PERSIS AKAR DANI Bab 7

Kalau rindu ini satu dosa

Aku tagih keampunan-Mu, duhai Yang Maha Berkuasa

Kalau kasih yang melimpah ini haram untuknya

Kemudikan aku agar jauh darinya

Nur Maya tekad. Nuqman terpahat istimewa di hatinya. Siapa pun takkan dapat mengambil tempat itu. Tapi cukup sampai di situ. Biarlah hanya dia dan Tuhan yang tahu. Rindu ini takkan terluah. Kasih ini akan tersimpul mati di hati.

Kenangan bersama Nuqman berputar sepanjang perjalanannya menuju ke Kuala Lumpur, ke teratak Nuqman, untuk kali kedua sejak majlis perkahwinan Norhan dan Najjah sebulan yang lalu. Sejak itu juga, Nuqman meminta dia memanggilnya ‘abang’ dan mahu dia menganggap mereka sebagai keluarganya.

Sungguh mereka bagaikan sebuah keluarga. Solat berjemaah, makan minum dan keluar bersiar bersama meraikan Norhan dan Najjah yang kelihatan sangat bahagia. Keluarga Nuqman melayannya bak puteri. Sementelahan dia dianggap pengganti Najjah yang kini sudah bersuami. Nabil peramah dan kelakar. Selalu buat orang tak kering gusi. Nuqman santai membimbing, santun berbahasa, mesra dan pengasih orangnya. Ibu Aisyah… tentunya paling gembira kerana dia ada teman baru!

Banyak yang mereka kongsikan tiga hari bersama terutama malam itu, malam selepas majlis perkahwinan Norhan dan Najjah. Pasangan itu bermalam di rumah baru Najjah, banglo mewah Mummy Nadia. Malam itu jugalah, Nuqman santai berkongsi cerita tentang Rabiatul Adawiyah, wanita sufi yang mulia lagi dimuliakan.

“Rabiah namanya, anak Ismail Al-Adawiy lahir dalam keluarga miskin tapi zuhud membesarkan Allah. Rabiatul Adawiyah tak kenal cinta selain cinta kepada Allah. Tapi tak ada cinta yang tak diuji, kan? Hidup yang susah tambah susah bila ibu ayah dia meninggal sampai akhirnya Rabiah dijual ke tangan penguasa yang tak ada perikemanusiaan. Rabiah gadis yang sangat cantik, merdu suaranya. Memang dari kecil, Rabiah suka berpuisi dan bersyair meluahkan rasa cinta kepada Allah. Ada riwayat kata, Rabiah dipaksa jadi penghibur penguasa atas sebab-sebab tu. Dia juga menghabiskan masa seharian dengan kerja-kerja rumah. Rabiah redha dengan takdir Tuhan. Dia budak belian. Dia terpaksa patuh. Bila semua orang tidur, barulah dia dapat beribadah sepanjang malam walaupun tubuh badan dia dah terlalu letih. Dia bertaubat, mengadu, merintih… bahagia dengan Tuhan yang diangkat menjadi Kekasih yang Maha Agung. Rabiah bercinta… dengan Tuhan. Cinta yang paling tinggi. Itulah mahabbah.

“Sampai satu malam, penguasa saksikan tanda kewalian Rabiah yang sedang asyik beribadah waktu orang lain tidur nyenyak. Ada yang menceritakan tentang api dari lampu yang buruk di bilik Rabiah menjadi luar biasa terang-benderang. Ada yang mengatakan Penguasa terdengar rintihan Rabiah, ‘Ya Allah! Engkau telah jadikan aku budak belian seorang manusia sehingga aku terpaksa mengabdikan diri kepadanya. Seandainya aku bebas, pasti aku akan persembahkan seluruh waktu dalam hidupku ini untuk beribadah kepada-Mu.’

“Penguasa menyesal. Dia bertaubat dan bebaskan Rabiah. Dari situ, Rabiah tak berpaling lagi. Dia tunaikan janji sebagaimana yang dia rintihkan, dengan menghabiskan masanya dengan beribadah kepada Allah. Dia mula belajar dari guru-guru sufi tapi Rabiah sangat pintar orangnya. Kefahaman dia dalam aqidah dan fiqah mendalam sangat. Semua soalan yang datang dia jawab dengan tepat sampai akhirnya dia pula yang jadi rujukan. Banyak sangat kisah tentang kehebatan Rabiah kalau nak dikongsikan. Kalau dapat baca kisah-kisah yang dibukukan, kita sendiri akan rasa tak sangka seorang manusia boleh mencintai Allah sampai begitu sekali.

“Hebatnya cinta Rabiah sampai dia tak takutkan neraka dan tak pedulikan syurga. Antara doanya, ‘Jika aku menyembah-Mu kerana takutkan neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya. Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamakkan syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya. Tapi jika aku menyembah-Mu kerana cintaku kepada-Mu maka berilah aku balasan yang besar. Berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.’

“Banyak yang kita boleh belajar dari Rabiatul Adawiyah. Zuhudnya, macam mana dia redha dengan takdir Allah, bersangka baik dengan Allah walaupun hidupnya diseksa, tak pernah dia mempersoalkan kehendak Tuhan. Tak ada cinta dunia di hati dia. Kita boleh tengok hebatnya cara dia bersyukur melalui perbuatannya. Cara dia meluahkan rasa cintanya kepada Allah dan yang paling penting, taubatnya – taubat yang paling dalam, yang sepenuh hati. Seperti rintihan Rabiah di malam hari, ‘Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan hiburannya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu.’

“Saya sendiri banyak belajar macam mana nak bangkit dari kesalahan dengan bertaubat dan bina hubungan dengan Allah. Orang yang betul-betul bertaubat dan bangkit membaiki diri adalah orang yang bijak sebenarnya,” perkataan terakhir itu diiringi pandangan yang tepat menghunjam ke wajahnya yang kebetulan saat itu sedang terngadah memandang lelaki itu.

Nur Maya tak akan lupa saat Nuqman menuturkan perkataan terakhir itu yang diiringi pandangan yang tepat menghunjam ke wajahnya yang kebetulan saat itu sedang terngadah memandang lelaki itu.

Nur Maya juga tahu, cerita itu dan kata-kata Nuqman malam itu adalah untuk dirinya. Memang terpahat kukuh di hatinya kata-kata keramat wali Allah itu. Juga bicara Nuqman di hujung cerita. Saat yang lain terus tertegun dengan cerita Nuqman, dia sudah tertunduk menangis teresak-esak. Entah kenapa, kisah itu bagaikan kiriman Tuhannya, mengajar dia untuk pandai meletakkan diri. Memang itulah yang sepatutnya, mahabbah! Tiada yang lebih agung dari mencintai Tuhan Pencipta seluruh alam dan kejadian. Sesungguhnya, Allah telah membuktikan kasih sayang-Nya bila Dia memakbulkan rintihan seorang Maya. Kini tibalah masanya, kasih sayang itu dibalas!

Dan hari ini, hati Nur Maya benar-benar tekad. Hanya Allah yang mahu dicintainya. Tiada cinta selain Dia. Dia sedar, tiada yang lebih suci dari kasih sayang Allah kepada mahluk-Nya. Maka Dialah cinta agung yang selayaknya.

Nabil yang asyik mencuri pandang melalui cermin pandang belakang itu tidak dipedulikannya. Ibu yang duduk di sebelah Nabil sudah lama terlena. Mujur! Nur Maya tak mampu hendak berbual mesra dengan hati yang sedang sibuk memujuk diri. Suara Rizal yang gusar berpesan-pesan sebelum dia bertolak tadi juga tidak langsung mengundang riak di hatinya. Dia tidak peduli lagi tentang dirinya. Yang dia tahu, saat ini, dia hanya mahu bertemu dengan lelaki itu! Lelaki yang mengenalkannya kepada cinta agung. Dia mahu berterima kasih. Malah dia sanggup lakukan apa pun sebagai tanda terima kasih itu. Termasuklah menyimpul mati rasa kasih dan rindu yang membusung di dalam.

Terkenangkan itu, air jernih yang bertakung sejak tadi gugur juga ke pipi. Demi-Mu, ya Allah… aku pasrah!

Kondominium milik Nuqman sunyi waktu mereka melangkah masuk. Nabil yang memang menyimpan salah satu kunci rumah itu sudah menghubungi abangnya yang masih sibuk di The Turban untuk memantau persiapan terakhir majlis sepertimana yang dirancang. Hebat abangnya, merancang majlis perkahwinan nun jauh dari Istanbul. Maka Norhan dan Najjahlah yang berhempas-pulas menyiapkan semuanya seperti yang dihajatkan abang sulung mereka. Mujur ada tim Peace Yo! yang aktif berperanan menjayakan majlis abang kesayangan mereka.

“Bu, Nabil nak pergi tolong abang, ya. Nabil belikan makanan tengahari sekali. Ibu dengan Nur rehatlah dulu,” Nabil yang sudah menyimpan beg pakaiannya di bilik ketiga sudah bersiap sedia hendak keluar.

“Eh! Sejak bila pula ibu nak makan makanan yang dibeli di luar? Jangan nak menyibuk dengan kerja abang kau tu, Bil. Nanti kejap, ibu nak bagi senarai barang yang nak dibeli. Ibu nak masak. Nak tambah-tambah saja. Rendang daging ada ibu bawa sekali ni.” Ibu Aisyah sudah siap mencapai buku nota kecil dan pen yang sudah tersedia di atas peti sejuk di ruang dapur.

“Alaaa… bu! Kami nak ibu rehat-rehat bukan nak minta ibu masak-masak. Bila lagi ibu nak berehat? Abang Man dah pesan, malam ni nak bawa ibu dan Nur makan di luar,” serentak itu pandangan Nabil menjamah wajah Nur yang ikut duduk di meja makan di sebelah ibunya untuk melihat barang apa yang mahu dipesan. Tepat sekali! Wajah itu terdongak saat namanya disebut. Langsung senyuman mekar di bibir Nabil dengan harapan yang membukit dalam dada. Abang dah ada yang punya, Nur. Tapi adiknya belum lagi!

“Jangan nak merepek. Man tu dah sebulan dia tak balik. Dah sebulan makan di luar. Dah balik sini pun, nak makan di luar lagi? Suruh Norhan, Najjah dengan Man balik sini malam nanti. Kita makan ramai-ramai. Ibu dengan Nur nak masak,” putus kata Ibu Aisyah dengan kuasa vetonya. Siapa berani lawan?

