Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 12

Bab 12

Usai solat jamak taqdim fardhu Maghrib dan Isya’, Nuqman keluar membeli makanan untuk makan malam. Mereka memutuskan untuk berehat saja malam itu. Puteri yang tiba pagi tadi jelas keletihan.

Puteri mengambil kesempatan untuk merebahkan tubuhnya ke tilam empuk yang masih ditaburi kelopak mawar merah itu sebaik saja Nuqman keluar. Letih dan lesu seluruh tubuh namun yang peliknya hati pula bagaikan berlagu. Jemarinya meraup kelopak-kelopak merah baldu yang masih harum itu ke telapak tangan. Dibawa ke hidung lalu dihidu lama. Hmm… harumnya! Kemudian kelopak-kelopak itu dibiarkan berjatuhan ke mukanya. Biarlah apapun lagu yang sedang berkumandang di dalam hatinya, namun kelopak mata Puteri tak mampu diangkat lagi. Dia terlena tika bibirnya masih tersenyum dengan kelopak mawar merah bertaburan di muka.

Ruang dalam pangsapuri mewah itu sunyi. Hanya lampu dinding yang terpasang, menyimbah cahaya samar ke ruang tamu. Nuqman meletakkan makanan di dapur kemudian melangkah perlahan-lahan mencari Puteri. Manalah tahu kalau dia tersadung lagi dengan si Puteri yang boleh jadi tidur di mana-mana saja!

Akhirnya Nuqman ke bilik bila dilihat segenap ruang kosong tanpa Puteri. Diketuk daun pintu itu perlahan-lahan, bimbang mengganggu kiranya Puteri sedang beradu. Tiada jawapan. Tombol dipulas. Tidak berkunci. Dia percayakan aku, desis hati Nuqman. Bibirnya mengorak senyum.

Daun pintu diselak. Dan saat itu pandangan matanya tertancap pada sekujur tubuh yang terbaring lena di katil dalam cahaya dari lampu meja yang samar. Nafasnya seakan terhenti…

“Ohh…!” Terluah sepatah kata. Indahnya! Daun pintu ditutup perlahan. Dan bagaikan dipukau oleh permandangan itu, Nuqman melangkah selangkah demi selangkah dalam debar yang semakin menggoncang nuraninya.

Asyik. Dia terpaku berdiri di situ. Di sisi katil. Wajah Puteri amat mendamaikan, cantik menawan tanpa solekan. Alis mata bertemu rapat hitam melentik walau tidak terlalu panjang. Dua ulas bibir yang separuh terbuka itu sungguh mengujakan. Beberapa kelopak mawar merah di wajahnya, di leher dan di dadanya. Indah sungguh. Nuqman tersenyum bahagia. Kedamaian yang luar biasa meresap jauh ke dalam hatinya.

Nuqman duduk di birai katil, di sisi puteri. Tangan Puteri terletak elok di bantal. Jemari runcing itu disentuh perlahan dengan hujung jarinya. Kemudian jari-jemari Nuqman makin nakal, menyentuh pipi mulus itu. Hidung, dahi dan bibir hingga turun ke lurah dadanya yang terbuka. Nuqman menelan airliur.

Tiba-tiba hatinya sebak. Gadis itu anugerah Tuhan kepada dirinya. Untuk menjadi suri dalam hidupnya. Harapan kembang mekar. Ingin sekali dia membahagiakan gadis itu kerana bersamanya, hidupnya terasa sangat berbeza. Lembutkanlah hatinya untukku, ya Tuhan…

Rasanya tak mahu berpisah. Perlahan-lahan Nuqman merebahkan diri di katil, di sisi Puteri. Dia mengiringkan badan, mengadap Puterinya. Tak jemu dia memandang setiap inci wajah Puteri. Jemari Puteri diraup antara jemarinya. Dielus lembut. Asyik. Nuqman terus memandang, menghayati dan menikmati keindahan anugerah Tuhan untuk dirinya hingga entah berapa lama. Akhirnya dia terlena di situ, di sisi isterinya. Malam pertama. Saat berbulan madu. Nuqman tersenyum manis dalam tidurnya.

Puteri riang mengejar rama-rama yang berterbangan. Sambil tertawa, dia terduduk keletihan di atas rumput baldu. Seronoknya! Bagaikan dalam syurga. Wangi bunga yang berbagai jenis sedang mekar di kelilingnya, memenuhi taman menambah rasa bahagia. Tiba-tiba…

“Arghh… laparnya!” Dia mengerang sambil menekan perut yang terasa pedih menyucuk. Langsung dia tercari-cari… di mana dia boleh dapatkan sedikit makanan?

Bingkas dia bangun berdiri. Di hadapannya tersergam sebuah masjid. Lantas Puteri berpusing ke kanan. Juga sebuah masjid. Aneh! Laju Puteri berpusing ke kiri dan ke belakang, ada lagi tiga buah masjid! Dia di kelilingi masjid. Ya Allah! Macammana ni? Laparnya…! Terpejam mata Puteri menahan sakit perut yang semakin berkeroncong.

Dalam keluhan yang panjang, Puteri membuka matanya sedikit. Mengharap.

Lelaki!

Matanya membulat.

Nuqman!

Mulutnya terlopong.

Suami!!

Satu jeritan bergema di kerongkong. Matanya liar kalut melihat tubuh sendiri. Ada. Pakaiannya masih ada! Syukur. Tangan kirinya meraba-raba diri sendiri. Ada tak yang tak kena? Okay…? Semua okay! Tangan kanannya? Terlekat di situ. Dalam kedua-dua tangan Nuqman. Matanya terbeliak. Dia cuba menarik tangannya. Tersekat. Nafasnya turut tersekat.

Desah nafas Nuqman yang teratur hangat menyentuh kulit mukanya. Puteri menghela nafas. Kepalanya terhenyak kembali ke bantal. Macammana ni? Bentak hatinya.

Puteri kembali menoleh. Wajah Nuqman sedang tidur lembut bagaikan bayi. Terpana seketika, Puteri diam memandang lama. Anak rambut Nuqman jatuh berjatuhan di dahi. Comel. Hidungnya agak tinggi dan besar. Bibir pula nipis dan kecil. Dia tersenyum. Rasa seronok pula dapat menatap wajah Nuqman puas-puas. Tanpa disedari, hujung jari Puteri menyentuh anak rambut dan perlahan-lahan merayap ke dahinya yang luas. Tanda orang cerdik!

Semakin nakal, jari telunjuk itu bagaikan bermata, berjalan turun menyentuh hidung Nuqman hingga ke bibir yang tertutup rapat. Turun lagi ke dagu yang terbelah. Wah… memang menjadi daya penarik. Tanpa dapat ditahan, jari itu bergerak ke leher yang besar dan perlahan turun ke dadanya yang bidang. Butang baju Nuqman terbuka di bahagian atas. Lalu jari yang nakal itu terus meneroka. Tiba-tiba ia terhenti. Ada bulu dada! Bibirnya terbuka dan nafas ditarik laju. Satu perasaan aneh meresap dalam dirinya. Rasa teruja datang tiba-tiba. Seksinya dia…

“Suka dengan apa yang Ika tengok?!” Suara halus itu menyentak dirinya.

No!!! Oh no!!! Puteri terkaku. Terbuntang matanya. Jari yang nakal itu digigit kuat. Sakit! Padan muka! Jahat sangat. Malunya!! Puteri bagaikan hendak menangis. Ke mana hendak disorokkan muka ni?! Darah hangat menyirap ke mukanya yang kini memerah menahan malu.

“Aaa… awak…!” Cepat! Katakan sesuatu!

“Hmm…?” Kening Nuqman terangkat. Mata dan bibirnya tersenyum nakal.

“Saya… saya lapar…” Terburai tawa Nuqman.

“Tapi tadi asyik sangat…!” Usik Nuqman sambil mencuit hidung Puteri.

“Heee… awak ni!!” Mukanya ditekup dengan kedua-dua tangan! Tak berupaya hendak berselindung lagi.

*****

Mereka makan malam sambil berbual. Nuqman bijak bertanyakan itu dan ini supaya Puteri tak terus-menerus tunduk malu di hadapannya. Dia juga merendahkan diri dan mindanya di hadapan Puteri, cuba untuk tidak terlalu serius dan lebih santai supaya gadis itu selesa bersamanya.

Hidangan malam itu agak mudah namun sedap dan berbeza. Nuqman memandu agak jauh ke sebuah restoran yang memasak menu orang Turki yang biasanya dimasak di rumah.

Melihatkan Puteri yang kelesuan petang tadi, Nuqman membuat keputusan untuk menghidangkan nasi untuknya. Dia berharap hidangan yang agak berat ini dapat mengembalikan tenaga Puteri. Namun nasi atau pilav bagi orang Turki agak berbeza kerana dimasak dengan minyak dan garam dan sedap dimakan begitu saja. Daging yang dimasak dengan kacang badam rebus menjadi santapan mereka pada malam itu bersama yoghurt dan karniyarik.

“Karniyarik ni bermaksud ‘perut terbelah’,” Nuqman memperkenalkan satu demi satu hidangan mereka supaya Puteri tahu apa yang dimakannya.

“Isyhhh… Awak ni! Ngerinya nama!!” Tukas Puteri. Nuqman ketawa kuat. Memang orang perempuan alergi dengan nama macam tu!

“Okay! Okay! Forget about the name but it is delicious. Try it!” pelawa Nuqman.

Puteri merenung terung yang terbelah dua dan diisi dengan daging cincang, bawang putih, bawang merah, tomato, pasli dan percikan lada hitam itu dengan pandangan yang mencemaskan.

Perlahan-lahan Nuqman memotong sebahagian kecil lalu disuap ke mulut Puteri. Dengan kerut wajah dan mata yang mencerun, Puteri teragak-agak membuka mulut. Dia cuba tersenyum lalu mengunyah dengan hati-hati. Matanya tiba-tiba terbuka luas.

“Hmm… sedap!”

“Haa… jadi moralnya ialah… Jangan nilai sesuatu dari namanya. Bak kat orang, apalah ada pada nama dan apalah ada pada rupa.”
Terkebil-kebil Puteri dibuatnya. Cuba memahami maksud bebelan Nuqman.

“Kalau seorang lelaki tu, rupa tak ada, nama pun tak ada orang kenal, jangan pandang sebelah mata. Kenallah dulu hati budi dia… Sebab yang penting, hatinya baik dan dia sayang Ika…”

Haa?! Eh! Ke situ pulak perginya! Puteri mencebik. Nuqman mengangkat kening.

