PERSIS AKAR DANI Bab 16

“Malam ni, Ika tak perlu hantar abang ke airport. Lagi pun dah lewat, Ika penat dan …”

“Tak nak! Ika nak hantar abang! Nak bersama abang sampai saat terakhir abang nak berangkat!” Puteri terus tarik muka.

Setiap kali teringat yang suaminya nak terbang ke Istanbul, dia dah meraung dalam hati. Sekarang, nak hantar pun tak boleh? Nuqman melampau! Puteri berpusing laju melangkah ke meja solek. Punggung dihempas ke tempat duduk kecil itu. Rambut yang masih basah disikat kasar. Rambut yang sedia kusut, tambah kusut jadinya.

Helaan nafas kasar Nuqman yang masih duduk di birai katil jelas menerjah ke cuping telinganya. Namun dia tak mahu memandang lelaki itu. Air jernih dah banyak bertakung dalam tubir mata. Tunggu masa nak tumpah berjuraian saja. Hailah hati… tak tertanggung rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan suami sebaik saja lepas diraikan dalam majlis yang sebegini meriah. Entah bagaimana malam nanti… tidur sendirian di kamar pengantin! Mahu basah segala bantal dan cadar…

Teringin sungguh hati nak siapkan sarapan untuk suami esok pagi. Nak bersarapan buat kali pertama bersama seluruh keluarga mentua. Teruja benar dia untuk memulakan kehidupan baru bersama suami tercinta tapi…

“Sayang…”

Bahunya dielus lembut. Entah bila Nuqman berdiri di belakangnya! Puteri telan liur. Jangan menangis, duhai mata! Tolong jangan menangis! Takut nanti tak boleh berhenti…

Kucupan hangat tiba-tiba singgah lembut di pangkal lehernya. Terpejam sepasang mata Puteri dan air jernih itu luruh juga akhirnya. Tuhan!

Dirinya didakap dari belakang. Dan nafas Nuqman mendesah di telinga. Pipi berlaga pipi. Puteri tak daya nak menahan diri. Disandarkan kepalanya ke leher suami dan dia menangis teresak-esak.

Entah berapa lama mereka begitu. Jari jemari saling menggenggam erat, menyalurkan segala rasa yang sudah tak tertanggung di dalam. Kemudian perlahan-lahan Nuqman meleraikan pelukannya, memutar tubuh isterinya yang masih di kerusi dan memaut tubuh itu agar berdiri di hadapannya. Diseka pipi dan hujung mata yang basah itu. Dikucup seluruh wajah isterinya penuh kasih.

Ubati rawan hatinya, ya Tuhan. Dan kuatkan jiwaku untuk terus bangkit berjuang demi agama-Mu. Hatinya berbisik resah, berpaut hanya pada Yang Satu.

“Ika… abang tahu semua ni tak mudah. Sebab tu, abang tak mahu keadaan jadi makin payah. Kalau Ika ikut hantar abang… kalau Ika menangis macam ni… takut abang tak kuat nak tinggalkan Ika. So, please honey… I’m not that strong…” Nuqman merayu sambil buat muka memohon simpati. Senyum dalam payah demi mahu menyembunyikan kelemahan diri.

Puteri tak dapat menahan diri dari ikut tersenyum. Sangkanya Nuqman begitu tega mahu meninggalkannya. Rupanya dia juga sama! Senyuman mereka bertukar tawa walau airmata kian bertakung dalam kelopak mata.

Akhirnya sepasang pengantin baru itu berdakapan erat. Kerana saat-saat seperti ini, tak ada kata-kata yang mampu diluahkan bagi memaknakan rasa di dalam. Biarlah semuanya terluah dalam dakapan itu. Moga denyut jantung yang bersatu memberi kekuatan untuk terus bertabah. Kasih sejati takkan musnah biarpun dilambung ombak selagi diizinkan Tuhan. Maka hanya kepada Tuhan saja, tempat mereka berpaut harap bersama airmata yang mengalir senyap.

“Do you feel me?” bisik Nuqman, lembut di telinga Puteri.

“Hmmm…”

“Feel how much I love you…”

“I do!” Serak suara Puteri dalam menahan sebak.

Nuqman mengeratkan lagi dakapan itu. “Everytime that you miss me, Ika… feel me. Feel how much I love you, need you… always…”

“Abang!” Puteri menangis semahunya. Dibenamkan seluruh mukanya ke dada lelaki itu. Memang dia amat merasainya. Merasai betapa Nuqman mencintainya. Dan tahu betapa dia akan merindu…

********

Lima belas minit kemudian, pasangan itu mengatur langkah dengan senyuman di bibir, keluar dari kamar peraduan untuk meraikan saudara mara dan rakan taulan yang sudah mahu beransur pulang. Berpakaian sedondon rona putih gading, merpati dua sejoli itu turut meraikan tetamu yang sedang menjamu selera di bawah khemah. Usik mengusik dan senda gurau bersama tetamu jemputan sedikit sebanyak mengubat duka yang mereka simpan kemas-kemas dalam dada.