Terkulat-kulat Nabil melangkah lalu mengambil tempat di meja makan untuk menunggu senarai barang dari ibu. Sempat dia dan Nur berbalas pandang dan gadis itu cepat tunduk semula. Dari sinar sepasang mata cantik itu, Nabil tahu Nur sedang ketawakan dia di balik tabir muka. Aduh, berdenyut hati tiba-tiba. Senyuman merkah di bibirnya dan wajah bertabir itu ditatap tak lepas. Ibu Aisyah tanpa mengangkat muka cukup tahu apa yang berlaku di hadapannya pantas bertindak meminta Nur memeriksa apa yang ada di dapur supaya apa yang tak ada dapat dibeli sekaligus.

Sepuluh minit berlalu, Ibu Aisyah dan Nur Maya yang sudah selesai menukar baju di bilik kedua yang mereka kongsi bersama, bergegas masuk ke dapur untuk mula memasak. Sementara menunggu Nabil balik dari pasar basah, Ibu Aisyah mengeluarkan periuk dan kuali untuk dicuci terlebih dahulu kerana sudah lama tak digunakan. Ternyata sejak tiba semalam, Nuqman belum masuk ke dapur. Dia cuma memesan makanan dari restoran makanan segera dan dari restoran berdekatan kerana ada kotak pizza dan bekas makanan dalam tong sampah. Hiba hati ibu Aisyah bila melihat makan minum anak bujangnya tak terjaga. Dan dia bersyukur sangat-sangat kerana tak lama lagi, bakal menantunya akan tinggal di sini dan menjaga segala keperluan Nuqman.

Sebaik saja Nabil pulang dari pasar, Ibu Aisyah sibuk mengatur bahan untuk dikupas oleh Nur Maya yang sudah selesai menanak nasi. Kemudian dia meletakkan plastik yang berisi sotong buncit di sinki. “Nur suka makan sotong masak lemak tak?”

“Err… sotong masak lemak? Pernah juga makan, ibu. Tapi… err… Nur tak pernah masak,” Nur yang setia di sisi terperanjat melihat sotong-sotong yang besar-besar di tangan Ibu Aisyah. Cemas bergayut di tangkai hatinya kalau-kalau dia diminta memasak masakan itu.

“Ibu asal dari perak. Kami memang suka makan sotong bertelur masak lemak. Arwah suami ibu, orang Negeri Sembilan. Jadi ibu masak lemak cili padilah. Kalau Nur nak tahu, inilah makanan kegemaran Abang Man. Anak-anak ibu panggil sotong buncit. Mujur sekarang tengah musim sotong bertelur. Ada rezeki Abang Man nak makan.”

“Amboi, ibu? Abang Man je? Kami ni tak ada rezeki, ke?” Nabil bersuara merajuk.

“Mengada! Ni awak beli banyak macam ni, siapa yang nak habiskan? Selalunya Bil juga orang terakhir habis makan, kan?” tempelak Ibu Aisyah.

Tergelak Nur dibuatnya. Nabil buat muka selamba sambil mematahkan tangkai cili padi sebelum dikisar.

“Nur tolong ibu sediakan bahan, ya. Ibu nak basuh sotong ni. Telur sotong ni kena hati-hati. Mudah pecah. Sebab tu ibu suka masukkan balik telur dan kepala dalam sotong lepas dibersihkan.” Nur mengangguk laju lalu melangkah ke meja di mana Nabil sedang menyudahkan kerjanya.

“Bahan-bahannya, bu?” dalam serba salah, Nur bertanya juga.

“Sini, saya ajarkan!” Nabil cepat menawar diri. Kunyit hidup dan bawang serta serai dikeluarkan dari plastik yang dibawa masuk tadi.

“Kisar je cili padi ni dengan kunyit hidup dan bawang. Serai ni ketuk-ketuk je,” ujar Nabil seraya mengumpulkan bahan-bahan itu di hadapan Nur. Tanpa memandang lelaki itu, Nur terus saja memulakan kerjanya.

“Nur masukkan bahan kisar tu dalam periuk ni, ya! Dengan serai ketuk sekali.
Jangan lupa asam gelugur. Cukup sekeping saja. Ibu dah siap ni. Kita masak dulu sekali dengan sotong sampai kering air, lepas tu baru masukkan santan dan garam. Masak sampai pekat. Sekejap saja. Nak sedap lagi, kita carikkan daun kunyit dan masukkan daun kesum sikit.” Tangan Ibu Aisyah sama laju dengan butir bicaranya.

Kemudian mereka masak sayur cendawan yang hanya dibuat sup, dirampaikan dengan ikan bilis. Ditambah dengan sambal belacan, ikan goreng dan sedikit ulam-ulaman, juadah tengahari siap terhidang. Dan loceng di pintu pun berbunyi…

Nuqman memeluk erat ibunya dari belakang membuat Nur tertunduk sebak. Kasihnya pada ibu jelas tak terbendung. Tangan ibu ditarik lalu dibawa duduk ke sofa. Tanpa melepaskan tangan tua yang banyak berjasa tu, Nuqman bertanya khabar dan berita tentang ibu dan kampung halaman. Dalam sibuk bersalaman dengan Najjah dan menyambut buah tangan yang dibawa, Nur sempat mencuri pandang dan mendengar perbualan anak beranak tu.

“Man minta maaf sebab tak balik jemput ibu. Sibuk sangat, bu. Tak cukup masa rasanya. Banyak lagi yang belum siap kat dewan tadi. Sebab tu, Man datang ni, nak bawa ibu dan Nur ke Turban. Kita makan di sana ya. Lagi pun Man ada janji dengan orang, nak jumpa kejap lagi. Boleh ibu tengok-tengokkan persiapan tu, kalau ada apa-apa yang tak kena,” pinta anak sulung Ibu Aisyah bersungguh-sungguh.

“Tapi ibu dah masak untuk Man… dah lama Man tak makan…”

“Ibu, ibu tahu kan?”

“Tahu apa, Man?” Terpinga-pinga wajah tua itu.

“You are the best cook in the whole world, bu! Tak ada sesiapa pun, sampai bila-bila pun, yang boleh menandingi masakan ibu Man. Termasuk tuan puteri kita nanti. Tapi bu, untuk tengahari ni, minta maaf sangat-sangat. Kita terpaksa ke The Turban sekarang. Kita makan di sana, ya bu!”

“Tapi Man… ibu masak lemak sotong buncit untuk Man…” Nuqman terkejut. Berkerdip kelopak matanya beberapa kali. Kemudian dia tunduk sambil ketawa kecil.

“Ibu! Kenapa susah-susah untuk Man… tak apa, ada rezeki malam nanti Man makan ya. Jom kita bertolak sekarang. Ibu dengan Nur tukar baju dulu. Bawa telekung sekali. Nanti solat dan rehat di bilik Man.” Bahu ibunya dipaut supaya berdiri.

Jatuh pandangan seorang ibu dari wajah anaknya. Sebak yang bergayut di tangkai hati jelas tergambar dalam sinar matanya yang berubah suram. Perlahan-lahan Ibu Aisyah mengatur langkah lemah menuju ke bilik.

Nabil, Norhan dan Najjah yang tadi berbual di meja makan terdiam melihat perubahan pada ibu yang melintasi mereka dalam senyap. Nur juga terpempan di situ. Dia ikut melangkah mahu ke bilik tetapi tak jadi. Hatinya tiba-tiba berat. Tak sanggup mahu berdepan dengan Ibu Aisyah di bilik nanti. Dia tiba-tiba berpatah arah, melangkah ke sofa di mana Nuqman sedang tersandar sambil memejam mata melepaskan lelah.

“Abang Nuqman…” sapa Nur di hujung suara. Sepasang mata yang terpejam itu terbuka bila mendengar namanya diseru.

Nur Maya! Lekas-lekas Nuqman menjatuhkan pandangan. Aura yang terpancar dari sepasang mata beralis lentik itu tak mampu dibalas pandangannya.

“Mungkin abang boleh tunda sekejap temujanji abang? Mungkin orang yang menunggu tu sedikit kecewa tapi tak mungkin kecewa macam yang ibu rasakan waktu ni,” Nur memberanikan diri bersuara.

“Ibu masak dengan harapan. Ibu masak dengan kasih sayang… dengan rindu. Takkan keterlaluan kalau abang jamah masakan ibu sekejap? Pasti Allah uruskan yang lain-lain kalau hati ibu terhibur, kan Abang Nuqman?” lembut pertanyaan itu menusuk jantung lelaki Nuqman. Seketika dia tersentak. Kesibukan dan keterujaan untuk melangsungkan perkahwinan dengan kekasih hatinya buat dia terlepas pandang.

“Nur masuklah dulu. Tukar pakaian. Abang tunggu,” itu saja bicara yang mampu Nuqman luahkan. Dia terhenyak di sofa bila Nur tunduk mengangguk dan berlalu pergi.

Di bilik, Ibu Aisyah mengesat air jernih di tubir mata bila daun pintu diselak. Nur yang sudah dapat mengagak cepat-cepat mengambil pakaiannya lalu masuk ke bilik air. Tegakah Abang Nuqman? Dia menahan sebak.

Ibu Aisyah masih duduk di birai katil bila Nur keluar dengan pakaian lain. Siap bertudung dengan tabir mukanya dipasangkan.

“Ibu…?”

“Ibu tunggu Nur,” jawab ibu dengan senyum pahit.

Mereka keluar beriringan dan agak hairan dengan suara riuh bertingkah di meja makan. Najjah sibuk menghidang, Nabil pula membancuh minuman sejuk sementara Norhan menyenduk nasi. Nuqman? Nuqman sedang duduk menyuap nasi dengan sotong buncit masak lemak dengan begitu berselera sekali.

“Ibu, tak tahan tengok sotong ni. Man makan dulu. Cepat, bu… kita makan sama-sama!” Ibu tersenyum terharu sambil menggelengkan kepala. Nuqman bingkas bangun menarik kerusi untuk ibunya.

“Man minta maaf, bu. Man sibuk sangat sampai terlupa betapa sedapnya sotong buncit ni…” bisik Nuqman di telinga ibunya saat wanita yang paling disayangi itu melabuhkan punggungnya. Dan serentak itu juga pandangannya bersabung dengan sepasang mata Nur Maya. Ada senyum dan hiba bersatu di situ.

*** Bersambung…

***Harap sudi komen, like and share kisah ni. Moga sikit sebanyak ada manfaatnya.

Salam sayang!
Juea.

