hendak pecah kepala Zarim mendengarnya. Di hadapan anak dara orang pula! Aduh, malunya! Dia tidak betah untuk berdiri di situ lagi. Pucuk dicita, ulam mendatang. Laju kakinya melangkah ke arah Ducati Monster yang setia menanti.

“Ayim…!” Suara Opah menghentikan langkah jantannya. Ayim lagi!

“Ayim cucu Opah, kan?” Alahai… ini yang lemah dibuatnya!

Malam itu terasa begitu panjang. Sudahlah nyamuk asyik menyanyi. Panas usah dicakap. Hairan sungguh, Tok Karim bukan tidak berduit. Apa salahnya pasang alat penghawa dingin sebiji dua di rumah besar ini. Dalam berkeluh-kesah, Zarim terkejut juga dengan perubahan di kampung ini. Terutama kehidupan Tok Karim dengan Opah Ngah Lijah yang jauh lebih senang dari dulu. Mungkin bantuan dari anak-anak yang sudah berjaya dalam kerjaya. Yang menghairankannya, kenapa Tok Karim masih bersusah payah membela lembu sekandang dan ayam sereban. Masih bercucuk tanam di kebun yang agak luas di bahagian belakang rumah sana.

Jemu sendirian, Zarim keluar dari bilik. Hidangan yang dihantar tidak bersentuh. Dia hilang selera, sebab itu dia menolak untuk makan malam bersama. Tersentuh juga hati kecilnya dengan sikap Tok Karim. Sampai hati halau cucu sendiri! Melayu dan Islamnya di hati. Tidak patut Tok Karim berburuk sangka dengan cucu sendiri!

Suasana dalam rumah sunyi sepi. Tidak mungkin semuanya sudah lena beradu?! Malam masih terlalu muda. Ahh! Kalau tidak kerana Sal Sabila, malam ini dia sudah beraksi di trek bersama Ducati kesayangannya. Entah kenapa, sejak balik ke tanahair, dia semakin runsing. Sangkanya, berat bebanan masalah rumahtangganya akan jadi ringan bila berjauhan tetapi sebaliknya semakin menyesakkan kepala dan jiwanya. Suara gelak tawa anak kecil mengejutkannya yang baru melangkah ke bangku kayu di halaman rumah. Benar seperti yang dijangka, dia ternampa kelibat Sal Sabila berjalan dengan lampu suluh di reban ayam!

“Bella!” Pantas dia berlari ke belakang rumah lalu mendukung Sal Sabila ke dalam pelukannya. Sementara matanya melingas ke sekeliling. Macammana Sal Sabila boleh keluar rumah malam-malam begini?

“Daddy?! Put me down! Put me down!” Sepasang kaki kecil itu menerawang mahu berpijak ke bumi. “Why are you here? In the dark…?!”

“I have the torchlight. See!” Lampu suluh dihalakan ke muka ayahnya.

“Eeee… you look like a ghost!” Tetapi dia ketawa!

“Syyhh… keep quiet, baby…!” Bulu roma Zarim pula berdiri. Tiba-tiba satu lembaga putih muncul di depannya.

“Oh my God!!” Zarim terperanjat sungguh. Kakinya laju mengundur ke belakang dan…

“Goshh!!” Dia terlentang ke tanah bersama Sal Sabila yang ketawa mengekek kerana seronok menghempap tubuh ayahnya.

“MasyaAllah! Awak okey ke? Bella, get up!” Tubuh kecil itu diraih dari dadanya. Zarim terpinga-pinga memandang anak dara hitam manis di ruang tamu petang tadi.
Dahlia mendongak ke langit menahan rasa bosan dengan bebelan Zarim yang tidak puas hati dengan tindakannya membawa anak dara kenitnya berjalan malam. Sudah berapa kali dia tegaskan yang kawasan kampung itu selamat tetapi lelaki itu bagaikan histeria, risaukan anaknya. Macamlah dia seorang saja yang ada anak!

“Don’t scold kakak Lia, daddy… I wanted to see the chicken coop. And see how the chickens sleep. And the cows too…” Kakak Lia?!

“The cows??!” Lima puluh meter ke belakang sana?! Matanya membulat ke arah Dahlia yang tersengih mengangkat bahu. Sengih itu hilang bila Zarim merangkul Sal Sabila yang duduk diribanya dan gadis kenit itu dibawa naik ke atas rumah tanpa sepatah kata.

“How did you communicate with her?” Soal Zarim kehairanan. Rambut Sal Sabila di bantal dielus lembut. Terkejut dengan kemesraaan Sal Sabila dengan Dahlia, Zarim jadi pelik kerana Sal Sabila belum faham bahasa Melayu. Hanya beberapa patah perkataan sahaja yang dia tahu termasuklah nama-nama panggilan yang sempat diajar oleh Umi, Abah dan Kak Long.

“Why daddy? She talks…!” Sal Sabila tertawa gelihati, seolah-olah hairan dengan pertanyaan ayahnya.
Akhirnya demi memenangi hati Tok Karim dan memenuhi kehendak Sal Sabila yang teruja untuk meneroka kampung itu bersama Kakak Lianya, Zarim memaksa diri untuk tinggal lebih lama dan melepaskan Umi, Abah dan Kak Long kembali ke Kuala Lumpur.

“Atok, Ayim betul-betul mintak maaf sebab tak balik sini, ziarah Atok. Bukan salah Umi dan Abah, Tok. Ayim ke sana sebab kehendak Ayim sendiri. Lepas habis belajar, Ayim dapat tawaran kerja. Apa salahnya Ayim kerja, nak timba pengalaman je. Lepas tu, memang Ayim niat nak balik…” Ayim pun Ayimlah! Zarim terpaksa mengenepikan macam-macam perkara kerana mahu memulihkan semula hubungan yang retak disebabkan oleh dirinya.

Seperti semalam, Tok Karim terus membisu sambil menghirup kopi. Mereka bersarapan, makan tengahari dan malam bersama tetapi dalam perang dingin. Zarim sudah mati akal hendak memujuk. Berulang kali dia meminta maaf dan menjelaskan perkara yang sebenar. Kenapa susah sangat Tok Karim hendak memaafkannya?

“Kenapa Tok benci sangat dengan Amerika tu? Bukan ke Rasulullah pun suruh umatnya belajar sampai ke negara China?” Ha! Tok Karim pasti kalah dengan hujah yang satu ini! Kesabarannya sudah semakin tipis.
Dia letih mengadap ego seorang Melayu seperti Tok Karim.

