Like A Guardian Angel Bab 7

Rashdan membawa Noura keluar dengan kerusi roda sebaik sahaja selesai berbincang dengan doktor tentang keadaan anaknya. Kes Noura akan dirujuk ke bahagian psikiatri hospital itu. Tarikh temujanji sudah diberikan. Namun Rashdan masih buntu. Entah bagaimana dia dapat membawa Noura untuk mendapatkan rawatan jika anaknya terus berada dalam keadaan begini.

Syukur malam ini, Noura diam saja bila dia menolak kerusi roda itu untuknya. Mungkin kerana sudah dipujuk Madihah. Lagipun, Madihah tak dapat menolak kerusi roda itu dengan keadaan lengannya masih dipeluk erat oleh Noura. Madihah berjalan dengan agak payah kerana dia terlalu dekat dengan kerusi roda itu. Dia bersabar kerana yang penting, anaknya dapat duduk dengan tenang tanpa rasa takut lagi.

Di bahagian farmasi, mereka menunggu giliran untuk mendapatkan ubat seperti yang diarahkan oleh doktor muda tadi. Tangan kanan Rashdan mengusap kepala Noura yang dibaluti tudung. Rindu benar dia pada anak gadisnya itu dan rasa mahu mendamaikan Noura membuak dalam dada. Namun tak lama, tangannya ditepis Noura berkali-kali. Rashdan akhirnya mengalah sambil menahan perasaan hiba. Begitu sekali Noura takut dengan lelaki? Hinggakan dia tak kenal ayahnya sendiri. Rasa marah dan kecewa juga berbaur. Dia buntu untuk mencari punca masalah ini. Noura fobia dengan lelaki tapi anehnya, Noura boleh bercakap dengan Adam. Hanya Adam!

Madihah memandang wajah suaminya penuh simpati. Mereka berbalas pandang, saling memahami. Keadaan ini pastinya perlu masa untuk kembali pulih.

Noura semakin gelisah di kerusi rodanya. Jelas yang dia tidak selesa di kelilingi orang ramai begitu. Akhirnya, Rashdan dan Madihah bertindak membawa anak mereka keluar dari bangunan bangunan hospital. Rashdan memberi isyarat yang dia mahu mengambil kenderaan terlebih dahulu. Lebih baik jika Noura duduk di dalam kereta bersama uminya sementara menunggu Rashdan mengambil ubat dari farmasi.

Mujurlah kawasan dimensi laluan hadapan bangunan hospital itu agak lengang. Madihah mengambil alih menolak kerusi roda, meminggir ke sebelah kiri bangunan itu agar mereka tidak menarik perhatian sesiapa. Noura mula gelisah duduknya bila dia terpaksa melepaskan tangan umi yang mahu menolak kerusi roda. Sepasang matanya sekejap-sekejap mengelingas memandang sekeliling dalam ketakutan. Kemudian dia tunduk meramas-ramas tudung dengan rasa gelisah.

Sebaik saja tangan umi mendarat ke bahunya, Noura segera memeluk lengan umi sekuat hati. Silau lampu kereta yang lalu lalang dan ada yang berhenti menurunkan atau mengambil penumpang menambah gelisah di hati Noura. Dia amat takut kalau-kalau lelaki itu datang lagi membawa bunga untuknya. Mampukah umi menyelamatkan dia dari lelaki itu?

Senyuman manisnya mengacah dalam pandangan Noura. Langsung Noura menutup mata serapat yang boleh. Jangan! Tolong jangan muncul di sini! Hati Noura merayu entah kepada siapa. Airmata ketakutan mula merembes dalam kelopak mata.

“Noura… tenang, sayang! Umi ada ni. Sekejap lagi, abi datang bawa kereta ya. Noura tak apa-apa. Umi jaga Noura ni….” Madihah cepat memujuk selembut yang boleh. Sedangkan hatinya sudah semakin cemas. Bimbang kalau Noura berubah laku dan dia tak dapat menanganinya.

Sebuah kereta berhenti tidak jauh dari mereka. Tetapi tidak ada penumpang atau pemandu yang turun. Kereta itu diam tak bergerak di tepi laluan yang lengang dengan lampu terpasang. Setelah agak lama, pemandunya turun sambil memandang ke arah mereka. Pasti dia merasa aneh melihat keadaan Noura begitu. Madihah cepat-cepat memandang ke arah lain. Hatinya tak sudah-sudah memanjat doa agar suaminya segera datang.

“Assalamualaikum, makcik…”

Sapaan itu hampir membuatkan Madihah terlompat kerana terkejut. Tak sangka pemandu tadi bertindak datang menghampiri mereka. Serentak itu, lengannya dicengkam kuat oleh Noura. Madihah telan liur yang tiada. Noura sudah tunduk rapat melindungi wajahnya. Tubuhnya mula menggigil sehingga Madihah terasa getarannya melalui lengan yang dipeluk anaknya.

Dalam serba-salah, Madihah menjawab juga salam yang dihulurkan. Hendak dihalau anak muda itu, dia tak sampai hati kerana suara dan wajahnya penuh prihatin.

“Kenapa, makcik? Anak makcik ke?” Kaki lelaki itu semakin merapat. Noura sudah berpusing membelakangkan lelaki itu. Madihah turut tersentak ke hadapan kerana lengannya ditarik sama.

“Err… ya! Anak makcik…”

“Dia sakit sangat ke, makcik? Nak saya panggilkan doktor? Atau saya bawa dia ke dalam…”

“Umiiii!” Noura sudah menjerit dan menangis serentak. Tubuhnya dihumban dari kerusi roda seolah-olah dia mahu melarikan diri.

“Ya Allah!” Lelaki itu menerpa. Tak tahu mahu dibantu yang mana satu kerana wanita itu turut jatuh ditarik anaknya. Cepat dia menangkap kerusi roda sebelum ia menimpa tubuh anak perempuan makcik itu yang sudah rebah di atas koridor.

“Noura! Ya Allah!” Rashdan yang baru saja memberhentikan keretanya segera berlari mendapatkan isteri dan anaknya.

“Pakcik! Err… saya… saya panggilkan doktor, ya pakcik?”

“Eh, tak apa! Tak apa! Saya… saya dah jumpa doktor. Kami dah nak balik. Encik… tak apa… saya boleh handle anak saya. Terima kasih ya!” Rashdan bingung dengan kehadiran anak muda yang tak dikenalinya. Entah dari mana tiba-tiba muncul di sini.

Kelam-kabut Rashdan menerangkan keadaan mereka dan dia amat berharap agar lelaki yang kelihatan sebaya dengan Adam itu segera beredar. Pasti dia yang menyebabkan Noura diserang trauma.

