Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 42

gilgitan

Assalamualaikum wbr…

Ramadhan al mubarak buat semua.

Buat yang menanti, Juea hadiahkan bab 42 sbg hidangan waktu istirehat selepas berbuka. buat yang tersinggah, salam perkenalan dan semoga terhibur dengan MPR.

Bab ini adalah bab yg kedua terakhir MPR bersiaran di blog ya. kesudian kalian mengikuti kisah ini amat dihargai.

Selamat menjalani ibadah berpuasa. Selamat berterawih. Moga kita menjadi ‘orang baru’ di hari raya nanti, insyaAllah.

Bab 42

Bagaikan hendak luruh jantung Puteri apabila melihat Nuqman berdiri di pintu dan memandang tepat ke arahnya. Lebih parah lagi bila dia memandang ke wajah lelaki itu. Pandangan matanya! Puteri dapat merasakan, hati lelaki itu sedang sakit terluka. Tidak pernah! Tidak pernah Puteri melihat wajah Nuqman seperti itu. Dia seperti tidak pernah dilukai sesiapapun selama ini. Tetapi hari ini…

“Abang Nuqman!” Akhirnya Ammar Bahrain bersuara. Puteri ternganga. Mereka saling mengenali?! Ya Tuhan!!

Puteri tidak betah untuk berdiri di situ lagi. Dia menongkah diri, memaksa kakinya sementara masih berdaya, melangkah laju meninggalkan dua lelaki yang sedang berebut ruang di hatinya. Airmatanya mengalir laju tanpa dapat ditahan. Hatinya hiba tidak tentu rasa dan mindanya kalut mencari jalan keluar.

Tetapi ketika melewati pintu, lengannya dipegang. Puteri terhenti melangkah tetapi hanya tunduk memandang lantai, tidak sanggup memandang mata Nuqman yang sedang terluka. Entah apa yang sedang bermain di fikiran lelaki itu? Puteri tidak sanggup berhadapan dengannya saat ini.

“Ika…”

Puteri terngadah. Serak suara Nuqman sarat dengan perasaan. Dalam kabur airmata, Puteri yang memandangnya hanya menggeleng, tidak mampu berkata apa-apa. Dia melurut tangan Nuqman dari lengannya dan pantas menghayunkan kaki meninggalkan mereka berdua.

Puteri berlari menuruni anak tangga sambil cepat-cepat mengesat airmata. Dia harus menyembunyikan perasaannya dalam keramaian ini. Suasana agak riuh dengan suara tingkah-meningkah, menceriakan acara menyarung cincin ke jari manis si gadis. Puteri pantas mengambil kesempatan melindungi wajahnya yang basah dan memerah, beraksi dengan lensa Camcodernya merakamkan gambar-gambar Maliha bersama dengan keluarganya dan keluarga Taufiq silih berganti.

Cincin belah rotan sudah tersarung. Maliha diiring keluar ke ruang tamu dan diperkenalkan kepada seorang demi seorang ahli keluarga Taufiq yang hadir. Mesra sungguh orang utara! Tidak kering gusi Maliha tersenyum dan ketawa dengan usikan mereka. Tan Sri dan Puan Sri turut sama memperkenalkan diri dan ahli keluarganya. Langsung kehilangan Ammar Bahrain disedari.

Serentak itu, pandangan mata Maliha menerjah ke wajah Puteri yang cepat-cepat tunduk memandang lantai. Dia hanya mendongak semula apabila suara riuh menyebut nama Ammar Bahrain yang muncul di kaki tangga bersama kenalan barunya, Muhammad Nuqman yang asing bagi sesiapa pun di situ. Kecuali Puteri!

Berdebar hati Puteri saat dia mencuri pandang ke wajah mereka berdua. Dan tepat sekali, dua pasang mata itu sedang memandang ke arahnya. Tidak sempat melihat riak wajah mereka, Puteri cepat-cepat mengalih pandangan, bergerak menyelinap ke belakang untuk mengelakkan diri dari menjadi tumpuan.