“Betul! Hasilnya, ramai orang China peluk Islam kerana taqwa para Sahabat. Kamu? Balik sebagai orang Amerika?! Siapa kata Atok benci?! Itu kan bumi Tuhan? Orang Amerika tu makhluk Tuhan. Tapi apa maknanya kalau ke Amerika, kamu makin jauh dari Tuhan?” Aduh! Senjata makan tuan. Lebih parah dan berbisa seluruh badan.

“Bukan belajar di negara orang tu salah! Dahlia tu baru balik dari England. Atok yang hantar dia!” Zarim terkebil-kebil. Anak dara kampung yang naif, tidak berfesyen dan tutup sana, tutup sini itu ke England?! Tok Karim sudah bangun meninggalkannya.

Ketika mengadap juadah makan tengahari, Zarim mencuba lagi. “Ayim kejar cita-cita, Tok. Bukan senang nak jadi pakar bedah. Kalau tak ada jati diri, Ayim dah lama gagal…”

“Ya! Jati diri orang akal. Kuat fizikal, kuat mental. Atok bukan bodoh! Hitler tu pun kuat jati dirinya. Matlamat tercapai tapi kemanusiaan hancur. Kita orang Islam. Jati diri bagi orang Islam tak sama. Jati tu maksudnya murni. Diri tu bukan hanya fizikal atau mental. Tapi hati atau jiwa manusia. Kita bukan cuma benda macam kayu jati. Teguh, tak lapuk, tak dapat dimakan anai-anai atau bubuk. Kita ni manusia. Jati diri orang Islam tu teguh jiwanya. Kalau teguh jiwanya, dah tentu lasak fizikalnya, cerdik pemikirannya. Bandingkan apa yang Atok cakap ni dengan diri kamu.” Lama Zarim termenung setelah ditinggalkan sendirian. Juadah tidak sempat dijamah. Tazkirah yang dihidangkan Tok Karim sudah terlalu berat untuk dihadamkan.

Apa yang tak kena dengan kemanusiaan aku? Jauh sangatlah aku dengan Hitler. Jiwa aku? Hati aku? Eh… aku masih Islam. Isteri aku pun dah peluk Islam. Cuma aku kena ikut cara hidupnya. Dia tak biasa dengan cara hidup Melayu. Terlalu ortodoks, katanya. Salahkah aku? Akal Zarim bertungkus-lumur mencerna kata-kata Tok Karim. Atau membela diri, sebenarnya?

Bosan dengan persoalan-persoalan yang asyik menujah ke arah dirinya, Zarim keluar menuju ke tebing sungai di hujung kampung. Kalau dulu, di situlah dia bersama kawan-kawan bermain pelampung, sorok batu dan terjun tiruk dari tebing ke lubuk dalam. Sedih dengan nasib anak Melayu, tidak ramai yang berpeluang berlumba renang di kolam renang yang luas, terjun di kolam terjun atau mengharung jeram dengan rakit angin yang lebih memberikan kepuasan.

Derai tawa anak dara menyentak lamunan Zarim. Pantas kakinya melangkah mencari suara itu. Bella dan Dahlia! Duduk berjuntai kaki yang mencecah air di pangkin kayu yang dibina di tebing sungai di bawah pokok riang, mereka berbual mesra disulami gelak tawa. Akrab sungguh! Zarim rasa semakin lama semakin tersisih dari Sal Sabila kerana anak dara itu.

Teringin hendak mendengar anak dara kampung berbahasa Inggeris, Zarim merapati mereka perlahan-lahan dan berselindung di sebalik batang pokok sebesar pemeluk itu. Dahlia sedang bercerita bagaimana dia belajar berenang dengan kawan-kawannya di sungai itu. Orang yang boleh berenang di arus sungai pasti boleh berenang di mana saja kerana cabaran berenang di arus deras lebih hebat dari di kolam renang. Apalagi, merengeklah si gadis kenit itu mahu segera diajar berenang di sungai. Fasih sungguh dia!

Zarim memerhati dan mendengar penuh minat sambil mencari apa yang hebat sangat pada anak dara kampung yang baru balik dari England itu. Apakah jati dirinya jati diri seorang Islam seperti yang disyarahkan Tok Karim berbanding dengan dirinya yang dikatakan jati diri orang akal? Yang Zarim nampak, dia kekal dengan imej Melayu kampungnya. Itu saja.

Namun persoalan itu hilang entah ke mana bila Zarim menatap wajah polos itu dari sisi. Tulang pipinya tinggi, hidungnya agak mancung dan bibirnya tipis dan lebar. Walaupun berbaju kurung kain kapas dan bertudung labuh sampai ke pinggang, bentuk badan gadis itu tetap boleh dibaca. Eh… sekejap! Dagu Helle Berry tu! Ya… anak dara hitam manis itu kalau dapat sedikit sentuhannya, pasti jadi Helle Berry yang menggoda!

Entah bila atau bagaimana Zarim mula obses dengan kecantikan sehingga sanggup menukar haluan dari cita-cita asalnya mahu menjadi pakar bedah kepada pakar bedah kosmetik dan rekonstruktif, dia sendiri tidak pasti. Selain dari gemar menghayati kecantikan hasil kerja tangannya, aliran tunai yang berlipat kali ganda juga antara sebab dia memilih bidang itu. Sebab itulah dia memilih untuk memulakan kerjayanya di New York.

Tawaran seorang senior yang sudah membuka klinik di Kuala Lumpur menerjah benaknya. Sepatutnya dia sudah beraksi di klinik itu minggu lepas. Percikan air ke muka mengejutkannya. Sal Sabila sedang cuba membaling batu sejauh yang mungkin. Pasti bertambah susah untuk dia membawanya pulang! Tapi kalau bersama kakak Lianya, mungkin…

“Tak kerja hari ni?”

“Hah?! Err… tak! Cuti dua minggu kan…” Ya. Lupa yang dia seorang guru bahasa Inggeris yang disayangi di daerah ini. Itu yang diberitahu Opah semalam.

“Daddy! Daddy!!” Sal Sabila melompat-lompat melihat ayahnya datang merapat. Sekejap saja ayahnya sudah dilupakan kerana banyak sungguh batu yang hendak dilontarkan dan teruja hendak melihat percikan air yang besar-besar.

