Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 9

GUARDIAN ANGEL cover copy

Seminggu berlalu dengan begitu cepat. Noura sudah mampu mengambil alih semua tugas menjaga Syifa. Kalau dulu, dia hanya menjaganya saja tetapi sekarang Nouralah yang memandikan, membasuh bontot munggil itu dan memasak makanan untuknya yang sudah mula makan bila usianya mencecah enam bulan. Hatta tidur pun bersama.

Sufyanlah orang yang paling bahagia. Kerana hati-harinya penuh dengan gelak ketawa Syifa dan Noura. Dari jendela di biliknya, dia selalu memerhatikan mereka berdua bermain di buaian. Amat mengasyikkan.

Hasyimah dan Hamdan juga menumpang bahagia. Kalau pada pandangan mata mereka, Noura memang tidak ada apa-apa masalah malah amat menyenangkan. Sejak peristiwa di Giant tempohari, Noura tidak lagi lagi menunjukkan kemurungan. Mungkin kerana dia sibuk sungguh menguruskan Syifa. Agaknya kalaulah dia punya anak sendiri, mungkin dia akan sembuh sepenuhnya.

“Noura tak teringin nak ada anak sendiri? Makcik tengok Noura suka sangat bermain dengan Syifa, bijak menguruskan dia. Kalau ada anak sendiri, mesti Noura lebih seronok,” Hasyimah bersuara ketika Noura sedang leka menyusukan Syifa yang sudah mengantuk.

Pergerakan Noura terhenti. Anak? Anak sendiri? Betul tu! Kan bagus kalau Syifa jadi anaknya sendiri. Lagipun dia cuma anak angkat Sufyan. Macam mana kalau Sufyan berkahwin dan ada anak sendiri? Kasihan dengan Syifa. Pasti dia tersisih sebab dia cuma anak angkat. Macam mana kalau… dia jadi anak susuannya?

Sepasang mata Noura besar bercahaya saat dia berpusing mengadap Makcik Hasyimah. Dia menarik nafas, sebulat hati mahu meminta kebenaran daripada mereka.

“Makcik, boleh tak saya susukan Syifa? Saya nak dia jadi anak susuan saya. Nanti kalau tak ada orang nak jaga Syifa, makcik boleh serahkan Syifa…”

“Anak susuan? Noura nak susukan Syifa?” Terperanjat Hasyimah mendengarnya. Lain yang dimaksudkan, lain pula yang difahami oleh budak bertuah ni.

“Tapi Noura belum berkahwin…,” tukas Hasyimah penuh makna.

“Tak semestinya, kan makcik? Boleh tak kita pergi klinik? Noura nak mintak pendapat doktor. Boleh ya, makcik kalau Noura jadi ibu susuan Syifa?” Mampukah permintaan semurni itu ditolak, keluh hati Hasyimah sambil memandang Noura penuh kasih. Senyuman dan anggukan Makcik Hasyimah mengundang senyum lebar di bibir Noura. Alhamdulillah!

“Betul ke apa yang awak nak buat ni? Awak yakin? Dah jadi ibu susuan nanti, Syifa jadi anak awak tau,” Sufyan berkali-kali bertanya. Letih Noura hendak menjawabnya.

“Saya yakin sangat. Kan zaman Rasulullah, ramai ibu-ibu menyusukan bayi-bayi yang baru lahir yang diletakkan di keliling Kaabah termasuk Baginda Rasulullah. Sebab tu saya teringin nak jadi ibu susuan juga. Moga-moga saya dapat berkat dari ahli syurga yang seorang ni. Lagi pun…” Kata-kata Noura putus di situ. Dia melarikan pandangannya dari Sufyan.

“Lagi pun…?” Sufyan tidak sabar untuk mendengarnya.

Noura telan liur. Dia tarik nafas dalam-dalam. Entah kenapa susah sangat dia nak luarhkan…

“Nanti satu hari awak akan kahwin. Lepas tu ada anak sendiri. Syifa cuma anak angkat. Saya tak nak dia rasa tersisih. Jadi saya nak jadi ibu susuannya. Kalau sampai masanya nanti, Syifa tak rasa sendirian. Dia ada saya…” Noura tunduk sebaik saja habis berkata-kata. Dia rasa sebak tiba-tiba. Sufyan terdiam lama. Wajah polos itu ditatap dalam-dalam.

“Jauhnya awak berfikir. Saya pun tak terfikir sampai ke situ.”

“Memanglah! Lelaki memang macam tu…” Sempat dia menjeling sekilas. Sufyan tarik senyum. Tercuit hatinya dengan kasih sayang Noura yang begitu cepat subur untuk Syifa. Bertuah Syifa!

“Kalau macam tu, saya hanya akan kahwin dengan gadis yang betul-betul sayangkan Syifa. Dia tak sayang saya pun tak apa.”

Dup! Noura terkaku sesaat bila jantungnya berdegup kuat. Pantas anak matanya mencari wajah Sufyan. Dan pandangan Sufyan yang memandang dalam serta senyuman di bibirnya membuatkan wajah Noura terasa hangat. Cepat-cepat dia tunduk melindungi wajah sendiri. Pipi gebu Syifa dikucup lembut. Botol susu dicabut perlahan dari bibir merah jambu itu setelah dia memasukkan anak jari di dari tepi mulutnya seperti yang diajarkan Makcik Hasyimah.

Jantung Noura berdebar luar biasa. Dia tak suka! Dia tak suka Sufyan yang selalu buat dia berdebar-debar begitu. Langsung dia diam tak mahu bersuara lagi. Nanti entah apa-apa lagi yang dibualkan lelaki itu.

“Saya teringin nak bawa awak dengan Syifa pergi bercuti.” Sufyan mengambil peluang setelah melihat Noura mendiamkan diri. Terangkat wajahnya bila mendengar perkataan ‘bercuti’. Lama sungguh dia tidak ke mana-mana kerana dunianya hanya dalam rumah sejak setahun yang lalu.

“Seronoknya! Nak bercuti di mana? Err… Makcik Hasyimah mesti suka kalau dapat jalan-jalan bawa Syifa,” cepat-cepat Noura menyebut nama Makcik Hasyimah sebelum Sufyan tersedar betapa terujanya dia.

“Kalau awak jadi isteri saya, kan mudah kita pergi ke mana pun yang kita nak…” Sufyan meluahkan angannya. Noura terkedu! Ahh… dia buat lagi! Melampau sungguh. Sampai ke situ sekali fikirnya.

“Merepeklah awak ni!” Bentak Noura sambil merangkul Syifa yang sedang tidur lena. Lebih baik dia duduk jauh-jauh dari lelaki ini sebelum dia merepek yang bukan-bukan!

Sufyan senyum tak sudah. Semakin hari terasa semakin dekat. Moga Allah memakbulkan doanya yang dipanjat saban malam dalam solat hajatnya.

 

psst: MINI NOVEL GUARDIAN ANGEL hanya sampai di sini saja untuk tatapan pembaca di blog. Jika ingin mengetahui keseluruhan cerita, mini novel ini boleh dimiliki dalam bentuk enovel (format pdf). Whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com. Ada sebuah cerpen percuma untuk setiap pembelian GUARDIAN ANGEL.

Terima kasih kerana sudi membaca karya yang tidak seberapa ini. Mohon maaf atas setiap kelemahan dan kekhilafan. Harap sudi komen agar dapat diperbaiki lagi. Semoga terhibur!

Salam sayang,

Juea Abdullah

Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 6

GUARDIAN ANGEL cover copy

 

Petang itu, Sufyan mencari Noura sebaik saja dia kembali ke rumah selepas menziarahi umi dan abi gadis itu. Hamdan dan Hasyimah duduk minum petang di meja makan di dapur. Dengan isyarat mata, Hasyimah menunjukkan Sufyan di mana Noura berada.

