KENAPA BUKAN DIA? Bab 12

Hello, Dahlia!

Seminggu selepas itu, Unit Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif riuh bila waktu bekerja tamat. Masing-masing sibuk bersiap kerana mahu bergerak ke hotel Sutera Harbour bagi meraikan pengantin baru. Masing-masing teruja hendak melihat sendiri gadis bertuah pilihan Dr. Model.

Sepasang kaki menapak masuk dan berhenti di tengah ruang mengubah suasana jadi pegun. Setiap pasang mata terpaku memandang sepasang stiletto merah hati yang berkilat. Kemudian pandangan mereka sama-sama merayap naik melihat skirt labuh putih vanila yang dipadankan dengan baju dari rona yang sama. Sehelai selendang putih tipis membalut separuh daripada rambut perang yang berombak mencecah bahu. Satu figura yang begitu sempurna. Bidadarikah dia?

Hello, is Dr. Zack al Haddad here?”

Yes!

No!

Yes!

Mereka saling bertingkah antara teruja dan terpinga. Diakah orangnya? Sepasang mata yang berkaca rona hijau zamrud itu berkerdip tak mengerti.

Err… he was here but he’s out now…” Shidah cuba menerangkan keadaan.

Bidadari itu tertawa manis. “Ohh… I thought I could give him a surprise. But I guess, I’m a bit late. I’ve just touched down, actually. Then, I came here straight from the hotel, hoping to surprise him.

Suzy, Shidah dan Kalim saling berpandangan. Loghat British kedengaran agak tebal dalam pertuturan gadis itu mengundang berbagai persoalan dalam minda mereka.

Are you a patient? May I know your name?” Suzy bertanya kerana dia yakin tiada temujanji dengan mana-mana pesakit dari luar negara yang ada dalam catatan.

Ohh… I apologise! I’m Lara Dickman. No, I’m not a patient.” Wanita itu tersenyum cantik dan mesra juga orangnya.

Suzy berkalih ke arah Shidah dan Kaling dengan pandangan teruja, “Then… she must be her!”

Dua pasang mata itu membulat bila mendengar kata-kata Suzy. Dia berpaling semula dengan rasa yakin yang wanita inggeris ini pasti telah menjadi pilihan Dr. Model. “Well, Dr. Zack invited all of us to the dinner. But we are so lucky to have met you here. This is a very nice surprise!

Oh… really? I wonder where would it be?

It’s the Pearl Harbour Hotel.”

Oh… the same hotel that I’ve just checked in! So, see you all there. Thank you! Thank you for your time.

Wanita itu bergegas pergi dengan wajah yang begitu ceria meninggalkan mereka dalam keadaan yang seperti tadi – terpukau. Cantik sungguh pilihan Dr. Model!

****

Irama muzik yang kedengaran begitu romantis beralun lembut dari piano yang sedang dimainkan oleh pemuzik dari tengah ruang restoran yang dipilih Zarim untuk jamuan makan malam mereka. Segak berbaju melayu rona merah jambu gelap, dia menyambut tetamu yang datang. Tak ramai, cuma dalam dua puluh orang sahaja dari kenalan, rakan sekerja dan staf dari hospital.

You look gorgeous tonight, Dr. Zack,” Dr. Herlina langsung tak berselindung, memuji lelaki dambaannya yang begitu mempersona malam itu sambil menutup rawan di hati bila dijemput untuk makan malam meraikan perkahwinan lelaki itu dengan gadis pilihannya. Rupanya betul kata Si Imran. Zack dah ada pilihan hati. Ahh… mana tahu, mungkin pilihan orang tua sebenarnya. Dan dia memang tak sabar untuk melihat gadis itu!

Thank you, Dr. Herlina. Terima kasih sudi datang malam ni. Im, silakan!” Zarim menyambut kedatangan pasangan itu dengan senyuman manis. Huluran tangan Dr. Imran digenggam kemas.

Dr. Imran mengangkat kening, memandang sahabatnya dengan senyum penuh makna. “Tahniah, Zack. Sekarang baru penuh senyum kau. Tak sabar nak jumpa your wife. She must be somebody…

“Hahaha! Ada je kau ni, Im! Dah jodoh, aku bersyukur sangat.” Zarim tergelak dan teruja pada masa yang sama. Sepasang matanya melirik ke arah tangga yang melingkar dari tingkat atas untuk melihat kedatangan puteri dan permaisurinya yang tadi terkejut bila diminta naik ke bilik untuk dipersiapkan. Satu kejutan yang dia susun untuk mereka berdua yang menyangka malam itu hanya makan malam biasa.

Saat yang ditunggu tiba akhirnya. Dahlia Eshal muncul berpimpinan tangan dengan Bella yang kini memakai gaun labuh sedondon rona merah muda yang amat lembut. Tubuh gadis itu langsing persis seorang model namun langkahnya yang sopan dan wajah yang tersenyum malu menjadikan dia amat memikat. Bella yang memang comel dan manis di sisinya menyempurnakan segalanya. Zarim tertegun berdiri menyaksikan pemandangan yang amat indah itu.

“Hello Zack…”

Satu suara yang amat dia kenali menyapa di belakangnya membuatkan pergerakannya kaku. Suara itu cukup lembut namun mampu membekukan segalanya. Nafas Zarim tersekat di kerongkong. Mindanya berputar ligat. Di hadapannya adalah kebahagiaan yang mungkin akan musnah sebaik saja dia menoleh ke belakang. Hatinya berbisik cemas, Tuhan! Aku hanya hamba-Mu, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Mu.

Derap kaki melangkah kalut dan suara bertingkah semakin kuat kedengaran dari arah belakangnya. Zarim masih tak mampu berpaling. Debar jantungnya semakin kuat berpalu. Namun kakinya terus terpasak di situ.

“Zack, please!

Suara itu semakin merayu. Sepasang mata Zarim terpejam menahan amarah.

“Dr. Zack!”

Hi, Miss Lara!”

Congratulations!

Terkejut Zarim mendengar suara-suara yang dia kenali. Pasti wanita itu sudah ke klinik sebelum ke sini. Maklum yang dia lebih mudah dijejaki bila bekerja di hospital kerajaan. Zarim akhirnya memaksa diri berpusing dan menyambut kedatangan staf kliniknya, Suzy, Shidah dan Kaling. Tanpa mempedulikan wanita yang berdiri sama tinggi dan dekat dengannya, dia merapati mereka seraya menjemput tetamunya duduk di meja yang sudah dikhaskan.

“Dr. Zack, cantiknya isteri doktor. Tak sangka orang jauh rupanya. Patutlah…”

“Eh, taklah. Isteri saya dekat saja. Orang kampung saya,” santai Zarim menafikan seraya memperkenalkan isterinya dengan lirikan mata ke arah anak tangga. Dia melangkah ke arah Dahlia yang malu-malu memaut mesra lengan kirinya sambil memandang lembut. Zarim hampir lupa mereka di mana saat itu dek tenggelam dalam pandangan isterinya. Mujur Bella pula meraih tangan kanannya. Langsung dia tunduk sambil mengenyitkan mata dan berkongsi senyuman bahagia dengan puteri kesayangannya. Namun hati di dalam semakin kuat berkocak bila menatap sepasang mata Bella. Dia tak mahu anaknya berdepan dengan sesuatu yang buruk nanti.

Zarim memimpin tangan dua insan kesayangannya, beriringan menyambut tetamu. “Saya jumpa yang lebih cantik, Shidah. Sebab sekarang saya tahu yang cantik tu sebenarnya terletak pada hati. Kenalkan isteri saya, Dahlia Eshal dan anak saya, Bella.”

Mereka saling berpandangan. Melihat wajah Bella dan isteri Dr. Zack, pastinya mudah untuk mereka membuat andaian siapa sebenarnya wanita bernama Lara. Namun tanpa bertangguh, mereka bersalaman sambil mengucapkan tahniah. Zarim turut memperkenalkan stafnya seorang demi seorang kepada Dahlia.

Kemudian tangan Dahlia disambut seseorang. “And I am Lara, Bella’s mother. Hello Dahlia!

***KENAPA BUKAN DIA (KBD) sampai di sini saja. Terima kasih sudi ikuti kisah Ayim & Berry. Boleh dapatkan zinebook ini dalam bentuk ebook (RM12) atau versi cetak RM15.

Whatsapp 011-20503481 untuk pesanan ya. Jumpa lagi dalam siri novel RENJANA selepas ni.

Salam sayang!

KENAPA BUKAN DIA? Bab 11

Yang Cantik, Yang Molek

“Sejak bila awak jadi pengasuh?”

Tangan Dahlia yang sedang mengelap pinggan di dapur terhenti. Bukan soalan yang ditanya menyentak dirinya tapi nada suara Zarim yang tak pernah dia dengar setegas itu. Tak tentu arah Dahlia dibuatnya. Malah dia tak pasti cara mana harus dia terangkan. Bukan dia yang mengenalkan dirinya sebagai pengasuh. Tapi… dia sengaja membenarkannya.

Langkah Zarim kian mendekat. Dahlia makin tak tentu arah. Aduh! Macam mana nak jawab ni? Sangka Dahlia, Zarim penat sebab sebaik saja Rica pulang, dia hanya mendiamkan diri. Selepas mereka solat isyak berjemaah, Bella mengaji dan dia bacakan buku cerita sampai anak itu terlena. Waktu itu, Zarim menghilangkan diri di bilik. Dahlia pula ke dapur untuk menyambung kerja-kerja mengemas. Tak sangka Zarim akan mendatanginya dengan soalan yang begitu serius.

“Saya tanya awak ni, Lia. Kenapa awak tak kenalkan diri awak sebagai isteri saya?”

Dahlia terkejut sungguh dengan tingginya suara Zarim. Tersekat nafasnya dan terus mati pergerakannya.

“Semua ni sebab awak nak balik, ‘kan? Awak nak balik ke Kampung Beranang tu, nak tinggalkan saya dengan Bella sebab awak tak sanggup nak berpisah lama dengan Hanafi. Macam tu, ‘kan? Saya faham semuanya, Lia!”

Tertarik nafas dibuatnya. Sepasang mata Dahlia terbeliak membulat. Serentak itu, dia berpusing mengadap suaminya. Pandangannya mencerun marah dan selepas beberapa detik, riaknya berubah sayu. “Sampai hati awak!”

“Saya atau awak yang sampai hati, Dahlia Eshal?” bentak Zarim dengan begitu tegas. Terbakar sungguh hatinya dengan perbuatan Dahlia. Dia tak pernah menyangka gadis yang begitu lembut rupanya keras hati seperti batu.

Dahlia tertunduk sebak. Terguris sungguh dia dengan tuduhan Zarim.

“Saya tak sangka yang saya terpaksa bersaing dengan orang yang dah tak ada di dunia ni. Saya cuba, Lia. Saya cuba! Bukan saja saya, atok, opah dan seluruh keluarga saya harapkan awak akan teruskan hidup lepas apa yang terjadi. Tapi …” Zarim tak mampu nak meneruskan kata-katanya. Dia jadi terlalu kecewa malam ini. Diraup rambutnya ke belakang, cuba mengawal diri dari menjadi emosi. Namun hati lelakinya benar-benar terusik.

“Demi Tuhan, kalau saya dapat ulang masa. Saya takkan biarkan dia ganti tempat saya masa tu. Saya lebih rela mati dalam kemalangan tu daripada menanggung rasa bersalah macam…”

“Cukup, Zarim! Cukup! Tolonglah…” Terjerit Dahlia dibuatnya. Kenapa sampai macam tu sekali Zarim buruk sangka terhadapnya. Sebak dalam dadanya tak terucap. Laju dia menekup bibir dengan belakang tangan, menahan diri dari teresak. Dia masih rasa bersalah! Itu sebab dia sanggup kahwin dengannya!

Look at me, Lia…”

Dahlia tertunduk di situ, tertarik nafas. Gementar tubuhnya yang masih mengadap sinki. Dipejamkan matanya rapat-rapat. Pinggan yang di tangan didakap erat ke dada. Takutnya hendak berhadapan dengan suami! Tak sanggup nak mendengar segala sangka buruknya lagi.

Please look at me…

Nada suara Zarim tiba-tiba berubah lembut seolah-olah merayu. Sepasang mata Dahlia yang hangat dengan air jernih yang bertakung di situ langsung celik luas dan anak matanya berlari-lari tak tentu arah. Kenapa Zarim begitu marah tapi tiba-tiba jadi sedih…

Bahunya disentuh dan tubuhnya dipusingkan. Pinggan dan tuala dapur di tangannya diambil dan diletakkan di atas kabinet di belakangnya. Di waktu itu, Dahlia sedang terpempan memandang riak wajah Zarim yang seperti… sayu?

Zarim memandang tepat ke dalam kolam mata Dahlia yang berkaca. “Don’t you like me, Berry?”

Tuhan saja yang tahu betapa terkejutnya Dahlia mendengarkan soalan itu. Dengan nada dan pandangannya, Zarim seolah-olah… terluka? Ya Allah! Dahlia telan liur lagi. Kelu lidahnya mahu berkata. Dirinya diserang rasa bersalah. Sedangkan itu bukan itu maksudnya. Serentak itu, Dahlia tergeleng kecil.

No? Not even a bit?” soal Zarim lagi sambil terteleng memandang Dahlia dengan senyum yang dibuat-buat. Sedangkan anak matanya bergerak-gerak, jelas yang dia sedang terluka.

No!” Terjerit Dahlia dibuatnya. Sungguh! Bukan itu maksudnya!

Really?” terbeliak mata Zarim tak percaya. Sungguh Dahlia tak sukakannya? Tertelan liurnya dengan nafas yang tersekat. “I’m that bad, huh?

“Ya Tuhan!” Dahlia dah tak tahu nak kata apa. Tertunduk dia dibuatnya tapi terhantuk pula kepalanya di dada lelaki itu yang terlalu dekat dengannya.

Zarim ketawa kecil dalam keliru. Namun kepala isterinya didakap erat dan dikucup lama. Kuatkan hati aku untuk terima semua ni, ya Allah! Hati Zarim berbisik pilu.

Dahlia? Terpejam sepasang matanya dek sentuhan itu. Terbang segala gusar, takut dan bimbang. Sentuhan itu terlalu mendamaikan. Lalu tanpa sedar, kedua tangannya memeluk tubuh lelaki itu dan didakapnya sepenuh hati. Itulah jawapan sebenar yang mahu dikatakannya. Namun lidahnya kelu, dia terlalu malu untuk meluahkannya dengan kata-kata.

Sesaat Zarim terpaku bila dipeluk begitu. Sentuhan pertama Dahlia Berry bagaikan magis, meruntuhkan segala amarah dan kecewanya. Perlahan-lahan, senyuman menguntum di bibir. Dia… salah faham rupanya.

So…,” Zarim berbisik di telinga Dahlia. “You do like me, Berry?”

Kepala di dadanya mengangguk-angguk. Zarim tertawa lepas. Bagai terangkat segala bebanan rasa selama ini. Langsung bahu Dahlia dipegang dan tubuh mereka dijarakkan. Dagu Dahlia diraup lembut dengan telapak tangannya memaksa gadis yang sedang tertunduk malu itu mendongak. “How much?

Kali ini Dahlia pula tertawa kecil dalam menahan malu yang teramat namun soalan itu masih tak mampu dijawab. Tak tahu hendak ke mana, disembunyikan sekali lagi wajahnya ke dada lelaki itu membuatkan Zarim semakin kuat ketawa.

Tuhan… syukur!

Dan malam itu adalah malam yang amat panjang dan manis.

****

Zarim memandu menyusuri Jalan Tun Fuad Stephen selepas menghantar Bella ke sekolah pagi itu. Dahlia yang jadi kelu selepas berbalas lambaian tangan dan kucupan dengan anak gadis kenit itu terus senyap menikmati keindahan sang suria yang mula menyimbahkan cahayanya ke bumi Kota Kinabalu. Horizon saujana mata memandang membuatkan hatinya tak henti-henti memuji Sang Pencipta. Terdetik rasa malu dalam dirinya yang lalai dari mengucapkan syukur kerana hanyut dalam nikmat dunia kurniaan-Nya seperti malam tadi.

Tiba-tiba jari-jemarinya di riba diraup. Hangat sentuhan itu terasa sampai ke jantung. Terhenti nafas beberapa saat. Dahlia tak mampu berpaling, terus memaku pandangannya ke luar tingkap kenderaan itu namun seluruh dirinya bagaikan ada dalam genggaman tangan itu. 

“Lia lapar, ‘kan?”

