SIRI NOVEL CINTA PUTERI vs NUQMAN 3

CiNtA PuTeRi vs NuQMaN

Bab 3

Senyuman nakal Nuqman masih bermain di ruang mata walaupun daun pintu itu sudah tertutup rapat. Antara marah, lucu, malu dan bahagia, Puteri tak pasti yang mana paling kuat dirasainya. Sikap dan peribadi Nuqman selalu mengocak jiwanya. 

 

Puteri berpusing memandang bilik pengantin yang disediakan untuknya. Tersandar dia ke pintu. Beg tangan yang tergalas di bahu melurut jatuh ke lantai. Dia menfongak memandang siling putih bersih. Nafas panjang dihela. Dia memejamkan mata. Terasa letih melawan segala emosi. Lelah untuk mengharung hari esok. Perlahan-lahan kedua lututnya terasa lemah hingga tubuhnya melurut ke bawah lalu terduduk memaut lutut sendiri. 

 

Kenapa aku datang ke sini, sebenarnya? Apa yang aku mahu? Kenapa hidup aku jadi begini? Ya, Tuhan…

 

Perlahan pandangan Puteri merayap ke ruang di dalam bilik. Indah sungguh…

 

“Aku datang sebagai pengantin…” Bibirnya berbisik, lemah. 

 

Tetapi mengapa aku tidak gembira seperti pengantin yang lain? Apakah jodohku salah? Atau kerana aku tidak dapat memilih mengikut kehendakku? Sakit sungguh bila aku terpaksa melakukan sesuatu diluar kehendakku. 

 

“Jodoh dan ajal bukan di tangan kita, Ika. Sebab tu saya redha. Kalau saya yakin dengan kekuasaan Allah, maka saya juga yakin dengan ketentuan-Nya. Saya ni cuma hamba. Tugas hamba… kena taat pada Tuhannya.  Walau siapa atau bagaimana sekalipun saya dijodohkan, saya tetap yakin bahawa jodoh tu datangnya dari Allah…” Kata-kata yang pernah diluahkan oleh Nuqman sebelum dia berlepas ke Istanbul dulu kembali berputar di kotak ingatannya.

 

“Sebab tulah dia tenang menerima aku…sebab dia redha dengan ketentuan Tuhan…” Lafaz pengakuan itu jujur terluah di bibir Puteri.

 

“Aku jadi begini sebab aku belum pandai untuk redha dengan ketentuan-Mu, ya Allah…” Sebak tiba-tiba meruntun dalam hatinya. 

 

“Aku masih berfikir-fikir, masih tercari-cari sebab dan alasan sebab aku tak nak terima sesuatu yang tak aku jangkakan… Aku tak nak kahwin!!! Dalam usia muda macam ni!!!! Aku nak hidup bebas!! Ya Allah….!”

 

“Inginnya aku tenang terima semua ni… yakin yang ini semua baik untuk aku… Tapi macammana nak rasa macam tu? Aku nak tenang macam dia… Aku benci kusut macam ni… Aku runsing kalau asyik gelisah macam ni…” 

 

Tubuh Puteri perlahan-lahan rebah terbaring di lantai yang dihampari permaidani tebal. Tiada daya lagi. Katil pengantin yang berhias indah itu hanya terbiar dingin dan kaku.

 

Di luar, di ruang dapur, Nuqman sibuk mengemas dan menyimpan makanan. Dia sendiri tak dapat menghabiskan makanannya kerana selera hilang entah ke mana. Persoalan yang belum terjawab asyik menerjah akal fikirnya namun ditepis bertalu-talu. Segalanya perlukan waktu. Dia menguatkan lagi keyakinan bahawa percaturan Tuhan itu tidak pernah sia-sia. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

Nuqman melangkah ke bilik kedua dalam pangsapuri mewah itu. Bilik itu disusun atur sebagai bilik pejabat namun sofabed empuk yang disediakan cukup selesa untuk dia jadikan bilik itu juga sebagai bilik tidurnya. Dia yakin, Puteri belum bersedia nak berkongsi bilik dengannya. Biarlah… untuk apa dia mendera perasaan gadis itu.

 

Dia membuka komputer ribanya dan menyambung sedikit lagi kerja yang tertangguh. Sengaja memberi ruang untuk Puteri menyegarkan dirinya. 

 

Jadual kerja Nuqman sebenarnya padat sekali namun kehadiran Puteri yang secara tiba-tiba membuatkan dia terpaksa menyusun semula perancangannya. Mujur pengarah syarikat yang menganjurkan usahasama dalam projek yang sedang mereka bina memahami keadaannya yang baru berumahtangga malah beliau sangat gembira untuk turut meraikan kejutan ini. 

