Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN – Sinopsis Cerpen

[Assalamualaikum dan salam persaudaraan buat yang sudi singgah. Atas permintaan, bagi sesiapa yg belum memiliki HAKIKAT CINTA – Sebuah Antologi Cerpen, saya sertakan di sini sinopsis cerpen ‘Jawapan Untuk Puteri’ yang mengisahkan detik awal pertemuan Puteri Zulaikha dan Muhamad Nuqman. Enjoy!]

Sinopsis cerpen
**JAWAPAN UNTUK PUTERI**

Dek kerana terlalu sayang dan takutkan kehilangan abahnya yang tiba-tiba sakit tenat, Puteri Zulaikha rela dalam paksa menerima Nuqman sebagai suami atas permintaan abah dengan syarat dia hanya sanggup hidup bersama dengan lelaki yang tak dikenali itu setelah usianya genap 21 tahun.

Puteri sebenarnya sedang berdendam dengan kaum adam setelah dikecewakan kekasihnya. Namun sikap dan peribadi Nuqman selalu membuatkan dia tak keruan…

Dalam mencari jalan keluar dari ikatan itu, Puteri semakin keliru dengan perasaannya…

“Awak bimbang, takut saya mengawal hidup awak?”

“Awak tengok bulan tu! Dia sentiasa ada di sana. Menemani sesiapa yang mahu ditemani. Saya akan jadi macam bulan. Menemani awak bila saja awak mahu…”

“May I?”

Puteri terpinga. Tidak faham dengan soalan Nuqman. Sebuah ciuman singgah lembut di pipi Puteri. Sentuhan kasih dari seorang suami. Kasih sayang yang diredhai Tuhan.

God! He’s so romantic, so kind…”

“Siti Hawa dijelmakan untuk Nabi Adam. Sebagai teman berkongsi segala-galanya. Nabi Adam bertanggungjawab atas apa pun yang dilakukan Hawa. Kalau dia bersalah, Nabi Adam sama-sama menanggung hukumannya. Ika ditakdirkan untuk saya. Baik atau buruk, saya tetap akan bersama.”

Nuqman meninggalkan Puteri demi tugasannya di Istanbul. Namun bila dia diam tanpa sebarang berita, Puteri pula resah gelisah. Mampukah dia keluar dari ikatan suci itu kerana dendam? Bagaimana dapat Nuqman melunaskan hajat seorang ayah yang mahu melihat Puterinya dididik mengenal Tuhan, menjadi anak dan isteri solehah? Mampukah dia menikmati bahagia bila isterinya hanya pada nama dan akad? Apakah yang mampu mengungkai dendam terhadap lelaki yang sering menyebabkan airmata dan sengsara menjadi teman hidup wanita sekaligus mengembalikan kepercayaan mereka kepada cinta sejati yang hakiki?

Temui jawapan untuk puteri dalam Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN (CPN)

#jika ada kebaikan dari tulisan ni, semua tu dari yang Maha Pengasih, namun segala kelemahan adalah milik saya, mohon dibantu dan didoakan ya… Moga terhibur! – Jue’a #

Advertisements

Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN Bab 6

entrance-grand-bazaar-istanbul-19421233_1395150259439_n

CPN Bab 6

Usai mengaminkan doa, Nuqman sujud syukur agak lama. Sepenuh hati dia memanjatkan kesyukuran. Segala yang datang dari-Mu Tuhan, pasti itulah yang terbaik bagiku. Sesungguhnya terlalu banyak kebaikan-Mu padaku sedangkan aku hanya seorang hamba, ya Allah…

Perlahan-lahan Nuqman berpusing mengadap Puteri sambil tersenyum. Senyuman yang memukau hati Puteri. Bersih, manis dan luhur. Cepat-cepat Puteri menghulurkan tangan lalu tunduk mencium tangan Nuqman tika salamnya bersambut. Belum sempat dia bingkas bangun menjauhi…

“Ika nak ke mana hari ni? Surely Ika dah ada plan. I’ll take you anywhere you want to go. As for today, I’m at your service, my princess…” Nuqman menundukkan kepala dengan tangan di dada. Puteri tak dapat menahan diri dari tersenyum.