“Lelaki kalau mudah kata sayang ni, bukan boleh percaya.” Puteri menjeling melihat reaksi Nuqman. Lelaki itu hanya diam mengangguk-anggukkan kepala.

“Terpulang… Tak ada paksaan dari saya.” Jawab Nuqman sambil tersenyum. Mudah. Puteri menghela nafas. Baik sangatlah dia ni! Bisik hatinya.

Malam itu, mereka hanya berehat di sofa. Nuqman mengajak Puteri ambil angin malam di hadapan balkoni pangsapuri itu bertemankan coklat panas dan berbagai jenis kuih dan biskut Turki. Asyik Puteri merasa satu demi satu sambil membelek majalah dan buku-buku yang mereka beli sebelum zohor tadi.

Nuqman memerhati dalam diam. Cuba menelah apa yang ada di hati gadis itu. Rupanya lembut menawan. Wataknya periang dan manja. Tapi selalu tiba-tiba berubah keras. Kenapa agaknya jadi begitu? Sampai saat ini, Nuqman belum pasti bagaimana cara yang terbaik untuk melayan isterinya. Dia yang sudah biasa dikelilingi dengan wanita-wanita berkerjaya, matang dan profesional, Puteri menjadi cabaran baginya. Faktor perbezaan usia mereka yang hampir 10 tahun mungkin salah satu penyebabnya. Tapi watak Puteri persis seseorang yang sangat dekat di hatinya. Ya! Kenapa sekian lama, baru sekarang dia teringatkan dia? Rasa bersalah menyerang benaknya. Pantas dia mencapai handphone.

Banyak sungguh pesanan yang masuk. Memang dia sibuk sejak tiba ke Istanbul. Sampai tak sempat dia membuka pesanan demi pesanan itu. Hah! Bagai diduga, pesanan dari Najjah kesayangannya sudah bertimbun. Nuqman membuka beberapa pesanan…

“Abang Man dah selamat sampai? Jangan dekat-dekat dengan gadis Turki tau! Tak nak kakak ipar orang jauh-jauh!”

“Abang Man! Ramai sangat orang rindukan abang kat Peace Yo! Tapi yang paling rindu ialah… NAJJAH!!”

“Najjah nak balik kampung. Rindu ibu. Tak nak rindu abang Man lagi. Sombong. Benci!”

“Abang Man buat apa kat sana? Peace Yo! tengah bincang nak buat program ‘Up, Close and Personal with Brother Nuqman… Abang ok tak?”

“Kalau tak balas, Najjah nangis…”

“Najjah dah nangis ni!!!!”

Nuqman ketawa kuat. Boleh dibayangkan muka Najjah waktu menulis pesanan-pesanan itu. Hmm…. Betul! Watak Najjah dan Puteri hampir sama. Tapi Najjah lebih matang dan sangat menjiwai perjuangannya. Puteri? Dia belum tahu apa-apa. Mungkinkah dia dapat menjadi seperti Najjah, pengubat jiwanya?

Nuqman tahu, ada banyak perkara dalam diri Puteri yang menjadi benteng dalam hubungan mereka. She’s not just like an open book, desis hatinya.

Masalahnya, macammana caranya untuk dia membuka hati gadis itu supaya memberi laluan kepadanya agar dia dapat membantu memecahkan benteng itu?

Contoh yang telah Baginda Rasulullah SAW amalkan adalah yang terbaik! Nuqman telah mencuba sebahagian daripadanya tetapi lupa sebahagian yang lain. Dia terus mencari encik google.

Jari-jemarinya pantas menyentuh papan kekunci di skrin. Sepasang matanya laju meneroka hasil cariannya dari paparan itu.
Wajahnya berubah cerah. Dia meneliti lagi…

‘Rasulullah meletakkan bibirnya di tempat yang sama dengan bibir Aisyah dari gelas bekas Aisyah minum dan meminum sisa air minuman Aisyah. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah bersandar di pangkuan Aisyah sedangkan dia sedang haid. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah meminta Aisyah menyisirkan rambutnya dan memotong kukunya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sering menghirup udara malam bersama Aisyah di malam hari. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah tertawa mendengar gurauan isterinya. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah sering membantu isterinya menyiapkan keperluan rumahtangga. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah sering memberikan hadiah, khususnya daging korban kepada sahabat-sahabat isterinya (Khadijah) setelah beliau wafat. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah sering memuji isterinya dalam hal kelebihan mereka. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah menyatakan cinta pada isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah melihat ciri-ciri kebaikan dan kelebihan isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasululullah tidak pernah menceritakan kepada orang lain hal-hal peribadi isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sangat memahami perasaan isterinya baik dalam keadaan tenang mahupun marah. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah senang menerima hadiah dari isterinya (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sabar dan tahan menanggung tingkahlaku isterinya yang kurang berkenan. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah tidak pernah kasar atau memukul isterinya (Riwayat An-Nasa’i).’

‘Rasulullah menghibur isterinya dan menyeka air mata isterinya jika Baginda melihat isterinya sedang menangis. (Riwayat An-Nasa’i).’

‘Rasulullah pernah menyuapkan makanan pada isterinya. (Riwayat Al-Bukhari).’

‘Rasulullah menyediakan sendiri keperluan-keperluan isterinya. (Riwayat Al-hakim).’

‘Rasulullah percaya pada isterinya. (Riwayat Muslim).’

‘Rasulullah sangat pandai berbicara dalam menjaga perasaan isterinya. (Riwayat An-Nasa’i).’

‘Rasulullah sangat adil di antara isteri-isterinya. (Riwayat At-Tirmizi).’

‘Rasulullah sangat menjaga dan memerhatikan isteri-isterinya. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah tetap bergaul seperti biasa (selain hubungan seks langsung) waktu isterinya sedang haid. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah suka mengajak isterinya bermusafir dengan melakukan undian di antara mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim).’

‘Rasulullah pernah berlumba lari dengan Aisyah. (Abu Daud).’

‘Rasulullah suka memanggil isterinya dengan nama gelaran yang disukai isterinya. (Riwayat Ahmad).’

‘Rasulullah suka menyampaikan berbagai cerita pada isterinya. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah ikut gembira apabila isterinya dalam kegembiraan. (Riwayat Bukhari).’

‘Rasulullah tidak pernah menggunakan kata-kata kasar dalam rumah tangga. (Riwayat Ad-Daromi).’

‘Rasulullah menghormati kesukaan isterinya (Adabul Mufrad).’

‘Rasulullah sangat baik pada isteri-isterinya. (Riwayat At-Tirmizi).’

‘Rasulullah kalau hendak menggauli isterinya apabila pulang dari musafir, Baginda memberikan kesempatan kepada mereka untuk berhias diri. (Riwayat An-Nasa’i).’

Romantiknya dirimu, ya Rasulullah! Nuqman berseru di dalam hati. Dalam rasa bangga dan takjub, dia tersandar di sofa sambil menghela nafas panjang kepuasan. Dia amat berbangga mempunyai Rasul yang agung. Ternyata Baginda adalah sebaik-baik suami di antara semua seperti yang disabdakannya.

Nuqman menyimpan azam untuk mencontohi Baginda Rasulullah sebaik mungkin.

“I don’t believe this!!” Tiba-tiba suara Puteri memecah hening malam.

Bingkas Nuqman duduk merapati Puteri sambil meninjau majalah yang ada di tangannya. “Kenapa, Ika?”

“Ni! Tentang tradisi perkahwinan gadis di Timur Tengah. Nasihat perempuan tua Arab kepada anaknya pada hari perkahwinan. Cuba awak baca ni…” Terganggu dengan haruman tubuh Nuqman yang terlalu dekat dengannya, Puteri meminta Nuqman membaca majalah itu sendiri.

Nuqman menyambutnya lalu dengan selamba melunjurkan badan ke sofa yang panjang itu lalu merebahkan kepalanya ke riba Puteri sambil membaca dengan agak kuat. Mulut dan mata Puteri terbuka luas dan tangannya terkapai-kapai, tak tahu apa yang hendak dilakukan dengan tingkah Nuqman yang begitu. Lelaki itu memang sengaja buat tak nampak membuatkan Puteri geram dan serba salah.

“O my daughter! You are leaving the home in which you were brought up for a house unknown to you and to a companion unfamiliar to you. Be a floor to him, he will be a roof to you; be a soft seat to him, he will be a pillar for you; and be like a slave girl to him and he will be a slave boy to you. Avoid inopportune behaviour, least he should be bored with you; and be not aloof lest he. should become indifferent to you. If he approaches you, come running to him; and if he turns away, do not impose yourself upon him. Take care of his nose, his eyes and his ears. Let him not smell except a good odour from you; let not his eyes see you except in an agreeable appearance; and let him hear nothing from you except nice, fine words.” Nuqman meletakkan majalah ke dadanya dan mendongak mengadap muka Puteri yang dekat dengannya. Menahan tawa melihat Puteri yang panik kerana kepala Nuqman di ribanya.

“I love this!! Really!” Tersengih lebar Nuqman sambil memandang Puteri. Namun reaksi Puteri ternyata berbeza.

“So? Do you like it? It’s so true, isn’t it?”

“True?!! This is slavery!!” Jerit Puteri.

Mata Nuqman terkelip-kelip memandangnya. Parah!

“Lelaki memanglah suka. Siapa tak suka kalau jadi raja, kan?! Tapi perempuan tu kira nasiblah! Sempurna mana pun seorang perempuan tu, sampai jadi macam hamba sekali pun, tak semestinya dia akan dilayan baik. Dah puas nafsu lelaki, habis semua dicampak ke tepi!” Marah benar Puteri dengan nasihat yang dikatakan ortodoks itu.

“Habis tu…? What actually do you believe, then?” Peluang untuk mengorek apa lagi di hati Puteri!

“Saya percaya kalau perempuan jadi begitu, sanggup jadi hipokrit, tunjukkan yang sempurna saja, dia akan kecewa. Memang tak cerdiklah kalau perempuan sanggup lakukan apa saja demi harapkan cinta lelaki sebab mereka bukannya sempurna pun! Bahagia bukan letaknya di tangan lelaki!” Jauh Puteri memandang, meluahkan isi hatinya bagaikan bukan pada Nuqman tapi pada seluruh alam.

Bingkas Nuqman bangun duduk mengadap Puteri. Serius sungguh ni!

“Saya setuju dua ratus peratus!” Dia sungguh-sungguh tapi jelingan maut dari Puteri yang dia dapat…

“Awak jangan nak main-main ya!” Degus Puteri. Tangannya siap berpeluk tubuh.

