Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 16

Assalamualaikum wbr…

Tabbarakkallahuminna hu thabhalyakarim!

Moga semuanya bahagia di hari raya, meraikan kemenangan setelah kita berjuang melawan ujian hawa nafsu, Moga kita terus menang dan menang dengan bersandarkan kepada kekuasaan Illahi.

Sekali lagi Juea memohon kemaafan atas kekhilafan sesama kita sepanjang pertemuan kita di blog ini. Dan setinggi-tinggi terima kasih kerana masih sudi singgah dan beri sokongan kepada Juea. Tanpa kalian, blog ni tak bermakna apa-apa. Terima kasih.

KAK Bab 16

Jangan! Akalnya menjerit tapi pintu itu sudah tertutup rapat. Habislah kalau macam ni! Azam tersandar di kerusi yang tinggi tempat sandarnya. Terpusing-pusing dia atas kerusi hidrolik itu. Sudahlah hampir pecah peluh berhadapan dengan si Wardah. Puas dia mengawal diri dan terpaksa bertegas dengan apa saja persoalan yang dibangkitkan Wardah. Sekarang, banyak hal lain pula yang merisaukannya.

Laju jari jemari Azam mendail nombor sambung di papan kekunci telefon di mejanya. “Dilla, just in case ada staf yang tanya tentang turnover syarikat, just keep it confidential ya.”

“Eh, kenapa Encik Azam? Tiba-tiba saja berpesan?” Dilla, pegawai akaun syarikat terpinga-pinga. Awal-awal pagi pula tu.

“As I said, just in case…” Ulang Azam lagi. Dia meletakkan gagang selepas mengucapkan terima kasih. Kemudian dia mendail lagi.

“Fahmi, saya nak semak fail kebajikan staf. Minta hantar ke meja saya hari ni. Dan pastikan yang terkini. Saya nak jumpa awak sejam dua sebelum balik.” Tegas Azam dengan nada serius.

“Baik, Encik Azam. Nanti saya ke bilik Encik Azam.” Suara Fahmi kedengaran gelisah di talian. Mungkin dia terkejut dengan permintaanya yang tiba-tiba. Atau mungkin ada yang tak kena. Elok juga sesekali terjah dengan mengejut. Mudah hendak dinilai prestasi kerja mereka, desis Azam di dalam hati. Dia tersandar sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Wardah! Dengan selamba, dia suruh orang lain buat kerja. Bukan Azam tidak tahu, sebentar lagi, Wardah mesti turun ke aras bawah untuk menyemak hal-hal yang berkaitan dengan apa yang dia katakan di dalam bilik ini tadi. Gadis itu akan mencari kebenaran sesuatu fakta sampai ke lubang cacing. Itulah antara sebab kerjanya telus.

Sekarang, Tan Sri pula! Macam mana?

Apa pun, dia sudah menerima cek tersebut. Itu yang paling penting. Rimas Azam kalau hal itu menjadi isu di antara mereka. Tetapi entah bagaimana pula dia hendak berhelah tentang Tan Sri? Ahh… apa maksud Zakuan di sebalik tindakannya ini? Memeningkan kepala saja!

Memanglah dia sangat setuju dengan hadiah yang diberikan kepada Wardah. Gadis itu memerlukannya untuk masa depan. Tapi mengapa tidak berterus terang saja? Hmm… kalaiu berterus terang, lagilah Wardah menolak! Dia sudah cukup arif dengan pendirian gadis itu. Walau apa pun selepas ini, Azam akan pastikan Zakuan menjauhi Wardah. Kalau tidak, entah apa lagi yang akan berlaku.

Telefon bimbitnya tiba-tiba menjerit minta dijawab. Nama Zakuan tertera di skrin membuatkan Azam menghela nafas berat. Selepas beberapa detik, barulah telefon itu dijawab.

“Dia datang pejabat tak hari ni? Dia okey tak?” Terus saja Zakuan bertanya. Azam terkejut lalu memandang telefon itu sekejap. Macam tidak percaya saja!

“Datang.” Cukuplah sepatah.

“Aku tanya, dia okey tak?” Amboi!

“Kalau datang, mestilah okey!” Tukas Azam, acuh tak acuh.

“Kau dah serahkan cek tu?”

“Dah.” Suara Zakuan menghela nafas lega kedengaran di hujung talian.

“Okay. Good. Thanks, Zam!”

“Dia nak jumpa Tan Sri.”

“What?” Haaa… tahu terkejut!

“Tapi untuk apa? Eh! Dia tak boleh jumpa atuk! Apa yang kau dah cakap, Azam?” Sepasang mata Azam berputar.

“Bukan aku yang cakaplah. Dia yang buat kesimpulan. Dah kita bagitau dia yang itu hadiah dari syarikat. Dia tahulah siapa bos besar Kaustik. Tan Sri!”

“Aduh… kenapa dia tak ambik je cek tu dan pergi shopping diam-diam?”

“Sebab dia bukan gadis yang kau sangka. Dia Wardah Sakinah!” Tempelak Azam. Puas hati!

“Dia… dia tak boleh jumpa Tan Sri! Banyak masalah timbul nanti! Macam mana nak buat ni, Zam? Lusa atuk datang KL. Minggu depan dia ada di head office. Buatnya dia pergi jumpa atuk, habislah aku!”

“Eloklah kau yang habis. Yang penting kau jangan libatkan aku lagi. Dah lah, aku banyak kerja ni. Kau fikirlah sendiri.”

Talian diputuskan. Hatinya ketawa jahat. Azam meletakkan telefon bimbit itu di meja. Dikerling dengan senyum sinis. Sekarang bertemu buku dengan ruas! Namun hatinya tidak enak. Dia memang tak suka apa yang sedang dilakukan Zakuan. Tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak menghalangnya.

Azam memusatkan perhatiannya kepada fail yang sedang terbuka di hadapannya. Beberapa isu sudah disiapkan untuk akhbar Kaustik minggu depan. Isu utama untuk mukasurat utama. Mereka harus menyediakan sekurang-kurangnya tiga isu yang paling hangat untuk diletakkan di muka depan akhbar itu. Tetapi jika ada isu berbangkit dalam masa ia belum dicetak, maka serta-merta isu itulah yang menjadi pilihan. Itulah Kaustik. Yang terkini.

Telefon bimbitnya berdering sekali lagi. Melihat nama yang tertera membuatkan dahi Azam berkerut rapat. Mahu apa lagi?

“Ya?” Jawabnya sepatah.

“Aku nak kau tolong panggil kawan baik dia. Aku tak ingat nama dia. Kau minta dia rapat dengan perempuan tu. Aku nak tau semua perkara yang perempuan tu nak buat. Dia nak pergi mana, macam mana dia belanjakan duit tu, apa-apa saja. Aku nak dia terus beritahu kita semua perkara. Kau fikirkanlah apa pun alasan yang sesuai. Yang penting, aku tahu ke mana dia nak pergi dan macam mana dia belanjakan duit tu nanti. Yang paling penting, kalau dia ada perancangan nak jumpa Tan Sri. Nanti aku bagi upahnya. Okey? Thanks, Zam. Bye!” Azam terdiam. Lama. Sampai dia terasa panasnya telefon bimbit itu di telapak tangan dan di telinganya.

Perlahan-lahan dia meletakkan telefon bimbit itu dengan rasa tidak percaya. Aku juga yang kena! Nampaknya hal ini tidak berhenti di sini saja. Dan entah kenapa dia terseret dalam hal ini, dia pun tidak mengerti. Dia juga keliru. Arahan itu dari sahabat atau majikan, sebenarnya?

******

Benn hanya memandang riak lesu Wardah yang masuk ke kotak kerjanya. Gusar menjalar dalam hati. Hendak diterjah tentang kejadian malam kelmarin, bimbang pula kesihatannya terganggu. Tetapi hatinya kuat mengatakan yang Wardah sedang diganggu sesuatu. Jangan-jangan dia sebenarnya disampuk dek hantu pokok mangga! Ah… sudah!

“Wardah…” Sapa Benn dengan selunak yang boleh. Kedudukan kotak kerjanya yang bertentangan dengan Wardah memudahkan dia menjenguk gadis itu. Mujur penghadang antara kotak kerja di pejabat itu hanya paras pinggang. Jadi muka Wardah separas dada jelas lelihatan.

“Hmmm…,” sahut gadis itu tanpa mengangkat muka memandang wajahnya.