“Actually… saya tak buat apa-apa plan pun… Tapi… Hmm… Saya… Saya nak kena beli tudung… Saya tak sempat shopping sebelum datang ke sini…” Oooppsss… Riak wajah Nuqman membuatkan Puteri tersedar….

“Maksud Ika?” Nuqman benar-benar kehairanan. Duduknya makin rapat. Silanya makin kemas. Puteri mula terasa sesak nafas.

“Err… Hmmm… ya… Saya baru je berhijab. Masa bersiap nak datang tu, saya… saya pegang tudung yang awak bagi…” Puteri tak dapat meneruskan kata-kata kerana wajah Nuqman tiba-tiba berseri-seri dan teruja. Tak mampu nak membalas pandangan mata Nuqman lagi, perlahan-lahan dia tunduk menatap saf putih dengan kening yag semakin bertaut. Matanya mengecil…. Muka semakin merah… Salah cakap lagi!!

Apa ni?! Takkan kau nak bagitau dia benda-benda macam tu…! Ya Allah!! Sejak bila la pulak jadi sentimental ni! Marah Puteri pada diri sendiri.

“Awak pakai tudung kerana saya…” Perlahan-lahan Nuqman menuturkannya. Ada nada terharu dalam suaranya. Puteri menelan liur. Alamak! Dia dah perasanlah tu!

“Eh! Tak! Tak de lah…! Kan kita buat semua kerana Allah. Err.. rugilah saya kalau buat kerana awak. Pakai tudung pun tak dapat pahala… Cuma tudung yang awak bagi tu… Hmm… Cantik…” Puteri bersungguh-sungguh mencuba tapi…

Alahai… Apa ni… Dah macam tak relevan je…, dia menggerutu di dalam hati.

“Bijak…” Nuqman tersenyum mengangguk penuh makna.

Ehh… Apa maknanya tu? Puteri terdongak menjeling. Macam menyindir je…

“Betullah tu! Itu yang terbaik. Luruskan hati Ika sungguh-sungguh dengan Allah. Berkat buat kerana Allah, insyaallah Ika akan kekal menutup aurat. Bila tutup aurat kerana Allah, pasti Allah pelihara. Lagipun Ika nampak ayu, nampak manis bila bertudung.”

Aduh! Puteri mengulum senyum menahan malu. Tak mampu mengangkat muka lagi. Aku kena luruskan hati aku betul-betul ni! Bantulah aku, ya Tuhan!!

“Sekarang baru saya rasa bertuah…”

“Hah…?!” Puteri memandang Nuqman kehairanan. Wajah itu dah terlalu dekat!

“Sebab sekarang… keindahan sebenar diri Ika untuk saya sorang je. Lelaki sejati cemburu tau tak! Tak suka berkongsi wanita miliknya dengan orang lain. Kalau lelaki lain pandang-pandang pun tak boleh.”

Kan dah kata! Aduh perasan habislah lelaki ni! Lelaki sejatilah kononnya dia! Mata Puteri menyorot ke arah lain sambil membebel tak puas hati.

Tiba-tiba dahinya dikucup. Puteri terkesima.

“Thank you…” Nuqman tersenyum lalu bangun berdiri. Tangannya dihulurkan. Puteri terpinga-pinga.

“Come… let’s go shopping!” Amboi!

Kerana cuaca sejuk dan hari masih hujan, Nuqman mencadangkan mereka makan tengahari di dalam Grand Bazaar saja dan kemudian boleh terus shopping. Puteri memakai salah satu koleksi vintajnya dari jenama Jeep, sepasang khaki yang menawan dan jaket labuh separas lutut. Dengan kepalanya berbalut hijab, masih dengan selendang sutera pemberian Nuqman, Puteri tersentuh dengan refleksinya di cermin. Ayu menawan, bak kata Nuqman… Merah merona pipinya, malu sendiri kerana berbunga juga hatinya dengan pujian Nuqman! Hikksss…

Sementara Nuqman tampil santai dengan polo-T klasik berjalur oren merah! Dengan celana khaki dan jaket dari Camel Active, tak ketinggalan songkok hitamnya… satu. penyempurnaan, desis hati Puteri sambil melindungi senyum. Berjalan di sisi Nuqman, Puteri rasa istimewa… Entah mengapa ya?!

