Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 6

KAK cover copy

“Aku nak kau jumpa team malam ni, cari calon yang lebih baik untuk anugerah tu. Aku rasa kau terbawa-bawa. Kau dah tersalah orang sebenarnya,” kata-kata Zakuan menyentak diri Azam yang sedang enak bersandar di sebelah tempat duduk penumpang. Mereka dalam perjalanan menuju ke bandar Taiping yang terkenal dengan nostalgia itu.

Seriusnya dia! Patutlah beriya-iya dia mengajak Azam keluar jauh sampai ke Taiping. Rupanya ada hajat. Masih tidak puas hati lagi sebenarnya. Hati Azam diramas risau.

“Kami dah sepakat, Kuan. Itu bukan keputusan aku seorang. Cadangan asal pun dari Raymond, ketua unit dia. Memang Wardah nampak muda, naif, jawatan dia pun bukan tinggi sangat. Tapi peribadi dan performance dia kontras. Dalam graphic department, dia yang paling menonjol. Malah dia sangat membantu tim pruf dan penulis kopi. Kami panggil dia ‘eagle eyes’ sebab jarang ada kesilapan samada dari segi grafik atau teks yang terlepas dari pandangan dia. Dia juga salah seorang daripada empat orang yang dipertanggungjawabkan waktu closing hours. Bayangkan, walaupun susah payah balik lewat malam, dia tetap jalankan tanggungjawab dia sampai jam dua-tiga pagi untuk menyemak keseluruhan paper semata-mata nak pastikan semua sempurna. Kalau kau tak percaya, kau tanya saja sesiapa dari mana-mana department, siapa yang paling efficient dalam tugasannya. Aku jamin kebanyakannya akan jawab – Wardah.”

Zakuan terdiam lama. Dia tidak ada bukti atau asas untuk membangkang kata-kata Azam kerana dia tidak pernah terlibat secara langsung dalam penerbitan akhbar mereka. Tetapi kata-kata gadis itu awal pagi tadi di tepi tasik amat membimbangkannya. Bagaimana kalau benar gadis itu sebenarnya mata duitan? Ahh… apa pula kaitannya dengan prestasi kerjanya? Malah kalau dia hendak sangat jadi kaya, pasti dia bekerja bersungguh-sungguh dan itu sangat baik untuk syarikat.

“Lagi pun Kuan, majalah baru tu adalah idea dia. Itulah kau! Aku susah payah bagi copy, kau buat tak tahu. Aku bagi profil dia pun, bukannya kau tengok. Apa alasan aku nak bincang pasal cari calon lain malam ni? Sebab instinct engkau?” Soal Azam lagi.

Lagi-lagilah Zakuan terdiam. Entah macam mana hendak dijawab soalan itu. Tapi dia memang tak suka dengan cara dan sikap gadis itu setakat yang dia tengok sejak awal pagi tadi. Ada saja yang menjengkelkannya.

“Dia anak yatim piatu, Kuan. Dan dia jenis yang sangat kuat berdikari. Aku rasa pilihan kami memang…”

“Hah! Aku dah agak dah! Kau mesti dah kena main dengan perempuan tu kan. Dia ada mak ayah la. Kau jangan tak percaya, pukul dua pagi tadi aku dengar dengan telinga aku sendiri, dia membebel dengan si Benn tu yang dia nak bantu umi abi dia besarkan perniagaan!” Zakuan teruja bila dapat membongkarkan siapa gadis itu sebenarnya. Tak sedar stering yang dipegang ditampar kuat. Gembira hatinya bila dia dapat membuktikan kebenaran.

“Umi abi dia tu, mak ayah angkat yang besarkan dia di rumah anak yatim. Aku pernah jumpa dengan mereka waktu dia bawa kami ziarah ke majlis tahlil di rumah anak yatim tu dulu. Ada dato’ mana entah sponsor makan malam di sana. Kau ni main tuduh melulu saja…,” bidas Azam dengan geram. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Patutlah si Zakuan macam tak sukakan Wardah. Rupanya dia ada mengintip gadis itu berbual… jam dua pagi?!

“Apa kau buat jam dua pagi tadi? Kau intip Wardah ya?”

‘Heh! Kau ingat aku ni apa, hah? Perempuan tu yang melalak tak sedar diri sampai aku yang dah terlena atas buai tu pun terganggu, kau tau tak? Lepas tu membebel-bebel dengan kawan dia, si Benn tu fasal nak jadi kaya, konon! Ada apa hal aku nak intip perempuan tak senonoh tu?” Zakuan tiba-tiba menyinga. Azam terpelongo mendengarnya. Dah apa kena pulak dengan si Wardah ni? Melalak jam dua pagi di luar chalet? Macam buang tebiat pula bunyinya.

Akhirnya kedua-dua lelaki itu diam membisu. Rimbunan pepohon di sepanjang jalan yang mengelilingi Taman Tasik Taiping tidak lagi menarik perhatian mereka. Kehijauan rumput dan tenangnya tasik yang dihiasi teratai yang mekar tidak lagi menghiburkan hati dan pandangan mata mereka. Kerana hati dan pemikiran mereka sedang dikuasai oleh gadis yang bernama Wardah.

Zakuan mencari ruang untuk meletakkan kereta di belakang bangunan bomba di bandar Taiping. Petang sabtu agak sesak di situ. Gerai-gerai makanan berderetan. Entah apa pula yang dicari oleh Zakuan sampai ke sini. Azam mengeluh resah sambil mengerling jam yang melingkari pergelangan tangan kirinya. Sudah hampir jam tujuh petang. Dia bimbang jika mereka terlewat untuk kembali ke dewan RPLB untuk program perbincangan itu nanti. Dr. Kamsina pasti kecewa kalau dia tidak hadir. Kalau tidak kerana mereka kawan lama, pasti sukar untuk dia memenuhi undangan Azam yang lokasinya sangat jauh dari bandar Kuala Lumpur. Mujur RPLB menawarkan banyak aktiviti luar yang memberi peluang untuk dia bercuti bersama keluarga sambil bekerja.

Cendol dan ais batu campur dengan aiskrim dan hirisan epal dipesan Zakuan tanpa bertanya Azam terlebih dahulu. Riak mukanya masih tegang. Malah dia mengelak dari bertentang mata dengan sahabat merangkap rakan kongsinya itu. Itu bukanlah sesuatu yang baru bagi Zakuan. Perempuan lebih banyak buat dia tegang dari terhibur. Ada saja yang tidak kena di matanya. Dia bukanlah membenci kaum hawa cuma untuk menyukai mana-mana perempuan, ia mengambil masa yang agak lama.

Zakuan memang seorang yang cerewet dalam serba serbi. Dia mahu semuanya sempurna. Seperti hidupnya, disusun dan dicatur dengan sempurna mengikut kemahuannya. Mungkin watak anak bongsu dalam keluarga turut membentuk peribadi Zakuan. Namun ada baiknya begitu bila dia bekerja kerana dia sentiasa mahu yang terbaik dan cemerlang.

Kecuali Kaustik. Bila Zakuan tidak berminat maksudnya dia tidak akan memberi perhatian langsung. Kaustik adalah bukti kepercayaannya kepada seorang sahabat. Dan sebagai sahabat, Azam tidak mahu sesekali pun mencemar kepercayaan yang diberikan kepadanya. Jadi bagi Azam, sikap Zakuan yang jarang memberi komen atau memprotes tindakannya sepanjang dia menguruskan Kaustik itu perlu dijaga. Bila isu Wardah ditimbulkan, dia perlu memberi perhatian dan selesaikan dengan cara yang sebaik mungkin.

“Kuan, apa kata kita luangkan masa dengan Wardah dan tim editorial esok pagi. Boleh kau perhatikan dia dengan lebih dekat. Kalau kau masih bertegas yang dia bukan pilihan yang tepat, aku akan bincangkan hal ini semula. Itu aku janji.”

“Esok pagi aku sibuk.” Jawab Zakuan, pantas. Azam mengangguk kecil.