Buai besi itu berayun perlahan. Noura duduk memangku Syifa yang sedang tidur nyenyak dibelai angin petang. Sufyan terpaku di bingkai pintu melihat permandangan itu. Gadis itu masih bertudung hitam yang sama tetapi sudah menukar bajunya, memakai kaftan merah hati yang juga dipilih Sufyan. Naik seri wajahnya bila memakai baju yang berwarna terang. Wajahnya juga sudah semakin tenang berbanding pagi tadi. Noura punya riak wajah yang lembut dan manis bila jiwanya tenang. Sufyan tiba-tiba teringin hendak melihat Noura tersenyum dan ketawa seperti yang pernah dilihatnya suatu waktu dulu.

“Ustaz!” Entah bila Noura menyedari kehadirannya di situ. Sufyan malu sendiri. Pantas dia melangkah, mencapai kerusi dari meja makan yang berada di halaman itu lalu duduk mengadap Noura dalam jarak satu meter di hadapannya.

“Jangan panggil saya ustaz. Saya dah bagi kad kan? Panggil saya Sufyan.” Noura tunduk tersipu. Segan pula nak panggil nama begitu saja. Tapi apa pilihan yang dia ada.

“Umi dengan abi kirim salam,” beritahu Sufyan perlahan-lahan tetapi cukup untuk menyentak sekujur tubuh Noura. Dia terdongak memandang tajam. Sufyan membalas pandangannya dengan senyuman.

“Jangan bimbang. Saya pergi dengan ayah tadi. Mereka pun dah jumpa nota yang Noura tinggalkan. Saya jelaskan yang Noura keluar nak cari kerja. Itu saja. Kebetulan jumpa saya, saya tawarkan Noura kerja dan sekarang mereka dah lega bila dapat tahu Noura selamat di sini.” Noura mendengus geram. Itu saja? Umi dan abi tak sibuk nak cari dia? Tak nak ambil dia balik?

“Malam ni, ayah jemput umi dan abi datang makan malam di sini. Sekejap lagi, kita masak sama-sama ya.” Pujuk Sufyan. Bidang kerjayanya dalam Sumber Manusia memudahkan dia berdiplomasi dengan Noura. Selalunya, fakta, peraturan atau keputusan meletakkan seseorang itu kurang selesa, beku dan tidak mesra. Tetapi keadaan dan persekitaran yang disediakan tanpa arahan dan bantahan itu lebih membantu seseorang menerima sesuatu dengan lebih terbuka. Seperti contoh seorang majikan yang datang awal ke pejabat adalah lebih baik kesannya terhadap pekerja daripada memberi arahan supaya mereka datang awal ke pejabat.

Itulah yang cuba Sufyan lakukan hari ini. Jika dengan cara merisik si gadis membuatkan dia tertekan ditambah pula dengan umi dan abinya yang mendesak supaya dia menerima pinangan dengan harapan dia akan hidup bahagia, lebih baik mereka menyediakan keadaan di mana wujudnya hubungan dua keluarga terlebih dahulu. Menyediakan satu ruang untuk si gadis merasa selesa dan tidak dipaksa. Mudah-mudahan Tuhan melembutkan hatinya untuk bersedia membina hubungan yang baru.

“Umi tak marah?” Noura belum puas hati. Tak mungkin umi dan abi tak marah bila dia meninggalkan rumah itu tanpa izin?

“Tak.” Sufyan geleng kepala.

“Betul tak marah?”

“Umi kata kalau Noura beritahu yang Noura nak cari kerja, umi dan abi boleh tolong carikan.”

“Diaorang bukan nak tolong carikan saya kerja. Diaorang nak…” Kata-kata Noura putus di situ. Dia yang tadi memandang tepat ke arah Sufyan cepat-cepat melarikan pandangan.

“Diaorang nak Noura kahwin, kan?” Sufyan tolong sambungkan. Noura segera berpaling dengan kening yang hampir bertaut.

“Umi beritahu?”

Sufyan angguk.

“Tapi umi dan abi dah sepakat. Tak nak pujuk Noura kahwin lagi. Mereka suka kalau Noura nak kerja dulu. Sebab tu, mereka nak datang malam ni. Nak tengok tempat Noura bekerja. Nanti bila rindu, umi dengan abi boleh datang ziarah bila-bila masa. Boleh macam tu?” Sufyan bertanya dengan nada yang cukup lembut.

Noura terhela nafas. Semudah itu? Dengan lelaki ini, semuanya seperti mudah saja. Perlahan-lahan Noura anggukkan kepala.

“Kenapa tak nak terima lamaran?” Sufyan tak dapat menahan diri dari bertanya. Wajah Noura ditelek dalam. Dia tahu jawapannya bukan pada kata-katanya tapi pada riak wajahnya.

Muka Noura cemberut. Liur ditelan kesat. “Sebab dia gila.”

“Gila?” Dia hampir tersedak menahan dada yang tiba-tiba terasa terhimpit. Gila? Bukan itu yang dijangka Sufyan. Ada tawa yang meletus di dalam dadanya.

“Hanya orang gila yang nak kahwin dengan orang yang sakit.” Perlahan Noura menjawab sambil menjeling marah.

“Siapa yang sakit?”

“Sayalah yang sakit!”

“Noura tak sakit. Saya tak nampak pun Noura sakit di mana-mana.” Sufyan cuba menduga.

“Sakit hati!”

“Owh!” Sufyan tergelak. Itu satu pengakuan sebenarnya.

Wajah Noura semakin mencuka. Dari kaki berayun, kini dia bersila di atas buaian. Mujur Syifa dipeluk makin erat. Cemas juga Sufyan bila melihat dia berubah tingkah. Wajahnya dipaling sejauh mungkin dari Sufyan.

“Sakit hati ada ubatnya.” Noura mendengus mendengarnya. Bibir senget menjuih. Terpejam matanya tanda menyampah.

‘Kasih sayang. Rasulullah dapat ubat orang yang sakit hati dengan kasih sayang. Noura mesti pernah dengar cerita tentang wanita Yahudi, lelaki tua yang buta yang benci sangat dengan Rasulullah dan ramai lagi. Semuanya Rasulullah ubat dengan kasih sayang.” Nada suara Sufyan menusuk ke hatinya. Noura tunduk memandang wajah comel Syifa yang pulas tidurnya. Kata-kata Sufyan berlegar dalam minda dan jiwanya.

“Saya harap sakit hati Noura terubat di sini dengan kasih sayang kami…” Sufyan bangun berdiri. Noura masih tunduk memandang Syifa. Dia dengar. Dia dengar sangat. Dan hatinya sarat dengan rasa terharu.

Anak matanya mengekori langkah kaki Sufyan yang meninggalkannya sendirian di situ. Entah kenapa, buat pertama kalinya dia terasa damai menyimbah di dalam dada.

 

psst: MINI NOVEL GUARDIAN ANGEL boleh dimiliki dalam bentuk enovel (format pdf). Whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com. Ada sebuah cerpen percuma untuk setiap pembelian GUARDIAN ANGEL

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 11

Salam Ramadhan Al Mubarak untuk semua pembaca KALAU AKU KAYA (KAK). Selamat menjalani ibadah berpuasa dan seribu satu ibadah demi meraih keberkatan Ramadhan. Jangan lupa banyak-banyak berdoa sebelum masuknya waktu berbuka puasa ya. Doakan juga penulisan KAK berjalan lancar… dan Juea doakan agar kita semua dibantu Allah dalam mensucikan hati kita yang penuh karat…

 

KALAU AKU KAYA Bab 11

Acara kemuncak pada malam itu adalah penyampaian hadiah bagi tim-tim yang berjaya dalam berbagai acara sukaneka. Seterusnya hadiah untuk acara paling hangat pada malam itu iaitu “Kekasih jangan merajuk” diumumkan. Semua jadi berdebar kerana tidak pasti pasangan mana yang paling bertuah.

Sekali lagi Wardah menekup bibir apabila namanya dan Adam diumumkan oleh pengerusi majlis untuk naik ke pentas bagi menerima hadiah dua keping tiket percutian ke Bandung setiap seorang. Riuh rendah dewan bertepuk tangan dan ada yang bersiul nakal. Mahu tidak mahu, Wardah memaksa dirinya bangun dan melangkah ke atas pentas untuk menerima hadiah. Adam yang sudah berdiri di hujung pentas menanti dengan senyuman paling menawan.