PERSIS AKAR DANI Bab 6

Tangannya masih melingkar di pinggang. Berat sungguh hendak melepaskan isterinya pergi pagi ini. Rindu yang sarat ini seakan belum terubat sedikit pun. Berkali-kali kepala isterinya dikucup lama. Tuhan… betapa indahnya hidup bila fitrah insan terisi. Rasa perlu memerlukan dan kasih mengasihi yang Engkau suburkan dalam dua jiwa ini adalah anugerah terindah. Sungguh, ya Allah… sifat-Mu yang Maha Pengasih itu Engkau alirkan ke dalam hati-hati makhluk ciptaan-Mu. Walau mungkin ini hanya setitis dari selautan kasih sayang-Mu tapi sudah terlalu indah jadinya hidup. Kalaulah kami dapat benar-benar merasakan hebatnya kasih sayang-Mu, ya Allah… bagaimanalah? Pasti takkan pernah sesaat Engkau tidak kami cintai.

Puteri Zulaika membalas pelukan erat suaminya. Dada lelaki itu… itulah ‘rumah’nya. Tempat paling damai! Setiap kali dia bernafas, setiap kali jantungnya berdegup, setiap kali itulah terasa cintanya menyerap ke dalam seluruh jiwa raga. Kerana itulah, setiap kali didakap Nuqman, dia takkan pernah mahu meleraikannya.

“Sayang…”

“Hmm…?”

“Stay…”

“Kenapa?”

“Rindu…”

Ahh… terasa mahu dibenam seluruh diri dalam lelaki itu!

“Sayang…”

“Hmmm…?”

“Ibu dah nak sampai…”

“Biarlah…”

“Nanti ibu sedih…”

“Hmmm…” Nadanya lirih. Mana mungkin dia sanggup buat ibu sedih!

“Sayang…”

“Hmm…?”

“Kat rumah abah, ada tangga tak?”

“Ada.”

“Di mana?”

“Dalam stor.”

“Kunci?”

“Ya.”

“Malam ni, sayang buka kunci stor. Lepas tu, jangan kunci tingkap.”

“Kenapa?”

“Abang nak datang…”

“Abang!”

Puteri Zulaikha tak dapat menahan ketawa lagi. Tambah erat tubuh kekar lelaki itu didakapnya. Biar Nuqman tak boleh bernafas. Nakal sangat!

Nuqman ikut ketawa lalu melepaskan pinggang dan mengangkat dagu Puteri. Dua ulas bibir yang masih basah ketawa itu dikucup geram.

Rindu yang belum terubat ini terasa makin parah. Baru bertemu semalam, hari ini terpaksa berpisah lagi. Ibu yang belum tahu tentang pernikahan mereka akan tiba sekejap lagi ke kondominium itu. Jadi Puteri harus ‘hilang’ dari situ. Bidadarinya itu harus dikembalikan ke rumah abahnya untuk bersiap sempena majlis nikah esok. Ya, mereka akan memperbaharui nikah seperti yang disunatkan dan majlis itu juga untuk menyempurnakan perkahwinan mereka di mata ibu dan seluruh keluarga yang belum tahu tentang pernikahan mereka yang dulu.

Kali ini, mereka akan diijabkabulkan dengan hati yang redha dan bahagia. Hubungan dua jiwa yang sudah terpatri bersatu ini harus dinamakan sebagai suami isteri berserta tanggungjawab yang bukan sedikit.

Debar hati Nuqman untuk diakadnikahkan sekali lagi semakin kuat. Eh! Jangan ingat mudah. Untuk lafaz nikah nanti, memang boleh dihafal. Tapi apa yang berlaku di hadapan khalayak keluarga terdekat nanti, masih belum dapat dijangka. Harapannya semua akan baik-baik saja, pujuk hati Nuqman.

Mereka bergerak ke rumah Tan Sri Megat Hashim Fadhlullah kira-kira hampir setengah jam kemudian. Kereta yang dipandu Nuqman tak pernah seperlahan itu. Selagi terdaya, dia mahu melengahkan masa untuk bersama Puteri. Kerana selepas ini, mereka akan berpisah sehingga bertemu kembali selepas majlis pernikahan esok. Ruang waktu di antara itu akan terasa kosong tanpa Puteri di sisi. Mujur harumnya sudah dihirup Nuqman untuk menemaninya hingga malam nanti. Ah… pastinya malam yang cukup menyeksakan seperti malam-malam yang sunyi sepanjang dia di Istanbul tanpa Puterinya.

“Abang harap Ika suka dengan semua yang abang pilih untuk majlis kita nanti,” suara Nuqman memecah hening suasana dalam perut kenderaan itu. Puteri tersenyum mendengarnya lalu berkalih ke kanan dan memaut lengan Nuqman, menyandarkan pipinya di situ. Manja teramat.

“Ika suka dengan apa pun pilihan abang. Yang penting, semua ni berjalan lancar dan kita tak perlu lagi nak bersembunyi macam ni,” ujarnya dalam nada sedih.

“Hmmm… kalau Ika cakap macam ni setahun yang lepas, kan senang!”

Puteri Zulaikha menjeling tajam lalu terus duduk menjauh. Tersentuh hatinya bila kisah lama diungkit kembali.

“Sayang… hmmm… abang usik sajalah! Lagi pun, seronok apa main sorok-sorok. Lebih mengujakan, betul tak?”

Sekali lagi dirinya dipanah dengan jelingan tajam. Berkerut muka Nuqman seolah-olah sakit dengan panahan itu.

“Abang ingat mudah untuk Ika lalui semua ni?” Soalan Puteri itu sarat dengan rasa dan ceritanya. Nuqman terkedu. Ya, dia amat tahu apa yang dilalui oleh wanita kesayangannya itu. Satu perjalanan hidup yang sangat menduga emosi. Mungkin ramai yang kecundang kalau melewati jalan yang sama tapi tidak Puteri Zulaikha. Apa yang diharapkannya agar luka yang paling dalam di hati wanita itu kini sembuh tak berparut lagi.

Jemari Puteri diriba diraih lalu dibawa ke bibirnya, dikucup lembut. “Banyak simpang yang akan kita tempuh sepanjang hidup, Ika. Kalau sebelum ni, kita ikut kata hati. Lepas ni, abang harap, kita ikut kata Tuhan. Dalam setiap persimpangan dalam hidup, di situ sebenarnya Allah mahu menguji hamba-Nya. Apakah kita akan pilih jalan yang Allah redha atau yang syaitan suka. Dalam Islam, Allah mudahkan. Hanya ada dua jalan. Tak ada pilihan di tengah-tengah. Dan kalau kita pilih jalan yang Allah redha, insyaaAllah, Allah akan bersama kita sampai ke persimpangan yang seterusnya. Kalau sebaliknya, Allah akan berlepas tangan kecuali kita bertaubat dan balik kepada jalan Allah. Jadi, Ika jangan ingat lagi perkara yang dah lepas. Fokus dengan waktu sekarang dan hari esok. Apa yang dah berlaku tu ada banyak ilmu yang perlu kita kutip untuk tempuh hari esok yang kita belum tahu apa yang akan jadi. Salah bagi abang sebab cakap macam tu tadi. Eloklah kita tempuh yang susah sebab itu yang mematangkan kita. Kalau senang saja, mungkin hubungan kita tak seistimewa ini, betul tak?”

Puteri terdiam. Nuqman memang bijak kalau memujuk. Namun kata-katanya memang tak boleh hendak ditolak kebenarannya. Dia sedar, dia pernah buat kesilapan dalam memilih haluan. Syukur ke hadrat Ilahi, Allah datangkan lelaki itu sebagai penyelamat dan pelindungnya. Kelopak matanya tiba-tiba terasa hangat. Serentak itu, jemarinya dalam tangan Nuqman digengam kuat, berpaut pada kekuatan lelaki dambaan jiwanya.

Mereka tiba juga akhirnya ke destinasi. Beberapa buah kereta sudah bersusun di dalam dan luas perkarangan rumah dua tingkat itu. Nuqman memarkirkan kereta di bibir jalan sahaja.

“Abang tak perlu masuk ya. Segan, dah ramai kat dalam tu,” Puteri gelisah bercampur malu. Dah tahu bagaimana dia akan diusik nanti. Jadi lebih baik Nuqman hantar sampai di sini saja. Jangan dia ikut masuk dan serah diri untuk jadi mangsa juga.

Nuqman tersenyum meleret. Dia angguk. Kalau diikutkan hati, dia mahu masuk menyerahkan anak kesayangan abah ini kembali ke pangkuan keluarganya. Itu lebih sopan. Namun bimbang diusik dan mengundang fitnah, dia harus akur dengan permintaan Puteri.

“Ingat malam nanti…”

“Abang…!”

Pecah ketawa mereka berdua. Tak boleh nak dibayangkan kalau betul-betul Nuqman panjat tangga dan muncul di tingkap biliknya malam nanti. Pasti malam itu akan jadi malam paling romantik dalam hidupnya!

“Call abang malam ni bila semua dah selesai. Jangan biar abang jadi pungguk,” lirih suara lelaki itu buat Puteri jadi tersenyum sebak. Begitu sekali dalamnya kasih sayang ini, Tuhan!

***Bersambung…

ps: Teringat babak di tangga dalam Pretty Woman. You all ingat tak? Suka tak babak tu? Haaa… jangan Nuqman ulang sejarah! Haha

Tapi dalam kisah Nuqmanika, Ika yang gayat. Bukan Nuqman. Ingat babak di Galata Tower dalam Makna Pada Rasa? Hmmm…

Terima kasih sudi singgah. Please like and share if you like this story.

Hugs,
Juea Abdullah

PERSIS AKAR DANI Bab 5

Nur Maya hampir terduduk tatkala mendengarkan perkhabaran itu. Gadis bertudung labuh dengan tabir muka yang hanya menampakkan sepasang matanya sahaja cepat-cepat mengambil tempat duduk di bangku batu di halaman Baitul Rahmah, rumah penginapan warga emas milik Nuqman. Rumah tempat dia bernaung dan berkhidmat, membantu menjaga keperluan penghuninya. Nafas ditarik perlahan-lahan agar tidak jelas perlakuannya di mata Muhamad Nabil, adik lelaki Nuqman.

Nuqman! Nama itu bergema dalam dadanya yang sudah sedia ketat.

“Nur… dengar tak ni?” Nabil kaget dengan sikap Nur Maya yang tiba-tiba terdiam. Sedangkan tadi suaranya lunak bertanyakan khabar ibu dan sepasang mata yang galak dan beralis lentik yang selalu mendebarkan jiwanya itu bersinar ceria. Ya, kalau nak tahu apa yang Nur rasa, hanya boleh dilihat pada sepasang matanya yang besar dan cantik itu, yang jadi pintu ajaib untuk menerobos masuk melihat dalam dirinya.

“Ahh…? De-dengar! Nur dengar…” Dia mengangguk seraya meramas jemari sendiri. Pandangannya berlari tak tentu arah. Dia cuba tersenyum tapi tak jadi. Mindanya juga hilang fokus tiba-tiba.