Dengan mengerahkan seluruh tenaga, Noura terus dicempung lalu dibawa ke kereta. Dalam susah-payah, Rashdan berjaya meletakkan anaknya di tempat duduk belakang. Madihah juga bingkas bangun sambil dibantu oleh lelaki muda tadi dan dalam teragak-agak, dia sempat mengucapkan terima kasih lalu bergegas ke kereta sambil menolak kerusi roda. Suaminya segera mengangkat kerusi roda itu ke dalam tempat menyimpan barang di belakang kereta. Madihah pula masuk ke tempat duduk belakang dan merangkul tubuh anaknya yang mengigil seperti orang kesejukan ke dalam pelukannya.

Rashdan sempat mengangkat tangan ke arah pemuda tadi sebelum masuk ke perut kereta. Dia memandu keretanya pergi meninggalkan lelaki itu yang masih tercegat berdiri memandang ke arah mereka sehingga hilang dari pandangan. Mungkin dia terlalu terkejut menyaksikan seorang anak gadis yang diserang trauma di depan mata. Rashdan sendiri masih belum hilang terkejut dengan apa yang menimpa Noura.

Advertisements

Like A Guardian Angel Bab 6

Malam datang lagi. Tak ada waktu yang lebih mengerikan daripada malam hari. Gelap. Sejuk dan sunyi. Hembusan angin. Dan lelaki itu bersama haruman bunga mawar.

Gelisah… hanya Tuhan yang tahu. Noura berselubung dalam selimut. Tetapi bukan di katil. Di merata dinding. Puas uminya membawa dia ke katil semula. Tetapi sekejap saja. Bila ditinggalkan, dia akan turun semula. Tak betah untuk dia tidur di katil itu. Bimbang… bila-bila saja lelaki itu akan datang. Datang untuk melurut pakaiannya! Entah berapa kali semalaman dia akan meraba tubuh sendiri. Memastikan apakah masih ada pakaian yang melekat di situ.

Madihah yang baru masuk untuk melihat keadaan Noura menggelengkan kepala. Malam ini, dalam keadaan yang sebegitu lemah, Noura tetap bangun meninggalkan katil. Dalam keadaan berbungkus, dia berbaring di sudut dinding biliknya. Lesu tak bermaya.

Madihah keluar semula mendapatkan suaminya. “Dihah tak tahan lagi, abang. Kita kena bawa Noura ke hospital. Dia bukannya semakin baik, abang!”

Rashdan meraup muka yang sudah terlalu sugul sejak beberapa hari ini. Dia buntu sebenarnya. Entah bagaimana dia hendak membawa Noura ke hospital dalam keadaan anaknya tak mahu disentuh ayah sendiri.

“Macam mana kita nak bawa dia, Dihah?”

“Dia dah lemah sangat tu, bang. Abang angkat sajalah ke kereta… kita tak boleh tunggu lagi. Noura takkan pulih sendiri. Saya dah habis daya nak memujuk dia, bang…” Madihah terhenyak di sofa. Letih, lesu dan kecewa. Sebak usah ditanya lagi. Sentiasa ketat dalam dada.

Akhirnya malam itu, Rashdan bertindak menutup muka Noura dengan selimutnya dan cepat-cepat mendukung anaknya ke kereta. Noura memang sudah terlalu lemah. Hanya desah nafasnya saja kedengaran. Erangan kecil sayup mencecah pendengaran Rashdan. Tanda protes dia tak mahu diganggu. Pilu hati Rashdan mendengarnya.

Bukan dia tak cuba membawa anaknya ke hospital sebelum ini. Tapi Noura jadi kuat luar biasa. Dia meronta dan menjerit sampai tangan ayahnya sendiri digigit kuat tanpa belas kasihan. Rashdan bimbang kalau Noura tak dapat mengawal diri di tempat awam sehingga mencederakan diri sendiri. Jadi mereka cuba cara pujuk dan bincang. Namun semuanya menemui jalan buntu. Adam satu-satunya lelaki yang boleh bercakap dan mendekati Noura tetapi lelaki itu pula menjauhi adiknya. Dendam amarahnya belum reda kerana dia menyalahkan Noura yang menyebabkan dia gagal ke jinjang pelamin.

Noura berjaya dibawa ke Hospital Pakar Ampang Puteri. Dia dimasukkan air untuk memberi sedikit tenaga terlebih dahulu. Sementara menunggu doktor membuat pemeriksaan lanjut, Noura dibiarkan tidur sahaja.

Rashdan dan Madihah resah menanti. Apa yang patut diberitahu kepada doktor nanti? Anak mereka tak tahu apa yang berlaku ke atas dirinya. Apatah lagi mereka!

Hampir setengah jam berlalu, akhirnya seorang doktor lelaki yang masih muda menghampiri katil itu diiringi dua orang jururawat. Madihah memandang wajah suaminya yang juga kelihatan semakin resah seperti dirinya. Mahukah Noura dirawat doktor lelaki?

Noura terdengar ada suara yang bercakap-cakap seolah-olah ada orang yang begitu hampir dengan dirinya. Siapa? Tubuhnya terasa agak selesa, tidak lemah seperti sebelumnya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Terasa lega ruang dadanya bila diisi penuh dengan oksigen yang dihirup.

Suara-suara itu semakin jelas di telinga. Lelaki! Serentak itu, kedua matanya terbuka luas. Putih. Semuanya putih. Dia tersedar ada ramai orang mengelilinginya. Nafasnya kembali sesak. Kenapa? Apa yang mereka mahu?

Seorang lelaki berkaca mata tersenyum kepadanya. Noura kengerian. Terasa jari-jemarinya sejuk serta merta. Tubuhnya mula menggigil. Hatinya sudah menjerit-jerit.

Jangan! Jangan sentuh aku! Ya Allah… tolong!

Kepalanya berpusing-pusing tak tentu arah. Dia harus buat sesuatu sebelum dirinya disentuh lagi! Wajah umi tiba-tiba ada di depan mata.

“Umi! Umi tolong Noura. Tolong Noura, umi!” Serak suaranya merayu sepenuh hati. Dia menangis ketakutan. Melihat umi terkaku memandang dengan wajah serba-salah, Noura jadi semakin panik. Tanpa bertangguh lagi, dia menongkah diri sekuat hati lalu bangun dan turun dari katil tanpa sempat ditahan sesiapa. Dia mesti cepat. Sebelum dia jadi mangsa sekali lagi.

“Noura! Jangan…”

“Umi… cepat! Tolong Noura! Tolonglah, umi!”

Madihah tergamam melihat anaknya tiba-tiba bangun dan menggelongsor turun dari katil tanpa mempedulikan tangannya yang sedang dicucuk dengan jarum yang bersambung dengan tiub ke botol drip. Habis semua jatuh bergelimpang dan darah mengalir dari belakang tangan Noura kerana jarum tercabut dek pergerakannya yang mendadak. Tubuhnya jatuh terjelepuk ke lantai. Dia merangkak sedikit lalu memaut sepasang kaki uminya. Semua berlaku terlalu cepat dan sekelip mata. Madihah segera tunduk memaut bahu Noura. Laju saja gadis itu meruntun tubuh ibunya, mendesak agar dia dibawa jauh dari mereka.

