RENJANA Bab 8

Malampun tiba. Aafiya resah mundar-mandir di biliknya. Alasan apa yang nak diberikan? Dia bukannya biasa keluar malam. Kalau keluarpun, mesti bersama keluarga.

Kalau dia tak pergi, takut pula dia terlepas peluang nak berbincang. Mana tahu lelaki itu boleh buka fikiran, sanggup bersusah sikit untuk membantu ramai orang. Dia dah biasa hidup mewah. Kena ajar dia memahami hidup orang susah.

Aafiya tak ada jalan lain. Kalau berterus-terang, pasti walid dan walidah tak benarkan. Dia capai telefon lalu menghantar pesanan whatsapp kepada Ummu Khadijah, kawan baik yang tinggal sekampung dengannya.

‘Aku ada hal malam ni. Kalau walidah call tanya aku, kau kata aku ada dengan kau ya.Pandai-pandailah kau beri alasan, aku dalam toilet ke, apa ke… please!’

Tak sampai seminit, mesejnya berbalas.

‘OK. Dengan syarat, kau cerita dengan aku apa halnya.’

Hishh… ada syarat pula! Aafiya terus saja menjawab.

‘OK’.

Pandai-pandailah dia bercerita nanti! Sepantas kilat, beg galas di belakang pintu bilik dicapai. Dia keluar mencari walid dan walidah.

Sepuluh minit kemudian, dia mengayuh basikal milik Aiman menuju ke jalan besar yang tak jauh dari rumahnya. Tiba di deretan kedai di situ, basikal itu disandarkan di tepi dinding restoran yang dimaksudkan Luthfan. Kemudian dia masuk sambil tercari-cari lelaki itu di kawasan luar dan di dalam restoran. Tapi bayangnyapun tak nampak. Dia terlewatkah? Jam di tangan baru 7.50 malam. Mungkin lelaki itu belum tiba, bisik hati Aafiya. Dia memilih untuk menunggu di tepi basikalnya sahaja.

Seorang lelaki keluar dari sebuah kereta mewah berwarna hitam pekat. Dada Aafiya berdebar. Sangkanya Luthfan tapi bukan dia. Namun lelaki itu mendatanginya dengan yakin lalu memberi salam.

“Cik Aafiya, saya Nizam. Kapten Luthfan minta saya bawa cik ke tempat yang ditunggu. Silakan.”

“Eh… macammana encik kenal saya? Saya janji di sini. Kalau dia tak datang, saya nak balik.”

“Nanti! Err… kapten minta maaf. Dia ada urusan penting tadi. Sekarangpun rasanya belum selesai. Jadi dia minta jemput Cik Aafiya supaya tak buang masa. Kalau nak tunggu dia datang, mungkin lebih lama sebab jalan ke sini sesak.”

Aafiya memandang lelaki itu dengan pandangan sekejap kecil sekejap besar. Nak percaya ke tidak? Hatinya berbelah bahagi. Alasan yang diberikan macam munasabah. Ah… susahlah nak buat temujanji dengan orang sibuk!

Akhirnya Aafiya mengangguk. Dia mengikuti lelaki itu ke kereta. Pintu di tempat duduk belakang dibukakan untuknya. Tapi Aafiya cepat melangkah ke belakang dan mengambil gambar nombor pendaftaran kereta. Lengkap dengan model kereta! Kemudian gambar lelaki yang sedang menunggunya di pintu juga diambil. Lelaki itu tergamam tapi buat-buat tak tahu dengan perlakuan Aafiya.

Sebaik saja masuk ke dalam kereta, Aafiya menghantar gambar-gambar itu ke emailnya dan kepada Ummu Khadijah dengan pesanan;

‘Simpan dulu. Nanti aku cerita.’

Balasan dari Ummu Khadijah berdeting masuk.

‘WOW!’

Sepasang mata Aafiya berputar. Materialistik! Hatinya berbisik geram. Pasti yang bukan-bukan akan difikirkan gadis itu. Kalau tak diputarbelit nanti, habislah dia kena gosip sekampung! Aafiya memerah otak untuk mereka cerita demi menyelamatkan dirinya daripada menjadi bualan nanti. Walaupun Ummu Khadijah teman baiknya, tapi Aafiya sangat berhati-hati. Perempuan dengan rahsia? Oh… tidak!