Terkejut dengan soalan itu, Dahlia tertunduk dan tersenyum seraya mengangguk. Zarim tersenyum lebar. Hatinya begitu teruja bila melihat Dahlia begitu malu sejak bangun dari lena yang sepincing cuma. Betapa tidak, sepanjang malam dia meluahkan segala rindu dan kasih yang terhimpun sekian lama buat gadis itu yang hari ini bergelar wanita. Wanita yang diciptakan untuk melengkapi dirinya.

Dia teringatkan kuliah subuh di surau Kampung Beranang ketika bercuti di sana dulu. Antara yang pernah dikongsi oleh imam waktu itu, tentang sifat malu. Hadis nabi menyebut yang malu itu sebahagian daripada kesempurnaan iman. Kerana sifat malu itu menjauhkan insan dari melakukan perbuatan yang buruk. Cerita imam lagi, malu itu sifat wanita yang asli. Kurangnya sifat malu pada kaum hawa menunjukkan kiamat hampir berlaku.

Dalam diam dia mengakui bahawa era ini, semakin jarang bertemu wanita yang masih punya sifat malu. Kebanyakannya bersikap begitu terbuka dan lepas bebas. Malah mereka bangga menonjolkan diri dan berusaha menarik perhatian orang lain terhadap diri mereka. Tanpa segan silu, perlakuan yang tak bermoral dipaparkan di media sosial untuk tatapan semua orang. Lebih dahsyat lagi bila sifat malu dipandang negatif. Sedangkan sifat itu adalah yang asli, fitrah yang Tuhan ciptakan dalam diri, yang dipandang mulia oleh-Nya. Sayang hari ini terkikis dek kemodenan kononnya.

Dia teringat saat pertama kali memandang wajah Dahlia, gadis itu cepat menundukkan pandangan. Dia tak dapat menipu diri yang detik pertama mereka bertemu, hatinya sudah terpaut. Selalunya dia teruja kalau bertemu gadis-gadis cantik kerana pasti ada pandangan kedua dan ketiga yang melirik ke arahnya. Gadis di zaman ini tak lagi segan silu memandang lelaki yang menarik perhatian mereka. Lagi-lagilah kalau mereka juga menjadi perhatian. Namun Dahlia amat berbeza. Dia tak suka dirinya diperhatikan. Sampai sanggup berkelambu, katanya!

Zarim tertawa kecil sambil berkalih memandang isterinya yang asyik memandang ke luar tingkap. Dia bukan gadis yang pemalu dan naif seperti yang selalu ada pada gadis-gadis kampung biasa. Malah dia sangat berani dan cerdik. Namun sifat malunya terserlah bila dia menjaga akhlak dan syariat. Itu tandanya malu Dahlia kerana Tuhannya.

Kalau dulu, Zarim bangga memiliki seorang isteri yang cantik dan sempurna. Dia rasa hebat mempertontonkan kecantikan isterinya di mata ramai. Namun sekarang, dia amat sedar yang kecantikan luaran itu tak membawa kebahagiaan kalau hati tak cantik. Hidup mereka tak tenang. Panas dengan cemburu, iri hati dan buruk sangka. Semua itu rupanya berpunca dari hati yang tak cantik. Maka untuk hidup bahagia, kecantikan luaran sama sekali bukan sandarannya.

Mereka akhirnya tiba ke sebuah hotel. Dahlia kehairanan namun dia ikut turun dari kereta. Zarim menghampiri sambil menghulurkan tangan. Tergelak Dahlia dengan watak romantis lelaki ini. Dibiarkan saja jari-jemarinya dalam genggaman suami sambil mereka mengatur langkah masuk ke dalam hotel.

“Lia suka tengok matahari naik, ‘kan? Kita sarapan kat sini sambil tengok laut,” beritahu Zarim sebaik saja mereka masuk ke Rosea Café yang letaknya mengadap laut. Kombinasi penataan cahaya lampu dalam kafe itu, adunan warna dan muzik serta aromanya amat memikat. Buat mereka yang memang sedang kelaparan jadi kecur liur, tak sabar nak bersarapan. Apatah lagi bila melihat deretan makanan di meja hidangan.

“Lia, kita makan malam dengan staf saya ya. Saya nak kenalkan isteri saya kepada semua orang. Supaya jangan ada yang sangka saya belum berpunya lagi. I have to let them know that I’m taken,” Zarim ketawa di hujung katanya sambil memandang Dahlia di hadapannya dengan rasa teruja.

Dahlia agak terkejut namun dia cepat tunduk melindunginya di sebalik senyuman. Terganggu sekejap seleranya dalam menikmati nasi lemak udang harimau yang dipilih Zarim untuknya. Menu khas di kafe itu memang sedap. Sejak bangun pagi tadi, memang Dahlia mengelak sungguh dari memandang suaminya. Dia malu bila Zarim asyik mengusik melalui pandangannya yang penuh makna. Sekarang ditanya soalan begini pula. Dia sendiri tak pasti apakah dia sudah bersedia.

“Boleh ya, Lia? Lia setuju?”

Diam.

“Lia?”

“Saya malu…”

“Hah?” Sampai begitu sekali? Zarim garu kepala. “Kenapa? Lia malu jadi isteri saya?”

Tunduk. Diam.

“Lia?”

“Saya… saya tak sempurna…”

Zarim benar-benar tersentak kali ini. Tak sempurna? “Lia… saya tak nampakpun di mana tak sempurnanya Lia. Kenapa cakap macam tu?”

Perlahan-lahan Dahlia mengangkat mukanya. Dia tersenyum lagi. “Awak yang cakap.”

“Sssa… saya?” Dadanya diketuk dengan hujung jari sendiri. “Eh! Lia merepek. Saya tak pernah…”

“‘Kan awak tawarkan… nak jadikan saya first patient awak. Awak lupa?”

Zarim terkaku beberapa saat. Perlahan-lahan dia sedar apa yang Dahlia maksudkan. Terdongak dia ke siling kafe itu, melaung rasa sesal dalam senyap. Begitu rupanya penerimaan Dahlia.

“Saya tahu, awak suka yang cantik, yang sempurna. Sebab tu, saya… saya tak kisah… kalau awak nak yang lebih sempurna. Saya… faham.” Dahlia teragak-agak namun dia harus berterus-terang. Sudah lama dia menyimpan perkara itu sejak dia lontarkan soalan keramat kepada lelaki itu. 

“Sebab tu Lia bawa Cik Rica makan malam kat rumah kita?” Zarim mahu memastikan apa yang sebenarnya berlaku semalam.

Angguk.

Zarim tersandar di kerusi, terngadah menghela sesal. Aku tuduh dia macam-macam! Hatinya berbisik, marah dengan diri sendiri. Sedangkan dia… ya Allah! Sampai sanggup biarkan dirinya dianggap pengasuh!

Perlahan-lahan Zarim tunduk mencari sepasang mata Dahlia yang kini sedang memandang tepat ke arahnya. Terkejut yang masih belum hilang ditambah dengan rasa sesal tapi kini dia jadi gementar. Kerana itu bukan apa yang dia maksudkan!

“Lia, bukan itu maksud saya. Saya bukan nak ubah awak jadi lebih cantik sebab awak tak sempurna. Saya minta maaf. Saya betul-betul minta maaf.” Hati lelaki Zarim jadi sayu. Macammana harus dia katakan agar Dahlia kembali yakin diri yang dia sebenarnya gadis yang amat istimewa?

Awak tahu, ‘kan Lia… saya dari dunia yang manusia di dalamnya sibuk kejar glamour. Nak jadi cantik macam selebriti tu dah jadi trend. Bila saya tengok iras muka awak macam Halle Berry, saya… saya teruja. Awak dah sempurna, Lia. Cuma… itulah… saya terikut-ikut dengan selera pelanggan saya yang nak cantik macam selebriti. Sebenarnya awak manis sangat orangnya. Sekarang, bila dah lama kenal, awak lebih cantik di mata saya. Awak tahu kenapa, Lia?”

Bagi Zarim saat itu bagai ada magisnya. Dia seperti mahu meluahkan segala-galanya buat wanita istimewa ini. Melihat sepasang anak mata Dahlia berlari-lari memandangnya, seperti tak percaya dan teruja pada masa yang sama, Zarim semakin tersentuh. Wanita sepolos Dahlia takkan tahu jawapannya.

“Sebab hati awak cantik. Selama ni, saya cuma tahu menilai cantik luaran saja. Saya tak tahu hati yang cantik tu macam mana. Rupanya hati yang cantik tu buat si pemiliknya jadi lebih istimewa. Sifat malu dan akhlak… itu yang buat wanita jadi sempurna. Saya beruntung sangat sebab Allah kurniakan jodoh dengan seorang isteri yang molek luar dan dalamnya.”

Sepasang anak mata yang tadinya berlari-lari, kini terpaku memandangnya. Berkerdip. Dia terpegun. Terkaku di hadapannya. Langsung perlahan-lahan dia tunduk dengan pipi yang kini berona. Zarim tertawa bahagia dalam senyap. Hatinya berbisik, rona pipimu menyempurnakan, Lia!

Tuhan… detik ini rasanya takkan pernah terpadam dari ingatannya. Betapa sifat malu wanita ini sangat menyempurnakan. Sebagaimana malu itu menyempurnakan iman. Dia cantik sungguh, ya Tuhan! Lahir dan batinnya. Terima kasih, ya Allah! Aku akan menyayanginya sampai jannah. Aku janji, bahawa aku akan menyempurnakan tanggungjawabku sebagai imamnya. Pimpin aku, ya Allah…, hati Zarim buat sekian kalinya melafazkan syukur dan berikrar. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia tak pernah sebahagia ini!

… Bersambung

KENAPA BUKAN DIA? Bab 10

Pengasuh atau Permaisuri?

“Kenapa, Zack? Sebelum balik kampung, macam cacing kepanasan. Dah balikpun, sama juga. Dah selesai semuanya, ‘kan? Tapi aku tengok kau, tak nampak macam pengantin baru!”

Zarim tergelak sambil urut kening sendiri. Dr. Imran bila sesekali bercakap, terduduk dibuatnya. “Akupun tak tau nak cerita macam mana dengan kau, Im. Tapi ayat kau tu memang tepat.”

“Kau pendekkanlah!”

Zarim mula mengosok belakang tengkuknya. Serba-salah. “Macam mana kalau aku kata, aku cemburu dengan orang yang dah mati?”

“Hah?” Dr. Imran terhenti dari meneguk air dari botol mineral di tangannya. “Maksud kau, tunang dia yang dah meninggal tu?”

Zarim mengangguk. Memang dia sempat bercerita dengan Dr. Imran tentang kisah tragis yang menimpa Dahlia yang akhirnya membawa dia ke hospital itu. “Itulah! Pelik, ‘kan? Kalau dengan orang hidup, aku boleh berdepan ke apa. Tapi aku nak salahkan Dahlia kalau masih teringatkan arwahpun, tak boleh juga. Sebab arwah memang orang baik. Mungkin itu yang buat aku cemburu.”

“Kau sabarlah. Semua tu ambil masa. Dah dekat ni, lebih mudah…”

Telefon bimbit Zarim berbunyi tanda ada mesej yang masuk menghentikan bicara Dr. Imran.

“Sorry, Im. Kejap!” Laju Zarim membuka mesej bila dilihatnya dari Dahlia.

‘Boleh ke balik petang ni? Kita makan malam sama?’

Sepasang mata Zarim membesar. Senyumnya juga melebar. “Dia ajak makan malam, Im!”

“Haa.. tu ‘kan petanda baik tu? Kau ni… gelabah!”

Zarim tergelak bila ditempelak Dr. Imran. Laju dia menghabiskan hidangan tengaharinya. Hati mula berlagu riang. Sudah hampir seminggu bersama, hubungannya dengan Dahlia semakin akrab. Seperti teman baik. Banyak berkongsi kisah hidup masing-masing. Saling mengenali hati budi antara satu sama lain.

Zarim makin kagum dengan gadis itu. Apa yang dia suka, apa yang dia tak suka punya hujahnya sendiri. Yang jelas, dia suka sesuatu itu pasti dengan beralasan. Tidak kerana sesuatu itu hanya cantik atau istimewa tapi dengan suluhan ilmu. Pokok pangkalnya, setiap sesuatu itu kerana Tuhannya. Kerana Rasulnya. Hatta warna, minuman kegemarannya, cara tidurnya, cara makannya, tertib tingkah lakunya adalah kerana mahu menyalin sunnah.

Bila berkata tentang sesuatu, dia sentiasa merujuk kepada kisah-kisah dari zaman yang beratus malah ada yang beribu tahun dulu!

Pertama kali dalam seumur hidup Zarim, dia bertemu dengan seseorang yang seolah-olah pernah hidup di berbagai zaman. Patutlah Bella seperti tak pernah bosan dengan Bonda Lianya. Ada sahaja cerita yang dikongsi untuk dijadikan teladan.

Barulah Zarim sedar, betapa bijaknya seseorang itu jika menghayati sejarah. Pemikirannya, tindakannya dan keputusan dalam hidupnya tak semberono mengikut kata hati.

Cuma yang Zarim belum faham adalah tentang hubungan mereka. Kerana Dahlia sering mengelak kalau bercakap soal hubungan. Dia seperti amat berhati-hati. Sukar untuk diteka apa sebenarnya yang ada di hati Dahlia Berry. Itu yang membuatkan Zarim gelisah.

Apapun, dia amat bahagia waktu ini. Meskipun Dahlia seperti jinak merpati, tapi gadis itu amat mengambil berat tentang dirinya. Makan minum dan pakaiannya terurus begitu rapi. Malah Dahlia makin betah memanjakannya. Bila dia mula mengurut tubuh Zarim bila pulang keletihan, maka peluang seperti itu takkan dilepaskan. Mulalah setiap kali balik dari kerja, Zarim akan mengadu itu dan ini. Seronoknya bila diberi perhatian. Waktu begitu amat mahal sebab dia dapat rasakan yang Si Berry sudah mula sayangkannya.

Tapi kalau waktu lain dirinya disentuh, Dahlia akan berusaha menjauhkan diri secara sopan. Mungkin dia masih malu. Selain itu, Zarim tahu, dia masih belum bersedia. Tapi soalnya, sampai bila? Zarim semakin terusik hatinya bila Dahlia asyik mengelak.

Tiba-tiba telefon bimbitnya pula berdering. “Daddy, are you coming home early today?

Suara teruja Bella di hujung talian buat Zarim tersenyum lebar. Laju matanya mengerling ke arah jam tangan di tangan. Tak sabar nak tungguk waktu untuk pulang!

Yes, princess! InsyaaAllah.” Zarim menjawab dengan ceria seraya memandang Dr. Imran yang sudah terangkat-angkat keningnya.

Petang itu, aroma dari dapur amat mengecurkan liur sebaik saja dia membuka pintu. Dahlia sambut dengan senyuman yang amat manis. Susun atur meja makan sudah hampir siap. Si kecil sedang sibuk menyusun sudu dan garfu di tepi pinggan sambil becok bertanyakan keadaannya. Memang sejak kecil, dia tak pernah jemu bertanyakan sama ada ayahnya letih atau tak, ramaikah pesakit dan macam-macam lagi.

4 pinggan? Zarim mengusap dagu sendiri memikirkan siapa gerangan yang keempat itu.

Dahlia yang berdiri di belakang Zarim selepas mencium tangan suaminya di muka pintu tersenyum-senyum melindung rasa debar. Dia cepat-cepat melangkah ke bilik untuk menyimpan beg bimbit suaminya. Pakaian dikeluarkan dari almari dan dihampar ke atas katil. Kemudian dia melangkah keluar sambil menyambar tuala suaminya.

“Minta maaf, saya jemput tetamu datang tak minta izin awak dulu. Tak rancang pun, sebenarnya. Tapi awak okey ke?”

Berkerut kening Zarim dibuatnya tapi dengan pertanyaan yang penuh rendah diri seperti itu, mana mampu dia menidakkannya. Lalu dia angguk dengan senyum. Dahlia tersenyum girang.

“Awak pergi mandi dulu ya. Kejap lagi tamu nak sampai dah.” Sengaja tuala dihulurkan sebagai tanda mahu suaminya cepat ke bilik air dan menggantikan pakaian. Dia mahu Zarim kelihatan segak dan rapi petang itu. Sambil hatinya tak henti memanjat doa agar apa yang dirancangnya selari dan tak salah di sisi Ilahi.