“Kau okey?” Tanya Benn, masih lembut. Chon yang baru tiba, meletakkan beg tangannya di dalam laci seraya duduk melepaskan penat memandu. Sekilas wajah Benn dipandang dengan sedikit gelengan kepala ke arah Wardah. Benn yang faham soalam dalam diam itu, menjungkit bahu tanda tidak tahu.

“Entahlah, Benn.” Wardah mengeluh. Dia yang sudah duduk tersandar, mendongakkan kepala dan memejamkan mata.

“Kau dah sarapan?” Lebih baik tukar topik. Lagi pun memang dia tidak sempat bersarapan pagi tadi. Solat Subuh pun dah Subuh gajah. Gara-gara masih kepenatan sejak pulang dari Batu Hampar kelmarin.

“Belum.” Matanya masih terpejam.

“Jom…” Benn ceria mendengarkan. Waktu masih ada dalam dua puluh minit. Kalau bungkus bawa balik, sempat lagi. Nanti boleh makan di dapur pejabat saja.

“Aku tak ada selera la Benn…” Keluh Wardah seperti hendak menangis.

“Wardah, lebih baik makan dulu. Paksa diri tu sikit. Nanti sakit, susah. Muka pun dah pucat tu.”

“Haa! Kau dengar tu? Kalau kau tak nak dengar cakap aku, tak apa. Tapi kau jangan tak dengar cakap Chon. Dia mak andam, tau luar dalam kita ni!” Seru Benn bersungguh-sungguh walaupun entah di mana logiknya. Apa dia peduli. Wardah tersengih. Dia mengangguk.

“Jom, cepat! Aku lapar ni!” Desak Benn yang sudah terpacak berdiri di sebelah kotak kerja Wardah.

Mahu tak mahu, Wardah membuka beg galasnya lalu mengeluarkan dompet. Belum sempat dia bangun, telefon di kotak kerja Benn berbunyi. Pantas gadis itu berlari menjawabnya. Seketika kemudian, dia datang semula ke tempat Wardah.

“Arda, kau tolong belikan, boleh? Encik Azam panggil akulah! Takkan dia nak tengok sketch untuk minggu ni?! Aku baru je masuk kerja…” Bebel Benn dengan muka cemberut kerana kelaparan.

“Hmm… okeylah. Apa kau nak?” Soal Wardah, mengalah.

“Apa saja yang kau makan… err… tapi makanan tau! Kalau kau turun makan angin je, mau gastrik aku nanti!” Pesan Benn sambil melangkah pergi. Wardah menjeling tajam. Sempat dia menyindir!

Benn bergegas ke bilik Encik Azam. Harap-harap tak lama. Dia memang perlu makan. Tak boleh bekerja dengan perut yang berdendang begini.

Puan Zubaidah disapa dan dia segera mengangguk, tanda memberi izin untuk Benn masuk ke bilik majikannya. Sebaik saja pintu diketuk, terdengar suara Encik Azam meminta dia masuk.

“Letih lagi?” Soal Encik Azam sebaik saja menjawab salam dan ucapan selamat pagi dari Benn.

“Ha? Eh, dah okey dah, Encik Azam.”

“Baguslah. Jemput duduk,” pinta Encik Azam dengan suara yang agak aneh di pendengaran Benn. Diiringi dengan degup jantung yang bertukar rentak, Benn duduk juga mengadap.

“Ada perkara penting yang saya nak mintak tolong awak, Benn.” Encik Azam memberi muqaddimah yang aneh juga. Yalah, kalau fasal kerja, Encik Azam tak minta tolong. Dia arahkan sahaja.

“Berat saya nak cakap tapi demi keselamatan Wardah, saya terpaksa minta tolong pihak ketiga. Jadi awak saja harapan saya.” Benn telan liur. Wajah Wardah yang murung sebentar tadi menerjah fikirannya. Apa yang berlaku? Macam kes polis sahaja kedengarannya!

“Ada seorang dermawan hadiahkan Wardah sejumlah wang yang besar. Saya tak boleh dedahkan identiti dermawan tersebut. Cuma saya nak minta tolong Benn perhatikan dan beritahu saya setiap perkara dengan terperinci, apa sahaja yang berkaitan dengan duit tu. Maksud saya, apa Wardah buat, macam mana dia belanja duit tu, apa yang dia beli atau apa-apa sajalah. Saya nakkan laporan dari awak setiap hari. Untuk itu, ada elaun kecil untuk awak. Saya tak percaya dengan orang lain selain dari awak untuk buat kerja ni. Boleh awak buat semua tu tanpa pengetahuan Wardah?” Wajah Encik Azam seperti sangat mengharap. Nada serba salahnya jelas kedengaran.

Muka Benn sudah macam-macam riak. Susah dia hendak percaya dengan apa yang menerjah di pendengarannya. Lebih-lebih lagi daripada Encik Azam yang selama ini serius dengan kerja sahaja. Dan dermawan! Itu yang tak boleh tahan. Kenapa tiba-tiba ada dermawan yang sanggup berikan duit yang banyak pada Wardah? Wardah!

Eh, masin pulak mulut budak itu! Asyik berangan nak jadi kaya… tiba-tiba dia betul-betul jadi kaya! Perghh… menjadi sungguh angan-angan dia. Tapi… kenapa muka macam orang kena sampuk hantu saja?

“Benn! Benn!” Suara Encik Azam menyergahnya membantutkan arus fikirnya. Buntang dia melihat muka Encik Azam yang berkerut di hadapannya.

“Saya tanya awak ni, boleh ke tak? Saya yakin awak jujur dan awak sayangkan Wardah. Sebab tu saya tanya awak. Apa yang awak fikirkan?” Soal Encik Azam bertalu-talu.

“Err… mintak maaflah, Encik Azam. Saya tengah fikirlah ni. Dah macam nak jadi spy je bunyinya… kerja ni bahaya ni, Encik Azam. Saya tak ada insurans!” Benn sudah macam-macam.

“Tak sampai macam tu lah. Boleh tak awak serius sikit? Saya cuma nak awak beritahu saya apa saja rancangan Wardah. Ke mana dia nak pergi dan apa yang dia nak buat. Penting. Err… maksud saya, saya nak tahu gerak-geri Wardah untuk keselamatan dia. Kita tak mahu ada yang mengambil kesempatan atas kebaikan Wardah atau duit tu disalahgunakan. Ini amanah dari orang yang beri duit dan dah jadi tanggungjawab saya menunaikannya. Jadi, saya nak buat masa ni, awak selalu teman Wardah ke mana-mana. Lagi pun memang kamu berdua rapat. Cuma jangan sampai Wardah tahu sebab dia tak suka nak terima duit tu. Kalau dia tahu, nanti terus dia nak pulangkan semula. Awak faham kan, macam mana dengan sikap Wardah.” Jelas Encik Azam dengan suara yang semakin tegas.

Benn menarik nafas dalam-dalam sambil mengangguk berkali-kali walaupun masih banyak persoalan yang berselirat dalam kepalanya. Encik Azam sudah tersandar semula ke kerusinya.

Selepas selesai berbincang dengan Encik Azam, Benn bergegas ke ruang dapur pejabat. Hah! Mujur gadis itu sudah siap menunggu dengan makanan yang dibungkus tersedia di atas meja di hadapannya. Tetapi yang dianya mengelamun entah ke mana. Tak ada rupa orang kaya langsung. Muka susah hati macam orang hilang suami, adalah!

“Eh! Sudah-sudahlah berangan tu. Jom makan!” Benn cuba menarik perhatian Wardah. Gadis itu agak tersentak lalu dia cepat-cepat menyerahkan bungkusan makanan yang dibelinya kepada Benn.

“Aku tak beranganlah! Aku tunggu engkau je. Apa hal Encik Azam cari engkau pagi-pagi ni?” Lemah saja suara Wardah. Namun soalannya menyentak Benn yang baru hendak menjamah mee goreng yang enak baunya itu.

“Haa? Err… tak ada apa. Dia cuma nak sketch untuk center page lebih awal dari biasa sebab… aaa… aku pun tak tau kenapa. Ahh, boleh tak jangan cakap pasal kerja, potong selera tau tak?” Benn cuba menukar topik.

“Huh… selera kau boleh potong-potong ke?”

“Aisyhh… buat-buat tak faham pulak!” Benn panas hati.

“Laaa… dah memang tak faham!” Tukas Wardah selamba.