Rashdan dan jururawat segera mendapatkan Noura sementara doktor sudah siap menyediakan jarum untuk suntikan sedatif. Keadaan jadi kelam-kabut. Noura tak semudah yang disangka kerana habis semua orang ditepis dan diterajang. Dia jadi semakin panik dan takut bila dia mahu dipisahkan dari uminya.

Mereka hampir bergumpal di situ dan Noura meraung memanggil ‘umi’ sementara lengan Madihah tetap tak dilepaskannya. Wanita itu tak dapat menahan perasaan hiba bila orang terpaksa bergelut untuk memisahkan Noura darinya. Akhirnya, dia bertindak memeluk kepala Noura sekuat hati dan meminta mereka berhenti.

“Cukuplah! Cukuplah! Biar saya tenangkan anak saya. Tolonglah…!” Madihah merayu. Dia terpaksa bertegas sambil memandang suaminya memohon belas kasihan. Sementara Noura yang mengigil ketakutan terus mmeluk tubuh uminya sekuat hati sebaik saja tangannya yang dipegang kuat terasa dilonggarkan bila mereka mendengar rayuan umi.

“Noura nak balik, umi! Noura nak balik! Bawa Noura balik, umi…” suara Noura tenggelam-timbul dalam esak tangis dek kerana mukanya terbenam di dada Madihah.

“Ya, sayang! Kita balik. Umi bawa Noura balik… syyhhh… umi ada sayang… .” Dengan linangan airmata, Madihah membetulkan tudung dan pakaian Noura yang memeluk dirinya seakan-akan tak mahu dilepaskan lagi.

Rashdan menghela nafas berat. Dia memberi isyarat kepada dua orang jururawat dan juga doktor yang dia mahu berbincang. Perlahan-lahan mereka bergerak meninggalkan Noura bersama uminya di bilik itu.

Sebaik saja terdengar bunyi pintu ditutup, Noura mengangkat muka dan kalut memandang keliling dengan muka yang merah dan basah.

“Noura takut umi… Noura nak balik…” Kedengaran menggigil suaranya sambil anak matanya berlari tak tentu arah. Tangannya tetap kuat memeluk umi seperti takut ditinggalkan.

“Noura selamat dengan umi. Kita nak balik dah. Tunggu abi ya. Abi nak pandu kereta. Umi tak pandai bawa kereta…” Bijak Madihah memberi alasan kerana dia bimbang kalau Noura tak mahu naik kereta bersama abinya. Bertambah haru nanti!

Noura terdiam mendengarkan itu lalu kembali membenamkan mukanya ke dalam pelukan umi. Tangisannya mula reda. Buat seketika, dia terasa damai di situ.

***************************************
Novel LIKE A GUARDIAN ANGEL bakal terbit untuk PABKL 2018. Cetakan terhad untuk preorder dan jualan amal. Whatsapp 011-20503481 untuk membuat pesanan.

Terima kasih kerana sudi singgah. Moga terhibur.

Like A Guardian Angel Bab 5

“Dia kata ada kawan Adam bagi bunga. Lepas tu, dia tak sedar dah…”

“Manalah Adam tahu, umi! Kawan Adam ramai. Yang mengaku kawan pun ramai walaupun Adam tak kenal. Yang Noura murah sangat pergi layan tu, kenapa?”

“Astaghfirullahaladzim… Adam! Tergamak Adam cakap macam tu pada Noura. Takkan Adam tak kenal dengan adik sendiri?” Rasa nak pitam dibuatnya dengan tuduhan Adam. Madihah urut dada sendiri. Sebak tak terkata. Kalaulah Noura dengar…

Ya, Noura dengar! Tubuh yang sudah lemah tak berdaya itu tersandar dan melurut di dinding sehingga jatuh terduduk. Namun airmata yang berderai bagai mutiara terputus tali lebih dulu mencecah lantai. Sampai hati Abang Adam!

Patutlah Abang Adam sentiasa menjauhkan diri. Setiap kali terdengar suaranya, Noura akan keluar mencari tapi Abang Adam cepat saja menghilang. Hanya sesekali, Noura sempat menegurnya. Noura minta maaf bertalu-talu. Minta maaf kerana merosakkan majlis perkahwinan Abang Adam. Tapi Abang Adam memalingkan muka. Tak sudi memandangnya. Marah sungguh dia. Kemudian Noura memberanikan diri, bertanya tentang ‘kawannya’. Abang Adam terus mengunci mulut dan berlalu pergi. Remuk-redam hati Noura dengan sikap Abang Adam. Rupa-rupanya begitu perasaan Abang Adam terhadapnya. Jijik sungguh dirasakan diri…

Jemarinya yang lemah dan terketar-ketar itu digenggam sekuat hati demi menahan pedih yang dahsyat menikam di hati. Disumbat genggaman jemari itu ke mulutnya yang kini meraung kuat tanpa suara.

Noura tak semurah tu, abang! Noura tak pernah disentuh lelaki. Ya Tuhan… kenapa ini yang terjadi? Sedangkan dia sangat menjaga kesucian diri. Dosa apa yang dia lakukan hingga dia diperlakukan sebegini?

Sakit dada Noura meraung dalam senyap. Namun segala yang terbuku di dalam tidak juga reda malah semakin menyesakkan perasaannya.

Rasa mahu menuntut keadilan dan mencari si pengkhianat itu hilang lenyap dengan pertuduhan Abang Adam. Untuk apa? Lelaki itu tak dipersalahkan. Tapi dia… perempuan yang lemah, yang sepatutnya dilindungi… dia pula yang dihukum sehina ini. Tanpa pembelaan langsung!

Kalau sejak beberapa hari yang lepas, Noura tersiksa dengan rasa diri jijik ternoda… hari ini dia merasa tak ubah seperti seorang pelacur. Abang kandungnya sendiri yang meletakkan gelaran itu kepadanya. Abang! Abang yang selama ini sentiasa pandai memanjakan, mengusik dan memujuk. Tergamak abang!

Noura menangis hiba tak berkesudahan. Dari terngadah mengigit genggaman tangan sendiri, kini dia terlungkup di lantai demi menahan pedih dalam dada. Ke mana hendak dibawa diri yang sudah ternoda? Dia hanya pembawa malang kepada umi dan abi. Juga abang…

“Noura…”

Lunak suara umi memanggil namanya dari luar. Namun ada serak dalam nadanya. Umi menangis lagi? Itu saja yang mampu Noura lakukan pada umi sekarang… buat umi menangis. Lebih menyedihkan, Noura tak dapat lagi memujuk umi macam dulu. Hendak bergerakpun, Noura dah tak mampu apatah lagi mahu memujuk umi. Untuk menjawab panggilan umi sajapun, Noura dah hilang tenaga hendak bersuara…

“Ya Allah! Noura…” Kedengaran bunyi dulang diletakkan kasar di lantai bersekali dengan lagaan gelas dan mangkuk.