Tak lama selepas itu, kedengaran loceng pintu berbunyi. Zarim yang baru saja menyarung kemeja T berlengan panjang rona biru gelap terhenti pergerakannya seketika. Keningnya bertaut kehairanan. Kenapa Dahlia dan Bella seperti sepakat merahsiakan siapa tetamu mereka? Baru tiga-empat hari di sini, mereka dah ada kenalan?

Saat Zarim melangkah keluar, seorang wanita muda tinggi lampai yang sedang berdiri di ruang tamu berpaling ke arahnya.

Sumandak (gadis cantik), desis hati Zarim. Terpinga dia seketika. Seperti pernah dia temui paras wajah yang sedang tersenyum ke arahnya sekarang. Zarim tundukkan kepalanya sedikit tanda hormat. 

Sekali lagi Zarim diperkenalkan kepada Rica Lojumin. Pengurus Brainy Bunch tempat anaknya belajar. Gadis itu tampak matang dan bergaya orangnya.

“Kadazan dari etnik mana,” soal Zarim ingin tahu sebaik saja tetamu melabuhkan punggung ke sofa selepas dijemput duduk. Dia sendiri ikut duduk di sofa yang bertentangan.

“Bisaya. Saya berasal dari Beaufort.”

Zarim mengangguk-angguk. Etnik Bisaya dikatakan golongan yang pertama memeluk Islam berasal dari kawasan Borneo Sabah. Salah satu daerah etnik itu memang di Beaufort.

“Rica, berbuallah dulu. Saya nak siapkan hidangan. Sikit saja lagi.” Dahlia mengambil peluang itu untuk meninggalkan mereka berdua berbual dan berkenalan.

“Bella tolong bonda, ya!” pinta Bella sambil bingkas ikut mengatur langkah ke dapur.

“Rajinnya Bella!” Puji Rica, kagum dengan sikap anak kecil itu. “Comel bila Bella panggil bonda.”

“Ya, auntie. Sebab bonda permaisuri dad…”

Dahlia sudah menelup mulut Bella dari belakang sambil meraih tubuh Bella hingga rapat dengannya. Dia tersenyum-senyum sambil menjelaskan, “Dia suka sangat dengan kisah dongeng. Permaisuri, raja, macam-macam…”

Rica tergelak mendengarnya. Memang lumrah kanak-kanak begitu. Tapi belum ada yang dia jumpa menyebut bonda, panggilan ‘ibu’ di istana.

“Jom kita buat minuman, Bella!” Pantas Dahlia memaut bahu kecil itu ke dapur. Dia terus melayan celoteh Bella sambil sesekali menjeling ke arah ruang tamu, mahu melihat sendiri kalau ada ‘chemistry’ di antara mereka.

“Macam mana Bella di sekolah?” soal Zarim sambil matanya masih memandang Dahlia yang bersikap aneh petang itu. Dia kembali mengadap tetamunya, menunggu jawapan gadis di hadapannya. Dia benar-benar ingin tahu tentang pergaulan anaknya dengan kawan-kawan. Bimbang juga kerana dialek anak-anak di situ tak sama dengan dialek melayu yang Bella belajar sejak pulang ke Malaysia.

“Bagus! Dia cepat belajar, mesra dengan kawan-kawan dan suka sangat beraktiviti. Bila saya tengok Bella dengan pengasuhnya, saya faham kenapa Bella aktif dan bijak.” Pandangan Rica menyorot ke dapur di mana Dahlia sedang menuangkan teh dan Bella pula menyusun kek ke atas piring.

Zarim tercengang. Dia memandang Rica seolah-olah dia tak pasti apa yang dia dengar tadi. Pengasuh?

“Pasti Bella sedih bila pengasuhnya balik ke semenanjung nanti. Saya harap Bella cepat membiasakan diri di sini supaya dia tak sedih sangat nanti,” sambung Rica lagi sambil berkalih memandang lelaki yang memiliki aura luar biasa di hadapannya itu. Senyuman Rica mekar berseri melindungi debar di hati bila mereka bertentang mata.

Zarim tergeleng kecil bila dia tersedar yang mereka saling bertatapan. Dia mengalihkan pandangan sambil berkerut keningnya memikirkan apa yang baru dia dengar. Akalnya ligat mencantumkan babak demi babak.

Si Berry memperkenalkan dirinya sebagai pengasuh? Bukan sebagai isterinya? Dia perasan yang gadis itu kerap memuji Rica di hadapannya. Hari ini, Rica dijemput ke rumah pula. Zarim tertunduk sambil memicit pelipis. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu bila melihat baju yang dipakainya.

‘Awak nampak segak sangat pakai baju ni.’

Dahlia pernah memujinya bila dia memakai baju kemeja yang dipilih gadis itu ketika kali pertama mereka keluar membeli-belah berdua sebelum terbang ke Kota Kinabalu. Perlahan-lahan Zarim terhenyak ke sofa bila dia sedar apa yang sedang Dahlia Berry lakukan.

Ya! Gadis itu merancang untuk pulang. Entah macam mana, Zarim hampir terlupa yang Dahlia harus pulang ke Beranang bila cuti sekolah berakhir nanti. Tapi itu bukan masalah baginya. Bella boleh saja belajar di tadika di sana. Atau Dahlia sebenarnya merancang untuk meninggalkan Bella di sini dan mencari penggantinya? Lebih dahsyat lagi kalau dia cuba mengenalkan suaminya sendiri dengan gadis lain? Oh, tidak!

Apa semua ni, Dahlia? Persoalan itu bergema dalam dirinya. Tergamak dia mahu… Zarim terhenti berfikir sebaik saja pandangannya yang menerawang jatuh ke wajah Dahlia yang sedang tersenyum. Apakah semua ini kerana lelaki itu juga?

“Semua dah siap, Jom makan! Rica, jemputlah…” Dahlia berusaha tersenyum manis walaupun hatinya bagaikan tersiat melihat senyuman dan pandangan Rica kepada suaminya. Dia sendiri tak menyangka rasa sakit seperti itu akan mendatanginya. Kenapa? Sedangkan apa yang diharapkan benar-benar berlaku. Dia merasa sangat aneh dan tak selesa dengan rasa-rasa yang sedang menujah benaknya.

“Silakan, Cik Rica. Kita jamu selera dulu.” Zarim yang terasa seperti ditikam belati ikut bangun menjemput tetamunya ke meja makan. Kalau ini yang dimahukan Dahlia Berry, Zarim akan mengikut saja kehendaknya. Tapi dengan rentaknya sendiri. Dia melemparkan senyuman yang teramat manis ke arah gadis itu yang kelihatan seperti agak gugup dengan lakonannya.

What’s cooking, princess?” tanya Zarim, buat-buat ceria seraya menarik kerusi untuk anaknya. Sebuah ciuman singgah di pipi munggil itu.

Bella tertawa sambil memberitahu dengan nada teruja. “Your favourite, daddy! It’s a pie. Yummy…! Bonda’s really a great cook.

“Iya? Nanti kita tanya Cik Rica, sedap tak masakan bonda?”

Rica ikut tertawa dengan perbualan anak-beranak itu. “Auntiepun tak sabar nak rasa. Baunya memang sedap!”

“Jemput duduk, Rica. Buat macam rumah sendiri. Mana tahu nanti boleh datang main masak-masak dengan Bella, ‘kan sayang?” pelawa Zarim penuh makna.

Rica tersipu malu sambil melabuhkan punggung di kerusi yang masih kosong. “InsyaaAllah. Kalau Bella nak main masak-masak, bagitau auntie ya!” 

“Tapi daddy, Bella tak main masak-masak. Dengan bonda, Bella masak betul-betul. ‘Kan, bonda?” sanggah Bella, tak puas hati sedangkan dia lebih suka masak betul-betul. Rimas dengan periuk belanga yang lebih kecil dari telapak tangannya.

“Ya, Bella. Nanti masak betul-betul.” Cepat Zarim mengakui sebelum puterinya berhujah lagi. Dia ketawa sambil ramah bercerita dengan Rica, “Anak saya memang tak ada set mainan masak-masak tu semua. Dia terus masak kat dapur saja.”

Dahlia tertunduk sambil cuba senyum. Senyum yang tiba-tiba tak mahu terbit sebenarnya hingga dia terpaksa buat-buat senyum. Mesra sungguh mereka seolah-olah dia tiada di situ. Tapi kenapa hati ini rasa pedih dan sakit melihat kemesraan itu? Bukankah apa yang dia harapkan sedang berlaku dengan begitu sempurna?

“Lia!”

“Hah?” Terkejut Dahlia bila disapa Zarim tiba-tiba. Zarim dengar suara hatinya?  Bila dia ada di belakangnya?

“Letih?” soal Zarim sepatah sambil menarik kerusi untuk Dahlia yang masih tercegat berdiri.

“Eh, taklah! Dah biasa…,” jawab Dahlia dalam serba salah namun dia duduk juga di kerusi. Belum sempat dia menarik nafas lega, dua tangan menyentuh bahunya membuatkan udara yang dihirup tersekat di kerongkong.

“Kesian Lia. Hari-hari nak masak. Nak ajak makan di luar cukup susah. Tapi itulah… saya terpaksa setuju sebab masakan Lia memang lebih sedap dari makanan di luar.” Lunak nada suara Zarim sambil memandang ‘pengasuh’nya dari pandangan berdiri. Bahu gadis itu dipicit lembut. Dia mengambil peluang untuk ‘bermesra’ dengan gadis itu yang pastinya tak dapat mengelak bila di depan tetamu.

“Eh… tak apa! Saya… saya okey je,” tangan Lia cuba menolak jari-jemari Zarim dari terus memicit dan mengusap bahunya dengan gaya yang seromantik itu. Dah kenapa dengan Zarim? Sentuh-sentuh dia macam tu… depan tetamu pula! Buang tebiat ke? Dahlia dah macam histeria di dalam.

“Biarlah… kejap je. Hilangkan dulu lenguh-lenguh badan awak. Lepas tu, baru selesa nak menjamu selera,” jawab Zarim sambil tangannya turun mengusap kedua lengan Dahlia pula. Dia hampir ketawa bila gadis itu cuba mengecilkan badannya, mahu mengelak dari disentuh.

You’re so sweet, daddy!” Bella pula menambah rencah. Dia tertawa sambil menongkat dagu di meja, seronok melihat tingkah ayahnya yang tak pernah dilihatnya melayan bonda seperti itu sebelum ini.

Of course, I am!” Zarim menjawab dalam nada bergurau sambil mengenyitkan mata ke arah Bella. Lagi kuat anaknya ketawa. Dia akhirnya meninggalkan Dahlia yang sudah merah muka lalu melabuhkan punggung di kerusi.

Waktu itu, Rica sudah tak senang duduk. Antara nak senyum dengan nak marah. Pengasuh, ‘kan? Semesra itu? Macam suami isteri? Mereka tinggal sebumbungkah? Dia sangkakan Dahlia cuma pengasuh yang datang bekerja saja.

Zarim membacakan doa dan mereka semua mengaminkan seraya menenangkan gelombang yang menghempas resah dalam dada kecuali Bella. Dia asyik memandang dengan penuh teruja ke wajah bonda dan ayahnya silih berganti sambil mengaminkan doa.

“Jom makan!” pelawa Zarim bila kedua-dua gadis itu seperti kehilangan kata selepas mengaminkan doa. Tadi bukan main lagi! Zarim gelak di dalam hati.

“Kita ada apa hari ni, Lia? Macam tak pernah tengok je ni…”

Dahlia buat-buat gelak dengan kerut muka Zarim. Dia paksa diri mengusir resah yang masih belum reda. Tarik nafas, dia cuba bersahaja, “Saya buat yang mudah saja. Apa yang ada di dapur. Spaghetti tomyam dan pai serunding daging. Serunding yang umi  bekalkan tu belum habis-habis lagi. Rica boleh makan pedas ke?”

“Eh, boleh!” Laju saja Rica menjawab dengan suara sedikit gugup. Dengan wajah yang agak kurang yakin dengan diri sendiri, dia menyambung sambil tersenyum-senyum, “Sikit-sikit boleh, bah!”

Mereka semua tertawa dengan telatahnya. Dahlia sedikit lega kerana masakannya memang tak terlalu pedas. Jadi, tidaklah dia menyiksa tetamu nanti.

“Syukur, alhamdulillah. Jemput makan, Rica. Fusion food kita hari ni. Bella, nak makan yang mana dulu?” Zarim berkalih ke arah anaknya yang sudah menjilat bibir.

I can’t wait to taste the serunding pie, daddy. The smell… hurmmm… sedap!” Sampai terpejam mata Bella mengekspresi apa yang dia imaginasikan. Comel!

“Kalau bab makan, Bella memang nombor satu…”

“Daddy nombor dua!” sambung Bella tanpa sempat Zarim menghabiskan ayatnya.

Riuh mereka ketawa di meja makan. Zarim mengambil alih tugas Dahlia, menghidangkan pai untuk semua orang. Budiman sungguh! Hakikatnya, jauh di sudut hati dia cuba membuang jauh-jauh rasa marah dan kecewa dengan Dahlia. Juga cuba mengusir persoalan yang menyerang benaknya. Apakah Dahlia tak mahu bersamanya sehingga sanggup mencari wanita lain untuknya? Teganya gadis itu melakukan semua ini. Pedih di hati cuba dihiburkan dengan pai yang harum baunya itu namun seleranya entah ke mana. Dipaksa diri untuk menghabiskan sepotong kecil pai di pinggan sendiri kerana mahu menjaga hati Dahlia yang sudah berpenat lelah memasaknya.

Mereka berbual tentang hal-hal seharian. Terutama tentang Bella dengan kawan-kawan barunya. Pujian Rica untuk Bella bagaikan mencurah sambil dia melayan gadis kenit itu makan. Zarim pula asyik memandang ke sebelahnya. Dahlia tersenyum-senyum memerhati kemesraan Rica dan Bella tapi pandangannya ternyata berbeza, sayu dan sedih, membuatkan Zarim tersentuh hati melihatnya.

“Sebab itu saya sangat bersyukur kerana ada Lia dengan kami,” balas Zarim tanpa mengalihkan pandangannya dari wajah Dahlia. Tangannya santai memaut bahu Dahlia sambil mengusap lembut. Satu jari mengangkat dagu gadis itu hingga dia terdongak dan terteleng mengadapnya.

Melihat sepasang mata itu membulat dan tubuh gadis itu tiba-tiba kaku mengeras dengan aksi suaminya, Zarim hampir terhambur gelak tapi dia teruskan saja meluahkan isihatinya sambil merenung dalam ke sepasang mata yang semakin membesar itu, “Saya bahagia sangat bila awak ada.”

Dagu itu dilepaskan. Tangan yang masih di bahu menepuk manja. Zarim selamba berkalih ke arah Rica yang sedang terpaku memandang sambil berkata, “Seorang wanita yang hebat bagi saya, wanita yang pandai didik anak-anak, yang dekat dengan anak-anak. Saya bersyukur sebab dikelilingi wanita yang hebat macam umi saya, opah dan Dahlia Eshal.”

Dahlia tak mampu nak tarik nafas dan terkaku tunduk memandang pinggan. Tak sanggup dia mahu melihat reaksi di wajah Rica. Dia juga masih terpana dengan luahan Zarim yang tadi memandang tepat ke wajahnya dengan jarak yang begitu dekat. Tunak pandangannya, lembut sentuhan di bahunya dan hujung jari yang menyentuh dagunya tadi buat jantung Dahlia huru-hara berdegup sampai saat ini. Tuhan!

Rica pula tertunduk mencari nafas. Senyuman di bibir dan jelingan Zarim ke wajah wanita itu mengocak naluri hatinya. Dahlia itu pengasuhkah atau permaisuri?

“Err… awak… awak bertuah, Zarim.” Digagahnya juga menuturkan kata-kata balas.

“Bella nak jadi macam opah nyang dengan tok umi, daddy!”

Dahlia segera berkalih dan mengambil kesempatan itu, menyampuk sambil tersenyum melindungi rasa gugupnya. “Bella memang anak yang hebat. You’ll be a great lady one day just like opah nyang and tok umi, sayang.”

“InsyaaAllah!” sahut Zarim juga, penuh harap.

And I wanna be a great wife like Bonda Lia too!” sahut Bella penuh bangga.

Oooopppsss! Pandangan Rica dan Dahlia bersabung serentak. Dan Zarim ketawa riang sambil menyuap sisa pai serunding ke mulutnya. Hmm… baru dia dapat merasa betapa enaknya pai serunding yang wangi itu sambil memerhati riak muka dua wanita di hadapannya silih berganti. Masam pedas sudah, bah!