Akhirnya Encik Azam dilupakan dan mereka terus makan sambil bergurau senda. Namun Benn cukup perasan, Wardah minum beberapa kali berselang-seli dengan makan seolah-olah ada makanan yang asyik tersekat di kerongkongnya.

“Kau okey ke tak ni?” Soal Benn akhirnya. Kesian pun ada.

“Benn, teman aku jumpa Tan Sri…” Sepasang mata Benn terbeliak. Apa kes? Ohh…

“Err… Tan Sri? Tan Sri mana?

“Tan Sri Dato’ Ridhwan.”

“Ke-kenapa? Err… macam mana?”

“Nanti aku bagitahu… Lepas ni aku nak jumpa Puan Zubaidah. Aku nak minta nombor telefon pejabat Tan Sri…”

Benn hampir tercekik. Matanya terkelip-kelip. Kena beritahu Encik Azam tak ni? Hatinya berdetik. Tugas aku sudah bermula!

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 15

Wardah bergegas keluar sebaik saja pintu lif terbuka di tingkat tiga bangunan itu. Tak sempat meletakkan beg di kotak meja kerjanya, dia terus membelok ke kiri melewati meja setiausaha Encik Azam, Puan Zubaidah yang sedang sibuk mengemas meja lantas terus mengetuk pintu bilik Encik Azam yang terletak di hujung sekali bersebelahan dengan bilik Encik Halim.

“Wardah!” Seru Puan Zubaidah yang kecil molek.

“Maaf, puan! Urgent sangat!” Jawab Wardah pantas sambil menyusun jari sepuluh dan buat memek muka minta simpati.

“Kalau ya pun…”

“Masuk.” Terdengar suara Encik Azam dari dalam, menghentikan kata-kata Puan Zubaidah. Wardah tersenyum dengan rasa bersalah. Puan Zubaidah mengangguk dengan wajah tak puas hati. Wardah menjongket bahu lalu berpusing bergegas masuk ke bilik Encik Azam.

“Encik Azam! Cek! Cek tu hilang!” Wardah bersuara cemas sebaik saja menutup daun pintu. Encik Azam? Seperti biasa. Hanya memandang dan diam.

“Encik Azam, saya baru teringat pasal cek tu pagi ni. Waktu Kak Long tanya apa hadiah yang saya dapat… tapi cari cek tu tak jumpa. Semalam, saya tak ingat langsung! Akhir sekali saya yang pegang cek tu, tapi saya dah tak tau apa jadi lepas tu? Macam mana ni, Encik Azam? RM100,000 tu!” Wardah semakin gawat bila Encik Azam hanya memandangnya dalam-dalam. Kalau Benn yang buat macam tu, memang dah kena makan penangan. Geram pulak dia dengan Encik Azam. Sedangkan hatinya dirusuh cemas, Tuhan saja yang tahu. Duit sebanyak itu sudah di depan mata tiba-tiba hilang! Siapa yang mampu duduk diam?

“Duduk.” Ha! Inilah Encik Azam. Hujan ribut petir menyambar pun, sepatah saja tutur katanya. Wardah mendengus dalam diam lalu menarik kerusi empuk di hadapan majikannya. Terhenyak tubuhnya di situ. Wajah Encik Azam yang macam permukaan tasik yang tenang jangan disangka tiada buaya itu ditenung tajam.

Encik Azam membongkok lalu membuka laci yang paling bawah di mejanya. Dia mengeluarkan sekeping sampul surat putih. Sepasang mata Wardah membesar. Sampul surat putih semalamkah itu?

Sampul surat itu diserahkan kepada Wardah tanpa bicara. Encik Azam ni kan, macam manalah agaknya dengan isteri Encik Azam nanti? Hati kecil Wardah sempat berbisik. Macam drama bisu agaknya!

Tanpa berlengah lagi, Wardah membuka sampul surat yang tidak bergam itu. Ya! Cek yang dicari-cari! Walaupun sudah agak berkeronyok tetapi Wardah tersandar lega. Tersenyum lebar bila dia mengangkat muka menatap wajah Encik Azam yang memandangnya tidak sudah-sudah itu.

“Lega saya!” Seru Wardah, kegembiraan. Encik Azam mengangguk-angguk. Dia juga ikut tersandar di kerusinya. Segarit senyuman hambar muncul di bibir. Wardah yang memandangnya ikut tersenyum walaupun merasa sedikit aneh. Pelikkah kalau dia risau cek sebanyak itu hilang?

“Sekarang, Encik Azam ambik cek ni. Saya banyak kerja nak buat,” ujar Wardah seraya meletakkan semula cek itu di dalam sampul dan meletakkannya di hadapan Encik Azam.

Senyuman di bibir Encik Azam hilang. Dia memandang Wardah kehairanan. Wardah mengangkat bahu, senyum lagi lalu bangun mahu meninggalkan bilik itu. Hatinya sudah lega dan lapang.

“Eh, cek ni, ambillah,” kata-kata Encik Azam membuatkan Wardah berpusing semula.

‘Saya tak nak duit tu. Saya cuma risau kalau saya hilangkan cek tu. Encik Azam tolong pulangkan pada syarikat. Banyak sangat. Tak setimpal dengan kerja saya. Terima kasih pada syarikat, pada Encik Azam. Saya pergi dulu.” Dengan senyum senang, Wardah melangkah ke pintu.

Encik Azam terpelongo. Tadi bukankah dia yang kecoh tentang kehilangan cek ini?

“Saya tak boleh ambil hak orang. Cek ni untuk Wardah. Samada layak atau tak, bukan saya yang mengadilinya. Wardah gunalah duit ni sebaik-baiknya.” Encik Azam sudah berdiri tegak di situ, bertegas. Terkelip-kelip Wardah memandangnya. Entah macam mana dia dapat buat Encik Azam faham.

Akhirnya Wardah tidak jadi membuka pintu. Dia melangkah semula mendekati meja Encik Azam seraya berfikir, mencari kata-kata yang sesuai. Yang manis, mungkin.

“Encik Azam, saya cuma risau kalau cek tu hilang kerana saya. Tapi saya betul betul tak nak duit tu. Hmm… Encik Azam pasti ke kebajikan dan keperluan semua staf Kaustik dah selesai? Dah tak ada orang yang lebih memerlukan duit tu dari saya?” Soal Wardah dengan penuh hati-hati. Bercakap dengan orang berpangkat, kan… mesti hati-hati. Mereka mudah tersinggung.

“Apa maksud Wardah?” Soal Encik Azam lagi. Biar betul! Ayat mudah je tu. Satu suratkhabar Kaustik Encik Azam boleh tulis. Takkan…

“Saya tak faham…,” sambung Encik Azam lagi. Dia tak faham! Wardah buat muka.

“Macam ni, Encik Azam. Duit tu banyak. Saya ni orang biasa saja, nak buat apa dengan duit banyak-banyak tu. Encik Azam yakin ke yang syarikat ni dah untung berjuta sampai tak kisah nak beri pekerjanya duit sebanyak itu? Lagi satu, dah pasti ke kebajikan semua staf Kaustik selesai? Kalau jawapan bagi dua soalan itu ya, maka saya ambil cek tu. Kalau tak, elok Encik Azam yang gunakan duit tu untuk majukan lagi syarikat ni dan bantu lebih ramai pekerja yang memerlukan. Betul tak?” Wardah menarik nafas.

“Ya.” Jawab Encik Azam dengan muka lurus.

“Ya? Apa yang ‘ya’, Encik Azam?”

“Syarikat dah untung banyak dan ya, semua kebajikan staf sudah ditangani. Jadi cek ini milik awak.” Tegas dan lurus suara Encik Azam. Tanpa emosi.

“Hah? Biar betul ni, Encik Azam! Dah untung berjuta-juta? Dalam masa lima tahun je? Encik Azam tak tipu saya?” Soal Wardah sungguh-sungguh. Encik Azam cuma memandang selamba.

“Tak.” Wah! Yakin sungguh! Wardah macam tak percaya.

“Err… macammana dengan staf Kaustik? Semua kebajikan mereka selesai? Tak ada yang memerlukan bantuan? Mak ayah sakit ke? Anak ke?”

“InsyaaAllah. Selesai.” Wardah merenung senget ke wajah Encik Azam.

“Yang mana belum selesai, kita akan selesaikan. Jadi, ambil cek awak.” Tenang bagaikan air di kali, Encik Azam menyorong sampul surat itu ke arah Wardah yang tegak berdiri.

Wardah sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Macam mana ni?