“Lupa. Kau nak ke tapak semaian. Kalau petang?”

“Tengoklah…” Zakuan sekadar menjawab, acuh tidak acuh.

Azam buntu. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Entah di mana silapnya sampai begini sekali jadinya, dia mengeluh kesal. Tetapi dia tidak boleh mengalah. Hatinya sangat yakin, Wardah berhak mendapat anugerah itu dan dia mahu ramai staff Kaustik menjadikan Wardah sebagai contoh ikutan.

“Wardah memang naif, Kuan. Aku setuju dengan kau. Tetapi di sebalik sifat tu, dia selalu berfikir di luar kotak. Tindakan spontannya jadi pelik sebab cara dia berfikir. Dia suka melihat sesuatu dari sudut perspektif yang berbeza dengan orang lain. Tapi setakat ni, semuanya tindakan yang dia ambil tu okey, tambah baik dan positif. Mungkin kita patut tengok dari perspektif dia. Sesuatu yang berbeza dari biasa.”

Zakuan diam lagi.

“Aku tak nafikan kadang-kadang Wardah tu pelik, Kuan. Bukan setakat kau saja rasa macam tu. Orangnya kecil tapi jiwanya besar. Cita-citanya melangit. Dia memang berani berterus-terang dalam apa hal sekali pun. Kemanusiaannya luar biasa. Lagi satu, dia sangat energetic. Tak tahu letih. Jadual hidup dia penuh. Ada saja yang nak dibuat. Yang penting, kerjanya di Kaustik selesai. Kalau nak kata macam gadis lain yang asyik shopping, keluar berhibur, Zaidad Wardah Abdul Hanif sama sekali berbeza. Dunia dia penuh dengan kerja, kerja amal dan kejar ilmu…”

“Kejar duit, kau tak tahu?” Tukas Zakuan tiba-tiba. Berkerut dahi Azam. Kenapa pandangan Zakuan sangat negatif pada Wardah?

“Kau sebenarnya ada hati dengan dia, kan? Tak payahlah ‘berlari keliling semak’, Zam. Dah depan mata, ambik sajalah. Jadikan isteri, habis cerita!” Bentak Zakuan lagi. Azam tersandar mendengarnya. Makin dia bercakap, makin parah jadinya!

Advertisements

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 5

KAK cover copy

“Kau ni memang degillah! Nanti kalau Encik Azam nampak? Siapa yang kena jawab? Akuuu jugak!” Benn membebel penuh perasaan sambil menyarung kasut sukannya di muka pintu chalet mereka. Wardah sudah berdiri, bersandar di dinding chalet. Dia belum cukup kuat sebenarnya tetapi kerana janji, dia memaksa diri.

“Berapa kali aku nak cakap? Kita. Dah. Janji. Kesianlah kat makcik-makcik tu. Nanti tertunggu-tunggu pulak diaorang kat depan restoran tu. Lagipun aku dah mati kutu baring dalam chalet ni!” Wardah mula merengek dan buat muka kesian.

“Eh, sejak bila kau ada kutu? Kalau kutu mati, ha… eloklah!”

Anak mata Wardah berputar memandang langit. Benn ni memang…

“Macam nilah, kau masuk balik sekarang. Biar aku je belanja makcik-makcik tu makan. Meh duit sini! Aku takut duit aku tak cukup pulak nanti. Entah berapa ramai kawan-kawan makcik tu!” Wardah menekup mulut menahan diri dari ketawa. Konon nak belanja tapi minta duit pula!

“Aku okeylah! Dah lah. Jom!”

Lengan Benn dipaut. Bimbang kakinya belum begitu stabil hendak melangkah. Restoran bukannya begitu dekat walaupun nampak jelas di pandangan mata dari chalet mereka. Wardah berjalan berdengkot-dengkot. Kakinya yang kejang sudah disapu minyak panas pemberian makcik tukang kebun di rumah peranginan itu. Namun apabila bergerak, sengalnya terasa menyengat. Otot-otot badan Wardah juga masih sakit kesan dari kuat mendayung pagi tadi tetapi dipaksa dirinya bergerak supaya sakit otot itu akan berkurangan juga nanti. Elok juga kalau dia tidak terus berbaring manjakan diri. Dia perlu lebih aktif sebenarnya supaya otot itu kembali pulih seperti sediakala.

“Eh, makcik-makcik tu dah tolak basikal tu, dia orang nak balik dah ke?” Benn menunding jari ke arah sekumpulan wanita yang baru keluar dari bangunan stor tidak jauh dari restoran.

“Alamak, cepat Benn. Pergi panggil diaorang. Kalau dah mula mengayuh nanti, tak sempat pulak!” Lengan Benn yang tadi dipaut kini ditampar-tampar.

“Isyhh… kau ni! Eloklah diaorang balik. Tak payah keluar duit nak belanja bagai. Lagi pun diaorang tau kau sakitlah!”

“Eee… kau ni, Benn! Aku dah niatlah. Cepatlah pergi…!”

“Habis, kau nak jalan macam mana. Terhencot-hencot macam nenek kebayan! Jatuh nanti siapa yang susah? Akuuu jugak!” Benn sudah macam-macam aksi.

“Kau jangan banyak cakap, boleh tak? Cepat pergi! Aku jalan perlahan-lahan.” Tubuh Benn ditolak, menggesa dia supaya cepat bertindak.

“Aku tak faham betullah dengan engkau ni, Arda…” Benn pergi juga sambil membebel. Wardah tergelak menang. Mana dia pernah kalah walaupun dengan Benn!

Akhirnya selepas puas Benn memujuk, makcik-makcik pekerja rumah peranginan itu mengalah juga. Bila ternampak Wardah, masing-masing kecoh hendak menolong. Akhirnya Wardah dibawa ke restoran dengan membonceng basikal milik salah seorang daripada mereka.

“Tengok tu! Degil betul budak ni! Dah pesan suruh rehat di bilik saja, dia keluar juga.” Azam yang tadinya khusyuk membaca iklan perabot kayu jati yang terbaru di tangannya terdongak bila mendengar suara bising-bising di pintu restoran dan terkejut apabila melihat Wardah dan Benn masuk bersama dengan empat orang wanita yang berpakaian seragam menunjukkan yang mereka adalah staf RPLB. Apalagi, memang membebel sakanlah dia.

Zakuan yang kelihatan kasual dengan kemeja-T biru laut dan sepasang jeans biru berdehem. Jengkel dengan sikap Azam yang bukan main ambil berat lagi dengan gadis itu. “Biarlah dia. Yang engkau ni, dah macam kekasih hatilah pulak. Risau tak tentu hala. Tak pernah aku tengok kau macam ni.”

“Ya Allah, dia staf akulah. Merepek engkau ni!”

“Kalau dia dah nak cari penyakit, biarkan sajalah!” Zakuan menjeling geram melihat Wardah begitu berani memecah tradisi, membawa pekerja-pekerjanya masuk ke restoran itu sedangkan dia sudah sediakan bilik makan untuk pekerja di belakang restoran. Melihat gaya mereka, dia tahu Wardah yang beriya-iya memaksa. Budak kampung mana entah, naif dan tak ada pendedahan tentang profesionalism langsung. Kalau mereka hendak makan di restoran, mereka boleh datang pada hari cuti dengan sesiapa pun dan tidak memakai pakaian seragam bekerja seperti itu.

Tidak terlintas di fikiran Zakuan yang mereka tidak pernah makan di situ sebelum ini. Mungkin juga kerana makanan di situ agak mahal kerana mengikut standard piawaian hotel. Kalau hendak makan makanan pada harga biasa, ada banyak deretan gerai-gerai milik orang kampung di sepanjang jalan masuk ke RPLB. Atau mungkin gaji yang kecil tidak memungkinkan mereka makan di restoran yang agak mewah itu? Zakuan sedikit terkedu.

