KOMBO MAKNA PADA RASA & KALAU AKU KAYA RM50


“Eager to leave me, Puteri Zulaikha?”

“Hah?” Puteri yang sedang menahan sebak tersentak amat. Serta-merta tangannya menekan dada yang sakit tiba-tiba akibat terlalu terkejut. Tuhan! Tubuhnya terais di situ.

Jantungnya berdegup kencang. Dia tak mampu berpaling ke sofa kerana dia tahu Nuqman di situ. Macam mana dia masuk? Atau dia memang di situ sejak tadi? Puteri menelan liur yang dirasakan teramat kesat.

“So, awak dah penuhi syaratnya? Dah ambil semua barang-barang awak?” Suara Nuqman mendekat. Ada sesuatu yang tidak kena pada suara itu. Nadanya menujah jantung. Nuqman melangkah mengelilinginya. Seolah-olah menggasak dirinya.

“Nak jumpa lawyer esok? Hmm… tak payah! Saya kan boleh dibawa berbincang? Dah tak sudi nak bercakap dengan saya? Bukan ke baru tengahari tadi saya lena dalam pangkuan awak di sini, awak lupa?” Dia berhenti tepat di muka Puteri. Memaksa gadis itu memandangnya.

Nuqman! Kenapa dia seperti sedang melakukan provokasi? Puteri kaku tidak bergerak. Kelopak mata pun takut untuk berkedip. Hanya jantung yang berpalu kencang dalam diam.

“Jadi… saya tak layak untuk Puteri Zulaikha! Right?” Dagu Puteri diangkat dengan hujung telunjuknya. Tersentak Puteri dengan soalan itu dan lebih tersentak lagi bila diperlakukan begitu. Pandangan mata mereka bersabung lagi. Saling menikam.

“Right?” Soalnya lagi dengan nada lebih keras. Dagu kecil itu diangkat semakin tinggi. Sakit dagu Puteri dibuatnya. Bertambah buntang sepasang mata bundar itu dengan tingkah Nuqman. Apa yang lelaki ini mahu darinya? Rentak hati Puteri bertukar geram.

“Right…” Dua ulas bibir itu bergerak sedikit dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Bergerak-gerak anak mata Nuqman mendengar jawapan itu. Sedetik, dagu Puteri dilepaskan dan dia ketawa kecil.

“Awak sungguh-sungguh nak buktikan yang awak tak perlukan lelaki, kan? Hidup sendiri lebih baik, bebas dari tanggungjawab.” Puteri tertelan liur mendengarnya. Kata-katanya dulu sedang memakan diri. Sebak mula bertamu lagi. Mujur Nuqman sedang membelakanginya.

“Beritahu saya, saya ni mangsa awak yang ke berapa?” Puteri ternganga. Nuqman yang tiba-tiba berpusing bertanyakan soalan cepumas itu sambil tersenyum ganas.

“Hairan? Terkejut? Saya tahu awak akan bersorak lepas ni. Seorang lelaki lagi berjaya awak perbodohkan! Hebat awak ni, Zulaikha!” Puteri memandang tepat ke wajahnya dengan rasa tidak percaya. Macam mana dia boleh tahu semua tu? Walaupun bukan itu sebenarnya yang sedang berlaku saat ini tapi…

“Manis kenangan kita di Istanbul, kan? Awak patut jadi pelakon, Zulaikha! Bijak menawan hati lelaki walaupun awak sikit pun tak rasa apa-apa. Naif, nampak jujur bila bercakap. Pandai tarik tali. Tapi kali ni, awak silap memilih mangsa…” Nuqman hanya berbisik di telinganya tetapi cukup membuatkan rama-rama ribut berterbangan dalam perutnya.

“Kali ni, kita tengok siapa yang jadi mangsa. Awak atau saya!” Jarak muka mereka hanya satu inci. Nafas pun berlaga. Hati Puteri bergetar hebat.