Kereta itu meluncur laju masuk ke lebuhraya. Aafiya tersandar sambil menghela nafas berat. Fikirannya berserabut sejak tengahari tadi. Dia asyik memikirkan tentang tanah ladang. Tak pasti entah apa yang harus dia katakan kepada si Luthfan nanti. Kalaulah dia orang kaya, kan senang! Dia beli sahaja tanah tu untuk orang-orang kampung. Habis cerita!

Tak lama kemudian, kereta itu keluar dari lebuhraya dan masuk ke kawasan Lapangan Terbang Subang melalui satu laluan khas yang membawa mereka terus ke kawasan hangar penerbangan. Terbeliak mata Aafiya bila kereta berhenti betul-betul dekat dengan sebuah jet peribadi yang sudah sedia terbuka seperti sedang menanti kedatangannya.

“Silakan Cik Aafiya. Kapten baru selesai meeting. Dia jemput Cik Aafiya naik. Dia ada menunggu di dalam,” beritahu Nizam selepas membuka pintu untuknya.

Bagaikan mimpi, Aafiya menaiki anak tangga sambil matanya membesar memerhati jet peribadi buat kali pertama dalam hidupnya. Jet adalah pesawat yang menggunakan enjin khas yang membolehkan ia bergerak dengan kelajuan tinggi. Sebelum ini, Aafiya selalu menaiki AirAsia yang juga jenis jet tetapi merupakan pesawat komersil. Rasa dah tentu berbeza!

Ruang tempat duduk yang mewah menyambut langkahnya buat Aafiya tertelan liur. Seorang wanita persis model sedang berdiri sambil mengemas fail dari meja di antara dua sofa di sisi tingkap yang lebar. Dia terkejut melihat Aafiya yang muncul memberi salam. Luthfan bingkas bangun mendatangi Aafiya dengan hanya sedikit senyuman.

“Terima kasih sebab datang. Maaf, saya terpaksa berjumpa dengan pelanggan di sini atas permintaan. Jadi saya tak dapat ke sana.”

Aafiya angguk. Sepasang matanya mengitari ruang dalam jet itu kerana dia tak tahu apa yang patut dia katakan waktu itu.

“Sarah, thank you so much. Jumpa di pejabat esok.”

You’re most welcome. Of course, kita jumpa esok,” lunak suara wanita tadi sambil tangannya meleret mengusap bahu Luthfan dalam dia menapak ke pintu. Sempat dia memerhati Aafiya dari atas hingga ke bawah dengan pandangan mengejek. Kemudian dia pandang Luthfan semula, senyum manja lagi sambil melambai, “Good night, Captain!

Aafiya tersenyum jelik melihat aksi gedik gadis itu. Siap kenyit mata ke arah Luthfan lagi. Tapi senyumannya mati bila dia tersedar yang Luthfan sedang memandangnya. Cepat-cepat dia memandang ke arah lain.

Luthfan menutup pintu. Kemudian dia menjemput Aafiya duduk lalu menghilangkan diri di kokpit.  Baru saja Aafiya melabuhkan punggung, enjin pesawat dihidupkan. Terperanjat, Aafiya bingkas bangun berlari ke kokpit.

Luthfan sedang bercakap sesuatu dengan pusat kawalan udara. Ada tiga skrin di hadapannya sedang berfungsi dan banyak sekali butang-butang yang sedang menyala dengan warna berbeza.

“Awak nak pergi mana? Mana orang lain? Saya tak boleh ke mana-mana! Kena balik cepat. Mati saya kena marah nanti!” Aafiya kalut bertanya sambil cemas melihat pesawat mula bergerak perlahan.

Luthfan diam sahaja sambil tangannya ligat mempersiapkan pesawat itu untuk terbang. Kemudian terdengar lagi maklumat disampaikan dari pusat kawalan udara. Luthfan memberi maklumat balas dan pesawat mula bergerak meninggalkan hangar menuju ke landasan.

“Encik Luthfan!”

 “Have a seat, please. Jangan risau, ini single pilot jet. Kita nak ke Langkawi.” Luthfan menepuk kerusi di sebelah kirinya.

“Langkawi?” terpekik Aafiya dibuatnya.