Waktu petang seperti itu, pelbagai juadah di hidangkan untuk jamuan petang sementara pesanan ala carte juga ada disediakan. Dari gaya Wardah, dia meminta staf RPLB yang ada bersamanya memilih makanan yang mereka sukai dari hidangan yang banyak itu. Tergeleng-geleng kepala wanita-wanita itu. Nampak berat untuk mereka memenuhi permintaan Wardah. Akhirnya gadis itu bertindak memilih makanan untuk mereka dengan dibantu Benn.

Mereka duduk mengelilingi meja bulat yang agak besar itu. Kemudian masing-masing mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca Wardah. Macam anak-anak kecil, desis hati Zakuan. Baca doa sendiri-sendiri sudahlah! Kemudian masing-masing membelek makanan yang terhidang di meja. Melihat orang kampung yang tidak biasa makan hidangan yang cantik berhias, Zakuan tersenyum jelek. Kasihan pun ada. Jakun belaka!

Azam menjeling kawan baiknya. Hatinya tersentuh dengan sikap Wardah. Memang dia lain dari yang lain. Kalau tak salah Azam, harga untuk menikmati jamuan makan petang di situ lebih kurang RM19 seorang. Banyak pula duit si Wardah? Sedangkan di pejabat, dia lebih suka bawa bekal dari berbelanja seperti teman-teman yang lain. Tiba-tiba Azam bangun dari kerusi.

“Eh, kau nak ke mana?”

“Aku berselera pulak tengok Wardah makan dengan makcik-makcik tu. Nak join?”

“Kau biar betul?”

“Eh, betullah!” Azam sudah melangkah pergi meninggalkan Zakuan yang kini masam mencuka. Tidak cukup disindir halus dek Wardah, sekarang teman baiknya sendiri ikut bersekutu dengan gadis pisau cukur itu. Entah-entah itu semua lakonan semata-mata untuk memikat majikannya, si Azam.

“Hmm… Wardah, dah sihat?” Tegur Azam sebaik saja dia mendekati mereka yang duduk di keliling meja.

Wardah yang sedang menyuap bebola sotong terdongak dan tersengih malu. Kantoi!

“Sihat apanya, Encik Azam. Jalan pun macam nenek kebayan! Tapi bila dapat makan, tengoklah tu, segar terusss!” Benn tolong jawab. Bulat mata Wardah mendengarnya. Hampir tertelan bebola sotong tanpa sempat dikunyah. Mujur dia sempat menahan diri sebelum tercekik. Hendak dijawab sendiri, mulutnya penuh!

Azam tersenyum. Dia menyapa staf RPLB yang senyum-senyum malu memandangnya. Dia biasa datang ke sini bersama Zakuan. Jadi dia agak kenal dengan wajah-wajah staf yang sedang menjamu selera itu. Masing-masing menjemputnya makan.

“Encik Azam tak makan ke?” Wardah yang kelam-kabut mengunyah dan menelan bebola sotong itu dapat bersuara akhirnya.

“Hmm… tak apa. Saya makan sekejap lagi. Malam ni, dah boleh hadir ke dewan.” Dia mengingatkan.

“Err… boleh, Encik Azam. InsyaaAllah!” Wardah tersengih lagi, penuh makna. Dia menjeling ke arah Benn. Rancangan asal mereka adalah untuk ke pekan Taiping. Chon ataupun nama penuhnya Siti Solha bersama suaminya yang berasal dari Kamunting, Taiping memang sudah berjanji untuk membawa mereka berjalan-jalan ke bandar Taiping sambil menziarahi keluarganya di Kamunting nanti. Mereka berempat memang tidak bercadang mengikuti program perbincangan tentang dunia penerbitan di dewan pada malam itu. Benn buat muka. Kecewa.

“Selamat menjamu selera,” ujar Azam lalu mengangkat kaki menuju ke medan hidangan yang tersusun cantik. Setelah memilih makanan, dia kembali ke bilik makan VIP. Sebelum itu, sempat dia memberitahu sesuatu kepada pelayan yang terangguk-angguk mendengar kata-katanya.

“Kenapa kau tak join team prof ke tapak semaian petang ni? Bukan cadang nak tengok ladang jati di Chemor dengan diaorang?” Tanya Azam sebaik saja dia melabuhkan punggung. Zakuan membelek-belek dulang yang berisi pelbagai jenis kuih-muih tradisional yang dipilih Azam.

“Tak jadi. Aku tak ada mood. Lagipun Prof. Basyar dengan Puan Fauziah datang dengan keluarga. Kami tunda pagi esok. Biar diaorang enjoy kat sini dulu. Lagi pun anak-anak diaorang semangat pulak nak berkayak. Tadi aku tengok, semua dah ada kat tasik.” Sepotong serimuka disuap ke mulutnya. Bismillah entah ke mana. Doa apatah lagi!

“Patutlah tak join makan kat sini.” Ujar Azam sambil menjeling ke arah mee rebus yang belum terusik di hadapan Zakuan.

“Hmm… macam mana dengan budak tu? Dah okey?” Azam tergelak. Tanya juga tu! Bukan Azam tak tahu, Zakuan terasa dengan tindakan Wardah. Halus cara dia mengajar orang lain dalam menghiburkan sesama manusia. Ceria bukan main makcik-makcik tadi makan dilayan Wardah dengan Benn.

“Okey dah. Benn kata, dia jalan terhencot-hencot lagi.”

“Benn yang mana?” Terpacul soalan itu sebelum sempat ditahan. Azam mengulum senyum. Nada macam ada cemburu. Pelik!

“Semua perempuan kat meja tu…”

“Yang gaya macam tomboy tulah. Benn memang lasak sikit. Mereka berdua rapat sejak bekerja di Kaustik. Benn, graduan Uitm, baru mula kerja. Wardah pulak baru nak ambik diploma di kolej swasta, weekend classes. Tapi dia dah lama kerja, banyak pengalaman. Sebelum ni dia banyak di advertising company.” Panjang pula cerita si Azam. Zakuan hanya mengangkat kening.

“Benn? Perempuan?” Zakuan bertanya lagi. Pelik bercampur aneh. Azam mengangguk.

“Bani Zanuril Anis tapi semua orang panggil Benn.”

“Pelik. Berkawan dengan orang pelik. Eloklah tu.” Bebel Zakuan sambil mula menghirup kuah mee rebus yang masih berasap.

“Serasi pula dia dengan Wardah. Lagi pun Wardah tu banyak bimbing Benn. Bukan Benn saja malah dia banyak bantu team grafik yang lain. Raymond, our assistant art director sayang betul dengan Farhah. Bukan Raymond saja, Hairi dan yang lain-lain pun sama. Farhah banyak bantu team copywriters. Dialah yang terpilih untuk anugerah khidmat cemerlang tahun ni.”

“Siapa? Budak baru tu?” Soal Zakuan dengan dahi berkerut. Laici sejuk dari gelas kaca berkaki tinggi disedut perlahan.

“Wardah.”

“What?” Hampir tersembur keluar air laici yang diminumnya. Budak naif tu?

“Kau yang approve!”

“Manalah aku tahu dia…” Zakuan tersalah faham menyangkakan Benn yang dimaksudkan kerana dia ada kelulusan.

“Kan aku dah bagi profil kerja dia.”

“Yalah… yalah… aku bukannya baca sangat. Kenal pun tidak. Tapi kau pasti ke dia layak. Kau tengoklah apa yang dia buat tu!” Marah Zakuan penuh rasa jengkel.

“Okey apa? Dia belanja staf-staf kau makan. Apa salahnya? Dah kau tak nak belanja. Makcik-makcik tu manalah ada duit nak makan mahal-mahal macam tu.” Sempat dikenakan Zakuan. Semakin merah mukanya yang cerah itu.

“Etika, Azam. Etika! Kau lupa ke?”

“Alah Kuan, kita sesama manusia, apalah sangat dengan etika ciptaan manusia tu. Betullah kata Wardah, diaorang tak pernah makan kat sini. Apa salahnya sesekali kita hiburkan orang susah macam tu. Kalau nak tunggu diaorang datang dengan baju biasa, mana sempat Wardah nak belanja. Esok malam dah nak balik.” Azam cuba berlembut. Kena pilih perkataan yang sesuai. Api jangan dicurah minyak. Silap hari bulan, dia kena pilih orang lain untuk anugerah khidmat cemerlang!