Meninggalkan majlis di tengah rumah, Puteri menuju ke bilik air di bahagian dapur. Lama dia di sana, menenangkan diri dan memikirkan bagaimana hendak memohon izin untuk beredar dari Maliha dan mamanya. Puteri terlalu gelisah. Jantungnya sakit kerana asyik kuat berpalu. Tentang Taufiq dan Maliha, dia akan uruskan kemudian. Moga-moga masih belum terlambat.

“Puteri…!” Tergamam Puteri sebaik saja dia melangkah keluar dari bilik air. Maliha sudah menunggu.

“Eh! Kau buat apa kat sini?” Cepat-cepat dia mengawal emosi.

“Tanya pulak! Cari kaulah! Kau okey tak?” Kedua tangannya diraih Maliha. Puteri cepat-cepat memaksa diri tersenyum. Yakin dengan wajahnya yang sudah dibersihkan dan dioles dengan bedak yang tipis, Puteri merangkul pinggang Maliha.

“Mestilah aku okey! Hari ni hari bahagia aku. Sebab tumpang bahagia dengan kau…” Pipi Maliha dicubit lembut. Dia ketawa ceria. Maliha teragak-agak tetapi ikut ketawa juga. Mereka berjalan beriringan menuju ke ruang depan semula.

“Semua orang tengah makan. Jomlah… aku nak pastikan kau makan kenyang-kenyang hari ni…”

Allah!

“Liha…! Err… aku dah kenyang sangat-sangat. Kenyang sebab bahagia…” Puteri mengenyitkan mata. Maliha ketawa. Puteri tersenyum dengan lakonan mantapnya.

“Jangan nak merepek! Orang bahagia sampai awan biru pun kena makanlah!! Jom, aku makan dengan kau sekali…”

Gelak Puteri mati. Dia mengeluh cemas. Sungguh dia tidak mampu hendak berhadapan dengan dua orang lelaki itu lagi. Dia mesti pergi!

“Alaa… Liha… aku nak sangat lepak dengan kau. Tapi aku ada janji. Takut jalan sesak nanti. Kita jumpa lagi ya. Aku nak belanja kau dengan Taufiq makan kat favorite place kita.” Idea datang tiba-tiba.

“Kau biar betul! Sampai hati datang majlis aku, kau tak sudi nak makan…”

“Eh!! Bukan macam tu. Betul, aku ada janji. Lagi pun aku happy sangat, tak rasa nak makan. Please, Liha… bagi aku balik dulu ya. Aku janji, kita jumpa lagi nanti. Aku pun tak sempat sembang dengan mama. So, kita keluar sama nanti, ya?! Please…!” Maliha memerhati wajahnya dalam-dalam seperti mencari sesuatu. Terkelip-kelip mata Puteri sambil buat muka untuk meraih simpati. Maliha mengeluh. Akhirnya dia mengangguk dan mengalah kerana dia tahu, pasti ada sesuatu yang berlaku.

“Thank you, Liha. Kau memang faham aku. Kirim salam kat mama, ya. Nanti kita jumpa lagi…” Puteri memeluk tubuh gadis itu seerat yang mungkin, memantri janji.

“Janji!”

“Aku janji!! InsyaAllah…!” Sebuah ciuman tahniah singgah di pipi. Kemudian mereka saling berpandangan. Cukup hanya dengan pandangan mata, masing-masing melahirkan rasa sayang yang teramat dalam dari hati. Kemudian, Puteri melangkah pergi tanpa menoleh ke belakang lagi. Jangan ada airmata yang menitis lagi.

Sebaik sahaja dia duduk di tempat duduk pemandu, Puteri menghela nafas lega. Dadanya masih berombak kerana penat berjalan terlalu laju. Dia mahu cepat sampai ke keretanya. Enjin kereta dihidupkan dan dia memutar stering, memandu Honda Jazz CKD putih tafetta miliknya bergerak perlahan menghala ke jalan besar. Tiba-tiba seorang lelaki melintas di hadapannya membuatkan dia kelam-kabut menekan brek. Serentak itu, pintu di sebelah kiri kereta dibuka dan lelaki itu masuk lalu duduk di sebelahnya.