“Jom ke KL…”

“Isyhh… nak buat apa?!”

“Nak tak saya ubah awak jadi Helle Berry?!” Pakar bedah mula tunjuk belang.

“Berry ke, cherry ke… saya tak minat!” Batu-batu sungai yang dikutip dilonggokkan di pangkin kayu. Kain baju kurungnya sudah basah ke paras lutut. Sedikit pun tidak disingsingkan.

“Saya buat percuma. Hadiah. Awak jadi first patient saya di Malaysia…” Anak mata Dahlia berputar ke langit. Hebat sangatlah kalau begitu?!

“Awak gila ke? Apa yang Allah bagi pada saya ni, anugerah. Kalau awak dah ubah saya, cantik macammana sekali pun, dah tak ada maknanya. Ciptaan Allah pada saya, hubungkan hati saya pada Dia. Jangan awak nak rosakkan hubungan saya dengan Dia…! Jom Bella, kakak dah sejuk.” Tangan anak kecil itu diraih. Terpinga-pinga dia dibuatnya, tidak memahami apa yang dituturkan Dahlia. Namun ayahnya yang terkedu di situ dilambai juga.

Malam-malam Zarim diajak ke surau. Dia akur dalam paksa-rela. Atok sudah mula berlembut dan mula memperkenalkannya kepada orang-orang kampung yang datang ke surau terutama kepada Hanafi, anak jati kampung Lawin yang baru pulang dari Mesir. Tidak pasti Tok Karim mahu dia mencontohi anak muda itu atau membanding-bandingkan mereka. Antara jati diri orang akal dan orang agama? Zarim malas mahu memikirkannya lagi.

Hanafi dijemput ke rumah hampir setiap pagi untuk bersarapan bersama. Banyak juga perkara yang menjadi topik perbualan mereka. Dalam diam, Zarim merasa tercabar. Hanafi bukan saja warak tetapi berpengetahuan luas dalam ilmu dunia dan Akhirat. Patutlah dilayan istimewa seolah-olah dialah cucu Tok Karim! Hidangan pula semakin hari semakin istimewa sehingga hati Zarim berdetik cemburu. Si hitam manis itu sedang memikat? Dia atau Hanafi?

Petang itu, riuh-rendah rumah Tok Karim kerana ramai wanita di kampung datang memasak pelbagai juadah untuk kenduri doa selamat yang akan diadakan di surau selepas maghrib nanti. Tok Karim mahu meraikan kepulangan cucunya dan juga Hanafi yang dianggap sebagai anak jati kampung itu yang menjadi contoh. Lagipun, Zarim sudah bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya bersama atau tanpa ‘Dahlia Berry’. Umi, Abah dan Kak Long juga datang awal pagi tadi sempena majlis doa selamat yang telah dirancang lebih awal.

Kereta proton sedan itu sendat dengan periuk-periuk besar berisi gulai daging umbut pisang, pajeri terung, acar nanas dan kuih-muih serta buah-buahan. Semua berkumpul di hadapan rumah kerana tugas memasak sudah selesai. Tinggal bersiap untuk ke surau sebelum Maghrib.

“Ha, Ayim… kamu ikut naik kereta ke surau dulu. Nanti Tok datang dengan Opah kamu, bawak Dahlia dengan Bella sekali.” Keringat di dahi diseka dengan belakang lengan, Zarim mengeluh dalam diam. Sehari saja lagi, semua ini akan berakhir. Dia memaksa diri, masuk ke dalam kereta buruk itu. Adik kandung Umi, Pak Su sudah siap memegang stering.

“Eh, Tok, biar saya je yang ke surau dulu. Kesian Ayim, dah penat sangat dia mengangkat periuk-periuk tu. Lagipun, boleh saya siapkan tempat menghidang sekali nanti, Tok…” Wajah Tok Karim berubah kelat. Niatnya mahu mendidik cucunya agar lasak berperanan tergendala. Tetapi permintaan Hanafi ada logiknya. Dia mengangguk. Hanafi menepuk bahu Zarim, tersenyum mengerti lalu mengambil alih tempat duduk itu.

“Abang!” Kedua-duanya menoleh. Dahlia datang menyerahkan sebuah beg kertas.

“Jubah baru untuk abang…” Mereka berbalas senyum. Hanya sesaat dua tetapi cukup bermakna. Kereta itu bergerak perlahan dan semua yang ada mula bersurai.

‘Allah!!” Tiba-tiba seseorang menjerit dan bunyi dentuman yang kuat mengejutkan semua. Masing-masing berlari ke jalan besar. Kereta Proton tadi remuk dilanggar sebuah lori yang hilang kawalan yang tiba-tiba muncul dari arah depan. Tok Karim terlebih dulu tiba lalu membuka pintu. Hanafi tersandar di tempat duduk, diam tidak bergerak. Darah merah mengalir dari dahinya yang luka. Lehernya disentuh. Tok Karim meraup muka anak muda itu lalu tunduk menahan sebak. “Innalillah hiwa inna ilai hiroji’un…”

“Ayah?!” Abdullah memegang bahu mertuanya. Ramai orang mengerumuni, menanti.

“Maha Suci Allah, Dia ambil hamba-Nya yang sudah bersiap untuk-Nya…,” tutur Tok Karim penuh redha.

“Allah hu Akbar! Dahlia!!”

“Ayim, kenapa ni?!”

Seorang lelaki terduduk melutut ke bumi. Dan seorang gadis rebah tidak sedarkan diri.

Sebulan berlalu. Dahlia semakin pulih. Seperti hari-hari semalam, dia membaca al Quran demi untuk mendapatkan kembali kekuatannya yang hilang. Dan seperti biasa juga, suaranya tersekat-sekat kerana sebak dan akhirnya terhenti kerana airmata yang tidak berhenti mengalir.

“Dahlia, redhalah sayang…” Pujuk Opah tanpa jemu.

“Dahlia redha, Opah. Memang abang Hanafi lebih layak bersama Kekasihnya. Cuma Dahlia rasa kehilangan sangat. Berdosa ke kalau rasa sedih, rasa kehilangan, Opah?”

‘Bahkan Baginda Rasulullah pun bersedih bila isteri dengan bapa saudara Baginda meninggal dunia. Tapi Rasulullah tak berlama-lama dalam kesedihan. Dahlia ingat ayat At-Taubah, kan? Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita…, ingat tak?” Al Quran dipeluk sekuat hati. Memang ubatnya di situ.