Wardah serba-salah. Berkerut mukanya waktu melangkah kerana malu dengan aksi Adam. Dan sebaik saja dia naik ke pentas, Adam begitu budiman, mengiringinya ke tengah pentas untuk menerima hadiah dari Encik Azam yang sabar menunggu tetapi gelisah dek cemburu melihat Adam yang kacak bergaya berjalan di sisi Wardah.

‘Tahniah, Wardah. Nak pergi dengan siapa nanti?” Sempat Azam bertanya.

Wardah ketawa. Dia tidak terfikirkan pun tentang itu.

“Dengan Encik Azam, boleh?” Jawab Wardah sambil menjungkit kening. Nakal! Azam hanya ketawa sambil mengangguk. Dia faham gurauan Wardah. Bertuahlah badan kalau jadi kenyataan!

Adam pula menghulurkan tangan, bersalaman lalu menerima hadiah yang diharap-harapkan. Kini dia menaruh harapan pula untuk pergi bersama Wardah.

“Terima kasih, Encik Azam. Nanti kita pergi sekali ya,” sambungnya dalam nada bergurau.

Azam ketawa lagi sambil mengangguk lagi. Dan Wardah sudah laju berjalan menuruni anak tangga di sisi pentas sebelum sempat Adam menyainginya.

“Tahniah! Bestnya kau dapat melancong. Mahal betul anggukan kepala engkau kan?” Usik Benn sebaik saja Wardah melabuhkan punggung ke kerusinya semula. Mahu rasanya diketuk kepala Benn yang tadi beriya-iya mengangguk. Sekarang dia pula yang mengejek. Namun ucapan tahniah dari Chon dan yang lain-lain di meja membuatkan Wardah sibuk mengucapkan terima kasih.

Seterusnya, penaung Kaustik Sendirian Berhad, Tan Sri Dato’ Muhammad Ridhwan bin Uthman dijemput untuk naik ke pentas bagi menyampaikan beberapa anugerah untuk kakitangan KSB termasuk anugerah khidmat cemerlang yang ditunggu-tunggu. Akhirnya anugerah itu jatuh ke tangan Wardah Sakinah Abdul Hanif. Gemuruh tepukan dari semua yang hadir menunjukkan bahawa mereka semua setuju yang Wardah layak menerimanya. Zakuan yang berdiri di sebelah datuknya, memerhati setiap langkah yang dihayun Wardah dengan sopan menuju ke pentas.

Wardah yang sebenarnya gugup kerana terlalu terkejut jenuh mengawal diri agar dapat sampai ke pentas sekali lagi dengan jayanya. Dia masih terpinga-pinga kerana merasakan ramai lagi yang lebih layak. Mengapa pula dia yang terpilih.

“Tahniah, Wardah Sakinah! Syabas! Teruskan berkhidmat dengan cemerlang ya.” Ucap Tan Sri Dato’ Muhammad Ridhwan yang kini sudah berusia 72 tahun tetapi kelihatan masih segak dan bertenaga.

“Terima kasih, Tan Sri. InsyaaAllah!” Balas Wardah, penuh rasa terharu. Wajah majikannya, Encik Azam sempat direnung dengan tandatanya. Mengapa dia?

You deserve it, Wardah. Tahniah!” Ujar Azam dengan ikhlas. Dia merasa amat gembira dan bangga kerana mempunyai seorang kakitangan seperti Wardah.

“Terima kasih, Encik Azam… kerana banyak bimbing saya. Terima kasih!” Azam tersenyum manis, mengangguk. Dan lelaki cina tadi berdiri di sebelah Tan Sri Dato’ Muhamad Ridhwan membuatkan langkah Wardah terhenti. Seperti biasa, tiada segarit pun senyum di bibirnya. Apatah lagi ucapan tahniah. Berdiri di situ memandangnya dengan pandangan yang dalam persis seorang model kacak yang sedang beraksi di hadapan kamera. Dalam debar, Wardah hampir tersenyum tetapi ditahan lalu dia hanya mengangguk tanda hormat ke arah lelaki itu.

Dan Zakuan yang memandang tajam mengangkat kening. Tunduk saja? Tak ada terima kasih? Tak ada senyum? Namun gadis ayu itu sudah berlalu.

Akhirnya semua selesai dan makan malam mula dihidangkan. Mereka menjamu selera sambil menyaksikan persembahan dari wakil-wakil setiap bahagian di KSB. Untuk tim editorial, suara emas Raymond Yap menyelamatkan semua daripada membuat persembahan.

Persembahan terhenti seketika bagi memberi laluan kepada penaung KSB untuk beransur pulang atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk berlama-lama di dalam majlis. Kemudian sebuah sketsa yang mencuit hati daripada tim pemasaran dipersembahkan dengan jayanya dan banyak lagi persembahan yang menarik dan menghiburkan semua sehingga ke penghujung majlis.

Jam sudah menunjukkan hampir dua belas malam. Persembahan penutup sudah pun melabuhkan tirai. Sekelian yang hadir mula beransur pulang. Cuma ramai yang masih di dalam dewan untuk sesi bergambar yang bersambung daripada sebelum acara majlis tadi. Macam-macam watak yang digayakan malam itu, ada yang menjadi Ali Baba, Dato’ Maharaja Lela, Mahsuri, Puteri Hang Li Po dan berbagai watak lagi. Memang meriah dalam suasana nostalgia.

Berderet-deret pula yang mahu bergambar dengan pemenang anugerah khidmat cemerlang pada malam itu. Wardah tiba-tiba jadi sibuk dan mendapat perhatian seperti seorang artis. Dan yang ikut popular juga adalah Benn yang mendapat anugerah kostum tema bintang lagenda terbaik – si nenek kebayan dari Gunung Ledang. Apa tidaknya, Chon solek dia memang macam nenek kebayan. Tak sangka Chon begitu berbakat. Dengan gaya Benn yang berjalan terbongkok-bongkok dan suaranya yang agak parau itu dilengkapi pula tongkat yang Benn beli dari orang kampung di situ yang kelihatan seperti akar menyerupai ular berdiri! Wardah pun naik seram bila berdiri di sebelahnya.

Penat bergambar, Wardah mengajak Benn pulang ke chalet.

“Berikan dia sampul surat tadi. Minta dia buka dan rahsiakan kandungannya. Aku nak tengok reaksinya dari kereta. Aku pergi dulu,” ringkas arahan Zakuan seraya menyerahkan sekeping sampul surat berwarna putih ke tangan Azam.

Azam tercegat berdiri di kaki lima di hadapan dewan. Kaku memegang sampul surat itu di tangannya. Ada rasa cemas di dalam hati dengan permintaan Zakuan. Dia bimbang kalau-kalau…

“Encik Azam nak balik dah?” Tegur satu suara dari belakang. Sepantas kilat Azam berpusing. Tidak syak lagi, memang suara itu milik Wardah yang sedang melangkah menuju ke arahnya.

Dengan kasut tumit tinggi, Wardah kelihatan seperti gadis yang tinggi lampai, sepadan bila berdiri agak dekat dengan Azam. Zakuan yang duduk di tempat duduk belakang di dalam keretanya memandang dengan berbagai perasaan yang berbaur.

“Belum. Tunggu Wardah.” Azam memaksa diri memulakan bicara.

“Eh, kenapa?” Tergelak Wardah mendengarnya. Asyik Azam memandang wajahnya yang lain dari biasa.

“Kenapa Encik Azam tenung saya macam tu, tak baik!” Wardah jujur berterus terang.

“Maaf!” Azam tergelak sendiri lalu tunduk memandang sampul surat di tangannya.

“Ni… saya nak bagi Wardah sampul surat ni. Pihak syarikat nak berikan Wardah hadiah misteri sebab commitment Wardah dalam menghasilkan majalah sisipan kita. Ini agak personal. Bukan untuk semua pemenang anugerah khidmat cemerlang, ya.” Beritahu Azam dengan panjang lebar. Dia sebenarnya ligat mencari alasan sejak menerima sampul surat itu tadi.

