WANITA YANG PALING FAHAM WANITA LAIN

Buat wanita yang paling memahami hati seorang wanita yang lain, bangkitlah berjuang agar dirimu dan wanita lain bahagia dan terbela.

Cukup-cukuplah!

Hari ini, sekali lagi Kak Juea terpanggil untuk menulis tentang wanita. Sebab pagi tadi, seorang wanita yang sedang diuji Allah minta dirinya dipeluk kerana dia dah tak punya kekuatan. Kak Juea dakap dia dengan hati yang menangis. Apalah yang mampu Kak Juea katakan kepadanya saat hatinya sedang remuk dan terluka melainkan hanya satu, bahawa Tuhan sedang sangat menyayanginya maka dia diuji. Kak Juea ingatkan dia tentang janji Allah bahawa Dia takkan menguji di luar kemampuan hamba-Nya. Dia mesti yakin dengan janji Allah.

Bila dia menangis mengangguk, Kak Juea pesan agar dia luruskan hati, bersangka baik yang Allah takkan menganiaya dirinya. Pasti ada hikmah yang besar bila dia diuji sehebat ini.

Perlahan-lahan dia mula dapat kekuatan dan berhenti menangis. Maka bermulalah episod untuk menyelamatkan dirinya, rumahtangga dan anak-anaknya daripada musnah disebabkan pihak ketiga.

Ya, Kak Juea tegaskan, Islam adalah agama yang tampil membela wanita. Tapi pergantungan haruslah sepenuhnya kepada Allah. Ikutlah saluran yang betul dengan akal yang waras serta hati yang dalam keadaan bertaubat kerana dalam ujian itu ada banyak yang tersirat. Satunya, kerana dosa dan khilaf sepanjang perkahwinan. Ia akan jadi hukuman selagi tidak ditaubatkan. Duanya, ujian jadi penghapusan dosa bagi yang benar-benar bertaubat. Tiganya, ujian akan meningkatkan maqam iman bila hati benar-benar reda dengan ketentuan Allah.

Seterusnya, ujian itu jika diatasi dengan mengikut hawa nafsu, ia akan memusnahkan. Sebaliknya jika di atasi dengan merujuk kepada jalan-jalan yang ditunjuk Tuhan, ia akan menyelamatkan. Malah hikmah yang besar bakal menanti.

Maka kes rumahtangga begini perlu untuk merujuk kepada pihak yang lebih arif yakni pejabat agama yang berperanan untuk membantu. Diperjelaskan beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk mencari penyelesaian. Seterusnya, kes juga dirujuk kepada pihak yang arif dengan undang-undang Islam. Seorang wanita wajib tahu hak dan perlindungan yang Islam sediakan untuk dirinya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, laporan polis turut dibuat. Dan setelah dibincangkan baik dan buruknya, kes rumahtangga ini dibawa ke meja perbincangan bersama dengan kaunselor. Moga ini menjadi langkah awal untuk menyelamatkan mereka daripada terus berbuat dosa dan kembali kepada Allah.

Kak Juea balik dengan rasa letih seletihnya. Kenapa wanita sendiri sanggup menghancurkan hidup wanita lain dengan anak-anaknya hanya kerana mahu mencipta bahagia dengan seorang lelaki? Mungkin mereka tak lagi sehaluan tapi sejauh mana kamu membantu mereka untuk kembali bahagia atau kamu sebenarnya menangguk di air keruh?

Kak Juea bukan seorang anti poligami. Bukan juga pejuang poligami kerana ia bukan mudah dan jangan sama sekali dipinta. Jujurnya Kak Juea pernah berkahwin monogami tapi sekarang ditakdirkan berpoligami sebagai isteri ke empat. Ya, Kak Juea juga diuji Tuhan melalui perkahwinan tapi tak sama sekali Kak Juea memperjudikan nasib wanita lain!

Perkahwinan ini dengan izin isteri-isteri lain dan atas keperluan suami yang memerlukan seorang isteri bagi membantu perjuangannya berdakwah ke seluruh negara. Pada masa yang sama membantu beliau menulis dan menerbitkan buku-buku motivasi memperjuangkan masyarakat bertuhan. Namun apapun alasannya, sebagai seorang wanita, Kak Juea tahu betapa sakit dan terlukanya hati wanita lain kerana terpaksa berkongsi kasih. Maka, perjuangan Kak Juea yang utama selepas berpoligami adalah membela dan merawat hati-hati wanita itu.

Segalanya harus dikorbankan demi untuk memulihkan kebahagian mereka walaupun diri sendiri terkapai-kapai dalam keluarga besar itu yang pastinya menerima dengan pelbagai prasangka. Bila ditakdirkan berpoligami, hanya satu niat yang Kak Juea pahatkan kuat dalam hati yakni mahu membuktikan poligami Rasulullah SAW.

Hampir empat tahun awal perkahwinan, ujian yang datang sangat hebat. Pernah mahu mengalah sahaja. Sebab poligami memang sangat payah! Setiap wanita itu lain penerimaannya. Begitu juga dengan anak-anak. Tapi setiap seorang dari mereka harus dihadap dengan penuh adab. Apapun yang dihamburkan adalah kerana hati dan emosi yang sedang tergugat dan terluka maka dimaafkan sahaja. Sebaliknya setiap mereka dilayan dengan seikhlas dan sejujur yang terdaya.