Rekabentuk dan binaan pintu masuk ke Kapalicarsi yang bermaksud kedai tertutup itu sudah cukup menggambarkan usia dan sejarahnya yang telah terbina di zaman kegemilangan kerajaan Othmaniah di abad ke 15. Puteri terpacak berdiri, terpukau mengamati setiap sudut binaan bangunan itu yang dikenali sebagai Grand Bazaar. Dia mengeluarkan Canon VIXIA mini Black Camcorder dari beg sandang kulit yang tergalas dibahunya. Saat-saat keemasan ini tidak akan dilepaskan begitu saja!

15 minit berlalu. Nuqman hanya memerhati gelagat Puteri yang ke sana ke mari mengambil gambar dan merakamkan video.

Alahai! Ini baru pintu gerbang… Banyak lagi tempat menarik kat dalam tu! Getus hati Nuqman. Perutnya sudah mula berirama berbagai lagu.

“Sudahlah tu, Ika… Saya dah lapar ni,” Nuqman menghampiri Puteri yang leka mengambil gambar orang lalu lalang. Gambar orang pun dia nak ambil!

“Eh… Sorry! Sorry! Saya menyusahkan awak pulak. Err… Kalau awak masuk dulu pun tak apa. Nanti saya ikut dari belakang. Boleh saya tengok-tengok gerai kat luar ni dulu…”

“Tuan puteri! Ada 16 pintu masuk, 61 lorong penuh dengan gerai dan ada lebih 3000 buah gerai semuanya, awak pasti ke boleh jumpa saya dalam selautan manusia ni?!”

“Hah?!”

Nuqman tak mahu berlengah lagi. Pantas dia menarik tangan Puteri lalu melangkah masuk ke dalam Grand Bazaar. Terkocoh-kocoh Puteri mengikuti jejak Nuqman yang bergerak pantas di celah-celah ramai.

“Here comes the labyrinth…” kata Nuqman. Puteri tak dapat menahan rasa berdebar-debar. Dia tahu sedikit sebanyak tentang Grand Bazaar dari pembacaan. Binaan lengkungan kubah yang menjadi bumbung dengan warna kekuningan dan keemasan menjadikan dalaman Grand Bazaar menjadi begitu indah dan klasik. Deretan kedai menjual pelbagai barang menyambut setiap tamu yang datang. Manik-manik, rempah-ratus, barang kaca dan seramik, gulungan kain, karpet, tudung dan lain-lain lagi. Ini adalah pesta visual, detik hati Puteri.

” Haaa…. Baik Ika jalan dekat-dekat dengan saya. Kalau hilang dalam ni, saya tak cari dah. Saya kahwin lain je…” Nuqman bersunguh-sungguh berpesan.

“Amboi!” Satu tumbukan singgah ke bahunya. Belum apa-apa, dah nak cari lain! Dasar lelaki!!

“Aduhh! Ganasnya tuan Puteri ni!!” Nuqman mengaduh kesakitan. Boleh tahan perempuan ni! Tapi muka Puteri yang masam mencuka mencuit hatinya.

“Eh! Cemburu jugak ya!” Bisik Nuqman ke telinga Puteri.

“Ishh… Pergilah!! Tak kuasa nak cemburu!!” Puteri menolak dada Nuqman sekuat hati. Namun manalah dia mampu nenolak tubuh sasa itu. Sambil ketawa, Nuqman meraih tangan Puteri dan mengenggamnya kemas lalu meneruskan langkah menuju ke restoran. Mahu tak mahu, Puteri ikut juga melangkah dengan hati yang bengkak.

Macamlah aku terhegeh-hegeh nakkan dia!

Mukanya herot berot membuat reaksi.

Restoran Havuzlu yang sudah berusia separuh abad menjadi pilihan Nuqman. Restoran itu memang istimewa walaupun harganya agak mahal namun ia menyediakan berbagai jenis masakan tradisi Turki yang menyelerakan. Mujur Puteri tidak nemilih orangnya dan agak adventurous. Nuqman memesan Döner yang bermaksud daging panggang yang berputar… Kebablah tu! Bersama Hünkar Beğendi iaitu puri terung. Juga roti bawang putih dan mousaka.

Puteri makan dengan begitu berselera sekali. Sampai tak bercakap sepatah. Sambil makan, dia meneroka binaan dan seni hiasan dalaman restoran itu.