Sebuah teksi merah putih merayap masuk ke sudut halaman rumah yang luas itu, mengundang tanda-tanya di kalangan yang hadir. Siapa yang datang kenduri naik teksi? Sebaik saja pemandunya muncul dari perut teksi, penumpangnya juga turut melangkah keluar.

“Kak Nur!” Puteri terjerit kecil sambil memaut lengan Nuqman. Tergelak Nuqman dibuatnya bila melihat tetamu istimewa mereka datang menaiki teksi. Pemandunya bukan sebarangan orang pula!

Mereka melangkah beriringan menyambut keduanya sambil tertawa kecil. “Ahlan wa sahlan… ingatkan ke manalah korang berdua pergi! Dah petang baru sampai!” Nuqman bersalaman dan berpelukan dengan sahabat lamanya, ASP Rizal. Sempat dia menjeling si mata cantik yang sedang bersalaman dengan isterinya. Ada sesuatu tak kena…

“Nur… okey ke?”

Serentak itu, pandangan Nur beralih ke wajah Rizal. Kemudian dia tunduk melindungi resah yang terlayar di matanya. Pautan tangan Puteri menyedarkannya dan sepasang mata itu cepat tersenyum.

“Kak Nur okey?” Puteri pula bertanya. Memang aneh bila mereka tiba dengan sebuah teksi.

Nur laju mengangguk. Menjaga pandangannya agar tak bertembung dengan pandangan Nuqman. Firasat lelaki itu merisaukannya!

“Okey je, Ika. Jom… akak lapar!” Dia berterus-terang dalam ketawa. Puteri tergelak lalu mempercepatkan langkah mengiringi Kak Nur ke bawah khemah sambil berbual mesra.

“Apa cerita, Zal?” Nuqman tak menunggu lagi. Pasti ada cerita di sebalik teksi merah putih dan pandangan si mata cantik tadi.

“Kami terserempak dengan Remy, Man. Memang dia buru sungguh! Mujur Nur dapat sembunyikan diri sekejap. Sekarang, dia tengah meradang tu. Kita harap dalam keadaan macam ni, sesuatu akan berlaku. Kami tengah intip dia rapat-rapat. Cuma… aku risaukan Nur. Kau rasa, kita perlu pindahkan dia tak?”

Nuqman terdiam lama. Pandangannya menyorot ke bawah khemah sana. Gadis berjubah dan berhijab itu sedang mengambil makanan dan kemudian bergerak menuju ke rumah diiringi isterinya.

“Aku rasa, dia selamat di sini. Buat sementara waktu ni, biarkan dia di sini dulu. Ika akan ke Istanbul dua minggu lagi. Kalau keadaan mendesak, dia boleh bawa Nur sekali.”

Rizal telan liur. Kemudian perlahan-lahan mengangguk. Apa yang ada di fikirannya, dia diamkan saja.

PERSIS AKAR DANI Bab 15

Seluruh tubuh Remy Iskandar terais di situ. Dari tingkap yang dibuka agak luas, kelihatan seorang wanita yang berjubah dan berpurdah rona biru laut keluar dari sebuah teksi, terpaku berdiri memandang ke arahnya. Siapa dia? Pemilik rumah ini? Dia yang sedang cuba mencari kalau mungkin ada barang-barang peninggalan Maya di bilik kurungannya yang boleh dijadikan petunjuk menjadi agak cemas kerana memecah masuk ke rumah itu tanpa izin.

Tiba-tiba wanita itu bergegas masuk semula ke dalam teksi yang bergerak serta-merta sebaik saja pintu ditutup. Kenapa?

‘Dia sempat beritahu aku sebelum Alvin kerjakan dia. Dia kata dia nampak Maya. Dia yakin itu Maya. Dia nampak Maya pakai purdah masa larikan diri dengan lelaki bersongkok … .’ Kata-kata Boy malam tadi menyentak ingatannya. Maya!

Refleks nama itu cukup membuatkan dia berlari turun sepantas yang boleh menuju ke pintu belakang rumah kosong itu di mana keretanya diparkir. Dan demi nama itu juga, seluruh pancainderanya difokuskan untuk mencari arah deruman enjin teksi yang sudah hilang dari pandangan sebaik saja kereta yang dipandu Remy muncul di hujung lorong belakang rumah itu yang bersambung dengan jalan raya utama.

Dia menyumpah dalam hati. Itu pasti Maya. Maya miliknya! Maya yang tergadai kerana sifat gelojohnya. Maya yang dia akan tebus dengan nilai apa pun hatta nyawanya sendiri. Itu janji Remy.

Pagi yang sunyi itu memudahkan dia menjejaki teksi merah yang menumpangkan Maya. Remy tersenyum, kemudian ketawa berdekah-dekah bila deruman enjin teksi itu menyentuh gegendang telinganya. Pedal ditekan rapat-rapat dan kereta meluncur seperti helang yang menjunam ke bumi bila ternampak mangsanya.