… bersambung

KENAPA BUKAN DIA? Bab 9

Pengasuh

“Mamanya di mana?”

Jemari Dahlia yang sedang mengisi borang pendaftaran Bella di pejabat Brainy Bunch yang comel itu terhenti. Jantungnya terasa berdegup sakit. Tak sanggup mahu menyebut perkataan ‘sudah bercerai’, matanya sepantas kilat mencari wajah Bella yang sedang bermain carta warna di sudut bilik itu. Mujur anak kecil itu ralit dan tak mendengar pertanyaan yang paling sukar hendak dijawab itu. Dahlia jadi tak tergamak mahu mengatakan yang Bella datang dari sebuah keluarga yang terbarai.

“Mummynya tak ada di sini. Dia dengan daddynya. Saya jaga dia sebab daddynya kerja.” Cukuplah dirinya hanya sebagai penjaga. Rasa dia tak layak untuk mengambil tempat ‘mummy’ Bella. Lahiriah saja, orang akan tahu Bella bukan anak kandungnya. Kulit dan rupa mereka jauh berbeda. Sijil kelahiran Bella di tangannya mengesahkan lagi yang dia tiada hubungan darah dengan anak itu walau bagaimana dalam kasih sayangnya.

Walaupun Zarim tak pernah menyebut tentang bekas isterinya tapi dari cerita Bella, mummynya sangat cantik dan kaya. Tapi mummy terlalu sibuk dan tak pernah ada masa untuk dia dan ayahnya. Bella tahu kerana dia ada banyak gambar mummy dan keluarganya. Tapi dia tak ingat sama ada dia pernah jumpa mummy atau tidak semasa kecil dulu.

“Bertuah dia ada pengasuh macam Cik Lia. Dari tadi saya perhatikan, rapat sungguh Cik Lia dengan Bella.” Gadis yang ramah di hadapannya adalah pengetua Brainy Bunch cawangan Kota Kinabalu, tersenyum cantik dengan barisan gigi yang putih serlah. Ditambah dengan wajah kacukan kadazan-melayu, dia kelihatan seperti seorang model dengan gaya dia berpakaian. Bukan saja cantik, pemilik nama Rica itu juga cerdik. Dia mempunyai ijazah dalam bidang pendidikan kanak-kanak dari luar negara.

“Sebenarnya saya yang bertuah, Cik Rica, sebab Bella sangat menghiburkan,” ujar Dahlia sambil menyimpan pedih bila dia disebut pengasuh. Tak apalah, pengasuh atau penjaga sama saja.

 “Ya! Dia anak yang berani dan keletahnya memikat hati,” sepasang mata coklat milik Rica Lojumin berlari menjamah wajah Bella yang asyik bermain kad warna. Hanya dalam kesekejapan waktu semasa sesi temuduga tadi, dia sudah dapat mengesan keistimewaan anak itu yang dilihatnya membesar dengan amat sempurna.

Sebaik saja borang siap diisi dan bayaran dibuat, Rica bertanya lagi, “Bella ada sebut yang Cik Lia ni cikgu di kampung. Habis cuti nanti, siapa yang mengasuh Bella di sini?”

Sekali lagi Dahlia terkaku. Entah apa pula yang patut dia jawab. Sedangkan dia sendiri tak pasti apa perancangan Zarim. Apakah dia harus meninggalkan Bella di sini bersama Zarim nanti? Hatinya tiba-tiba terasa pedih. Sudah beberapa bulan hidup bersama Bella yang memberi kekuatan kepadanya selama dia kehilangan Hanafi, mampukah dia hidup sendiri tanpa anak itu nanti?

“Err… dia… dia akan tinggal dengan daddynya. Saya… saya temankan sekejap supaya dia biasa… maksud saya dengan kehidupan di sini. Lagipun, dia… dia akan bersekolah di sini sementara daddynya bekerja. Bella anak yang berdikari. InsyaaAllah, tak ada masalah,” tersekat-sekat suara Dahlia sambil menahan perasaan sendiri.

“Cik Lia jangan susah hati. Saya akan jaga dia selama dia di sini. Cikgu-cikgu di sini juga penyayang belaka. Cuma nanti, saya mungkin akan hubungi Cik Lia selalu untuk bertanyakan itu dan ini kalau ada masalah atau untuk kami tahu apa yang dia suka dan tak suka. Cik Lia atau daddy Bella juga boleh hubungi saya kalau nak tahu perkembangannya di sini. Tak ada masalah.”

“Lega saya mendengarnya, Cik Rica. Saya yakin kami buat pilihan yang terbaik untuk Bella.”

Rica tersenyum mengangguk, bangga dan senang mendengarnya. Dahlia dan Bella bersalaman dan berpamitan dengan gadis itu yang turut menghantar mereka sampai ke kereta.

 “Bella, suka tak dengan Cik Rica? Dia cantik, kan?” soal Dahlia sambil memeluk erat tubuh Bella di ribaannya. Zarim di sebelah dijeling. Memang dia mahu memancing reaksi lelaki itu.

“Suka! Dia memang cantik, Bonda Lia,” Bella menjawab sambil berkalih dengan sepasang mata yang teruja. Bulu matanya yang lentik menyerlahkan matanya yang seperti mata anak patung. Dahlia ketawa seraya mengucup kedua kelopak mata itu.

Zarim yang mendengar sudah berkerut-kerut keningnya. Sempat pandangannya menjamah wajah kedua buah hatinya. Dia berpaling semula ke hadapan sambil tersenyum. Kalau dia yang memuji-muji perempuan cantik, memang tak pelik. Sudah resam kaum adam. Tapi kalau perempuan yang seperti jatuh hati, jadi aneh baginya.

Dahlia sempat melihat senyum meleret di bibir Zarim. Cepat dia tertunduk semula. Ada rasa sayu menjengah di hati. Namun dia reda. Mungkin lebih baik dia pergi dan melepaskan sebelum hatinya terikat kuat. Takut nanti lebih parah. Dalam pada itu, ada harapan yang turut berbunga. Moga apa yang terdetik di hatinya sebentar tadi jadi realiti. Yang penting, Bella bahagia. Langsung tubuh kecil itu dipeluk lebih erat dan dikucup kepalanya yang berbalut tudung sutera. Dia sanggup lakukan apa saja untuk Bella. Cukup hanya dia yang merasakan kehilangan demi kehilangan. Tapi jangan Bella!

“Lia, saya ingat nak buat majlis makan-makan sikit. Nak jemput kawan-kawan sekerja, kenalan saya, diaorang semua tak tahu lagi yang saya dah kahwin. Tapi kita buat di … .”

“Ehh… jangan! Err… maksud saya… nantilah dulu.” Dahlia terperanjat hingga jadi kelam-kabut. Habislah rancangannya nanti.

Terdiam Zarim dibuatnya dengan reaksi Dahlia. Sedangkan dia sebenarnya bimbang kalau timbul fitnah kemudian hari. Salahnya juga kerana masa balik ke kampung, dia tak menjelaskan perkara yang sebenar. Bukan niatnya mahu menyembunyikan perkahwinan mereka tapi waktu itu dia masih bimbang kalau Dahlia Berry berubah fikiran.

“Maksud saya, beri saya masa sikit ya. Saya baru saja sampai, ‘kan? Mungkin nanti saya nak masak-masak sendiri untuk jamuan tu… kita rancang perlahan-lahanlah ya?”

“Lia boleh masak untuk makan ramai-ramai tu?”

“Hmm… rumah atok awak tu dah biasa sangat raikan tamu yang ramai. Tapi err… mungkin masakan saya tak sedap bagi awak dan tak sesuai untuk orang di sini…”

“Eh! Saya tak cakap apa-apapun. Rasa masakan Liapun belum. Hari ni kita masak-masak ya?” Zarim berkalih dan bertanya dalam nada teruja. Seronoknya nak masak-masak dengan Dahlia Berry! Teringat peristiwa di dapur Opah Ngah Lijah. Sanggup dia menggunting cili kering demi nak mengadap wajah Si Berry. Sampai dia terpaksa tidur dengan tangan yang pijar malam itu!

Melihat senyuman yang merekah di bibir Dahlia, Zarim tak bertangguh lagi, laju dia memecut kereta menuju ke pasar. Hatinya semakin berbunga harap. Setiap peluang untuk merapatkan dirinya dengan Dahlia tak harus dia sia-siakan. Moga hati Dahlia terbuka untuknya satu hari nanti.

… bersambung

KENAPA BUKAN DIA? Bab 8

Pahit dan Manisnya Kopi

Adunan rona kopi susu, krim dan putih dari pilihan perabot, langsir dan katil, juga perhiasan di bilik utama itu amat memikat hati Dahlia. Sedondon dengan ruang tamu tadi dan juga dapur. Hatinya tertanya-tanya siapakah yang menghias rumah ini dengan begitu cantik susun letaknya. Apabila Zarim menguak langsir, cahaya putih menerobos masuk melalui tingkap kaca tembus menambah seri bilik tidur itu.

“Saya kongsi rumah ni dengan seorang doktor. Dia dah kahwin. Isterinya bertugas di Perak tapi selalu datang ke sini dengan anak-anak bila cuti sekolah. Dia dapat pindah ke Perak awal tahun ni. Jadi, saya ambil alih rumah ni, dah tukar langsir dan perabot yang agak rosak. Kalau Lia rasa ada yang perlu kita tukar atau tambah, beritahu saja. Yang penting, saya nak Lia dan Bella selesa di sini,” Zarim santai bersandar di tepi jendela, menunggu respon gadis itu. Sejujurnya, dia belum tahu citarasa Dahlia sebenarnya. Apakah dia tradisional orangnya? Perabot dan hiasan rumah atok memang penuh seni, hasil sentuhan atok, Opah Ngah Lijah dan mungkin Dahlia sendiri. Sedangkan rumah ini hanya berkonsepkan minimalis.

“Suka!”

Zarim tertegak mendengarnya langsung bertanya penuh harap. “Apa yang Lia suka?”

“Suka dengan warna dan perabot rumah ni. Pandai awak pilih.”

Wah! Berry memuji. Senyum Zarim hampir cecah telinga. Laju saja dia mengajak gadis itu ke tingkap untuk melihat bahagian belakang kondominum pertengahan itu pula.

Dari tingkat satu, taman di bahagian bawah dan belakang kondominium itu kelihatan begitu dekat. Cantik menghijau dengan trek larian disediakan di atas kehijauan rerumput yang melatari bumi.

“Hijau. Damai kawasan ni,” Dahlia berpaling ke arah suaminya yang masih tersenyum manis. Perlahan-lahan, dia juga mengorak senyum seraya mengangguk. Berada dekat dengan lelaki itu dalam nuansa nyaman dan selesa begini membuatkan hatinya bergetar luar biasa. Cepat-cepat pandangannya dilarikan ke luar jendela semula.

Zarim menghela nafas. Merpati sudah di telapak tangan. Dia turut terasa debarnya. Entah kenapa, dia rasa seperti kali pertama jatuh cinta pula!

Selepas solat asar berjemaah, mereka keluar semula menyusuri jalan-jalan di Kota Kinabalu yang kian sibuk bila hari semakin merangkak menuju senja. Zarim membawa mereka makan di sebuah restoran cina muslim. Kemudian, Dahlia dan Bella dibawa melawat Hospital Queen Elizabeth di mana Zarim bertugas tapi hanya dari dalam kenderaan. Bella sangat teruja dan mengharapkan dia dapat mengikut ayahnya bertugas nanti.

“Hanya waktu makan tengahari saja, sayang. Itupun kalau daddy tak ada kes kecemasan. Kalau nak makan dengan daddy, Bella kena call dulu ya. Tapi dengan syarat…”

“Syarat?” Melihat sepasang mata dan keningnya, mereka berdua tahu yang Bella tak faham maksud perkataan itu.

“Syaratnya, Bella dengan Bonda Lia mesti masakkan makanan dan datang makan dengan daddy, boleh?” Zarim teruskan saja kerana dia tahu Bella cekap menterjemah.

“Boleh! Bonda Lia masak sedap sangat!”

“Iya? Apa yang Bella paling suka Bonda Lia masak?” soal Zarim lagi. Baru dia tersedar yang dia belum rasa masakan Dahlia lagi selain dari sup yang dimasaknya ketika menjaga dia demam dulu. Dan yang dia tahu… tentang kek kukus untuk Hanafi, yang hanya sempat dihidu oleh lelaki itu tapi tak sempat dijamah kerana takdir terlebih dahulu menjemputnya mengadap Ilahi. Dia tertelan liur sendiri. Serentak itu, Dahlia memandangnya. Zarim tersenyum kelat dan cepat-cepat melarikan pandangan.

Bella terus bercerita tentang masakan Bonda Lianya. Terubat rindunya dengan spahageti, lasagna, stew ayam dan macam-macam lagi makanan kegemarannya kerana Bonda Lia pandai memasak makanan barat.

“Wah! Gemuklah kita nanti, Bella!”

Mereka ketawa serentak. Zarim dan Dahlia ketawa lebih kuat bila melihat keletah Bella yang sibuk mencari di bahagian mana gemuknya dia.

Zarim merasakan semua itu adalah titik permulaan yang sangat baik. Dia dan Dahlia Berry akan saling mengenali antara satu sama lain perlahan-lahan. Memahami apa yang berlaku dalam hidup gadis itu membuatkan Zarim sanggup menunggu walau berapa lamapun sehingga hati Dahlia benar-benar terbuka untuknya.   

Malam itu, selepas Bella terlena, Zarim mengajak Dahlia menikmati kopi panas di balkoni. Kopi yang diciptakan pahit dan manis, pasti lebih nikmat bila dikecapi bersama. Seperti hidup mereka berdua yang sama-sama pernah merasai nikmat bahagia dan peritnya kehilangan.

“Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak pada Lia sebab berjaya didik Bella jadi anak yang hebat. Jujurnya, saya tak sangka pendidikan Islam sebaik ini. Bella sekarang matang budaknya. Saya kagum tengok dia begitu mudah solat. Petah bercakap. Boleh bernasyid pula tu!”

Dahlia tertawa. Memang jenuh melatih Bella yang dulunya teramat pelat. Tapi anak kecil itu bila diberi galakan, dia jadi lebih rajin dan bersemangat untuk berlatih.

“Apa yang awak buat sebenarnya, Lia? Pengasuh Bella dulu juga penyayang orangnya. Sampai Bella jadi anak yang teramat manja. Saya sangka, dengan awakpun dia akan jadi bertambah manja. Tapi Bella berubah jadi anak yang berdikari.”

“Anak-anak perlukan kasih sayang dan perhatian. Tapi bukan maksudnya macam tatang minyak yang penuh. Beri perhatian pada apa yang mereka suka nak tahu dan nak buat. Bila kita dengar apa yang mereka nak, kita boleh bantu mereka untuk faham macam mana nak buat atau apa yang mereka tak sepatutnya buat. Apakah perkara tu baik atau sebaliknya.

“Dalam Islam, itu dikatakan menyuburkan sifat-sifat yang baik dan mengikis sifat-sifat yang tak baik dalam diri anak-anak. Anak ibarat kain putih. Kita yang mencorakkan siapa dia nanti. Kalau di barat, anak terlalu diberi kebebasan untuk pilih apa yang mereka mahu. Tersilap haribulan, anak-anak tu pilih jalan yang merosakkan. Islam tak macam tu. Kasih sayang, didikan dan disiplin tu mesti selari.”

“Lia sambung belajar ke London. Tapi dari mana pula Lia belajar tentang pendidikan Islam?”

“Dari al-Quran dan hadis. Boleh belajar di manapun!” Dahlia tersenyum manis di hujung jawapannya.

Tapi bagi Zarim, senyum itu banyak maknanya. Dia sebenarnya terkedu dengan jawapan itu. Benarlah! Dia selalu banggakan ilmu yang digali oleh barat hanya kerana dia sendiri tak pernah menggali ilmu dari al-Quran dan hadis. Tapi gadis di hadapannya sangat berbeza. Ke manapun dia pergi, dia tetap berpegang kepada didikan asas iaitu al-Quran dan hadis. Teringat bila Tok karim memarahinya dan membanding-bandingkannya dengan Dahlia. Benar rupanya hujah Tok Karim. Dia benar-benar kalah dengan gadis ini.

“Oh ya! Terlanjur bercakap tentang pendidikan, ada tak sekolah persendirian yang sesuai untuk Bella di sini. Dia suka belajar dan berkawan. Kesian pula kalau dia hanya ada saya yang temankan dia sepanjang hari. Lagipun, dia suka praktikkan bahasa melayunya dengan kawan-kawan.”