Bila agak Puteri hampir selesai meneroka ke seluruh ruang dalam dan luar restoran dengan pandangannya, Nuqman ambil kesempatan membuka bicara.

“Ika, dato’ kawin lagi?”

Tersembur minuman yang baru nak diminum Puteri. Terperanjat Nuqman dibuatnya. Tanya je!

“Awak ni kan!! Tu ayat tanya ke ayat penyata?!” Marah Puteri sungguh-sungguh. Kelam-kabut juga dia mengelap mulut dengan napkin. Biar kena marah! Tutup sikit malu aku tersembur tadi! Getus hatinya. Namun rasa bersalah juga melihat Nuqman yang sabar mengelap tangan dan mukanya dengan dahi yang berkerut-kerut..

“Tanyalah! Tu yang awak asyik merengek sebut mummy tu…?”

“Isshhh… Awak ni! Tu adik abah. Auntie Nadia. Sejak ibu meninggal, dia minta panggil mummy. Dia yang jaga saya sejak ibu pergi…” Nada jengkel Puteri bertukar sayu bila menyebut nama ibu.

“Ohh… Hairan jugak saya. Dah tak ada siapa yang kenalkan, sebab tu saya tanya…” Nuqman pula serba-salah bila Puteri berubah wajah.

“Ibu Ika mesti cantik orangnya…” Puteri tersenyum sedikit.

“Kenapa awak cakap macam tu?”

“Ya lah… Kalau tengok anaknya cantik, ibunya pasti lebih cantik orangnya.” Puteri mencerlungkan pandangannya.

“Orang lelaki kalau suka memuji ni bukan boleh percaya!” Tempelak Puteri.

“Marahlah tu sebab saya kata ibunya lebih cantik…”

“Eh!! Memang ibu saya cantik. Apahal pulak saya nak marah! Bagi saya dia wanita paling cantik di dunia ni. Sebab hatinya cantik…” Mula-mula panas sungguh hatinya. Tapi bila mengenangkan ibu, bagai ada sembilu yang membelah di hati… Nuqman dapat mlihat perubahan itu.

“Saya sangat berharap, anaknya juga cantik hatinya seperti ibunya…” Tangan Puteri dimeja diraup lembut dengan jemarinya. Puteri terkedu seketika. Kemudian sepantas kilat menarik tangannya.

“Saya… Saya nak cari tudung…” Puteri bingkas bangun mahu beredar dari situ.

“Tunggu saya!” Serentak itu tangannya ditarik Nuqman. Memaksa Puteri berhenti melangkah. Namun tak juga berpaling. Nuqman menghela nafas lalu bangun sambil emberi isyarat kepada pelayan.

“Saya tak mahu kehilangan awak…” Bisiknya ke telinga Puteri. Puteri kekal membatukan diri, memekakkan telinga dan membutakan hati.

Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 5

turban%20man

BAB 5

Perlahan-lahan tangannya menghulurkan telefon tangan itu kembali kepada Nuqman setelah selesai bercakap dengan abah. Mujur Nuqman cepat bertindak, menghubungi abah walaupun dia tahu Nuqman sebenarnya tak faham apa yang berlaku. Walaupun Puteri sudah agak tenang dengan jawapan abah namun debaran masih kuat terasa. Dia tetap kena berdepan dengan mummy suatu masa nanti. Bagaimana harus dia terangkan tentang pernikahannya dengan Nuqman? Sudah masak dengan sikap mummy, Puteri pasti huru-hara jadinya nanti.

Nuqman menggaru kepalanya yang tidak gatal, rasa serabut dengan tingkah isterinya. Hendak disentuh, takut dia terkejut dan merengek lagi. Hentak dibentak, takut lari entah ke mana pula. Wataknya memang sukar dijangka. Hai… Kadang-kadang watak manjanya terserlah sangat. Yang tambah memeningkan kepala, mengapa Puteri terperanjat sangat bila tersedarkan kehadiran dirinya di situ? Dia yang datang terbang ke sini, mengapa dia macam baru sedar dari mimpi?

Nuqman akhirnya terpacak berdiri di hadapan Puteri Zulaikha. Lama mana lagi dia mahu termenung dengan kerut wajah seperti ditinggal kekasih begitu?!