Seperti yang dijangka, kelibat teksi merah itu muncul di depan mata. Menyedari yang mereka sedang diekori, pemandu teksi seperti kalut mencari haluan. Habis segala lorong di kawasan perumahan elit yang sunyi itu dipintas. Namun bagai mengejar itik serati, sekejap saja Remy berjaya berada di belakang teksi itu dengan jarak yang sangat dekat. Dia terus-terusan menghentak belakang teksi itu supaya pemandunya berhenti namun sia-sia. Akhirnya mereka tiba di jalan besar. Remy mengambil peluang itu, memintas dan memusing stering secepat kilat sehingga tayar keretanya berdecit nyaring dan terseret lalu berhenti dalam kedudukan melintang di tengah-tengah jalan raya memaksa pemandu teksi itu menghentam pedal brek sehabis daya supaya tidak terlanggar kereta gila yang sedang menghadang jalan. Bukan kereta… tapi pemandunya!

Tanpa menunggu barang sesaat, Remy melangkah laju merapati kereta itu dan membuka pintu belakang. Kosong!

Tubuhnya kejung di situ. Maya tiada! Darah panas menyirap terus ke otak. Tanpa berkata sepatah, pintu kereta di sebelah tempat duduk pemandu direntap dan pemandunya yang masih terkejut dengan kejadian yang berlaku direngkuh keluar dari kereta itu. Lehernya dicekak dengan sebelah tangan yang berotot kekar itu.

“Mana dia? Mana Perempuan berpurdah tadi?” Remy memekik sehabis suara, melampiaskan rasa kecewa dan marah yang amat.

Lelaki yang berkulit cerah itu menggelengkan kepala laju-laju. Dia hanya dapat bernafas sedikit-sedikit saja dek kerana kerongkongnya dicekik. Lehernya semakin sakit bila jemari sasa lelaki itu semakin kuat mencengkam memaksa dia terjerit dalam kepayahan. “Tak… tak ada! Tak ada… perempuan! Tak ada… penumpang. Encik… salah orang!”

Mata helang Remy mencerlung ganas. “Kau jangan nak tipu aku! Aku nampak dia tadi. Kalau kau tak sayang nyawa…”

“Nampak! Nampak! Teksi tu! Bawa perempuan. Dia pecut… potong. Sungguh! Arrgh… arghhh…” Tangannya meronta menolak dada Remy supaya melepaskan lehernya. Dadanya semakin kekurangan oksigen.

Muka pemandu teksi itu dihunjam tajam. Cuba mengagak kebenaran katanya. Tangan yang mencekak itu dilonggarkan sedikit. Remy perlu tahu ke mana mereka kalau benar bagai dikata.

Sebaik saja kerongkongnya dilepaskan sedikit, dia terbatuk-batuk. Dan laju pemandu itu memberi keterangan tanpa diminta demi menyelamatkan diri, “saya belum dapat penumpang lagi. Encik salah orang!”

“Mereka ke mana?” herdik Remy dengan geram yang sarat.

Dia yang tak sempat ambil nafas, terus menggeleng laju.

“Arrrghhhhh…!” Sekali lagi leher tadi dicekak dan tubuh pemuda malang itu disentak dan dihenyak ke atas jalan raya tanpa belas kasihan. Tak cukup dengan itu, pintu teksi dihempas sekuat hati untuk melepaskan amarahnya yang melahar.

Remy bergegas ke keretanya dan memecut pergi sebelum ada kenderaan lain tiba. Fokusnya kini cuma satu, teksi merah yang membawa gadis berpurdah! Dan lelaki bersongkok itu yang kononnya mahu jadi hero menyelamatkan Maya dari tangan Alvin… kalau jatuh ke tangannya, akan dia cincang lumat!

****

Rizal bingkas bangun dan duduk di atas jalan raya itu sambil terbatuk-batuk kerana dicekik tadi. Tercungap-cungap dia macam orang lemas. Berkerut mukanya menahan sakit di punggung dan pinggang akibat dihenyak dan dihentak. Remy memang bukan calang-calang lelaki. Tenaga yang bercampur amarah itu sangat luar biasa. Jenuh dia menahan diri dari bertindakbalas. Seluruh ototnya menjerit supaya melawan. Tapi dia harus tampil lemah di hadapan Remy supaya dia benar-benar seperti seorang pemandu teksi biasa.

Dia merangkak ke pintu kereta dan membukanya. Dalam susah payah, dia memaut di mana saja asalkan tubuhnya dapat dianjak masuk ke dalam kereta. Kemudian tangannya menggagau sesuatu dari bawah kerusi yang didudukinya – telefon bimbit yang dicampakkan tadi. Sambil mata mengelingas keliling, dia menghidupkan enjin kereta dan tangannya laju mendail nombor Nasrul untuk mengetahui kedudukan mereka.

““Nur okey?”

“Okey, tuan!”