“Bukalah,” pinta Azam kerana itu pesan Zakuan. Dan dia sendiri terlalu ingin tahu.

Perlahan-lahan sampul surat itu disambut. Wardah masih menatap wajah Encik Azam dengan rasa tidak percaya. Rasanya cukuplah dengan anugerah khidmat cemerlang yang diterimanya. Apa perlu diberi hadiah misteri lagi.

“Saya… saya dah terlalu banyak kejutan malam ni, Encik Azam. Sakit jantung saya dibuatnya!” Gurau Wardah dalam nada gementar. Menghormati permintaan majikannya, dia membuka juga sampul surat di tangannya.

“Encik Azam! Tak mungkin…! Aduh!” Wardah terkejut amat. Kepalanya tergeleng-geleng. Dan dadanya tiba-tiba berdenyut menggila. Dan sekeping cek bernilai Ringgit Malaysia seratus ribu ringgit renyuk di dadanya dek kerana menahan sakit yang tiba-tiba datang.

“Wardah!” Azam terperanjat melihat tubuh Wardah tiba-tiba lemah dan terkulai rebah ke lantai.

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 10 bahagian II

Hampir semua orang tahu yang Adam memang sedang menganggunya sejak dia putus tunang baru-baru ini. Haru! Adam sudah bangun dengan langkah lelaki budiman mendapatkan alat pembesar suara yang dihulurkan tim pengurusan kepadanya. Dia yang duduk di meja agak jauh dari Wardah yang berada di sebelah kanan dewan melangkah perlahan-lahan menuju ke meja pasangannya. Serentak dengan itu, muzik balada yang dipasang perlahan menjadi lagu latar untuk pasangan itu beraksi menambah debar di dada semua. Mereka tertunggu-tunggu reaksi Wardah yang masih terpaku di kerusinya.

“Benn! Tolong aku!” Bisik Wardah dalam keadaan cemas, bagaikan hendak menangis. Malunya!

“Relakslah. Kau diam je. Biar dia je yang bercakap,” balas Benn dalam serba-salah. Dia yang rapat dengan Wardah amat faham perasaan gadis itu yang selalu menjadi mangsa usikan Adam tidak kira di mana bersua.

“Assalamualaikum, Tuan Puteri Gunung Ledang…” Lemak merdu suara Adam di corong pembesar suara. Romantik sungguh seperti salam seorang kekasih lagaknya. Sudahlah dia berpakaian songket lengkap dengan tanjak dan keris di pinggang, bercakap pula dengan gaya P. Ramlee ketika beliau melakonkan watak Hang Tuah membuatkan Adam menjadi sangat menarik malam itu. Sangat sepadan dengan si Puteri Gunung Ledang! Ramai yang ketawa dan tersenyum-senyum. Tetapi ada hati yang gelisah dan ada juga hati yang jengkel melihat adegan itu. Semua tertunggu-tunggu respon Wardah yang tegak membatu di kerusi. Salah seorang tim pengurusan datang menyerahkan alat pembesar suara tanpa wayar kepada Wardah tetapi langsung tidak diendahkannya. Mereka yang melihat reaksi Wardah dari dekat ketawa tertahan-tahan.

Tiada siapa yang tahu bahawa saat itu, Wardah terpaku kerana pandangannya bersabung dengan pandangan lelaki cina tadi. Pandangan itu bagaikan mengunci hati dan dirinya sehingga dia tidak dapat berbuat apa-apa hatta menarik nafas sekali pun. Hanya jantungnya saja yang berdebar luar biasa dengan kuasa panahan sepasang mata itu.

“Tak sudi memandang, tidak mengapa …” Adam tiba-tiba menyanyi dengan meniru gaya suara Jamal Abdillah, menyanyikan lagu Mati Hidup Semula dengan penuh perasaan. Mujur suara Adam menyentak Wardah dari kuasa magis pandangan lelaki cina itu dan dia tunduk ke riba, buru-buru menarik nafas. Dewan gamat ketawa dengan telatah Adam. Tetapi Wardah terpinga-pinga bagaikan baru tiba dari alam lain. Ramai juga yang bertepuk tangan. Boleh tahan suara mat romeo KSB ini!

“Kerna ku mengerti, aku insan hina…” sambungnya lagi dengan lebih syahdu. Sorakan semakin menggamatkan dewan.

“Bennnn!” Wardah menjeling ke arah Benn sambil mengetap bibir. Malu gila!

Benn yang menahan diri sejak tadi berdekah-dekah ketawa. Wardah terkejut lalu menjeling tajam setajam lembing. Sesekali dia memandang ke arah lelaki tadi tetapi cepat dia mengelak supaya tidak ‘terkunci’ di situ lagi.

“Tak guna punya kawan! Nanti kau!” Gerutu Wardah dari celah gigi yang dikertap dengan suara yang paling dalam. Semakin galak Benn ketawa. Begitu juga dengan teman-teman yang semeja dengan mereka.

“Tapi dengar apa ku katakan…” Adam tiba-tiba berhenti melangkah tidak jauh dari meja Wardah. Dia tidak lagi menyambung nyanyian sebaliknya hanya diam memandang gadis yang sedang dipuja. Seluruh dewan ikut diam menunggu aksi seterusnya. Debar di dada Wardah berkocak dua kali ganda. Cemas dalam diam menanti apa aksi Adam selanjutnya.

“Saya tahu Wardah tak sudi nak jadi pasangan saya malam ni. Tetapi itulah yang dikatakan jodoh…” Gamat seluruh dewan menyambut kata-kata Adam. Ada yang bersiul bersahut-sahutan. Namun ada sepasang mata yang bersinar bagaikan helang ternampak mangsanya.

“Saya tahu siapa yang layak untuk jadi pasangan Wardah. Pasti Wardah mencari lelaki yang mulia sifatnya seperti Rasulullah. Yang penyayang seperti Rasulullah. Yang sabarnya seperti Rasulullah. Saya ingat kata-kata Wardah suatu hari dulu. Lelaki yang mencontohi Rasulullah adalah sebaik-baik lelaki untuk dijadikan pasangan. Betul tak, Arda?”

“Betul!” Seru hampir seisi dewan, menjawab bagi pihak Wardah. Arda? Manja namanya, getus hati seseorang. Tetapi sakit mendengarnya dari bibir lelaki itu.

“Oh, no!” Luah Benn. “Dia tahu apa yang dia buat, Arda!”

Semakin cemberut muka Wardah bila mendengar kata-kata Benn. Tolonglah, ya Allah! Tolong hentikan semua ini…

“Saya juga nak jadi lelaki macam tu. Yang sabarnya sehingga sanggup tidur di lantai jika Wardah tak buka pintu bila saya pulang lewat. Kerana saya tahu, pasti Wardah sudah terlena di lantai yang sama kerana menunggu kepulangan saya.” Seluruh dewan tertegun dengan ucapan itu. Dan Wardah bertambah terkejut sehingga dia terdongak memandang Adam. Dia ingat dengan kata-katanya tempohari tatkala dia diusik tentang lelaki pilihan hatinya?

Zakuan saling berpandangan dengan Azam. Begitukah lelaki impiannya? Soalan itu timbul dalam fikiran mereka hampir serentak. Kemudian sama-sama membuang pandang ke arah lain. Hebat pilihannya, bukan? Tetapi siapa yang begitu hebat dapat mencontohi Rasul yang agung? Detik hati-hati itu terus berkata.

“Tapi saya tahu, tidak semudah itu untuk menjadi pilihan Wardah. Saya cuma harap, Wardah sudi jadi pasangan saya pada malam ni saja. Arda, sudilah…” Adam bagaikan merayu. Wah! Drama sungguh malam ini. Berlatarbelakangkan muzik yang lembut mengusik jiwa, ditambah dengan luahan kata-kata Adam yang disampaikan dengan penuh perasaan, mereka seperti menonton drama realiti yang memukau di depan mata.