“Eh! Saya tak pernah serius lebih dari ni! Lelaki memang tak sempurna. Kami cuma hamba Allah. Nak angkat jari pun tak larat kalau Allah tak izinkan, betul tak?” Puteri menjeling sambil buat memek muka. Ke situ pulak dia!

“Saya setuju sangat, Ika. Perempuan memang tak cerdik kalau letak kebahagiaan yang diaorang harapkan tu di tangan lelaki. Apa yang lelaki boleh buat?! Tapi saya tahu. Ika dari golongan perempuan yang cerdik. Orang cerdik akan letakkan kebahagiaan tu di tangan Allah. Allah lah yang Berkuasa, kepada siapa Dia nak bagi kebahagiaan, Dia akan bagi. Itu paling selamat. Bergantung dengan Allah untuk bahagia. Tapi Allah letakkan syarat… Nasihat orang tua Arab tu adalah syaratnya. Dia nak anak perempuannya buat kerana Allah sebab semua yang dia nasihatkan tu adalah perintah Allah. Maka Allah akan balas, dengan izin-Nya, lelaki tu akan melindung anaknya, menjaganya sampai akan jadi hamba juga kepada anaknya, sanggup buat apa saja demi kebahagiaan anaknya kerana Allah juga… Hakikatnya, kebahagiaan tu datangnya dari Allah!” Nuqman tersenyum puas. Puteri pula terkelip-kelip matanya, kehilangan kata.

Tiba-tiba Nuqman turun, melutut di hadapannya. Jemarinya di riba digenggamnya, erat.

“Puteri Zulaikha… Saya amat bertuah jadi suami awak. Ika seorang gadis yang cerdik. Ika takkan letakkan harapan pada lelaki yang tak sempurna macam saya, tapi kepada Allah. Saya doa sangat moga-moga Allah izinkan saya jadi sebaik-baik suami untuk Ika.”

Puteri Zulaikha terkedu panjang!

Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 11

Bab 11

Najjah Rabiah tersandar di sofa sambil memejamkan matanya yang terasa pedih dan letih. Komputer riba merah jambu kesayangannya ditutup lesu. Hampir tiga jam mengadap skrin menggantikan Asyiqin, menjadi moderator di laman sembang Peace Yo! Sebaik saja abang Norhan muncul, Najjah cepat-cepat minta diri sebab terlalu letih. Lenguh jari-jemari, leher dan bahunya. Dan yang paling letih, mindanya! Memerah otak untuk menjawab sebanyak mungkin persoalan di ruang sembang yang semakin mendapat sambutan sejak dilancarkan tahun lepas.

Ha!Ha! Entah macammana abang Norhan nak bersembang tentang memilih calon isteri yang sedang hangat dibincangkan di laman tadi. Najjah tersenyum sendirian. Abang Norhan nak tengok perempuan pun payah! Dengan Najjah pun dia malu. Kalau ikutkan hati nak jugak tengok abang Norhan berdiskusi tapi mata dah pedih sangat, keluh Najjah sendirian. Dah lah malam tadi tidur lewat sebab kena siapkan tugasan. Ah! Tak apalah. Dah rehat nanti, boleh jenguk lagi kat laman tu, Najjah berdialog sendirian sambil terus memejamkan mata…

“Kalau jawab dengan akal, memang letih. Tapi kalau hati tu yang menjawab, relaks je. Mungkin jari rasa letih menaip tapi hati tak letih, minda lagilah tenang je…” kata-kata abang Nuqman bagaikan bergema di ruang tamu, di anjung rumah itu.

Dua ulas bibir Najjah mengorak senyum. Seketika kemudian bibir itu memuncung dan dahinya berkerut.

“Macammana nak jawab dengan hati macam abang Man…” Keluhnya, hampa.

“Hmm… abang bila nak balik? Najjah rindu sangat dah ni… Kat Peace Yo pun dah seminggu abang tak de…” Najjah merengek sendirian. Dia menghela nafas panjang. Makin letih bila abang Man tak ada! Desis hatinya.

Aisyah datang sambil menatang sebuah dulang. Air kopi dan kuih tepung bungkus kegemaran Najjah kelihatan masih berwap, tandanya baru keluar dari kukusan. Perlahan-lahan Aisyah melabuhkan punggung di sofa yang bertentangan. Dia tak mahu menganggu Najjah yang disangkanya sedang tidur.

“Ibu! Ya Allah!” Terkejut Najjah sebaik saja dia membuka mata kerana mencari dari mana datangnya aroma tepung bungkus yang tersangat sedap dan wangi!

“Janganlah susah-susah, bu! Patutnya Najjah yang buat untuk ibu. Maaf, bu… Najjah terleka, asyik menaip tadi.” Najjah jadi serba-salah lalu cepat-cepat menyambut dulang dari tangan ibunya.

“Eh! Tak apalah Najjah. Ni air kopi lebih yang ibu bancuh untuk Makcik Yam tadi. Dia tau Najjah balik, tu yang dia hantar tepung bungkus…”

“Ya Allah! Najjah tak perasan pun Makcik Yam masuk, bu!”

“Hmm… Dia masuk ikut pintu dapur tadi. Kami bersembang di dapur je. Kenapa sejak akhir-akhir ni, ibu tengok Najjah muram je. Ada masalah ke? Tak seronok pindah balik belajar kat sini?”

“Bukan tak seronok, ibu! Lagi pun daripada duduk belajar kat Mesir tu dengan bunyi berdentam-dentum, tunjuk perasaan sana-sini, lebih selamatlah balik belajar kat sini.” Itulah yang selalu dijawab Najjah bila ditanya. Namun bak kata orang, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Hati ibu tua itu tahu lebih dalam dari yang disangka.

“Najjah, kalau bukan sebab tu, kenapa pulak Najjah nampak gelisah, tak bersemangat je…” Ahh! Ibu menduga lagi!

“Najjah sunyi, bu. Cuti semester dah nak habis dah tapi batang hidung abang Man langsung tak nampak. Sampai bila dia nak duduk kat Istanbul tu ya?” Biarlah ibu tahu. Tak salahkan, rindukan abang?

“Entahlah. Tak ada dia bagitau ibu bila dia nak balik. Banyak kerja lagilah tu. Abang Man kata, kalau projek tu jadi, memang lama dia kena berkampung kat sana.”

“Ya Allah! Abang Man ni macam nak elakkan Najjah je, bu… Bila Najjah tukar balik Malaysia, dia pulak ke luar negara. Rasa macam dah bertahun Najjah tak bersama dengan abang Man. Asyik jumpa online je. Agaknya abang Man dah tak sayangkan Najjah lagi…” Terlalu lama disimpan rajuk itu jauh-jauh dalam hati, hari ini terluah juga.

“Eh! Kenapa Najjah cakap macam tu?! Tak baik, nak. Ibu tengok Man tu tak berubah kasih sayang dia pada Najjah. Sejak Najjah kecik sampailah sekarang. Memanglah dulu-dulu abang Man selalu kendong Najjah ke sana ke sini, selalu suapkan Najjah makan. Sekarang Najjah dah besar, mana larat abang Man nak kendong lagi dah!”

“Heee… Ibu ni!! Ke situ pulak!! Bukan maksud Najjah macam tu la, ibu!” Dalam muka berkerut-kerut, dua biji tepung bungkus selesai dinikmati. Terpejam seketika matanya kepuasan kerana tepung bungkus Makcik Yam memang asli. Sedap sungguh-sungguh. Patutlah sudah bertahun makcik Yam kekal berniaga kuih tepung bungkus dan lain-lain kuih-muih di kampung ini.

“Ibu tak pelik ke dengan abang Man? Dia mesti tak nak balik rumah ni kalau Najjah ada. Kalau dia balik pun, dia akan bawak kita keluar jalan-jalan ke, pergi makan ke… Lepas tu, abang Man sanggup balik Shah Alam.. Kalau dia tidur sini pun, awal pagi dah cabut. Kalau raya pun, dia tak lekat kat rumah. Abang Man berubah sangat sejak Najjah sekolah menengah… Kenapa, bu?! Kenapa abang Man berubah? Najjah sedih, bu. Sedih sangat. Kadang-kadang Najjah rasa tak nak balik sini. Kadang-kadang Najjah rasa… rasa macam orang asing…” suara Najjah hilang di situ. Dia tak dapat meneruskannya. Kalau diteruskan, pasti ada airmata yang tumpah kerana dadanya sudah sarat…

“Najjah!!” Dada Aisyah berdetak kencang. Perkataan terakhir yang dilafazkan Najjah sangat menghiris hatinya. Sesuatu yang dijaga sekian lama.

“Maafkan Najjah, bu… Bukan sengaja Najjah nak rasa macam tu. Tapi Najjah memang sedih sangat. Keluarga kita tak macam dulu lagi. Sejak ayah pergi, lepas tu Najjah ke asrama penuh, Najjah jadi semakin jauh dari abang-abang. Nasib baik ada ibu, kalau tak…” Airmata mula tergenang dalam kelopak matanya. Aisyah tak sanggup mendengarnya lagi. Bingkas dia bangun duduk di sebelah Najjah lalu merangkul tubuh anak gadis kesayangannya.

“Najjah sunyi, bu…” Keluh Najjah yang kini tenggelam dalam pelukan ibunya. Airmata akhirnya tumpah juga.

“Ibu faham, sayang. Tapi Najjah kena kuatkan hati. Jangan sama sekali Najjah fikir yang abang Man, abang Norhan dan abang Nabil dah tak sayangkan Najjah lagi. Kalau diaorang balik, semuanya akan cakap pasal Najjah, hadiah untuk Najjah, beli itu ini semua sebab Najjah. Cuma diaorang tu lelaki, bila dah dewasa, watak berubah. Orang lelaki kalau bab kasih sayang, tak semua pandai nak tunjukkan. Macam arwah ayah Najjahlah… Tapi hatinya sayang sangat-sangat.” Semakin hiba hati Najjah mendengarnya. Semua itu benar. Memang benar. Tapi kenapa dia masih rasa sunyi. Hanya airmata yang terus mengalir. Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

Aisyah juga tak dapat menahan dirinya dari mengalirkan airmata. Tolong hamba-Mu ini, ya Allah. Janganlah Engkau biarkan hati anakku hiba begini… Hatinya merayu pada yang Esa. Kepala Najjah dalam pangkuannya diusap lembut tak berhenti. Kalaulah boleh diusap hatinya juga…

“Najjah sayang…” Dagu runcing gadis itu disentuh, pipinya diusap. Wajah polos itu kini kemerahan-merahan terutama hidungnya. Airmata yang mengalir diseka dengan ibu jari tuanya. Tersayat dia melihat tangisan anaknya yang dahagakan kasih sayang. Kalaulah dia tahu…

“Ya, bu…” Wajah ibu ditatap dengan rasa bersalah. Dia tak patut buat ibu jadi sedih namun apakan daya, semuanya terluah juga.