“Bawa dia ke pejabat. Saya ke sana sekarang.” Dia gagahkan diri bercakap dalam berdecit menahan sakit.

“Tuan okey?”

“KO!”

“Tuan?”

“Gerak sekarang!”

“Baik, tuan!”

Bunyi hon bertalu-talu dari kenderaan yang datang dari arah depan mengejutkan Rizal. Telefon bimbit itu dicampak ke tempat duduk di sebelah lalu tangannya menukar gear dan kenderaan itu berpatah balik dan meluncur laju ke arah yang bertentangan dari jalan yang diambil Remy tadi untuk menuju ke Bukit Aman.

Lega. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia bersyukur bila taktik mereka berjaya. Sebaik saja Nasrul memaklumkan kedudukan mereka yang mengintip kenderaan yang dipandu Remy, Rizal sedar yang mereka semua berada di kawasan rumah yang sama. Bezanya dia dan Nur di jalan hadapan dan mereka yang mengekori kereta Remy berada di lorong belakang rumah besar tiga tingkat yang telah dikosongkan itu.

“Nur, saya turunkan awak di depan sana. Sembunyi dalam longkang. Orang saya akan ambil awak. Saya nak alih perhatian Remy!” Rizal tak menyangka Maya seberani itu bila dia patuh dengan arahannya dan melompat turun dari kenderaan sebelum sempat dia betul-betul berhenti. Dari cermin pandang belakang, dia cemas melihat tubuh Maya berguling-guling di atas rumput namun reda bila gadis itu segera bangun, merangkak dan berlari sebelum menghilangkan diri ke dalam longkang besar di situ.

Rizal terpaksa juga memberhentikan kereta setelah memandu agak jauh untuk menutup pintu belakang yang terhayun kerana tak sempat ditutup oleh Nur Maya. Dan Remy muncul di belakang selepas beberapa minit dia memecut ke kawasan perumahan berdekatan untuk menghilangkan jejak.

Gadis itu kini benar-benar dalam bahaya. Remy sudah tahu kewujudannya dan purdah itu tak lagi dapat menyembunyikan Nur Maya. Hati Rizal mula berkeluh-kesah. Nur harus segera dihantar pulang ke rumah warga emas di Senawang di mana dia disembunyikan selama ini. Keberadaannya di sini amat berbahaya.

Remy dan Alvin Lim sama licik orangnya. Hanya sekali mereka sempat menyerbu premis perniagaan Alvin berpandukan maklumat dari Nur Maya namun premis itu seperti bersih dari sebarang aktiviti tak bermoral. Rumah besar tiga tingkat tadi juga seperti baru saja dikosongkan. Begitu juga megapuri milik Alvin Lim yang masih tak berpenghuni hingga kini. Mereka benar-benar bertindak pantas hingga membuatkan pihak polis menemui jalan buntu.

Terkini, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) sudah mengesahkan yang kegiatan pelacuran berubah corak dengan menjalankan kegiatan itu di premis kediaman kerana itu lebih menguntungkan dan selamat berbanding di premis perniagaan atau rumah kedai yang kos sewaan jauh lebih tinggi dan mudah dipantau oleh pihak berkuasa.

Pelanggan mereka pula mudah menjadi pelanggan tetap dan tahu sistem kod-kod keselamatan sebelum memasuki rumah-rumah tersebut. Keadaan ini membuatkan kegiatan pelacuran semakin berkembang dan sukar dijejaki kerana turut didalangi oleh pemilik rumah yang mementingkan keuntungan semata.

Kemasukan pelacur asing semakin meningkat bagai tak tersekat. Namun yang lebih memeritkan, gadis-gadis tempatan juga semakin ramai yang diheret ke kancah noda itu seperti apa yang berlaku kepada Nur kerana permintaan terhadap gadis tempatan juga tinggi.

Stering dihentak kuat. Sejak dipindahkan ke D7, Rizal kerap rasa tertekan. Mujur ada Nuqman dan kawan-kawannya di Peace Yo!, The Turban, yang menjadi tempat dia melepaskan tekanan bila ada waktu terluang. Bersama mereka, dia mendapat kekuatan dalaman untuk kembali beraksi di medan tugasan.

Tiba-tiba Rizal teringatkan Nuqman. Kenduri sambut menantu! Rasa bersalah terus menyerang benaknya. Bagaimana dia dapat menghadiri majlis itu bersama Nur dalam keadaan mereka sedang diburu. Nalurinya kuat mengatakan yang Nur bukan hanya diburu Remy tetapi juga kuncu-kuncu Alvin.

Dia sudah memohon untuk Nur dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi (Akta 696). Soalnya di mana paling selamat? Nuqman akan bertolak ke Istanbul jam satu setengah pagi nanti. Rizal maklum tentang itu. Apakah sempat kalau diuruskan Nur ke sana untuk disembunyikan?