“Relaks! Tiga jam setengah saja. Saya janji jam 11.45 malam ni, awak sampai rumah. Saya ada urusan di sana. Jadi, kita boleh berbincang dalam perjalanan.”

Muka Aafiya pucat. Lemah lutut untuk berdiri. Cepat-cepat dia duduk di kerusi dan Luthfan segera meminta dia memakai tali pinggang keselamatan.

 “Boleh tak awak jangan merepek. Kita dua orang saja! Mana boleh! Awak tolong stop! Tolong stop sekarang!” pekik Aafiya. Dia rasa nak menangis. Matilah dia kalau walid dan walidah tahu anak mereka terbang berdua sahaja dengan lelaki! Rasa senak perut, sesak nafas dan entah apa lagi datang menyerbu. Rasa teruja menaiki jet mewah ini terbang entah ke mana.

“Aafiya! Ni single pilot jet. Saya tak boleh tinggalkan kokpit. Jadi saya tak boleh nak apa-apakan awakpun kalau saya nak. Faham tak? Sekarang pakai safety belt tu!” Luthfan bersuara tegas tanpa berpaling sedikitpun. Sengaja dia bertegas begitu supaya gadis itu tak banyak akal. Pada masa yang sama dia harus fokus untuk berlepas.

Aafiya terdiam, memandang Luthfan dengan muka yang berkerut. Dalam keadaan fikiran yang berserabut, dia pakai juga tali pinggang keselamatan seperti yang diminta. Kemudian pesawat itu mula bergerak laju dan terus berlepas dari landasan.

“Awak boleh buka mata sekarang.”

Terkejut Aafiya mendengarnya. Tak sedar rupanya dia pejam mata rapat. Bukan takut nak terbang tapi takut nak terbang berdua hanya dengan Luthfan!

Pemandangan di hadapannya buat Aafiya terlopong. “Subhanallah! Cantiknya, ya Allah!”

Luthfan cuba sembunyi senyum. Dia pura-pura buat tak nampak. Dalam diam, dia seronok mencuri pandang, melihat gelagat Aafiya yang asyik meninjau pemandangan malam di ibu kota dari setiap sudut kaca pandang tembus yang mengelilingi kokpit. Bila pesawat semakin tinggi menembus awan, Aafiya menutup mulut yang terlopong kerana terlalu teruja.

“Ya Allah…!” Aafiya terpegun melihat indahnya alam dari angkasa pada waktu malam. Pemandangan dari jendela dalam pesawat ternyata tak sehebat dari kokpit. Alam bagaikan terbentang luas. Rasa mahu menangis menyaksikan ciptaan Tuhan yang sesempurna ini!

Luthfan teringat video yang dihantar Nizam tadi yang dia tonton berkali-kali dalam diam semasa sedang berbincang dengan pelanggan. Sengaja dia biarkan Sarah bercakap dan bersetuju sahaja dengan apa juga permintaan pelanggannya kerana dia leka melihat Aafiya yang begitu comel mengayuh basikal sampai ke tepi bangunan restoran. Takkan ada yang menyangka gadis yang sama sedang membelah awan biru bersamanya saat ini. Lebih-lebih lagi Khairul!

“Suka?”

Aafiya berpaling dengan wajah yang tersenyum berseri dan mata yang bersinar. Sejenak dia terlupa yang bersamanya adalah Luthfan. Serta-merta senyumannya padam. Dia tunduk memandang tangan di riba. Perlahan dia mengangguk sambil menjawab, “Suka.”

Luthfan senyum lagi. Naif! Namun dadanya berdebar luar biasa dengan gadis naif itu.

“Kita akan makan malam dengan client dari Indonesia sekejap lagi. Awak lapar tak?” tanya Luthfan lagi, cuba meredakan rasa yang bergelojak di dalam dirinya.

Membulat mata Aafiya. Laju dia berpaling ke arah lelaki itu dengan muka cemas. “Awak betul-betul merepek! Pakaian saya tak sesuai nak makan malam bagai. Saya… awak tinggal je saya kat mana-mana!”

Sekali lagi Luthfan kulum senyum. “Awak pergi belakang sana. Ada kotak yang berisi pakaian. Saya dah sediakan untuk awak. Pergi salin pakaian. Kejap lagi kita dah nak sampai.”