“Ada! Hmm… Lia rasa dia nak masuk ke sekolah yang macam mana? Ada banyak jenis…”

“Brainy Bunch ada, kan? Mereka ada Islamic Daycare Programme masa cuti sekolah. Program Jagaan harian yang setengah haripun cukup dah untuk Bella.”

“Yup! Ada. Tak jauhpun. Dalam lima belas minit dari sini.”

“Alhamdulillah. Kalau awak setuju, boleh kita daftar Bella. Walaupun untuk sebulan, saya yakin banyak yang dia boleh belajar sambil main dengan kawan-kawan.”

“Sebulan?” Itu adalah cuti akhir tahun Dahlia. Zarim terlonjak duduk di hujung kerusi, sekaligus merapati Dahlia yang terkejut dengan kata-katanya.

“Err… maksud awak? Saya ingat…”

Zarim tersenyum melihat gadis itu gugup dengan muka bersalah. Rasanya dia tak perlu membuat apa-apa keputusan lagi tentang itu. Biar saja percaturan Allah yang mengambil tempat dalam hidup mereka. “Tak apa, Lia. Saya setuju kalau itu yang terbaik untuk Bella.”

“Oh… okey! Saya serah pada awak. Itu cuma cadangan saja…”

“Cadangan yang sangat baik,” sambung Zarim. Dia tak mahu Dahlia rasa yang dia bukan sesiapa bagi Bella untuk membuat keputusan sedangkan dia sangat mengambil berat. “Esok kita boleh pergi tengok tempat tu. Mungkin lepas pergi pasar. Nanti kita boleh terus daftar dia. Subuh kat sini awal. Jadi saya memang ada masa untuk hantar Bella setiap hari. Tapi saya balik tak tentu masa. Lia boleh jemput dia?”

Angguk. Senyum.

“Okey, kita hantar Bella kemudian Lia hantar saya ke hospital. Lia boleh guna kereta tu sepanjang hari. Lagipun hospital dekat sangat. Saya lebih suka jalan kaki saja.”

“Eh! Tak perlulah. Saya tak perlu ikut hantar Bella nanti. Menyusahkan saja. Kalau nak ke mana-mana, saya ambil teksi.”

“Lia… saya suka sangat kalau Lia ada kat sebelah bila drive. Lagipun pagi kat sini, suasananya cantik. Kitapun mungkin tak banyak masa bersama sebab saya selalu kerja lebih masa. On call lagi. So, every moment with you and Bella counts.” 

Dahlia tertunduk mendengarnya sambil melarikan pandangan. Entah kenapa bila Zarim bercakap dengan nada romantis begitu, minda dan jiwanya jadi kelam-kabut tiba-tiba.

Zarim tersenyum. Sifat malu dan naif Dahlia Berry amat memikat hati lelakinya yang semakin parah mengharapkan kasih dari gadis itu. Maka dia akan terus mencuba nasib. “Malam dah lewat ni. Lia tak mengantuk ke?”

Terngadah Dahlia dibuatnya. Waktu yang amat dia takuti itu sudah tiba. Kalau dua malam di rumah keluarga mentuanya, dia boleh mencipta alasan untuk mengemas dapur dan menyiapkan bahan untuk juadah sarapan esok harinya. Tinggal hanya berdua begini, entah apa alasan yang patut dia katakan.

Senyum Zarim hilang bila melihat isterinya mengusap-usap kekura tangan sendiri. Begitulah setiap kali bila tiba waktunya untuk beradu. Dia faham sangat. Dahlia belum mahu menyerahkan hati kepadanya. Sambil melindung rasa hampa yang menghempap dalam dada, Zarim bersuara juga, “Lia masuklah tidur dulu. Saya ada kerja sikit nak buat.”

“Kerja? Tapi dah lewat ni! Err… awak nak saya temankan ke?”

Manis sungguh soalan itu. Memang seronok kalau bekerja ditemani gadis semanis Dahlia. Tapi Zarim lebih teruja mahu menatap wajah Dahlia saat dia terlena. Itulah waktu dia paling ‘dekat’ dengan gadis kesayangannya. Wajah yang mendamaikan jiwanya yang gundah. Maka, ‘kerja’nya hanyalah alasan semata-mata.

“Tak apalah. Nanti Lia bosan tengok saya mengadap laptop. Masuklah dulu!” tegas Zarim dengan senyuman. Dahlia ikut tersenyum walaupun dalam hati memang sedang gundah-gulana. Dia berlalu sambil mencapai dua muk yang sudah kosong menuju ke dapur dengan rasa lega. Memang setiap malam, dia jadi serba-salah. Malu yang masih menebal dan hati yang masih belum bersedia membuatkan dia rasa mahu lari saja. Tapi sebagai isteri, dia memaku diri di katil, taat berbaring di sisi suami sambil berdoa moga Allah mengampuninya dan membuka hatinya untuk lelaki itu suatu hari nanti.

… bersambung

KENAPA BUKAN DIA? Bab 7

Alang-alang Kubawa Lari

Bagai mimpi, Dahlia kini berpijak di bumi Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Dia tak punya alasan lagi untuk mengelakkan diri dari mengikut suami kerana mereka bernikah seminggu sebelum cuti akhir tahun persekolahan. Silap Dahlia juga, dia ambil cuti selama seminggu. Disambung pula dengan cuti sekolah. Memang panjang sungguh percutiannya kali ini.

Ditambah lagi, seluruh ahli keluarga mahu dia mengikut Zarim balik ke Sabah. Kononnya untuk berbulan madu. Sebagai isteri, dia taat dan sanggup mengikut sejauh ini demi kebahagiaan Bella dan lelaki itu. Namun bagi dirinya, di manapun dia berpijak, hati dan jiwanya cukuplah ada Allah, Sahabat Yang Maha Tinggi. Dia sudah cukup bahagia.

Zarim turun dari perut kapal terbang dengan rasa penuh syukur dan semangat baru. Segala kekecewaannya bagaikan terubat bila dia berjaya membawa Dahlia Eshal bersamanya menyeberangi Laut China Selatan. Akhirnya, pengantin baru itu berjaya dibawa lari dari Kampung Ulu Beranang. Itupun puas dia minta kerjasama semua ahli keluarga supaya mendesak Dahlia ke Sabah bersamanya.

Zarim tersenyum sambil menjeling ke arah Dahlia yang tenang memandang ke luar tingkap dari dalam perut teksi yang sedang meluncur laju membawa mereka ke rumah sewaannya. Rupanya dia dipinang Si Dahlia Berry kerana takut dengan si misai lentik. Puas dia memujuk Opah Ngah Lijah supaya membuka cerita tentang rahsia Dahlia yang tiba-tiba bersedia nak berkahwin. Memang dia bangga dengan komplot Tok Karim untuk mengubah hidup gadis itu. Namun setelah dia tahu sebabnya, jauh dalam hati bagai ada sembilu yang menghiris. Patutlah Dahlia asyik mengelak darinya. Rupanya dia cuma alat untuk melepaskan diri. Entah-entah dia hanya si kudung yang mendapat cincin. Namun Zarim tak putus harap. Bukankah dulu dia mampu mencairkan hati mana-mana gadis kalau dia mahu?

Bella yang duduk di antara mereka memanjat riba bondanya untuk ikut melihat sama pemandangan yang agak berbeza dari Kampung Ulu Beranang. Hubungan mereka sangat akrab seperti saling memahami dan saling memerlukan meskipun bertemu hanya dalam masa yang singkat. Itu juga satu perkara yang membuatkan Zarim merasa takjub dengan perasaan anugerah Tuhan. Seolah-olah rasa itu tidak memilih tapi jatuh ke hati insan yang dipilih Allah. Seperti rasa hatinya terhadap Dahlia Berry. Kalaulah gadis itu tahu apa yang sedang dia tanggung saat ini. Bukan mudah bila kasih sudah melimpah-ruah tapi tiada daya mahu meluahkan.

Dia juga bersyukur kerana dia memiliki sebuah keluarga yang amat memahami. Paling bertuah bila dia menjadi cucu kesayangan yang segala kehendaknya dituruti atok dan opah. Dengan bantuan mereka, Dahlia didesak untuk berkunjung ke rumah ibu bapa mentuanya di Kuala Lumpur.

Hah! Kalau di kampung sendiri, Dahlia licik bersembunyi atau melarikan diri. Bila di Kuala Lumpur, dia akhirnya terkepung.

“Nak ke mana tu?” soal Zarim bila Dahlia mahu menyelit keluar sebaik saja dia masuk ke bilik mereka yang ditempatkan di bilik tamu di tingkat bawah. Bilik itu cukup luas, lengkap dengan sofa dan TV serta bilik air.

“Err… nak tolong mak long di dapur…”

“Umi! Bukan mak long, Lia. Umi dah pesan, Lia kena rehat sebab malam ni, umi suruh saya bawa Lia keluar makan. Just you and me. Okey? Sekarang, tolong saya kemaskan baju. Saya nak baring. Penat sangat memandu tadi.”

Betapa seronoknya Zarim membuli. Dahlia seorang dara pingitan yang tepat dengan maksudnya yakni gadis yang pernah dikurung untuk dididik menjadi seorang wanita. Tidaklah seperti adat melayu lama di mana si gadis benar-benar dikurung selama lapan hari dengan penuh adat istiadat.

Dahlia ‘dikurung’ atok dan opah di Kampung Ulu Beranang dan dibentuk menjadi gadis yang pemalu, berakhlak dan taat. Malah begitu sempurna dirinya sebagai isteri yang bersifat keibuan. Semua itu terserlah dalam hubungannya dengan Bella dan cara dia melayani Zarim sendiri sebagai suami. Satu pakej yang jarang ada pada wanita zaman ini. Walaupun Dahlia sudah bermusafir beribu batu menuntut ilmu jauh ke England, namun peribadinya jelas utuh terpelihara sebagai gadis melayu Islam.

Namun dalam soal hati, Dahlia masih belum benar-benar menerimanya. Gadis itu berterus-terang bila dia tak dapat lari lagi dari berhadapan dengan Zarim. Keindahan Tasik Titiwangsa malam itu tiba-tiba jadi kelam dan sunyi. Zarim hanya mampu tersenyum-senyum sendirian memandang hujung kasut yang samar dalam gelap malam, menahan hati yang luluh…

“Saya minta maaf, Zarim. Puas saya cuba hubungi awak. Saya nak berterus-terang. Tapi awak langsung tak nak bagi saya peluang. Memang saya sebenarnya belum bersedia tapi atok… nak paksa saya kawin. Saya takut sangat. Saya ingat awak saja yang boleh tolong saya waktu tu. Tapi saya cuma nak lengahkan atok. Saya tak sangka awak seserius ini…”

Mujurlah waktu itu, mereka baru lepas makan malam dalam suasana romantis. Kalau tidak, pasti seleranya hilang entah ke mana.

“Saya serius, Lia. Saya buat semua ni bukan sebab paksaan atau terdesak. Saya memang nak peristerikan awak. Untuk teman saya selagi saya bernyawa, untuk teman Bella… tapi…”

Dahlia tertuduk. Zarim juga hilang kata-kata. Memang itulah yang dia risaukan sehingga dia mahu pernikahan mereka disegerakan. Tapi bila ia benar-benar berlaku, dia tak dapat mengelak dari merasa amat kecewa. Cuma untungnya, Dahlia sudah selamat terikat dengannya.

“Saya minta maaf…” Dia mendongak dengan air jernih berlinangan di pipi, memandang Zarim dengan pandangan merayu. Kemudian tunduk sambil terketar jemarinya menyentuh tangan Zarim dan dia genggam kuat seolah-olah dengan seluruh kekuatan yang ada dalam dirinya. “Terima kasih… saya… saya terharu awak buat semua ni untuk saya. Cuma… cuma saya minta awak tolong beri saya masa…”

Jiwa Zarim bergetar hebat. Dia raih tangan yang sejuk itu ke bibirnya. Dia kucup lama. Terhimpun segala kasih dan sayang, rindu dan harap dalam kucupan itu. Kemudian dia tarik tubuh Dahlia mendekat. Dikucup dahi gadis itu dengan ikhlas.

“Ambillah masa selama mana yang Lia perlukan. Kalau itu yang Lia nak. Kan saya dah kata, I’ll marry you a thousand times for whatever reason. Asalkan Lia sanggup terus bersama saya dan Bella.”

Dahlia mengangguk dengan airmata yang semakin laju. Zarim seka air pipi yang basah itu dengan kedua ibu jarinya dan tubuh gadis itu didakap erat. Walau hati sendiri bagaikan tersiat namun dia tetap mahu beri kekuatan buat gadis itu yang juga sedang berperang dengan diri sendiri. Kerana dia yakin, ‘masa’ yang diminta adalah untuk melupakan arwah Hanafi.       

Sampai saat ini, Dahlia masih belum mampu dia sentuh. Dia pasrah. Sememangnya sebuah hubungan itu lebih baik jika tiada paksaan. Seperti kata atok, sabar! Dan kalau tak mampu nak bersabar? Puasa?

Zarim mengeluh sambil tersenyum sendiri mengenangkan kata-kata atok. Mereka akhirnya tiba ke kondominium yang terletak hanya satu kilometer dari Hospital Queen Elizabeth. Mudah bagi Zarim untuk berulang-alik ke tempat kerja. Sebelum pulang ke kampung, Zarim sudah mempersiapkan rumah itu seadanya. Terutama sekali bilik pengantin buat dirinya dan isteri serta bilik anaknya, Bella. Tentunya katil bujang untuk Bella! Supaya tak ada orang yang dapat menyelit tidur dengan Bella dengan alasan yang macam-macam.

“Saya masih cuti, Lia. Jadi, tak perlu kelam-kabut berkemas. Hari ni, kita rehat. Makan di luar saja. Esok baru kita berkemas dan beli barang dapur ya,” ujar Zarim yang perlahan-lahan menarik tangan isterinya ke kamar mereka selepas bergelak ketawa melihat Bella yang melompat-lompat di katil ‘Frozen’nya. Dahlia terpaksa mengikut walaupun dirinya seperti hendak membeku saja rasanya. Entah macammana kali ini? Terkurung di sini bersama Zarim, apakah hatinya akan mampu melupakan? Atau dia akan kehilangan lagi?

…bersambung

KENAPA BUKAN DIA? Bab 6

Raja Sehari

Kompang dipalu dan selawat ke atas nabi berkumandang mengundang rahmat Allah dan syafaat kekasih-Nya. Suasana penuh kesyukuran amat dirasai ketika menyambut kedatangan rombongan pengantin lelaki di perkarangan rumah Tok Karim jam dua setengah petang itu sebaik saja majlis pernikahan selesai di masjid Kampung Ulu Beranang usai solat zohor berjemaah tadi. 

Pasangan raja sehari yang berbusana serba putih diarak dari kenderaan ke bawah khemah yang sudah berhias indah hasil sentuhan kaum wanita yang berjiwa seni di kampung itu. Bukan mereka berdua saja, Bella juga teramat comel dan kelihatan mulus suci dalam gaun serba putih. Gelak riang atas dukungan ayahnya, dia seperti orang yang paling gembira dengan perkahwinan itu. Anak mat saleh yang mencuri perhatian semua orang yang hadir.

Acara majlis hanyalah serba ringkas atas permintaan kedua pengantin. Cukuplah mereka diraikan di hadapan seluruh penduduk kampung itu dalam acara makan beradab bersama ahli keluarga. Tiada majlis persandingan yang menjunjung adat tapi bukan syariat.

Debar di hati Dahlia Eshal yang teramat manis hari itu memuncak. Biarpun di sisinya, lelaki yang kini bernama suami itu tenang dan bersahaja. Sesekali mengusik membuatkan Dahlia tersenyum tapi masih tak mampu memandang ke dalam sepasang matanya. Walaupun selepas dia tunduk bersalaman dan mengucup tangan lelaki itu usai akad nikah di masjid tadi. Entah kenapa, dia amat takut. Takut andainya ketenangan lelaki itu adalah kerana dia terasa seperti sudah dapat menebus rasa bersalah dan sanggup menerima kehadiran dirinya. Sedangkan dia tak sepatutnya merasakan semua itu. Lebih penting, dia sepatutnya mengahwini wanita yang dia cintai.

I’ll marry you a thousand times for whatever reason. I don’t care.’

Kata-kata lelaki itu asyik berputar di mindanya. Mencari maksud yang tersirat. Tiba-tiba jemarinya di riba disentuh orang. Dahlia tertunduk memandang dan terdongak mencari si empunya tangan. Zarim. Eh… suami!