“Saya dah jawab soalan Wardah. Jadi, sila ambil cek ni. Ingat, jangan beritahu sesiapa tentang cek ni. Syarikat tidak bermaksud menghadiahkan cek sejumlah ini kepada staf setiap kali Anugerah Cemerlang. Mungkin hadiah berbeza-beza. Saya harap Wardah faham. Sekarang, saya ada banyak kerja nak buat.” Tegasnya suara Encik Azam. Siap minta dia beredar lagi. Memang Encik Azam tak banyak cakap tapi selalunya taklah bertegas sampai minta dia keluar dari bilik dengan cara halus macam ni, desis hati Wardah.

Akhirnya dia memaksa diri, lambat-lambat mengambil sampul surat putih itu. Encik Azam sudah membuka fail dan sibuk meneliti isi kandungan fail tersebut. Wardah faham, masanya untuk berurusan sudah tamat.

“Baiklah, terima kasih Encik Azam,” lemah suara Wardah. Dan dia melangkah keluar dengan langkah longlai.

“Encik Azam pasti?” Sekali lagi Wardah menoleh sambil mengacah sampul surat putih itu ke arah Encik Azam. Entah kenapa, tiba-tiba ada riak cemas di wajah lelaki segak itu.

“Saya pasti.” Jawab Encik Azam selepas memandangnya beberapa detik. Wardah mengalah. Dia memulas tombol dan berpaling lagi…

“Tapi dengan syarat… saya nak jumpa Tan Sri. Nak ucap terima kasih…” ujar Wardah lalu menghilang di sebalik daun pintu.

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 14

Di rumah agam Tan Sri Dato’ Uthman, Wardah tersedar sebaik saja dia mendengar azan Subuh sayup-sayup kedengaran. Lama dia terpisat-pisat duduk di tengah-tengah katil yang besar itu di dalam bilik tidur yang cantik dan luas. Mujur dia cepat teringat nenek yang muncul semalam sebelum dia tidur selepas diperiksa doktor.

Perlahan-lahan dia bangun mencari bilik air yang disambung terus dengan bilik tidur itu. Ada tuala dan sepasang baju kurung lengkap dengan tudungnya sekali berlipat elok di hujung katil. Mungkin untuknya. Wardah mencapai pakaian itu lalu menuju ke bilik air.

Usai mengerjakan solat Subuh dengan telekung yang sedia ada mengikut tanda kiblat yang diletakkan di siling bilik itu, Wardah membuka pintu biliknya dengan hati-hati. Terperanjat dia melihat ruang tamu yang besar dan mewah di hadapannya. Orang kaya rupanya nenek semalam. Terharu hatinya dengan kebaikan orang kaya seperti itu. Tidak sedikitpun dia berlagak sombong.

Suara orang berbual-bual dari arah dapur menerjah gegendang telinganya. Suara agak garau tetapi dia pasti itu suara orang perempuan. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke dapur.

Nenek yang datang ke bilik malam tadi sedang duduk di meja bulat, berbual-bual dengan seorang lagi wanita yang mungkin sudah berusia enam puluhan yang sedang sibuk memasak di ruang dapur. Wardah tersenyum melihat senario dan kemesraan itu kerana perbualan mereka diselangi dengan senda gurau.

“Assalamualaikum,” sapanya dengan lembut, bimbang kalau kehadirannya menganggu perbualan mereka.

“Waalaikumussalam. Eh, Wardah… dah siap dah? Mari sini, nek nak kenalkan… Ramlah, inilah Wardah yang tidur di bilik tamu semalam. Tetamu kita dari Lembah Bayu.” Wardah melangkah mendekati wanita yang diperkenalkan sebagai Ramlah, bersalaman dan tunduk mencium tangannya. Sejuk hati kedua wanita itu memandang akhlaknya.

“Duduklah, Wardah. Kejap lagi kita bersarapan ya,” ujar Ramlah lembut dan lunak.

“Eh! Tak apa, Mak cik Ramlah, biar Arda tolong. Dah biasa bangun awal sebab masak untuk sarapan dan bekalan ke tempat kerja. Makcik masak apa ni, wanginya bau!” Wardah yang memang kaki makan menghidu bau dari arah kuali sampai terpejam mata.

“Sambal udang je, Wardah.” Tergelak mereka dengan telatah Wardah. Pantas gadis itu menyinsing lengan menuju ke sinki untuk membasuh bekas-bekas makanan yang digunapakai waktu memasak.

“Eh, tak usahlah! Nanti basah baju tu,” tegah Ramlah lagi, serba-salah bila tetamu rumah besar ini masuk ke dapur menyinsing lengan. Sementara Puan Seri Ainon pula tersenyum kembang kerana hatinya tiba-tiba berbunga.

“Tak apa, makcik. Air je kan! Arda dah biasa…” Tangannya menyusun pingan mangkuk dari rak basuhan terlebih dahulu. Sebahagiannya dilap terlebih dahulu. Tahu sahaja dia mencari tempat letak barang-barang itu. Apabila kosong rak itu, barulah dia mula mencuci.

“Wardah dah berapa hari bercuti di Lembah Bayu?” Soal Puan Sri sambil melihat Wardah lincah di dapur.

“Dah dua hari, nek. Pagi ni kami semua nak bertolak balik dah. Oh, ya! Nek… dia orang nak balik awal. Arda takut kena tinggal. Jauh ke Lembah Bayu dari sini, nek?” Baru Wardah teringatkan kawan-kawannya. Rasa bimbang mula menerjah. Dia pula tidak tahu di mana sebenarnya dia berada.

“Jangan bimbang! Lepas sarapan nanti, nek hantar Wardah ke sana. Apa-apa pun kita kena makan dulu. Kawan-kawan Wardah pun bersarapan dulu tu,” beritahu Puan Ainon menenangkan gadis itu.

“Wardah kenal ke cucu nenek?” Puan Seri Ainon mula menyiasat. Senyumannya berseri luar biasa. Ada pengharapan yang terserlah dalam sinar matanya.

“Err… cucu? Wardah… Wardah tak ingat, nek. Wardah tak kenal sesiapa di sini…” tangan Wardah terhenti aksinya. Dia berpaling dengan wajah serba-salah memandang Puan Seri Ainon.

“Oh… tak apa. Baguslah. Cucu nenek kata Wardah pengsan, dia tolong bawa balik ke rumah ni sebab mudah nak panggilkan doktor. Kalau di Lembah Bayu tu, jauh ke dalam pula.” Terang Puan Seri Ainon dengan panjang lebar. Dia hanya mengagak apa yang berlaku. Dan kalau mereka saling tidak mengenali, itu lebih baik!

“Wardah mintak maaf sangat-sangat sebab menyusahkan nenek dengan cucu nenek. Wardah tak sengaja…”

“Isyhh… kenapa nak mintak maaf pulak! Dah memang sakit nak datang, bukan dia nak bagitau kita, betul tak, Ramlah?” Mereka tergelak dengan gurau senda sendiri. Wardah ikut tersenyum. Meriah rumah ini dengan kemesraan nenek dan Makcik Ramlah. Teringat pada umi dan abi serta adik-adik. Tiba-tiba dia jadi rindu dan tak sabar untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Ha, dah siap pun nasi lemak kita, Wardah. Jom hidangkan. Boleh Wardah sarapan awal. Nanti dah nak balik!” Kata-kata Makcik Ramlah menyentak lamunan Wardah di sinki.

“Wardah, nenek cadang nak ke Kuala Lumpur esok. Apa kata kalau nenek saja yang hantar Wardah balik? Boleh Wardah temankan nenek sehari lagi,” Cadang Puan Seri Ainon penuh harap. Wardah tersenyum, tersipu tidak pasti bagaimana hendak menjawab. Tangannya dimeja makan diraup mesra oleh Puan Seri Ainon.

“Sebenarnya, Wardah sakit apa? Kenapa Wardah sampai pengsan semalam?” Soal Puan Seri Ainon lagi. Jauh di sudut hatinya, janganlah ada sesuatu yang berlaku di antara Wardah dan cucunya. Mana tahu kalau cucunya nakal terlebih batas sampai pengsan anak dara orang.

Bunyi telefon menjerit dari dinding dapur serentak dengan telefon yang bersambung ke ruang tamu mengejutkan mereka semua.

Pantas Ramlah mengangkat gagang lalu memberi salam. Tersenyum sumbing bila dia mendengar suara pemanggil lalu terus menghulurkan gagang itu kepada Puan Seri yang duduk tidak jauh dari telefon itu.