Nabil ketawa kecil. Dia yang tadi berdiri di tepi kolam ikan yang dihiasi rimbunan heliconia melangkah ke bangku batu yang mengelilingi meja dan melabuhkan punggung di situ. Jarang dia melihat tingkah laku Nur Maya yang begitu pelik. Selalunya gadis ini lebih tenang dari air di tasik.

“Nur terkejut dengar Abang Man nak kahwin ya? Ibulah ni! Dia kelam-kabut bersiap nak buat kenduri sambut menantu sampai terlupa nak bagitau Nur. Itu yang ibu pun tak sempat nak ziarah Nur kat sini. Dia sibuk. Sebenarnya kami dah pergi pinangkan Kak Ika sebelum Abang Man balik Istanbul bulan lepas. Tapi ibu tak nak bising-bising, takut tak jadi. Tapi alhamdulillah, dah jodoh diaorang. Bersatu juga akhirnya.” Nabil menutup bicara sambil mencuri pandang ke sepasang anak mata Nur yang seperti mahu mengelak dari memandangnya.

Kenapa, Nur? Terkejutkan? Hati lelakinya bergelojak ingin menatap seraut wajah Nur yang terselindung di balik tabir muka itu yang belum pernah dijamah oleh pandangan matanya.

Nur Maya terus tunduk memandang rumput menghijau yang melatari halaman sepanjang mendengar cerita Nabil, seakan-akan mahu mengutip serpihan hatinya yang dirasakan bertaburan jatuh saat itu. Kepalanya dianggukkan. Tapi masih tiada butir bicara yang mampu diluahkan dari bibirnya. Sebab dia sedang menahan rasa pedih sebenarnya.

Abang Nuqman… sangkanya…. Ah! tak mungkin! Memang sudah berkali-kali dia menidakkan bisikan nalurinya. Tak mungkin Abang Nuqman bakal memilihnya sebagai teman hidup. Tapi layanan Abang Nuqman, hadiahnya yang datang mengunjungi silih berganti walaupun tuan punya badan jauh di Istanbul sana membuatkan hatinya yang berdarah jadi terubat dan sembuh. Belum lagi pesanan-pesanannya di Whatsapp yang sangat mengambil berat tentang diri ini.

‘Nur jangan pandang ke belakang lagi. Abang takkan biarkan Nur. Abang nak Nur cekalkan hati raih keampunan Allah. Abang tak pernah lupa mendoakan Nur. Ingat tu!’

Duhai… hati manalah yang tak menggantung harap? Setitis air jernih mengalir dalam diam. Nur tahu, lelaki sebaik Abang Nuqman bagaikan berlian antara pepasir yang banyak.

Beruntunglah Puteri. Rupanya mereka bukan sekadar ‘kawan lama’ seperti yang pernah diberitahu Puteri. Layaklah mereka disatukan. Sedangkan aku ni jijik untuk sesiapa pun! Hati Nur tiba-tiba sebak. Jemarinya menekup bibir dari atas tabir demi menahan rasa hiba. Tapi aku amat perlukan pimpinan dan kasih sayangnya, ya Allah! Aku takut nak harung hidup sendirian. Keyakinan aku belum sekuat mana tanpa Abang Nuqman!

“Nur takut nak ke KL ke ni?” Telah Nabil lagi. Melihat Nur yang nampak emosi tiba-tiba buat dia jadi berbelah-bagi. Patutkah Nur dibawa bersama? Dia tahu yang Nur Maya adalah saksi yang dilindungi polis dan sedang membantu siasatan tetapi dia tak tahu tentang kes yang melibatkan Maya. Hanya Abang Nuqman dan Asistan Superintendan Polis (ASP) Rizal yang terlibat secara rahsia dan Nabil hanya diminta membantu mereka menjadi orang perantaraan dengan Nur Maya sekiranya perlu.

“Err… hmmm…” Nur Maya angguk. Biarlah kalau itu boleh dijadikan alasan. Hakikatnya dia sudah tak kisah lagi tentang dirinya. Saat itu, dia cuma mahu meratap bagi meredakan rasa kehilangan yang tiba-tiba datang.

“Saya kan ada? Tak usah bimbang, Nur!” Gadis itu terus menundukkan kepala. Jemari putih mulus itu saling meramas di ribanya. Nabil menghela nafas panjang. Dia sanggup lakukan apa saja demi melindungi Nur tapi rasanya Nur tak pernah perasan pun tentang itu.

Kalau awal dulu, memang Nabil yang banyak berperanan dalam keperluan Nur. Tapi sekarang, dia rasa terpinggir. Rizal sudah menghantar ibunya ke Baitul Rahmah. Nabil tak pasti, apakah sebagai penyamaran supaya dia dapat berjumpa Nur tanpa disyaki atau sememangnya kerana mahu mendekati Nur sebenarnya. Melihatkan hubungan baik ibu Rizal dengan Nur menambah rasa gusar dalam dada Nabil.

“Nur, kita pergi sekali dengan ibu hari ni ya. Ibu ajak Nur tidur di kondo Abang Nuqman.” Nabil cuba memujuk. Peluang untuk dia mendekati Nur sudah ada di depan mata. Isyhh… kalau diikutkan hati, mahu saja dia menculik gadis si mata cantik ni dan bawa dia jauh dari semua orang.

Nur mendongak memandangnya namun bibirnya yang terlindung itu tak juga berbicara. Kemudian dia menoleh ke arah Baitul Rahmah seolah-olah berat hatinya hendak meninggalkan penghuninya.

Nabil yang tersilap menelah gelodak hati gadis itu terus saja beritahu tentang rancangan yang sudah diatur. “Esok Pak Su dengan Mak Su akan bawa semua yang ada kat sini termasuk Makcik Gayah ke The Turban dengan bas. Jadi Nur memang cuti sepenuhnya untuk hari ni dengan esok. Pergilah bersiap. Kejap lagi, saya datang dengan ibu ambil Nur di sini dan bertolak terus ke KL. Boleh kita jumpa Abang Man dulu sebelum majlis. Abang Man dah sampai semalam.”

Mendengarkan nama lelaki itu disebut, Nur Maya jadi teruja. Gembira hatinya tak terkata. Moga redalah rindunya yang sudah menggunung. Sepasang mata itu kembali bersinar. Dapat menatap wajah Nuqman saja sudah seperti dinaungi warna pelangi!

Nabil tersenyum kelat. Hati gadis itu dapat dibaca dari sinar matanya. Hai lah! Bertuah Abang Man. Selalu jadi pilihan!

***Bersambung…

Pssttt: Terima kasih sudi singgah! Sudi-sudikan lagi ya…

Kalau suka dengan siri novel ni, please share. Tq!

PERSIS AKAR DANI Bab 4

Seorang lelaki berbadan sasa dengan ketinggian enam kaki melangkah tenang melewati airbridge selepas kapal terbang yang dinaikinya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat pada jam 6.35 pagi waktu tempatan. Penerbangan selama dua puluh dua jam dengan All Nippon Airways (ANA) dari Los Angeles dan singgah untuk pertukaran penerbangan di Haneda, Tokyo, cukup merimaskannya walaupun dalam keadaan selesa. Hatinya yang rimas bukan jasadnya!

Maya!

Nama itu bergema dalam dadanya hingga membuatkan dia terdongak mengitari binaan dalaman KLIA yang berkonsepkan lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang sebagai pengenalan awal bagi yang baru tiba ke negara ini. Suasana hening dan sunyi. Tiada sesiapa yang menanti kepulangannya. Dan tentu saja tiada Maya!

Sejauh Los Angeles dia bawa diri demi mencari bidadari di negeri asing yang mendapat jolokan ‘City of Angels’ itu untuk menggantikan tempat Maya di hatinya namun tetap hampa. Kekosongan yang ditinggalkan Maya bukan saja sukar dicari gantinya malah menghimpit dirinya. Ya, dia dihimpit dengan rasa sunyi dan kehilangan yang amat. Maya! Hatinya bertasbih nama gadis itu.

Remy Iskandar, berambut lurus dengan kulit rona sawo matang, berwajah tampan namun raut mukanya keras dan liar. Darah wanita Thailand yang melahirkannya membuatkan wajah itu unik dengan sepasang mata helangnya, hidung tinggi lurus dan bibirnya nipis dan berlekuk dipagari kumis nipis. Wajah yang pernah mencairkan hati seorang gadis bernama Maya.

Pertama kali melihat gadis itu tertawa ketika sedang minum petang di Melting Pot, Hotel Concorde, Remy tak mampu mengalihkan pandangan. Bidadarikah dia? Soalan itu berlegar dalam kepalanya. Marahnya kepada Alvin Lim, rakan niaganya yang tak kunjung datang berdesup hilang hilang serta-merta. Kejelitaan dan senyum tawa gadis yang duduk di meja di tepi dinding kaca restoran itu memukau hati dan mindanya. Laju dia memanggil pelayan lalu memesan strawberi dan coklat untuk tiga orang. Tidak lama kemudian, dia mendekati mereka dengan menu pemanis mulut di tangan.

Gadis dan coklat, mana boleh dipisahkan. Dan dia pula Remy. Remy nak, dia dapat! Sejak petang itu, Maya dan temannya, Zetty, menemani Remy berhibur hampir setiap malam. Mengapa keduanya? Kerana Maya hanya mahu keluar bersama jika ada Zetty. Dan bagi Remy, itu tak pernah menjadi masalah.

Hampir setiap malam, Remy akan menjadi pemandu teksi. Aneh bukan? Tapi demi bidadarinya, dia sanggup lakukan apa saja. Maya takut dihantar pulang oleh mana-mana lelaki. Ibu dan ayahnya agak ortodoks, kata Maya. Kerja mudah bagi Remy yang siap mencari si pemandu teksi yang sanggup meminjamkan kereta sewaannya bila masa saja yang Remy perlukan.

Mulanya hanya untuk menghantar Maya pulang. Tapi hanya untuk sekali dua. Selepas itu, Remy bawa Maya menjelajah satu demi satu lokasi yang indah di Kuala Lumpur sebelum menghantarnya pulang ke rumah. Dan setiap detik bersendirian bersama Maya amat mengasyikkan. Maya? Tentu saja teruja dengan kesanggupan lelaki itu tanpa sedar yang dia sudah berada dalam perangkap cinta Remy.