Terpejam mata Noura mendengar suara umi dan air hangat itu berlinang lagi. Maafkan, Noura… Noura hanya menyusahkan umi…

“Noura… kenapa sampai macam ni, sayang?” Umi meratap hiba lagi. Sudah berapa hari umi begini. Kasihan umi…

Kepala Noura diangkat perlahan-lahan ke riba dan tubuhnya dibaringkan di lantai dengan lembut. Noura benar-benar letih dan lemah. Tiada daya hendak membuka mata yang sentiasa basah. Dibiar saja tubuhnya disusun atur oleh umi.

“Noura… umi merayu… Noura makan sikit, ya nak!”

Noura diam. Tak mampu menggeleng mahupun mengangguk. Kelopak matanya pun tak daya hendak berkelip lagi. Segala sisa tenaganya dihabiskan ketika meraung tadi. Demi mahu meringankan bebanan perasaan. Tapi sayang, tenaga habis, perasaan tetap berat dan menyiksakan.

Tiba-tiba ada titis air yang terasa hangat di pipi Noura. Airmata umi! Ya Allah…

“Makan nak…”

Suara umi serak dan hilang ditelan sebak. Bibir Noura pula terasa sejuk disentuh sesuatu.

“Kalau sayangkan umi, buka mulut Noura… dah empat hari umi masak bubur kesukaan Noura. Tapi Noura tak pernah jamah sikitpun. Makan untuk umi, sayang. Tolonglah… jangan siksa umi macam ni!”

Umi teresak menangis. Noura rasa bagaikan tak dapat hendak bernafas. Kasihan sungguh umi…

Dikerah seluruh tenaganya untuk membuka mulut. Detik itu juga esakan umi terhenti. Syukur!

Dia biarkan saja makanan itu mengalir ke kerongkong yang terasa perit dan pahit. Jenuh dipaksa dirinya menelan. Siksa bagai menelan pasir. Tapi demi umi…

“Ya Allah… Noura dah boleh makan, sayang. Makan, ya nak! Umi suapkan…” Antara menangis dan ketawa, umi kembali teresak.

Noura paksa diri untuk buka mulut lagi. Tak kira betapa dia rasa tersiksa, tapi demi umi… dia sanggup!

Sebelah tangan Madihah menekup bibir sendiri. Melihat Noura seperti mayat hidup begini benar-benar meruntun hatinya. Sudah berapa hari, Noura hanya mahu minum air. Sedikit pun tak mahu menjamah makanan. Tak selera, katanya.

Semalam, dia mula dipapah ke bilik air. Dimandikan dan diambilkan wuduk. Anak gadisnya kemurungan teruk.

Hari pertama dan kedua, gangguan emosinya mengganas. Sekejap-sekejap dia meraung bagai orang gila. Ada waktunya pula, dia mengamuk marah-marah. Habis dibanting segala yang ada. Masalahnya, dia tak boleh didekati abinya sendiri. Adam pula langsung tak mahu membantu. Madihah sendiri terpaksa berhempas-pulas menenangkan Noura.

Oleh kerana Noura tak mahu makan, tubuhnya makin lemah. Dia tak punya tenaga lagi untuk meraung atau mengamuk marah. Dia diam. Bungkam. Memandang kosong walau ke mana arah sekalipun.

Hari ini, Noura semakin parah. Walaupun dia biarkan saja dirinya disuapkan bubur nasi tapi Madihah tahu, Noura lakukan kerana permintaan dia. Sedangkan hakikatnya, jiwa Noura semakin parah. Yang paling membimbangkan, Noura hanya diam bila dipakaikan telekung untuk bersolat. Dia hanya duduk di kerusi itu berjam-jam selagi tak diangkat. Bila ditanya sama ada dia solat ataupun tidak, dia tetap membisu walau selama mana ditanya.

Madihah tekad. Anaknya harus dibantu.

****

Jemput komen ya! Harap kisah ini menjentik hati. Jemput buat pesanan sekiranya berminat untuk memiliki naskhah ini dalam versi cetak. Tempahan hanya dibuka sehingga 25hb April sahaja. Whatsapp 011-20503481.

Moga terhibur!

Like A Guardian Angel Bab 4

Barang-barang hantaran yang cantik berhias terbiar di atas par-par berkaki di sudut rumah besar itu. Rumah yang semalam riuh-rendah dengan sanak-saudara kini sunyi tak berorang. Majlis perkahwinan yang dijangka akan berlangsung hujung minggu hadapan dibatalkan saja. Pengantin lelakinya nanar kerana ditinggalkan pada malam pernikahannya.

Ya! Mar’ain… gadis buruan Adam selama ini tega memutuskan ikatan mereka yang hampir terpatri selepas peristiwa semalam. Lebih dahsyat lagi, sebentar tadi… Ain selamat diijabkabulkan dengan lelaki lain dengan alasan mahu menyelamatkan maruah keluarganya yang akan menanggung malu andainya majlis perkahwinan itu dibatalkan begitu saja.

Sedikitpun Ain tak memikirkan tentang diri dan keluarganya. Adam tahu, dia bukanlah lelaki yang terbaik untuk gadis itu yang hidup serba sempurna. Kehidupan yang diidamkan Adam selama ini. Memiliki Ain seperti bulan jatuh ke riba. Dia bakal memiliki semua yang diimpikan. Isteri yang cantik dan berkarisma, jaringan perniagaan yang luas melalui bapa mentuanya dan tentulah syarikat permotoran milik keluarga Ain yang menjadi igauan. Namun semuanya hancur selepas bala yang menimpa adiknya malam tadi. Bala yang ditempah oleh dirinya sendiri!

Adam melangkah masuk ke rumahnya selepas menghilang semalaman. Dia tak mampu berdepan dengan semua ini. Seperti saat ini… sebaik saja matanya tertancap ke deretan dulang hantaran yang ditolak mentah-mentah oleh Ain, hatinya bagai ditores lumat. Tergamak Ain, tetap tak sudi walaupun mahu diberikan sebagai hadiah saja. Sehina itukah dia dan keluarganya di mata Ain?

Adam berpusing lalu melangkah laju ke anak tangga. Dia tak mahu lagi melihat ini semua. Runsing! Sementelahan dirinya sendiri kusut masai dek semalaman berembun di luar bersama kawan-kawan yang memahami nasib dirinya.