Gila! Wardah menjerit di dalam hati. Namun hanya kepalanya yang tergeleng-geleng. Dia tak sanggup walaupun untuk satu malam!

“Saya kenal sangat dengan Wardah. Dia pemalu kalau dalam hal-hal perasaan ni.” Adam memberitahu semua seolah-olah dia cukup kenal dengan Wardah. Bulat mata Wardah berputar.

“Wardah, saya tak akan memaksa. Cuma bertanya. Kalau padi, katakan padi. Usah biarkan hamba tertampi-tampi! Wardah angguklah kalau sudi, jangan biarkan hamba ternanti-nanti.” Bijak sungguh si Adam merayu! Hampir semua orang ikut menyeru kerana simpati. Cuma ada seorang yang terasa jelek mendengarnya. Mual!

“Tolonglah, Arda. Saya nak sangat pergi Bandung ni!” Tiba-tiba Adam berubah nada membuatkan semua orang ketawa. Dia memang pandai ambil kesempatan!

Dan Wardah tidak dapat menahan diri dari tersenyum. Benn semakin galak tergelak-gelak.

“Haa! Dia senyum! Semua nampak, kan? Wardah dah senyum!”

“Nampak!” Ramai pula yang rajin menjawab. Wardah tidak mampu bertahan. Lelaki cina tadi dikerling sekilas. Masam wajahnya. Entah kenapa, Wardah jadi cemas.

“Senyum tanda setuju, kan Wardah? Angguklah. Sekali je…” Adam kembali memujuk. Wardah memandang Benn dengan muka cemberutnya.

Laju Benn mengangguk. Kalau dapat pergi Bandung, boleh dia ikut sekali!

“Angguk jelah! It’s just a game!” Bisik Benn di telinga Wardah. Penuh berhelah!

“Setuju ya, Wardah? Wardah tak merajuk dengan saya, kan?” Adam semakin dekat. Wardah semakin kecut. Muka Benn dipandang cemas. Macam belatuk, Benn terangguk-angguk.

Lalu Wardah pun mengangguk.

“Yesss!” Adam melonjak kegembiraan. Dia dapat jadi pasangan Wardah dan moga-moga dapat pergi Bandung dengan Wardah juga! Dua dalam satu!

Seluruh dewan bertepuk tangan kecuali Azam dan Zakuan. Dan Wardah hanya duduk tegak di kerusi. Menutup segala ekspresi diri. Jenuh menahan matanya dari memandang ke arah itu lagi.

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 9

KAK cover copy

Laju Zakuan meletakkan jari telunjuknya di bibir. Sementara sebelah telapak tangan lagi memberi isyarat kepada pekerjanya agar menunggu sebentar. Tetapi lelaki separuh abad itu tetap cemas, berlari-lari anak ke arah Zakuan sambil menjerit-jerit.

“Hoi! Buat apa tu? Curi ya?” Jerkahnya dari jauh.

Zakuan kalut memandang antara gadis-gadis yang sudah melangkah pergi dengan pakcik tukang kebun yang semakin hampir. Terbeliak matanya bila melihat kedua-dua gadis itu memandang ke belakang semula. Habis aku!

“Syyhhhh!” Bisik Zakuan sambil memberi isyarat supaya jangan menjerit dengan kedua-dua tangannya. Kemudian dia menoleh ke arah gadis-gadis itu semula. Janganlah mereka berpatah balik, desis hatinya dalam debar.

Saat itu, Wardah yang menoleh ke belakang kelihatan mengangkat bahu. Kemudian dia berkata sesuatu lalu berpusing semula dan menyambung langkah. Diikuti kawan baiknya dengan muka tak puas hati.

Terpejam sepasang mata Zakuan sambil menghela nafas lega.

“Hang buat apa kat sini? Hang mengendap anak dara orang ka?” Sergah si tukang kebun apabila dia perasan yang lelaki muda itu asyik memandang dua orang gadis yang sudah berlalu pergi.

Tertelan liur dibuatnya. Zakuan cepat-cepat membuka topi mengkuang yang lebar dan lusuh itu. Baru tersedar, topi mengkuang sebegitu baru saja berada di atas kepalanya yang bersih dan rambut yang bersikat rapi. Dengan muka jelek, dia cepat-cepat menghulurkan topi itu kepada tuan empunyanya dan memaksa dirinya tersenyum.

‘Sayalah, pakcik! Zakuan.” Dia terpaksa memperkenalkan diri kepada pekerja yang ternyata tidak mengecam majikannya sendiri.

“Astaghfirullah! Mintak maaf, Encik Zakuan. Pakcik tak perasan bila encik pakai… pakai topi pakcik. Encik buat apa kat sini?”

“Saya? Saya… tengah cari… err… barang. Ada barang tertinggal masa saya lalu di sini pagi tadi.” Kelam-kabut Zakuan mencipta alasan. Jangan sampai tukang kebun kata majikannya gatal mengintip anak dara orang pula!

“Oooo… pakcik dok cabut rumput keliling pangkal pokok tadi. Tapi tak nampak apa-apa pulak. Apa barangnya, encik Zakuan? Mana tahu kalau pakcik jumpa…”

“Eh! Tak apalah pakcik. Saya pun dah cari kawasan ni. Tak jumpa juga. Mungkin saya tertinggal di bilik. Err… cuaca panas, saya pinjam topi pakcik,” Zakuan mahu cepat-cepat beredar dari situ sebelum ada orang lain yang nampak.

“Ya, encik! Sila… sila…” si tukang kebun mengundur diri memberi laluan kepada majikannya yang kelihatan amat pelik hari itu. Apa pun dia merasa bangga kerana dapat bercakap dengan tuan empunya rumah peranginan ini yang selama ini belum pernah menyapanya.

Zakuan bergegas ke kereta lalu segera memandu pergi dari situ. Dia menghela nafas berkali-kali. Nasib baik dia terselamat tadi! Kemudian segarit senyum muncul di bibir. Seronok juga! Belum pernah dia buat kerja sebegitu. Mengintip anak dara orang!

Hmm… ada hati hendak kahwin dengan jutawan rupanya dia. Perempuan! Kalau yang gedik pun memang terkejar-kejar lelaki kaya, yang nampak baik macam itu pun serupa juga. Perempuan dengan duit macam irama dan lagu, agaknya. Tak boleh dipisahkan!

Belum apa-apa, sudah berangan nak dapat untung. Lepas tu nak korbankan keuntungan ke jalan Islam? Apa yang dia merepek sebenarnya? Kalau dah sanggup kahwin untuk dapat modal berniaga, dia memang tak ada hati dan perasaan! Macam itukah orang yang hendak berkorban untuk Islam? Orang yang tidak ada hati dan perasaan? Kahwin kerana hendak berniaga? Tak ada cinta? Bisnes semata-mata?

Entah kenapa Azam suka sangat dengan perempuan itu? Dia yakin, sahabatnya itu bukan saja suka malah sudah jatuh hati sebenarnya. Cara Azam yang sangat mengambil berat membuatkan dia gusar. Bagaimana kalau Azam betul-betul tersalah pilih? Azam bukan seperti dirinya yang mudah saja tinggalkan perempuan. Dia lelaki budiman. Nanti habis diikut saja apa kata buah hatinya. Isyhh… tak boleh jadi! Nanti Kaustik jadi hak milik perempuan itu pula.

Dia berani mengaku terus-terang yang dia tak minat nak kahwin. Tapi sebab nak ‘berdagang’ kononnya, dia sanggup kahwin. Bayangkan! Kalaulah si Azam yang menjadi mangsanya… oh, tidak! Azam mesti disedarkan dari mimpi. Dia sanggup buat apa saja asalkan Azam sedar yang perempuan itu bukan seperti yang dia sangkakan.

Zakuan berani potong jari, perempuan itu hanya memberi alasan untuk berdaganglah kononnya! Berdagang? Zakuan ketawa kecil sambil menggelengkan kepala. Mana orang di zaman ini hendak berdagang? Sekarang orang berniaga. Macammana hendak untung kalau pemikirannya masih di zaman tok kaduk? Yang sebenarnya dia mahu hidup mewah. Mewah tanpa cinta!