“Ingat, Opah…” Airmatanya diseka lagi dek jari-jemari tua itu.

“Macammana dengan lamaran Zarim? Dahlia terima…?” Gadis itu terpaku.

“Opah, maafkan Dahlia. Bukan bermaksud tak nak taat dengan Tok, dengan Opah… tapi Dahlia dah banyak kali kehilangan. Dulu ibu ayah. Lepas tu Mak Ngah…, abang Hanafi…!” Airmatanya tidak terbendung lagi. Wajah tunang tersayang memeluk jubah baru hadiah darinya terlayar di ruang mata. Segalanya tidak kesampaian kerana Kekasih yang Maha Agung sudah menjemputnya pulang. Bukankah Dia Pencatur yang Maha Tahu?

“Mungkin Dahlia terlalu mengharap kasih manusia. Mungkin Dahlia tak rasa cukup dengan Allah. Sebab tu, Allah yang Maha Mengetahui, Dia ambil seorang demi seorang dari Dahlia. Allah mahu Dahlia rasa cukup dengan Dia. Kalau ada sesiapa tempat menumpang kasih pun, Dahlia tak boleh membelakangkan kasih sayang Allah yang lebih hebat dari kasih sayang seluruh manusia. Kan, Opah…?” Sepasang mata tua itu kalah akhirnya, basah juga dengan airmata.

“Dahlia redha, Opah. Dahlia nak sediakan hati Dahlia sepenuhnya kepada Allah. Macam abang Hanafi… dia sanggup serahkan hidup matinya kepada Allah. Dia korbankan jiwa mudanya kerana dakwah. Dahlia tahu, hidup Dahlia akan tenang, bahagia dunia dan Akhirat kalau Dahlia dapat redha Allah… Macam abang Hanafi yang sentiasa tenang hidupnya. Jadi buat masa ni, Dahlia minta sedikit masa… nak baiki diri, nak kuatkan jiwa Dahlia… boleh, kan Opah?” Mana mungkin permintaan semurni itu ditolak oleh sesiapa pun. Mereka saling berdakapan, bertangisan. Dan lelaki yang mendengar dari luar bilik mula menjauh, menahan sebak yang teramat.

Kenapa bukan aku? Persoalan itulah yang cuba diungkai sejak sebulan yang lalu. Mujurlah Tok Karim tidak berenggang dengannya yang hampir tenggelam dengan rasa bersalah. ‘Dia ambil hamba-Nya yang sudah bersiap untuk-Nya.’ Kata-kata itu bagaikan gerudi membongkar segala yang ada di dalam dirinya. Tok Karimlah yang membimbingnya untuk faham. Betapa Agungnya kasih sayang Allah, memberinya peluang untuk hidup sekali lagi. Untuk menyempurnakan tugasnya sebagai hamba-Nya. Hanya lima minit, nyawanya digantikan dengan Hanafi yang qanaah dan tawadhuk. Hanya dalam lima minit, takdirnya diubah Tuhan yang Maha Baik. Lalu apakah bayarannya atas peluang kedua itu?

Seluruh jiwa dan raganya kini hanya untuk Allah. Dia merangkak dan bertatih mengenal diri melalui rasa hati, mencari Tuhan dalam dirinya. Berkat kesabaran dan pimpinan Tok Karim, Zarim bermuhasabah. Dan betapa peritnya dia menghitung dosa dan kerosakan yang telah dia lakukan. Benar sekali kata Tok Karim, dia hanya seperti sebatang kayu yang sudah dimakan anai-anai, lahirnya masih kuat tetapi hakikatnya rapuh tidak berguna lagi. Lebih parah apabila dia hanyalah manusia yang rosak lagi merosakkan. Ya Tuhan!

“Saya nak minta jasa baik Dahlia… tolong jaga amanah Allah pada saya, sementara saya pergi… mungkin sekejap, mungkin lama. Ada tanggungjawab yang perlu saya lunaskan. Saya juga perlu mencari ilmu untuk mengenal diri.” Dia mengadap anak dara si hitam manis itu yang tenang memeluk Sal Sabila. Sejak peristiwa itu, Sal Sabila tidak berenggang dengannya. Setia menyapu airmatanya setiap kali dia teresak menangis. Bila gadis kenit itu ikut menangis, Dahlia sedaya upaya berhenti menangis dan membuat jenaka agar dia ketawa semula. Itulah antara sebab Zarim sanggup berpisah dengan Bella buat pertama kalinya. Dahlia mengangguk tanpa memandang.

“Ada lagi satu permintaan saya… tolong didik dia, bina jati dirinya. Seperti Dahlia. Jati diri orang yang beragama. Supaya ke mana pun dia pergi nanti, dia akan mengubah suasana. Bukan suasana yang mengubahnya. Saya harap Dahlia tak keberatan… didiklah dia sepertimana Dahlia dididik…”
Dahlia mengangguk lagi. Masih tidak mahu memandang.

“Satu lagi… tolong maafkan saya sebelum saya pergi…” Suara yang meruntun itu memaksa Dahlia mendongak.
Perlahan dia menggeleng. “Bukan salah awak…”

“Saya selalu tertanya-tanya… kenapa bukan saya?” Dahlia tertunduk memandang lantai kerana tidak mampu memandang.

“Sebab Tuhan itu Maha Adil. Awak juga hamba-Nya, kan? Kasih sayang Allah pada Hamba-Nya melimpah-ruah. Terpulanglah kepada kita bagaimana mengambilnya. Yang terbaik ialah kita berusaha membalas kasih sayang-Nya…” Zarim mengangguk. Wajah polos itu ditatap selama mungkin.

‘Daddy…! Come back to us soon…” Ada kematangan dalam suara kecil itu. Sal Sabila berlari ke dalam
pelukannya.

“I will, Bella. InsyaAllah.” Kemaafan Dahlia membuat dia semakin yakin. Pelukan sakti anaknya membuatkan dia semakin bersemangat. Terima kasih Tuhan! Kini dia tekad untuk melangkah, membawa dirinya kepada Sang Kekasih yang Maha Agung.

ps: I hope this story touches your heart as it did mine. Part of the story is true and remain in my heart as a very deep reminder. Sesungguhnya beruntunglah bagi sesiapa yang diberi peluang kedua kerana ia pasti lebih bermakna. Wallahualam.