Nafas Puteri terhenti.

“Nuqman!!”

“Jalan terus…” Arah lelaki itu sambil menutup pintu. Puteri meneguk liur yang terasa kesat. Dada yang baru reda kini berombak kencang semula.

Terketar-ketar jemarinya memaut stering sekuat hati. Nuqman diam seribu bahasa sejak tadi. Akukah yang patut mulakan? Hendak mulakan dari mana? Panjang sangat ceritanya… aduhh!!

“Berhenti di depan tu…” Tersentak Puteri dibuatnya. Tiba-tiba asyik memberi arahan saja… Nuqman tidak pernah begini. Hati Puteri semakin berdetak cemas. Lampu isyarat diberikan dan perlahan-lahan dia membelok sedikit ke kiri, ada ruang yang besar sebelum masuk ke sebuah kawasan perumahan yang dia sendiri tidak tahu apa namanya. Puteri tidak begitu biasa dengan kawasan itu.

“So, is that it?!” Sergah Nuqman. Puteri terpinga-pinga. Pantang dia dibentak-bentak begitu.

“Is what it?!”

Puteri menoleh memandang tepat ke arah Nuqman tetapi lelaki itu masih tidak mahu memandangnya. Wajahnya sukar dibaca.

“Awak tangguhkan majlis kita sebab dia?! Is that it? Awak masih harapkan dia? In case he comes back, you’ll have the second chance and it is not too late sebab kita belum betul-betul jadi suami isteri? Is that it?!” Tembak Nuqman bertubi-tubi. Kali ini dia memandang tepat ke arah Puteri yang terkejut dan tergamam. Wajah mereka dekat sekali. Dalam keadaan seperti itu di dalam kereta, Puteri memang terperangkap.

“Saya tanya awak, Puteri Zulaikha! Is that it??!” Sergah Nuqman, semakin kuat kali ini. Bergetar seluruh hati dan jantungnya.

“No! No…! That is NOT it!” Kepala Puteri tergeleng-geleng. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. Tuhan, tolonglah!!

“Then, what?!” Sergah Nuqman lagi. Puteri terdiam. Nafasnya tersekat-sekat. Hanya terngadah memandang Nuqman yang jelas sedang berusaha menahan diri dari melampiaskan amarahnya. Dia marah sungguh?!

“What is NOT it, Puteri Zulaikha?!” Dia sungguh-sungguh tidak puas hati. Puteri semakin pening. Soalan itu kedengaran amat mudah. Tetapi mengapa dia hilang punca untuk menjawabnya?

“I-I didn’t expect a second chance…” Suara Puteri halus berdesir. Did I?!

“Because you didn’t expect that he would come back…?” Sinis sungguh kata-kata Nuqman kali ini.

“That’s enough, Nuqman!”

“Then tell me what are those tears are for, Ika?! Tell me…”

“Tears…?” Ulang Puteri perlahan. Betulkah sangkaan Nuqman? Puteri sendiri tidak tahu. Apa ertinya tangisan tadi? Kenapa dia terlalu sebak dan hiba? Kerana dia tidak akan dapat bersama dengan Ammar lagi… kerana dia sudah terikat dengan Nuqman?! Itukah yang membuatkan Nuqman sakit hati dan marah?! Itukah… oh Tuhan!!

“Sa-saya tak pernah harapkan peluang kedua. That is NOT it, Nuqman! Those tears… for everything. Semuanya dah berakhir. Impian tu dah berakhir… saya tak mahu apa-apa lagi…” Polos wajahnya mengadap Nuqman dengan kolam mata yang sudah bergenang air jernih. Suaranya hampir hilang di situ. Benar. Itulah kenyataannya. Hari ini, semua impian itu sudah berakhir. Total.