“Betul awak nak saya lepaskan awak?” Soalan maut itu terbit juga dari bibirnya. Puteri sudah semakin lemah longlai. Namun dipaksa dirinya berdiri tegak. Dia tak boleh nampak lemah di hadapan Nuqman. Namun anak matanya yang berkaca berlari tidak tentu arah.

‘Saya tanya awak, Zulaika!” Terpejam mata Puteri bila ditengking begitu. Menggigil seluruh tubuhnya. Nuqman menjadi amat menakutkan bila dia marah. Rasa hiba mula menggila. Perlahan-lahan Puteri mengangguk. Puas ditahan namun sebutir air jernih gugur juga ke pipi. Tuhan, tolonglah hamba-Mu ini!

***Petikan dari novel MAKNA PADA RASA. Harga asal RM32

Jemput baca lagi di link di bawah:

https://www.wattpad.com/248832663-makna-pada-rasa-bab-24

https://darimindaketinta.wordpress.com/…/siri-novel-cinta-…/

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Wardah terpisat-pisat di katil bila pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Rupanya dia tertidur semula selepas solat subuh. Mungkin kerana terlalu letih sebab pulang lewat malam tadi. Dengan pandangan yang masih kabur, dia terhoyong-hayang mencari pintu sambil menggosok mata.

“Kak Arda! Abang Zakuan kat bawah!” Suara Izwani mendahului wajahnya. Wardah buntang dalam kabur!

“Haah… bawah?” Semakin laju dia menggosok mata, menghalau mamai.

“Zakuan?” Suaranya naik satu oktaf. Allah! Pandangan jadi terang serta-merta.

Macam lipas kudung Wardah ke bilik air untuk membasuh muka, berpakaian menutup aurat dan bertudung lalu bergegas ke tingkat bawah. Pintu rumah terbuka luas dan … Izwani sedang menuangkan air teh kepada tetamu mereka yang tak diundang – Zakuan. Errkk! Sejak bila pula lelaki dibenarkan masuk? Izwani!

“Kak Arda!” Suara kecil yang memanggilnya dari belakang membuatkan dia terpempan. Saat itu, pandangannya dengan Zakuan bersabung. Biar benar!

Wardah berpusing seratus lapan puluh darjah secepat kilat. Di hadapannya, Anis tersenyum manis sambil memegang kek cawan yang mungkin baru diambil dari dapur dan yong tersembul dengan wajah keliru di situ. Wardah telan liur. Sekarang bukan waktunya, yong!

“Err… ya, sayang!” Wardah melutut terus di lantai sementelahan kakinya dah bertukar jadi agar-agar dengan kejutan ini.

“Lama ayah telefon Kak Arda. Kenapa tak angkat? Ayah nak bawa kita pergi jalan-jalan. Anis dah siap pagi-pagi lagi. Jomlah, Kak Arda!” Bahunya digoyang-goyangkan oleh tangan kecil itu. Terkebil-kebil Wardah di situ.

Kenapa tak angkat? Ya Allah! Dia lupa mengecas bateri telefon bimbitnya semalam! Sungguh-sungguh lupa!

“Arda, pergilah. Dah hampir jam sepuluh ni. Kesian Anis…” Wardah terngadah. Jam sepuluh? Wajah yong dipandang dengan seluruh muka yang berkerut. Rasa nak menangis. Arda belum mandi, yong!

“Terima kasih yong, Izwani. Kami tunggu di kereta saja. Anis, cepat!” Tuan besar dah bersuara! Lembut tapi sangat keras menghentak jantung Wardah. Kuasa vetonya! Urrrghhh…

Anis sudah berlari mendapatkan ayahnya. Ayah! Kenapa si anak dan si ayah itu begitu rapat tiba-tiba? Dan kenapa tiba-tiba juga dia terheret sekali…

“Arda! Berangan pula dia. Cepat! Mereka tunggu tu!” yong menggesa dengan wajah yang semakin keliru! Terpejam rapat sepasang mata Wardah. Bumi, tolonglah telan aku sekarang!