RAMADHAN DAN AKU

Walau sakit , walau payah... akan aku terus melangkah menuju-Mu...
Walau sakit , walau payah… akan aku terus melangkah menuju-Mu…

RAMADHAN DAN AKU
Juea Abdullah

“Kita gi terawih kat masjid malam ni? Berkat tau… Malam pertama Ramadhan!”

Mataku terbeliak tidak percaya. Kutoleh ke kiri dan kananku, ternyata hanya ada aku di situ bersama Adawiyah. Teman serumah baruku.

“Errr… Wiyah! Cuba kau tengok aku ni betul-betul! Kau nampak tak ni?! Briefcase seberat hampir dua kilogram itu kuangkat ke mukanya.

“I’m a busy woman, okay! Nak jemput kau hari ni pun dah kira bertuah. Tu pun sebab aku dapat lari dari bertembung dengan boss aku tadi. Kalau tak, haa… berbarislah kau tunggu bas, ya!” Hisshh… biar betul perempuan ni! Getus hatiku, jengkel. Bukan dia tak nampak aku asyik balik lewat setiap hari.

Adawiyah tertawa kecil sambil masuk ke kereta. Suara tawa manjanya menambahkan lagi panas hatiku. Jelingan aku yang setajam itu pun tidak langsung mengusik hatinya. Boleh tertawa kecil lagi?!

“Wiyah memang kesian tengok Nani. Sibuk memanjang. Sampai masa untuk diri sendiri pun tak ada…”

“Tau pun engkau!” Pantas aku memintas. Wajahku yang tadi tegang menjadi kendur dan aku memandang terus ke hadapan, kononnya memberi fokus kepada pemanduan. Hakikatnya aku melindungi sesuatu yang melintas di hati… yang membuatkan aku diserang rasa bersalah.

Tak ada masa untuk diri sendiri?! Biar benar, Nani! Hatiku mula berkata-kata dan itu yang membuat aku tak selesa. Bila hatiku mula berkata-kata… selalunya kata hatiku bukan mengikut kehendak aku lagi. Kata hatikulah yang begitu berani mengutuk diri aku sendiri. Kalaulah aku boleh diamkan saja kata hati ini…

Hmm… malam kelmarin, engkau sempat je keluar dengan Amin, nak cari baju raya yang sedondon, kononnya! Sedangkan puasa pun belum! Boleh pulak kau tinggalkan kerja yang bertimbun tu! Tapi kalau terawih…

Ahh! Diamlah!! Aku mula bengang dengan diri sendiri. Aku jeling lagi ke sebelah. Adawiyah tersandar tenang di tempat duduk.

“Tak apa, Nani… Wiyah faham macammana busynya Nani tu. Don’t worry. Wiyah memang seronok kalau berbuka dan berterawih di masjid. Dah dari kecik macam tu. Lagipun rumah kita dekat je dengan masjid. Nanti kalau ada masa, Nani bolehlah joint sekali…” Lembut suara Adawiyah seolah-olah memujuk. Menambahkan lagi rasa bersalah dalam diriku.

“Hmm…” Aku tersenyum kelat.

“Tapi bulan Ramadhan ni, kalau balik kerja tu, selalu sesak sikit, Wiyah. Biasalah… Dari Phileo Damansara ni, jalan berganda sesaknya.”

“Memang kawan-kawan kat office dah bagitau. Sebab tu Wiyah awal-awal lagi buat surat permohonan. Wiyah minta nak balik awal setengah jam dari biasa. Potong gaji pun tak apa. Tapi, baik pulak boss tu walaupun dia bukan Islam. Dia kata, dia suka tengok Wiyah amalkan cara hidup Islam. Ada disiplin, kerja pun teratur, selesai… jadi dia bagi Wiyah balik awal tapi dia kata cuba masuk kerja lebih awal sikit, tak payah potong gaji.”

“Amboi! Bertuahnya awak!” Aku tumpang gembira.

“Eh, yang lain tu tak jealous ke?”

“Kat department Wiyah, tak ramai Melayu. Lagipun mereka kerja tak tentu masa. Jadi mereka tak kisah sangat.”

“Hmm… boss aku ni Melayu Islam tapi bukannya mudah nak bawa berbincang!” Aku memberi alasan.

Ya Allah! Buruknya perangai! Nak letak kesalahan pada orang lain pulak! Sedangkan aku tak pernah bawa berbincang pun nak minta balik awal dengan majikanku kerana nak berbuka dan solat Terawih di masjid. Nak balik awal sebab tak larat, letih sebab puasa… adalah sangat!

Shut up! Aku mengutuk diri sendiri dan terus memandu.

“Hmm… memang tak ramai orang yang faham, Nani. Bulan Ramadhan ni berharga sungguh. Tuhan bagi pada kita sebab Dia sayangkan kita. Setahun kita asyik dengan kerja, selesaikan hal-hal dunia. Hal-hal Akhirat kita buat sikit-sikit je. Apalagi, sepanjang tahun, hati kita asyik dengan cinta dunia, berdaki, kotor dengan macam-macam dosa yang kita buat. Kita lalai dengan Tuhan, sembahyang tu… tahu je lah. Asal sembahyang… asyik kejar masa, kadang-kadang kita sembahyang ambik syarat je. Betul tak?” Adawiyah tergelak. Entah pada siapa? Aku tidak pasti, patutkah aku tergelak sama…? Pada siapa? Diri sendiri?

“Bila Tuhan bagi pada kita bulan Ramadhan ni… memang kira bonus besarlah untuk kita, Nani. Bayangkan… buat baik sikit pun, Tuhan bagi pahala berganda-ganda. Kita minta ampun, bertaubat… Tuhan bagi keampunan pada kita sebab berkat bulan Ramadhan yang mulia. Kita doa pun Tuhan makbulkan. Issyyhh… memang tak terbayang banyaknya rahmat Tuhan untuk kita kerana berkatnya bulan Ramadhan. Hmm… tu yang orang berlumba-lumba nak sedekah, nak buat ibadah, macam-macam lagi. Tapi itu bagi orang yang dah merdeka dari nafsunya. Dah bebas dari hasutan syaitan. Bagi yang masih dirantai hawa nafsu, memang nafsu tak nak kalah punya! Dihasutnya kita, haa… bulan Ramadhanlah kita nak makan yang sedap-sedap, shopping sakan, nak masak itu ini… nak baju cantik-cantik, tukar perabot… macam-macam lagilah tarikan nak bagi kita cintakan dunia ni. Kalau kita kalah, hmm…memang rugilah sebab Ramadhan cuma setahun sekali… itulah bulan bonus untuk kita. Kan, Nani…? Tapi yang kita ni dok asyik kira berapa bonus gaji yang dapat. Nak shopping sakan!”