Tiba-tiba dia mendekat. Dahlia dah tak bernafas. Cepat dia berkalih ke depan memandang pinggan yang masih belum bersentuh.

“Kenapa, Lia? Semuanya dah selesai. Lia fikir apa lagi?”

Lunak suaranya berbisik di telinga. Dan bila dia mendekat, haruman Desire Blue mengacah deria bau, membuatkan Dahlia terpejam menahan rasa yang tiba-tiba bergelora. Dia hanya mampu tunduk menggeleng. Tangan yang meraup jemarinya di riba makin kuat mengenggam seperti hatinya juga tergenggam sama. 

Mereka tak sempat berbicarapun. Ada sahaja tamu yang menyapa, mengucapkan tahniah dan mahu bergambar bersama. Makananpun tak dapat disentuh lagi. Lagipun, perut sudah tak terasa lapar. Kenyang dengan senyum riang gelak ketawa keluarga dan tetamu yang mengelilingi mereka.   

Adegan suap-menyuap pula bermula. Aduh! Malu tak terkata. Mereka diadun untuk beraksi di hadapan kamera dan seluruh tetamu. Boleh tercekik rasanya nanti. Dan waktu menyuap suaminya, Dahlia tak dapat mengelak bila terpaksa memandang wajah lelaki itu saat dia mengacah melarikan mulut dari sudu. Pandangannya menyorot ke dua ulas bibir yang merekah senyum, kemudian naik ke atas, ke dalam sepasang matanya yang ikut tersenyum. Terpaku, tangan Dahlia turut terkaku dengan sudu yang tak jadi menyentuh bibir.

Seperti mata Hanafi yang sedang tersenyum!

Dada Dahlia sesak. Ketat. Sebak.

Bila jemari isterinya bergetar dan sepasang mata itu berkaca, Zarim bertindak menyentuh tangannya dan menjamah makanan yang sedang disuap. Kemudian santai saja dia mencedok makanan di pinggan dan menyentuh dagu Dahlia seraya menyuapnya. Tapi hanya Tuhan yang tahu betapa hatinya tak keruan dengan air jernih yang bertakung dalam kolam sepasang mata itu.

“Sedap?” Zarim bertanya sepatah.

Dahlia angguk. Tapi makanan tak tertelan. Air jernih itu luruh di pipi. Zarim senyum lagi. Gelas minuman dihulurkan. “Minum ni…”

Dahlia akur saja. Syukur suaminya memahami. Selamat dia dari tercekik.

“Senyum, Lia!” Suara Kak Long Zarra menyentak Dahlia. Terus dia berkalih dan menarik senyum ke arah lensa kamera Kak Long Zarra yang sejak tadi tak berhenti berklik.

Riuh orang mengusik. Pasangan raja sehari itu kelihatan begitu sepadan dan romantis. Manalah mereka tahu, hati dan perasaan masing-masing sebenarnya seperti dalam kapal di laut yang bergelora. Entah selamat, entahkan karam… hanya kepada Tuhan, mereka mengadu dalam diam.

Bella datang membawa seorang lagi kawannya. Sejak pagi tadi, ada saja yang dibawanya untuk diperkenalkan kepada ayahnya dan Kakak Lia. Bangga sungguh dia dengan mereka. Bahasa melayunya semakin fasih namun pelatnya yang mencuit hati.

Dahlia memaut anak kecil itu ke ribanya. Mahu disuapkan makanan. Harapannya agar kurang sedikit gelora di hati bila ada Bella di antara dia dan suami.

Daddy, kenapa orang panggil daddy raja sehari?” soal Bella sambil mengunyah.

Zarim senyum lebar. Dia mengenyitkan mata sambil mendabik dada. “What do you think? Do I look like a king?

Sepasang mata Bella membulat. Kemudian dia ketawa dalam teruja. “A king? Yes! You are, daddy! Then, Kakak Lia?”

She’s the queen, of course.

A very beautiful queen!” Bella berpusing memuji Dahlia di depan mukanya. Tertawa dibuatnya Dahlia dengan telatah comel itu. “What is queen in malay, daddy?

“Permaisuri. Dia permaisuri daddy. Dan Bella adalah seorang puteri. You do look like a very beautiful princess, today.” Mak Long Zarra yang tergelak di sebelah Zarim menyampuk perbualan anak-beranak itu sambil mengenyitkan mata ke arah Bella yang tertawa malu dipuji begitu.

Wajah Bella benar-benar teruja. “Oh… wow! A king, a queen and a princess.

Yes, my princess,” jawab Zarim sambil tunduk memegang dada. Kemudian menyambung lagi sambil tunduk memegang dada ke arah Dahlia dan berkata dalam slanga British yang pekat, “My queen, I bow to thee.

Bella ketawa kuat kerana gelihati dengan telatah ayahnya. Dia sangat gembira sampai berkalih memeluk Dahlia yang juga ikut tertawa.

What shall I address her now, daddy? Queen Lia?” Bella memegang kedua pipi Dahlia sambil bertanya kepada ayahnya.

“Bonda,” jawab ayahnya sepatah.

Berkerut dahi Bella merenung anak mata Kakak Lianya. “Bonda?”

“Ya, sayang. Di Malaysia, anak raja akan memanggil permaisuri sebagai bonda. Dan raja dipanggil ayahanda,” jelas Zarim lagi sambil menikmati hidangan pengantin di hadapannya.

But I want to call you, daddy!” sanggah Bella, tak puas hati. Zarim ketawa.

“Tapi Kakak Lia, Bella panggil Bonda. Bonda Lia. You are my mother now!” teriak Bella, membuat pengumuman itu penuh bangga. Dahlia menekup bibir, terharu dan tersentuh dengan kasih sayang anak kecil itu. Laju dia mengangguk sambil berkerut muka menahan sebak. Bella merangkulnya erat sekali membuatkan airmata Dahlia luruh buat kali kedua.

Aku akan menyayanginya lebih dari diriku sendiri, ya Allah! Dia berikrar dalam hati sambil mengucup dahi Bella lama sekali.

“Bella sayang Bonda Lia. Sayang you very much!” Seperti tahu apa yang sedang dibisikkan Dahlia, serentak itu Bella meluahkan apa yang dia rasa.

“Terima kasih, sayang. Bonda rasa bertuah dengan kasih sayang Bella,” Dahlia merasa begitu bahagia bila menyebut diri sebagai ‘bonda’ buat kali pertama kepada Bella yang sudah lama disayangi seperti anak sendiri.

“Tapi bonda, kenapa raja sehari? A king for only one day?” soal Bella dengan wajah keliru sambil berkalih ke arah ayahnya.

Zarim buat muka sedih. Sambil menjeling ke arah Dahlia yang tak dapat mengelak dari tergelak geli hati.

“Ya, sayang. Esok, daddy jadi orang biasa. Tak ada orang nak layan daddy lagi…”

“Eh, no! Daddy is always a king. Always! ‘Kan, Bonda Lia?” Bella berubah risau mendengar kata-kata ayahnya. Beria dia mahukan kepastian dari Dahlia.

“Ya, sayang. Daddy is always a king and you will always be my princess,” tegas Dahlia, jujur dari hati.

“Oh! Bonda Lia. Thank you!” Sekali lagi, Bella memeluknya erat. Dan sepasang mata Zarim tunak memandang mereka berdua.

Suara Tok Karim ketawa besar membuatkan semua yang ada di meja pengantin berpaling ke arahnya. Lelaki yang dihormati di Kampung Ulu Beranang itu sedang berjenaka dengan seorang pegawai polis yang berbadan tegap, melangkah masuk ke bawah khemah.

Sepasang mata Dahlia terbelalak. Dadanya sesak. Cepat dia melihat keliling… ke arah mana dia patut lari? Tapi dengan pakaian begitu, sukar untuk dia bergerak pantas. Akhirnya dia memeluk Bella erat-erat dan tunduk melindungi mukanya di leher anak kecil itu.

“Zarim, ni… kenalkan Inspektor Idham dari Balai Polis Beranang. Dia nak berkenalan dengan pengantin, katanya,” Tok Karim menepuk bahu Inspektor Idham sambil ketawa bangga.

Zarim bangun tegak di kerusi. Berdepan dengan pegawailah, katakan! Laju dia menghulurkan tangan sambil menyapa mesra.

“Tahniah, doktor. Patutlah Tok Karim asyik mengelak bila bercakap tentang Dahlia. Rupanya dia simpan untuk cucu kesayangan. Tak ada rezeki saya. Tapi, alhamdulillah. Selamat pengantin baru, doktor. Dahlia, saya doakan bahagia sampai ke anak cucu.” Santai, ramah dan mesra sekali watak Inspektor Idham walaupun berwajah tegas dengan misainya yang lentik.

Dahlia tetap tunduk tak angkat muka. Namun dia senyum juga sambil mengangguk. Menahan debaran yang kuat dalam dada dan bagaikan bersedia bila menerima hunjaman pandangan Zarim yang terasa menyentuh kulit mukanya sebaik saja Inspektor Idham beredar pergi dengan Tok Karim.

“Tak ada rezeki saya?” Zarim bertanya dengan ayat yang dipinjam dari Inspektor Idham tadi. Dahlia seperti mahu menyorok di bawah meja!

Petang itu, suasana masih riuh-rendah dengan sanak saudara yang belum pulang. Zarim sudah seperti cacing kepanasan, asyik mencari kelibat si isteri. Dia sedar, Dahlia seperti melarikan diri. Dia hanya membalas sepatah-sepatah bila ditegur atau ditanya. Terus menunduk seperti takut mahu memandangnya. Hailah hati, penasaran dibuatnya dek Dahlia Berry.

Waktu maghrib akan masuk tak lama lagi. Zarim menjadikan itu alasan untuk mengundurkan diri ke bilik. Disuruh Bella mencari Bonda Lia untuknya. Dan pesan siap-siap, malam ini, Bella tidur dengan nenek. Anak kecil itu muncung sekejap. Terasa hati seperti hendak diketepikan. Cepat-cepat Zarim memujuk supaya dia beri ruang kepadanya dan bonda yang perlu berbincang panjang sebelum balik ke Sabah semula.

Bilik itu tidaklah sebesar mana. Cukup ruang untuk bersolat sahaja selain katil pengantin, meja solek dan almari. Semuanya rapi tersusun dengan begitu sederhana. Jadi, tiada ruang untuk Dahlia melarikan diri. Zarim tersenyum nakal sambil membuka bagasi pakaiannya.

Ketukan di pintu buat senyum Zarim semakin lebar. Bingkas dia bangun ke pintu. Seperti yang dijangka, Dahlia masuk dengan salam dan sedulang hidangan petang.

“Jemput minum ya. Tadi saya tengok, awak tak makan banyak pun. Lapik perut dulu sebelum makan malam.” Suara Dahlia jelas gugup. Dia menuang teh ke dalam cawan tanpa mengangkat muka. Kemudian membuka almari untuk mencari pakaian.

‘Saya’ dan ‘awak’. Masih belum ‘Lia’ dan ‘abang’. Zarim senyum lagi sambil hela nafas. Baiklah, mungkin dia belum bersedia atau malu untuk memulakan. “Terima kasih, Lia. Buat susah saja. Duduklah kejap. Ada hal abang nak bincangkan.”

Dahlia serta-merta berpusing sambil memeluk pakaian dan tuala ke dadanya. Seperti orang ketakutanpun ada, dia tergagap-gagap bercakap sambil mengundur ke pintu. “Err… nantilah ya. Saya nak ke bilik air. Sekejap lagi azan. Maaf!”

Dia hilang di balik pintu tanpa sempat Zarim berkata apa-apa.

Sepanjang malam Zarim nanar menanti. Lepas makan malam, Dahlia beri alasan untuk bersihkan dapur. Semua orang keletihan. Dia tak mahu nanti Opah Ngah Lijah sendirian mengemas bila semua orang tidur. Akhirnya, Zarim temui dia terlena keletihan di meja dapur atau sebenarnya berdegil tak mahu masuk ke bilik. Diangkat isterinya dengan penuh kasih berbaur rasa geram lalu dibaringkan di katil bilik pengantin. Puas diusik gadis itu namun tidurnya culas. Hingga akhirnya, Zarim sendiri terlena dalam kecewa.

Maka keesokan paginya, Tok Karim tersenyum-senyum melihat dia yang pastinya kelihatan kusut masai dengan muka tak cukup tidur. Tambah merana bila atok menepuk bahunya yang termenung di jendela melihat gerak-geri si isteri. Gadis itu sedang sibuk mengemas halaman rumah diikuti Bella yang asyik berceloteh di sampingnya.

“Sabar, Zarim. Sabar! Kalau perlu, puasalah sehari dua.”

Puasa? Zarim benar-benar tak mampu nak senyum pada atok kali ini!

… bersambung

KENAPA BUKAN DIA? Bab 5

Pejamkan Matamu

Dahlia Berry masih seperti terpinga-pinga saat jari manisnya disarung cincin belah rotan yang seelok sepadan. Terpaku dia melihat jari sendiri seperti tidak percaya. Bila Umi Zarim menyentuh jemarinya, barulah Dahlia tersedar dan tunduk mencium tangan wanita yang lemah-lembut itu. Dahinya dikucup lama. Terasa kasih seorang ibu yang tak sempat lama dia rasa mengalir dalam tubuhnya. Saat itu, Dahlia sebak. Dan bila tubuhnya dipeluk erat, airmatanya tumpah.

Suasana mula riuh bila ramai yang usik-mengusik dan ramai yang mahu bergambar dengannya. Airmatanya diseka entah siapa. Yang Dahlia tahu, dia bersalaman dan dipeluk erat silih berganti. Ramai yang terharu dan gembira bila Dahlia bertemu jodoh kerana mereka maklum betapa dia sebatang kara jika tiada Tok Karim dan Opah Ngah Lijah bersamanya.

Dulang hantaran mula bertukar tangan. Dalam keriuhan itu, Dahlia tercari-cari seseorang. Tiba-tiba…

“Kakak Lia!” Bella tersenyum manis sambil menyeru namanya dari balik iPad miliknya yang sedang dihalakan ke arah Dahlia. Pasti gadis kenit itu sedang mengambil gambarnya.

“Sayang! Mari sini…” Dahlia mendepangkan tangannya, tak sabar mahu memeluk Bella yang akan menjadi anaknya tak lama lagi. Bimbang kehilangan Bella yang dia pendam selama ini surut akhirnya.

“Senyum, Kakak Lia!” Bella mendatanginya dengan iPad yang masih menghala ke arahnya.

Dahlia yang sedang menahan sebak cepat-cepat mengukir senyum paling manis buat Bella. Sabar menunggu dia datang ke dalam pelukan.

iPadnya dipusingkan menghala ke arah mereka dan Bella merangkul leher Dahlia dengan sebelah tangan. Mereka berpelukan erat buat seketika. Dan sebaik saja Bella melepaskan lehernya, dia bersuara, “Isn’t she beautiful, daddy?

Dahlia terkaku. Pandangannya jatuh ke layar iPad.

Zarim sedang terpaku merenungnya dengan renungan yang begitu dalam.

Tuhan!

Daddy?

Zarim kelihatan tersentak lalu tertawa disergah anaknya. “Yes, Bella. She is so beautiful. Alhamdulillah.”

Zarim menjawab soalan anaknya tanpa berkalih pandangan yang masih tertancap ke wajah Dahlia.

Dahlia juga terpaku memandang tak berkerdip. Lidahnya kelu, tak tahu apa yang patut dia katakan kepada lelaki itu yang kelihatan tenang sambil memandangnya dengan pandangan yang begitu dalam. Derai tawa dan dehem bertingkah dengan suara mengusik membuatkan Dahlia tersedar lalu tertunduk melindung wajahnya yang berona.

Dadanya berombak kencang. Mujur Bella mengalihkan iPad itu ke arah lain selepas mengucup kedua pipinya. Mulut kecil itu becok bercerita dengan ayahnya tentang majlis yang sedang berlangsung. Dahlia pula diminta bergambar dengan hantaran dari pihak lelaki. Walaupun sibuk memenuhi berbagai permintaan dan pertanyaan, wajah Zarim melekat kuat dalam mindanya, memandang dia dengan renungan yang sukar dia tafsirkan maksudnya.

Dahlia masih cuba meyakinkan dirinya yang semua ini benar-benar berlaku. Baru kelmarin dulu, Kak Long Zarra datang mengajak dia membeli-belah. Minta dibantu dia pilihkan barang-barang untuk adik kesayangannya. Waktu itu, hati Dahlia sudah berdetak hebat.