****

Nur Maya masih menggigil di dalam kereta yang dipandu dua anggota polis yang berpakaian biasa. Saat terpandangkan Remy tadi, dia rasa bagai hendak tercabut nyawa. Sebab itulah bila Rizal minta dia turun dari kereta dan bersembunyi, tanpa sedar, dia melompat turun ketika kereta masih belum betul-betul berhenti dan jatuh berguling di atas rumput di tepi jalan.

Sakit? Hanya Tuhan yang tahu. Tapi sakit fizikal itu langsung tak dipedulikannya. Malah dia memaksa diri menongkah bangun, merangkak dan berlari menyusup masuk ke longkang besar di situ. Kemudian, barulah dia terduduk memeluk lutut di tebing longkang yang hanya sekaki lebarnya. Kepalanya disandarkan ke dinding konkrit. Lemah longlai rasa tubuhnya yang menggeletar ketakutan. Ya Allah, hanya kepada-Mu, aku memohon perlindungan, rintih Nur dengan linangan airmata penyesalan.

Hari ini, memori malam dia diselamatkan Nuqman dan Miqdam kembali segar dalam ingatan. Dan kocakan jantungnya saat ini persis ketika dia dibawa lari oleh Amir dan mereka dikejar oleh orang-orang Alvin. Jantungnya berdegup kuat seperti mahu luruh. Airmatanya merembes tak terseka. Dia takut sungguh! Takut kalau jatuh ke tangan mereka lagi.

Mukanya terdongak ke langit. Tuhan! Engkau kirimkan hamba-hamba-Mu menyelamatkan aku! Syukur, ya Allah. Hanya kepada-Mu, aku mohon perlindungan. Ampunkan aku, ya Tuhan, atas segala dosaku!

Dia memang tak tahu entah bagaimana dia dapat kekuatan saat kali pertama dia terpandangkan Nuqman di sebuah kafe. Ketika itu, mereka terpaksa menunggu di situ kerana pelanggannya belum tiba. Lelaki yang mengiringinya keluar sebentar selepas memesan minuman, meninggalkan Nur sendirian di meja.

Waktu itulah, dia tersedar Nuqman memandangnya. Di sebalik topi dan net hitam yang dipakainya, dia dapat melihat reaksi wajah lelaki itu yang langsung tak memandangnya seperti lelaki lain. Tiada pandangan menghina. Tidak juga dia tergoda. Dia hanya lurus memandangnya tanpa riak prejudis. Namun hatinya berdebar dengan pandangan itu. Saat gadis pelayan kafe datang menghantar minuman yang dipesan, dia mengambil kesempatan itu meminta pen dan buku nota kecil yang ada di poket bajunya. Menggigil jemarinya saat dia menulis hanya dua patah perkataan di atas kertas kecil itu.

TOLONG SAYA

Mujur Nuqman ketika itu kembali berbual dengan temannya. Nur menunjukkan kepada gadis itu kepada siapa nota itu patut dihantar. Dan ketika itu juga, bahunya disentuh. Degupan jantungnya seakan terhenti. Memang dia akan dihukum seberat-berat hukuman sekiranya ditangkap cuba melepaskan diri. Mujur gadis itu sudah berlalu dan lelaki pengiringnya datang memanggil kerana pelanggan sudah tiba. Laju saja dia bangun meninggalkan kafe itu dengan hati yang berzikir dalam sebak. Tuhan, tolong aku!

Dan Tuhan benar-benar menolongnya! Langsung dia tak menyangka, doa seorang pelacur yang jijik sepertinya dimakbulkan Tuhan!

Nuqman, lelaki berhati mulia itu sanggup menggadaikan nyawa, datang bersama teman seperjuangannya menjejaki Nur dan bawa dia keluar dari dunia gelap itu. Maka sejak itu, Nur tak mahu berpaling lagi. Walaupun seumur hidupnya dia harus bertaubat, dia sanggup!

Segala kenangan hitam dia bersama Remy kembali menerjah ingatan. Puas ditepis namun ia tetap datang mendera hati dan mindanya. Rasa jijik dan hina mula menguasai diri. Serentak itu, airmata taubat bagaikan tasbih yang terputus talinya, berjuraian jatuh ke pipi.

“Aku sanggup mati dari disentuh lagi, ya Allah! Selamatkan aku dari mereka, ya Tuhan!” Nur menangis mengogoi di situ.

Tiba-tiba bunyi enjin kereta yang menderum kuat melintas laju dan perlahan-lahan hilang dari pendengaran. Terpejam sepasang mata Nur yang pernah menjadi kegilaan Remy satu waktu dulu. Itu pasti kereta Remy! Jantungnya berdegup kencang, cemas menunggu pegawai polis yang disebut Rizal. Mujur mereka muncul tak lama selepas itu.