Tersentuh dengan wajah dan kata-kata itu, Nuqman berpaling memandang ke hadapan. Tidak sanggup melihat airmata itu jatuh lagi. Tetapi dia keliru. Sekarang, dia semakin keliru.

“Then, why?”

Puteri terngadah lagi.

“Why – What?”

“Kenapa awak tolak saya? Kenapa awak masih nak elakkan diri? Kenapa, Ika?” Kesabarannya semakin tipis. Entah kenapa, dia rasa dirinya dipermainkan sungguh.

“Se-sebab saya tak percayakan lelaki. Saya dah tak percaya dengan perkahwinan…” That is it! Puteri sudah tidak larat hendak berselindung lagi. Perlahan Nuqman berpusing mengadapnya.

“Maksud Ika?”

“I saw too many cases… banyak sangat rumahtangga musnah sebab lelaki… perempuan yang rosak kerana lelaki. Saya-saya dah tak yakin lagi…”

“I don’t believe this! Awak hukum saya kerana lelaki-lelaki tu? Awak hukum saya sebelum saya buat apa-apa kesalahan pun?!”

Puteri terkedu.

“Apa pula hukuman untuk perempuan-perempuan yang derhaka dengan mak ayah kerana nak hidup bebas? Sampai ada yang melacurkan diri! Perempuan yang sanggup lari tinggalkan anak dan suami kerana tak sanggup hidup susah? Perempuan yang menuntut itu dan ini, diluar kemampuan suami? Perempuan yang ingkar, tak taat dengan perintah suami? Perempuan yang sanggup rosakkan rumahtangga perempuan lain kerana lelaki ataupun hartanya? Macammana awak nak hukum mereka? Atau awak sangka semua perempuan di dunia ni baik hati dan mulia?”

Puteri bagaikan dihentak-hentak kepalanya.

“Lelaki-lelaki jahat yang awak tengok tu, hidup bebas bahagia ke? Mereka tak dihukum? Oh, maksud awak, tak adil sebab mereka bebas dari hukuman mahkamah. Jadi lelaki senang-lenang nak musnahkan hidup perempuan. Itu semua tak adil, kan? Bagi awak, Allah tak ada? Allah tak adil? Allah tak mampu nak hukum lelaki-lelaki tu? Awak pasti setiap kesalahan lelaki tu tak dibalas Allah?! Apa, hukuman dari manusia lebih hebat dari hukuman Allah? Fikir jauh, Zulaika!”

Zulaikha?! Dia pasti sedang amat marah. Kata-katanya bukan rahsia. Tetapi kenapa aku tak pernah memikirkannya?! Puteri semakin sesak tertekan dengan persoalan bertubi-tubi dari Nuqman. Nuqman yang selama ini lembut memujuk…

“Awak tengok kes keruntuhan rumahtangga tapi awak tak tengok pulak berapa banyak kes rumahtangga yang bahagia? Kalau ada seribu kes rumahtangga musnah disebabkan lelaki, mungkin ada tiga ratus kes yang sama tapi disebabkan perempuan. Awak dah kaji semua tu? Awak pasti saya dan awak akan musnah kalau hidup bersama? Awak dah tahu hala tuju hidup kita? Dah agak ke syurga atau neraka?”

Puteri terhenyak di tempat duduknya. Nuqman menghela nafas yang panjang.

“Saya sayangkan awak, Puteri Zulaikha. Sungguh, saya sayangkan awak. Saya bersyukur dengan jodoh yang Allah datangkan untuk saya. Tapi, memang betul saya tak sempurna. Saya ada kelemahan. Kalau kesempurnaan yang awak mahukan, hanya Allah yang Maha Sempurna.”

Puteri tertunduk, terharu mendengarnya. Airmatanya mula jatuh. Setitis demi setitis. Pengakuan yang tiba-tiba datang tanpa diduga itu amat menyentuh hati perempuannya. Apa yang telah aku lakukan, ya Allah?

“Puas saya cari sebab kenapa awak berdolak-dalik. Awak macam menolak hubungan ni. Rupanya saya harus bayar kesalahan semua lelaki dalam dunia ni!!” Puteri tersentak. Sampai begitu sekali yang dia rasakan?!