Semuanya dia minta Dahlia yang pilihkan. Berputar-putar dia di pusat membeli-belah itu, tak pasti mahu memilih untuk seorang lelaki yang belum benar-benar dia kenali. Tergaru-garu kepala, tak tahu apa selera dan kesukaannya. Bila Kak Long Zarra letih menunggu, dia menelefon saja si adik di seberang sana.

“Ayim suruh Lia pejam mata. Bayangkan dia ada di depan dan pilih saja yang sesuai untuknya.”

Hah? Memang terperanjat dengan cadangan yang langsung tak bertapis itu. Tapi Dahlia seperti tak ada jalan lain. Bila hendak memilih minyak wangi, dia tertanya-tanya apakah dia sukakan bau yang keras atau lembut? Buntu. Dahlia berkalih menjauhi Zarra dan curi-curi pejam mata untuk membayangkan lelaki itu. Muncul wajah Zarim yang sedang terpejam matanya sambil menggenggam tangan Dahlia, tak mahu dilepaskan. Kejadian itu berlaku di bilik tidurnya ketika dia demam panas dan Dahlia merawatnya.

Serta-merta mata Dahlia luas terbuka. Debar jantungnya jadi kencang dan tak tentu arah ritmanya. Dalam serba-salah, dia pilih juga minyak wangi yang diminta Kak Long Zarra. Yang harumannya sesuai untuk seorang kasanova – Desire Blue!

Begitulah akhirnya dia memilih jam tangan, tali pinggang, kasut, baju melayu dan sejadah dengan memejam mata dan membayangkan Zarim. Entah kenapa, semakin lama dia terasa semakin rapat dengan lelaki itu.

Kak Long juga sibuk membelikan barangan untuk Dahlia. Tapi dia asyik dengan panggilan video di telefon bimbitnya waktu memilih barang. Katanya, bukan selalu dia dapat habiskan duit adiknya yang kononnya tak sempat hendak membeli barang keperluan sendiri. Tapi Dahlia dapat rasakan, pasti ada udang di sebalik mi.

Pulang saja ke rumah Tok Karim, Kak Long Zarra dan Opah Ngah Lijah berterus-terang. Kata mereka, ahad nanti rombongan dari pihak Zarim hendak masuk meminang. Zarim yang minta dia belikan semua keperluan kerana tak mahu menyusahkan Dahlia. Tapi syaratnya semua mesti Dahlia yang pilih. Barang-barang untuk Dahlia pula, Zarim sendiri yang pilih melalui kakaknya. Jadi semua itu tinggal dihiaskan ke dalam dulang hantaran saja lagi.

Tak terkata Dahlia dibuatnya. Ada rasa geram, marah, terharu dan bahagia berbaur dalam dirinya. Tapi hendak dimarahkan siapa? Dia sendiri yang sebenarnya meminang lelaki itu! Rasa hendak ditutup muka kerana malu. Kalaulah Kak Long Zarra dan semua keluarga tahu, entah ke mana hendak disorokkan muka!

Sabtu semalam, seharian dia menghias dulang hantaran dibantu teman-temannya. Semuanya terperanjat dengan kejutan itu tapi mereka sangat gembira kerana Dahlia akhirnya dapat melupakan Hanafi. Mereka tak tahu betapa semua itu berlaku kerana kecutnya perut Dahlia dengan si misai lentik. Dan betapa saat itu, dia meratap sebak dalam hati kerana terasa seperti Hanafi sedang melambai pergi. Dia tak mahu kehilangan lelaki itu yang selama ini memberi kekuatan untuk dia meneruskan hidup.

Berkali-kali dia cuba menghubungi Zarim sebelum Ahad tiba. Rasa seperti tak yakin untuk meneruskan semua ini. Tapi lelaki itu bersungguh-sungguh mengelak. Melalui Opah Ngah Lijah, dia berpesan, tak mahu bercakap atau melihat bakal isterinya selagi tak salam tangan tok kadi. Zarim memang melampau. Membiarkan dia bagai dilambung ombak sendirian. Dia hanya mahu Zarim berfikir masak-masak tentang hubungan mereka. Jangan sama sekali menikahi dia kerana simpati. Tapi lelaki itu melalut risaukan seri pengantinnya hilang!

 Hari ini tubuhnya disarungkan sepasang kurung moden yang longgar dari rona biru firus lembut yang ditempah Zarim tanpa pengetahuannya. Rupanya dia berkomplot dengan Kak Habshah, pemilik butik di Pekan Beranang. Kesungguhan Zarim menyediakan semua keperluan untuknya membuatkan dia tersentuh hati dan terharu dengan lelaki itu.

Ramai yang berbisik kepadanya, tuah bagaikan datang bergolek bila dipinang lelaki kaya seperti Zarim. Tapi mereka tak tahu, yang lelaki kaya itu sebenarnya sedang cuba menebus rasa bersalahnya sedangkan dia sama sekali tidak bersalah.

Akhirnya, setelah semua orang pulang, Dahlia mengurung diri di dalam biliknya bersama Bella yang sudah tidur nyenyak. Di tangannya sehelai jubah hijau danau diramas gelisah. Ada sesuatu yang terbuku dalam dada yang masih tak dapat diluahkan. Hatinya meratap dan merintih, ‘Awak tak perlu buat semua ni, Zarim. Sebab bukan salah awak, Abang Hanafi tinggalkan saya…” Airmatanya bertamu lagi.

…. bersambung

KENAPA BUKAN DIA? Bab 4

Cincin Belah Rotan

“Kamu jangan main-main, Ayim!” tegas sungguh nada suara Tok Karim sebaik saja Zarim menyuarakan hasratnya. Bulat sepasang matanya menjegil ke arah cucunya di layar ipad. Cicit munggil di sisinya yang memegang ipad sampai terteleng-teleng mahu melihat wajah moyangnya yang begitu garang tiba-tiba. Tapi langsung tak ada riak takut di wajahnya.

Berdebar juga hati Zarim dengan gertakan atoknya. Tak sempat habis ayat dia menyuarakan hasratnya, sudah disergah begitu. Janganlah Tok Karim menghalang pula. Tersilap pula dia membuat panggilan video. Terpaksalah mengadap muka bengis atoknya. “Apa pula nak main-main, tok. Ayim bukannya makin muda. Memang dah lama Ayim tunggu sampai dia terbuka hati.”

“Macam mana pula kamu tahu yang dia dah terbuka hati?” sergah Tok Karim. Terpisat-pisat Zarim dalam duduknya. Tangan dah mula menggosok-gosok pangkal leher. Takkan nak beritahu atok yang Dahlia Berry meminangnya. Kalau gadis itu menidakkan, habislah dia!

“Err… rasa hati, tok!” Zarim tersengih-sengih.

“Rasa hati kepala hotak kamu! Kamu kena belanja atok dengan nenek kamu makan. Komplot kami menjadi. Itu yang Lia telefon kamu, ‘kan? Kalau tidak, sampai berubanlah kamu menunggu!”

Terkelip-kelip Zarim tak percaya dengan apa yang dia dengar. Komplot?

Am I right, Bella?” Tiba-tiba Tok Karim berbahasa ‘orang putih’ dengan cucunya. Tambah terkejut bila Bella ketawa mengekek sambil keduanya ber‘high five’ depan matanya. Macam faham saja dia!

Tapi Zarim tergelak juga dibuatnya dengan telatah mereka berdua. Aduh! Memang tak sah hidupnya kalau ditempelak Tok Karim. Terhela nafas jugalah dibuatnya. Tak kisahlah, tok! Yang penting, dia dapat bersama Dahlia Berry. Tapi… musykil juga dibuatnya. Apa yang atok buat sampai Si Berry meminangnya?

“Dah beritahu umi kamu?”

Terkejut Zarim bila disergah lagi. “Err… belum, tok!”

“Hah! Yang kamu telefon atok ni, kenapa? Jangan nak ambik jalan mudah pulak ya. Si Lia tu anak dara, elok dipinang dengan beradab. Apa-apapun, bincang dengan umi kamu. Tengoklah nanti, kalau Lia setuju. Dan kalau atokpun setuju.” Tegas arahan Tok Karim menyentak Zarim. Bunyi macam mengugutpun ada!

Haishhh… atok ni macam-macamlah! Orang nak kahwin, mudahkanlah. Ini nak kena pinang-pinang pula. Buatnya Si Berry jawab ‘tidak’ nanti, habis! getus Zarim sendirian. Dia sudah mula tak tentu arah dibuatnya. Cemas pula mahu meminang Dahlia Berry.

“Err… yalah, tok. Ayim minta umi datang ahad ni. Beritahu pada opah ya. Dua minggu lagi, Ayim balik sana. Kalau boleh, nak nikah terus, tok. Ayim tak banyak cuti…”

“Amboi! Gelojoh kamu ya?”

Zarim terkedu. Allah! Tak bernafas dibuatnya kalau dengan Tok Karim.

“Nanti atok uruskan dengan umi kamu. Haa… cakap dengan si Bella ni. Lama dah menunggu, rindukan kamu.”

Zarim tergelak sambil meraup muka lega. Fuh! Selesai satu bab. Walaupun garang, Zarim tahu yang Tok Karim suka kalau Dahlia jadi jodohnya. Ahh… tak sabar nak dengar dari Opah Ngah Lijah tentang komplot mereka sampai Si Berry meminangnya. Hebat atok dan opah!

Zarim berbual dengan anaknya sambil merisik cerita tentang Kakak Lianya. Becok mulut anak munggil itu bercerita tentang aktivitinya bersama Kakak Lia yang sentiasa sibuk selain dari mengajar di sekolah pada waktu pagi. Rupanya, Bella sudah mula belajar di tadika Kampung Beranang. Sepasang matanya berkaca bila mendengarkan anaknya mengalunkan surah yang baru dihafal. Tuhan saja yang tahu betapa Zarim bersyukur. Tindakan-nya membawa Bella pulang ke tanahair adalah yang terbaik setakat ini. Takdir yang menemukan mereka berdua dengan Dahlia Berry juga adalah sebuah anugerah yang tak ternilai.

Terkenangkan Dahlia, Zarim cepat-cepat memutuskan perbualan dengan anaknya kerana mahu menghubungi umi pula. Sekejap lagi, dia harus berkejar ke sebuah studio untuk penggambaran iklan. Mujur dalam studio saja. Dia lebih selesa bekerja di dalam studio berbanding di luar.

“Ayim tak main-main ke ni?”

Umi pula tak percaya! Garu kepala dibuatnya. Zarim ketawa gelihati.

“Betul, umi. Sebenarnya dah lama Ayim tanya Lia. Tapi dia tak bersedia. Yalah, ambil masa nak terima hakikat yang Hanafi dah tak ada. Tapi sekarang, Lia dah bersedia, umi. Sebab tu, Ayim tak nak bertangguh lagi. Umi tolong ajak abah pergi ahad ni ya. Ayim dah beritahu atok tadi. Esok Ayim belikan cincin dan courier pada umi. Atok nak kita pinang cara beradab, umi. Jadi macam mana ya? Ayim lupa dah adab bertunang,” Zarim jadi kelam-kabut tiba-tiba. Baru dia tersedar yang banyak perkara mesti diuruskan kalau mahu beradab segala.

“Iyalah, tahulah umi uruskan nanti.”

“Syukur, alhamdulillah. Umi jangan risau, beritahu saja berapa jumlah yang perlu, nanti Ayim transfer. Oh ya, umi tolong sediakan untuk pihak Lia juga ya. Ayim tak mahu dia susah-susah. Atoklah ni, nak kena pinang bagai. Kalau ikutkan Ayim, nikah terus sajalah!”

“Amboi! Mudah saja nak ambil anak dara orang ya? Sudahlah Lia tu yatim piatu…”

“Sebab dia yatim piatulah, Ayim nak segerakan semua ni, umi!”

“Iyalah tu! Macam umi tak kenal kamu. Biar umi bincang dengan atok dan opah dulu.”

Zarim tergelak kuat. Menutup cemas dalam hati sendiri. Atok dengan umi tak tahu, setiap detikan saat itu mencemaskan. Zarim teramat risau kalau Dahlia mengubah fikiran. Dia tak sanggup menunggu lagi!

“Ayim balik dua minggu lagi. Nanti Ayim nak nikah terus. Atok dah tau…”

“Ya Allah! Mana sempat nak buat semua tu dalam masa dua minggu! Ayim ingat Dahlia tu anak ayam ke?”

“Astaghfirullah! Bukan macam tu, umi. Ayim tak boleh cuti. Cuma dua minggu dari sekarang saja Ayim boleh balik. Umi bukan tak tahu, Ayim sibuk kat sini…”

“Yalah! Yalah! Kalau tak macam ribut, memang bukan Ayim nama kamu, ‘kan?”

YES! Zarim mengepal penumbuk sendiri. Leganya Tuhan saja yang tahu bila atok dengan umi sanggup mengikut kemahuannya. Doa munajatnya tak berhenti… Tuhan, janganlah Engkau izinkan Dahlia Berry berubah hati.

Dahlia Berry… tunggu cincin belah rotan dari Zarim Al Haddad!

…bersambung

Boleh dapatkan ebook atau versi cetak. Whatsapp 011-20503481

KENAPA BUKAN DIA? Bab 3

You’re the reason!

Dua orang jururawat dan seorang pembantu perubatan di ruang itu tergamam melihat Dr. Zack bercekak pinggang penuh gaya sambil tersenyum dan berpusing-pusing di tengah ruang ketika bercakap di telefon bimbitnya. Kebetulan telefon bimbitnya tertinggal di kaunter depan Unit Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif itu ketika dia mengikut pesakit terakhir yang ditolak masuk ke biliknya untuk diperiksa. Mujur ruang menunggu sudah lengang kerana sekejap lagi waktu rehat. Itu menjadi satu pemandangan yang luar biasa sejak hampir setahun doktor yang bergelar Dr. Model itu bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

Jururawat yang berwatak manja itu memberanikan diri mendekati Dr. Zack lalu bertanya. Hatinya berdebar-debar, kalaulah benar bisik-bisik yang selalu kedengaran di ruang belakang hospital itu. Kata mereka, doktor sebijak dan sekacak Dr. Zack takkan berlama-lama di hospital ini. Apakah dia terlalu gembira kerana mendapat pertukaran ke hospital swasta? “Err… Dr. Zack okay?”

Okay! I’m perfectly okay, Shidah! Don’t you worry…” Sambil kenyit mata, sambil melemparkan senyum paling manis, Dr. Zack berpaling dan berlalu meninggalkan Shidah, gadis kacukan kadazan-cina itu menekan dadanya sendiri. Nak gugur jantung! Muka dah berkerut bagaikan hendak menangis. Hatinya menjerit-jerit, Dr. Model kenyit mata pada aku!

“Shidah!” Bahunya ditampar kuat.

Laju Shidah berpaling dan terketar-ketar berbisik, “Kau nampak tak, Suzy? Kau nampak, ‘kan bah? Dr. Model kenyit mata pada aku!”

“Ya Allah! Kau ni tak habis-habis berangan, ‘kan? Dr. Zack nak kahwinlah!”

“Haaa? Tipu! Mana kau tahu?”

“Yang call tadi tu, perempuan!”

Hati Shidah retak seribu. “Kau tipu! Kau saja nak sakitkan hati aku, bah! Kau cemburu…”

Ahh! That sounds like a music to me…” Suzy, ibu beranak satu dari Kuala Lumpur itu siap ikut gaya Dr. Zack, bercakap sambil terpejam-pejam mata. Selepas itu, matanya terbuka dan menjenggil ke arah Shidah sampai gadis itu pula terpejam mata ketakutan, “Kau rasa?”

“Kau main agak-agak saja, bah!”

“Kau tak dengar ya? Dia nak suruh atoknya uruskan majlis nikah dua minggu lagi. Kau tunggu! Dua minggu lagi, Dr. Zack akan balik ke semenanjung dan kau… tinggal gigit jari. Hahahaha…” Suzy gelak besar.

“Kau orang perempuan, kalau tak sibuk hal orang, memang tak senang duduk ya?” Pembantu perubatan yang sedang menolak stretcher kosong setelah menghantar pesakit ke dalam bilik Dr. Zack  tadi tiba-tiba menyampuk.

“Hei tumbiruo! (hantu) Ada saja kau di mana-mana ya!” sergah Shidah dengan garang kerana merasa tersindir.

“Aku dari tadi di sini buat kerja. Kau berdua saja yang sibuk ngintip Dr. Zack sampai tak buat kerja, bah!” tingkah Kalim, yang juga dari etnik kadazan-dusun.