“Ibu nak ajar Najjah tentang rahsia kasih sayang. Kita kena usahakan ikhlas dalam kasih sayang. Itulah kasih sayang yang sejati. Tak kiralah, kasih sayang kita kepada anak, abang, suami, sahabat atau apa pun hubungan sesama manusia ni, mesti dengan ikhlas. Usahakan ikhlas.” Najjah terdongak agak terkejut. Bingkas dia bangun duduk mengadap ibunya. Tangannya diraup kemas dalam genggaman tangan ibu.

“Kalau nak diikutkan hati, seorang ibu lebih sedih bila berjauhan dengan anaknya. Bayangkan, dari kecik dijaga, ditatang ibu, semuanya di depan mata. Makin besar, anak makin jauh tinggalkan ibu. Bila bekerja, lagi-lagilah jarang jumpa ibu. Bila dah beristeri nanti, entah di mana ibu di hati anaknya. Bila ada isteri yang dicintai sepenuh hati… agaknya ibu mungkin akan dilupakan… kalau ingatpun, sesekali…” Deras airmata Aisyah meluahkan isihatinya. Najjah ikut menangis teresak-esak. Kenyataan itu tak dapat disangkal dan sangat pedih kebenarannya.

“Ibu…” Suaranya lirih hiba. Tak terkata lagi…

“Tapi seorang ibu tu, ikhlas kasih sayangnya, Najjah. Walau hatinya terasa sunyi dan terbiar, tapi dia tak layan. Ikhlas tu bila kita tak mengharapkan balasan. Tapi harapkan kebahagiaan yang berpanjangan pada orang yang kita sayang. Sebab tulah Allah jadi tempat mengadu. Pada Allah kita dapat memohon, mintak orang yang kita sayang tu selamat, bahagia… Sebab tu kena kuat hubungan kita dengan Allah. Supaya kasih kita pada orang yang kita sayang terpelihara. Tak ada buruk sangka, tak ada rasa tertekan kalau tak berbalas, tak ada rasa benci dan dendam sebab rasa dipinggirkan…” Aisyah mengangguk-angguk bila Najjah memandangnya dalam-dalam, menyakinkannya. Airmatanya mengalir namun bibirnya masih mampu mengorak senyum.

“Ibu!!!” Najjah tak dapat menahan diri. Dipeluknya tubuh tua itu seerat mungkin. Dia teramat faham apa yang ibu maksudkan. Ibu juga menderita!

Lama mereka saling berpelukan. Berkongsi rasa di dalam. Rupanya dalam berkasih sayang bukan semuanya indah. Itulah yang dikatakan kasih sayang memerlukan pengorbanan. Ikhlas berkorban diri, itulah yang menjadi kemanisan dalam berkasih sayang.

Saling menyeka airmata, Najjah cuba tersenyum seperti ibu walaupun payah. Memang selama ini, ibulah kekuatannya.

“Kita perempuan, Najjah. Kena kuatkan bila jiwa kita lembut. Apatah lagi kalau orang yang kita sayang tu pun berjuang berkorban diri untuk orang lain. Bukan Najjah tak kenal dengan abang-abang Najjah tu. Tambah lagi, si Nuqman. Dia pun tak kisah dengan diri dia. Tu umur dah dekat 30 tahun. Tak pernah sekalipun dia sebut nak beristeri. Dah puas mak tanya, sampaikan ada orang masuk meminang dialah!” Kedua-duanya tertawa dalam sebak mengenangkan abang Nuqman yang pernah dipinang orang.

“Dia sangat berkorban diri untuk orang lain, Najjah. Kita perlu faham jiwa dia, cita-cita dia. Kalau betul kita sayangkan dia, kita kena sanggup berjauhan macam ni, sunyi dan terpinggir. Kita kena doakan dia, bantu perjuangan dia dalam apa jugak cara yang kita mampu. Kita tak boleh pentingkan diri, menuntut perhatian dia sedangkan dia sendiri tak kisahkan kebahagiaan diri dia. Asyik memikirkan masyarakat, asyik memikirkan agama. Kitalah orang yang kena kuat jiwa supaya jadi kekuatan pada dia, kan…?!” Perlahan-lahan Najjah mengangguk. Mula memahami.

Sejak kecil, abang Nuqman begitu. Sangat prihatin kepada sesiapa saja yang memerlukan. Itulah didikan ayah. Abang Norhan dan abang Nabil selesa mengikut jejak abang Nuqman yang bekerja keras dalam membina cita-citanya dan membantu masyarakat.

Najjah masih ingat susah payah abang Nuqman membina berbagai bentuk meja dan kerusi yang diperbuat daripada kayu dan buluh walaupun ketika itu masih berusia belasan tahun. Minatnya dalam kerja binaan sangat mendalam. Ramai orang berminat dengan kerja tangan abang Nuqman yang mendapat bimbingan dari ayah, seorang tukang kayu dan tukang rumah yang terkenal di daerah ini suatu waktu dulu.

Abang Nuqman tak kenal erti letih. Ada saja yang hendak dibuatnya. Dengan hasil jualan set meja dan kerusi kayu, abang Nuqman mengorak langkah membina wakaf atau gazebo. Bermula dari tiang dan lantai buluh berbumbungkan atap nipah, sampailah akhirnya dibuat dari kayu dan papan berbagai jenis dan beratap genting. Corak ukiran kayu pada wakaf yang abang Nuqman hasilkan halus dan tinggi seninya menjadi kesukaan ramai. Akhirnya dalam usia seawal 18 tahun, abang Nuqman mula menceburi peniagaan itu secara serius malah mengorak langkah membuat berbagai perabot kayu dan mempunyai pekerja yang dipantau oleh arwah ayah bila abang Nuqman melanjutkan pelajaran. Yang hebatnya, pelajaran abang Nuqman tetap cemerlang. Hasil titik peluhnya sendiri, dia mula menabung untuk membantu orang lain, bukan untuk dirinya sendiri!

Najjah amat bangga dengan abang Nuqman. Dia bukan saja kesayangan Najjah, ibu dan ayah tapi ramai rakan-taulan dan orang -orang kampung. Ke mana saja abang Nuqman pergi, dia mudah mesra dan disayangi. Mungkin kerana itu, Najjah terasa semakin jauh dari abang Nuqman. Benar kata ibu, kasih sayang itu perlu ikhlas. Jadi ia tetap membahagiakan walaupun jauh tak berbalas.

“Kalau ikutkan cemburu, ibulah orang yang paling cemburu dengan Najjah…” Ibu bersuara perlahan setelah agak lama mereka berdua berdiam diri menenangkan perasaan.

“Eh! Kenapa pulak macam tu, bu?!” Terkejut Najjah dengan kata-kata ibu. Terpinga-pinga dia seketika.

“Iyalah… Dari kecik lagi, diaorang tu… terutama si Nuqman, bila balik je rumah, tak kiralah dari mana, terus tanya Najjah. Sampailah ke besar sekarang ni. Walaupun Najjah tak de kat rumah ni, tambah-tambah masa Najjah kat Mesir. Bila sampai rumah, mesti tanya khabar Najjah. Lepas tu asyiklah bercerita pasal Najjah, kadang-kadang khabar ibu pun diaorang lupa nak tanya. Hadiah tu jangan cakaplah. Tiap-tiap kali balik, mesti ada bawak apa-apa untuk Najjah. Selalu jugaklah diaorang belikan untuk ibu tapi kadang-kadang tak ada. Tapi untuk Najjah mesti ada. Kalau ibu ni cemburulah, mestilah sedih sebab diaorang lebih sayangkan Najjah…” Aisyah menjeling manja sambil buat muka ala-ala marah. Ketawa Najjah dibuatnya.

“Tak adalah, ibu ni!!! Mana ada abang-abang macam tu. Mestilah diaorang lebih sayangkan ibu yang melahirkan diaorang. Ala… dah Najjah ni yang bongsu kan?! Sajalah diaorang tu nak manjakan Najjah…” Dalam malu-malu, Najjah mengakuinya.

“Haaa!! Tau pun! Najjah memang tau diaorang sayang sangat dengan Najjah kan?! Pantang disebut apa pun, mesti Najjah dapat. Haa… Lepas ni kalau sebut nak kahwin pun, mesti dapat…” Aisyah mengambil kesempatan mengusik Najjah, demi membuang gundahnya jauh-jauh.

“Isyhh… Ibu! Ke situ pulak! Abang-abanglah kena kahwin dulu. Hmm… Mesti seronok bila Najjah dapat ramai kakak ipar nanti, kan bu?!”

“Hmm… Beranganlah Najjah…! Ibu ni agaknya mati kempunanlah nak timang cucu!” Keluh Aisyah, memandang jauh.

“Nampaknya kita kena buat sesuatulah, bu. Kita kena cari calon untuk abang Nuqman!” Tiba Najjah mendapat idea yang sebelum ini tak pernah difikirkan. Mungkin sebelum ini, Najjah terlalu melayan perasaan, menagih perhatian dari abang Nuqman. Sebaliknya dia yang patut memberi perhatian kepada abang Nuqman. Hidup abang Nuqman tiada yang menguruskan. Bukan Najjah tak tahu, abang Nuqman jarang balik ke pangsapurinya. Rumah dua tingkat di Bukit Jelutung sudah dijadikan rumah amal, Baitul Rahmah. Akhirnya abang Nuqman akan berkampung di Suite 313 di De Turban!

“Ok, ibu. Baik kita mulakan betul-betul Projek Mencari Isteri untuk abang Nuqman! Isyhh… memang beruntunglah siapa yng dapat abang Nuqman, kan ibu? Bagi Najjah, dialah jejaka paling layak dijadikan suami. Pakejnya lengkap. Handsome, berkerjaya, berkarisma, berharta walaupun sederhana hidupnya, pendek kata, jejaka idamanlah!” Bukan main Najjah berdrama sampaikan Aisyah ketawa dibuatnya.

“Macam-macamlah Najjah ni! Ibu tak retilah nak buat projek tu. Baru bukak mulut, dia dah reject. Ha? Macammana tu?” Berkerut muka dan dahi Aisyah memikirkannya menambah kedutan yang sedia ada.