Wardah berlari ke atas untuk bersiap. Sempat dia mengeluh kerana kelas hujung minggunya dibatalkan. Kalau tidak, tentu dia dapat elakkan diri dari semua ini.

Dia sempat mandi – mandi kambing! Sarung saja jubah seluar, tudung juga yang bersarung saja apa yang dapat dicapai. Bedak ditampar ke muka, pembasah bibir dioles laju. Cukuplah. Celak? Tak sempat! Minyak wangi… arrgghhh… perlu! Nanti bau kambing! Stokin disarung ke kaki. Hampir sepuluh minit berlalu, Wardah akhirnya bergegas keluar dari rumah itu dan berlari anak melewati pintu pagar yang sudah sedia terbuka. Langkahnya terhenti apabila Zakuan tiba-tiba keluar dari kereta, bersandar santai sambil berpeluk tubuh, memandang tepat ke arahnya. Petanda yang sangat tak baik! Bertabahlah, Wardah!

“Awak ke mana semalam?”

“Hmm… ada… ada program.” Nafas masih tercungap-cungap.

“Program apa sampai tak boleh hidupkan telefon?”

“Ssa…saya tak sedar bila… hmmm… bateri… mati…”

“Oh! Bateri. Mati.” Lembut dia bersuara, sepatah-sepatah. Lembut ada makna!

“Awak memang macam ni? Tak ambil kisah? Tak peduli orang risau ke tidak? Tak sedar yang awak tu perempuan? Keluar malam-malam entah ke mana, bila balik, dengan siapa, buat apa di luar? Awak buat apa-apa ikut suka hati awak saja, kan?” Persis M16 yang sedang memuntahkan peluru, laju dan tepat ke sasaran.

Sekejap! Buat apa-apa ikut suka hati awak saja? Itu… aku atau dia? Wardah telan liur. Namun tak berani bersuara. Peluru tadi… dah cukup tembus jantung, hati segala!

Mata lelaki itu menjegil ke arahnya. Tajam macam mata helang.

“Saya… err… saya tak sengaja. Tapi… tapi saya pergi berteman. Tak ada apa yang nak dirisaukan. Lagi pun… kalau abi atau yong, mereka tahu macam mana nak cari saya…”

“Saya? Saya ni siapa? Tunggul? Boneka? Atau awak sangka saya ni jenis lelaki yang berfikiran terbuka tapi sebenarnya dayus yang tak kisah kalau perempuan yang dia sayang bebas keluar malam-malam tak perlu nak beritahu?”

Bagai ada panah yang menusuk ke jantung saat itu. Wardah terngadah tanpa kata. Sungguh, dia tak terkata! Perkataan ‘perempuan yang dia sayang’ itu bergema dan melantun dari setiap penjuru dalam dirinya.

“Itu saja yang awak boleh buat? Jadi patung cendana?”

“Errr… saya…”

“Nasib baik belum jadi isteri! Kalau awak dah jadi isteri saya, saya kurung awak duduk dengan saya tak keluar bilik tiga hari tiga malam, awak tahu tak?”

Gulp! Kurung dengan dia? Apakah itu hukuman yang paling ngeri atau…

“Tak reti nak minta maaf?”

“Hah! Saya… saya minta maaf!” Siap kepalanya sekali ditundukkan. Dah macam orang Korea pula!

“Sekarang masuk kereta. Saya hanya maafkan awak lepas awak masak untuk saya. Saya lapar! Dari semalam saya tak makan sebab risaukan awak. Masuk!”

Mulutnya terlopong. Kemudian matanya terpejam rapat. Tuhan!
***Petikan dari novel KALAU AKU KAYA. Harga asal RM30.

Jemput baca lagi di link di bawah:

Kombo 2 novel ini hanya RM50 termasuk pos.

Tawaran hanya untuk 4 hari (5-8 Mac 2019). Harga biasa kombo ini adalah RM60 termasuk pos.

***PM @ Whatsapp 011-20503481

Dua karya ini mendapat review yang baik di Goodreads. 4-5*. Jemput ya!

#infaq tatayyum#