Ya, perangkap sebenarnya. Remy tersandar lelah di tempat duduk belakang teksi yang kini meluncur laju meninggalkan KLIA menuju ke kondo miliknya. Kondo di mana dia menikmati Maya. Detik itulah yang tak pernah padam dari ingatannya. Mengingatinya saja cukup membuatkan tubuhnya hangat terawang. Sungguh! Maya lain dari yang lain. Dia polos, mulus dan suci saat pertama kali dirinya disentuh. Seterusnya saat-saat bersama Maya jadi momen terindah dalam hidupnya.

Namun Remy mana pernah puas. Maya memecah rekod teman wanita yang paling lama berada di sisinya. Selepas itu, Maya dia tinggalkan sepertimana dia meninggalkan teman-teman wanitanya sebelum ini – dijual kepada Alvin Lim yang sentiasa mahukan muka baru.

Ya. Dia jual Maya! Dia perdagangkan Mayanya kerana desakan nafsu sendiri yang tak pernah menolak bila ditawarkan wang berkepuk. Alvin tahu betapa hebatnya Maya. Dia dan lelaki Cina yang sangat berpengaruh dalam dunia hitam di Kuala Lumpur itu tak pernah berahsia tentang apa pun. Namun kerana hatinya berat mahu melepaskan Maya, untuk pertama kalinya dia hanya meminjamkan saja teman wanitanya kepada Alvin untuk tiga bulan saja.

Hari ini adalah hari yang dijanjikan. Dia mahu Mayanya semula. Rasa kehilangan ini sudah tak tertanggung. Rengekan dan bisikan manja Maya semakin memburu malamnya hingga dia tak mahu lagi menyentuh mana-mana perempuan walaupun bidadari dari Los Angeles. Hah… manakan sama! Maya menyentuhnya dengan penuh kasih. Belaian Maya mengulitnya terus dari hati. Seluruh cinta Maya hanya tertumpah untuk dirinya saja. Hanya dia yang buta terhadap Mayanya.

Remy melangkah masuk ke kondo yang sudah sebulan dia tinggalkan. Sejak Maya diserahkan ke tangan Alvin, kondo ini belum pernah dijejaki mana-mana perempuan. Seakan dia mahu haruman Maya kekal di situ. Pakaian Maya, alat solek Maya dan segala milik Maya masih kekal di kondo itu tak berusik. Semua itu selalu dipandang dan disentuh penuh rindu. Dia nanar sungguh dengan belaian Maya namun janjinya dengan Alvin tak semudah itu untuk diingkari. Apatah lagi penglibatannya dalam Triple 3 bukan main-main. Kalau dia memungkiri, dia bukan sahaja harus berdepan dengan Alvin Lim, ketua Triple 3 tapi seluruh ahli kumpulan itu. Dua orang pengawal peribadi Alvin, Pirate dan Tiger adalah pembunuh upahan yang profesional dan paling digeruni dalam kumpulan itu. Maka, Remy terpaksa akur demi nyawamya dan Maya.

Segala kegiatan gelapnya yang selama ini terlindung dari penglihatan Maya terbongkar akhirnya. Remy menatap potret Maya yang setinggi dirinya di dinding ruang tamu dengan aksi paling panas yang dipersembahkan oleh Maya khusus untuknya. Dia ketawa bangga sambil mengangkat gelas minuman ke arah Mayanya.

“Kita akan bertemu lagi, Maya. Tunggu kejutan malam nanti, sayang!” Remy meneguk air kuning itu sampai habis diiringi senyuman di bibirnya yang basah.

Tapi mahukah Maya menerimanya lagi?

“Apa semua ni, Remy? Ke-kenapa bawa Maya ke sini?” Lengannya dipaut Maya, erat mencengkam. Benar. Maya belum pernah dibawa ke situ, penthouse milik Alin Lim. Melihat ramai ahli Triple 3 di situ bersama gadis-gadis yang sedang diurusniaga, Maya yang tadinya teruja dibawa ke hotel mewah ini berubah cemas.

Di bilik Alvin, lelaki itu sudah siap menunggu. Sebaik saja pintu kamar itu ditutup, Maya memeluk erat lengan Remy seakan tak mahu melepaskannya lagi.

“Dia milik kau sekarang, Alvin. Macam yang dijanjikan. Tapi ingat, jaga dia baik-baik.” Suara Remy waktu itu hambar tanpa nada. Alvin yang segak dengan jaket hitamnya ketawa besar sambil meratah sekujur diri Maya tanpa berselindung lagi.

“A-apa ni? Apa ni, Remy? Jangan bergurau macam ni. Maya tak suka! Jom, Remy! Kita balik sekarang…”

“Maya! Maya! Maya!” Namanya diseru oleh lelaki cina berwajah liar itu. Remy yang berdiri tegap dengan kaki yang terbuka hanya tunduk memaku pandangan ke lantai. Maya sudah menyembunyikan diri di belakangnya. Dan untuk pertama kali, Remy tak sanggup hendak memandang wajah perempuan yang bakal dia tinggalkan.

“Mari sini, sayang. Aku akan layan kau sepuluh kali baik dari Remy. Aku akan pastikan kau takkan ingat lagi siapa Remy lepas ni,” Alvin ketawa terbahak-bahak.

Entah kenapa,darah Remy membuak bila mendengarnya. Sedangkan selalunya dia ikut ketawa dengan jenaka Alvin yang dia sangat faham apa maksudnya.

Remy tak mahu ingat lagi kejadian malam itu. Pertama kali Maya menggeletar, menangis dan merayu hingga dia tersungkur memeluk kakinya. Remy sudah lali dengan semua itu. Namun raungan Maya sebelum tangan Alvin menekup hidungnya dengan sapu tangan yang sudah dipersiapkan memburu ke mana pun dia pergi.

“Tolong, Remy! Remy yang Maya sayang takkan buat Maya macam ni…”

Remy yang kau sayang ini hakikatnya binatang, Maya! Memori bagaimana Maya terkulai tak sedarkan diri di pangkuan Alvin selalu membuatkan marahnya melahar. Dan saat itu, tak ada manusia yang lebih dia benci melainkan dirinya sendiri.

“Serahkan Maya aku, Alvin!” Dia memekik dalam ruang kondo yang sunyi disambut dengan bunyi kaca pecah berderai bila gelas ditangannya tiba-tiba dibanting ke dinding yang dilatari lukisan Maya yang sedang merenung manja ke arahnya.

***Bersambung…

Terima kasih sudi singgah!

PERSIS AKAR DANI Bab 3

“Ika malu sebenarnya. Ika bukan wanita solehah yang selayaknya bergandingan dengan abang.” Perlahan dia meluahkan isi hatinya usai diri diulit suami yang sudah parah merindu seperti dirinya juga.

Dua ulas bibirnya disentuh jari telunjuk Nuqman, mendiamkan. Puteri terdongak memandang suaminya yang sedang tersenyum manis sambil menggelengkan kepala. Jari telunjuk itu kemudiannya menujah tegak ke siling putih bilik peraduan mereka di kondominium itu.

“Allah lebih tahu. Jangan persoalkan apa yang Dia susun untuk kita. Kita ni, sejam lagi pun kita tak tahu apa yang akan berlaku. Jangan kata esok. Tapi Allah tahu apa yang ada di hati kita dan Dia tahu apa yang akan berlaku pada hari esok dan seterusnya. Dia Maha berkuasa atas takdir kita dan Dia jugalah yang mengubahnya jika Dia berkehendak. Ika adalah takdir untuk abang. Tak perlu ada soalan atau nak banding-bandingkan. Abang bersyukur kerana Ika yang dipilih Allah…” hujung hidung yang sedikit mancung itu dicuit buat pemiliknya merah muka menahan malu.

“Apa yang buat abang setuju dengan permintaan abah?” Akur dengan kata-kata Nuqman namun Puteri tetap ingin mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati lelaki itu.

Nuqman adalah lelaki pilihan abah untuknya. Waktu abah tiba-tiba jatuh sakit, dia pula didesak oleh abang-abangnya untuk memenuhi permintaan abah iaitu mengahwini Nuqman dengan segera. Abah terlalu bimbangkan dirinya. Ya! Puteri tahu kenapa abah bertindak sedrastik itu. Semuanya berpunca dari dendamnya terhadap lelaki selepas dikecewakan kekasihnya. Peristiwa di Pantai Cenang, Langkawi, tak mungkin dia lupakan. Saat dia santai bercuti bersama kawan-kawan dan teman lelaki terbaru yang bakal dia lukai demi dendamnya, dia terserempak dengan abang sulungnya, Megat Hafiz. Tak cukup dimarahi di situ, dia terus dipanggil balik. Abah jatuh sakit dan abang-abangnya marah-marah. Sehinggalah peguam abah menyampaikan wasiat keramat itu yang dia harus menerima Nuqman sebagai suami.

“Abang simpati?” Telah Puteri lagi bila Nuqman hanya tersenyum merenungnya.

Geleng.

“Abang nak selamatkan Ika?”

Geleng juga.

“Sebab abang terhutang budi?”

Geleng lagi. Puteri mengeluh panjang. Mesti ada sebab!

“Curiousity.” Jawab Nuqman sepatah tetapi cukup mengejutkan Puteri.

“Curiousity? Kenapa? Apa yang buat abang nak tahu sangat fasal Ika?”

“Abang tertanya-tanya, cantik sangat ke gadis yang suka tundukkan lelaki tu. Hebat sangat ke lakonan dia? Abang pun teringin nak uji sejauh mana kehebatan abang nak tundukkan perempuan. Sebelum ni semua perempuan tunduk dengan abang, segan nak bertentang mata dengan abang. Abang teringin nak jumpa gadis yang berani melawan… sebab tu abang dapat Ika!” Nuqman bersungguh mengakui niatnya tapi Puteri menekup mulut menahan ketawa sambil tergeleng-geleng tak percaya.

“Abang tipu! Mana abang tahu fasal tu semua masa tu?” Muka dah makin merah. Hati pula makin cuak. Kalau betul dia tahu seawal itu…?

“Mestilah abang buat research siapa anak Tan Sri Megat Hasyim. Ingat tak cemas ke bila seorang tan sri berhajat nak satukan anak kesayangan dia dengan abang? Mujur Ika duduk di kolej, lagi senang nak tahu sebab dalam Peace Yo!, kan ramai pelajar.” Nuqman berterus-terang membuatkan sepasang mata Puteri membulat besar. Malu dan tak percaya! Pertubuhan amal peringkat antarabangsa milik suaminya itu memang dianggotai ramai pelajar di pusat pengajian tinggi.

“Habis, kalau dah tahu semuanya pun, abang masih sanggup terima Ika? Kenapa?” Detak jantung Puteri berubah sebak. Kedua tangannya dicapai Nuqman dan dibawa ke bibir, dikucup satu demi satu.