 

Hubungan Nuqman dengan Ismet semakin rapat apabila mereka mempunyai banyak persamaan dalam haluan hidup. Nuqman yang sudah beberapa kali ke Istanbul memang dilayan istimewa oleh Ismet dan isterinya, Khadijah. Pangsapuri mewah ini juga salah satu hadiah istimewa dari mereka sempena perkahwinan Nuqman sekaligus untuk pasangan itu berbulan madu.

 

“Berbulan madu!” Dua ulas bibir Nuqman yang basah itu tersenyum lucu. Dia menghelakan nafasnya.

 

Entahlah. Dia sungguh tidak dapat meneka apa yang akan berlaku. Namun dia tekad untuk menerima kehadiran Puteri dan melayannya sebaik mungkin. Dia juga mahu melaksanakan sunnah Rasulullah SAW tercinta, meluangkan tujuh hari berturut-turut untuk meraikan isteri yang dikahwini dara. Maka, tujuh hari dia bercuti tanpa sebarang tugasan luar…

 

“Hmmm…” Nuqman tersandar di sofa empuk. Entah bagaimana tujuh hari itu akan berlalu… Senyuman mekar di hujung fikirnya. Optimis!

 

Teringatkan Puteri, Nuqman bingkas bangun ke dapur semula. Dia membuat segelas susu suam lalu membawa bersamanya buah-buahan yang sudah dipotong ke bilik peraduan.

 

Dengan dulang kecil di sebelah telapak tangan, dia mengetuk daun pintu perlahan-lahan. Tiada respon..! Dia menyeru nama Puteri beberapa kali. Senyap. Rasa risau menyelinap. Perlahan dia cuba membuka pintu. Hmmm… Tak berkunci! Seperti satu pelawaan saja… Dia tersenyum nakal.

 

Dia melangkah masuk dengan hati-hati, bimbang kalau Puteri sedang tidur… Oooppss… Kakinya tersadung sesuatu di lantai. Nuqman terperanjat melihat Puteri terbaring lena di depan pintu.

 

Dia melutut menatap wajah Puteri yang nyenyak tidur. Teringatkan cerita Snow White, sekilas keinginan hadir di hatinya untuk menjadi sang putera yang mencium sang puteri hingga dia terbangun dari tidur yang panjang kerana sumpahan lalu jatuh cinta dengannya. Kemudian mereka hidup bahagia selamanya. 

 

Nuqman tak dapat menahan geli hati sehingga dia tertawa kecil sendirian. Pantas dia bangun untuk meletakkan dulang di meja lalu mendapatkan Puteri semula. Wajah Puteri yang lembut saat terlena sangat mengasyikkan. Terbuai naluri lelaki Nuqman menatap kelembutan itu. Perlahan dia mendukung Puteri lalu dibaringkan di atas tilam empuk yang ditaburi kelopak mawar.

 

Kasihan melihatkan Puteri yang benar-benar terlena mungkin kerana terlalu letih. Letih melayan perasaan sendiri. Nuqman tersenyum lagi.

 

Teringat saat mula bertemu, dia menyimpan rasa kecewa melihat penampilan isteri yang dikahwini penuh syarat. Tanpa perkenalan apatah lagi menatap wajahnya, dia menerima nikah yang diakadkan kepadanya. Dia menerima semua itu benar-benar kerana Allah SWT. Bukan sama sekali kerana dia tidak punya pilihan. Walaupun dia tidak langsung mengetahui latar belakang dan peribadi bakal isterinya. 

 

Waktu dia masuk ke bilik untuk upacara membatalkan air sembahyang sekaligus menyentuh isterinya yang sah buat pertama kalinya, dia melindungi wajah gusar bila menatap wajah pasangannya yang sugul dan sepasang mata yang basah dan bengkak. Dia berbaju kurung putih dan rambutnya yang panjang melepasi bahu itu hanya ditutupi selendang panjang yang tipis. Isterinya bukan seorang muslimah yang menutup aurat sepenuhnya seperti yang diimpikan selama ini. Dengan sepenuh pergantungan kepada Allah, dia redha dengan jodohnya lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. 

 

Dia amat sedar waktu itu bahawa kehadirannya tidak diterima dengan sepenuh hati. Lambat sungguh tangannya disambut.  Itupun setelah pengantin perempuan digesa oleh saudara perempuan yang menemaninya di bilik itu. Dalam serba salah, Nuqman tunduk juga mengucup dahi Puteri Zulaikha, isterinya.