“Ala ibu, tak pe… pandailah Najjah buat macammana nanti. Ibu tolong doa je. Moga-moga projek mencari isteri ni menjadi!” Najjah mula memerah otak mencari idea. Aisyah menggeleng-geleng kepala dengan gelagatnya. Dia bangun berjalan mundar-mandir sambil memikirkan sesuatu… Tiba-tiba langkahnya terhenti. Aisyah duduk tegak di kerusi. Menanti!

“Haa…! Apa kata, kita mulakan dengan… CALON-CALONNYA IALAH…” Bagaikan hos Anugerah Skrin saja lagaknya! Serentak itu mereka ketawa gelihati. Calonnya ternyata ramai sekali!

Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN

Bab 10

Tangisan anak kecil semakin kuat membuatkan Hanipah terkejut dari tidurnya. Dia yang masih terpisat-pisat tak dapat mengagak apa yang sedang berlaku. Jeritan itu semakin kuat memaksa dia membuka mata. Dan serentak itu, dia juga menjerit sekuat-kuat hatinya.

“Mak! Mak! Mak mimpi lagi. Bangun mak…” Suara anaknya Fahmi pula kedengaran.

“Tolong, Mi… Tolong Mak!! Anak siapa ni, Mi… Tolong…” Bayi yang berbalut lampin putih itu sedang menangis meronta-ronta sehingga kaki dan tangannya terkeluar dari balutan. Kulit muka dan seluruh tubuhnya sudah memerah. Merah sungguh! Dan tangisan itu… Bagaikan dia sedang sakit, teramat sakit. Tolonglah, ya Allah!!

“Mengucap mak! Mengucap! Mak mimpi buruk lagi. Bangun mak!!” Raihanah, isteri Fahmi yang turut tersedar dari tidur, datang membantu menyedarkan ibu mertuanya. Mata Hanipah terbuka akhirnya. Peluh memercik di dahi, di leher dan di mana-mana. Bajunya basah dek peluh.

“Ya Allah… Ya Allah…” Seru Hanipah tak berhenti.

“Mak mimpi lagi…” suaranya parau dan sedih. Raihanah menggosok-gosok bahu ibu mertuanya. Simpatinya melimpah-ruah. Sudah hampir sebulan sejak Hanipah demam panas, tidurnya selalu terganggu kerana mimpi buruk. Dari ceritanya, mimpi yang datang hampir sama saja. Kesihatan Hanipah semakin susut kerana tidurnya tak mencukupi.

Setelah mengelap muka dan lehernya dengan tuala basah, Raihanah duduk membaca surah Yassin dan Fahmi pula berzikir di kerusi, di hujung katil ibunya. Doa mereka agar Allah mengungkai masalah yang datang dan memberikan petunjuk. Moga-moga ibu sembuh dari gangguan itu.

*****

Bunyi loceng mengejutkan Hanipah yang sedang ‘bersilat’ di dapur. Sudahlah hari ini ada tetamu jemputan Datin Noriah dari Indonesia. Aduhhh! Kalut banget! Hati Fatimah mula bersinetron.

Daun pintu diselak pantas. Cahaya matahari yang kian meninggi menerobos masuk tanpa diundang. Sejambak mawar merah segar dalam rimbunan ‘baby breath’ tiba-tiba menyapa pandangan mata. Wah! Pagi-pagi dapat bunga?! Aduhh… Romantiknya…!! Wajah Fatimah berubah ceria dan teruja. Hilang penat lelah di dapur.

“Assalamualaikum makcik…” Suara itu memecah angannya. Fatimah segera mengamati wajah anak muda di hadapannya yang kelam dalam silau matahari pagi. Ahh… Pasti bunga ini bukan untukku, hatinya berbisik sedih. Entah kapan…

“Waalaikummussalam…” Puas ditenung wajah itu sambil menjawab salam namun wajah itu memang tidak pernah dilihatnya.

“Ya, cari siapa, nak?” Dan bunga ini untuk siapa? Soal hatinya pula.

“Maaf, makcik. Boleh saya jumpa dengan Puteri Nadia?” Terperanjat Hanipah. Jantungnya berdegup kencang. Mujur Datuk Tengku Nuruddin dan Datin Noriah tiada di rumah waktu itu. Tak pernah-pernah ada lelaki yang berani datang untuk berjumpa dengan kedua anak gadis mereka di rumah ini.

“Err… Anak ni siapa nama? Dari mana?” Hanipah terpaksa bertanya. Hatinya diselubungi kebimbangan.

“Saya Zulkarnain, makcik. Saya datang dari Gombak. Saya dapat berita yang Puteri Nadia dah balik. Itulah saya ke mari…” Pemuda itu nampak jujur orangnya. Tak sampai hati Hanipah hendak menghalang walaupun dirinya yang harus bertanggungjawab sekiranya apa-apa terjadi kelak.

“Baiklah, saya panggilkan Puteri Nadia. Anak jemputlah duduk di sana dulu ya.” Pinta Hanipah sambil ibu jarinya menunjukkan ke arah taman di halaman rumah di mana kerusi dan meja batu sudah disediakan di tepi sebuah wakaf. Memang taman itu dijaga rapi untuk keluarga dan tetamu mereka duduk berehat. Pemuda bermata bening itu tunduk mengucapkan terima kasih lalu beredar menuju ke taman.

Puteri Nadia terperanjat dan berubah ceria. Berlari-lari dia menuruni anak tangga menuju ke taman. Tak pernah Hanipah lihat dia segembira itu. Pantas Hanipah menyelit ke tepi tingkap kaca di dewan tamu di sayap kiri rumah agam itu. Bimbangkan keselamatan Puteri Nadia kerana Pak Mahat yang menjaga rumah itu membawa isterinya, Mahani si tukang masak, pergi ke pasar. Jadi hanya dia dan Puteri Nadia sahaja di rumah.

“Abang! Ya Allah… Tak sangka abang datang…” Puteri Nadia tunduk bersalam dan mencium tangan pemuda itu. Abang??!! Hampir luruh jantung Hanipah melihatnya. Kepala Puteri Nadia dibelai mesra.

“Abang rindu… Teramat rindu!” Tangan mereka masih bertaut, saling memandang lama dengan senyuman tak lekang di bibir. Lagaknya seperti suami isteri saja! Hanipah semakin tak sedap hati. Ke hulu ke hilir dia mundar-mandir memikirkan apa yang sedang berlaku. Bimbang sungguh kalau Datuk dan Datin pulang saat ini.

Tak lama kemudian, pintu besar itu terbuka. Puteri Nadia berlari mendapatkannya. Senyumannya berseri sungguh.

“Mak Pah! Nadia nak keluar kejap ya. Ada hal. Lagi satu Mak Pah…” Tangan Hanipah digenggam penuh harap.

“Tolong rahsiakan dari mama dan papa ya. Katakan Nadia keluar dengan kawan perempuan. Janji ya, Mak Pah!!” Tangannya digoncang bertalu-talu memaksa Hanipah mengangguk. Apalah dayanya… Dan itulah kali terakhir dia melihat Puteri Nadia tersenyum gembira.

“Mak, jemput minum.” Suara Raihanah lembut mengejutkannya yang entah berapa lama termenung di situ. Hanipah hanya memandang kopi dan kuih jawa yang terhidang. Seleranya mati. Mindanya masih di sana. Di rumah agam Datuk Tengku Nuruddin lebih dua puluh tahun yang lalu.

“Diakah orangnya? Diakah…” Hatinya tertanya-tanya.

“Mak, eloklah mak berzikir, mak. Tenangkan hati. Mak janganlah banyak fikir. Aina risau tengok mak macam ni…” Suara menantu kesayangannya mengganggu lagi. Bagaikan tidak membenarkan dia kembali ke waktu itu.

Kakinya yang terlunjur, dipicit dan diramas-ramas. Terasa lega sedikit. Darahnya tak berjalan lancar, kata doktor.

“Aina… Kalau kita diminta merahsiakan satu perkara… wajib ke kita buat walaupun perkara tu mungkin menganiaya orang lain…?” Entah kenapa hati tuanya meronta untuk bertanya. Apakah Allah tak suka dengan apa yang aku buat maka aku tak dapat hidup tenang sekarang?

Persoalan itu yang selalu memburu. Selama ini dia memegang amanah itu. Bertahun lamanya dia menyimpan rahsia dan menjalankan tanggungjawabnya namun semakin hari dia semakin gelisah. Dia rasa bersalah…

“Mak, memang kita wajib memegang amanah dan menyimpan rahsia. Tapi dalam keadaan tertentu, kita boleh merujuk pada orang yang dipercayai kalau sebab rahsia tu mungkin memudharatkan. Contohnya rahsia rumahtangga suami isteri, berdosa kalau kita jaja pada orang tapi kalau ada masalah, kita boleh buka rahsia tu pada orang yang arif supaya dapat cari jalan penyelesaian. Macam nilah mak, apa kata kita jumpa imam masjid? Esok ada program kat masjid. Lepas tu boleh kita jumpa imam kejap.”

Hanipah laju saja mengangguk. Lega hatinya mendengar kata-kata Raihanah. Hatinya juga mengatakan perkara yang sama tapi dia tak ada kekuatan untuk bertindak. Serba-salah. Maka eloklah dia merujuk kepada orang yang lebih arif.

Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 9

Bab 9

“Wow! This place looks like a Turkish lady’s attic, right?” Seru Nuqman dan disambut dengan senyum tawa pemilik dan pembantu kedai itu.

Sivasli Istanbul Yazmacisi, itulah nama kedai yang dilimpahi fabrik cetakan tangan dan tenunan yang berbagai corak mengikut tradisi pelbagai etnik dari seluruh Turki. Turut menyediakan pelbagai jenis fabrik yang lain, kedai itu bagaikan syurga himpunan pakaian dan fabrik, semuanya terkumpul di situ mungkin sudah bertahun-tahun lamanya sebagai simpanan untuk generasi seterusnya.

Puteri menyentuh dan membelai helaian demi helaian yang dapat dicapainya. Semuanya cantik dan indah belaka! Bibir dan matanya sama luas terbuka kerana sangat teruja. Bimbang andainya dibiarkan, mereka mungkin pulang dengan tangan kosong, Nuqman cepat bertindak. Dengan senyuman, dia meminta mereka tunjukkan jenis-jenis tudung untuk dipilih Puteri. Berlarian pekerja-pekerja di kedai itu, lincah tangan mereka mengeluarkan pelbagai jenis tudung untuk tatapan Puteri. Nuqman turut terkejut dengan banyaknya jenis tudung dan melihatkan mata Puteri yang sekejap membulat dan sekejap mengecil dengan kerutan di dahi dan berbagai lagi memek muka, Nuqman segera meminta pekerja wanita manis yang memperkenalkan dirinya sebagai Hulya membantu Puteri untuk mencuba terus tudung-tudung tersebut.