Aafiya tercenganga. Mudahnya? Dalam sibuk, sempat pula dia shopping? Orang kaya, kan.. petik jari saja agaknya. Aafiya membebel-bebel dalam hati. Sesuka hati dia saja mengarah orang itu dan ini.

Mahu tak mahu, Aafiya bangun juga menuju ke belakang. Langsir antara ruang ditarik dan dia mencari kotak yang dimaksudkan. Besarnya! Terperanjat dengan saiz kotak itu, laju saja Aafiya membukanya. Sehelai dress putih diangkat keluar. Bulat mata Aafiya melihat betapa cantiknya dress itu. Kemudian dia terpandang ada lagi dua kotak kecil. Bila dibuka, dia tambah terperanjat melihat sepasang stiletto putih dan sebuah beg tangan yang juga berwarna sedondon. Di dasar kotak itu pula ada sehelai tudung coklat krim yang sangat lembut warnanya.

Dress dibawa ke dada. Cantiknya semua ni! Tapi dia tak sanggup nak pakai. Terutama stiletto itu!

Bila memikirkan yang si Luthfan nak jumpa pelanggan, dia fikir tak patut pula dia tampil dengan kemeja T labuh paras lutut dan seluar jeans begini. Dalam serba-salah, Aafiya cepat-cepat menyalin pakaian.

Perlahan-lahan Aafiya melangkah masuk ke dalam kokpit dan duduk semula di kerusi di sebelah Luthfan. Dia memandang ke arah luar pesawat. Tak sanggup nak melihat reaksi Luthfan.

Luthfan yang tersenyum bila perancangan liciknya menjadi, hilang senyum bila Aafiya muncul di sisinya. Tak berkerdip matanya memandang Aafiya yang begitu ayu meskipun tanpa secalit solekan di wajahnya. Dia meneliti dari hujung kepala sampai hujung kaki. Sneakers?

Luthfan hampir ketawa kuat. Dia dah agak, Aafiya pasti menolak kalau diminta memakai kasut tumit setinggi itu. Kasut sukan juga yang dipilihnya. Tapi tak mengapa, bukan aneh bagi gadis sekarang memakai dress dengan kasut begitu. Malah tampil comel sekali seperti Aafiya saat ini. Dia juga perasan beg kulit yang dibelinya tak digunakan. Beg galas hitam kecil yang sama masih bersilang di belakang gadis itu. Luthfan tak jemu memandang. Apatah lagi bila Aafiya mengelakkan diri dari berpaling ke arahnya. Mudah untuk dia melihat gadis itu sepuas-puasnya. Seketika, dia tersedarkan sesuatu. Perancangannya untuk membawa Aafiya terbang dan makan malam bersamanya mungkin berjaya tapi nalurinya mungkin lebih tersiksa!

… Bersambung

RENJANA Bab 7

Tujuh hari. Luthfan berusaha melarikan diri dengan mengambil alih tugas menerbang-kan jet peribadi yang disewa khas untuk sebuah keluarga kerabat diraja ke Switzerland.

Namun menyaksikan momen manis pasangan suami isteri berbulan madu langsung tak membantu. Luthfan semakin penasaran.

Sebelum dia membuat penerbangan pulang, peguam di syarikat datuknya terlebih dahulu dihubungi. Dia membuat keputusan untuk menjual tanah ladang yang sudah ditukar hak milik kepadanya. Kemudian dia menghubungi pula bahagian sumber manusia syarikat itu. Dia mahu Pak Cik Ubaidah dan anaknya ditawarkan pekerjaan yang sesuai di syarikat mereka.

Dia tahu sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah di syarikat datuk, dia tak boleh memandai dalam hal sumber manusia. Jadi, dia akan segera menemui nenek yang sekarang mengambil alih tugas datuk sebagai CEO syarikat. Nenek pasti tak akan mengecewakannya!

Paling penting, dia tak mahu tumit putih itu berlumuran lumpur lagi meskipun dia tahu yang tumit itu sentiasa berbalut stokin setiap kali keluar dari rumah.

Dia menghela nafas lega. Namun rasa lega itu datang dan hilang begitu saja. Wajah Aafiya masih mengacah di ruang mata.

Apakah dia sudah dijampi? Kali pertama melihatnya dalam keadaan menari dan berputar begitu, sehingga kini dia seperti tak dapat melepaskan diri dari momen itu. Apa yang harus dilakukannya untuk melupakan Aafiya?