Sepanjang perjalanan ke Pejabat Polis Bukit Aman, Nur membulatkan tekad. Dia akan berusaha untuk membantu pihak polis menghancurkan kongsi gelap milik Alvin termasuk Remy. Dikerah mindanya untuk mengingati apa lagi maklumat yang dapat membantu pihak polis. Hampir semua nama dan gambaran orang-orang Alvin sudah dimaklumkan kepada pihak polis. Dia harus menjejaki semula ingatannya ke tempat-tempat yang pernah dia kunjungi untuk melayan para VIP durjana itu. Memang payah kerana dia selalu diikat matanya. Atau dikepit oleh orang-orang Alvin sehingga dia susah hendak bergerak. Malah sepanjang masa bersama pelanggan, segala perbuatannya didengari melalui telefon bimbit yang tak boleh dimatikan panggilannya selagi khidmatnya tak selesai.

Apapun, dia mesti memberi bantuan sehabis baik kepada pihak polis. Dia takkan bersembunyi lagi. Tak mahu menjadi pelarian juga. Bulat hatinya mahu mengheret mereka ke muka pengadilan. Malah dia sanggup kalau terpaksa dijadikan umpan sekalipun!

>>>Novel Persis Akar Dani sudah dibuka preorder hingga 15 Ogos ini. Harga preorder hanya RM27 sahaja.
Hubungi 011-20503481 untuk pesanan.

Terima kasih sudi singgah!

PERSIS AKAR DANI Bab 14

Begini rasanya bahagia! Walau diam tak berkutik, sesekali berbalas pandang, senyum mekar menghiasi bibir, jemari tak jemu menyentuh dan mengusap, menyalurkan rasa di hati yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Puteri dan Nuqman menikmati saat-saat bersama dalam kenderaan yang dipandu Amir ditemani Miqdam di sebelahnya meluncur laju di Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Kampung Sentosa, Senawang dengan diiringi lima buah kenderaan lagi yang dinaiki ahli keluarga Puteri untuk ke majlis sambut menantu.

Kehangatan memadu cinta sepanjang malam pertama mereka di Suite 313, The Turban masih melingkari mereka. Tersirat dalam setiap senyum yang dikulum, mengalir melalui setiap sentuhan dan memercik bahagia dalam setiap pandangan serta jelingan yang terpanah. Mereka bagaikan dalam dunia asing walaupun ada suara riuh ketawa dari arah tempat duduk depan. Tak terjawab mereka dengan usikan Amir dan Miqdam yang ikut tumpang bahagia. Sambil dalam hati anak muda berdua itu berdoa agar mereka direzekikan kebahagiaan yang serupa.

Suasana rumah Ibu Aisyah begitu meriah dan riuh rendah dengan orang kampung yang semuanya dijemput hadir. Bila pengantin yang diraikan itu adalah pemuda kampung kesayangan mereka, pastinya menghadiri kenduri itu sesuatu yang ditunggu-tunggu. Maka tumbanglah seekor lembu selepas solat subuh pagi tadi dan semua berpakat untuk memasak secara bergotong-royong kerana mahu berbakti kepada anak muda yang banyak jasa itu.

Ketibaan pengantin yang sama cantik dan segak itu disambut dengan paluan kompang dan selawat Nabi yang bergema jadinya bila orang kampung ikut berselawat! Begitu sekali mereka kasihkan Nuqman. Pemuda contoh yang sentiasa merendah diri. Pakcik-pakcik tua ikut berbaris untuk bersalaman dan ramai yang berpelukan mengucapkan tahniah kepada anak sulung kebanggaan Ibu Aisyah sambil sempat mencuri pandang ke wajah isterinya, gadis bandar yang jelas santunnya. Merah muka Puteri Zulaikha dengan pujian yang mencurah!

“Rasa nak sorok je Ika sekarang. Ramai sangat yang teruja bila pandang sayang!”

Bisikan Nuqman di telinganya buat Puteri tergelak gelihati. Cemburu ke dengki? Macamlah Puteri tak rasa apa-apa bila ramai gadis yang secara terang-terangan terlopong memandang Nuqman yang segak berbaju melayu dan lengkap bersampin tu! Sampai tak sudi nak pandang pengantin perempuan pun ada. Ingat dia patung ke? Tak ada perasaan?

“Abang Nuqman, tahniah! Tak pernah tengok abang segak macam ni!”

Suara lemak merdu singgah ke pendengaran Puteri yang baru nak melabuhkan punggung ke kerusi raja sehari di meja santapan yang ditatarias begitu cantik dan rapi.

“Oh… sebab tak tengok betul-betullah tu. Abang selalu segak sebenarnya…”

Eh! Bukan main Nuqman rupanya. Buntang mata Puteri memandang suaminya yang sedang bergelak ketawa dengan gadis bersuara lemak merdu yang dikelilingi tiga orang gadis lagi yang manis-manis belaka. Tiba-tiba kerusi yang diduduki Puteri terasa panas berbahang.

“Ouchh!” Nuqman terpekik kecil sebaik saja dia ikut melabuhkan punggung. Pehanya digosok untuk menghilangkan pedih sengatan. Dan berkerdip matanya memandang Puteri yang sedang tersenyum manis. Cubit dan senyum?