Zakuan mendengus tidak puas hati. Lebih sakit hatinya bila Azam memenangkan gadis itu.

“Tu! Iklan tu, kata nak komen! Perempuan punya fasal, semua kau buat tak endah!” Zakuan mula mencari fasal. Fasal untuk melepaskan marah.

“Eh, mana ada. Aku nak tengoklah ni. Kita kan free petang ni. Malam ni kau datang tak?”

“Tak!”

“Eloklah kau tahu tentang selok-belok penerbitan alaf baru ni. Jauh aku jemput lecturer tu datang.”

“Tak minat!”

Azam menghela nafas. Sentaplah tu! Gelihati dibuatnya. Dia mencapai iklan perabot kayu jati musim baru keluaran syarikat milik keluarga Zakuan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Jenuh dia cuba menumpukan perhatian sepenuhnya kepada iklan itu.

“Apa senyum-senyum?” Jerkah Zakuan tiba-tiba.

Azam terus tergelak besar. Buruk bila lelaki sentap!

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 4

KAK cover copy

“Wardah!” Azam hampir terlompat dari kerusi. Zakuan yang dari tadi berdebar bila melihat tim editorial berkerumun di tebing tasik jadi terkejut dengan aksi spontan Azam. Di seberang tasik sana, gadis itu sedang diangkat ke tebing. Semua yang ada di bawah khemah itu ikut bersuara cemas.

Azam mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail nombor Soeraya. Dia gelisah di tempat duduknya.

“Wardah! Macam mana?” Cemas suara Azam, risau mengelingas dalam hati. Zakuan memasang telinga. Wajah Azam yang tegang berubah kendur. Petanda baik. Secara otomatik, jantung Zakuan yang tadi berdegup kencang jadi reda sedikit.

“Okey. Okey. Terima kasih, Su. Kejap lagi saya ke sana.”

Azam bersandar semula sambil menghela nafas lega. Zakuan memandang tepat ke arahnya, menanti.

“Macam mana kau tau itu Wardah?” Bisik Zakuan setelah mendekatkan jarak di antara mereka.

“Dia mudah pengsan. Pernah jadi beberapa kali. Tapi tak serius. Kata Su, dia dah sedar. Aku… aku nak ke sana sekejap,” jelas Azam dalam nada berbisik juga. Azam bingkas bangun. Zakuan hampir terlonjak mahu berdiri tetapi duduk semula. Terdetik di hatinya untuk ikut sama tetapi hasratnya dibatalkan kerana memikirkan tetamu mereka terutama datuknya, Tan Sri Dato’ Uthman bin Darwisy turut hadir bersama pada pagi itu.

Akhirnya Zakuan memaku diri di kerusi. Kemudian dia memaklumkan kepada semua yang hadir di bawah khemah itu bahawa salah seorang staf mereka pengsan tetapi sudah sedarkan diri. Keadaan di bawah khemah itu tenang semula.

Pengumuman dari pengerusi majlis bergema di corong pembesar suara memaklumkan bahawa acara berkayak sudah tamat dan pemenang-pemenang diumumkan. Sorakan keriangan dan tepukan gemuruh sekali lagi bergema di sekeliling tasik. Seterusnya mereka semua dijemput ke restoran untuk menjamu selera.

Muka Wardah lencun dibasahi air. Beberapa kali Benn menyapu air ke muka Wardah untuk menyegarkannya setelah dia sedarkan diri. Wardah terbaring lemah di atas rumput hijau di tepi tasik dan dikelilingi rakan-rakan perempuan tim editorial, memagari dirinya dari pandangan peserta lelaki. Wardah sudah tenang dan beransur lega. Perlahan-lahan dia dibangunkan dan duduk berlunjur kaki. Barulah rakan-rakannya melepaskan rasa lelah dan cemas sejak melihat Wardah terkulai tadi.

“Kau okey?” Benn bertanya lembut. Wardah mengangguk. Puan Soeraya menggosok lembut belakangnya. Wardah cuma perlu bertenang dan menghirup sebanyak-banyak udara yang dia boleh. Kemudian dia perlu berehat.

“Terima kasih, Benn, Mona, Meeta, Chon, Puan Su…” Wardah bersuara lemah sambil memandang seorang demi seorang di sekelilingnya. Masing-masing tersengih, ada yang mengangguk dan menggeleng. Tak terkata.

“Tak perlu berterima kasih, Wardah. Kami tak apa-apa. Wardah tu yang kami risaukan. Rasanya tak patut…” Kata-kata Soeraya terputus di situ bila menyedari kehadiran seseorang.

“Assalamualaikum,” sapa Azam yang sudah terpacak berdiri tidak jauh dari mereka berkumpul. Wardah sama seperti yang lain terkejut dengan kehadiran encik Azam yang tiba-tiba datang. Hanya Soeraya yang tersenyum-senyum. Kelam-kabut Wardah membetulkan duduk, tidak jadi bersila, dia bertimpuh pula. Tergelak Benn dibuatnya. Dia selamba berlunjur kaki, masih keletihan. Salam encik Azam dijawab silih berganti.

“Wardah, macam mana? Dah okey?”

Laju Wardah mengangguk. Malu pula dia bila Encik Azam sendiri yang datang. Baru berkayak sudah pengsan-pengsan!

“Benn, bawa Wardah balik ke bilik dulu. Dia kena rehat. Su, boleh dapatkan kereta ke sini? Chalet agak jauh kalau Wardah nak berjalan.” Gaya ‘boss’nya tetap ada walau di mana dia berada.

“Baik, Encik Azam. Meeta, tolong ambik kereta saya. Hantar Wardah balik ya. Mona dengan Chon, boleh tolong uruskan makanan Wardah dengan Benn ke bilik? Diaorang boleh terus rehat je.”

Mereka bertiga mengangguk-angguk. Semua bergerak seperti yang dipinta.

“Tahniah Su, hebat-hebat belaka tim editorial. Bersemangat Wardah dengan Benn berdayung tadi.”

“Isyhh… mestilah bersemangat, Encik Azam. Kalau tak, tak de lah sampai pengsan-pengsan ni ha!”

“Engkau!” Bahu Benn ditolak sekuat hati dengan tangannya yang masih lemah itu. Terkekek-kekek Benn ketawa. Azam dan Soeraya juga tidak dapat menahan ketawa.

“Tadi bukan main lembik, sekarang bukan main kuat tolak orang!” Marah Benn bila dia ditolak. Lagi bulat mata Wardah dijegilkan.

“Sudahlah… Meeta dah sampai tu. Mari Wardah, kita ke kereta,” tukas Soeraya sambil ketawa. Wardah bangun tetapi agak terhoyong-hayang. Cepat-cepat Soeraya memegang lengan Wardah dan menstabilkannya.

“Kaki saya!”

“Cramp agaknya. Bergerak perlahan-lahan dulu. Sakit tak?” Suara Encik Azam kedengaran risau. Raymond dan Zaifunizam serta yang lain mula mendekat. Masing-masing bimbang melihat keadaan Wardah.

Wardah cuba melangkah lagi. Benn cepat-cepat memaut bahu Wardah. Kaki Wardah kejang, susah hendak dilenturkan. Tetapi dipaksanya juga melangkah. Sedikit demi sedikit, sakit dan kejang itu bertambah reda.

“Baik-baik, Arda!” Zaifunizam bersuara bimbang. Wardah mendongak sambil tersenyum lemah. Kepalanya masih berpusing sedikit. Seluruh badannya berdenyut terutama kaki dan lengannya.

“Jalan elok-elok. Awak rehat je di bilik. Jangan keluar. Malam nanti baru awak ke dewan,” pesan Azam lagi.

‘Ya, Encik Azam. Terima kasih…”

“Hmm… Benn, take care of her.”