Sebaik saja mendarat dan mengucapkan selamat jalan kepada penumpang dan anak kapal, Luthfan menyerahkan urusan menyimpan jet di hangar kepada pembantu juruterbang yang dibawa bersamanya. Dia juga sempat meninggalkan pesan kepada Nizam, pegawai operasi penerbangan syarikat mereka tentang beberapa perkara. Selepas itu, Luthfan segera mendapatkan Khairul yang sudah siap menunggu.

“Rul, kita ke ladang.”

“Ladang?” Patutlah dia suruh aku bawa 4WD! Khairul menggaru kepala yang tak gatal. Semalam saja Luthfan menghubunginya dan memberitahu keputusannya untuk menjual ladang sawit. Khairul dah sangat bersyukur. Sekarang kenapa nak ke sana pula? Nak ucap selamat tinggal kepada gadis sawit? Khairul tersenyum-senyum sendirian sambil melompat masuk ke tempat duduk pemandu.

Luthfan langsung tak bercakap tentang ladang sawit sepanjang perjalanan mereka ke sana. Sebaliknya, dia memberitahu perancangannya untuk melancarkan pakej pelancongan dengan jet peribadi. Mereka berbincang tentang lokasi-lokasi yang paling digemari golongan atasan untuk pakej itu nanti.

Tiba di ladang sawit, matahari sudah meninggi. Sangka Khairul, Luthfan hendak ke pejabat di situ atau ke rumah Pak Cik Ubaidah. Tapi dia diminta memandu ke ladang.

Khairul tak tahu yang Luthfan telah melihat jadual tugasan di papan putih di dinding pejabat itu sebelum ini. Dia tahu waktu begini, Aafiya pasti ke ladang untuk membawa balik pekerja kerana tiba waktu untuk makan tengahari.

Hampir setengah jam memandu ke dalam ladang, tak ada kenderaan yang kelihatan di atas jalan utama. Luthfan asyik meninjau ke lorong-lorong antara deretan pokok sawit. Khairul kehairanan, “Kau cari siapa, Luth? Gadis sawit ke?”

“Siapa?” soal Luthfan, tak faham.

“Maksud aku, Aafiyalah!”

“Tak ada nama lain kau nak bagi dia?” marah Luthfan pula.

Khairul tersengih. Sah! Dia cari gadis sawit. Tak lama kemudian, kelihatan trak pikap diparkir di tepi jalan utama. Mereka berhenti di belakangnya dan turun meninjau ke dalam kawasan pokok sawit.

****

“Hari ni tak jumpa apa-apa ke kita?” tanya Aafiya sambil membantu menarik pelepah-pelepah sawit yang telah dipangkas oleh pekerja lelaki sebelum ini. Pelepah itu dilonggokkan di sepanjang lorong berselang dengan lorong mengutip buah dan dibiarkan mereput untuk menjadi baja pokok. Hari ini, jadual mereka adalah membuat kerja-kerja pembersihan di pangkal pokok-pokok sawit.

“Ssyuhhh… mulut kau ni, Fiya. Elok tak jumpa, jadi berjumpa pulak karang!” marah Mak Biah sambil mengelingas memandang keliling.

Antara ramai mak cik-mak cik pekerja ladang, memang Mak Biah yang paling penakut.

“Alhamdulillah. Jom, kita sudahkan sikit je lagi, lepas tu kita boleh balik makan.” Aafiya sedaya upaya berlagak ceria seperti biasa. Hatinya berkata-kata, kalaulah mak cik-mak cik ni tahu yang walid tengah sakit dada di rumah sekarang lepas dapat berita pagi tadi yang ladang ni nak dijual, entah macammanalah mereka. Mungkin lemah lutut tak larat lagi nak habiskan kerja.

Aafiya sendiri tak sanggup nak bayangkan. Pasti dia akan rindu senda gurau, suka duka mereka selama bersama di ladang ini sejak dia remaja lagi.

“Mak Biah, apa yang bergerak tu?” Aafiya tiba-tiba memekik.

Habis mak cik-mak cik di situ bertempiaran lari. Tinggal Mak Biah berdiri di situ, terpusing-pusing.