Adawiyah berpusing memandang tepat ke arahku, menantikan reaksi. Aku? Aku menelan airliur lagi. Terkedu, tidak terkata.

“Hmm… memang pun, Wiyah. Rugi kita kalau biar Ramadhan berlalu macam tu je…” Suara akukah itu?!

****

“Ssa… saya sebenarnya nak cepat sebab nak ke masjid… nak dengar tazkirah pak imam… err… maksud saya…” Issyyh… susah sungguh aku nak memanggil orang ni. Kalau dah berumur tu, memang sesuai sangat dipanggil Pak Imam tapi… imam yang seorang ni lain sangat! Bergaya korporat, muda lagi dan… handsome pulak tu! Eh! Hah! Dah mulalah nak melalut tu! Tapi memang hakikatnya dia macam tu! Hati dan akalku mula berperang lagi.

“Ooh… baru saya faham. Patutlah sejak tadi cik asyik panggil saya Pak Imam. Cik tinggal di Taman Cheras ya? Saya bertugas di Masjid tu. Saya Dhirar. Kebetulan saya pun memang nak ke Masjid, baru balik dari kerja…” Senyuman Imam Muda membuatkan aku rasa bagai disimbah air sejuk. Sangat menenangkan. Mujur klinik ini hanya bersebelahan dengan stesen minyak tadi dan tidak ramai pesakit yang menunggu. Aku yang sejak tadi cemas menunggu Imam Muda itu dirawat di dalam bilik doktor tak putus-putus berdoa untuknya.

Sedikit pun dia tidak marah dan cacat hati walaupun kena langgar. Aku benar-benar tidak perasan dia sedang berjalan di bahagian belakang kereta sewaktu aku reverse tadi. Mujur juga pekerja di stesen minyak itu cepat berlari dan memapah Imam Muda bangun setelah dia terguling jatuh ke tanah.

Seketika aku tersentak. Macam mana dia nak balik? Mesti dia tak mahu balik dengan aku… hanya berdua?

“Maaf, boleh cik tolong saya tahankan teksi di depan tu? Saya nak balik cepat, nanti tak sempat nak berbuka di masjid pula…” Aku terlopong. Dia dengar suara hati aku? Tajamnya rasa hati dia. Malunya!!

“Eh… boleh. Tapi… kereta encik Dhirar?”

“Tak apa, esok kalau saya dah boleh drive, saya akan ke sini. Parking kat situ, insyaAllah selamat.”

“Oh… ok. Sebentar ya…” Aku bergegas ke tepi jalan sambil menghela nafas lega. Alhamdulillah, tidak ada masalah yang timbul. Hanya lutut dan belakangnya cedera sedikit. Moga-moga Engkau sembuhkan dia sesegera mungkin, ya Allah. Aku benar-benar rasa bersalah. Janganlah kerana aku, jemaah di masjid itu tak dapat mendengar tazkirah imam muda itu petang ini.

Walaupun agak terlewat, aku dan Imam Dhirar sempat sampai ke masjid sebelum berbuka. Walaupun masih berkerut wajahnya menahan sakit apabila bergerak, dia masih mengisi sedikit ruang masa yang ada sementara menunggu waktu berbuka dengan sebuah tazkirah pendek. Sebuah tazkirah yang sangat memberi kesan dalam hidupku.

“Kita biasa mengejar masa kerana dunia. Kerana urusan kerja, urusan keluarga dan macam-macam lagi. Apabila seseorang itu sampai mampu berusaha mengejar masa demi Akhiratnya, demi Tuhannya, insyaAllah, dia akan diselamatkan Tuhannya.”

“Sepotong Hadis riwayat al Bukhari yang bermaksud: Tiadalah seorang hamba yang mendatangi-Ku sejengkal kecuali Aku mendatanginya satu hasta… dan jika ia (hamba Allah) datang pada-Ku dengan melangkah, Aku datang kepadanya dengan bergegas…”

“Begitulah kasihnya Allah kepada hamba-hamba-Nya. Dia sangat menunggu kita datang pada-Nya. Dia yang Maha Baik sangat mahu membahagiakan dan menyelamatkan kita. Hanya kita yang buta terhadap kasih sayang Tuhan selama ini. Moga-moga dengan berkat Ramadhan ini, setiap langkah kita menuju Allah, Allah akan lebih-lebih lagi mendatangi kita. Moga-moga kita selamat sehingga dapat bersama Allah yang Maha Besar di Akhirat sana.”

Airmataku mengalir tak tertahan lagi. Aku datang kepada-Mu, ya Allah. Sudilah Engkau menerimaku… walau aku hamba yang hina dan ingkar dengan perintah-Mu selama ini. Aku sungguh-sungguh buta terhadap-Mu…

Adawiyah yang baru tiba agak kaget dengan airmataku yang tumpah. Senyuman lebarnya setiap kali kami bertemu di masjid hilang dari bibirnya. Memang dia sangat gembira dengan perubahanku dan dapat berteman ke masjid selalu. Dia datang menyentuh bahuku. Aku hanya mampu memandangnya dengan mata yang semakin basah. Dia mengangguk-angguk. Aku yakin dia faham perasaanku. Aku peluk dia sekuat hati melepaskan segala yang terbuku di hati yang kini hancur luluh mengenangkan kehidupan aku. Aku sungguh-sungguh menagih keberkatan Ramadhan…

Aku sudah bersiap-siap untuk pulang. Adawiyah sudah dua hari pulang ke kampung. Pagi itu, aku menghadap cermin dengan hati yang sebak. Sehelai tudung kutatang sejak tadi. Setitis airmata taubat gugur lagi di pipi. Terketar-ketar jemariku menutup mahkota diri yang sekian lama aku banggakan dengan sehelai tudung itu. Walaupun sejak kecil, aku tahu tentang hukuman Tuhan yang menunggu di neraka nanti sekiranya aku tidak menutup rambutku dari lelaki yang bukan muhrim tetapi aku bagaikan pekak dengan perintah itu. Tidak sedikitpun ada ketakutan dengan amaran dan hukuman itu. Tetapi… Ramadhan kali ini menggetarkan jiwaku. Ketakutan datang menguasai diri. Api neraka yang sangat dahsyat itu sering menghantui aku. Kenapa aku ingkar? Hanya untuk membaluti rambutku dengan sehelai tudung yang secantik ini? Kenapa aku begitu lemah pada nafsuku? Tuhan… ampunkan aku…!