“Aye aye boss!” Jawab Benn dengan nada bergurau sambil berpaling dan menghadiahkan senyuman. Azam menggeleng-gelengkan kepalanya. Yang lain semua ketawa. Benn memang hero. Padan sangat dengan si Wardah! Seorang kasar dan lasak, seorang lagi lembut tetapi boleh tahan nakalnya.

“Kami pergi dulu, Encik Azam,” ujar Soeraya sebelum masuk ke kereta. Azam sekadar mengangguk. Matanya tidak lepas memandang Wardah yang tersenyum lemah di tempat duduk belakang.

“Caring betul Encik Azam kita hari ni,” Benn mula bersuara sebaik saja kereta bergerak meninggalkan Azam yang masih tercegat berdiri.

“Mestilah, Benn. Staf kesayangan kot!” Meeta yang tinggi lampai, cantik bermata zirafah, ketawa sambil memandu.

“Isyh… korang ni, Encik Azam tu bertanggungjawab orangnya. Staf mana pun kalau ditimpa apa-apa kesusahan, memang Encik Azam dulu yang tampil membantu,” bela Soeraya. Dia tidak mahu ada rasa kurang senang di kalangan staf-stafnya. Wardah menghela nafas lega. Benn dan Meeta pula terkekek ketawa.

“Ala… saja je, puan Su. Memang kami tahu Encik Azam tu baik orangnya,” jawab Meeta pula sambil menjeling ke arah Benn yang duduk di belakang.

“Sebab tu lah kami suka kerja kat KSB. Encik Azam baik, Puan Su baik. Kan Wardah, kan?” Soal Benn lagi dalam nada hendak mengena orang.

“Adoiii!” Lengannya dicubit. Soeraya hanya mampu ketawa dalam keletihan. Tak daya dia hendak melayan mereka lagi.

psstt: Tinggalkan komen ya! Kalau suka, juea teruskan…

Siri Novel KALAU AKU KAYA bab 3

KAK cover copy

Jam lapan pagi, semua kakitangan KSB berkumpul di tepi tasik berhampiran stor penyimpanan peralatan berkayak yang disediakan oleh RPLB. Encik Hairi selaku ketua kakitangan KSB yang juga merupakan Ketua Editor yang disegani seluruh warga KSB memperkenalkan jurulatih profesional kayak di RPLB, Encik Yunus Abdul Samad. Seterusnya penerangan ringkas dari Encik Yunus tentang fungsi setiap bahagian kayak yang dipegang oleh pembantunya, Arief yang jambu bergaya.

Wardah Sakinah Abdul Hanif memberikan tumpuan penuh kepada setiap butir bicara Encik Yunus kerana dia tidak pernah berkayak. Menyentuh kayak juga tidak pernah. Oleh kerana berkayak adalah antara acara wajib bagi semua kakitangan KSB dalam sukaneka tahunan, dia memaksa diri untuk mencuba. Bukan dia tidak tahu berenang atau takut air tetapi kerana dia memang tidak ada pengalaman berkayak.

“Bow yang muncung bahagian depan dan stem, muncung bahagian belakang memang kadangkala mengelirukan. Jadi, cara nak tentukan bahagian ini ialah dengan meninjau bentuk coaming iaitu bahagian tepi yang kecil dan nipis yang mengelilingi cockpit ini. Kita juga boleh tengok arah tempat duduk. Fungsi utama bow dan stem ini ialah untuk memotong air, memecah ombak dan menjadi panduan arah tujuan kayak.” Wardah mengangguk-angguk seperti belatuk. Begitu juga sebahagian daripada kakitangan KSB yang lain yang duduk di atas rumput mengelilingi Encik Yunus dan Arief.

“Isyh… boleh ke nak berkayak ni kalau sehari je belajar, Benn? Aku risaulah!” Wardah menyiku Bani Zanuril Anis Syukri yang biasa dipanggil Benn yang bukan main duduk tegak memeluk lutut yang berdiri dengan gaya atlit pagi itu. Nama sudah cukup cantik dan unik, kan? Tetapi ‘Benn’ juga jadinya! Sesuai dengan perwatakannya yang agak ranggi dan lasak tetapi sayang, hatinya lembut macam agar-agar.

“Ala, kau dengar je. Nanti aku guide la. Kau taat je cakap aku, ikut aje perintah aku, beres!” Jawab Benn sambil tersenyum sumbing. Pandangan mereka terus tertancap ke arah Encik Yunus walaupun mereka sedang berbisik.

“Oh! Kau nak ambik kesempatan ek?”

Benn menoleh laju sambil mengangkat kening. “Bila lagi, kan?”

“Kurang asam!” Bahu Benn ditolak kuat sampai hendak terbalik badannya. Ambik! Cakap macam kuat sangat, dengus Wardah sambil ketawa bisu.

“Ini tempat letak kaki pedayung ya. Fungsinya untuk beri daya cengkaman dan sokongan tenaga dengan kombinasi pergerakan tangan, bahu, bahagian belakang untuk hasilkan daya dayungan yang baik. Selain itu, tempat letak kaki ini dapat melindungi pedayung dari terhentak atau menggelungsur ke depan kalau berlaku hentakan atau perlanggaran.”

Lengan Benn dicengkam kuat bila mendengar kata-kata Encik Yunus itu. Benn menoleh lagi sambil memberi isyarat mata agar Wardah jangan risau.

Pagi itu, mereka berlumba mengikut kumpulan kerja. Antara yang mengambil bahagian adalah tim pentadbiran, pemasaran, editorial dan foto yang bergabung dengan pengangkutan. Acara passing batton itu mengambil tempat di tempat permulaan di mana peserta yang semuanya berpasangan akan berkayak merentasi tasik, berpatah balik dan memberikan baton kepada tim pasukan seterusnya. Seramai lima pasangan akan mewakili tim masing-masing.

Wardah memaksa diri mengambil bahagian dalam acara berkayak kerana tidak mahu terlibat dalam acara lain yang mencemaskan seperti meniup sebanyak-banyak belon sampai pecah yang dia memang tak suka kerana dia lebih suka belon memenuhi ruang daripada diletupkan. Sayang! Dia juga tidak suka acara menjatuhkan lawan ala-ala seni mempertahankan diri kerana dia tidak sampai hati malah lebih rela dirinya dijatuhkan. Acara kemuncak pada malam nanti selain persembahan di pentas oleh wakil setiap bahagian, ada acara misteri yang menanti! Misteri itulah yang merisaukan. Selalunya acara itu akan mengenakan orang tanpa rela! Wardah memberontak dalam hati namun dia terpaksa akur dengan apa yang telah disusun oleh kumpulan yang terpilih untuk mengendalikan acara tahunan bagi KSB tahun ini.

“Kau dah ready?”

“Hah?!”

“Woii! Kalahlah kita kalau kau asyik berangan je!” Sergah Benn lagi. Terkulat-kulat Wardah dibuatnya, tidak pasti apa yang hendak dibuat. Pasangan masing-masing sudah bergerak sambil membawa kayak pilihan mereka.

Editor Kanan, Puan Soeraya yang berkaca mata tebal sudah menunggu. Dia menjadi ketua tim Editorial sepanjang percutian ini. Mereka membuat bulatan dan dia mula memberi kata-kata semangat. Memang mencemaskan kerana tim editorial tidak ramai lelaki. Malah tempat kerja mereka di tingkat tiga bangunan KSB dipanggil taman bunga. Hanya Raymond Yap, Fauzi Abdullah dan Zaifunizam yang tinggi lampai sahaja menghuni di tingkat tiga selain bilik pejabat tim pentadbiran tertinggi seperti Pengarah Urusan KSB kesayangan semua, Encik Nor Azam Idris dan Timbalan Pengarah, Encik Halim Mustaffa. Mereka tidak terlibat dalam sukaneka kerana tampil bersama dengan tetamu VVIP jemputan KSB sempena majlis makan malam tahunan mereka.

Selesai taklimat dan kata-kata pembakar semangat, mereka melakukan sedikit acara ‘panas badan’ supaya tubuh dipersiapkan untuk beraksi. Kemudian mereka mengambil tempat di garis permulaan mengikut cabutan giliran.