“Adam…”

Suara umi menghentikan langkahnya. Keras di situ. Apa lagi yang umi mahu?

“Duduk kejap. Umi nak bincang…”

Lembut nada suara umi tak mampu melunakkan hatinya yang remuk-redam. Nafas dihela kuat. “Adam penat, umi. Nanti-nantilah!”

“Adam… umi dengan abi… kami… nak mintak Adam teruskan saja majlis ni. Adam… Adam kan ada kawan perempuan yang selalu bersama Adam tu… yang Adam kata adik angkat tu…”

Fina! Terasa macam dipanah halilintar saja saat itu. Jemari Adam menggenggam kuat pemegang tangga kayu sehingga timbul urat lengannya.

Adam dah campak dia, umi. Adam dah buang dia! Batin Adam menjerit antara sesal dan marah. Inikah kifarah untuknya? Argghhh…

Kakinya tak betah berdiri di situ lagi. Adam membiarkan permintaan gila umi itu tergantung tanpa jawapan. Dia melangkau tiga-empat anak tangga sekali gus. Mahu cepat hilang dari pandangan umi atau pertanyaan umi yang mungkin takkan berhenti nanti.

“Adam!” Madihah terjerit melihat telatah anaknya yang langsung tak mahu membuka ruang di antara mereka.

Sejak semalam, bila suaminya mendapat perkhabaran duka dari adik lelakinya, Rashidi, Adam mula menjauhkan diri. Berita menular terlalu cepat tanpa sempat dibendung dan akhirnya sampai ke pendengaran pihak sebelah sana. Dia dan suaminya yang masih buntu dan keliru dengan apa yang menimpa tak mampu memberi penjelasan apapun dalam masa sesingkat itu. Dan tanpa rasa simpati, segala yang sudah dirancang rapi dinoktahkan begitu saja. Hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya hati yang baru saja dipeluk duka. Terduduk dibuatnya!

Yang paling pedih, satu-satunya anak lelaki mereka tak mahu menerima kenyataan itu. Adam mengamuk, membanting apa saja di biliknya. Belum reda tangisan Noura di bilik bawah, Adam pula meracau di tingkat atas. Sanak saudara yang tadi riuh bergembira, senyap tak berkutik. Perlahan-lahan mereka mengundur diri demi mahu memberi ruang kepada keluarga malang itu. Tak ada apa yang dapat dibantu sementelahan mereka juga langsung tak memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Tinggallah Madihan dan Rashdan berdepan dengan musibah yang tak pernah mereka pinta.

*****

Diskaun 30% untuk pembeli e-book GUARDIAN ANGEL ya! Whatsapp 011-20503481. Novel ini dijual untuk PROJEK INFAQ RAMADHAN 2018.

Like A Guardian Angel Bab 3

Tunggu Adam?

Pertanyaan itu memutar memori. Kawan abang! Apa yang telah berlaku? Minda Noura semakin kalut. Bunga mawar. Bersin. Sapu tangan dan…

“Abang Adam!” Noura meraung menangis ketakutan. Semuanya kembali menerjah dalam ingatannya saat ini.

Rashdan yang baru tiba terkejut melihat keadaan anak gadisnya. “Tolong ke tepi semua. Adam, bawa Noura ke dalam. Cepat!”

Adam yang terdiam terpaku dek raungan Noura ketika itu terkejut dengan arahan ayahnya. Bingkas dia menggagahkan diri, merangkul tubuh adiknya ke dalam pangkuan dan membawanya masuk ke rumah, terus ke bilik tamu di tingkat bawah. Tangisan Noura yang ketakutan dalam pangkuannya membuatkan dia semakin dijerut rasa cemas.

Noura dah aku hantar balik. Sebagaimana engkau hantar Fina balik. Kata-kata yang sarat dengan nada dendam itu benar-benar menggugat dirinya.

Di bilik, Rashdan bertindak mengunci pintu setelah dia memimpin isterinya, Madihah yang sudah tersedu sedan menangis ke birai katil, di sisi anak mereka, Fatimah El Noura. Di luar sana, pelbagai kebarangkalian berlegar dalam minda masing-masing. Suasana meriah bertukar suram. Berita buruk itu berpindah dari mulut ke mulut bagai api dalam sekam. Semarak dalam diam.

“Noura! Noura sayang… jangan menangis nak! Umi ada… cakap pada umi apa yang berlaku Noura,” Madihah merapati Noura yang sudah melarikan diri ke kepala katil sambil duduk meramas kuat selimut yang ditarik rapat menutupi tubuhnya.

Wajah Noura berkerut ketakutan dengan riak keliru. Kenapa dia jadi begini? Di mana pakaiannya? Apa yang telah dilakukan ke atasnya? Jari jemari Noura meramas-ramas dan mencengkam lengan sendiri. Sekejap mengenggam, sekejap mengusap kasar tubuhnya, cuba menepis segala rasa jijik dan kotor yang menerjah datang.

Apa yang berlaku? Kenapa dia jadi begini? Kenapa? Hatinya menjerit bertalu-talu namun hanya airmata yang mengalir deras.

Rasydan yang sudah mengambil pakaian anaknya dari almari laju melangkah mendapatkan Noura. Hiba hati lelakinya melihat anak gadis kesayangannya begitu. Mahu dirangkul anaknya ke dalam pelukan tapi sebelum sempat dia menyentuh, gadis itu sudah mendongak memandangnya dengan sepasang mata yang mencerun takut.

“Jangan! Jangan! Jangan sentuh Noura!” Dia menjerit, menggeleng-gelengkan kepala, takut dan cemas. Tubuhnya mengesot menjauhi ayahnya sendiri.

“Noura… ini abi, sayang…”

“Tak nak! Jangan dekat Noura. Tolong jangan sentuh Noura! Umi! Umi!” Noura meracau, menjerit dan meraung pada masa yang sama. Madihah bingkas mendapatkan anaknya, merangkul dan memeluk tubuh malang itu sekali lagi ke dalam pelukannya. Bala apakah ini, ya Allah? Hatinya meratap melihat anak kesayangannya tiba-tiba berubah sekelip mata.

Noura menangis dalam pelukan ibunya. Hiba meregut jantung hati sesiapa yang mendengar. Rashdan yang terkaku dengan respon anaknya tadi terduduk di birai katil. Pandangannya menerawang. Apa yang telah berlaku?

“Adam!” Pandangannya menirus ke arah anak lelakinya yang terduduk di lantai dan tersandar ke dinding, memandang cemas ke arah adiknya yang bagaikan orang hilang punca. Adam terdongak memandang abinya. Bingkas dia bangun sambil meraup mukanya yang sedang menahan kesedihan.