“Sayang?”

“Selalu segak, ya abang?” Puteri bertanya sambil senyum, sambil angkat kening dan sambil ketap gigi.

“Errr… hmm.. hmm…” Tersedak Nuqman dibuatnya dan pecah tawanya.

“Sayang, kenalkan… ini Misa, Hezrina, Emy dan Nurul. Ini semua sepupu abang dari sebelah ayah. Kenalkan isteri abang, Kak Puteri Zulaikha…”

“Kami tahu namanya, abang. Ada dalam kad jemputan yang cantik tu!” Gadis yang diperkenalkan sebagai Hezrina menyampuk sambil bersalaman dengan Puteri.

‘Maaf Kak Puteri, kami dengan abang Nuqman ni memang suka bergurau,” beritahu Nurul pula ketika saling mencium pipi.

“Panggil Kak Ika je, Nurul. Nasib baik kita sepupu, kalau tak, teruklah abang malam ni bila ada orang cemburu!” usik Nuqman sambil menjeling Puteri yang sudah tersipu malu. Gadis-gadis itu tertawa gelihati.

“Jemput makan ya, Kak Ika… kami dengan mak masak semua hidangan pengantin hari ni, sebagai hadiah istimewa untuk Abang Nuqman dan Kak Ika,” Misa yang bersuara merdu, ramah berkongsi cerita. Terharu pula Puteri dengan layanan mereka. Patutlah nampak Nuqman seperti rapat dan sayang dengan semuanya. Sepupu, kan! Harap jangan rapat dan sayang sangat ya, abang…, hati Puteri berbisik dengan nada bimbang.

Ahli keluarga Puteri disambut dengan penuh adab dan mesra oleh sanak saudara Nuqman. Hidangan masakan kampung yang istimewa di Negeri Sembilan jadi sajian untuk mereka. Masak lemak daging salai dirampai bacang, gulai sembilang salai, rendang pucuk paku dan sambal tempoyak daun kayu antara menu istimewa untuk keluarga pengantin selain lauk-pauk yang lain. Mereka makan sambil ketawa dan bergurau mesra. Tangan pula kerap mencapai gelas minuman yang sering diisi semula untuk menahan pedas yang menyengat. Habis merah mata dan hidung bila asyik dikesat berkali-kali. Sedap dan siksa agaknya tema hidangan pengantin kali ini!

Tergelak-gelak ahli keluarga Nuqman yang setia menemani mereka bersantap bersama pengantin terutama pengantin perempuan yang merah muka, malu-malu dalam kepedasan. Tapi nikmat makan tengahari pada hari bersejarah itu pasti takkan dilupa sepanjang hayat. Menu orang Negeri Sembilan pasti akan dicari selepas ini bila berkesempatan. Tambah pula kalau sudah berbesan dan bersaudara seperti sekarang, memang makin mudah hendak makan gulai daging salai lagi.

Malah emak saudara dan sepupu-sepupu Nuqman yang manis-manis belaka itu yang bertanggungjawab menyediakan hidangan turut diperkenalkan bila ditanya ahli keluarga Puteri. Iyalah, masakan sesedap itu… mesti dicari milik air tangan siapa. Berseri-seri wajah mereka sambil mengucapkan terima kasih dan meluahkan pujian. Dalam hati menyimpan harapan. Mana tahu, anak-anak gadis itu berjaya dijadikan menantu. Pandai memasak dan manis-manis pula. Untung berganda!

Usai menjamu selera, keluarga Puteri dibawa masuk ke dalam rumah untuk sesi bergambar dan suaikenal. Orang bandar bertemu orang kampung, kalau pangkat dan darjat diletakkan ke tepi, memang silaturahim jadi begitu murni. Ibu Aisyah bangga sungguh. Kini punya dua orang menantu dari keluarga yang baik-baik. Pangkat dan nama tak pernah dipentingkan tapi hati budi yang diangkat tinggi. Puteri Zulaikha dan Najjah Rabiah kini jadi penyeri. Moga hidupnya takkan sunyi lagi. Wajah bayi-bayi comel pula asyik mengacah di ruang mata. Gembira hati tuanya tak terkata.

Keluarga Puteri dihantar pulang diiringi pelbagai cenderahati bersama bunga telur. Gulai daging salai dan sambal tempoyak daun kayu turut dibekalkan sekali. Tan Sri Megat Hasyim tersenyum lega. Memang belum puas rasanya menikmati masakan itu. Syukur isihatinya bagaikan didengari. Hendak meminta, seganlah sangat. Nanti dia akan minta Nor masakkan masakan yang sama macam yang dirasa. Dan moga-moga anak kesayangannya cepat belajar memasak semua masakan tadi. Puas berganda bermenantukan orang Negeri Sembilan.

Pintu bilik pengantin, pastinya bilik Nuqman sejak bertahun lalu, akhirnya ditutup rapat. Pengantin meminta diri untuk beristirehat. Lagi pun, azan sudah agak lama berkumandang dan mereka belum bersolat.