 

Hari ini, Nuqman tunduk mengucup dahi isterinya dengan perasaan yang berbeza. Apatah lagi wajah itu juga turut berubah. Kelembutan dan kewanitaannya terserlah. Dengan tudung sutera yang melitupi rambut, dia tampil menutup aurat sepenuhnya. Rasa syukur mengisi segenap diri Nuqman. Tanpa perlu dia memaksa atau bersusah-payah, Allah telah membuka hati gadis itu untuk membuat perubahan diri. Sesungguhnya pergantungan kepada Allah itulah yang paling tepat kerana Dia yang Maha Berkuasa mengubah hati dan keadaan seseorang hamba-Nya. Hijrah Puteri memberi petanda yang sangat baik bagi Nuqman tentang hubungan mereka seterusnya. 

 

“Hmm…” Puteri menggumam dalam tidurnya, beralih-alih kepala seperti ada yang tidak kena. Nuqman tersedar, dia patut membuka tudung Puteri supaya dia lebih selesa. Terkial-kial tangannya kerana tidak biasa menguruskan perempuan. Setelah tudung dibuka, rambut Puteri yang disanggul itu diuraikan… Dan sebaik saja rambut yang hitam lebat itu terhampar di bantal, pergerakan Nuqman terhenti.

 

“Subhanallah…!” Tanpa sedar perkataan itu terlafaz di bibirnya. Cantiknya ciptaan Tuhan!

 

Rambut hitam lebat yang terhampar di bantal itu menyerlahkan kejelitaan Puteri. Benar bagai dikata. Rambut itu mahkota wanita. Jelas terjawab mengapa Allah memerintahkan kaum hawa menutup rambut mereka dari lelaki yang bukan muhrim. Kerana rambut wanita amat menyerlahkan dan menyempurnakan keindahan diri mereka. Rambut yang halus dan panjang itu juga membuatkan lelaki teruja untuk membelai dan mengelusnya, sekaligus membakar naluri mereka. Seperti lelaki lain, Nuqman sukar untuk menahan dirinya. Perlahan jemari Nuqman menyentuh dan mengusap rambut hitam itu dari dahi sampailah ke hujungnya.

 

“Cantik sungguh!” Dia asyik. Jiwanya kian gelora. Inilah kali pertama dia benar-benar melihat perempuan sepenuhnya. Sebelum ini, hanya pandang-pandang. Maklum, dia harus mengawal pandangannya terhadap perempuan yang bukan muhrim. Saat ini, dia mengambil peluang sepenuhnya. Menghayati hadiah Tuhan buat dirinya.

 

Pandangannya terus meneroka ke seluruh wajah Puteri. Kedua kelopak mata yang tertutup itu sungguh cantik bentuknya dihiasi alis panjang yang sedikit melentik. Hidungnya kecil, sedikit mancung dan lekuk di atas dua ulas bibirnya yang agak lebar dan munggil itu menyempurnakan seluruh wajah. Amat menarik dalam pandangan matanya dan sangat menghiburkan hati lelakinya.

 

Maha bijaksananya Tuhan menciptakan wanita yang mana setiap sudut itu menjadi tarikan dan menghiburkan kaum adam. Kulit Puteri yang cerah kuning langsat halus mulus. Jemarinya kecil runcing terletak cantik di atas cadar antara kelopak mawar. Nuqman tidak dapat menahan diri lalu jemari itu diraup dan dibelai. Dibawa jari jemari itu lalu diusap ke pipinya. Lembut. Kemudian diraih ke bibirnya, dikucup penuh asyik hingga terpejam matanya dengan keasyikan itu.

 

Pandangan Nuqman kembali meneroka ke wajah Puteri. Bertuahkah dia kerana memiliki gadis itu sebagai teman hidupnya? Andai hati dan sifatnya secantik wajahnya, pasti hidup Nuqman bahagia…

 

Dia tidak dapat menahan diri dari menyentuh dan mengusap wajah Puteri. Keinginan untuk membelai gadis itu benar-benar hangat menguasai diri dan pemikirannya. Nuqman tunduk lagi mengucup dahinya, pipinya dan…

 

Trruiiitt! Trruiiitt! Bunyi penggera dari telefon tangan di dalam beg tangan Puteri menyentak Nuqman lalu dia tersedar posisinya di sisi Puteri. Bingkas dia bangun berdiri dan … Puteri sudah terpisat-pisat dudukyy.

 

Bunyi itu berterusan membuatkan Puteri memaksa matanya terbuka luas dan akalnya memberi fokus. Tanpa menyedari kehadiran Nuqman, dia merangkak turun dari katil lalu menuju ke pintu. Beg tangan yang masih di lantai dicapai lalu dibuka. Sebaik sahaja telefon tangannya dibuka…

 

“Mummy!!!”

 

Nuqman yang sedari tadi memerhati dengan penuh minat terperanjat mendengar jeritan kecil Puteri. Wajah Puteri tiba-tiba berubah seperti hendak menangis. Mummy?! Setahu Nuqman, dia sudah lama kematian ibu!