“Apa yang berlaku, Adam? Abi di bilik tadi. Abi tak sedar apa yang berlaku di luar. Bagitau abi, Adam! Kenapa dengan Noura?” Tegas Rashdan bersuara sambil menahan segala rasa yang berombak di dalam dadanya.

“Adam… Adam tak tahu, abi. Adam dengar bunyi kereta mengaum di luar. Lepas tu… Adam dapat call dari handphone Noura. Tapi suara lelaki. Dia kata… dia kata…” Suara Adam yang sebak tersekat-sekat dan terputus di situ sedang matanya tertancap ke arah tubuh adiknya yang hanya berbalut dengan selimut itu…

‘Dia kata apa, Adam?” jerkah Rashdan tanpa dapat ditahan lagi. Jantungnya berdenyut sakit hanya Tuhan yang tahu. Pada masa yang sama, dia sebenarnya amat takut dengan apa yang bakal Adam katakan.

“Dia kata… dia dah hantar Noura balik…” Kata-kata itu hanya berdesir dari bibirnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hatinya kecut untuk mengulang kata-kata lelaki durjana itu. Kepalanya dijatuhkan. Pandangannya dilarikan dari tubuh Noura dan hanya mampu menekur ke lantai. Dan dia amat tahu saat itu, pandangan abi sedang menikam ke tubuhnya.

“Adam kenal siapa dia?” bentak Rashdan lagi. Emosinya memuncak membuatkan dia jadi tertekan sekali.

Laju Adam menggelengkan kepala. “Tak! Adam tak kenal, abi?”

“Betul Adam tak kenal? Macam mana dia tahu nak call Adam kalau dia tak kenal Adam?” soal Rashdan lagi. Tubuhnya terlonjak berdiri kerana marah. Kakinya melangkah mendekati Adam.

“Be… betul! Betul, Adam tak kenal, abi! Mungkin… mungkin dia redial nombor pemanggil sebab… sebab Adam call Noura banyak kali tapi dia tak angkat. Adam nak bagitau dia yang tayar kereta Adam pancit. Sebab tu, Adam lambat jemput dia. Bila Adam sampai, dia dah tak ada. Adam… Adam ingat dia balik naik teksi. Adam call, tak angkat juga. Adam balik rumah dia tak ada. Sampailah…” cerita Adam sampai di situ sahaja dan pandangannya lirih memandang adiknya.

Rashdan menghela nafas kasar. Pandangannya mengitari seluruh bilik, mencari jawapan. Akhirnya singgah ke wajah anak gadisnya yang basah memerah. Tuhan!

“Adam call handphone Noura lagi. Sampai dijawab. Cari lokasi handphone tu di mana. Sekarang!” pekik Rashdan sekuat hati. Amarahnya yang sejak tadi bergelora ganas di dalam, dihamburkan di situ. Menikus Adam dibuatnya. Pantas anak muda itu mengambil telefon bimbit dari poket seluarnya dan mengambil tempat di pojok bilik itu untuk melakukan apa yang disuruh.

“Noura… sayang… ini abi, Noura!” Rashdan merapati anaknya sekali lagi. Hiba hatinya bila seorang anak melarikan diri dari ayahnya sendiri. Betapa dia mahu memeluk anaknya dan mengembalikan dia kepada asalnya. Kepada seorang Fatimah El Noura yang periang, manja dengan keletahnya yang selalu membahagiakan.

Noura berhenti menangis tiba-tiba apabila mendengar suara ayahnya. Suara lelaki! Dia mahu apa lagi?

Saya nak berkawan dengan adiknya dulu. Boleh macam tu?

Kawan? Kawan apa sampai dia hanya berselimut begini? Noura menjerit marah di dalam hati. Sepasang matanya membesar, memandang tanpa arah. Langsung tubuh yang sedang memeluknya dipaut erat. Tolong! Tolong jauhkan aku dari lelaki itu!

Tangan Rashdan menyentuh bahu anaknya perlahan. Serentak itu kepala Noura mendongak. Serta-merta wajahnya mengerut ketakutan. Nafas makin laju, tangisnya kembali kedengaran.

“Noura sayang…” Rashdan tunduk merapat.

“Pergiiiiiii!” Noura menjerit sekali gus membenamkan mukanya ke bahu insan yang sedang memeluknya erat. Insan yang melahirkannya ke dunia ini yang sedang bergegar tubuhnya menahan tangis. Madihah memeluk anaknya sekuat hati, cuba mententeramkannya walau hati sendiri pedih pilu dihiris kejutan dan kekecewaan yang amat. Dan Rashdan tertegun berdiri semula.

Fatimah El Noura tiba-tiba hilang kewarasan diri.

***

Berminat dengan kisah ini? Whatsapp 011-20503481 untuk tempahan. Stok terhad untuk pre-order dan jualan amal sempena Ramadhan 2018 sahaja.

Salam hormat!

Like A Guardian Angel Bab 2

Rumah dua tingkat itu cerah, terang benderang. Riuh suara senda gurau penghuninya mengisi segenap ruang. Begitu ramai saudara-mara yang berkumpul. Maklum, esok adalah hari pernikahan anak lelaki sulung dalam keluarga itu. Berbagai persiapan terutama menyiapkan dulang-dulang hantaran sedang dibuat sambil disulam senyum tawa keriangan.

Sebuah kereta putih menjalar perlahan di hadapan rumah yang penuh dengan kereta yang diparkir di sepanjang bibir jalan. Melihat tiada kelibat manusia di perkarangan rumah, pemandu itu memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pagar. Dia keluar dari kereta dan tercegat berdiri memandang keliling mencari kelibat atau bayang sesiapa. Setelah berpuas hati, dia membuka pintu kereta di belakang. Sekujur tubuh berbalut selimut sepenuhnya dirangkul keluar dengan susah payah. Pintu pagar yang tidak bertutup rapat itu ditolak dengan kakinya sahaja.

Dalam cahaya samar lampu neon di tepi jalan, halaman rumah itu tidak terlalu terang. Pandangannya mengitari halaman itu sekali imbas. Dia melangkah yakin ke sisi halaman yang dikelilingi deretan pasu-pasu bunga dan pokok hiasan yang berbalam kehijauan di malam hari. Dan perlahan-lahan, tubuh yang berbalut itu diletakkan di atas baldu rerumput. Dia membetulkan balutan selimut yang turut membalut kepala agar hanya muka saja yang terbuka. Wajah yang masih terlena itu dipandang buat kali terakhir sebelum dia melangkah pergi. Wajah yang mungkin bakal menghantui tidur dan jaganya selepas ini.

Dia melangkah laju ke arah kereta tadi tanpa menoleh sedikit pun. Dan beberapa detik kemudian, enjin kereta itu mengaum mengejutkan hening malam yang sedang menuju dinihari lalu kenderaan itu menderu laju meninggalkan tempat yang kini menjadi sumpahannya.