“Let me!”

Tangan Puteri yang mahu membuka kerongsang dari tudung yang membaluti kepala jadi terhenti. Suaminya yang masih dibaluti destar atau tengkolok tradisional Negeri Sembilan dari lipatan Dendam Tak Sudah merapati dirinya yang sedang mengadap cermin dari arah belakang. Perlahan tubuh Puteri dipusingkan dan tangan isterinya diturunkan lalu dilingkarkan di pinggang sendiri.

Puteri mengeratkan rangkulan sambil menikmati tampan paras suami. Dia tersenyum kerana saat itu juga dia terkenangkan kenapa Nuqman memilih destar itu bila mereka mencari pakaian pengantin tradisional Negeri Sembilan secara atas talian ketika dia masih di Istanbul tempohari. Destar Dendam Tak Sudah unik dengan lima lipatan yang disebut takuk dan daun lambaian kasihnya tergantung seperti sarang kerengga di sebelah kanan si pemakainya. Bagi Nuqman, itulah rasa dalam dirinya terhadap isteri yang sering ditinggalkan. Rindu dendam dan kasihnya tak pernah sudah!

“Kenapa senyum-senyum ni?” soal Nuqman yang sedang membuka satu per satu pin dan kerongsang dari tudung Puteri yang begitu menawan dalam busana tradisional Negeri Sembilan, kebaya labuh rona biji remia yang sedondon dengan baju melayu cekak musang yang dipakainya.

“Ika rasa teruja dan selamat sangat hari ni. Suami Ika macam pahlawan lagaknya!” puji Puteri terang-terangan buat Nuqman tergelak kecil. Tudung dibuka perlahan-lahan dan disangkutkan di kerusi rotan. Sanggul isterinya pula diuraikan agar lepas bebas lalu merubah wajah itu menjadi ayu menawan. Wajah inilah yang selalu jadi igauan Nuqman malam dan siang. Kedua telapak tangannya meraup lembut di kiri dan kanan muka Puteri, membawa isterinya agar lebih dekat.

“Abang akan sentiasa jadi pahlawan untuk Ika. Nyawa sanggup abang pertaruhkan. Ika adalah amanah Tuhan untuk abang jaga bukan saja dari musibah tapi juga dari neraka Allah. ‘Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan’.

“Itu terjemahan ayat dalam Surah Al-Tahrim ayat 6 yang selalu buat abang bimbangkan Ika. Tambah-tambah bila abang jauh dari Ika. Kalau ikutkan hati, abang nak bawa Ika ke mana abang pergi tapi abang tak sanggup nak halang cita-cita Ika. Abang tahu cita-cita Ika tinggi melangit. Dan suka hidup bebas, tak terikat, kan?”

Berkerut wajah Puteri dengan kata-kata itu. Tertunduk dia kerana malu dengan sikapnya yang dulu. Entah bagaimana hendak diyakinkan Nuqman bahawa kini dia sanggup terikat selama-lamanya dengan lelaki itu. Hanya kini dia faham, hakikatnya perkahwinan itu membebaskan wanita dari belengu fitnah dan gangguan lelaki lain kerana ada suami yang melindungi.

Dagu kecil Puteri diangkat dengan hujung jari sambil pandangannya meratah setiap lekuk wajah kesayangan. “Abang akan sentiasa sokong apapun yang Ika buat selagi dibenarkan syariat. Ingat pesan abang, jaga syariat lahir dan batin. Syariat tu ibarat pagar. Kalau pagar roboh, mudah sangat diri kita dicerobohi. Faham dan pegang pesanan abang tu sungguh-sungguh.”

Puteri yang terngadah, mendengar penuh khusyuk lalu mengangguk kecil. Sebak mula bertandang. Nuqman berpesan kerana dia akan pergi lagi meninggalkannya. Penerbangan ke Istanbul yang akan singgah di Dubai akan berlepas jam satu setengah pagi nanti. Jam sebelas malam ini, mereka akan bertolak ke KLIA untuk menghantar Nuqman. Berat sungguh untuk dia melepaskan Nuqman pergi kali ini. Sedangkan rindu belum terubat lagi…

Nuqman senyum. Bagaikan tahu apa yang ada di hati Puteri, dia tunduk menyatu wajah. Dahi bertemu dahi. Hidung bertemu hidung. Lalu dia berbisik lembut, “kita mandi dan solat zohor dulu. Lepas tu, rehat sekejap sebelum keluar raikan tetamu. Sempat kita luang masa bersama. Let us make the best moment together before I go, hmm?”

Terpejam rapat sepasang mata Puteri menahan perasaan.

“Sayang?”

Puteri buka mata yang sudah berkaca. Dan senyum. Senyum dalam sebak yang teramat.

Bersambung…

***Novel ini sedang dibuka untuk tempahan awal (preorder). Whatsapp 011-20503481jika berminat memilikinya.

Terima kasih sudi singgah!