Wardah dan Benn mendapat giliran terakhir. Itu bermakna tugasan mereka lebih mencabar sekiranya kumpulan mereka lebih perlahan dari kumpulan yang lain. Atau mereka mesti menang sekiranya kumpulan mereka sudah mendahului yang lain. Keringat mula memercik di dahi Wardah.

Riuh rendah tasik itu dengan sorakan dan laungan pembakar semangat sebaik saja tiupan wisel bermula.

“Benn, kita niatkan yang kita beriadhah kerana Allah. Kita doakan moga semuanya selamat, Benn…” Benn sudah tergelak-gelak bila melihat gaya panik Wardah yang bercakap laju sambil matanya memandang para pendayung yang sedang berjuang di tengah tasik.

“Doa, Benn!” Dia sudah mengangkat tangan sambil mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Benn terperanjat bila disergah dengan serius oleh si Wardah, kelam kabut mengangkat tangan, mengaminkan doanya.

“Kau jangan main-main, Benn. Apa pun yang kita buat, yang paling penting, niat dengan doa.”

“Ya! Ya! Aku dah ‘amin’ betul-betullah! Mana ada aku main-main!” Benn membalas serius. Jauh dalam hatinya, dia tersentuh dengan cara Wardah yang memang sentiasa serius dengan ‘niat dan doa’nya.

Ya, Tuhan! Masa berlalu begitu pantas. Pasangan keempat sudah kembali. Tim editorial kini di kedudukan yang ketiga. Wardah dan Benn diminta berusaha untuk setidak-tidaknya mengekalkan kedudukan. Mereka berdua yang sudah duduk bersiap-sedia dalam kayak ditolak oleh kawan-kawan sekumpulan meluncur ke depan, di garisan permulaan, menunggu pasangan keempat, Raymond dan Zaifunizam yang berjaya mendapat tempat ketiga daripada tempat kelima tadi!

“Ingat Arda, yang penting, kerah tenaga, dayung sekuat hati dan dayung sekerap yang boleh. Kuat dan kerap. Kuat dan kerap. Kau cuba ikut pergerakan aku. Kita kena kayuh seragam.” Benn berpesan habis-habisan. Mujur mereka sempat berlatih berdayung lewat petang semalam selepas membuat keputusan untuk menyertai acara itu pagi ini. Wardah yang memang boleh berenang dan menyelam memudahkan dia menguasai teknik berkayak dengan lebih mudah dan bijak mengimbangi diri.

Wardah dan Benn mula berdayung sebaik sahaja baton diserahkan oleh Raymond. Pendayung ditujah ke air sekuat tenaga. Keseragaman mereka bagaikan keajaiban. Lalu kayak meluncur laju membelah tasik.

Wardah tidak menoleh ke kiri atau ke kanan lagi. Di hatinya tidak putus-putus dengan kalimah Allah hu Akbar. Itu amalannya bila berada dalam suasana cemas atau mengerah tenaga. Dia sentiasa ingat pesan abi sejak dia kecil lagi, Allah hu Akbar itu dapat memberi tenaga dan kekuatan secara spiritual kepada kita terutama bila kita semakin lemah. Contohnya ketika menaiki tangga atau mengangkat barang-barang yang berat. Apa yang kita buat itu jadi lebih mudah kerana kekuatan dalaman dari kalimah hebat itu.

Matahari sudah terpacak di atas kepala. Bahang dari udara dan air kian terasa. Mereka sudah berpatah balik dengan sempurna sekali. Wardah sudah semakin lemah namun dia tidak mengalah. Terdengar jeritan dan sorakan dari keliling tasik yang mengelilingi mereka membakar semangat juang. Sesekali terdengar namanya dilaungkan. Tetapi dia tidak peduli. Allah hu Akbar. Dayung. Allah hu Akbar. Dayung.

“Yes! Yes! Yes!” Sorakan itu semakin kuat kedengaran. Mereka sudah hampir ke garisan penamat. Lengan Wardah bagaikan hendak tercabut. Peluh sudah membasahi sekujur diri. Tetapi dia memaksa dirinya terus berdayung. Allah hu Akbar! Allah hu Akbar! Bibirnya terus terkumat-kamit.

“Yesssssss!” Sorakan bersepadu itu semakin nyaring. Tetapi pandangan Wardah sudah semakin berpinar. Dia terhenti bila tangan Benn mencengkam genggamannya pada pendayung. Mungkin mereka sudah melepasi garisan penamat. Kayak terus meluncur tetapi Benn bijak menongkah air dengan pendayungnya dan perlahan-lahan mereka kini berundur merapati tebing tasik sambil disambut sorakan keriangan dari tim editorial. Beberapa orang yang sudah berada di gigi air dan di tebing mencapai kayak yang mereka naiki.

“Arda! Arda!”

“Urrg… urrghhh…” Wardah mengecilkan matanya. Dunia kian berputar. Cahaya yang tadi bersilau kini kelam dan hilang.

‘Ardaaa!”

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 2

Aroma kopi kampung disedut sebelum minuman itu dihirup dari cawan tembikar dengan rekabentuk melayu lama. Itulah minuman kesukaan Zakuan setiap kali mengunjungi rumah peranginan milik keluarganya itu, Rumah Peranginan Lembah Bayu (RPLB) yang terletak di daerah Batu Hampar, Perak. Lelaki bermata sepet, berkulit cerah dan berambut lurus dengan barisan anak rambut yang agak panjang berjuntaian di dahi itu duduk tenang menikmati sarapan paginya sendirian. Begitulah Zakuan bila tidak dalam urusan rasmi. Santai.

Pintu kaca geser itu terbuka secara otomatik. Seorang lelaki tinggi lampai berkaca mata dan berambut ikal melangkah masuk. Tanpa dipelawa, dia duduk sebaik saja memberi salam. Pintu kaca itu tertutup semula. Bukan semua orang dapat makan minum di bilik yang dikhususkan untuk golongan orang-orang penting terutamanya ahli keluarga pemilik rumah peranginan ini. Berdinding kaca sehala dan berbingkaikan kayu jati yang menjadi cap dagang atau trademark perniagaan mereka, ruang makan ekslusif itu terlindung dari pandangan umum. Kedudukannya pula amat strategik kerana melalui kaca sehala itu membolehkan mereka yang duduk di dalam ruang itu dapat melihat keseluruhan restoran kecuali sebahagian daripada dapur yang terlindung. Mempunyai pintu masuk yang berasingan dan juga pintu laluan ke ruang dalam restoran memudahkan mereka keluar masuk dari bilik itu tanpa berkongsi pintu dengan pengunjung restoran yang lain.

Nor Azam Idris tersenyum melihat teman baiknya sejak di universiti lagi merangkap majikan besarnya, Zakuan menghirup kopi pekat. Bila jemu dengan espresso, bancuhan biji kopi yang digiling dan disemburkan air panas di bawah tekanan yang tinggi dan disajikan segera seperti namanya juga yang menjadi minuman kegemaran lelaki itu bila berada di bandar, dia akan ke sini menukar selera dengan kopi pekat buatan orang kampung. Begitulah orang kaya. Bagi mereka untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Batu Hampar, Perak untuk melepaskan tekanan dan minum kopi pekat bukanlah sesuatu perkara yang menyusahkan. Yang penting, kehendak hati dipenuhi.

“Kopi orang kampung tak ada dalam menu!” Azam tergelak bila mengingatkan jawapan Zakuan bila dia diusik kerana memesan espresso bila di restoran mewah. Tidak sama sekali dia akan mengaku yang dia malu hendak memesan kopi sebenarnya.

“Semua lancar untuk malam esok?” Soal Zakuan, ringkas sambil menyuap ubi kayu rebus yang dicecah kelapa muda yang diparut dan digaulkan dengan sedikit garam dan gula. Bila dimakan panas-panas disulami kopi panas, masyaAllah! Nikmatnya tak terkata.

“Alhamdulillah. Setakat ni, semua macam yang dah diatur. Kau stay sampai malam esok?”