Fasih berbahasa Inggeris, dia terharu dengan pengakuan Puteri yang baru berhijab hingga bibirnya tak berhenti melafazkan Alhamdulillah… Alhamdulillah…

“Okay, I start with the small one and that is scarf – you can find it in varieties such as silk, cotton, wool and… this mustard cashmere scarf is beautiful on you definitely…” Bukan main ramah dan mesra si Hulya sambil jari-jemarinya lincah memakaikan sehelai selendang yang diperbuat daripada kain wol halus berwarna kuning gelap ke kepala Puteri. Dengan menggunakan dua biji kerongsang kecil, Puteri berubah lebih menawan dengan balutan mudah selendang itu. Nuqman juga terpegun.

“You are right, Hulya! She’s beautiful now!!” Usik Nuqman sambil berkerut dahi dan menggelengkan kepala seolah-olah Puteri tiba-tiba berubah cantik! Pecah derai tawa Hulya. Puteri tak dapat menahan diri akhirnya tersenyum sambil menjeling malu.

“She IS beautiful. That’s why, anything on her will looks beautiful!” Teriak Hulya.

“Chiffoni scarf and vincose suits you perfectly as well…” Helaian demi helaian terhampar di hadapan Puteri sampai rambang matanya untuk memilih. Sudahlah ligat mindanya memahami dan mengenali semua itu secara tiba-tiba, untuk memilih warna dan corak menambah masalah lagi. Dia menoleh ke arah Nuqman lalu melangkah. Dicapainya tangan lelaki itu dan diheret ke ruang di mana Hulya menanti dengan senyuman lebar.

“Awak tolonglah saya…,” rayu Puteri. Nuqman menelan air liur. Manalah dia reti!

“Eh, kan Hulya kata semua cantik bila awak pakai, so… beli sajalah. Kan senang?!”

“Nak beli semua ni?! Merepeklah awak ni! Tolonglah pilih!!” Rengek Puteri yang benar buntu.

“Okay… Don’t be upset, honey. We’ll take each of these, Hulya. What about other type of hijab? Do you have any?” Nuqman memudahkan urusan. Dia tahu Puteri sudah letih sebenarnya.

“Alright, let us choose different colour from each designed scarf, yeah? And yes, we do have other types of hijab. I’ll show you shortly, madam…” Gembira sungguh Hulya kerana pelanggannya kali ini pemurah sekali!

Selepas itu Hulya memperkenalkan tudung Pashmina yang biasa dipakai oleh wanita Turki dan kini semakin banyak kelihatan menjadi pilihan wanita di Malaysia.

“And this is Pashmina… Do you know the famous fashion designer, Hana Tajima? She is so creative and she made pashmina looks fabulous! You can always learn the new style from her latest tutorial. And pashmina is the best especially in cold weather…” Hulya memakaikan sehelai selendang panjang yang lebar itu ke kepala Puteri. Memang dia seorang yang sangat arif kerana tak sempat Puteri memahami cara balutannya, selendang itu sudah siap membaluti kepalanya. Hmmm… Hana Tajima harus dijejaki. Dan… ya memang dia kelihatan anggun bila memakainya. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Nuqman yang tersenyum manis sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Ika… Awak memang cantik!” Sungguh dia terpegun dan…

“Aduhh..!” Perutnya dicubit.

“Tudung nilah yang cantik!” Balas Puteri sambil mengulum senyum. Pipinya berona kemerah-merahan dan Hulya menutup bibir dengan jari-jemarinya yang tersenyum bahagia melihat pasangan itu. So romantic!

“Give us five of different types of Pashmina and please choose the best for my DARLING wife…” Ujar Nuqman sambil mengenyitkan matanya ke arah Hulya membuatkan Puteri semakin malu bila Hulya ketawa dengan usikan Nuqman.

“Do you have more, Hulya?”

“Oh yes, sir! Let me show you in a while…” Lincah memilih beberapa Pashmina dan dibalut seketika ke kepala Puteri untuk memastikan pilihan itu yang terbaik, Hulya kemudiannya mengeluarkan beberapa helai tudung lagi.

“So, this is shawl. There are hundreds of different types of shawls from different colour. And this is esarp, you can see many Turkish ladies with esarp.” Tudung empat segi itu diperbuat dari kain sutera dan kebanyakannya lembut berkilat.

“This is Khimar. You can pray with it, madam. It’s made of very fine cashmere, comes in solid colours and you can choose the border design either with sequins or beads…would you like to try?”

“Err…. I don’t know….” Terkejut dengan tudung selabuh itu, Puteri teragak-agak.

“Put it on… I want to see how it looks like…” Pinta Nuqman. Hulya tersenyum senang lalu memakaikannya untuk Puteri. Penampilan Puteri berubah menjadi sopan, amat manis dipandang, sejuk sampai ke jantung hati. Nuqman sekali lagi terpegun.

“Choose the best three of these shawls and one… Err… Khimar?”

“Yes, Khimar, sir!” Hulya laju saja memilih.

“Ehhh… Takkan awak nak saya pakai tudung selabuh ni?!” Puteri jadi kaget dengan tingkah Nuqman.

“You’ll wear it for me… I’d love to see you in it again…” Nuqman menyentuh dagu Puteri dengan wajah serius. Puteri terpinga-pinga, kurang memahami maksud Nuqman sebenarnya.

“Now let me show you the special niqab with the veils… You have very beautiful big eyes, madam and niqab suits you perfectly!”

Tercengang Puteri. Macam pernah dengar…

“This is half niqab with the veil, simple but beautiful, made from fine chiffon silk. Let me try it on you, madam… This is 2 layers niqab shawl, its beautiful and breathable, ” Terkejut Puteri melihat dirinya ditutupi kain tipis dan lembut berlapis berwarna hitam seluruhnya dan dipasangkan penutup muka yang boleh ditarik kemas ke dagu jika hendak menampakkan seluruh wajah. Sangka Puteri dia akan lemas dalam tudung sebegitu namun dia tersilap. Rasa sejuk dan damai bagaikan menyimbah sekujur dirinya. Terkedu melihat wajahnya di cermin yang hanya menampakkan sepasang matanya yang bundar, Puteri menyentuh wajahnya yang terlindung kini dengan rasa tidak percaya.

“It comes in few beautiful colours, madam. Sweet lilac, mustard, black, cream and peach. Would you like to see them?” Puteri tidak menjawab kerana dia masih terpaku di situ. Seketika dia tersedar, wajah Nuqman muncul di cermin dekat di belakangnya.

“You take my breath away, Ika…” Bisik Nuqman di telinganya. Perlahan-lahan Puteri berpusing mengadap Nuqman.

“The more you cover yourself up, the more beautiful you become…” Tulus kata-kata dari Nuqman membuatkan Puteri sebak. Ada sesuatu yang mahu dikongsikan tentang rasa hatinya di saat itu dengan Nuqman namun segalanya tersekat di kerongkong. Hanya ada airmata yang tergenang di tubir matanya.

“I choose black and cream, Hulya. She might not use it yet but I’d like her to have it as a special gift.” Tanpa menoleh, Nuqman membuat pesanan. Pandangan mereka masih bertaut. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan di dalam bila dia melihat riak pandangan dalam sepasang mata Puteri dan genang airmata itu. Hatinya bermunajat.

“Ika, tak ada yang lebih cantik daripada seorang wanita yang beriman yang berpakaian kerana Tuhannya. Sebaik-baik pakaian adalah taqwa. Saya sangat mendoakan moga Ika tergolong dalam golongan wanita istimewa itu…” Terpejam mata Puteri mendengarnya. Dan setitik airmatanya gugur mengaminkan kata-kata Nuqman. Berilah aku kekuatan, hidayah dan taufik-Mu, ya Allah… Pintanya dengan hati yang lirih.

Siri Novel CINTA PUTERI vs NUQMAN 8

Bab 8

“Syukur, Alhamdulillah…” Bisik hati Ammar Bahrain sebaik saja pesawat selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy tadi. Perjalanan selama 22 jam dan 30 minit itu akan membawanya ke Dubai dan hanya selepas itu dia akan menyambung perjalanan ke Kuala Lumpur yang sudah terlalu lama dia tinggalkan.

Suasana tenang dalam perut pesawat sepanjang perjalanan tidak dapat membantu dirinya yang kegelisahan sejak dia mula bersiap untuk pulang. Hari demi hari, dia menghitung masa-masa yang ditinggalkan dan hari-hari yang bakal dia tempuhi. Gembira dapat kembali ke tempat tumpah darahnya. Bahagia terasa untuk kembali bersama keluarga tercinta. Namun mengenangkan Maliha, adik kesayangannya, Ammar jadi gelisah. Rasa cemas pula menujah bila membayangkan wajah Puteri. Entah bagaimana patut dia berhadapan dengan Puteri Zulaikha sekali lagi? Walau apa pun yang terjadi, dia harus menerimanya. Walau dicaci dan dihamun, dia tetap akan tega berdiri. Kalau dia diusir sekalipun, dia tetap akan setia menanti. Dia harus berjuang untuk memiliki hati Puteri buat kali kedua dan dia sangat yakin, kali ini untuk selama-lamanya andai diizinkan Tuhan yang Esa. Serentak itu, mata Ammar terpejam rapat bermunajat.

“Memanglah abang tu bukan jauhari. Sebab tu lah tak kenal manikam. Memang tak retilah nak bezakan yang mana intan, yang mana kaca! Habis tu, kalau dah tak reti, dengarlah nasihat orang!” Tempelak Maliha bertalu-talu. Boleh berdarah telinga dek tajamnya kata!

Dan hari ini dia pulang sebagai jauhari. Pengalaman telah mengajar dia bagaimana mengenal manikam. Harus dikuak segala kaca demi memilih intan. Hanya satu pintanya pada Yang Maha Kuasa, janganlah dia terlambat. Dia memohon diberi peluang sekali lagi untuk memilih kerana dia amat pasti dengan pilihannya kali ini.