“Sebab abang dah jatuh hati…” ujarnya perlahan sambil pandangannya tepat ke dalam sepasang mata Puteri yang berlari-lari dengan riak terkejut dan tak percaya. Sungguh?

“Airmuka Ika waktu seorang diri ceritakan siapa Ika sebenarnya. You were so lonely yet so full of love. I wanted to be the one who conquers that love…”

“You… you stalked me?” Terkelip-kelip mata Puteri tak percaya.

“I asked someone else. Zaman sekarang, mudah sangat nak rakam gambar atau video sesiapa…”

“Tadi abang cakap abang percaya pada takdir?” Suara Puteri berdesis perlahan. Keraguan mula meregut tangkai hatinya.

“I did. At the same time, I was worried about you. Abah yang risaukan Ika sebenarnya. Abah risau kalau Ika bertindak di luar kawalan bila abah minta Ika dikahwinkan dengan abang. Lepas tu abah jatuh sakit. Abang lagi-lagilah risau. Takut sangat kalau Ika buat sesuatu yang tak terduga. Sebab tu abang mintak kawan-kawan tolong tengokkan…”

“Siapa kawan-kawan abang? Tak pernah pun ada…”

“Ramai sangat. Masa tu abang long dan abang ngah pun dah berkawan dengan abang tapi belum jadi abang ipar lagi,” Nuqman membuka rahsia demi rahsia sambil tersenyum manis. Mata Puteri semakin membulat.

“Tak guna punya abang!” Terasa diri dipermainkan, tak tertahan perasaan marahnya sampai terluah di bibir. Nuqman ketawa gelihati.

“Sebab mereka bergunalah kita disatukan. Kalau Ika betul sayangkan abang, Ika kena berterima kasih dengan abang long dan abang ngah tau!” Hidung Puteri ditarik kuat. Sekaligus tubuhnya dirangkul ke dalam pelukan dan dibawa meniarap ke atas dadanya. Nuqman mengucup ubun-ubun isterinya yang sedang marah. Senyuman tak lekang dari bibir.

Akhirnya Puteri mendakap sang suami dalam malu-malu. Semua itu diluar jangkaannya. Nuqman jatuh hati…? Ahh… hatinya berbunga mekar. Gembira tak terkata! Dia yang dulu jatuh hati rupanya!

“Sekarang siapa yang tundukkan siapa?” Tiba-tiba Nuqman berbisik di telinganya. Puteri keras sesaat. Siapa? Arghhh! Mukanya tenggelam dalam dada itu tapi tangannya memukul manja. Malu lagi!

Nuqman ketawa meraikan kemenangan!

*** bersambung…

ps: Novel ini adalah sambungan dari novel MAKNA PADA RASA yang sudah diterbitkan. Kedua-duanya adalah standalone novels.

Terima kasih sudi singgah. Harap sangat kalian enjoy kisah Nuqmanika!

Luvs,
Sis Juea Abdullah

PERSIS AKAR DANI Bab 2

“Sekarang dia di mana?”

Wajah Puteri Zulaikha berubah pucat. “Err… di… di-dia?”

Nuqman yang sudah kembali memandu dengan tenang berpaling ke arah isterinya. Jangan dikocak hati ini, Ika! Benteng sabar ni memang takkan bertahan lama…, desis hati Nuqman sambil menjeling tajam.

Puteri Zulaikha cuba tersenyum untuk menyembunyikan rasa gelisah di hatinya. Dia nak buat apa pulak ni? Janganlah kecoh pula nanti. Mana nak letak muka ni! Jemarinya diriba diramas-ramas tak tentu arah.

“Abang tanya, sekarang dia di mana?” Nuqman mengulang tanya dengan suara yang sehabis tenang.

“Hmm… dia… dia… di tempat tadi tulah! Sebab… sebab Ika minta dia tunggu… kat situ…” Suaranya perlahan-lahan berhenti sambil dia menjeling sedikit demi sedikit ke arah Nuqman. Jangan marah lagi, tolonglah! Hatinya memanjat doa.

Nuqman diam. Betul juga! Mestilah lelaki itu menunggu isterinya di tempat yang dijanjikan. Marah punya fasal sampai otak pun tak berfungsi. Laju dia memutar stering membuat pusing U di sebuah simpang dan meluncur laju ke tempat tadi. Saat itu, akal dan hatinya berperang menyusun ayat apakah yang paling sesuai untuk dia hamburkan kepada kumbang sesat yang semberono memuja bunga di jambangan orang!

Sesusuk tubuh yang tegap dan tinggi lampai duduk santai di atas bonet kereta Puteri yang ditinggalkan di situ. Berambut ikal dan berkaca mata, lagaknya penuh santai dan yakin diri. Sepasang matanya meliar mengitari kawasan mencari gadis yang selama ini didambakan.

Seri. Itulah yang ada pada gadis yang amat menambat hatinya. Sejak semester ini bermula, dia secara tak sengaja terpandangkan wajah gadis yang saat itu sedang bersenda gurau dengan teman-temannya. Sungguh dia tak menyangka ada sesuatu yang istimewa akan berlaku bila dia tergerak hati mahu menziarahi adiknya belajar di Fakulti Senibina ini. Kebetulan, adiknya mengenali serba-sedikit latar belakang anak tan sri yang mengocak hati lelakinya. Maka sejak hari itu, seri wajah milik gadis bernama Puteri Zulaikha sering menjadi buruannya. Seri pada wajah itu begitu memukau tak kira samada tika dia rancak berbicara sesama teman atau diam termenung sendirian. Sukar untuk dia temui seri wajah seperti itu seolah-olah hatinya sentiasa berbunga bahagia. Bagaikan terasa matahari tersenyum dan bintang berkerlipan bila wajah itu ditatap asyik dan selalunya secara rahsia. Ahh… parah sungguh Ariff Haikal!

Deru bunyi kenderaan menghampiri membuatkan dia tegak berdiri. Dan sebuah Pajero berhenti betul-betul di sebelah kereta Puteri. Saat itu, wajah yang ditunggu muncul dalam pandangan. Puteri Zulaikha!

Sebaik saja Nuqman melangkah turun, wajah lelaki yang tadi teruja berubah kelat. Suara ketawa kecil meletus dalam hatinya. Tahu pun! Lain kali kalau nak singgah di jambangan orang, merisiklah dulu!

“Saya Nuqman, suami Puteri Zulaikha,” Terus, tanpa teragak sedikit pun, lafaz perkenalan itu terluncur sebaik saja salamnya berjawab dan tangan terhulur menawarkan silaturrahim walau entah bagaimana hujungnya hubungan itu nanti.

“Ohh… sa-saya… err…”

“Ariff Haikal. Apa khabar?” tukas Nuqman dengan sedikit senyuman ditarik sekejap. Sekejap saja. Dan anak muda di hadapannya ikut cuba tersenyum. Namun tak jadi. Berbagai riak muncul di wajahnya, terkejut, keliru, malu dan kesal berbaur. Pandangan sepasang mata lelaki yang jelas lebih matang darinya itu menghunjam ke arahnya membuatkan dia kalut memandang ke arah lain.

“Sssa-saya… err… hmm… sorry! Saya… tak sangka. Maksud saya… saya minta maaf,” Gelabah dan rasa bersalah sebelum dipersalahkan. Maaf pastinya perkataan terbaik untuk meluruskan semua ini, bisik hati Ariff Haikal sambil menjeling ke arah dalam kenderaan pacuan empat roda itu, mencari kalau-kalau wajah yang berseri itu sudi menatap dirinya dengan kemaafan juga.

Lelaki yang berseluar khaki rona coklat muda kehijauan di hadapannya segak bergaya ranggi dan lengkap bersongkok itu berpeluk tubuh. Wajahnya tampan dan tenang namun serius memandangnya dengan riak muka yang penuh persoalan. Ariff Haikal telan liur berkali-kali.

“Saya betul-betul minta maaf,” ujarnya sekali lagi, seikhlas yang termampu.

Angguk.

Diam lagi.

Ariff Haikal hilang bicara. Saat itu, dia hanya mahu minta diri dan pergi dari sini sepantas cahaya kerana rasa malu semakin kuat merengkuh dirinya. Namun lelaki bernama Nuqman ini terus berdiri dengan gaya senang dirinya, diam memerhati membuatkan dia tak mampu menyuarakan niat di hati. Apakah lelaki ni mahukan penjelasan? Ahh… rumitnya! Kenapa kau tersasar dengan isteri orang, Ariff Haikal! Marah sungguh dia dengan diri sendiri.

“Tahu tak kenapa Islam ajar kita sebagai lelaki supaya merisik dan gunakan perantara dalam hubungan antara lelaki dengan perempuan? Lebih-lebih lagi kalau perempuan tu kita nak jadikan teman istimewa.” Apa yang lahir dari lelaki bersongkok itu bagaikan busur yang melepaskan anak-anak panah yang menembusi dada dan terus ke jantung. Soalan kalah mati!

Nuqman melangkah beberapa langkah ke depan, menjauhi kenderaannya. Dalam debar, Ariff Haikal ikut melangkah mendekati. Akalnya mula mengira-ngira, apakah dia bakal dibelasah sebagai tanda amaran? Namun jauh di sudut hati, dia yakin, lelaki di hadapannya bukan sembarangan.

“Saya… hmmm… terlepas pandang dalam hal ni. Khilaf saya. Sebab tu, saya minta maaf.” Dia memberanikan diri untuk bersuara sekali lagi. Hatinya berbisik, buang yang keruh, ambil yang jernih, tolonglah! Lepas ni, memang kena bertaubat, Ariff Haikal. Merisik sampai ke akar umbi sebelum hantar bunga dan coklat lagi. Aduh!

“Eloklah macam tu. Sebab kita dah jauh hanyut dengan cara barat. Bila suka, kita mula main ayat. Kirim bunga dan coklat. Pasang denak mula memikat. Kita letakkan semua itu atas alasan jiwa muda. Hujungnya fitnah dan maksiat berleluasa. Kan tak selamat?”

Ariff Haikal telan liur. Dia tahu! Cepat-cepat kepalanya dianggukkan. Diam tak berkutik.

“Sebagai lelaki, saya faham. Nabi kita juga sangat sukakan tiga perkara, wanita, wangian dan solat. Tapi wanita yang dimaksudkan Nabi bukan seperti kebanyakan lelaki fikirkan – suka memuja dan memuji wanita. Nabi sukakan wanita di sini bermaksud sukakan isteri yang solehah.” Saat itu, Nuqman berpaling dan memandang tepat ke wajah Ariff Haikal yang terngadah mendengar butir bicaranya. Pandangan mereka bersabung sedetik dua. Kemudian masing-masing saling berkalih memandang ke arah lain.