“Assalamualaikum,” sapa Puan Seri Ainon. Dia sudah dapat mengagak siapa yang memanggil di pagi-pagi buta begini.

“Hmm… dah okey nampaknya. Tapi biarlah dia di sini sehari lagi, temankan…” kata-katanya putus di situ berganti dengan wajah yang cemberut.

“Amboi, apa salahnya…” jawabnya lagi, seperti tidak puas hati dengan apa yang dikatakan pemanggil.

“Ya lah, ya lah. Lepas sarapan, nek hantar dia ke sana.” Dia menghela nafas seperti mengalah saja bunyinya.

“Atuk dah ke masjid sebelum Subuh tadi. Tak apa, nanti nenek aje yang hantarkan.” Sepasang matanya melirik ke arah Wardah yang sudah duduk tercegat memandangnya. Gadis itu tahu yang dirinya yang sedang diperbincangkan.

“Ya lah. Waalaikumussalam.” Dengan itu, gagang diserahkan semula kepada Ramlah yang setia berdiri di situ sambil menyusun pinggan dan hidangan sarapan pagi mereka.

“Dah, mari kita makan, Wardah. Cucu nenek tu dah bising mintak nenek hantarkan cepat-cepat ke Lembah Bayu sebab kawan-kawan Wardah hendak bertolak awal ke Kuala Lumpur. Nanti takut jalan sesak, katanya. Sebab cuti dah habiskan…” rungut Puan Seri Ainon dengan nada kecewa. Entah kenapa didesak sangat supaya gadis itu cepat dihantar pulang? Kalut sungguh cucunya yang seorang itu. Sampai hendak berkenalan dengan Wardah pun tak sempat! Marah punya fasal, habis dia lupa apa yang disoalkan kepada Wardah sebentar tadi.

Mereka makan bersama-sama. Terharu Wardah melihat kebaikan nenek itu yang sudi makan bersama pembantu rumah tidak seperti kebanyakan orang kaya yang lain.

Puan Seri Ainon mula bertanya tentang latar belakang Wardah. Becoklah Wardah bercerita tentang umi, abi dan adik-adik serta kakak-kakak teman serumahnya yang semuanya berasal dari rumah Kesayanganku milik umi dan abi. Perubahan riak wajah Puan Seri Ainon dan Ramlah tidak langsung disedarinya kerana dia merasa bahagia walaupun cukup hanya bercerita tentang mereka. Segala rasa duka dengan ketidakcukupan dirinya, dia selindungkan di sebalik senyum tawa. Dan itu lebih meruntun hati kedua wanita di hadapannya, melihat ketabahan seorang yatim piatu.

“Ramlah, mintak Hasyim sediakan kereta ya. Saya nak hantar Wardah ke Lembah Bayu. Tuan tak ada. Bolehlah Ramlah ikut sekali. Nanti kita ke pasar terus.” Pinta Puan Seri Ainon seraya mengajak Wardah mengemas pakaiannya di bilik.

Sempat dia meminta alamat rumah Kesayanganku dari Wardah dan berjanji dia akan ke sana suatu hari nanti. Gembira sungguh Wardah dengan kebaikan nenek yang belum diketahui namanya.

“Nenek nama apa? Mana tahu kalau Arda ke Lembah Bayu lagi, boleh Arda datang ziarah nenek,” ucap Wardah mempamerkan kemesraannya. Dia tidak melihat kelibat sesiapa lagi di rumah besar itu tetapi dia segan hendak bertanya. Ke mana pula agaknya gerangan cucu yang disebut-sebut tadi? Hendak ditanya namanya, aduh… lagilah segan!

“Eh, Wardah mesti datang ke sini lagi. Nama nenek, Ainon. Orang kat sini semua kenal nenek. Kalau datang ke Batu Hampar tu, tanya saja di mana rumah Ainon, mereka akan tunjukkan jalan. InsyaaAllah kita akan jumpa lagi ya,” jawab Puan Seri Ainon dengan penuh pengharapan.

Mereka bertolak ke Lembah Bayu dalam sebuah kereta. Wardah mengambil kesempatan melihat keliling di kiri dan kanan jalan raya kecil itu. Rumah agam itu dikelilingi taman yang cantik dan terjaga rapi. Sebaik saja keluar dari halaman rumah itu yang besar dan luas, barulah kelihatan banyak rumah-rumah batu yang agak besar-besar juga di kawasan itu. Tidak lama kemudian, mereka menempuh ladang kelapa sawit yang agak luas dan deretan kedai-kedai kecil yang agak panjang sehinggalah sampai ke Rumah Peranginan Lembah Bayu.

Di perkarangan restoran, dua buah kereta sudah menanti. Wardah cepat-cepat menyalami makcik Ramlah dan Nenek Ainon yang duduk di sebelahnya. Terkejut sungguh dia bila kedua-dua pipinya dicium oleh nenek. Lalu dia juga membuang malu dan segan, ikut mengucup kedua-dua belah pipi tua itu. Kasih sayang dan kemesraan nenek Ainon sangat menyentuh hati kecilnya.

Encik Azam mengangkat tangan menyapa dengan senyum. Seketika kemudian, Pakcik Hasyim menurunkan cermin tingkap dan bersalaman dengan Encik Azam. Wardah mengundur langkah memberi ruang kepada Encik Azam yang mahu bersalaman. Kemudian melalui daun pintu kereta yang terbuka, Encik Azam menyapa dan berbual seketika dengan Nenek Ainon. Akhirnya mereka bergerak pergi meninggalkan Wardah selamat bersama kawan-kawan dan majikannya.

Tanpa sempat Wardah menyapa, Azam cepat-cepat meminta mereka semua bertolak segera kerana bimbang tersekat dalam kesesakan jalan raya. Mahu tidak mahu, Wardah masuk dalam kereta sambil memerhati muka ketat Encik Azam. Selalunya Encik Azam rajin bertanya khabar kalau dia sakit tetapi hari ini, Encik Azam buat tidak peduli saja. Wardah agak terasa tetapi dipujuknya hati. Mungkin semalaman Encik Azam merisaukannya jadi dia mungkin agak letih kerana tidak cukup tidur. Sabar-sabarlah duhai hati, bisiknya sendirian.

Sepanjang perjalanan, suasana diam sahaja. Agaknya semua keletihan kerana pulang agak lewat malam tadi, desis hati Wardah lagi. Benn di sebelahnya pula asyik memandang ke luar, merenung jauh permandangan yang berlari. Hanya sepatah dua yang terbit dari mulutnya. Kemudian Benn meminta dia berehat, jangan banyak berfikir dan bertenang. Hendak tergelak pun ada bila Benn tiba-tiba berubah seperti pakar psikologi pula. Selalunya kecoh!

Pakaian dan barang-barangnya sudah siap di tempat letak barang di belakang kereta. Jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan, kata Benn lagi. Wardah rasa malas hendak menyanggah. Akhirnya dia turut diam dan terlena sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 13

“Nama siapa?” Soal Dr. Farah dengan suara lunak. Memandang lembut ke arah gadis yang terbaring di sisinya yang sudah dibuka tudungnya dan rambut hitam pekat terhampar cantik di atas bantal berbalut sarung sutera itu

Wardah yang sudah sedarkan diri selepas diperiksa oleh Dr. Farah memandangnya dengan mata yang berkelip-kelip. Fikirannya masih terawang-awang. Tubuhnya lesu dan longlai. Dia tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya. Malah dia tidak sedar bila jarinya dicucuk sedikit untuk diambil darah bagi ujian glukosa sebentar tadi.

“Saya Dr. Farah. Cik pengsan tadi. Keadaan cik masih lemah. Boleh beritahu saya nama cik?”

“Wardah…,” serak suaranya. Dia masih memandang Dr. Farah yang cantik tersenyum manis itu. Segarit senyum muncul di bibir Wardah. Membalas senyuman doktor yang lembut itu.

“Saya dah periksa tekanan darah. Masih agak rendah. Malam ni, Cik Wardah perlu rehat. Saya dah ubah kedudukan badan Cik Wardah dalam posisi ni supaya perjalanan darah berjalan baik. Cuba kekalkan dalam posisi yang sama ya.” Wardah mengangguk lemah.

“Saya di mana, doktor?” Soal Wardah seraya berkalih pandangannya ke arah lain. Ruang dalam bilik itu begitu asing baginya.