Aduhai… Azam! Azam! Dia tahu ke apa yang dia buat sebenarnya? Zakuan berkata-kata sendirian. Azam mungkin hebat menari di lantai penerbitan tetapi bila mencari pasangan, dia belum berpengalaman. Tidak seperti dirinya. Perempuan seperti ikan di air. Cukup sekilas, dia tahu hati budi mereka.

Zakuan memutar stering ke arah restoran. Sebaik sahaja dia memberhentikan kereta di ruang parkir, nombor telefon bimbit Azam segera didail. Kemudian dia masuk ke bilik VVIP lalu memesan minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga. Minum dulu sementara menunggu Azam tiba.

Jemari Zakuan mengetuk meja dalam satu irama. Itu tandanya dia sedang memerah otak mencari idea. Dia mesti lakukan sesuatu. Mesti ada caranya untuk menguji samada perempuan itu jujur seperti yang dia katakan atau sebaliknya. Apa pun, Zakuan mesti menarik perhatiannya supaya Azam tidak menjadi sasaran.

Hampir sepuluh minit berlalu barulah Azam muncul dalam keadaan tergesa-gesa. Wajahnya agak tegang, tidak seperti biasa.

“Dah lunch?” Tegus Azam bila melihat Cuma ada gelas berisi laici di hadapan Zakuan.

“Belum. Kau?”

“Nak lunch dengan kau lah ni.” Jawab Azam, tersengih. Dia seperti cemas dengan sesuatu. Mesti fasal perempuan itu, getus hati Zakuan.

“Dah lama sampai?” Tanya Azam lagi.

“Baru sepuluh minit.”

“Dah order ke?”

“Belum. Tunggu kau. Kau pergilah tengok apa yang ada. Aku rasa nak makan berhidang pulak hari ni.”

“Okey. Hari ni, aku yang belanja. Kau tunggu kejap.”

Azam keluar ke ruang hidangan di sudut restoran itu. Lama juga dia memerhati dalam diam. Kemudian dia membuat pesanan kepada pelayan yang setia berdiri di sebelahnya.

“Aku cadang nak bawak Halim dan Soeraya jumpa kau petang ni,” ujar Azam sebaik saja dia masuk kembali dan melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Zakuan. Kata-katanya tidak bersahut.

“Nak bincangkan fasal anugerah khidmat cemerlang tu. Yalah, aku rasa…”

“Tak perlu.”

“Hah?” Azam benar-benar terperanjat. Berdebar hatinya. Apakah itu bermaksud…

“Aku percayakan kau. Teruskan.” Mata Azam berkelip-kelip. Mulutnya terbuka tanpa suara. Macam tidak percaya dengan kata-kata Zakuan. Perlahan-lahan nafas lega dihela.

“Tapi dengan syarat, aku ada hadiah misteri untuk dia.” Beritahu Zakuan tanpa memandang. Azam kembali terlopong tanpa suara. Dadanya bergetar. Nafasnya ditarik dan dihela kasar.

“Baiklah. Terima kasih, Kuan.” Dia akur dalam debar.

Zakuan sekadar mengangkat kening. Dia cuba beriak selamba. Namun dalam hatinya bergelora. Engkau tunggu ya, perempuan!

 

 

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 8

KAK cover copy

 

Selesai belajar menunggang, Wardah dan Benn berjalan-jalan di sekitar RPLB sehingga mereka sampai ke jalan utama RPLB yang di kelilingi taman bunga yang cantik. Ada bukit-bukit kecil yang menghijau memagari jalan itu.

Di situ rupanya adalah kawasan rekreasi yang dibina lengkap dengan tiga buah wakaf dan beberapa buah meja dan bangku batu. Di tengah-tengah kawasan itu, dibina kolam kecil yang mengelilingi batu-batu buatan manusia yang dihias dengan tumbuhan berbunga dan rerumput. Bertambah cantik bila ada air pancut di puncaknya. Wardah bukan main seronok menadah air yang berjatuhan. Kemudian habis Benn direnjis-renjis sehingga berlaku adegan kejar-mengejar di sekeliling kolam itu.

Kawasan yang ditanam dengan pokok bunga mawar dan bunga kertas yang tinggi-tinggi itu agak terlindung kerana dipagari pokok teh yang sudah tinggi separas pinggang membuatkan mereka tidak perasan tentang kewujudan tempat itu ketika sampai ke RPLB agak lewat petang kelmarin. Chalet, restoran dan tasik yang besar itu pula terletak agak jauh ke dalam.

Selepas penat berlari, Wardah dan Benn mencari bangku batu untuk melepaskan lelah. Masing-masing meletakkan plastik berisi kuih-muih dan air minuman yang mereka bawa bersama tadi untuk mengalas perut dan menghilangkan haus selepas penat menunggang. Penat dengan rasa cemas dan takut sebenarnya. Cadang mereka hendak makan di bilik sementara menunggu waktu makan tengahari. Tetapi suasana taman rekreasi itu sangat menarik membuatkan mereka membuat keputusan untuk makan di situ saja. Ah… sedap sungguh beristirehat di tempat yang cantik, redup dan berangin seperti itu.

“Siapa agaknya yang dapat anugerah khidmat cemerlang malam nanti ya Arda?” Benn menyedut teh ais limau yang segar itu untuk membasahkan tekaknya.

“Dari marketing department agaknya. Faris?”

“Raymond kata dia dah pernah dapat sebelum ni. Mungkin orang lain pula kot. Entah-entah engkau yang dapat.”

“Wah… memang macam mimpilah kalau aku yang dapat. Aku baru tiga tahun di Kaustiklah. Ramai lagi yang senior,” tukas Wardah sambil membuka bekas polistrin yang berisi ubi rebus. Puas hatinya dapat makan ubi rebus banyak-banyak. Rindu pada arwah ibu dan ayahnya tidak terkata. Itulah makanan kegemaran mereka berdua.

Sebenar tadi sebuah Mercedes menjalar masuk dari arah pintu gerbang RPLB. Zakuan yang berkaca mata hitam pulang bersendirian dari tapak semaian kerana rakan niaganya mahu terus ke bandar Taiping bersama keluarga. Panas matahari yang semakin terik memancar membuatkan Zakuan tidak sabar untuk sampai ke restoran. Namun kelibat dua orang gadis yang berlari-larian mengelilingi kolam kecil di atas bukit itu menarik perhatiannya. Langsung dia memberhentikan kereta di bibir jalan agak jauh ke depan dari taman rekreasi itu.

Zakuan terdiam lama di dalam kereta. Dia tahu dua orang gadis itu adalah Wardah dan Benn. Hatinya tergerak untuk bersama mereka… eh, bukan! Dia cuma mahu memerhatikan mereka. Lagi pun dia perlu bukti kukuh untuk menguatkan hujahnya yang setakat ini hanya berlandaskan gerak hatinya sahaja tentang siapa Wardah yang sebenar.

Zakuan melangkah keluar dari kereta. Dia pasti yang mereka tidak sedar akan kehadirannya kerana kedudukan keretanya agak rendah di balik bukit dan agak terselindung di sebalik deretan pokok teh yang memagari taman rekreasi itu. Berkemeja T putih dengan jeans biru muda, Zakuan tersandar di kereta dengan kaca mata hitamnya. Tiba-tiba dia terpandang kereta tolak yang ada bibir jalan di hadapannya. Mungkin ditinggalkan pekebun untuk ke tempat rehat memandangkan waktu sekarang sudah hampir tengahari. Timbunan kecil rumput-rumput yang dicabut berlonggok di tepi pokok teh itu. Mungkin pekerja itu sedang melakukan rutin harian mencabut rumput di keliling pangkal pokok sebelum keseluruhan rumput dipotong menggunakan mesin rumput pula. Sebuah topi mengkuang yang lebar ditinggalkan di atas kereta tolak bersama dengan peralatan untuk berkebun. Zakuan terus memerhati kereta tolak itu. Lama.

“Bangsawan? Sekarang mana ada wujud bangsawan-bangsawan ni!” Suara Benn meninggi bila mendengar anganan Wardah.