 

Puteri terduduk berdiri lutut di lantai. Telefon dibiarkan saja. Dia meraup mukanya kemudian memegang kepala sendiri dengan kedua tangannya. Dia cuba fokus. Apa yang harus dia lakukan?! Dia lupa sungguh! Hari ini mummy pulang dari Uzbek!

 

Sepatutnya dia menunggu mummy di lapangan terbang menyambutnya pulang setelah tiga bulan dia menjelajah ke beberapa negara bersama sekumpulan NGO. Tapi Puteri benar-benar lupa. Kerana selama tiga bulan peninggalan mummy, macam-macam berlaku padanya sampai…

 

“Ika…” Ada tangan menyentuh bahunya.

 

“Hah?!” Puteri terdongak. Matanya terbeliak. Nuqman!!!

 

Mummy!! Abaaahh! Tolong ikaaaa…! Hatinya menjerit. Puteri Zulaikha merengek menangis dan tunduk melindungi mukanya di atas kepala lutut sendiri.

 

Image

Advertisements

Demi Untuk Kumiliki Cinta

Aku tidak pernah memilih takdir
Kerana aku adalah apa yang Engkau takdirkan
Kerana itu aku redho apa pun jua dari-Mu Bukankah aku hamba-Mu, wahai Tuhan

Aku redho menelan pahit manis dari takdir yang tertulis
Melewati usia aku jahil bergelumang dosa
Aku tidak ditakdirkan mengenal-Mu di awal usia
Mataku buta, lidahku bisu dan pendengaranku tuli
Aku hidup mengikut kehendakku

Langsung aku terus membiarkan nafsu jadi raja
Merelakan saja diriku dizalimi
Nafsu yang menipu dan mengotori fitrahku
Hingga aku tersingkir dari kasihsayang manusia
Hingga aku sanggup derhaka pada-Mu Tuhan

Takdirku berubah dengan kuasa-Mu
Hidayah dan taufik hadiah besar dari-Mu
Baru aku sedar aku memiliki-Mu
Engkau terlalu Agung dan Indah wahai Tuhan

Dalam aku bertatih mengenal-Mu
Hatiku derita dengan dosa yang sarat
Terasa aku terlalu jauh dari-Mu
Bagaimanalah aku dapat mencintai-Mu Tuhan
Dengan hati yang sekotor dan sehina ini?

Aku hanya hamba
Kalaulah kerana dosa-dosaku, aku jadi takut dengan-Mu
Aku sanggup bertaubat biar berpuluh tahun pun
Kalalah kerana kejahilan itu maka aku kenal cinta-Mu
Aku sanggup merintih seumur hidupku
Asalkan aku tidak kehilangan-Mu

Aku redho ya Allah
Ternyata takdir-Mu amat adil untukku
Walaupun sisa hidupku bermandikan airmata
Moga-moga airmata itu dapat memadamkan api neraka
Moga-moga airmata itu dapat mendatangkan rasa hamba
Moga-moga airmata itu dapat menyuburkan cintaku kepada-Mu
IMG03705-20130903-1944

Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 2

Bab 2

Wanita ada hak untuk memilih, puteri! Jangan sama sekali biarkan diri kita ditentukan nasib oleh mereka. Jangan semat dalam hati dan minda yang kita ni lemah. Kaum Adam sebenarnya tidak ramai yang tahu menghargai wanita. Sebaliknya, mereka akan buat apa saja untuk menjadikan wanita memenuhi segala kehendak mereka…”
Kata-kata mummy bermain-main dalam fikiran Puteri. Mummy sedari dulu sangat berkeras bila ada yang berbicara tentang soal jodoh. Kata mummy, sudah terlalu ramai wanita hidup tersiksa kerana memilih jodoh yang salah. Mungkin kerana itu, mummy masih tidak mahu mengakhiri zaman bujangnya. Bagi mummy, lebih baik hidup sendiri, bebas menentukan hala tuju hidupnya daripada hidup menderita kalau tersalah memilih jodoh.
Pendirian mummy memang ditentang habis-habisan oleh abah. Sebab itulah dua beradik ini kalau berjumpa, pasti suasana menjadi tegang.
Bila mummy kata, lelaki tak boleh hidup tanpa wanita tetapi selemah-lemah wanita, mereka mampu hidup tanpa lelaki, mata abah bagaikan hendak terkeluar dari kelopaknya.
“Sesat!” Macam tu sekali abah pernah jerit pada mummy. Itu selalunya sudah sampai kemuncak kemarahannya dan abah akan tinggalkan mummy yang tersengih-sengih meraikan kemenangan bagi dirinya.
Puteri selalu terpinga-pinga. Memang dia selalu setuju dengan pendirian mummy. Puteri yang pernah melalui pengalaman pahit dilukai lelaki memang teramat faham perjuangan mummy. Tapi baginya, abah tak sama. Abah spesis kaum Adam yang sangat tahu menghormati dan menghargai wanita. Buktinya, abah sangat setia pada ibu. Ibu adalah segala-galanya bagi abah.
Kerana abahlah, satu-satunya lelaki yang dia sanjung. Itu jugalah yang membuatkan Puteri akur dengan kehendaknya. Dan sekarang dia terjerut antara kehendak abah dan segala apa yang mummy ajarkan. Yang selama ini menjadi pegangan dan keyakinannya!
Dan saat ini, Puteri sedang menghadapi takdirnya! Apakah dia akan terus menjerut diri atau mengungkaikannya dan mendapatkan kebebasannya kembali?!
“Apa yang Ika cari sebenarnya?”
“Haah?!” Mata Puteri terbelalak. Dalam tersentak yang amat, dia terdongak menatap wajah Nuqman yang serius dan dahinya yang berkerut.
“He’s a mind reader!!” Hati Puteri menjerit ketakutan.
“Tu!” Dengan kening yang terangkat, Nuqman menunjukkan isyarat ke arah makanan di pinggannya.
“Sejak tadi terkuis-kuis… Apa yang Ika cari? Tak sedap ke makanan orang Turki ni?”
Puteri menelan airliur. Ingatkan apa tadi! Cepat-cepat puteri menarik nafas kerana tersedar dadanya bagaikan lemas kekurangan oksigen.
“Errm… It’s okay. Saya letih agaknya, jadi tak selera sangat. The food is great actually…” Puteri terkial-kial cuba beralasan.
Keunikan Istanbul tidak cukup untuk benar-benar mengalih perhatiannya. Lelah sepanjang penerbangan juga sudah tidak terasa. Bila berhadapan dengan Nuqman, hatinya, mindanya dan fizikalnya jadi kalut!
Hanya seketika Puteri teruja dengan hidangan yang disediakan. Terkejut dengan tingkah Nuqman yang menarik kerusi dari meja makan dan menunggu dia melabuhkan punggung, Puteri terus ralit melihat dia menyusun hidangan di hadapannya setelah menghantar kedua pelayan itu ke pintu.
Begitu sekali istimewa layanan Nuqman membuatkan Puteri terbuai dan asyik. Sehinggalah suara hatinya mengingatkan Puteri kembali bahawa dia sebenarnya tidak memilih lelaki bernama Nuqman ini untuk menjadi teman hidupnya!
Sedaya upaya Puteri cuba menumpukan perhatiannya pada makanan di pinggan. Dia cuba menghalang mindanya dari terus berputar.
“Dah la tu. Jangan paksa diri. Saya buatkan susu suam. Lepas tu, Ika pergi tukar pakaian dan rehat dulu, ok? I’ll keep the food and serve them when you were fully rested.”
‘Jangan paksa diri?’ Puteri terkedu. Kata-kata itu bergema berulang-ulang kali di fikirannya.
“Ika? Are you alright?!” Bagaikan hendak tercabut jantungnya bila tiba-tiba suara Nuqman berbisik di telinga. Entah bila dia berada di belakang? Puteri menghela nafas sambil menepuk-nepuk dada yang agak sakit berdenyut kerana terkejut.
“Yeah… I’m alright…” Puteri cuba tersenyum manis sebaik saja dia bangun berdiri menghadap Nuqman. Namun jawapannya hanya menambah kerutan di dahi Nuqman.
“Ok, then. Mari kita ke bilik…” Dia berpusing lalu mencapai beg pakaian Puteri.
“Bilik?!” Mata Puteri terbelalak lagi. Langkah Nuqman terhenti lalu menoleh.
“Nak salin pakaian kat ruang tamu ni ke? Ok… Saya tak kisah!” Keningnya terangkat, nakal…
“Err… Bilik! Of course… Bilik! Errmmm…” Puteri pantas melangkah melewatinya sambil tercari-cari pintu bilik.
“You just go straight…” Dia tertawa kecil. Dada Puteri berdebar kencang. Bilik aku, kan?! Bukan bilik aku dan dia?! Bukan!!!
“Ini bilik tuan puteri… Maaf kalau tak sempurna…” Daun pintu dikuaknya perlahan. Puteri melangkah selangkah.
“Oh! No!” Tangannya pantas menutup mulut. Cantiknya! Mujur jeritan itu hanya bergema di dalam dirinya.
Taburan kelopak mawar merah dan putih di atas katil yang dibaluti cadar sutera putih menambahkan lagi suasana romantik dalam kamar tidur yang berhias indah itu. Haruman yang sangat mengasyiknya semerbak di segenap ruang. Berada di situ dalam dakapan Nuqman pasti menjadi saat terindah…
“It’s a suprise for the bride, I guess… Since they know that this place is meant for my new wife, so the management was glad to prepare the apartment for the newly wed… I shouldn’t complain, should I?”
Berkeping-keping angannya pecah musnah! I’ve told you, Puteri!!! Bisik satu suara dalam diri Puteri sambil ketawa mengejek. Darahnya mula panas. Marah Puteri pada diri sendiri. Perlahan Puteri tunduk mencapai beg pakaiannya dari tangan Nuqman lalu menarik daun pintu. Tanpa sepatah kata, dia menutup daun pintu perlahan-lahan di hadapan Nuqman yang masih tersenyum nakal.