“Hah! Ular datang! Dia dah datang! Haaa… dia dah datang!” Mak Biah terus bertepuk buka bunga silat, melatah kerana ketakutan. Nak laripun kakinya dah lemah longlai.

“Ular datang, Mak Biah!” jerit Aafiya lagi.

“Dia datang! Dia datang dengan lenggang-lenggoknya. Eh…! Ular datang…! Dia dah datang!”

Meletus ketawa Aafiya sampai terduduk dia menepuk-nepuk tanah. Melihat gelagat Mak Biah yang melatah sampai tak boleh nak melarikan diri itu sangat melucukan.

Barulah mak cik-mak cik itu tersedar yang mereka sudah dimainkan si Aafiya. Habis semua marahkan anak dara Pak Ubai tapi bila melihatkan Mak Biah yang masih melatah, mereka juga tak dapat tahan ketawa gelihati. Orang takut lari lintang-pukang tapi dia berpencak di situ juga!

Luthfan dan Khairul yang datang mendekat akhirnya terpacak memerhati gelagat Aafiya dengan pekerja wanita di situ. Khairul akhirnya ikut ketawa melihat aksi lucu Mak Biah melatah dan nakalnya Aafiya. Sementara Luthfan bercekak pinggang. Matanya menghunjam tajam melihat muka gadis itu merona kerana ketawa tak ingat dunia. Wajah itulah yang selalu mengacah dan memburunya jauh hingga ke Switzerland sana. Sekali lagi, tubuhnya tiba-tiba bagai terseduh. Hangat.

“Eh… siapa tu, Fiya?” tanya Kak Miah yang ikut duduk mengadap ke jalan utama kerana letih terkejut dan gelak yang belum habis lagi.

Laju Aafiya berpaling. Terperanjat sungguh bila dia melihat lelaki bandar itu tiba-tiba muncul di ladang. Serentak itu, marah meluap dalam dirinya. Merenjas dia bangun sambil menepis rerumput yang melekat di belakang baju.

“Cucu tuan haji tu. Cari walid agaknya. Saya jumpa diaorang kejap ya.”

Dia melangkah laju ke arah lelaki-lelaki itu. Tiba di situ, dia tak berhenti tapi terus saja menuju ke tepi kereta. Dia tak mahu mak cik-mak cik di situ tengok dia mengamuk.

Luthfan dan Khairul berpandangan. Tapi mereka ikut juga bergerak ke kereta. Sampai sahaja di hadapan Aafiya…

“Awak ni memang tak ada hati perut ya?”

Telunjuk runcing itu menujah dadanya. Luthfan terperanjat namun emosinya dikawal rapi. Ini pasti tentang hal jual ladang.

“Kenapa awak nak jual ladang ni? Awak ada masalah kewangan ke? Terdesak? Atau apa sebenarnya? Tak boleh ke berbincang dulu, hah? Walid sampai sakit dada pagi ni, tahu tak?” Aafiya cuba menahan marahnya. Mungkin lelaki ini ada sebab yang tak dapat dia elakkan. Tapi apa? Lelaki sekaya dia? Kalau iyapun, tak bolehkah datang berbincang baik-baik?

“Awak tak ada hak nak tahu tentang urusan saya. Semua pekerja akan dapat pampasan yang setimpal. Awak dan ayah awak akan disediakan kerja lain di syarikat datuk. Jadi, tak ada apa yang perlu dirisaukan,” Luthfan bersuara tegas, cuba menenangkan Aafiya kalau dia terlalu risaukan masa depan keluarganya.

“Awak ingat saya dengan walid macam awak? Fikir diri sendiri saja? Awak tahu tak hampir 50 buah keluarga hidup dengan hasil ladang ni. Ke mana mereka nak cari nafkah kalau awak jual ladang ni?”

“Jual beli tanah ni ambil masa. Bukan serta merta. Awak boleh tak jangan fikir sempit sangat.”

“Saya? Saya fikir sempit? Atau awak tak buka mata tengok dunia sebab dah bahagia hidup senang-lenang?” tukas Aafiya lagi, bertambah geram bila dituduh melulu begitu.

“Memang awak fikir sempit. Saya tak mahu susahkan Pak Cik Ubai lagi. Dia dah berumur. Dah tak sesuai…”

“Saya tak tahu? Saya anak dia, tahu tak? Awak ingat saya ada kat ladang ni untuk apa? Main?”