“Kalau kolot tu satu dosa… Kalau hidup tak bebas macam orang lain tu awak anggap satu kesalahan, kalau kerana kelemahan saya, awak kata saya menyesakkan hidup awak, kalau benar kerana peribadi saya ni, saya memalukan awak, pergilah… Tapi tolong jangan hina saya pada semua orang. Saya ada ayah, ada keluarga. Tolong jangan calarkan maruah keluarga saya…” Wajah polos itu basah dengan airmata meminta simpati walau disaat itu hatinya sakit bagaikan disiat-siat.

Mata Ammar terpejam menahan pilu. Kejam sungguh aku! Sesalnya tak berpenghujung. Wajah sedih itu memburu dirinya walau ke mana dia pergi. Bertahun dia cuba menepisnya. Sudah jenuh dia berusaha memadamkannya. Namun wajah naif yang basah dengan airmata itu terus menghantuinya. Dan setiap kali itulah hatinya jadi pedih. Pedih yang tak terubat.

“Maafkan aku, Puteri… Maafkan aku…” Rintihan itu tak berkesudahan. Beberapa kali dia cuba menghubungi Puteri namun tiada jawapan. Pesanannya tak pernah berbalas. Dan Maliha bagaikan naik hantu setiap kali dia membuka mulut untuk bertanyakan sahabat baiknya itu. Rapat sungguh hubungan persahabatan itu kerana Maliha ikut merasa sakitnya malah berdendam dengan abangnya sendiri.

“Kenapa nak pergi jauh-jauh Ammar? Tak kesiankan mama dan papa ke? Apa kurangnya Universiti Malaya? Kan setaraf dengan New York?! Apa perlunya Ammar ke sana?” Mama semakin hari semakin runsing dengan keputusan satu-satunya anak lelaki yang dia miliki. Dan yang satu itu jugalah yang mahu meninggalkannya. Hati Ammar dipagut sayu setiap kali kata-kata mama menerjah pendengarannya.

“Bukan sebab New York tu lebih hebat, ma… Tapi kalau dah kena penyakit angau, macam nilah jadiknya! Mama ke papa ke… Dah tak jadi hal. Yang penting, hati bahagia melayan angau…” Mencerun mata Ammar saat itu. Sudahlah Maliha bertubuh kecil, jadi semakin kecil di matanya. Mulut tu memang tak makan saman! Ikut suka dia saja nak bercakap! Melihatkan Mama yang terpinga-pinga dengan wajah sugulnya, Ammar membatu diri tak mampu berkata walaupun penumbuknya sudah dikepal kemas. Kalau ikut hati marahnya, mahu didebiknya si Maliha. Tetapi jauh dalam dirinya, dia tahu kebenarannya. Maafkan Ammar, mama…

Segalanya kerana Liana Ikram. Pelajar tahun akhir jurusan Seni Reka Fesyen yang ditemui secara tidak dirancang. Lirikan matanya bagaikan berbicara memukau minda Ammar hingga membuatkan dia tercari-cari siapa empunya diri. Personaliti Liana jelas menunjukkan dia dari golongan ekstrovert yang sangat suka mencari perhatian, gemar sesuatu yang mencabar dan suka mencari peluang untuk melangkah jauh. Berkeyakinan tinggi dan seorang ‘go-getter’, Liana sangat tahu apa yang dikehendakinya.

Teruja dengan kecantikan dan personalitinya membuatkan Ammar berusaha untuk mendekati Liana. Dan bagi seorang jejaka kacak menawan seperti Ammar yang memandu Ford Fiesta hatchback Sport, meraih perhatian gadis seperti Liana menjadi teramat mudah. Namun niat hanya untuk berkawan menjadi semakin pudar apabila senyuman manja Liana menjadi igauannya siang dan malam. Dan Puteri…?

“Dulu Liha tak nak kenalkan abang dengan Puteri, mati-mati abang pujuk Liha. Bila tau Puteri tu ramai peminat, lagi hebat abang tackle dia. Dah dapat dia, bukan main abang canang satu dunia. Sekarang abang kejar ratu fesyen tu pulak, senang-senang hati nak campak Puteri ke tepi macam tu je?!! Abang ingat perempuan ni apa haa?!! Anak patung? Kayu? Bisu? Tak ada perasaan?! Liha benci dengan perangai abang ni tau tak? Benci!!!!” Amukan Maliha meledak tidak lama selepas itu. Ammar tak mampu menyembunyikan kebenarannya lagi. Dia dah gila bayang dengan Liana Ikram! Dan Puteri…?!

Sebuah penumbuk melayang ke mukanya sebaik saja dia keluar dari kereta di perkarangan tempat letak kereta di hadapan kolej. Terlentang Ammar di atas rumput. Wajah Taufik yang menyinga tambah mengejutkannya. Tak sempat berkata apa-apa, leher baju Ammar dicekak dan ditarik sekuat hati. Sebuah lagi tumbukan padu singgah ke rahang pipinya hingga dia terasa bagaikan ada sesuatu yang patah. Peritnya hanya Tuhan yang tahu.

“Fiq! Cukup Fiq… Aduhhh… Arggghh…” terhoyong-hayang Ammar mengundur ke belakang.

“Cukup kau kata?! Tu baru sikit, tahu tak? Kalau ikut hati aku, mau aku patah-patahkan tulang kau!”

“Kau gila ke apa? Tiba-tiba naik hantu…” kata-kata Ammar putus di situ bila melihat Taufik melangkah laju ke arahnya. Kolar bajunya dicekak sekali lagi sampai sesak nafas dibuatnya.

“Aku gila ke atau kau yang gila?! Eh! Kau dengar sini, Mar! Aku tak kira kau anak Tan Sri Khaleef ke siapa.. Aku warning kau, Mar… Kau nak kejar perempuan tu, kau kejar la sampai liang lahad pun aku tak kisah. Kau nak tinggalkan Puteri, kau boleh blah… Lebih baik pun kau tinggal daripada dok sakitkan hati dia. Tapi aku tak nak dengar kau kutuk dia lagi, kau FAHAM tak??” Tubuh Ammar yang tinggi lampai itu tergoyang-goyang ditangan sasa Taufiq.

“Apa… Apa kau cakap ni, Fiq?”

“Kau ingat aku pekak ke? Mentang-mentang kau dapat Liana tu hot macam tu, macam-macam kau kutuk Puteri! Eh, kau nak blah, kau blah la! Yang kau nak tambah sakitkan hati dia tu kenapa?”

“Taufiq! Taufiq! Kenapa ni…?!” Puteri berlari datang entah dari mana mengejutkan kedua-duanya. Cepat-cepat Taufiq melepaskan cengkamannya dikolar baju Ammar seraya menghenyak jejaka itu ke belakang. Ammar jatuh terduduk dan terhenyak ke tanah. Dia mengerang kesakitan. Rasakan! Taufiq mendengus, puas.

“Ammar! Taufiq! Kenapa ni?” Puteri terpacak berdiri di antara mereka.

“Kau tanyalah jantan ni kenapa! Dia lagi tahu dari aku. Kalau ikut hati aku, mati dia aku kerjakan…” Taufiq mencapai beg galasnya yang entah bila terjatuh ke tanah.

“Dah la… Aku blah dulu, Puteri. Apa-apa nanti, kau call aku, ok?” Menyedari ada banyak mata sedang memandang ke arah mereka dari jauh, Taufiq rasa lebih baik dia beredar. Puteri cepat-cepat mengangguk.

“Kau take care…” Sayu wajah Taufiq melangkah meninggalkan Puteri tanpa memandang Ammar sedikitpun.

Perlahan-lahan Puteri memandang ke wajah Ammar yang masih mendesah sakit. Darah merah pekat mengalir perlahan dari tepi bibirnya yang mula membengkak. Puteri hanya memandang dengan wajah kosong lalu perlahan-lahan mengangkat kaki melangkah pergi tanpa menoleh lagi.

“Puteri! Puteri! Tunggu…!” Panggilannya tidak bersahut dan tidak pernah bersahut sehingga kini. Kebisuan Puteri bagaikan ais batu yang membekukan segala-galanya.

Ketika itu, kebisuan Puteri memudahkan Ammar. Hampir tiga bulan hubungan mereka keberantakan. Ada saja yang tak kena. Daripada berterusan begitu, sebelum lebih banyak kata-kata mengguris hati, ada baiknya hubungan mereka dinoktahkan. Bukan Ammar tidak langsung merasa sakit dan pedih kerana berpisah dengan Puteri Zulaikha yang pernah menjadi gadis kesayangannya dulu namun egonya menegaskan bahawa dia harus mendapatkan yang terbaik…

Siri Novel Cinta Puteri vs Nuqman 7

Bab 7

Teruja dengan berbagai barangan yang dipamerkan di dereten kedai yang bagaikan tiada kesudahan itu, Puteri bagaikan hilang fokus untuk mencari tudung.

Tambahan pula, hasil kerja tangan orang Turki sungguh halus seninya dengan warna-warna terang yang pelbagai tidak kira pada pakaian, barang-barang hiasan, lampu dan sebagainya menjadikan Puteri bagaikan hilang dari dunia. Banyak sungguh yang dibelek dan diperhatikan, ada diambil gambar dan ada yang bagaikan sukar untuk dilepaskan. Dia pasti akan kembali sebelum pulang ke Malaysia nanti.

Peniaga-peniaga yang peramah bukan main lagi melayani Puteri yang hidung dan matanya hampir sama dengan kebanyakan gadis-gadis Turki. Mujur kebanyakannya boleh berbahasa Inggeris malah ada yang boleh bercakap Bahasa Melayu! Kalau tidak, letih juga dia membuat berbagai bahasa isyarat untuk berkomunikasi.

Nuqman sabar melayan kerenah isterinya. Namun yang menghairankannya, Puteri tidak pula mahu membeli barang-barang yang dibelek penuh asyik itu. Tapi bagus juga, desis hati Nuqman. Kalau tidak, mungkin dia terpaksa menjunjung barang-barang tersebut ke kereta memandangkan terlalu banyak yang menjadi perhatian Puteri. Tapi yang menyakitkan hati, Puteri seolah-olah sedang melancung seorang diri. Dirinya bagaikan pengawal peribadi saja. Ini tak boleh jadi!

Tiba di sebuah kedai kecil menjual barang-barang antik, mata dan mulut Puteri sudah sama bulat kerana teruja. Nuqman menghela nafas geram. Lorong kecil di antara deretan kedai di situ mengingatkannya kepada sesuatu. Pantas dia mencapai radio antik di tangan Puteri lalu meletakkannya kembali ke tempat asal lalu menarik tangan Puteri keluar.