“Di rumah nenek…,” Jawab satu suara dari arah pintu. Dr. Farah bangun berdiri perlahan-lahan, tersenyum seraya menghulurkan tangan kepada Puan Sri Ainon yang baru melangkah masuk.

“Apa khabar, puan sri?”

“Farah! Nak berpuan sri malam-malam ni. Saya sihat, alhamdulillah. Macam mana dengan dia?” Puan Sri Ainon ketawa bergurau sambil bertanyakan tentang gadis yang tiba-tiba ada terbaring di katil bilik tetamu rumahnya.

“Wardah. Namanya Wardah, puan. Dia dah sedar sepenuhnya. Dia cuma pengsan tapi denyutan nadinya masih lemah. Dia perlu rehat. Saya dah periksa secara keseluruhan, untuk malam ni dia okey. Cuma perlu rehat tapi dia perlukan rawatan lanjut selepas ni.” Terang Dr. Farah dengan panjang lebar.

Puan Sri Ainon duduk di birai katil. Wajah Wardah disentuh dengan telapak tangannya.

“Wardah selamat di sini. Di rumah nenek. Nenek akan jaga Wardah malam ni. Jangan bimbang ya…”

Wardah memandang wajah wanita yang sudah berumur itu dengan pandangan yang berbaur. Rasa hairan dan terharu dengan kebaikannya. Perlahan-lahan Wardah menghulurkan tangan untuk bersalaman. Jemari tua itu dikucup lembut. Terasa hangat kemesraannya.

“Kalau macam tu, saya pergi dulu, puan. Wardah juga perlukan rehat yang cukup.”

Pandangan dalam Puan Seri Ainon yang menjamah wajah pucat Wardah tidak beralih tatkala dia menjawab, “ya, Farah. Hari pun dah lewat malam.”

Kepada Wardah, dia bersuara lebih lembut, “Wardah, tidur ya. Bilik nenek di sebelah tangga saja. Kalau ada apa-apa, Wardah panggil nenek ya. Nanti nenek akan datang tengok-tengokkan Wardah.”

Terkelip-kelip mata Wardah sambil dia mengangguk. Tidak terungkap bicara dengan kelembutan dan budi baik wanita yang begitu asing baginya.

“Mari Farah, kita biarkan Wardah rehat.” Puan Seri Ainon bangun perlahan-lahan sambil memandang Wardah sekali lagi. Senyumannya meleret. Dan Dr. Farah ikut tersenyum penuh makna.

Daun pintu bilik itu ditutup sebaik saja mereka berdua melangkah keluar. Dr. Farah memberi penjelasan yang sama kepada Zakuan yang bagaikan tidak sabar untuk mengetahui keadaan gadis itu.

Selepas membasahkan tekak dengan air minuman yang dihidangkan, Dr. Najmi dan Dr. Farah meminta diri untuk pulang.

“Eh! Eh! Nak ke mana tu?” Soal Puan Seri Ainon apabila Zakuan melangkah ke pintu bilik tamu sebaik saja kereta pasangan doktor itu hilang dari pandangan.

“Err… nak… nak tengok dia kejap, nek!” Tangan Zakuan sudah memegang tombol pintu. Dia kebimbangan. Kalut dengan rasa bersalah.

“Apa hal nak tengok anak dara orang malam-malam ni? Dia dah tidur tu, jangan diganggu.” Tukas neneknya, tegas.

“Tapi nek, Kuan kena balik KL malam ni jugak. Kuan nak cakap dengan dia kejap,” pandangan yang merayu itu hampir membuatkan Puan Seri Ainon tersenyum tetapi dikulum sedaya mungkin. Wajah serius dipamerkan untuk cucunya yang tiba-tiba berubah tingkah itu.

“Nak cakap apa? Apa yang penting sangat tu? Farah dah suruh dia tidur, rehat. Apa-apa pun telefon dia esok pagi. Kuan kata nak balik KL kan? Elok bertolak sekarang. Esok awal pagi dah nak ke pejabat. Eh, orang Korea menepati masa, tahu?” Tempelak Puan seri Ainon lagi. Sengaja dia mahu mendera anak muda itu. Lagi pun, tak elok biarkan dia di bilik dengan seorang gadis. Apalagi gadis ayu itu sedang terbaring dengan rambut hitamnya yang lurus cantik itu terhampar di bantal. Oh, tidak! Cucunya harus dijauhkan.

Zakuan tidak jadi memulas tombol. Dia buat muka sesaat. Kemudian melangkah kembali ke sofa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Haru! Apa yang akan berlaku esok pagi? Dia bimbang kalau Wardah menceritakan apa yang berlaku pada nenek. Pasti berhambur soalan yang mesti dia jawab pada datuk dan neneknya nanti.

“Kuan, apa yang susah hati sangat ni?”

“Dia tu lah, nek! Esok awal-awal pagi, kawan-kawan dia dah nak bertolak balik ke KL. Kuan pulak dah nak balik malam ni. Entah macam mana keadaan dia esok. Kalau dia sihat, nak kena hantar balik ke chalet supaya dia boleh balik dengan kawan-kawan dia. Tapi kalau dia kena rehat lagi, mungkin Kuan kena balik sini pulak untuk jemput dia balik.” Zakuan cuba memikirkan jalan terbaik untuk tidak memberi ruang kepada nenek meluangkan masa dengan gadis itu.

“Apalah yang kamu peningkan sangat? Esok pagi, kalau dia okey, nenek hantarlah balik ke chalet tu. Kalau dia tak okey, nenek dengan datuk hantar dia balik KL bila dia dah okey nanti. Apa susahnya? Sudah, pergi balik cepat. Nanti sempat kamu tidur sejam dua sebelum ke pejabat.” Zakuan digesa supaya pulang. Puan Seri Ainon tidak mahu cucunya berlama-lama lagi di situ. Bimbang nanti dia mengambil kesempatan menjenguk anak dara di dalam bilik peraduan.

“Hmm… ya lah nek. Kuan mintak diri dulu. Lepas subuh esok, Kuan call. Nanti mintak Pak Hasyim hantarkan ke chalet ya, nek.” Zakuan sudah tidak ada jalan lain. Dia terpaksa pulang dengan hati yang sangat berat. Moga-moga tiada peluang untuk Wardah bercerita esok pagi.

Zakuan menaiki anak tangga menuju ke biliknya dan mengambil beg bagasi yang sudah siap sebelum dia ke majlis tadi. Di muka pintu utama, beg itu diserahkan pada Zali yang setia menunggu, Tangan neneknya dikucup lembut penuh kasih. Ingin dia berpesan-pesan lagi tetapi tidak pasti apa yang patut dia katakan. Akhirnya dia bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan hati yang gundah gulana. Wajah Wardah yang lesu terbaring di biliknya mengacah di ruang mata. Entah mengapa, hatinya bagaikan ingin berada di sisinya sehingga matahari menjelma.

Teringatkan Azam, dia menelefon lelaki itu dan berpesan agar mereka menunggu Wardah di chalet pagi esoknya sebelum bertolak balik kerana Wardah sudah sedarkan diri dan berehat di rumahnya untuk malam itu.

“Jangan beritahu dia lagi tentang cek itu. Jangan berbincang apa-apa lagi selagi sebelum sampai ke Kuala Lumpur. Lepas ni, kau tolong pastikan Wardah datang ke Klinik Dr. Qushairi untuk rawatan lanjut.” Pesan Zakuan bertalu-talu. Azam hanya mengiyakan tanpa banyak bicara. Tidak seperti ketika dia menelefon awal tadi. Zakuan kaget juga dengan perubahan itu tetapi dia membiarkan saja.

Azam meletakkan telefon bimbitnya kembali ke atas meja. Jam sudah menunjukkan angka dua. Dia berkira-kira samada hendak menelefon Benn dan yang lain yang sedang merisaukan Wardah. Akhirnya dia hanya mengirim pesanan melalui aplikasi grup whatsapp bahawa Wardah sudah sedarkan diri dan berehat untuk malam ini. Dia akan pulang ke Kuala Lumpur bersama mereka semua esok pagi.