“Ika! Are you REALLY alright?!” Suaranya sedikit jengkel. Perlahan wajah gadis itu terangkat, memandangnya dengan sepasang mata yang basah. Wajah yang sungguh keliru. Hati Nuqman tersentuh dan serba-salah. Apakah yang sedang dilalui oleh Puteri, sebenarnya?

Perlahan dia duduk melutut lalu memaut kedua bahu Puteri, membantu dia bangun berdiri. Dikesat airmatanya dan diusap rambut yang berjatuhan di muka ke belakang. Dia tidak pasti apa yang harus dikatakan kepadanya. Dia langsung tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Wajah keliru itu dipeluk ke dadanya. Didakap erat.

“Awak milik saya, Ika. Apa pun yang berlaku, kita hadapi sama-sama. Saya takkan biarkan apa-apa pun yang tak baik berlaku pada Ika selagi Tuhan izinkan…”

Kedua tapak tangannya meraup wajah itu dan didongakkan sehingga mata mereka saling bertentangan. Anak matanya sayu sungguh.

“Saya nak Ika pergi mandi dan tukar pakaian sebelum saya mandikan Ika. Saya memang nak sangat-sangat mandikan Ika…”

Tak sempat habis ayatnya, mata Puteri membulat. Nuqman mengangkat kening. Dia hanya berterus-terang.

“Awak ni!!” Dalam menahan malu, Puteri menolak tubuh Nuqman sekuat hati. Sambil ketawa gelihati, Nuqman melangkah keluar dan menutup pintu. Sempat dia melihat senyuman malu Puteri Zulaikha.

Nuqman masih ketawa ketika membuka pintu kaca ke arah balkoni. Udara dingin Istanbul rakus menerobos masuk, mengelus sekujur dirinya. Dia melangkah menghadap Selat Bhosporus lalu mendepangkan tangannya seperti yang dilakukan Puteri ketika dia mula-mula masuk ke pangsapuri itu. Dia tersenyum puas sambil matanya terpejam menghayati rasa-rasa yang mekar dihatinya. Membiarkan angin yang bertiup dari Bhosporus memukul-mukul dirinya. Hatinya berbunga bahagia walaupun akalnya masih terpinga-pinga.

Walaupun dia tidak pasti bagaimana untuk terus melangkah dan dia juga tidak tahu entah apa onak dan duri ujian yang menanti, namun hatinya diresapi bahagia. Dia belum pernah merasakan perasaan sebegini selama hidupnya.

Dia membuka mata memandang ke langit yang terbentang luas tergantung tak berpaksi bukti kebesaran Illahi. Dihirup udara dingin itu sehingga terasa sejuk dalam segenap tubuhnya.

“Dan aku sangat bahagia kerana aku yakin rasa-rasa ini datangnya dari-Mu, ya Allah!” Hati kecilnya berbisik. Penuh rasa syukur.

Maha Baiknya Tuhan menciptakan makhluknya berpasang-pasangan. Dicetuskan berbagai rasa bila berpasangan. Kadang-kadang gelisah, sedih, buntu, riang, bahagia, cemburu dan entah berapa banyak rasa yang datang silih berganti. Itu semua membuatkan hidup makhluk-Mu begitu berwarna-warni dan tiada kebosanan.

Lebih hebat lagi bila semua rasa-rasa itu membuatkan makhluk-Mu lebih kuat bergantung kepada-Mu kerana selalu tiada daya upaya untuk menanganinya.

Begini istimewa layanan-Mu terhadap kami, makhluk-Mu, ya Allah. Sedangkan kami hanya hamba-Mu. Engkau hiburkan juga dengan rasa-rasa yang seindah ini. Terima kasih, Tuhan!

Dia yang Engkau ciptakan untukku, bantulah aku untuk membahagiakannya…

Wajah Puteri yang lena dengan rambut hitam terhampar cantik menjelma di ruang matanya, menepis kedinginan tubuhnya, hangat mengulit asmara dalam dirinya. Bahagia sungguh apabila keindahan seorang perempuan itu terutama bila ia dipersembahkan hanya untuk suaminya. Tidak pada lelaki lain. Perasaan itu sukar digambarkan. Dan itu juga membuatkan seorang perempuan itu amat istimewa di hati suaminya. Itulah rahsia Tuhan memerintahkan wanita memelihara aurat dan maruahnya untuk suami dan keluarganya. Siapalah yang dapat memahami itu semua jika tidak mahu menghayati kerja Tuhan? Penuh maksud yang tersurat dan tersirat.