Sebagai wanita yang baru mendatangi keluarga itu, sedaya upaya cuba mencurahkan khidmat. Apa sahaja sokongan yang mereka perlukan, diri harus bersedia untuk berbuat walaupun terpaksa mengorbankan tenaga, masa dan emosi sendiri. Akhlak yang paling utama harus dijaga. Mengalah bukan bermakna kalah. Sehingga perlahan-lahan mereka jatuh kasih dan mula menerima.

Akhirnya dengan pertolongan Allah, kami mula bersahabat dan hidup seperti satu keluarga. Kak Juea anak sulung yang dulu pernah mengidamkan kakak-kakak, ternyata Allah makbulkan. Meskipun masing-masing ada kebaikan dan kelemahan, kami belajar menerima dengan lapang dada, mujahadah dan doa yang sungguh-sungguh selain saling berkongsi kekuatan dan nasihat. Anak-anak juga semakin rapat dan menerima, seronok bila kami selalu makan-makan bersama dan berkongsi cerita.

Sampai suami selalu rasa terpinggir. Pernah merajuk kerana Kak Juea tak pedulikannya tapi menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri-isterinya. Tapi biarlah! Nanti ramai saja yang memujuk. Kalau wanita-wanita itu merajuk, belum tentu dia mahu memujuk. Betul tak?

Fasa seterusnya adalah berkongsi segala masalah kami sebagai isteri dan ibu serta madu kepada yang lain. Jawapan kepada setiap masalah adalah merujuk kepada apa yang diajar dari kalam Allah dan segala pesan nabi. Itulah tunjang kekuatan kami. Suami selalu tak sempat, kadang-kadang tak peka dan selalu juga tak mahu melayan kerenah wanita-wanitanya jadi kamilah yang selalu menyempatkan diri, peka dan melayan apa sahaja keperluan antara kami kerana kami sama-sama wanita yang paling faham wanita yang lain.

Kemuncak ujian Kak Juea adalah saat diri rebah tiba-tiba di sebuah pasaraya ketika membeli barang bersama suami. Selepas itu, terbaring di katil berminggu-minggu dalam keadaan tak mampu buat apa-apa dan disahkan minor stroke. Tuhan sahaja yang tahu betapa peritnya ujian bila anak-anak masih kecil dan si bongsu baru berusia 10 bulan.

Tapi Allah Maha Mengasihani, dua orang kakak yang tinggal berdekatan datang silih berganti menjaga dan menguruskan anak-anak malah berkongsi giliran bila suami ada bersama. Ternyata mereka sebenarnya adalah wanita-wanita yang baik budi dan pengasih bila tiada lagi luka dan duka di hati. Waktu itu, hikmah poligami paling jelas di depan mata. Dan Kak Juea jadi orang yang paling bersyukur kerana ditakdirkan bahagia dalam poligami hingga ke hari ini. Hidup susah dan senang bersama suami dan isteri-isterinya dengan anak-anak kami yang ramai.

Jelas bukan? Seorang wanita tak harus menghancurkan hidup wanita lain tapi sebaliknya bangkitlah membela kerana kitalah yang paling faham hati dan perasaan wanita. Jika bukan benar-benar atas keperluan hidup, mengelaklah sedaya upaya andai tak cukup kuat untuk berjuang membela wanita lain. Mencintai lelaki bukan segala-galanya dalam hidup tapi mencintai Allah itulah yang selamat dan sebenar-benar kebahagiaan.

Kenapa mesti bersikap seperti haiwan yang menyondol menikmati makanan dan biarkan semuanya berserakan? Kenapa mesti bina bahagia atas kehancuran hidup wanita lain? Apakah lelaki yang pernah menyakiti wanita itu takkan pernah menyakiti suatu hari nanti?

Dan kepada lelaki-lelaki ‘YANG MEMPERTUHANKAN NAFSU’, sombong kerana ‘TAK MAHU BELAJAR UNTUK BERLAKU ADIL’, kalian adalah lelaki-lelaki dungu yang sebenarnya sedang mempersiapkan neraka di akhirat sana untuk direnangi.  

Pekakkah kalian dengan amaran Allah bahawa berkahwinlah satu sekiranya bimbang tak dapat berlaku adil? Tahukah kalian bahawa maksud adil dalam Islam adalah meletakkan sesuatu itu sesuai dengan tempatnya atau kedudukannya.

Jadi isteri dan anak-anak tak boleh diabaikan sewenang-wenangnya kerana mereka mesti mendapat perhatian (nafkah zahir dan batin) sesuai dengan kedudukan mereka.

Lelaki yang meninggalkan anak isteri terkontang kanting kerana gagal hidup bahagia dan mahu cipta bahagia dengan wanita lain, mereka seperti pejuang yang gagal dan lari dari medan perang. Mampukah mereka menyertai peperangan sekali lagi?

Wallahualam.

Nota kaki: Ampun maaf atas sebarang khilaf dari penulisan ini. Moga yang baik dijadikan panduan dan yang buruk dijadikan iktibar.

Untuk makluman, karya terbaru Kak Juea tak lagi dikongsi di blog ini tapi di FB Group POJOK JUEA dan wattpad sahaja. Jemput ke sana jika ingin mengikuti karya terbaru bertajuk LELAKI BATU di POJOK JUEA .

Blog darimindaketinta ini akan dikhususkan kepada perkongsian rasa dan cerita serta motivasi diri. Moga ukhwah kita terus bertaut di sini. Salam sayang!