Dek kerana resah memikirkan Wardah, Zakuan dan cek yang bernilai RM100,000 itu, kantuk Azam tidak juga datang-datang. Dia teramat bimbang kalau tiba-tiba Wardah menjadi ‘mainan’ Zakuan yang seterusnya. Entah bagaimana dia dapat menyelamatkan Wardah kalau itu yang terjadi. Azam sukar melelapkan mata. Puas dia berkalih ke kiri dan kanan namun fikirannya terus menerawang. Akhirnya jam berbunyi dengan suara azan Subuh berkumandang dari telefon bimbitnya. Bingkas dia bangun dan bersiap. Sugul. Riak wajahnya benar-benar sugul pagi itu.

Selepas sarapan pagi, mereka semua tertunggu-tunggu kelibat Wardah di hadapan restoran. Azam meminta yang lain supaya bergerak pulang dulu sementara dia dan Halim serta Siti Solha dan suaminya serta Benn sahaja yang menunggu Wardah. Gadis itu memang ke RPLB dengan menumpang kereta Siti Solha bersama Benn.

Benn becok bertanya itu dan ini kerana dia tidak berada di sisi Wardah ketika Puteri Gunung Ledang itu pengsan semalam. Tetapi melihatkan wajah Encik Azam yang ketat dan jawapannya hanya angguk atau geleng atau mengangkat bahu, akhirnya Benn terdiam sambil berbalas pandang dengan Chon.

Selepas lama masing-masing diam membisu menunggu Wardah, barulah Encik Azam bersuara. Dia sekadar berpesan supaya Wardah tidak ingat-ingatkan tentang kejadian semalam. Katanya lagi, Wardah sudah diperiksa oleh doktor dan dia perlu mendapatkan rawatan lanjut. Bagi menentukan dia dalam keadaan stabil, semua diminta tidak menyebut apa-apa yang boleh membuat Wardah terkejut atau murung. Dan apa yang berlaku semalam, biarkan dulu tanpa perlu diungkit-ungkit. Bimbang nanti Wardah menjadi tidak stabil semula. Kenapa dan mengapa Wardah jadi begitu semalam, tidak pula disentuh oleh Encik Azam.

Benn memandang Chon dengan pandangan tidak puas hati. Tetapi keadaan Encik Azam yang begitu tegang membuatkan dia menyimpan rasa ingin tahu itu dalam-dalam.

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 12

Salam Ramadhan Kareem buat semua.

Lamanya Juea tak berkesempatan nak update siri novel ni. Mohon ampun maaf kepada yang menunggu. Sebagai tebusannya, Juea update beberapa bab sekali gus kali ini. Moga terhibur dan mendapat manfaat.

Terasa waktu semakin suntuk sekarang, bagaikan tak pernah cukup. Apalagi bila berada di bulan Ramadhan. Sayu rasa hati sebab Ramadhan dah nak pergi. Apakah ada rezeki kita bertemu lagi?

Moga semuanya mendapat keberkatan sempena Ramadhan yang mulia ini. Juea nak minta ampun maaf atas segala kekhilafan sepanjang kita bersama di alam maya. SELAMAT MENYAMBUT EID FITR yang mulia. Moga kira dapat meraih kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Salam kasih sayang dari Juea.

BAB 12

Zakuan yang gelisah memerhati sejak tadi terperanjat apabila melihat tubuh langsing itu rebah ke lantai. Mujur Azam sempat menyambar bahunya lalu jatuh terduduk meriba kepala gadis itu. Zakuan bergegas keluar dari kereta dengan rasa hairan dan bersalah silih berganti.

“Azam?” Soalnya sepatah. Sinar matanya cemas. Dia sudah melutut di tepi tubuh Wardah yang terbaring.

“Dia pengsan, Kuan!”

“Sini!” Zakuan merangkul tubuh itu ke dalam pangkuannya tanpa melengahkan masa lagi. Gadis ini perlukan rawatan. Berdebar dadanya kalau-kalau Wardah mempunyai penyakit yang kronik. Moga dijauhkan Tuhan.

Zakuan terus membawa Wardah masuk ke dalam kereta di tempat duduk belakang. Wardah dibaringkan di kerusi dan kepalanya diriba didongakkan. Pemandunya, Zali yang sudah menunggu di pintu yang terbuka segera menutupnya dan berlari ke tempat duduk pemandu semula. Kereta terus bergerak keluar dari ruang legar dewan itu meninggalkan Azam yang berdiri terpacak dengan sekeping cek yang renyuk di tangannya bersama kakitangan KSB yang masih ada di situ, berdiri di kelilingnya dengan wajah terpinga-pinga.

Zakuan tak punya masa untuk perjelaskan keadaan. Dia harus mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Telefon bimbit didail laju.

“Dr. Najmi? Your wife ada? Dr. Farah?” Dia menghubungi pasangan doktor peribadi yang sudah seperti sahabat. Selama ini merekalah yang menguruskan hal-hal kesihatan seluruh keluarganya sejak dua puluh tahun yang lalu. Mereka yang tinggal di Taiping memang kerap datang ke rumah datuknya sejak datuk dan neneknya semakin uzur beberapa tahun yang lepas.

Salam di talian dijawab. Zakuan terus menyampaikan hajatnya. Dia mahu Wardah mendapatkan rawatan lanjut atas penyakitnya yang kerap pengsan. Mungkin suatu hari, penyakitnya itu akan mengakibatkan sesuatu yang serius seperti kecederaan otak dan sebagainya.

“She’s breathing but very slowly.” Zakuan memberitahu Dr. Farah dengan suara yang sarat dengan kebimbangan. Dr. Farhah meminta dia meninggikan kaki Wardah bukan kepalanya. Bingkas Zakuan menukar tempat duduk, dalam susah payah, dia dapat meriba kaki Wardah dan ditinggikan sedikit. Seterusnya nadi di pergelangan tangan Wardah dikira sepertimana yang diminta oleh Dr. Farhah. Jenuh juga kerana Zakuan tidak biasa melakukannya. Dua tiga kali dia mengira untuk seminit. Setiap kiraan adalah di bawah 70 denyutan. Langsung Dr. Farhah membuat keputusan untuk datang ke rumah datuk Zakuan seperti yang dipinta lelaki itu kerana keadaan Wardah memerlukan pemeriksaan lanjut.

Mereka tiba ke rumah sejurus talian diputuskan. Zakuan sekali lagi merangkul tubuh Wardah ke dalam pangkuannya dan dibawa masuk melalui pintu depan yang sudah dibuka oleh Zali. Wardah dibaringkan di bilik tamu yang luas di tingkat bawah. Zakuan meminta Zali mengambil minuman untuk Wardah sementara dia mengurusnya. Mereka bergerak dalam diam kerana tidak mahu menganggu lena datuk dan neneknya.

Zakuan melonggarkan tudung yang dipakai Wardah. Selendang kuning ditanggalkan. Zip bajunya ditarik turun. Mata nakal Zakuan yang selalunya akan mengambil kesempatan tidak langsung beraksi pada malam itu kerana dia sedang amat cemas dengan keadaan gadis itu.

Entah mengapa, bibir Zakuan terkumat-kamit berdoa. Dia menyeru nama Wardah berkali-kali. Pesan Dr. Farah, pesakit harus diperdengarkan sesuatu. Bercakap dan memanggil namanya mungkin dapat membantu.

Pergelangan tangan Wardah diraih dan beberapa kali lagi denyutan nadinya dikira. Semakin rendah dari bacaan tadi. Keringat dingin memercik di dahi Zakuan yang luas. Debar hatinya, hanya Tuhan yang tahu.

“Wardah, I’m sorry. I’m so sorry…” Rintihnya bila merasa semakin kebingungan.

Apa yang telah dia lakukan sebenarnya? Kenapa Wadah terkejut sampai begini jadinya? Bukankah sepatutnya dia melonjak kegembiraan. Zakuan sudah membayangkan yang gadis itu mungkin memeluk Azam kerana terlalu gembira bukan pengsan seperti ini. Atau memang ada orang yang boleh pengsan kerana terlalu gembira?

“Awak dapat apa yang awak nak! Kenapa mesti jadi macam ni? Tolonglah sedar, Wardah!” Zakuan jadi tidak keruan.

Jam di pergelangan tangannya dipandang entah kali yang ke berapa. Terasa detik masa bergerak terlalu perlahan. Zakuan jadi takut hendak mengira denyutan nadi Wardah lagi. Bimbang kalau turun lagi!

Zali masuk menghantar segelas air, diletakkan di atas meja tepi dalam diam. Wajah murung tuan mudanya dipandang sekilas lalu dia berlalu pergi. Cukuplah dia mendoakan dari jauh.