“Apa yang awak menungkan tu?” Suara halus itu lembut sekali singgah di pendengarannya. Nuqman berpusing.

Puteri bersandar santai di pintu balkoni, berambut basah dibaluti gaun merah cili bercorak batik, labuh hingga ke buku lali. Angin dari Selat Bhosporus nakal sekali meniup dirinya sekaligus menampakkan susuk tubuhnya.

Nuqman meneguk air liur. Ika!!! Seluruh tubuhnya bagaikan terbakar dalam kedinginan di Istanbul!

Apa agaknya yang akan berlaku jika dia turutkan kemahuannya, berlari merangkul Puteri dalam dakapannya lalu dibawa ke katil yang ditaburi mawar itu? Apakah dia juga mahu apa yang aku mahu…?

Ya Tuhan, sejukkanlah gelojak rasa dalam diriku ini!

Nuqman meraup mukanya keharuan. Entah bagaimana dia harus berhadapan dengan Puteri jika naluri lelakinya terus diuji begini…

“Saya buat awak pening, ya?” Dahi Puteri berkerut, kerisauan. Dia memang agak kaget apabila Nuqman melangkah ke arahnya agak pantas lalu meraih tangannya, menariknya ke sofa. Mereka duduk bersebelahan di sofa empuk, mengadap Selat Bhosporus yang sentiasa diselubungi keindahan.

Apabila Nuqman hanya tersandar keresahan di sofa dengan mata yang terpejam, Puteri memaksa dirinya untuk bertanya.

Matanya masih tertutup. Tetapi jemari Ika diraup ke dalam tangannya. Hangat.

“Awak tak tau apa yang sedang awak lakukan pada saya, Ika…” Dia melepaskan keluhan yang panjang, berterus-terang. Kemudian dia tunduk mengucup jemari Puteri yang berada dalam genggamannya.

Puteri terharu. Bagaimana dia dapat jelaskan sedangkan dia sendiri keliru.

“Saya mintak maaf, awak…” Perlahan kata-kata itu ikhlas terluncur dari bibirnya. Nuqman tersenyum kemudian ketawa tertahan-tahan sampai bergegar bahunya. Puteri semakin kehairanan.

“It’s okay, Ika. Awak tak perlu minta maaf…” Dia gelihati. Gadis itu mungkin belum mengerti.  Dia kelihatan masih naif tentang lelaki. Dia tidak tahu langsung yang gerak-gerinya akan membuatkan lelaki yang bersamanya boleh panasaran!

“Oh ya… Ika kena makan. It’s been hours… Samada Ika makan atau saya suapkan… Pilih yang mana…”

“Saya nak makan… Makan sendiri!” Puteri duduk tegak mengadap Nuqman. Memang Puteri terasa lapar tahap gaban! Sepanjang 11 jam dalam pesawat MAS MH 0030, KLIA – ISTANBUL, dia tak berselera nak makan. Emosinya kacau mengenangkan Nuqman. Kenapalah dia datang seperti menyerah diri kepada lelaki itu?

“Good! Kalau macam tu, jom ke dapur…” Nuqman tersenyum senang. Nampaknya dia semakin faham bagaimana hendak menguruskan Puteri.

Sup, roti, salad, nasi gandum dan daging terhidang semula di hadapan Puteri. Cay tea, minuman teh yang terkenal di Turki dituang Nuqman walaupun segelas susu suam sudah ada. Bersungguh Nuqman melayannya. Puteri makan sambil memerhatikan Nuqman seperti anak kecil yang sedang dipaksa makan oleh ibunya. Nuqman menahan senyum dan buat-buat tak nampak dengan perlakuan Puteri. Dia melindungi semua itu dengan memberi fokus kepada majalah dalam bahasa Turki yang terlalu sedikit difahaminya. Mereka senyap seribu bahasa.

“Jom kita keluar shopping. Masa pun awal lagi nak masuk waktu zohor. Saya tunggu Ika tukar baju, ya…” Nuqman mencari jalan untuk membawa Puteri keluar dari pangsapuri itu untuk mengurangkan ketegangan di antara mereka sebaik sahaja Puteri menghabiskan susu suam. Banyak juga makanan yang dimakan. Terasa lesu semakin berkurangan.