“Perintah Tuhan itu penuh dengan hikmah, Nani. Tak sama sekali untuk menyusahkan atau nak mengongkong kita. Sehelai tudung sebenarnya besar ertinya pada perempuan. Kalau kita tutup aurat sungguh-sungguh kerana Allah, tudung tu akan jadi penyelamat kita. Benteng untuk kita dari melakukan dosa atau kalau orang nak ganggu kita. Jadi bermaruah… membezakan kita dengan yang lain. Tapi sekarang ramai yang bertudung bukan dengan niat dan cara yang betul. Sedih, Nani. Kerana tulah, walaupun bertudung, kita masih buat maksiat. Bukan saja kita buat tak ikut kehendak Allah, niat pun bukan kerana Allah, kita jatuhkan maruah Islam pulak tu. Sebab tu, penting untuk kita ada ilmu sebelum amal…”

“Aku tutup auratku kerana-Mu, ya Allah… Engkau lindungilah aku dari melakukan dosa lagi… Engkau lindunglah aku dari maksiat, dari nafsu lelaki. Aku lemah, ya Allah…” Hatiku merayu dan merintih dengan linangan airmata. Ramadhan… tolonglah aku dengan keberkatanmu…

Aku singgah di Masjid. Suasana awal pagi di dalam dan luar masjid agak sunyi. Hanya kedengaran suara beberapa orang sedang membaca al Quran. Aku tercari-cari orang yang menjaga masjid untuk menyampaikan niatku.

Tiba-tiba wajah Imam Dhirar muncul di hadapanku. Aku menelan air liur. Rasa malu tiba-tiba menyelubungi bila terkenangkan detik aku melanggarnya tidak lama dulu.

“Assalamualaikum…” Aku terpaksa menegurnya.

“Waalaikumussalamwarahmatullah…” Dia agak terkejut.

“Maafkan saya, imam Dhirar… apa khabar? Imam dah sembuh sepenuhnya ke?”

Dia bertambah terkejut. Aku tunduk bila dia benar-benar memandang. Malunya!

“Eh… maaf, cik… yang… eh maaf, saya tak perasan tadi…” Memanglah! Aku dah bertudung! Aku menghela nafas lalu tersenyum sambil mengangkat muka.

“Ya, Imam. Saya… yang melanggar Imam dulu tu…”

“Hmm… alhamdulillah, saya tak apa-apa… Ada apa cik datang pagi-pagi ni?”

“Saya dah nak balik kampung. Ni ada beberapa sumbangan untuk sambutan hari raya nanti di masjid ni…” Secepat mungkin aku beredar dari situ sebaik sahaja aku serahkan beberapa sampul surat yang berisi sumbangan kecilku kepada Imam Dhirar. Aku tidak dapat menahan sebak. Untuk pertama kali seumur hidupku, aku melakukan itu. Sumbanganku untuk syiar Islam yang teramat kecil yang selama ini tidak pernah aku pedulikan kerana aku sibuk memenuhi keperluan kehidupanku dan keluarga.

Dalam salah satu sampul itu, sepucuk surat buat Imam Dhirar sebagai ucapan terima kasihku kerana menjadi orang yang berkorban diri membantu menyampaikan segala peringatan dan nasihat demi membawa manusia lain kepada Tuhan. Aku juga mengharapkan doanya sebagai orang yang soleh untuk aku terus berjuang mengenal Allah dan mencintai-Nya.

Aku tinggalkan kota metropolitan dengan hati yang berbaur. Kota yang mengkhayalkan aku dengan syurga dunia yang penuh tipuan dan Kota itu jugalah yang mengenalkan aku kepada Tuhan. Di mana pun ada pilihan. Dan aku yang harus memilih.

Ibu dan adik-adik terkejut dan terharu menyambut kepulanganku yang sudah berubah wajah terutama ibu. Dia menangis mengucup anaknya ini, merangkul erat penuh kasih.

“Cantik sungguh anak ibu… bertahun ibu doakan. Syukur ya Allah…” Aku juga tidak dapat menahan airmata. Aku tahu betapa ibu menderita kerana kedegilanku yang tidak menutup aurat selama ini. Memang segalanya berkat doa ibu.

Dan malam itu mengubah seluruh kehidupan kami seterusnya. Aku, anak sulung yang harus menjadi perintis kepada keluarga dalam mencari jalan menuju Tuhan.

Selepas berterawih di masjid, kami semua berkumpul melihat sebuah tayangan kehidupan manusia yang berbeza dalam dunia yang sama. Itulah yang aku lakukan demi mencari jalan pulang.

Rakaman video yang memaparkan kehidupan yang penuh dengan kesempitan dan kesusahan di lorong-lorong terbiar, di rumah-rumah buruk dan keadaan-keadaan yang menyedihkan dipancarkan dari komputer ribaku memenuhi dinding putih di ruang tamu rumahku. Aku sendiri yang menyusuri tempat-tempat itu di sekitar ibu kota bersama Adawiyah. Aku lakukan itu demi mahu benar-benar menghayati Ramadhan yang selama ini datang dan pergi tanpa apa-apa pengertian dalam hidupku. Cerita Adawiyah tentang watak Rasulullah SAW menghayati Ramadhan sangat menginsafkan aku sehingga aku rasa mahu menyembamkan mukaku ke dalam bumi kerana malu sungguh dengan Tuhan. Betapa nikmat yang melimpah-ruah hanya untuk memuaskan nafsuku semata-mata sedangkan dalam nikmat itu, ada hak orang lain di dalamnya. Aku menafikan hak mereka kerana cintaku pada dunia sudah terlalu sebati.

Wajah seorang nenek yang masih mampu tersenyum sedang cuba menutup dinding rumahnya yang terkopak selepas di tiup angin ribut malam sebelumnya. Wajah seorang anak yang sedang memujuk sambil mengendong adiknya yang sakit ke sana ke mari di hadapan rumah usang kerana ibunya keluar bekerja mencari nafkah. Dan berbagai wajah lagi muncul satu persatu dengan cerita dan derita yang berbeza. Ibu dan adik-adik juga seperti aku, tidak dapat menahan airmata menatap semua itu yang memang realitinya berlaku di sekeliling kita.