Tangannya mencapai telefon bimbit yang bersarung merah jambu yang tadi dicampak di atas kerusi penumpang di sebelahnya. Nama pemanggil dalam senarai panggilan dipilih dan butang hijau disentuh.

“Noura!” Nama itu diseru.

“Noura dah aku hantar balik. Sebagaimana engkau hantar Fina balik.”

Butang merah disentuh. Panggilan itu dihentikan. Butang di pintu sisi ditekan dan cermin tingkap diturunkan. Telefon bimbit itu dicampak keluar sejauh mungkin. Sebagaimana dia mencampak keluar nama yang mengundang dendam itu dari lubuk hatinya. Dan kereta itu terus menderu membelah malam yang pekat.

Bakal pengantin lelaki itu hilang suara sebaik sahaja panggilan itu diputuskan. Dia yang tadi sedang gelak ketawa diusik sanak saudara kini bungkam tidak bergerak. Hanya jantungnya yang berpalu kuat di dalam. Nama yang disebut pemanggil benar-benar menyentak dirinya.

Soalan berdatangan bertanyakan Noura dari saudara mara di sekelilingnya. Memang kelibat Noura dinanti sejak beberapa jam yang lalu. Jadi panggilan itu pastinya membawa berita tentang Noura. Itu yang mereka harapkan.

Deruman enjin yang kedengaran tadi mengingatkan Adam tentang sesuatu. Bingkas dia berlari ke pintu tanpa mempedulikan sesiapa pun yang sedang bertanya. Tanpa sempat menyarung kasut, Adam melompat ke tengah halaman dan… sekujur tubuh yang berbalut selimut di atas rumput menangkap pandangannya.

“Nouraaaaa!” Suara pekikan Adam tiba-tiba menyentak hening malam. Wajah Noura dan Fina mengacah silih berganti di mindanya. Sepasang kakinya terus jadi lemah, hilang upaya tiba-tiba namun diheret juga untuk melangkah menuju ke arah tubuh yang terbaring kaku itu. Dia terduduk melutut di situ. Wajah manja adik kesayangannya, Fatimah El Noura yang kelihatan lena itu diraup dengan kedua tangannya.

“Noura!”

Diam. Kaku. Noura yang langsung tak bergerak bila diseru membuatkan jantungnya hampir berhenti berdegup. Wajah Fina tertawa mengejek tiba-tiba muncul di ruang mata membuatkan dia jadi panik. Peluh jantannya merenik.

“Noura! Nouraaaa!” Adam terpekik kuat dek kerana cemas dan bimbang. Tubuh itu digoncang berkali-kali. Dia tak mampu menahan diri lagi. Rasa takut benar-benar menguasai hati dan mindanya.

Jangan! Jangan Noura diapa-apakan. Tuhan, tolonglah! Selamatkan adik aku. Aku tak sanggup kehilangan lagi! Hatinya meracau hebat. Pantas nadi di leher adiknya disentuh. Hah! Gadis itu masih bernafas!

Syukur, ya Tuhan. Nafasnya terhela lega. Pantas matanya mengelingas keliling tapi tiada kelibat yang kelihatan.

“Noura! Bangun Noura!” Pipi adiknya berkali-kali ditampar perlahan. Adam semakin panik. Noura pengsan?

Dia mendongak menarik nafas. Air! Bingkas dia bangun menuju ke paip di bucu halaman. Ada gayung di situ. Air ditadah dan dibawa ke tempat Noura terbujur kaku. Muka yang kelihatan pucat itu disapu dengan air berkali-kali.

Pada masa itu juga, abi dan umi serta yang lain sudah mengelilingi Noura. Masing-masing cemas dan tertanya-tanya. Kepala Noura dirangkul umi ke ribanya.

“Hmmm….” Noura tiba-tiba bersuara lemah. Anak matanya kelihatan bergerak-gerak di bawah kelopak mata yang masih tertutup rapat.

“Noura! Buka mata, sayang. Ni umi… buka mata nak…” Sebak dan hiba suara Umi singgah ke pendengarannya. Umi!

“Umi…” rengek Noura perlahan. Serentak itu, kelopak matanya terbuka. Payah.

“Umi…”

“Noura!” Madihah merangkul anaknya dan memeluk erat, menangis hiba. Apa yang berlaku, ya Allah?

‘Umi?” Noura benar-benar sedar kini. Sepasang matanya perlahan-lahan membesar apabila melihat begitu ramai yang mengerumuninya. Dan langit kelam yang menyapanya membuatkan matanya buntang.

“Umi… kenapa Noura kat sini?” Dia terkejut dan kehairanan. Umi hanya menangis sementara yang lain diam dengan wajah-wajah keliru.

“Umi!” Dalam susah payah, Noura cuba bangun sambil dibantu Adam. Namun selimut yang melurut turun dari kepala dan bahunya menghentikan pergerakannya. Dan sebahagian tubuhnya yang mula terdedah membuatkan dia menyedari sesuatu. Dia hanya ada selimut itu!

“Umi… ke… kenapa dengan Noura? Kenapa…?” Namun wajah umi yang turut terkejut dengan keadaannya membuatkan Noura terus jadi panik. Dia mendongak memandang abangnya yang turut tercengang melihat dirinya. Tiba-tiba umi merangkul Noura, kembali memeluknya erat sambil menutup semula tubuh yang hampir terdedah itu.

“Abang Adam?” Noura yang masih terlopong, menjerit memanggil abangnya. Dia sungguh tak percaya dengan keadaan dirinya saat itu! Di mana pakaiannya? Kenapa dia di sini di tengah malam begini?

Wajah seorang lelaki lelaki tiba-tiba menjelma dalam ingatannya membuatkan riak wajah Noura berubah cemas dan keliru.

*****

Terima kasih sudi singgah. Novel ini bakal terbit 25 April nanti. PM atau Whatsapp 011-20503481 untuk tempahan!

Like A Guardian Angel Bab 1

Tawa gadis itu gemersik memecah hening suasana. Sayup-sayup menyentuh deria dengarnya. Dua orang temannya ikut tertawa. Mereka bergurau senda sementara mengusir bosan menunggu yang dinanti yang tak kunjung tiba. Simpang siur manusia semakin hilang kelibat kerana malam kian larut meninggalkan sisa-sisa senja.
Bagaikan sebuah kamera polaroid, mata dan akalnya merakamkan aksi-aksi gadis itu. Saat gadis itu ketawa sambil menekup bibir, manis bersopan. Ada waktu, mata dan mulutnya sama bulat bila terkejut dengan cerita temannya, comel mencuit hati. Sesekali berpusing memandang ke sisi jalan, mencari kelibat yang dinanti. Saat itu, wajahnya yang lembut menawan jelas terserlah. Hampir setengah jam berlalu, sedikit pun gadis itu tidak terasa bosan memandang keliling dan menunggu.