“Bila Nabi sukakan seorang wanita yang solehah, dihantar orang perantaraan untuk merisik. Macam Ummu Hani, sepupu Nabi. Mungkin kita sangka itu cara zaman unta. Tapi mereka di zaman unta tulah yang lebih bertamadun dari kita yang dah rosak sana-sini. Betul tak?” Sekali lagi, wajah Ariff Haikal dicari.

Angguk. Bibirnya mengukir senyum. Tercuit hatinya dengan perbandingan yang disebutkan namun hakikat itu juga tak boleh ditolak ke tepi. Antara malu dan kagum, Ariff Haikal memberanikan diri membalas pandangan Nuqman.

“So, all the best, Ariff Haikal. Saya yakin, mesti ada gadis bertuah yang sedang menunggu awak. Tapi lepas ni… pastikan merisik dulu. Jangan sesat lagi di jambangan orang!” Ariff Haikal tergelak dan kali ini dia menggeleng kepala berkali-kali. Nuqman turut tersenyum.

“Ambil architecture?”

“Eh, tak! ACCA, final sem second paper…”

“Alhamdulillah. Setahun setengah lagi dah boleh complete.”

“Hmm… rasanya nak kerja dulu. Cari pengalaman.”

“Oh, gitu…” Santai mereka berbicara seperti abang dan adik pula. Eh?

Nuqman mengeluarkan dompetnya dan kad nama ditarik sekeping lalu diberikan kepada Ariff Haikal. Terkejut dan terharu, anak muda itu menyambut dengan kedua tangannya.

“Datang ke Barakah Associates kalau nak cari kerja nanti. Jom, jumpa isteri abang,” dengan lenggok kepala, Nuqman mengisyaratkan agar mereka bergerak ke kereta. Sekali lagi Ariff Haikal tersentak. Abang? Isteri abang?

Namun kakinya melangkah juga dengan perasaan terharu dan malu berbaur. Diperhatikan wajah yang masih berseri itu agak panik bila melihat mereka seperti menuju ke arahnya. Pandangan mereka bersabung. Namun cepat dia menundukkan matanya. Jangan tenung isteri orang, Ariff Haikal!

Nuqman sampai dulu ke kereta lalu membuka pintu. Puteri Zulaikha saat itu rasa nak menangis. Janganlah macam-macam pula, Nuqman! Jeritnya dalam hati.

“Jom turun. Berkenalan dengan peminat Ika,” wajahnya yang serius membuatkan Puteri rasa mahu menyorok dalam cengkerang. Tapi dia tak ada cengkerang!

Tangannya diriba diraih Nuqman tiba-tiba dan dia terpaksa bergerak turun dari kenderaan itu sebelum diheret suaminya. Mereka melangkah ke depan Pajero di mana Ariff Haikal berdiri dalam keadaan serba-salah.

“Ariff Haikal, abang dengan isteri nak jemput awak ke majlis kami ahad ni. Jemput datang ke The Turban lepas zohor ya,” ujar Nuqman, santai sambil memandang isterinya dan Ariff Haikal silih berganti.

“Err… terima kasih, bang. Tahniah!” Gugup seketika dengan undangan yang tak diduga, Ariff Haikal akhirnya menghulurkan tangan. Dan lelaki yang penuh wibawa itu berjabat tangan dengannya seraya tersenyum manis. Rasa lega dan syukur menyimbah dalam dirinya walaupun seperti ada bunyi retak pada hatinya yang paling dalam.

“Tahniah, Puteri Zulaikha,” dalam serba-salah, Ariff Haikal tabahkan hati untuk mengucapkan kata-kata itu seikhlas yang dia mampu. Wajah itu semakin berseri dengan riak malu-malu tersenyum mengangguk. Cukuplah. Cukuplah senyuman malu itu sebagai tanda kenangan yang tak mungkin dapat dia lupakan.

“InsyaaAllah, bang. Saya pun dah lama dengar tentang The Turban. Ni peluang saya nak tengok sendiri hebatnya bangunan tu macam yang dikatakan orang. Kalau tak ada aral melintang, saya datang,” Ariff Haikal mematri janji dengan hati yang sangat lapang. Nuqman tersenyum mengangguk lalu memberi salam.

Mudah. Ringkas. Penuh wibawa. Itu yang dapat Ariff Haikal simpulkan saat dia melangkah ke keretanya selepas meminta diri. Dia kagum dengan lelaki yang bernama Muhamad Nuqman. Dan Puteri Zulaikha yang cantik berseri memang selayaknya bergandingan dengan lelaki sehebat itu. Dengan senyum simpul, Ariff Haikal memandang pasangan itu yang masih berdiri di sana melalui cermin pandang belakang seraya memandu pergi meninggalkan Fakulti Senibina yang baru saja mencatat kenangan.

*** bersambung

PERSIS AKAR DANI Bab 1

BAB 1

Sejambak mawar putih ditangannya ditatap geram. Lelaki itu semakin berani! Kalau hendak diikutkan hatinya, mahu saja direnyuk-renyuk bunga itu sampai hancur lumat. Kalau dengan orang yang tak faham bahasa, memang itu saja caranya!

Puteri Zulaikha berpusing ke kiri dan ke kanan mencari kelibat orang yang dinanti. Marahnya kian meluap mahu memuntahkan lahar. Sudah tebal mukanya diusik dan diperkatakan teman-teman sekolej. Apa tidaknya, hari-hari dapat bunga dari si dia. Lebih hebat bila pesanan-pesanannya disampaikan melalui pelbagai cara. Sekejap melalui kawan sekursus, kadang-kadang ada poskad di cermin kereta dan paling banyak, salam yang sering dikirimkan melalui teman-teman lelaki. Sungguh memalukan! Dia sangka anak orang kaya maka dia boleh buat apa saja?

“Assalamualaikum,” satu suara menyapa dari belakang membuatkan Puteri Zulaikha terpejam matanya menahan perasaan yang bergelodak. Bunyi derap kakinya yang terhenti serentak dengan salam itu memang amat dekat dengannya. Salam tetap dijawab dalam diam. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dia berpusing laju. Serentak itu jambangan bunga ditangannya dihayun kuat ke dada lelaki yang tak faham bahasa itu.
“Ariff Haikal! Awak tak…” Suara Puteri Zulaikha hilang di situ sebaik saja melihat wajah lelaki yang tertegun memandangnya. Pegangan tangannya yang mengenggam sejambak bunga itu terlepas lalu bunga-bunga segar yang putih tak bersalah itu jatuh terhempas di kaki. Ada kelopak yang terlerai. Ada tangkai yang patah. Dek kerana ikatan rebennya tiba-tiba jadi longgar.

“Ya Allah!” Tangan Puteri Zulaikha laju menekup mulut sendiri. Buntang matanya memandang lelaki itu, tak berkelip.

Lelaki itu juga terkaku di situ. Menahan sakit dadanya dihempas sejambak bunga. Namun tak sesakit hati di dalam tatkala dia mendengar nama yang dilontarkan dari dua ulas bibir yang merah basah itu. Realiti meregut mimpinya semalam, dia tunduk mengambil bunga yang tak berdosa itu. Dikutip kelopak yang gugur lalu diselit kembali di dalam ranting yang hampir terlerai. Dia tunduk memandang bunga tanpa sepatah kata. Kerana seluruh kata-kata yang dihimpunkan sejak sebulan yang lepas tiba-tiba hilang maknanya.

“Nuqman! Ab… abang! Ika…” Puteri Zulaikha gugup. Dia tak pasti hendak berkata. Riak wajah lelaki yang sekian lama ditunggu itu langsung tak dapat dibaca.

“Ariff Haikal? Segak orangnya?” Nuqman bertanya ringkas tanpa memandang. Bunga mawar yang putih suci itu dipandang dengan hati yang kini berbagai warna. Darah yang menyirap hingga ke otaknya membuatkan dia terpaksa menarik nafas beberapa kali agar dia tidak meledak di situ juga. Puteri ketap bibir mendengarnya. Cemas dan takut datang silih berganti. Nuqman yang tidak mahu memandangnya sangat menakutkan. Pasti lelaki itu benar-benar marah!

“Abang…” Terketar jemari Puteri mahu menyentuh tangan Nuqman yang masih mengelus mawar putih yang terkulai di tangannya. Saat itu juga tangan itu dijatuhkan dan dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Jemari Puteri dibawa ke bibir sendiri, digigit kuat untuk menghilangkan segala debar. Matilah!

“Take your roses and take me to him. I need to tell this guy who you really are!” Serentak itu, bunga-bunga malang itu kembali mendarat di dada Puteri Zulaikha dan sebelah tangannya ditarik kuat sehingga tubuhnya terdorong ke depan, dipaksa mengikuti langkah Nuqman yang panjang.

“Abang! Biar Ika jelaskan. Abang dengar dulu… tolonglah!” Namun lelaki itu sudah sampai ke keretanya. Pintu dibuka dan tubuh Puteri Zulaikha ditolak masuk dengan agak kasar. Nuqman melangkah laju lalu masuk di tempat duduk pemandu. Kereta meluncur laju meninggalkan ruang parkir di hadapan fakulti yang sunyi hening petang itu.

“Talk now while you can!” Giginya diketap rapat. Rahangnya bergerak-gerak. Bukan mudah untuk mendengar nama lelaki lain meniti di bibir wanita kesayangan.

“Abang, Ika… err… dia… dia ganggu Ika! Sejak sebulan ni, abang. Tapi… tapi Ika tak pernah layan. Ika tak pernah bagi dia ruang pun! Demi Allah, bang! Ika dah marah dia, dah bagitau Ika tak suka. Tapi dia tetap kirim bunga jugak. Sebab tu, Ika tekad nak jumpa dia tadi, nak cakap terus-terang…”

“Nak cakap apa? Yang Ika ada suami? Kenapa baru sekarang? Kenapa tak sebulan dulu? Sebab abang dah nak balik?” Keras nada pertanyaan Nuqman sekeras air mukanya saat itu. Sedikit pun dia tidak berpaling.

“Abang! Ika tak sangka dia serius sangat. Ika dah sampaikan pesan, Ika tak suka dia. Ika ingat dia akan back off. Tapi semalam… abang, Ika tak pernah jumpa dia! Sumpah! Hari ni je Ika rasa Ika perlu berdepan dengan dia…” Puteri Zulaikha kalut sungguh. Kenapa Nuqman marah tanpa usul periksa? Nuqman tak percayakan dia? Wajah Nuqman semakin ketat memandang ke depan membuatkan Puteri Zulaikha rasa hiba. Dan bila lelaki itu diam tak berkata sepatah, hatinya semakin kecut dan rawan.