Siri Novel MAKNA PADA RASA Bab 1

 cover Ilham1 bhosporus4

Cinta Puteri vs Nuqman adalah tajuk asal novel ini yang merupakan sebuah kesinambungan. Puteri Zulaikha dan Muhammad Nuqman terikat dengan akad dan janji dalam pertemuan yang terancang namun bukan atas pilihan mereka. Hubungan Puteri Zulaikha dan Nuqman bermula dalam sebuah cerpen, Jawapan Untuk Puteri dalam HAKIKAT CINTA Sebuah Antologi Cerpen 

– Terbitan BukuPrima

hakikat%20cinta

“Nuqman sepi tanpa berita. Menghukum atau mendera? Puteri sendiri buntu. Dia sudah tidak tahu apa yang sedang berlaku pada dirinya.”

“Apakah ini rindu? Inikah yang sebenarnya dikatakan cinta? Atau aku dah gila? Bulan tolonglah jawab…”

Tidak mampu menahan gelodak rasa yang ditinggalkan, Puteri Zulaikha terbang ke Istanbul mencari Nuqman untuk mendapatkan jawapan bagi mengungkai persoalan hati langsung mencari arah dan maksud hidup mereka seterusnya. Apakah ikatan itu harus diungkai atau dipatrikan untuk selamanya?!

MAKNA PADA RASA a.k.a CINTA PUTERI vs NUQMAN seindah selat Bhosporus, membelah dua dunia dan menyempadani dua budaya. Antara menyonsang arus dunia dan membelah gelombang prejudis, Puteri dan Nuqman bergelut untuk kembali kepada fitrah insani.

 

Bab 1

Dewan Ketibaan Lapangan Terbang Atartuk hingar bingar dengan gurau senda dan salaman mesra saudara mara, teman dan taulan menyambut ketibaan orang yang dinanti. Saat itu, ia juga menyaksikan pertemuan Muhamad Nuqman bin Zulkarnain dan Puteri Zulaikha Megat Hasyim.

Merhaba, Ika! Seni seviyorum…” Nuqman berbahasa Turki sambil mengangkat dagu Puteri dengan hujung jari, menatap Puteri yang kini bertudung ayu dengan selendang sutera pemberiannya. Kening Puteri terangkat, tidak mengerti.

“Haa!? Awak suruh saya balik ke?” Nuqman ketawa. Pantas dia menarik hidung Puteri yang mancung. Pandai bergurau rupanya dia.

Silly! I said, I love you…” Pertama kali mereka ketawa bersama. Namun akhirnya derai tawa terhenti, berganti senyuman yang panjang. Dek kerana masing-masing kehilangan kata, minda kalut menerka, mereka serentak membuang pandang ke sekeliling sambil menarik nafas menahan tekanan gelombang rasa yang sangat hebat di hati masing-masing.

Dia kata, dia cintakan aku? Betul ke apa yang aku dengar ni? Selamba macam tu je? Isyhh! Tak mungkin! Dia nak cakap bahasa Turki je tu. Jangan teruja, Puteri… Relaks! Tenang! Hati Puteri berbisik meredakan perasaan. Sesekali dia mencuri pandang ke wajah Nuqman, mencari sesuatu. Namun entah kenapa Nuqman seperti mengelak dari memandangnya.

I’ve just said that I loved her! Err… Nak sambut dia dalam bahasa Turki konon! Macam tak ada ayat lain! Do I really love her? Fuhh… Macammana aku boleh lafaz semudah itu? Hatinya mengeluh berat. Akhirnya Nuqman menarik beg troli dan sebuah beg sandang yang kecil milik Puteri. Selalu dengar orang susah nak melafazkan cinta, kan? Aku pulak? Selamba gila! Hati Nuqman ketawa dalam nada yang sumbang. Entah apa-apa!

“Jom, kita balik dulu. Awak kena rehat. It was a long trip. Alhamdulillah awak selamat sampai… Kalau tak, tak taulah saya kat mana nak cari awak!” Puteri sempat menjeling pada Nuqman yang tersenyum mengusik di hujung katanya. Kemudian laju dia menghayun langkah untuk seiring dengan Nuqman, gerun juga dia kalau bersendirian di bumi asing. Walaupun dia pernah keluar negara bersama keluarga namun kali ini berbeza, dia hanya ada Nuqman.