“Shopping? Hmm…” Puteri menurut tanpa minat. Nuqman tersengih. Jarang ada perempuan yang datang ke Istanbul tak berminat untuk shopping!

Puteri masih tak selesa. Perutnya kecut mengenangkan mummy! Waktu Istanbul lewat 5 jam dari waktu Malaysia. Macammana mummy sampai begitu cepat ke pejabat abah? Mungkin mummy sampai lebih awal dari tarikh yang diberitahunya sebab kata mummy, tarikh itu mungkin berubah. Agaknya mummy terus cari dia… Kesian mummy! Waktu peringatan yang diset di telefon tangannya berbunyi jam 9 pagi waktu Malaysia tadi benar-benar mengingatkannya tentang mummy. Sejak abah sakit kemudian dia bernikah dengan Nuqman dan kembali belajar sehinggalah sekarang dia di Istanbul, selama itu dia bagaikan terlupa pada mummy. Sekarang baru dia teringatkan mummy! Apa dia nak jelaskan pada mummy tentang Nuqman. Abaaaahh!

Namun Puteri agak lega selepas bercakap dengan abah tadi. Rasa nak cepat-cepat email mummy, tapi malu pula nak minta guna komputer riba Nuqman. Telefon tangan Puteri belum dimasukkan Sim Card untuk diset tetapan internet dan lain-lain.

Akhirnya mereka hanya berjalan-jalan di sekitar hotel dan pangsapuri tempat menginap sahaja. Mereka mengambil masa agak lama di sebuah kedai buku. Nuqman dan Puteri membelek-belek beberapa buku dan majalah tentang sejarah Turki, seni bina dan rekabentuk dalaman dulu dan kini di Turki.

Walaupun Puteri masih mentah dalam bidang itu, baru di tahun dua di peringkat Diploma Rekabentuk Dalaman, namun pengetahuannya dalam bidang itu mengagumkan Nuqman. Mungkin minat yang mendalam dan kerjaya bapanya mendorong puteri untuk benar-benar menghayatinya. Minat dan kerjaya dalam bidang yang hampir sama membuatkan mereka selesa berbual. Nuqman membeli beberapa buah buku dan majalah tentang Turki dan kehidupan orang Turki untuk Puteri. Tidak ketinggalan sebuah buku hiasan dalaman tradisional Turki yang tidak terlepas dari tangan Puteri sejak masuk ke kedai itu.

Dalam perjalanan balik, sempat Nuqman membeli aiskrim dan kek kegemaran Puteri. Gadis itu tersenyum persis kanak-kanak riang sampailah mereka kembali ke pangsapuri. Mudah juga untuk menghilangkan gundahnya.

Nuqman minta diri untuk siap bersolat. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari waktu tempatan. Awalnya nak bersiap untuk solat! Dia menghilangkan diri di sebuah bilik. Barulah Puteri perasan yang ada satu bilik lagi dalam pangsapuri itu. Puteri juga cepat-cepat ke biliknya, menukar pakaian dan berwudhuk. Entah kenapa hatinya begitu teruja untuk solat bersama Nuqman. Dia merasakan Nuqman seperti abah dalam menguruskan rumahtangga. Dan Nuqman juga melayaninya seperti abah melayan ibu. Penuh hormat dan pandai mengambil hati. Apakah dia juga seperti abah, tegas memimpin ibu dan anak-anak? Apakah Nuqman memang calon terbaik untukku? Ah… Patutkah aku terus mencari kelemahannya? Untuk apa? Kepuasan diri yang bagaimana sebenarnya yang aku mahukan?! Aku masih muda!!! Aku tak mahu terikat!!! Itu yang sebenar-benarnya! Bolehkah mereka jadi kawan saja sebelum err… jadi suami isteri?! Hmm…

Setelah siap bertelekung, Puteri menyelak daun pintu, menjenguk seketika mencari kelibat Nuqman. Dia terkejut melihat seorang lelaki berpakaian serba putih, berjubah dan berserban sedang duduk berselawat.