Bayangkan! Apakah rasanya bila diri terpisah dengan jiwa? Nuqman adalah jiwa. Kasih sayang Nuqman bagaikan nyawa dalam diri Puteri. Kehadiran lelaki itu akhirnya melenyapkan segala dendam yang bersarang dalam hatinya selama ini terhadap kaum Adam. Manalah dia rasa bahagia selama ini bila hidup penuh dendam?

Saat lelaki bernama Ammar Bahrain meninggalkannya kerana gadis lain, segala rasa benci yang pernah terhimpun dalam dirinya terhadap kaum Adam memuncak. Namun Muhamad Nuqman, jejaka pilihan abah berjaya melunakkan hatinya. Kasih dan kesabaran Nuqman menginsafkannya.

Detik mereka bersama di Istanbul dulu ketika dia menghabiskan cuti semesternya di sana, jiwanya berhempas pulas melawan segala perasaan terhadap Nuqman. Namun lelaki itu menguasai hati dan perasaannya dalam santai dia berkasih. Akhirnya Puteri terus juga menjadi pendendam. Tapi dendam yang berbeza. Dia sentiasa merindu. Rindu dendam yang tak padam-padam. Rindu Puteri pada rupa paras dan akhlak Nuqman. Dendam merawan kerana ingin sentiasa berada dalam dakapan kasih sayangnya. Redap merana mahu menatap redup matanya yang bening. Teringin benar hendak menghidu harum lelaki itu. Benar, Puteri akhirnya jatuh cinta dengan suaminya sendiri!

Saat berpisah di KLIA sebulan yang lepas sudah cukup memeritkan. Nuqman harus kembali ke Istanbul kerana tugasnya di sana belum selesai. Walau sekuat mana Puteri cuba menahan diri dari menangis, tapi airmata tumpah akhirnya. Walau sekuat mata dia bertabah, akhirnya dia merayu juga.

“Abang, jangan pergi. Tolonglah jangan…” rintihannya terluah juga setelah puas dia memujuk diri. Saat tiba ke pintu balai perlepasan itu, benteng pertahanannya runtuh. Jemari Nuqman digenggam sekuat hati demi menahan perasaan. Bayangkan… selepas sekian lama dia cuba mengungkai hubungannya dengan Nuqman, akhirnya dia rebah diasak naluri wanita yang mendambakan kasih mutlak suaminya.

Semalam, ya… baru semalam dia menyerah dirinya sebagai seorang isteri. Baru semalam dia mengecap nikmat cinta yang tak terbanding dengan apa pun… dan hari berikutnya dia harus melepaskan Nuqman pergi!

“Ika …” Ujar Nuqman dengan nada yang sarat. Dia melangkah mengadap isterinya, dekat sekali.

“Ika sayang…” Nuqman melepaskan pegangan ke atas bagasinya lalu memegang lembut belakang kepala Puteri dengan kedua tangannya. Kedua ibu jarinya mengusap ubun-ubun wanita kesayangannya itu seraya menolak lembut hingga Puteri tidak dapat mengelak lagi dari mendongak memandang sepasang anak mata Nuqman dengan pandangan yang lencun dek airmata yang berjuraian.

Saat itu… saat mereka saling berpandangan, detik waktu seakan-akan terhenti. Semua yang ada di sekeliling mereka seolah-olah pegun. Tiada jasad dan jisim yang bergerak. Kerana jasad bagaikan tak mampu lagi beraksi. Hati yang sarat dengan bebanan rasa juga tak mampu berbicara. Namun roh mereka bagaikan bersatu dan bersuara di suatu alam lain yang qudus. Mematri janji bahawa jarak, tempat dan masa tak akan memisahkan… kecuali takdir Allah.

Puteri akhirnya tertunduk dan teresak. Nafasnya sesak. Dadanya sakit. Hatinya mengakui bahawa Nuqman terpaksa pergi. Akalnya meyakini akan janji yang terpatri dalam diam itu. Namun airmatanya payah sungguh hendak berhenti.

Nuqman juga sebenarnya menahan diri. Airmata dan rintihan Puteri menggugat kelelakiannya. Perlahan dia meraih saputangan merah dari saku jaketnya dan mengusap kedua-dua pipi Puteri yang sudah kemerah-merahan dengan amat berhati-hati.

“Sayang, abang kena pergi. You know that right?” Nuqman memaksa diri untuk berkata sesuatu. Mana mungkin dia melangkah pergi meninggalkan insan kesayangannya diulit tangis begini. Puteri terngadah memandangnya. Angguk. Nafas Nuqman terhela akhirnya. Dengan segala sisa kekuatan yang ada, Nuqman cuba tersenyum semanis yang mungkin.

Senyuman manis Nuqman… itulah senjata paling tangkas yang mampu menangkis dan melenyapkan segala ancaman rasa dalam dirinya. Senyuman itu penawar segala serangan perasaan yang bergelodak dalam hatinya yang runsing sekaligus menjadi penawar mengubat segala duka. Senyuman itulah juga yang sedikit sebanyak berjaya mereda dan menenangkan hati Puteri. Lalu Puteri angguk lagi, benar-benar cuba mengerti.

“Tapi abang… Ika di sini… tak tahu macam mana?” Sebak meruntun. Sungguh dia masih belum mampu melepaskan lalu diluahkan kebimbangan dengan suara yang sudah serak. Berkerdip bulu mata lebat Puteri memandang suaminya bagai seorang anak kecil yang menagih belas ihsan dari seorang dewasa.

“Come here, let me give you a hug. Come here, big girl!” Nuqman terus mendakap erat tubuh Puteri, seerat-eratnya dan cuba menutup rawan hati sendiri.

Dengan linangan airmata, tubuh kekar itu didakap seerat yang mungkin. Tuhan! Kalaulah dapat aku tinggalkan segalanya demi dia! Namun rasa tanggungjawab yang tergalas dibahu mematikan niatnya. Akur pada takdir, Puteri mengambil peluang terakhir itu untuk menghidu dan mencium sepuas-puasnya harum bau suami tercinta. Hatinya yang tadi hebat dilambung emosi kini sudah semakin tenang.

“Kita jumpa sebulan lagi… untuk majlis hari bahagia kita, hmm…?” Pujuk Nuqman dengan dengan penuh harapan.

“Lepas tu, kita honeymoon, ya sayang. There’s so much more of Istanbul to be explored.” Senyum terukir lagi. Lebih manis kali ini.

Hati Puteri ikut tersenyum dengan impian indah yang bakal menjadi kenyataan. Mereka akan disatukan secara rasmi dan cinta yang melimpah-ruah di dalam tak perlu disembunyikan lagi. Biar satu dunia tahu!
Hari ini, Nuqman kembali sepertimana yang dijanjikan. Untuk merealisasikan impian mereka. Tapi… kenapa ini yang berlaku, ya Tuhan? Puteri menggigit bibir, menahan esakan yang kembali menunda dalam diri. Dia berpusing mengadap Nuqman yang masih memandu dalam diam, beku dan bisu.

“Abang… jangan macam ni, please…! Ika… Ika tak suka dia. Ika cuma nak berterus-terang dengan dia supaya dia tak…”

“Jumpa sorang-sorang macam tu depan fakulti? Boleh ke? Berdua-duaan waktu student dah balik? Kalau syaitan pujuk ajak keluar ke mana-mana kononnya nak berbincang, macam mana?” Dalam kepala Nuqman memang macam-macam gambaran yang mengacah membuatkan jiwanya tertekan dan sengsara. Isterinya! Isteri yang dia tinggalkan baru sebulan!

“Ika minta maaf! Ika marah sangat sampai Ika tak terfikir nak ajak kawan temankan. Ika salah! Ika minta maaf…! Abang tolong jangan buat Ika macam ni! Ika rindukan abang…” Di situ Puteri Zulaikha sudah tak mampu berkata melainkan teresak. Emosinya jadi sarat dan empangan airmatanya pecah tanpa dapat ditahan lagi. Mana mungkin dia menduakan Nuqman sedangkan rindunya pada lelaki itu kian memuncak. Dia menderita menahan rasa. Kasihnya pada Nuqman terlalu dalam. Sampai hati Nuqman mempersoalkan kejujurannya!

Terkelip-kelip mata Nuqman mendengar esakan Puterinya. Nafas dihela kasar. Dia meraup muka yang masih terasa hangat. Perlahan-lahan dia beristighfar. Airmata Puteri Zulaikha meruntun hatinya. Puteri yang dirindu saban hari sedang menangis kerana amarahnya. Nuqman memberi isyarat untuk memberhentikan kenderaan. Dia sendiri tidak pasti di mana mereka sekarang. Amarah yang meledak membuatkan akalnya kurang berfungsi. Dia harus berhenti daripada meneruskan perjalanan yang tiada hala tuju.

“Ika…!” Bahu wanita kesayangannya diraih mendekat. Kedua tangan yang menekup muka itu ditarik turun perlahan-lahan. Wajah basah itu diusap lembut dengan rasa bersalah. Dia sendiri kaget dengan dirinya. Belum pernah dia merasa apa yang dirasainya tadi. Dadanya ketat dan sekujur tubuhnya hangat bila darah panas menyirap. Apa maksudnya semua itu? Cemburu?

“Ika, abang… abang minta maaf. Abang… tak bermaksud nak…” Nuqman tak pasti hendak berkata bila Puteri Zulaikha mengangkat mukanya dan menatap dia dengan sepasang mata yang berkaca. Nafas berat dihela panjang.

“I guess jealousy is a new thing for me to deal with, sayang. I am so sorry…” Kedua tangan Puteri Zulaikha dibawa ke bibir dan dikucup lembut. Lama.

Semakin lebat airmata Puteri Zulaikha gugur. Itulah Nuqman lelaki dambaannya, yang dicintai sepenuh jiwa dan raga. Mana mungkin dia tidak memaafkan lelaki itu walau sebesar manapun kesilapannya.

“Maafkan abang, sayang…” rayu Nuqman sepenuh hati. Terpejam sepasang mata Puteri Zulaikha mendengarnya. Nuqman telan liur sambil ibu jarinya menyeka kedua pipi itu. Sukar untuk dia gambarkan perasaannya dengan kata-kata pada saat itu. Lalu tubuh itu diraih ke dalam pelukannya tanpa dapat dia menahan diri lagi.

“Abang sayang Ika… .” Dia berbisik lirih. Bukan mudah untuk seorang lelaki mengawal diri bila mereka terlalu mengasihi.

Bersambung…

## Novel PERSIS AKAR DANI (PAD) adalah sambungan dari novel MAKNA PADA RASA (MPR) tapi akan cuba diterbitkan sebagai standalone novel, insyaaAllah.