Sebuah teksi merah putih muncul di antara kenderaan yang lalu lalang di jalan raya di hadapan bangunan itu. Dia yang sedari tadi duduk bertugu di dalam keretanya yang diparkir tidak jauh dari tempat anak-anak gadis itu menunggu teksi, hanya memandang sambil hatinya berlagu penuh harap. Peluang terakhir malam ini. Dia tidak boleh gagal lagi.

Teksi tadi membawa pergi dua orang rakannya, meninggalkan gadis bertudung merah jambu itu sendirian. Jam di pergelangan tangan yang berona senada dengan tudungnya, dipandang berkali-kali. Tangan kanan masih setia memeluk fail dan buku sementara beg galas merah jambu bersilang di belakangnya. Selendang labuh yang membaluti mahkota wanitanya beralun lembut ditiup angin malam. Jelas gadis yang manis menawan itu sedang resah menunggu. Apatah lagi bersendirian begitu.

Dia tersenyum. Waktu yang sangat sempurna. Kaca mata hitam dari papan pemuka dicapai lalu dipakai. Malam menjadi semakin pekat pada pandangan kacamatanya. Cermin pandang belakang ditelek untuk melihat imej sendiri. Kumis diperiksa rapi. Puas hati. Zip pada jaket pula ditarik rapat. Sejambak bunga mawar di tempat duduk penumpang di sebelahnya diambil sambil matanya tidak lepas memandang ke arah gadis itu. Dengan langkah teratur dan penuh yakin, dia keluar dari kereta.
Gadis yang tidak sedar dirinya sedang diperhatikan itu asyik memandang ke depan. Menunggu penuh setia. Dia tersenyum lagi. Yang ditunggu takkan kunjung datang. Dia sudah memastikannya.

“Tunggu Adam?” sapanya lembut namun cukup untuk menyentak sekujur tubuh gadis itu. Dia tertawa malu kerana terkejut begitu. Lelaki asing yang mungkin merupakan teman abangnya.

“Ya. Mana awak tahu?” Suaranya lunak bertanya.

“Saya tahu.” Senyum dipamerkan segarit cuma.

“Untuk awak.” Jambangan bunga itu dihulurkan. Wajahnya beriak ikhlas. Gadis itu terkejut dan serba-salah. Jambangan bunga dan jejaka tampan, satu kombinasi yang sukar ditolak.

“Jangan hampakan saya.” Nada suaranya direndahkan. Mohon simpati. Teragak-agak si gadis menyambut huluran bunga yang amat menggoda itu.

“Saya harap harumnya masih ada.” Dia berbahasa. Tunduk tersenyum memandang hujung kasut. Lelaki budiman tidak akan memaksa. Segalanya harus penuh seni dan gaya.

Gadis itu tertawa kecil. Ada nada kagum dalam suara tawa itu. Kemudian dia tunduk menyedut haruman mawar yang masih segar ditangannya.

“Suka?”

“Suka!” Dia tertawa malu. Ceria wataknya. Kemudian sepasang matanya merawang jauh. Meninjau yang dinanti, pastinya. Riak muka berubah resah.

“Apa kata saya hantar awak balik?”

“Ha?” Ha… ha… hasssyyummm! Dia terbersin kuat. Kelam kabut dia memicit hidung.

“Mmm… maaf!”

“Tak apa. Sejuk angin malam tu.” Sehelai saputangan dihulurkan ke muka si gadis yang sudah kemerah-merahan itu.

“Eh… tak apa!” Hah… ha… hassyyumm!

“Kan makin teruk tu. Ambillah…” Sekali lagi, dia tidak akan memaksa.

“Hmm… terima kasih.” Saputangan diambil juga dengan serba-salah. Langsung dibawa ke hidung. Entah kenapa tiba-tiba dia bersin. Bukan tak biasa dengan udara malam begini. Malah sudah lali dengan hujan dan angin sejuk sejak mengikuti kelas malam di sini.

“Betul tak nak saya hantarkan balik?” Lembut dan lunak suaranya membuatkan gadis itu tersipu menggeleng.

“Abang mesti dah dalam perjalanan sekarang. Saya tunggu saja. Terima kasih ya.”

Dia hanya mengangguk. “Kalau macam tu, saya temankan sampai abang awak sampai.”

“Awak kawan abang ke?” soalnya, ingin tahu sejak tadi lagi. Kenapa tiba-tiba muncul dengan bunga bagai?

“Kenal. Belum berkawan. Saya nak berkawan dengan adiknya dulu. Boleh macam tu?” Soalan itu hanya disambut tawa malu lagi. Tertunduk-tunduk dia melindungi wajah yang sedia berona. Bila dia mendongak semula…

“Eh…” Jemarinya cepat memegang kepala.

“Kenapa?’

“Entah kenapa saya rasa… pening…” Berkerut-kerut dahinya menahan rasa. Sepasang mata yang beralis lentik itu terkelip-kelip gelisah. Berdirinya mula goyah. Dan sebelum dia rebah…

“Biar saya tolong awak…” Tangan sasanya sudah mendarat ke pinggang, membantu gadis itu terus berdiri.

“Kenapa dengan saya ni…? Awak… saya…” dan dia terus rebah ke dalam pangkuan lelaki yang tinggi lampai itu. Rebah yang dinanti. Ada senyuman yang mekar. Ada nafas yang dihela puas.

Sambil memaut rapat tubuh gadis itu, dia membawanya ke kereta yang sudah lama diparkir tidak jauh dari situ. Buku dan fail yang bertaburan di jalan dikutip kemudian. Dan tanpa sesiapa pun menyedari, sepasang lelaki dan perempuan itu hilang dari pandangan, meluncur laju membelah malam di ibukota dengan kereta putih milik lelaki itu.

 

****

Alhamdulillah, novel ke 5 Juea ni bakal terbit pada 25hb April ini. Novel ini sudah diterbitkan dalam bentuk e-book tetapi kini beralih ke versi cetak atas permintaan sahabat pembaca. LIKE A GUARDIAN ANGEL ini adalah versi edit kerana ada 30% penambahan cerita tanpa menganggu plot asal.

Novel ini juga bergabung dengan dua buah novel edaran Tatayyum Mission – AKU BUKAN SOLEHAH tulisan Michiko Ohara dan DI PERTEMUAN KEDUA II tulisan Shahariah Ismail untuk JUALAN KOMBO RM70 termasuk kos pos yang mana RM5 dari jualan kombo ini ditabungkan untuk projek INFAQ RAMADHAN 2018.

PM untuk tempahan!

“BACAAN HIBURAN JIWA MEMBINA PERIBADI”

JOM MEMBELI SAMBIL BERAMAL!

POTONGAN 30% UNTUK PEMBELI ENOVEL VERSI E-BOOK.