‘Wardah! Awak kena bangun. Awak kena buktikan pada saya yang awak jujur. Kata-kata awak jujur. Saya nak tengok kejujuran awak. Bangunlah Wardah!” Zakuan makin panik. Dr. Farah belum juga tiba. Paling cepat mereka boleh sampai dalam masa setengah jam. Taiping dengan Batu Hampar bukan dekat jaraknya.

Zakuan tiba-tiba diburu rasa sesal. Dia dihanyutkan arus prasangka tak bertepi sehingga dia sanggup menguji gadis itu sampai ke tahap ini. Keluhan dihela kasar lewat dua ulas bibirnya yang tipis. Dia tidak dapat memaafkan dirinya kalau sesuatu berlaku pada gadis itu.

Apa yang hendak dia katakan lagi kepada Wardah? Dia langsung tidak mengenalinya sebelum ini. Keyakinannya bahawa gadis ini sangat mementingkan diri terbang lenyap. Sejak dia memandang Wardah melangkah masuk ke dewan tadi hatinya berdetik, tak mungkin gadis seayu itu punya hati beku seperti yang dia sangkakan.

‘Saya ingat kata-kata Wardah suatu hari dulu. Lelaki yang mencontohi Rasulullah adalah sebaik-baik lelaki untuk dijadikan pasangan.’

Kata-kata lelaki yang menjadi pasangan Wardah malam tadi menerjah ingatannya. Itukah lelaki pilihanmu, Wardah? Itu bukan pilihan gadis yang biasa-biasa. Ah! Siapa dirimu sebenarnya?

Wajah Wardah yang terlena kelihatan pucat namun masih lembut dan ayu. Serinya seakan hilang direntap kejutan yang dicipta Zakuan.

“Assalamualaikum,” sapa satu suara dari arah pintu. Bingkas Zakuan yang duduk di kerusi di sisi katil mengadap Wardah bangun berdiri. Dr. Farhah melangkah masuk bersama Dr. Najmi.

“Waalaikumussalam doktor! Silakan…” Zakuan berjabat tangan dengan Dr. Najmi.

“Kami datang secepat yang boleh. Apa yang berlaku?” Soal Dr. Farah.

Zakuan menceritakan apa yang berlaku. Tetapi merahsiakan apa yang terkandung dalam sampul surat yang diberikan sebagai hadiah misteri itu.

“Okay. Let me see her,” pinta Dr. Farah sekaligus memberi isyarat agar mereka meninggalkan bilik itu. Zakuan mengekori Dr. Najmi dengan langkah berat. Sesaat, Dr. Farah dan Dr. Najmi saling berbalas pandang. Di fikiran mereka berlegar pertanyaan yang sama – sinar mata jejaka itu berubah menjadi suram dan nada suaranya sarat dengan rasa cemas? Benarkah gadis itu hanya seorang kakitangan baginya?

Zali sudah siap menghidangkan minuman panas dan kek coklat untuk tuan dan tetamunya. Zakuan sudah hilang selera namun sopan menjemput Dr. Najmi minum. Mereka berbual tentang perkembangan kesihatan datuk dan neneknya sementara menunggu Dr. Farah menjalankan tugasnya.

“Jangan bimbang sangat, Zakuan. Kerap pengsan bukan satu penyakit kronik. Kalau jantungnya tak ada masalah, dia cuma perlukan rawatan lanjut. Err… berapa lama dia kerap pengsan begini?” Soal Dr. Najmi seraya menduga dalamnya lautan.

“Saya… saya tak pasti. Tapi semalam berlaku juga bila dia terlampau penat. Cuma dia lebih cepat sedar. Malam ni, dia terkejut sangat agaknya. Dia nampak terlalu fragile… Are you sure that this is not serious?”

“Kerap pengsan boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Tiga faktor utamanya ialah masalah epilepsy atau sawan, masalah jantung atau mungkin juga vasagonal. Kalau err… namanya?”

Zakuan terdongak. Tertelan liur. Dia cuma tahu namanya saja. “Wardah.”

“Kalau Wardah stabil malam ini, Zakuan boleh bawa dia untuk dapatkan rawatan lanjut kemudian. Cuma yang penting, berikan ruang supaya dia dapat rehat dengan tenang.”

Tenang? Zakuan gelisah di tempat duduk sendiri. Bagaimana gadis itu akan terus bertenang kalau isu cek itu tidak diperjelaskan? Kalau dia bukan mata duitan seperti yang disangkakan, pasti isu itu menjadi masalah. Tiba-tiba rasa sesal semakin menebal dalam dirinya.

Deringan telefon bimbit mengejutkan Zakuan. Bila melihat nama pemanggil yang tertera di skrin, dia bingkas bangun seraya meminta izin untuk menjawab panggilan telefon sebentar dari Dr. Najmi. Sambil melewati pintu untuk keluar ke verandah, Zakuan menjawab panggilan dari Azam dengan rasa yang berbaur.

“Doktor dah sampai. Dia sedang diperiksa. Nanti kalau…”

“Apa tujuan kau sebenarnya, Kuan?” Tukas Azam sebelum sempat Zakuan menghabiskan ayat. Zakuan terdiam. Soalan itu melantun berkali-kali kepada dirinya.

“Kuan?” Suara Azam semakin tegang.

“Aku nak uji dia. Itu saja.” Zakuan bersuara selamba yang boleh.

‘Cek tu ada di mana? Tak ada dengan dia tadi…”

“Dengan aku. Aku simpankan. Kau perlu bagitau aku alasan yang lebih konkrit lagi sebelum dia datang jumpa aku tentang cek ni. Tapi terus-terang, aku tak nak masuk campur. Kalau dia tanya nanti, aku suruh dia jumpa kau terus…”

“Eh, jangan! Kau bagitau sajalah, itu dari syarikat. Habis cerita. Apa susahnya?” Zakuan cuba mencari jalan mudah.

“Kau ingat semudah itu ke? Kau tak kenal siapa Wardah. Aku tak kira. Kalau dia mendesak jugak, aku suruh dia cari kau.”

“Kau jangan cari fasal, Azam. Aku tak mahu dia tahu siapa yang bagi duit tu!”

“Kau atau aku yang cari fasal?”

“Sudahlah Azam. Sabarlah dulu. Aku fikirkan jalan keluar. Nanti aku call engkau balik bila Wardah dah sedar, okey?”

‘Okey. Assalamualaikum,” Azam mengalah lalu memberi salam permisi.

Zakuan menjawab salam tanpa suara. Perlahan dia mengatur langkah masuk semula ke dalam rumah dengan hati yang semakin gusar.

“Kuan…” seru satu suara, parau dan dalam. Zakuan yang baru menutup pintu terperanjat lalu berpusing.

“Nek!” Terperanjat melihat neneknya berdiri di di tengah-tengah ruang tamu membuatkan Zakuan cepat-cepat mendapatkan neneknya.

“Dr. Najmi? Kuan, ada apa?”

“Err… ada emergency, nek. Ada staf Kuan pengsan tadi. Kebetulan Kuan dalam perjalanan balik. Jadi Kuan bawak dia ke sini untuk dapatkan rawatan. Dr. Farah ada di dalam. Maaf kalau Kuan ganggu tidur nenek.” Dia memaut bahu Puan Sri Ainon supaya duduk di sofa. Dia sudah bertudung rapi. Mungkin kerana dia mendengar ada suara asing dari ruang tamu.

“Terima kasih, Dr. Najmi, susah-susah di tengah malam macam ni.” Puan Sri Ainon menyapa Dr. Najmi sambil menjeling cucunya dengan penuh spekulasi.

“Biar nek ke dalam, tengok dia…” pintanya pada Zakuan dengan pandangan yang penuh persoalan.

“Oh… okey, Nek. Tapi dia kena banyak rehat, nek. Elok jangan diganggu,” Zakuan cuba memberi alasan. Hatinya berkocak bimbang. Nenek terlalu peramah dan selalu banyak bertanya itu dan ini. Bahaya!

“Nenek tahulah, Kuan. Dah lebih makan garam. Kuan risau sangat, kenapa?” Rasa ingin tahu semakin membuak di dalam dadanya. Jarang benar melihat Zakuan begini. Lagi laju Puan Sri Ainon berjalan masuk ke bilik.

“Biar nenek saja…,” tukasnya ketika di pintu.

“Err… nek!”

Daun pintu sudah ditutup semula dengan wajah nenek yang menjeling nakal. Ah, nenek! Zakuan sudah tidak senang duduk dibuatnya.