Slow betullah kau ni! Sekarang ni jutawanlah!”

Benn ketawa mengekek. ‘Aku tak pernah sangka aku dapat kawan dengan orang yang berangan nak jumpa dengan jutawan ni, tau tak! Geli!”

“Bukan macam yang kau fikirlah! Aku nak mencontohi Rasulullah yang berjaya dagangkan barang-barang dagangan milik Siti Khadijah, wanita bangsawan yang mulia dan kaya-raya tu!”

“Err… kau tak rasa terbalik ke? Kau lupa ekk? Kau tu, perempuan! Nak berdagang konon! Bukak kedai runcit je lah,” tukas Benn lagi sambil mentertawakankan Wardah. Ada-ada saja cara otak terlebih geliganya berfikir. Sebelum ini, hendak jadi sukarelawan. Mahu menyertai MERCY Malaysia. Tak takut dengan bom dan peluru sesat. Gagah hendak berjuang di Palestin dan Syria. Sekarang hendak berdagang pula!

“Isyhh… sempit betul fikiran kau ni! Kau tak faham, sebenarnya. Kalau aku jumpa orang kaya yang sanggup bagi aku jalankan bisnes dia, aku nak ubah kepada cara perniagaan Rasulullah. Aku banyak belajar dari abi, kau tau tak. Abi tak ikut sistem kapitalis tu. Nanti kalau aku berjaya, lagi untung orang kaya tu. Tapi ada syaratnya. Keuntungan dia mesti dibelanjakan ke jalan Islam. Barulah Islam jadi syumul.” Sepasang mata Wardah menerawang ke langit. Setinggi itulah cita-citanya. Tapi sayang, dia tahu Benn tak akan faham.

Benn semakin laju menggeleng kepala. Letih hendak melayan angan-angan si Wardah. Ramai-ramai gadis yang dia jumpa, tak pernah sepelik Wardah. Angan-angan tak bertapak di bumi sungguh!

“Jadi, kau nak kahwin dengan orang kayalah ni,” soal Benn sambil mengunyah bebola kaya yang sudah suam-suam kuku.

“Aku tak minat nak kahwinlah. Tapi kalau dengan kahwinlah, boleh buat macam tu, apa salahnya. Kahwin atas dasar cita-cita. Bukan atas dasar cinta macam yang kau idamkan tu!”

“Cittt! Bila masa pulak aku mengidam nak bercintan-cintun ni ha? Kau salah oranglah!” Wardah ketawa lepas. Dia sengaja! Benn cukup alergy dengan perkataan ‘cinta’. Sebab itu, dia selesa bersama dengan gadis itu. Rimas bercakap tentang cinta.

“Eh, dah tengahari dah, kesian pakcik tu masih bekerja lagi!” Wardah yang tiba-tiba terkejut apabila ternampak seorang lelaki bertopi mengkuang terbongkok-bongkok di sebalik deretan pokok teh yang memagari lereng bukit dekat dengan tempat mereka duduk. Rasa belas kasihan menyelinap dalam hatinya.

“Dia tak rehat ke? Haa, dah jam dua belas sekarang,” ujar Benn sambil membelek jam tangannya.

“Kesianlah. Dahaga agaknya panas-panas ni. Benn, aku nak bagi pakcik tu durian crepe dengan minuman aku ni. Kau punya rojak tu, share dengan aku, ya?”

“Wahhh…” Benn menjeling panjang. Wardah mengerutkan muka. Teruk sungguh Benn!

‘Durian crepe tu! Aku baru nak rasa!” Tanpa mempedulikan Benn yang memprotes, Wardah bangun sambil meraih bekas minuman dan durian crepe yang belum disentuh. Dia melangkah perlahan-lahan ke tepi pokok teh yang memagari dan memisahkan antara mereka dengan si tukang kebun.

“Assalamualaikum, pakcik,” tegur Wardah dengan lembut. Lelaki itu terkejut lalu terduduk sambil menundukkan kepala.

“Eh, maaf! Saya buat pakcik terkejut. Ni, ada minuman dan makanan sikit untuk pakcik. Ambillah.” Gugup juga Wardah dibuatnya.

Topi mengkuang itu bergerak-gerak bila lelaki itu menggelengkan kepalanya. Wardah tersengih. Pemalu pula pakcik ini.

“Pakcik, tak baik menolak rezeki. Kalau pakcik ambik ni, nanti rezeki saya Allah bagi berganda. Ambillah, pakcik,” pujuknya dengan lemah lembut. Simpatinya melimpah-ruah dengan sikap pekebun itu.

Sekali lagi topi mengkuang itu bergerak-gerak kerana dia tetap menggeleng.

“Pakcik, berkat kalau berkongsi makanan. Saya belum sentuh lagi makanan ni. Kami masih ada makanan yang lain. Pakcik ambil ya,” Wardah sabar memujuk. Tersentuh dia dengan sikap si tukang kebun yang pemalu.

Perlahan-lahan tangan dihulurkan ke atas. Wardah terkejut sekejap tetapi kemudian tersenyum gelihati. Dia mendekatkan bekas minuman dan plastik yang mengandungi bekas berisi durian crepe ke tangan lelaki itu. Kini kedua-dua tangannya mencapai apa yang dihulurkan Wardah tetapi kepala tetap menunduk.

“Makan ya, pakcik,” pelawa Wardah.

“Terima kasih,” suara yang dalam dan maskulin tiba-tiba kedengaran. Wardah tersenyum senang lalu menjawab dan melangkah pergi.

“Jomlah kita balik. Mungkin pakcik tu nak rehat kat sini tapi malu dengan kita,” ajak Wardah bila Benn tak sudah-sudah mengunyah.

“Laaa… aku baru nak makan!”

“Kau ni kan, sensitiflah sikit. Dah, kita makan kat chalet je.” Wardah selamba mengambil bekas minuman dan memasukkan kembali bekas rojak ke dalam plastik. Benn buat muka cemberut tapi dia melangkah juga mengekori Wardah.

“Tangan pakcik tu kan, putih betul. Bersih je. Tak macam tangan tukang kebun, tau tak?”

“Kan orang berkebun pakai sarung tangan. Sebab tulah tangan dia bersih. Apalah engkau ni! Benda macam tu pun aku kena bagitau. Eh, ada tinggal apa-apa tak…,” serentak itu Benn dan Wardah memandang ke belakang. Meja dan kerusi kosong, tiada apa-apa yang tertinggal. Tapi…

Seorang lelaki agak berumur sedang berjalan laju ke arah tukang kebun yang bertangan putih bersih itu. Kedengaran seperti dia menjerit kemudian berlari-lari anak ke arah tukang kebun yang masih duduk di tepi pagar pokok teh itu.

“Siapa pulak tu?” Soal Benn yang agak terperanjat dengan telatah pakcik tukang kebun yang tiba-tiba muncul.

MAKNA PADA RASA Teaser #03

cover Ilham1

Ciptalah kenangan terindah bersamanya, Puteri. Sebelum dia menjadi milik orang lain… Hatinya berbisik sayu. Puteri tertunduk menahan sebak. Jemarinya tiba-tiba diraih Nuqman, dielus lembut. Seakan-akan dia tahu! Mereka melangkah beriringan masuk ke dalam rumah.

“Rumah ni cantik sangat, Ika. Ibu dan adik-adik saya asyik memuji. Saya pun suka. Tapi macam yang saya jangkakan, rumah ni lebih berseri bila Ika ada di dalamnya…” Selamba Nuqman memeluk pinggangnya dari belakang sebaik sahaja mereka berdiri di tengah-tengah ruang tamu untuk menikmati hasil kerja Puteri dengan teman-temannya. Puteri yang terkejut tertunduk mengulum senyum. Siapa yang tidak bahagia dipeluk insan tersayang? Walaupun malu bukan kepalang tetapi dia merelakan. Haruman tubuh Nuqman amat mengasyikkan sampai Puteri rasa tenggelam…

“Ika suka tak berada dalam rumah ni?” Soal Nuqman di tepi telinga, menyentak dirinya sebelum lemas!