“Tak. Tak boleh. Aku balik KL lepas majlis. Awal pagi lusa aku ada meeting dengan pelabur dari Korea.”

“Allah! Aku baru plan nak ajak kau ronda-ronda ke Taiping. Lama tak ke Maxwell. Lagipun aku nak bincang dengan kau pasal majalah baru kita. Ada permintaan untuk diterbitkan dua kali sebulan. Dah lima bulan diterbitkan tapi kau belum bagi komen lagi.”

“Majalah baru?”

“Aku dah agak dah! Kau tak tengok lagi, kan? Aku dah mintak Lina letak atas meja kau setiap bulan. Pun kau tak sempat nak jeling ke, pegang ke…”

“Zam, kau tau kan aku macam mana? Ada la aku nampak magazine kat meja aku dengan nota si Lina tapi manalah aku sempat. Dah la, kau teruskan saja. Aku bukan minat dengan hal-hal penerbitan ni. Dah aku serah pada kau, kau teruskan sajalah. Lagipun, Halim kan ada.” Tukas Zakuan, antara acuh tak acuh. Antara majalah baru dengan ubi kayu rebus, sudah tentulah dia lebih teruja dengan ubi kayu rebus yang jarang ada dalam menu di bandar besar.

Memang dia tubuhkan Kaustik Sendirian Berhad (KSB) itu khusus untuk teman baiknya yang bercita-cita tinggi dalam dunia penerbitan. Ternyata dia tidak kecewa. Pelaburannya dalam syarikat itu memberikan pulangan yang lumayan hasil usaha Azam dan kumpulan yang dipilihnya. Azam, pendiam orangnya. Tetapi kalau dengan mata pena, dia mampu menakluk negara. Siapa tahu, selepas ini dunia pula. Surat khabar mingguan yang berkisar tentang berita dan maklumat dalam dunia perniagaan dan korporat dari dalam dan luar negara dengan nama Kaustik kini semakin mendapat tempat dalam arena penerbitan akhbar negara.

“Kalau ya pun, Kuan… dah anak syarikat kau. Takkan kau nak lepas tangan kat aku je. Aku yang risau dibuatnya.”

“Ahh! Kau jangan…”

“Apa pulak dengan si Wardah ni?” Zakuan tercengang. Azam yang tadi habis serius bercakap tentang hal bisnes, tiba-tiba sebut nama perempuan. Azam tidak lagi mengadapnya seperti tadi tetapi berpaling dan merenung ke suatu arah, menembusi kaca sehala itu sambil menggeleng-gelengkan kepala. Senyuman meleret muncul di bibirnya. Dalam kehairanan, Zakuan ikut berpaling dan memandang ke arah yang sama.

Seorang gadis sedang menarik tangan seorang makcik yang berpakaian seragam menunjukkan yang dia adalah salah seorang pekerja di rumah peranginan ini. Dan seorang lagi bercekak pinggang sambil ketawa.

‘Apa hal…”

Azam sudah melangkah keluar sebelum sempat Zakuan menghabiskan ayatnya. “Biar aku pergi tengok!”

Sekali lagi Zakuan tercengang. Sejak bila pula Azam masuk campur hal perempuan? Hendak berbual fasal perempuan pun susah! Itu yang menjadi persamaan di antara mereka. Sebab itulah mereka masih berdua walaupun usia sudah mencecah tiga puluh empat tahun. Sedangkan sepatutnya mereka sudah berempat!

Kenyataan itu membuatkan Zakuan memusatkan perhatiannya ke arah perempuan yang berjaya mengubah watak teman baiknya itu. Eh! Kenapa nampak macam perempuan semalam? Bertudung, berbaju labuh dan berseluar longgar. Tetapi tetap nampak sekeping! Ha… itu bukan perkataan yang keluar dari mulutnya ya. Dia cuma meminjamnya saja ya.

Azam berpusing ke kanan dan terus melangkah laju menuju ke pintu masuk restoran itu. Gadis yang sedang bertarik lengan dengan staf rumah peranginan itu serta-merta melepaskan mangsanya dan tersengih-sengih mengadap majikannya yang mencuar tinggi sampai dia terpaksa mendongak. Zakuan tersenyum dengan gelagat Azam. Tanpa sepatah kata, dengan hanya memandang dan sudah tentu keningnya terangkat, gaya biasa Azam bila menyoal tanpa suara, kelihatan gadis itu kelam-kabut menjelaskan keadaan. Azam hanya mengangguk-angguk dan menggeleng-geleng.

Seketika kemudian, gadis kalut itu menggosok-gosok belakang wanita tersebut sambil bercakap sesuatu. Sepertinya mendesak, wanita itu akhirnya menganggguk-angguk seperti berjanji. Dia kemudian cepat-cepat beredar dari situ meninggalkan dua orang gadis tadi mengadap majikan mereka dengan gaya orang bersalah. Bukan main nampakya si gadis berhujah sementara yang seorang lagi asyik gelisah memandang keliling dan sesekali menyampuk tetapi seolah-olah tidak berpihak kepada kawannya. Biasalah, siapa yang tidak mahu menyebelahi majikan, kan?

Azam melangkah masuk dengan senyuman yang tertahan-tahan. Amboi! Sakit pula hati Zakuan melihat temannya tiba-tiba asyik tersenyum-senyum. Dua orang gadis tadi juga sudah melangkah masuk ke restoran itu dan asyik memerhati hidangan yang diatur untuk semua pengunjung.

“Hah! Apa hal? Sampai kau sibuk sangat nak selesaikan? Besar sangat ke masalahnya?” Nada jengkel bagaikan tidak dapat disembunyikan lagi. Azam terus tergelak. Sepasang mata Zakuan berputar ke siling bilik itu.

“Aku takut rosak mood kau pagi ni kalau aku bagitau,” Azam semakin seronok tergelak-gelak.

“Eh! Apa kaitan pulak dengan aku? Aku bukan macam kaulah, tiba-tiba ambik hal sangat fasal perempuan. Huh! Kerenah orang perempuan, sikit pun aku tak…”

“Dia kata owner chalet ni jenis tak berhati perut.”

“Apa?”

“Double standard. Sampai staf sendiri pun takut nak jejak kaki makan kat restoran yang kononnya mewah ni. Tuhan pun tak beza-bezakan hamba-Nya dengan status. Nak dengar lagi?” Soal Azam bila melihat Zakuan terlopong memandangnya. Jenuh Azam mengulum senyum. Ha! Tak layan kerenah perempuan konon. Kerenah perempuan bernama Wardah Sakinah ini memang tak terlayan kalau bukan sebarang lelaki!

Minah kaki melalak tu memang melampau! Hati Zakuan tiba-tiba lebih panas dari kopi yang berasap itu. Tak tahu hujung pangkal, sedap mulut saja mengata orang. Pagi-pagi sudah buat dosa, yang itu dia tak sedar pula. Menuduh tak berusul! Minda Zakuan menghambur marah bertalu-talu kerana menidakkan rasa bersalah yang entah dari mana menyelinap di hatinya. Entah mengapa, dia memang tidak pernah terfikir untuk mengajak semua pekerjanya di rumah peranginan itu untuk makan-makan dalam restoran berhawa dingin itu.

‘Kau panggil perempuan tu masuk ke sini!” Nada perintah itu mengejutkan Azam yang masih seronok mentertawakan Zakuan dalam hati dan fikirannya. Serta-merta jantungnya berdebar. Baran Zakuan jangan dibuat main. Baran orang kaya. Azam tidak mahu Wardah terluka. Dia kenal hati budi Wardah. Dia tahu sejauh mana keihklasan gadis itu bila berkata.

“Kuan, she meant well. Kau janganlah sentap sangat. Dia cakap tu dari sudut pandangan dia yang belum terdedah dengan dunia perniagaan.”

“I said, call her in.”

“Kuan…”

“I don’t have much time. Kita ada telematch, remember?” Azam menelan liur. Bila Zakuan banyak berbahasa asing, itu petanda darahnya sudah naik beberapa darjah. Dalam payah, Azam mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar.