Tiba-tiba Dr. Zack muncul semula, “Kalim, I’m done. Patient yang nak diukur badan tu jam berapa, Suzy?”

“Err… sebentar, Dr. Zack!” Suzy berlari ke meja tepi lalu mencapai nota catatannya. Selalunya dia ingat saja tapi bila Dr. Zack muncul waktu mereka sedang bercakap tentangnya, habis semua terbang dari kepala!

“Jam 2.30 petang, doc.”

Angguk. “Schedule to Beaufort?”

“Lusa, 15 haribulan. Ada dua kes elektif saja, Dr. Zack.”

“Okey. Saya lunch dulu.” Dr. Zack berlalu sambil melemparkan senyuman lagi ke arah mereka semua termasuk Shidah.

Maka merengeklah gadis itu meratapi nasib yang belum beruntung.

****

“Zack! I’m still waiting for you,” tegur Dr. Herlena, salah seorang pakar bius di hospital itu sedang menatang dulang sambil menunggu makanan yang dipesannya di gerai masakan panas.

“Hai Dr. Herlena! Ingatkan you main-main…” Zarim pamerkan senyum serba-salah.

I memang seriuslah! Tunggu you aje. Dah berbulan, takkan you tak free lagi?”

“Dr. Zack?” pelayan bertanyakan pesanannya dengan sepasang mata yang berkerdip manja.

“Biasa, Ina.” Ringkas saja jawapan dari Dr. Zack yang memang selalu makan soto di situ. Sedap hingga ke titisan yang terakhir! Gadis bernama Ina itu tersenyum meleret sambil mencapai mangkuk soto yang sudah siap bahannya dan disusun bertingkat-tingkat. Mereka semua suka dengan Dr. Zack. Jarang ada lelaki yang kacak bergaya, bijak pula tapi ramah bersantun dengan semua orang tak kira pangkat dan kedudukan.

Sorry, Her. Memang tak free. I tak banyak masa…,” Dr. Zack berpaling semula mengadap wanita muda kacukan melayu-cina yang sudah lama cuba mendekatinya sejak dia mula bertugas di sini.

“Alaa… untuk I takkan tak boleh? I’m excited, you know! Memang nak sangat sentuhan you. Kita ambil cuti, buat di klinik kawan you tu ya? I’ll sponsor everything! Tapi I tak nak dia yang buat…” Dr. Herlena terus memujuk. Bukan senang nak jumpa Dr. Zack seperti ini. Selalunya ada saja alasan dia kalau diajak keluar atau sekadar berbual.

“Hmmm… you tahu, kan… kami baru je tutup Karnival Klef (Sumbing) yang cover seluruh Sabah. Lepas ni, I ada program on treating burns and scalds (rawatan kebakaran dan kelecuran). In between cases, ada banyak kerja lain  lagi. So, don’t wait for me.” Zarim sengaja menyenaraikan kerja. Dia perlu beri alasan kukuh untuk tak melayan kehendak wanita itu.

Zarim menatang dulang yang berisi soto dan minumannya mencari tempat duduk yang kosong. Waktu begini memang selalunya penuh. Dr. Herlena laju saja mengekorinya.

Zarim sempat menggeleng. Kalau setahun yang lalu, dia sendiri yang akan teruja untuk melakukan apa yang diminta Dr. Helena tapi kini tidak lagi. Sejak dia belajar sesuatu yang sangat berharga dari Dahlia Berry, bahawa hakikat kejadian manusia itu menghubungkan dirinya dengan Penciptanya. Sebab itu, Zarim sudah berjanji yang dia tak akan mengubah lagi tubuh atau bentuk wajah sesiapapun melainkan jika ianya menimbulkan kemudaratan. Namun dia belum sebijak Dahlia Berry yang selalu menjawab dengan tepat dan pantas seperti anak panah yang meluncur laju dari busurnya. Tepat menusuk hati dan tak dapat disangkal lagi. Sehingga hatinya ditawan dan tertawan oleh gadis itu.

You dah sempurna, Dr. Herlena. Tak perlu lagi semua tu. Betul tak, Im?” soal Zarim seraya melabuhkan punggung di sebelah Dr. Imran, antara teman rapatnya di hospital itu. Satu kebetulan sungguh bila ada satu meja yang hanya ada Dr. Imran!

Tersedak doktor muda yang jarang kelihatan di kafetaria kerana teramat sibuk dengan tugasannya di Bahagian Kecemasan. Orang yang sangat komited dengan kerjayanya tapi sempat menaruh hati pada Dr. Herlena. Zarim tahu walau tak pernah diberitahu.

She’s perfect, right? Tak perlukan langsung khidmat I. Betul kan, Im?” soal Zarim lagi sambil buat muka yang teramat serius dan benar-benar mahukan jawapan ‘penuh makna’ dari Dr. Imran. Sementara itu, Dr. Herlena ikut duduk berhadapan mereka sambil gelak-gelak bangga. Matanya menjeling-jeling ke arah Dr. Imran yang dulu sering menemaninya bila dia perlukan teman tapi tidak lagi sejak kedatangan Dr. Zack Al Haddad. Buruannya beralih arah!

Dr. Imran hanya mampu mengangguk-angguk selepas meneguk minuman. Dia tak mampu membalas pandangan sama ada Dr. Herlena atau Dr. Zack. Lurus saja dia menyambung makan seolah-olah dia tak terkesan dengan apa yang mereka bualkan.

“Im selalu cakap pada I, yang menyempurnakan kecantikan tu adalah hati,” sambung Zarim lagi.

Sekali lagi Dr. Imran tersedak. Kalut dia membetulkan kacamatanya sebelum meneguk air berkali-kali. Perit tekak dibuatnya dek Dr. Zack yang memang suka mengusiknya tak kira tempat. Memang pernahkah dia sebut macam tu?

Dr. Herlena tertegun dengan sepasang kening terangkat.

“Iya! I pun setuju.” Zarim mengiyakan kata-katanya sendiri sambil tersenyum-senyum menadah tangan membaca doa. Satu tabiat yang baru dia amalkan sejak kenal Dahlia Berry. Ah! Dahlia Berry yang sangat cantik hatinya. Itulah yang menyempurnakan seluruh dirinya. Zarim makan dengan begitu berselera sekali sambil melayan Dr. Herlena yang terlebih ramah. Mudah saja, Zarim hanya menghalakan semua soalan wanita itu kepada Dr. Imran yang terkial-kial mencari jawapan dan dia pula tenang menikmati soto yang lazat itu.

Pelik sungguh dengan Dr. Imran, selalunya dia bising menjawab bila diusik tapi bila berdepan dengan Dr. Herlena, asyik tersedak pula. Zarim mengulum senyum sambil mengunyah. Dia akan terus berusaha mendekatkan dua insan itu. Siapa tahu bahagia itu milik mereka andainya jodoh sudah tertulis. Seperti dia dan Dahlia Berry. Terhela nafas Zarim bila teringatkan gadis itu. Hampir setahun lamanya dia menunggu detik manis seperti itu. Bagai mimpi bila dimakbulkan Allah. Dia berjanji, apa yang dicaturkan Allah untuknya takkan disia-siakan.

Usai makan, Zarim cepat-cepat minta diri. Dia memang mahu meninggalkan mereka berdua sahaja. Moga Dr. Imran tak tersedak-sedak lagi. Tergelak dia dibuatnya dengan telatah lelaki itu. Zarim melangkah menuju ke surau dan kemudiannya mengisi borang permohonan cuti tahunan sebelum menyambung tugas. Rasa tak sabar mahu menunggu masa tugasannya tamat. Untungnya dia tak bertugas atas panggilan (on call) malam nanti. Jadi dapatlah dia tenang-tenang berbincang dengan atok tentang majlis mengikat hati Si Dahlia Berry. Selepas itu, dia terpaksa bergegas ke lokasi pengambaran iklan pula dan akan bekerja entah hingga jam berapa pagi. Malah dia akan cuba menjadualkan semula aktiviti peragaannya supaya selepas dua minggu ini, dia dapat pulang ke Beranang.

 Dr. Model. Itulah gelarannya di sini. Kerana mukanya terpampang di papan-papan iklan di tepi jalan atau di media massa juga sosial. Walaupun terpaksa berkejar ke sana sini menjadi model iklan sampai tak cukup rehat tapi Zarim sanggup redah semuanya. Demi untuk menebus dosanya yang sanggup mengubah diri sendiri demi mengejar kepuasan hati. Kepuasan nafsu sebenarnya.

Gilakan perhatian manusia sampai membelakangkan perhatian Tuhan. Dia sanggup melakukan rhinoplasty (pembedahan hidung) dan membesarkan alis kelopak mata serta rawatan pemutih kulit sehingga ibunya sendiri tak kenal rupa anaknya dan amarah Tok Karim makin meledak bila cucu kesayangannya jadi ‘orang putih’.

Selepas itu, dia mula gila mengubah rupa bentuk manusia lain sambil membina portfolionya sebagai doktor pakar bedah plastik, rekonstruktif dan kosmetik. Gigih sungguh dia membawa pelanggannya hanyut memuaskan nafsu yang tak pernah puas – memburu kecantikan dan kesempurnaan rupa dan tubuh. Itu yang menemukan dia dengan Lara Dickman, anak jutawan tekstil di Edinburgh, Scotland.

Bermula sebagai pelanggan yang mahu diubah bentuk dirinya menjadi bidadari dek kerana ditinggalkan kekasih, akhirnya gadis itu berjaya menjadi supermodel dan hubungan mereka berakhir ke jinjang pelamin. Zarim berkahwin tanpa pengetahuan keluarganya kerana dia malas nak mengundang segala perkara negatif. Kahwin mudah saja, tak perlu nak disusah-susahkan.

Riak dan sombong waktu itu usah dihitung. Melangit rasa bangga dengan kehebatan diri. Makin lupa dengan Maha Hebatnya Allah yang Maha Berkuasa.

Tapi apa untungnya semua itu? Dia dapat segala yang diidamkan – perhatian dan kemewahan. Sampai dia tak sedar yang dia rupanya semakin jauh dari perhatian Tuhan. Hidup yang dirasakan sempurna makin lama makin kosong dan menyakitkan. Betapa tidak, kecantikan dan kesempurnaan paras rupa dan tubuh tak menjamin kebahagiaan. Rumahtangganya porak-peranda dengan cemburu, irihati serta buruk sangka di antara mereka suami isteri.

Hingga kemuncaknya, Salsabila lahir. Bayi yang manja dipanggil Bella itu sepatutnya menyempurnakan lagi rumah-tangganya tapi rupanya menjadi punca keretakan hingga tak dapat diselamatkan lagi.

Lara yang terkejut kerana mengandung, tak mahu menerus-kan kandungannya. Buat pertama kali Zarim disentak dengan hakikat hidup. Bila nafsu merajai diri, kemanusiaan berserpihan di kaki. Zuriat sendiri sanggup dibunuh tanpa rasa bersalah.

Lara tak berganjak dari keputusannya malah dia tekad mahu bercerai kerana kerjayanya sedang memuncak. Itu membuatkan Zarim terpaksa mengguna cara lain, dia bersetuju menceraikan dengan syarat zuriatnya dilahirkan. Malah dia dituntut sejumlah wang untuk Lara mengembalikan bentuk tubuhnya yang dianggap ‘rosak’ kerana mengandung. Itupun Zarim sanggup. Asalkan zuriatnya selamat.

Demi agama Salsabila juga, dia akhirnya meninggalkan bumi Scotland. Dia tak yakin untuk mendidik anaknya sedangkan diri sendiri makin jauh dari Tuhan dan keluarga Dickman mula mahukan anaknya. Rupanya takdir yang perit itu menemukan dia dengan cahaya – Dahlia Berry. Kerana gadis itu, dia kenal diri dan mula kenal Tuhan.

Yes, you’re the reason, Berry!” Zarim meluahkan pada ruang kedap dalam kenderaannya waktu dia memandu pulang. Bibirnya mengorak senyum. Sejak kenal Si Berry, dia tak pernah sunyi. Walau sendirian di Kota Kinabalu ini, dia sentiasa ada Bella dan Dahlia Berry dalam jiwa dan mindanya. Gadis itu membuatkan dia tekad, dia akan kembali kepada fitrah asalnya, kalaupun bukan lahiriahnya tapi rohaniahnya.

Dia tak dapat kembali ke rupa asalnya. Cuma rambut dan kulitnya saja yang perlahan-lahan berubah menjadi warna ‘melayu’. Tapi rohaniahnya, dia mahu kembali menjadi hamba sebenar-benar hamba. Dosa yang menggunung itu akan cuba dia taubatkan dengan taubat nasuha – taubat sebenar-benar taubat.

Sebagai usaha lahirnya untuk membasuh segala dosa itu, Zarim mengambil keputusan menggunakan ‘kesempurnaan’nya bagi tujuan amal. Walaupun letih, rimas dan segala perasaan tak suka bila dirinya diatur, diadun dan terpaksa akur dengan kehendak pengarah iklan setiap kali dia menjadi model atau duta produk, dia lawan semua perasaan itu demi kerja amalnya. Semua hasil pendapatan dari kerja peragaan, dia sumbangkan ke pelbagai saluran bagi membantu golongan yang tak bernasib baik di mana saja dia tahu tak kira di Sabah, semenanjung mahupun negara-negara Islam yang sedang tertindas.

Semakin dia tahu keadaan-keadaan yang menyedihkan di merata tempat itu, semakin gigih Zarim bekerja. Sampai kadang-kadang dia terbaring lesu, terlena tak sedarkan diri setiap kali berkesempatan untuk berehat.

Rezekinya untuk berbuat amal itu muncul bila ada pesakitnya yang bekerja di syarikat pengiklanan yang banyak membuat iklan produk kesihatan. Dari situ, Zarim mula mendapat perhatian. Kilang pengeluar produk atau komponen yang dipanggil OEM memang banyak di Sabah. Banyak syarikat pengeluar produk berkunjung ke situ dan namanya mula dikenali di kalangan mereka. Syarikat-syarikat pengeluar produk kesihatan terutamanya suka mendapatkan kerjasamanya sebagai duta atau model iklan kerana kerjaya profesional dan rupa parasnya.

Zarim tak kisah apa orang lain kata. Semua itu kelihatan seperti dia mahu hidup mewah sebab semua orang tahu menjadi kakitangan kerajaan, pendapatan tak selumayan mana. Zarim hanya senyum dan diam. Dia kuat melawan segala yang negatif kerana dalam dirinya ada Dahlia Berry.

Kalau ciptaan Allah ke atas gadis itu menghubungkannya dengan Allah, biarlah ‘dosa’ Zarim selama ini kembali meng-hubungkannya dengan Allah yang Maha Mengetahui. Dahlia Berry mengajarnya sesuatu yang amat berharga iaitu ‘hubungan dengan Allah’. Sumpah, seumur hidupnya dia tak pernah kisah apakah dia benar-benar terhubung hatinya dengan Penciptanya.

Manusia selalu sibuk dengan rupa dan penampilan diri. Mahu kelihatan cantik di mata manusia lain. Mencari apa saja cara untuk mendapatkan kulit putih berkaca bak lilin. Tak cukup lulur dan pemutih, lendir siput pula diburu.

Sedangkan bila manusia terlalu memberi perhatian kepada wajah luarannya, hati dibiarkan saja entah bagaimana rupa. Kotor berdaki? Busuk dengan hasad dengki atau keras dengan riak dan sombong, apa mereka peduli kerana tak nampak pada mata. Yang menjadi perhatian mereka adalah rupa dan penampilan diri di cermin bisu dan di lensa kamera.

Terus lupa bahawa Tuhan itu hanya ‘memandang’ pada hati. Kerana hanya hati yang cantik menjadi perhatian Tuhan. Hati yang cantik pasti saja melahirkan peribadi yang indah. Peribadi yang akhirnya dicari manusia kerana itulah sebenar-benarnya kecantikan dan kekal hingga ke akhirat sana.

Seperti peribadi Dahlia Berry dan arwah Hanafi. Rupa paras mereka hanya biasa-biasa tapi manisnya luar biasa. Ditambah dengan akhlak, ketenangan dan keyakinan yang mereka miliki, mereka menjadi lebih indah dari manusia yang cantik hanya luaran. Malah hidup bersama orang-orang seperti mereka amat menenangkan dan membahagiakan.

…bersambung

#ebook ready RM12

Wasap.my/601120503481/KBDebook

#versi cetak RM15

Wasap.my/601120503481/KBD