Musim dingin di Istanbul walaupun tiada salji tapi tetap rasa teramat sejuk. Ditambah pula hujan renyai-renyai. Puteri berhenti melangkah sebaik sahaja terasa angin dingin menampar pipinya. Puteri cepat-cepat menyarungkan kot labu bagi mengurangkan kesejukan yang menikam. Pandangannya mengitari ruang di luar dewan ketibaan lapangan terbang itu yang tidak terlalu sibuk. Tiba-tiba ada tangan menyentuh pinggangnya. Dalam terkejut, Puteri terdongak.

“Sejuk?” Nuqman merapatkan tubuh mereka. Kehangatan perlu pada waktu-waktu begini. Puteri menelan liur. Ambil kesempatan nampak! Tiba-tiba payung terbuka di atas kepala. Nuqman terus melangkah sambil memegang payung di tangan kanannya dan membawa beg di tangan kiri, memaksa Puteri ikut melangkah di bawah payung yang satu. Patutlah rapat, dia nak payungkan! Nasib baik belum sempat komen apa-apa.

Mereka kelihatan seperti sepasang kekasih namun hakikatnya masing-masing tahu. Bersama kerana takdir namun bukan kehendak hati, mereka melangkah dengan irama berbeza.

Membisu sepanjang perjalanan, Puteri hanyut dalam gelombang perasaannya. Entah kenapa, dia selalu jadi begitu bila lelaki bernama Nuqman ini ada bersamanya. Nuqman tidak seperti yang lain. Bukan seorang dua tapi sudah hampir cukup sepuluh jari, lelaki-lelaki yang mendampingi Puteri. Mereka ingin menjadi teman hidup, pelindung dan pemimpin yang kononnya mampu mengemudi bahtera hidupnya. Sedangkan dia sangat tahu betapa merekalah perosak masa depan kaum hawa. Kaum yang mereka anggap lemah sedangkan sangat mampu malah lebih selamat hidup sendiri daripada bergantung hidup dengan mereka. Kononnya mereka wira yang sanggup berkorban diri dan apa sahaja demi wanita kesayangan atas nama cinta sejati! Satu keluhan penuh rasa jelek terluah di bibirnya. Dia bukan wanita seperti itu! Bukan dilahirkan untuk menjadi mainan nafsu lelaki. Itu tidak akan berlaku dalam hidupnya. Dia tekad untuk tidak akan tunduk kepada lelaki. Sebaliknya dia akan melakukan apa saja untuk menundukkan mereka. Ha! Ha! Sampai mereka sanggup korbankan apa saja demi cinta dan perhatiannya. Selepas dia puas hati membuat hidup mereka sengsara, mereka akan ditinggalkan terkapai-kapai. Sama sekali dia tidak akan berpaling walau macammana pun dirinya dirayu. Men are not worth her time.

Puteri tersandar sambil membuang pandangan ke luar kereta. Suasana di bandar Istanbul sudah mula sesak. Sebab itu pelancong lebih suka mencari penempatan di kawasan pusat bandar bagi memudahkan mereka berjalan kaki ke sana sini.

Puteri datang untuk menyelusuri sejarah seni hiasan dalaman dan binaan sekaligus mencari titik muktamad dalam hubungannya dengan Nuqman. Dia tersenyum. Sehebat manapun lelaki, pasti akan tunduk pada aku. Nuqman nampaknya mudah sangat. Cuma masalahnya, lelaki lain mudah aku tinggalkan macam tu saja. Tapi Nuqman? Aku terikat!

Dia juga tak cari aku tetapi dipilih abah. Kejadian di Pantai Cenang, Langkawi tidak lama dulu mengubah hidupnya. Ketika itu dia sedang bercuti bersama teman-teman. Dia yang sedang menabur cinta dengan seorang lelaki berbangsa asing, Steve bersenda gurau sambil berjalan di tepi pantai. Manalah dia sangka yang abang sulungnya, Megat Hafiz boleh berada di situ. Memang along mengamuk sakan malah memaksa dia meninggalkan Pantai Cenang waktu itu juga. Tidak lama kemudian, abah diserang sakit jantung dan berada dalam keadaan kritikal. Sebelum itu, abah sempat berpesan agar dia diijabkabulkan dengan lelaki pilihan abah. Abah tak mahu dia keseorangan sekiranya apa-apa berlaku kepada abah.  Apa pilihan yang dia ada waktu itu? Tanpa inai di jari, apatah lagi paluan kompang, dia diijabkabulkan dengan Nuqman dengan syarat, perkahwinan mereka dirahsiakan dan dia hanya akan hidup bersama Nuqman selepas usianya mencecah dua puluh satu tahun.