Dengan senyum yang pahit, aku menatap adik-adikku seorang demi seorang.

“Kak Long tak beli baju raya tahun ni untuk kita semua. Setuju tak dengan Kak Long?” Mereka mengangguk hampir serentak.

“Kita kan ada baju yang sedondon warnanya yang kita pakai masa kenduri kahwin makcik Sarah… baju-baju tu baru sekali pakai, jadi… kita semua pakai baju tu raya nanti ya…” Suara ibu lembut memujuk. Aku tersenyum terharu. Jemari tua ibu kuraup dengan kedua tanganku. Selama ini kata-kata ibu tidak aku pedulikan. Aku tetap mahu limpahkan kemewahan kepada ibu dan adik-adikku setiap kali hari raya tiba kerana mahu memberikan kebahagiaan kepada mereka. Namun bukan kebahagiaan seperti itu yang membawa mereka ke syurga.

“Esok hari terakhir kita puasa. Nak tak ikut akak shopping?” Iffah, Aina, Ateh dan Waqar terkejut. Dahi ibu juga berkerut memandang aku.

“Tapi kali ni bukan untuk kita. Rasanya kita dah serba cukup kan? Kita beli apa yang perlu sekadar nak raikan tetamu je ya. Kali ni kita shopping untuk orang lain. Orang yang lebih memerlukan… macam yang kita tengok tadi…” Adik-adik kesayanganku ceria mengangguk. Syukur, wahai Tuhan!

Aku memandu menyusuri jalan-jalan kecil ke kampung-kampung yang berhampiran. Adik-adik merasa pelik awalnya kerana kami shopping di kedai-kedai kecil di kampung-kampung itu juga. Aku jelaskan kepada mereka, itu juga caranya hendak membantu peniaga-peniaga kecil itu untuk meraikan hari raya nanti dengan lebih sempurna. Wajah-wajah mereka ceria bila aku berbelanja besar di kedai mereka. Dari maklumat dan petunjuk merekalah, aku dapat menjejaki orang-orang kampung yang benar-benar perlukan bantuan. Ramai yang terkejut dan terharu dengan kedatangan kami yang tidak mereka kenali. Banyak sungguh airmata mereka yang mengalir sambil mengucapkan syukur dan terima kasih, sangat menghibakan.

Ramadhan kali ini benar-benar mengubah kehidupan kami dan Syawal yang akan tiba esok dinantikan dengan debaran. Moga-moga cahaya Syawal tahun ini bukan sahaja membahagiakan aku dan keluargaku tetapi juga insan yang lain. Nikmat dan ujian itu rupanya menjadi penghubung kasih sayang dan kebahagiaan sesama insan. Inilah rupanya erti keberkatan Ramadhan dan Syawal yang sebenar. Indah sungguh percaturan-Mu, Tuhan, buat hamba-hamba-Mu yang mengerti. Sesungguhnya agama-Mu adalah kehidupan yang sempurna di dunia dan Akhirat.

Kemuliaan Syawal kusambut dengan hati yang penuh mengharap. Sebulan Ramadhan berlalu, moga-moga aku dapat merdekakan diri dari belengu nafsu dan cinta dunia. Agar Syawal dapat kusambut dengan kemenangan itu. Dan kebesaran Syawal dapat aku hayati dengan membesarkan Tuhan yang Maha Baik. Aku juga mahu membina kehidupan dengan manusia yang lain berlandaskan kasih sayang.

Buat pertama kalinya aku dan ibu serta adik-adik duduk bersama bertakbir pada malam raya, menghayati kebesaran Allah. Walaupun kepenatan menyiapkan semua persiapan menyambut hari raya namun kebahagiaan jelas terpancar di wajah-wajah kami.

Syawal kusambut dengan rasa yang berbeza. Airmata asyik mengalir terutama sekali ketika takbir berkumandang. Kami sekeluarga ke Masjid yang berdekatan untuk solat sunat hari raya. Penghayatan khutbah menyentuh hati dan menginsafkan. Meriah sungguh lahir dan batin dalam membesarkan Allah.

Selepas solat sunat, aku dan keluarga terus berziarah. Kalau dulu, aku tidak teruja sangat hendak ke hulu dan ke hilir tetapi kali ini berbeza. Terasa sungguh kasih sayang yang terjalin dengan sesama. Saling berkunjung, bertanya khabar dan berita, berkongsi bahagia dan derita.

Kasih sayang itulah penyelamat sebenarnya. Kehadiran Adawiyah bersama keluarganya mengharukan aku. Kusambut mereka dengan penuh gembira.

“Tahniah, Nani. Wiyah bersyukur, tumpang gembira tengok Nani sangat menghayati bulan Ramadhan. Berkat Ramadhan melimpah sungguh pada Nani…” Pelukan erat Adawiyah penuh bermakna membuatkan aku semakin sebak. Aku peluk dia erat-erat. Tanpa dia, tak mungkin aku dapat hayati semua ini. Keberkatan Ramadhan itu sebenarnya adalah dirinya.

Sebaik saja melepaskan pelukan, Adawiyah merangkul pinggangku sambil memperkenalkan ahli keluarganya. Ibu, ayah, kakak dan suaminya dan adik lelakinya.

“Ada seorang lagi… haa… tu baru keluar kereta. Yang tu pemalu sikit! Kami ni on the way nak ziarah adik ayah. Tu yang dapat datang beraya jumpa Nani, nak kenal keluarga Nani…” Adawiyah ramah berbicara. Keluarganya memang berwajah manis belaka.

“Assalamualaikum…”

Jantungku bagaikan berhenti berdegup. Suara tu?!

“Pak Imam?!” Aku terjerit tidak percaya. Dan pecah derai tawa semua. Syawal kali ini terlalu membahagiakan. Terima kasih Tuhan.

p/s: Moga manfaatnya dapat kita amalkan bersama berkat kebesaran Ramadhan. Tunggu 3 bab terakhir MAKNA PADA RASA ya! Juea sangat memerlukan doa dari kalian. Selamat berpuasa. semoga dibantu Allah dalam mensucikan hati-hati kita. salam penuh kasih sayang dari utara!