“Ya! Main-main!” Laju Luthfan menjawab sambil menjeling ke arah mak cik-mak cik tadi.

Aafiya telan liur. Terdiam sekejap. Kenapalah lelaki ni muncul waktu aku tengah bergurau!

“Lagipun tempat macam ni tak sesuai untuk awak,” sambung Luthfan lagi sambil angkat kening. Mencabar.

“Apa maksud awak ‘tak sesuai’, hah?” Aafiya mula tersindir.

Deruman sebuah lori yang mengangkut pekerja menghentikan perbalahan mereka. Lori itu lalu di jalan utama dan semakin perlahan bila melewati tempat mereka berdiri.

“Jom balik makan, Cik Aafiya,” tegur pekerja lelaki dari atas lori. Hampir semua pekerja itu tersenyum ramah dan mengangkat tangan ke arah Aafiya.

“Fiya, belanja kami makan hari ni!”

“Jom makan sama, Fiya!”

Aafiya tergelak dengan gurauan mereka. Dia membalas lambaian mereka sampai lori semakin menjauh. Semuanya bagaikan ayah dan abang baginya kerana mereka semua sudah seperti satu keluarga. Bagaimanalah nasib mereka nanti kalau tanah itu dijual. Serta-merta wajahnya berubah marah dan mencari muka lelaki bandar yang tak ada perikemanusiaan itu.

Namun Aafiya tergamam melihat muka si Luthfan berubah ketat sambil mengerling ke arah lori yang baru pergi kemudian menghunjam pandang ke arahnya pula. “Sesuai sangat, kan? Patutlah awak suka sangat kerja kat sini, ya?”

“Apa?” terkejut Aafiya dibuatnya. Berkerdip matanya tanda tak mengerti. Bila dia teringatkan lelaki-lelaki di atas lori tadi, baru dia tersedar. “Awak sindir saya ya?”

Khairul yang dari tadi terpinga-pinga melihat mereka terus bercakar segera mencelah, “Macam nilah, kita jumpa di tempat lain. Berbincang baik-baik. Biar win-win situation.”

Serentak itu, dua pasang mata menyorot tajam ke arahnya.

“Err… maksud saya, hmm…” Khairul cepat menjeling jam di pergelangan tangan. “Dah tengahari! Kesian kat mak cik-mak cik tu. Diaorang tak rehat ke?”

“Allah! Ni semua awak punya fasal!” marah Aafiya lagi. Mak cik-mak cik tu sepatutnya sedang makan sekarang.

Luthfan mengeluh seraya terdongak ke langit. Payah dengan perempuan seorang ni. Aku bawa lari, baru dia tahu langit tinggi atau rendah. Kemudian dia terfikirkan kata-kata Khairul.

‘Perempuan macam Aafiya, kau tak boleh bawa dia terbang sesuka hati, tahu?’

Cepat Luthfan tarik lengan Aafiya yang sudah melangkah pergi.

Mata Aafiya mencerlung ke arah tangan kekar di lengannya lalu memekik, “Awak nak apa? Jangan sentuh saya!”

Tangan itu serta-merta dilepaskan Luthfan.

“Syhhh… dengar! Jumpa saya malam ni. Kita bincang hal ni betul-betul kalau awak tak nak saya jual ladang. Saya tak mahu bincang dengan Pak Cik Ubai sebab saya tahu dia kurang sihat. Saya tunggu awak di restoran depan jalan sana jam lapan malam ni.”

“Hah?”

“Saya tunggu. Terpulang awak nak datang atau tak!”

Luthfan segera berlalu masuk ke dalam kenderaan lalu menghidupkan enjin. Khairul serba-salah tapi dia tahu itu yang terbaik. Cepat-cepat dia melangkah pergi sebelum ditinggalkan Luthfan. “Kami pergi dulu, Cik Aafiya. Kita jumpa malam nanti ya.” Aafiya tercegat di situ. Terkejut bila tiba-tiba diberi kata dua oleh lelaki itu.

…Bersambung.

psst: RENJANA versi cetak semuanya sudah bertuan. Tapi ebook terus ada ya. Jika berminat dengan ebook RENJANA atau mana-mana karya penulis , sila hubungi 011-20503481.