Suami rahsianya yang sedang memandu di sebelah dikerling tajam. Melihat penampilan dan cara hidup Nuqman, aku pasti yang aku bukan gadis pilihannya. Tapi kenapa dia tenang menerima aku? Atau ada agenda di sebalik semua ini yang aku tak tahu? Tidak kira macammana pun gelodak perasaannya bila bersama Nuqman, Puteri tekad untuk mengungkai segala persoalan dan mencari titik penentu.

“Alhamdulillah, kita dah sampai,” Nuqman bersuara sebaik sahaja kereta diberhentikan di ruang parkir. Puteri menurut saja langkah Nuqman meninggalkan ruang parkir dan menaiki lif yang sedia menunggu. Sebaik saja keluar dari pintu lif, Puteri berubah ceria dan teruja apabila disambut oleh ruang lobi yang berhias indah dengan dekorasi klasik Turki. Lantai marmar luas dan cantik. Bunga-bunga berwarna merah yang tertanam di dalamnya bagaikan hidup menjalar. Indah sungguh! Meneroka hiasan dinding dan perabot tersusun penuh kreatif adunan klasik kontemporari, Puteri menahan nafas kerana sangat teruja. Nuqman hanya memerhati penuh asyik dengan gelagat Puteri. Mereka menaiki sebuah lif lain dari lobi ke pangsapuri di tingkat 7. Dan sebaik saja daun pintu diselak…

“Oh-My-God!” Puteri berlari sambil melemparkan tas tangan ke sofa empuk, membuka pintu kaca balkoni di ruang tamu yang mengadap Selat Bhosporus yang mengalir tenang di bawah sana. Angin dingin yang rakus mengelus dirinya tidak dipedulikan. Dia berlari ke balkoni lalu berpaut pada jeriji besi berukir separas dada dan menghimbau pandangan sejauh mungkin menikmati keindahan panorama yang sangat menakjubkan itu. Indah sungguh!

Angin dingin dan titisan hujan renyai yang masih turun terasa amat menyegarkan. Puteri memejamkan mata lalu mendepangkan kedua tangannya luas, menghayati setiap elusan angin yang bertiup dan setiap titik hujan yang menimpa mukanya.

“Memang betul alam ni bukti wujudnya Tuhan. Bila orang tengok alam luas macam ni, terus menyebut-nyebut nama Tuhan. Terasa kewujudan-Nya, kebesaran-Nya.” Suara Nuqman tiba-tiba kedengaran di hujung telinga dibawa angin yang bertiup. Puteri mengetap bibir.

Betul ke itu yang aku rasa? Atau sebenarnya hanya kerana teruja? Menikmati ciptaan-Nya untuk kepuasan diri? Benarkah aku terasa kebesaran-Nya bila aku menyeru nama-Nya tadi?

“Saya jugak sangat terasa kasih sayang Tuhan bila awak datang, Ika.” Suara itu berdesir di tepi telinganya. Mata Puteri terbeliak. Bibirnya digigit menahan rasa terkejut. Dia dapat rasakan Nuqman kini berdiri terlalu dekat di belakangnya. Dia jadi takut hendak bergerak.

“Terima kasih sebab sudi datang.”

Abah! Ni semua sebab abah! Puteri menjerit-jerit dalam hati. Dia sebenarnya langsung tidak menyangka yang abah betul-betul ambil serius dengan permintaannya yang sedang emosi ketika itu. Sesungguhnya Puteri menyesal sebaik saja tiket penerbangan ke Istanbul abah letak di hadapannya di meja makan. Terkedu sambil melindungi gelodak perasaannya dan takut diejek oleh abang-abangnya, Puteri cepat-cepat berbisik di telinga abah untuk merahsiakan perkara itu dari mereka. Dengan hati yang berat dan bergelora, dia tiba juga ke Istanbul.

“Ika, awak lupa ke?” Terkelip-kelip mata Puteri cuba mengingati sesuatu.

“Tak nak salam suami?”

“Suami?” Sepasang mata Puteri membesar.

“Ohh…!” Puteri berpaling juga, sengih mengadap Nuqman dengan muka seposen. Alahai! Ni yang malas ni! Hal-hal suami isteri yang paling dia tak suka nak fikir. Ahh… Salam je lah! Mesti kena cium tangan pulak tu! Cepat-cepat dia hulurkan kedua tangan. Teringat arwah ibu… bila dia salam abah, tunduk penuh hormat, kucup tangan abah penuh kasih. Aku?

Sebaik saja Nuqman menyambut tangannya, Puteri cepat-cepat tunduk mengucup tangan itu lalu dilepaskan dan sepantas kilat dia berlalu masuk ke ruang tamu. Nuqman terpinga-pinga namun dia hanya tersenyum. Isteri pemalu. Dia berbaik sangka.