“Err… suka!” Dia menghela nafas gelabah dengan senyuman meleret. Jantung sudah semakin kuat berpalu. Tangan Nuqman makin erat melingkari pinggangnya. Ya Tuhan!

“Ni baru ruang tamu, tau! Belum syurga kecil kita lagi… jom?” Terpejam mata Puteri mendengarnya. Syurga kecil? Maksudnya… oh! No! No! No! Cepat matanya terbuka luas.

“Err… awak… lusa awak nak balik dah, kan? Apa kata kalau saya masakkan untuk awak tengahari ni? Awak tak nak rasa masakan saya?” Otak pintarnya pantas bekerja.

“Betul ni? Anak manja Tan Sri Hasyim pandai masak? Wah! Terujanya saya nak rasa… arrghh!” Senak perut Nuqman disiku Puteri. Rasakan! Mengejek ya? Puteri langsung menyinsing lengan, melemparkan beg tangannya ke sofa lalu menuju ke dapur. Nuqman tergelak-gelak sambil menahan sakit lalu terduduk di sofa. Ganasnya isteri!

Sampai di peti sejuk, Puteri cemas sekejap. Apa yang ada agaknya? Boleh ke aku masak kalau bahan tak cukup? Err… menu dalam kepala dah lah limited! Aduhai… nak selamatkan diri punya fasal, akhirnya dia juga yang terjerat.

Dalam ruang sejuk beku ada ayam separuh. Lega! Ada kentang segera yang sudah siap dipotong. Ayam goreng? Nasiblah! Janji kenyang. Puteri menyiasat peti sejuk itu sampai ke bawah. Ada brokoli, lobak merah, cili padi, sedikit rempah ratus, mentega dan jem. Kira jadilah ni! Hati Puteri berbisik sendiri. Pantas tangannya mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan ke sinki. Dia harus menyibukkan diri sebelum Nuqman datang menggoda lagi!

“Apa yang boleh saya bantu?” Kan dia datang lagi! Puteri menjeling sekilas. Nuqman mengeluarkan papan pemotong dan pisau dari laci kabinet dapur.

“Awak! Jangan sibuk, boleh tak?”

“Amboi!”

“Saya tak reti nak masak dengan orang. Selalu saya masak sorang-sorang. Kelam-kabut saya nanti.”

“Alaa… macam tu pulak! Selalunya isteri suka suami bantu di dapur. Eh, bukan Ika ada pembantu rumah ke?”

“Kat rumah tu kan ramai lelaki yang dominan? Macam-macam diaorang demand. Saya kesian kat Cik Nor. Dia tak pandai sangat masak yang bukan-bukan. Kalau masakan kampung, memang Cik Nor pakar. Masa ada ibu dulu, ibu selalu masakkan masakan kegemaran kami macam seafood, western, macam-macamlah. Bila ibu tak ada, terpaksalah saya masuk dapur nak masak untuk selera diaorang yang macam-macam tu. Kalau tak, abah asyik bawak kami makan kat luar je. Sedangkan ibu tak galakkan kami makan di luar.” Bila kerap menyebut ibu, Puteri jadi sebak. Jarang dia bercerita tentang ibu kepada sesiapa. Kerana tidak mudah untuk dia berkongsi kenangan bersama ibu tanpa diruntun perasaan kehilangan.

Nada suara Puteri yang semakin berubah membuatkan Nuqman tersedar. Kehilangan ibu masih terasa. Betapa gadis manja itu sebenarnya sudah menggalas tugas yang berat mengganti ibu di dalam keluarga itu walaupun dialah yang paling muda. Rasa kagum dan terharu datang menyapa. Malah sifat prihatin Puteri terhadap sesama manusia sangat terserlah saat dia sanggup menyerahkan semua wang yang dia miliki kepada pelarian Syria di daerah Al Fateh ketika mereka ke sana dulu.

Puteri tidak sedar dirinya ditenung lama. Air yang bertakung di dalam kolam matanya melimpah. Cepat-cepat dia mengesat dengan belakang tangan, kemudian laju dia mencapai papan pemotong yang dikeluarkan Nuqman untuk memotong brokoli yang sudah dibilas.

“Ika tahu tak, dalam tak sedar, Ika ada sifat keibuan yang tinggi. Bertuah anak-anak saya nanti…” Kata-kata Nuqman singgah di pendengarannya membuatkan tangannya terhenti dari memotong brokoli. Nuqman sudah berlalu ke peti sejuk. Anak-anak saya nanti? Tak, Nuqman! Anak-anak awak nanti bukan lahir dari rahim saya. Dalam sebak hati Puteri berbisik. Pedih sungguh dengan kenyataan itu. Namun ditelan juga walaupun payah. Dia yakin, Najjah pasti lebih layak. Dia bukan saja punya sifat keibuan, bijak malah solehah. Amat jauh lebih layak berbanding dirinya.

“Okey, Ika masak. Saya buatkan air. Apa yang ada ni? Kita ada ribena, oren dan laici. Hmm… memanglah…!” Nuqman mengomel sendirian. Puteri hanya mendengar di hujung telinga. Perasaan sedih cuba dibuang jauh-jauh. Brokoli yang sudah siap dipotong diletakkan ketepi. Ayam yang masih beku dikeluarkan dari plastik dan dimasukkan ke dalam besen untuk direndam terlebih dahulu. Air paip dibuka perlahan.

“Ika suka ribena?”

“Suka!”

“Hmm… dah agak dah! Sama je, kanak-kanak ribena jugak!”

“Eh! Awak mengumpat saya ya?”

“Mana ada! Saya cakap yang betul je. Ika tahu tak, Ika dengan Najjah banyak persamaan. Sama-sama manja, macam kanak-kanak ribena!”

“Memanglah! Dah kami sep…” Puteri menekup mulut dengan lengan.
Nuqman yang baru menutup peti sejuk terdiam sekejap. “Ika dah kenal dengan Najjah ke sebelum ni?”

“Eh! Tak de lah. Saya kenal masa di kampung tu lah. Maksud saya, kami kan masih belajar lagi. Tapi tak bermakna kami belum matang, ya! Awak cakap elok-elok sikit!”

“Hmm… tak taulah saya kalau Ika dan Najjah duduk serumah. Mesti pening saya dibuatnya!”

“Amboi! Sedapnya mulut!” Laju tangan Puteri mencubit pinggang Nuqman yang sedang membuka pintu kabinet yang melekat tinggi di dinding di sebelahnya. Geram!

“Adoi! Apa ni!”

“Padan muka! Sedap mengata orang!”

“Betullah apa yang saya kata, kan?”

“Saya bukan budak-budak lagi lah!”

“Ye ke? Saya pegang pun dah takut!”

“Siapa kata saya takut?”

“Betul awak tak takut?” Muka Nuqman sudah tersembul dalam jarak tiga inci dari mukanya.

‘Mestilah saya tak takut!” Geram punya fasal, tak sedar mukanya didekatkan lagi satu inci sambil mata bundarnya semakin dijegilkan.

Kemudian keduanya terdiam. Terkaku. Pandangan yang saling menikam menjadi kendur. Nafas mereka berlaga. Getar di hati terserlah di mata. Pandangan Nuqman jatuh ke hidung Puteri, kemudian turun lagi ke bibir yang terbuka.

“Then, let me touch you…” Kata-kata itu hilang dan diganti dengan sentuhan lembut di bibir Puteri. Kini Puteri benar-benar hilang rasa takut. Rasa takut dan gementar diganti dengan seribu gelombang rasa yang mengharukan! Puteri tidak mampu lagi menolak saat Nuqman menghirup kemanisan cinta yang selama ini amat didambakannya.

Ayam sudah tenggelam lemas di dalam sinki. Air paip yang terbuka terus mengalir rakus. Saat bagaikan berdetik laju kerana cemburu. Akhirnya ada yang melimpah basah di kaki.
Serentak itu Puteri dan Nuqman memandang ke bawah. Banjir!

Moga terhibur!

Salam sayang!