“Eh! Kenapa ni? Kenapa tarik saya? Nanti!! Radio tu! Nak tengok jap! Cantik sangat… Kejaplah awak!!” Puteri meronta-ronta minta dilepaskan. Sementara peniaga di kedai itu sudah melaung-laung, risau kehilangan pembeli.

“Ahh… Awak bukan nak beli pun! Ikut je lah…” Jenuh juga menarik perempuan bila hatinya sudah terikat dengan sesuatu. Bagaikan menarik unta liatnya!

Lorong kecil yang sudah pudar warna catnya suram tanpa cahaya. Puteri yang terkocoh-kocob melangkah ditarik Nuqman terpinga-pinga melihat keadaan sekeliling yang sangat berbeza. Tiada lagi syurga membeli-belah yang berwarna-warni dan bunyi keriuhan bagaikan semakin menjauh. Anak tangga batu yang sudah berusia mereka naiki. Mujur langkah Nuqman semakin perlahan tapi jemari Puteri masih digengam kemas. Puteri dapat melangkah lebih tenang namun melihatkan keadaan sekeliling, adrelinanya semakin laju.

“Err… awak nak bawak saya pergi mana ni?” Jantung Puteri semakin kuat berdebar. Cemas melihat Nuqman bagaikan ada muslihat. Tapi… Dia kan suami?! Ahh! Dia lelaki! Apa pun boleh jadi!

Hiruk pikuk dalam Grand Bazaar tadi bagaikan hilang ditelan alam. Selautan manusia tiba-tiba lenyap dari pandangan. Dan mereka bagaikan timbul dalam dunia yang lain. Pepohon tinggi menghijau tiba-tiba menjamah pandangan mata disambut bunyi burung berkicau. Ajaib!

Langkah Puteri turut terhenti apabila langkah Nuqman berhenti. Langit luas membiru tiba-tiba menyapa. Ya. Hujan telah berhenti. Hari mula cerah dan berangin. Wajah Puteri berubah dari terkejut kepada teruja, dari cemas kepada terharu. Indah sungguh alam di Istanbul!

“Cantik, kan?” Bisik Nuqman tatkala melihat saujana alam yang indah itu. Dia berdiri hampir di belakang Puteri lalu meletakkan dagunya di bahu kecil itu. Cuba melihat alam dari perspektif yang sama dengan Puteri. Puteri yang terkejut berpaling mencari wajah Nuqman dan… serentak itu hidungnya menyentuh pipi Nuqman. Puteri terkaku menahan nafas, menelan air liur. Terasa darah panas naik ke pipi. Nuqman terkejut dan tersenyum. Terpejam matanya lama. Menghayati saat istimewa itu.

“Awak!” Desis suara Puteri bagaikan desiran angin.

“Saya!” Jawab Nuqman sambil berpaling menatap anak mata redup Puteri. Dekat sekali.

“Err… Sor…. Sorry!” Wajahnya berkerut lalu tunduk menahan malu. Senyum Nuqman semakin lebar.

“It’s alright. You have done nothing wrong… And thank you!” Dagu runcing itu dicuit dengan hujung jari.

“Come… You want to see the world?” Nuqman menegakkan badan seraya menarik nafas penuh semangat.

“Yes! Please…” Puteri lega lalu tersenyum. Tidak sabar untuk meneroka bersama Nuqman. Mereka membelok ke arah kiri dari ruang batu konkrit tempat mereka berdiri. Kemudian Nuqman menunjuk ke satu arah. Nafas Puteri tersentak. Satu binaan konkrit selebar tiga kaki melunjur sepanjang puncak bumbung yang menaungi ribuan kedai dalam Grand Bazaar yang baru mereka jelajahi sebahagian darinya tadi.

Di sebelah kiri mereka, kelihatan kubah dan menara Masjid Nuruosmaniye yang menjadi jantung kota Istanbul Lama.

“Masjid Nuruosmaniye tu dianggap sebagai salah satu contoh terhalus masjid dalam gaya Baroque Uthmaniyah dengan sentuhan Eropah. Arkitek Mustafa Aga dan seorang lagi Simon Kalfa bergabung tenaga membina masjid tu. Mereka tu antara sumber inspirasi saya. Sebab tu saya suka sangat berada di Turki. Seluruh tempat ni bagaikan hidup dan berperanan. Itulah yang membakar jiwa juang saya.” Nuqman menghimbau pandangan sejauh mungkin. Hari ini dia ingin berkongsi rasa hati dan cerita tentang dirinya dengan Puteri. Bukankah pertemuan kali ini untuk mereka saling mengenali diri? Jauh di sudut hati, Nuqman memanjatkan munajat, moga Allah melembutkan hati Puteri untuk sudi berkongsi seluruh hidup dengannya.

“Saya pun dapat rasakan. It’s not just about the architecture… There’s something…” Puteri tercari-cari…

“It’s the soul.. They design it with their soul and their faith in God.” Nuqman memberikan kesimpulannya. Puteri mengangguk sambil matanya masih tertancap ke arah binaan hebat itu. Dia tak dapat mencari kesimpulan yang lebih baik dari itu.

Puas memerhatikan keindahan masjid itu dari jauh, mereka beralih ke arah kanan pula, Masjid Beyazid megah berdiri menjadikan kaki langit Istanbul begitu indah dan klasik.

“Masjid Beyazid tu pulak antara bahan binaan yang utamanya ialah dari batu granit dan marmar. Kalau tak salah saya, usianya lebih 100 tahun dari Masjid Biru. Saya selalu jugak ke sana. Ruang luarnya luas, jadi banyak aktiviti yang mereka buat. Antara yang menjadi tumpuan kat sana tu, jualan barang terpakai. Memang ramai golongan miskin di Istanbul ke situ. Lagipun selalu ada makanan dan manisan diberikan percuma.”

“Err… Awak selalu ke sana, buat apa?” Tak mungkin Nuqman berminat dengan barangan terpakai, soal hati Puteri. Atau makan percuma? Eeee teruknya! Takkan lah kot! Hatinya berdialog sendirian. Tak sedar dahi dan mukanya berkerut-kerut ikut beremosi. Nuqman memandang pelik. Namun dia tersenyum.

“Saja… Ikut Ismet. Dia selalu ke sana, berbual-bual dengan orang-orang yang datang mencari barang keperluan. Kalau ada yang dia boleh tolong, dia tolong.” Cerita Nuqman panjang lebar. Yang tidak dia ceritakan ialah dia dan Ismet sebenarnya selalu menghulurkan sumbangan dan menghantar makanan asas ke situ. Biarlah tangan di atas memberi, tangan di bawah tidak tahu. Lagipun, itulah antara cara mendekati orang lain dan bersilaturrahim. Bila sudah rapat dan mesra, mudahlah mereka berkongsi rasa dan membimbing golongan itu agar redha dengan ujian kesusahan yang mereka lalui. Supaya mereka tidak rasa tersisih dari golongan yang lain malah merasa terbantu. Walaupun miskin, namun mereka juga harus dibantu agar iman mereka kental terpelihara. Peranan Nuqman dari sisi itu, biarlah Puteri mengetahuinya sendiri tapi bukan dari mulutnya.

“Kalau Ika nak tengok lebih jauh lagi, bolehlah jalan-jalan kat situ…” pelawa Nuqman sambil menunjukkan ke arah binaan konkrit selebar tiga kaki itu.

“Haa?!” Mencerun sepasang mata Puteri memandang laluan kecil itu.

“Eh!! Tak naklah! Terima kasih!” Kepalanya menggeleng-geleng, jelas cemas. Apa tidaknya, walaupun dia tak gayat orangnya tapi ketinggian dan keadaan atap bumbung itu tidak menyakinkan. Dengan laluan yang hanya tiga kaki lebar itu!

“Eh… Awak… Awak sanggup tak? Jalan sepanjang laluan tu demi orang yang awak cintai?” Puteri menjungkit kening. Kali ini, giliran dia pula!

“Ika nak saya jalan kat situ?!” Serius Nuqman bertanya.

“Eh! Bukan sayalah! Maksud saya… Err… Kalaulah awak diminta jalan kat situ sebagai bukti cinta… Haa… Awak sanggup tak?” Ulang Puteri lagi, kelam kabut. Tapi masih mahu menguji.

“Hmm…” Nuqman memandang ke arah laluan di atas bumbung itu sambil berfikir-fikir. Dan kakinya pula melangkah selangkah demi selangkah merapati Puteri. Puteri jadi kaget dengan tingkah Nuqman, mengundur selangkah demi selangkah sampai belakang badannya menyentuh dinding. Isyhh… Nak ke mana dia ni?! Mata pandang ke lain, kaki melangkah ke arah lain…, bentak Puteri dalam hati.

Tiba-tiba tangan Nuqman mendarat ke dinding di tepi telinga Puteri. Kemudian wajahnya datang mendekat. Rapat. Sehingga desah nafasnya terasa hangat di muka Puteri.

Bulat mata Puteri kerana terkejut. Jantungnya seakan terhenti berdegup.

“Saya takkan jadi lelaki bodoh yang sanggup nak cari nahas tak tentu fasal. Dan gadis yang saya cintai pasti takkan mintak saya buat perkara yang sia-sia.” Nuqman berbisik dengan nada tegas. Matanya memandang tepat ke dalam sepasang mata bundar yang membulat itu. Kemudian pandangan matanya perlahan-lahan melirik turun ke bibir yang separuh terbuka itu.

“Gadis yang baik pasti tahu macammana nak cari bukti yang saya sayangkan dia… Apalagi kalau dia seorang isteri yang solehah…” Dan bibir itu sangat menguasai naluri lelakinya…

Suara lelaki dan bunyi derap kaki tiba-tiba kedengaran mengejutkan keduanya. Muka Nuqman tiba-tiba menjauh. Dia berpaling untuk melangkah pergi sambil tangannya mencapai tangan Puteri yang sudah tersandar lemah di dinding.

Mereka menuruni anak tangga tadi dan berselisih dengan dua orang lelaki Inggeris yang sedang berjalan menuju ke puncak bumbung. Mungkin mereka juga mahu lari dari hingar bingar Grand Bazaar buat seketika sambil melihat ajaibnya panorama bumi Istanbul dari atas sana.

“Jom cari tudung… Nanti Ika pakai tudung busuk tu lagi!” Usik Nuqman seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku sebentar tadi. Tapi hatinya, Tuhan saja yang tahu.

Puteri mencebik dan menjeling namun malas hendak bersuara. Jantungnya belum hilang debar!