“Eh! Pak Arab mana pulak tu!! Nuqman tak cakap pulak yang dia jemput tetamu… Ala… seganlah macam ni!” Puteri teragak-agak untuk keluar. Nuqman belum ada jadi…

“Silakan….” Suara Nuqman mengejutkannya. Oh! Nuqman rupanya! Puteri menelan liur, menahan jantung yang berdegup kencang. Handsomenya dia! Macam pak Arab bila berserban macam tu! Getus hati Puteri sambil tersipu-sipu, melangkah ke saf putih yang terhampar, mengelak dari bertentangan mata dengan Nuqman yang masih memandangnya dengan senyuman.

Nuqman berpaling semula mengadap ke arah kiblat lalu menyambung selawat Badawi yang dialunkan tadi. Terkaku Puteri dengan suasana seperti itu. Bau harum semerbak wangi menyentuh deria baunya. Tak pernah Puteri melihat seseorang yang bersiap untuk bersolat sebegini sekali bagaikan ada majlis istimewa menanti. Selalunya orang bergegas bila nak berwuduk dan bersolat, jarang berlama-lama. Apatah lagi nak menunggu masuknya waktu seperti ini! Tak pernah berlaku dalam diari hidup Puteri!

Tapi kan solat ini pertemuan hamba dengan Tuhannya… Kalau jumpa boyfriend pun bukan main bersiap dan berwangi-wangian, ini kan jumpa Tuhan?! Entah dari mana suara itu datang dalam dirinya. Puteri tunduk, malu sendiri. Betapa aku tak beradab dengan Tuhan selama ni… Hatinya tiba-tiba dipagut rasa sesal dan malu.

Perlahan-lahan Puteri juga ikut berselawat sambil memerah minda cuba mengingati bait-bait kata yang dialunkan seperti yang dilagukan Nuqman. Puteri pernah ikut berselawat ketika di asrama penuh dulu namun kerana tak tahan berjauhan dengan abah, akhirnya Puteri memilih untuk bersekolah di sekolah swasta yang berhampiran dengan kediaman mereka. Sudahlah abah jarang berada di rumah, kalau Puteri tinggal di asrama, makin tipislah harapan untuk berjumpa abah selalu.

Kenapa Nuqman menjadi pilihan abah? Itulah keluhan Puteri hampir setiap kali mengadap wajah Nuqman. Luaran saja mereka bagaikan langit dengan bumi. Dia dengan pakaian rangginya berdiri di sebelah Nuqman yang sentiasa kemas, sopan bersongkok!!! Aduh! Memang berat nak berjumpa Nuqman sejak awal lagi. Puteri bimbang kalau-kalau terserempak dengan teman-teman. Nanti mereka pasti mengejeknya, berkawan dengan Ustaz!! Lagi-lagilah dia tekad hendak merahsiakan pernikahannya! Sementara dia mencari jalan keluar dari ikatan itu!

Tetapi anehnya, Nuqman tak pernah kelihatan tak selesa bersamanya dan dia juga tak pernah menegur penampilannya. Tapi Puteri sedar, sejak di lapangan terbang tadi, Nuqman memang agak berubah. Mungkin kerana Puteri bertudung dan mengubah sedikit penampilannya membuatkan riak wajah Nuqman seperti ceria berbanding dulu yang selalunya selamba atau serius. Tapi baginya, masih terasa seperti bersama dengan Ustaz saja. Peliknya, kali pertama kawan-kawannya keluar bersama Nuqman, tak sedikit pun mereka endahkan yang Nuqman tu bersongkok. Hmm… Malah mereka pulak terpikat dengan Nuqman… Oooh! Sebab Ustaz sorang ni handsome dan macho… ha ha! Puteri tertawa besar di dalam hati.

Suara Nuqman mengalunkan azan menyentak Puteri. Ya Allah! Selawat entah ke mana, jauh pulak aku mengelamun! Tak menghayati langsung! Teruknya aku niii! Puteri mengutuk diri sendiri dengan rasa sesal.

Kelam-kabut Puteri ikut berdiri, bersiap untuk menjadi makmum, di belakang Nuqman. Dia ikut menadah tangan, terangkak-rangkak membaca doa menjawab azan, cuba mengikuti bacaan Nuqman yang tak berapa jelas kerana dia membacanya dengan suara perlahan. Maklumlah, entah berapa lama Puteri tak membaca doa itu. Kalau bersolat pun dah di hujung-hujung waktu, manalah sempat nak iqamat dan berdoa bagai melainkan terburu-buru mengangkat takbir…