“Wardah, tolong ambilkan saya makanan. Apa pun tak apa. Jangan lupa minuman sekali. Saya tunggu kat bilik VIP. Awak tengok pintu hitam sebelah kanan awak. Cepat ya.” Sebelum sempat Wardah menjawab, talian diputuskannya. Dia tahu Wardah pasti menolak. Dia bukan jenis perempuan yang suka dekat-dekat dengan majikan melainkan soal kerja.

Kelihatan Wardah bercakap sesuatu kepada temannya. Kemudian masing-masing berpisah ke arah yang berbeza. Wardah memilih makanan. Sementara temannya memesan minuman. Seketika kemudian, Wardah mengambil salah satu minuman di atas dulang temannya dan diletakkan di dalam dulang yang ditatang yang sudah siap ada sepinggan makanan.

Dia melangkah laju ke arah pintu hitam yang disebut Azam. Saat tangannya diangkat untuk mengetuk pintu kaca itu tetapi ia sudah terbuka sendiri. Wardah tercengang di situ. Cute! Bisik hati Azam. Kolot! Kata hati Zakuan.

Orangnya biasa saja. Berkulit putih mulus. Manis. Itu memang tidak boleh dinafikan. Muka melayu sejati. Tidak ada sentuhan glamour. Langsung.

“Assalam… eh, maaf, Encik Azam ada company. Maaf bagi salam waktu orang sedang makan pulak.” Gadis itu bersuara kalut. Gopoh! Zakuan berhenti memandangnya. Langsung dia tunduk melindungi wajahnya lalu menguis-nguis ubi kayu rebus di piring di hadapannya.

Sebiji pinggan diletakkan di hadapan Azam bersama dengan segelas teh tarik. Mata Zakuan melirik untuk melihat pilihan gadis itu. Ubi rebus?

“Saya tak tau nak pilih apa untuk encik Azam. Tapi bila tengok ubi rebus ni, terus saya ambik. Best ni, Encik Azam. Jarang jumpa kat KL. Tapi saya tambah kuih-muih sikit tu, kot-kot Encik Azam tak makan ubi rebus,” Wardah tersengih di hujung katanya. Sengih banyak makna. Azam kenal sangat dengan sengihnya itu. Hendak melihat samada dia makan makanan kampung atau tidak, pasti itu yang ada dalam kepala gadis nakal ini.

“Hmm… terima kasih. Awak, jemputlah makan sekali.”

“Eh! Tak apa, Encik Azam. Benn tunggu saya tu…”

Benn? Amboi! Selamba macam tu saja sebut nama boyfriend depan majikan sendiri? Zakuan mendengus dalam diam.

“Panggil Benn makan di sini sekali,” pelawa Azam. Sesaat dia berpaling ke arah Zakuan yang tiba-tiba memandangnya dengan muka marah. Apa? Soal Azam dengan mata dan keningnya. Zakuan menjeling tajam lalu tunduk semula.

“Err… kami makan di luar je lah, Encik Azam. Seronok makan dengan kawan-kawan. Riuh-rendah. Baru berselera, kan?” Wardah yang terkejut dengan reaksi teman majikannya cepat-cepat menolak. Lelaki itu hanya mendiamkan diri dengan wajah mencuka sambil memotong ubi rebus yang sudah hampir hancur di piringnya. Pandai ke orang cina ni makan ubi rebus awal-awal pagi ni? Wardah merasa hairan tetapi dia tidak pula berani bertanya bila airmuka lelaki itu masam mencuka. Sudahlah dia makan seorang diri dalam bilik berhawa dingin itu. Kasihan sungguh. Terasing agaknya bila dikelilingi orang bukan sebangsa dengannya. Mujur Encik Azam ada temankan. Wardah meminta diri dan berlalu keluar sambil berfikir-fikir sendirian.

Dah kenapa pulak dengan Kuan? Tiba-tiba angin semacam je, desis hati Azam. Oleh kerana Zakuan hanya mendiamkan diri, lebih baik dia biarkan Wardah pergi. Bimbang pula kalau gadis itu dibelasah dek lidahnya yang boleh tahan tajamnya.

Wardah sudah lama berlalu. Zakuan masih tidak berkata walau sepatah. Ubi kayu rebus yang sudah dipotong-potong itu tidak pula disuap ke mulut. Azam yang sedang menikmati hidangan yang sama ikut terdiam bila menyedari Zakuan sedang memerhati Wardah di luar sana dengan pandangan ‘helang’nya. Zakuan sebenarnya sedang tercari-cari entah yang mana satu teman lelaki gadis itu.

“Err… kau… kau dah kenyang…”

“Dah!” Jawabnya sepatah tanpa sempat Azam habiskan ayat. Tertelan liur Azam. Dalam serba-salah, dia menjamah sarapannya sambil memerhatikan Wardah yang sedang menjadi tumpuan Zakuan. Tak pernah. Memang Zakuan tak pernah begini.

Seronok sangatlah tu bila makan dengan kawan-kawan, hati Zakuan berdetik bila melihat Wardah bersarapan sambil berbual mesra dengan kawan-kawan semejanya diselangseli dengan gelak tawa. Bukan dia tidak terasa. Dia tahu maksud kata-kata gadis itu tadi, menyindir dia yang memilih untuk makan berasingan di dalam bilik itu. Tambah pula dia hanya mengusik-ngusik makanan di piring tanpa menyuap, lagilah gadis itu menyangka yang dia tidak berselera. Hei, makan riuh-rendah macam tu boleh rasa ke nikmatnya makanan? Bentak hatinya, keras.

“Kau ke mana weekend lepas?”

“Ada.”

“Call tak angkat pun.”

“Off.”

“Kenapa?”

“Bosan.”

“Tak ke trek?”

“Tak minat.”

“Habis kereta lumba yang kau dah modified sakan tu?”

“Buat pameran.”

“Syukur, alhamdulillah.”

“Apasal?” Tanya Zakuan, acuh tak acuh.

“Dalam banyak-banyak mainan kau, aku paling risau dengan kereta lumba kau dan bila kau mainkan perempuan. Syukur kalau kau dah bosan. Kau muda lagi tau tak? Cuba sayang sikit dengan nyawa kau tu. Perempuan sekarang pun jangan dibuat main. Kalau mereka berdendam, terbakar nanti.”

Diam.

Parah! Patutlah mood Zakuan tidak begitu stabil, mudah sentap. Rupanya dia bosan. Lelaki itu tidak ada ‘mainan’ untuk dia lepaskan lelah dan stress. Azam mengeluh. Minat Zakuan bertukar ganti. Dulu-dulu obses dengan golf. Selepas itu dia bertukar selera dengan bungee jump. Bila dah jemu, dia gila terbang dari bukit yang tinggi, setiap minggu pergi sky gliding.

Pertemuan dengan Farah Ain, seorang model terkenal tanahair tiba-tiba mengubah Zakuan menjadi romeo. Dengan bunga dan permata di tangan, dia membeli hati gadis itu dengan kekayaannya. Sangka Azam, dia benar-benar jatuh cinta. Rupanya Zakuan hanya ingin melihat sejauh mana gediknya seorang perempuan bila ditabur kemewahan. Hanya setakat tiga bulan, dia jadi jemu lalu gadis itu ditinggalkan begitu saja. Dan Farah Ain bukanlah yang pertama. Setiap tahun, ada saja gadis yang dipuja Zakuan tetapi hanya sekadar waktu untuk dia menghilangkan rasa bosan.

Setelah meninggalkan Farah, dia banyak di laut dengan bot layar barunya. Pun tidak lama kerana minatnya beralih pula ke trek litar lumba sehingga dia membeli sebuah kereta lumba mengikut spesifikasinya. Azam cukup bimbang dengan tabiat Zakuan dengan ‘mainan-mainan’nya.

Dan melihat pandangan mata Zakuan yang bagaikan sedang memerhatikan mangsanya, Azam jadi cemas. Apalagi kalau ‘mangsa’ yang ditenung itu adalah… Wardah!