“Awak tahu tak, Ika? Kita mungkin boleh buat sesuka hati dengan perkahwinan ni. Macam dah jadi budaya dalam masyarakat kita sekarang. Isteri menolak suami kalau dia bukan pilihan hati. Suami abaikan isteri kalau tak kena dengan hatinya. Kalau bawah satu bumbung pun, hidup asing-asing. Kita boleh buat semua tu, Ika. Tapi apa yang kita nak jawab dengan Tuhan?

“Tapi saya rasa awak tak kisah pun tentang tu. Saya tak rasa awak nampak peranan Tuhan dalam hidup awak…”

Nuqman terdiam lama. Puteri semakin terkejut dengan kata-kata yang dilontarkannya. Sejauh itukah aku?! Sungguh dia tidak terkata.

“Saya boleh bersabar, berlapang dada dengan apa pun tindakan awak, Zulaikha. Kalau saya marah pun, tak ada maknanya bagi awak. Tapi macamana kalau Allah murka? Awak tak pernah fikir tentang perintah Allah kepada isteri? Awak tak pernah cari kenapa Allah perintahkan isteri supaya taat kepada suami selagi dalam syariat-Nya? Apa hukuman Allah kalau isteri menolak keinginan suaminya? Kalau dia meletakkan maruah suami di kakinya?! Sama jugak dengan suami, apa pulak hukuman Allah kalau suami abaikan tanggungjawabnya?

“Apa untungnya isteri yang hanya taat suami, layan suami macam raja bila hatinya dah cintakan suami? Kalau hati tak cinta, tidur asing-asing, bawak haluan sendiri-sendiri. Sebab belum serasi? Sebab kasih belum bercambah dalam hati? Eh, perintah Allah boleh patuh dan boleh tidak? Perintah Allah supaya isteri taat tu ada syarat ke? Syaratnya bila cinta dah berputik? Macammana bila cinta pudar? Derhaka? Habis tu, Allah di mana sebenarnya?

“Awak hanya boleh risaukan tu semua kalau benar awak ada Allah dalam diri, Zulaika…!”

Nuqman diam lama di situ. Puteri sudah teresak-esak menangis. Tidak ada satu pun antara hujah-hujah itu dapat dipatahkannya. Malah semuanya menikam diri sendiri.

“Drive home safely. Saya call rumah dalam dua puluh minit lagi. Pastikan awak sampai rumah bila saya call.”

Puteri terdongak dengan muka yang basah. Tetapi Nuqman sudah membuka pintu dan melangkah keluar. Belum sempat Puteri memanggil namanya, dia sudah menutup pintu.

“Nuqman!!” Kenapa Puteri merasakan seolah-olah pintu hati lelaki itu juga sudah tertutup untuknya?!

NOTA: E-book MAKNA PADA RASA, Sila hubungi azuraabd@hotmail.com @ whatsapp 011-12541676.

Salam sayang!

Advertisements

Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 41

tanda pertunangan

Salam Ramadhan…

Jom santai sekejap dengan Puteri sementara tunggu waktu berbuka ya… moga kisah ini tak melalaikan kalian…

Bab 41

Maliha dibawa ke bilik tamu di tingkat bawah yang sudah dihias cantik. Mudah bagi ibu bakal tunangannya datang menyarung cincin nanti, kata Puan Sri Khadijah. Tidak ramai di dalam bilik itu, hanya Maliha dan Puteri serta beberapa orang saudara perempuannya yang tinggal untuk menemani Maliha. Sementara mama dan papanya serta ahli keluarga yang lain berada di luar rumah menyambut kedatangan rombongan keluarg Taufiq.

“Liha, ada special guest…,” Tiba-tiba Ammar muncul lagi di muka pintu bilik yang sedia terbuka. Seorang wanita muda melewati Ammar berjalan sopan masuk ke dalam kamar. Ammar ikut masuk mendekati Maliha dan Puteri yang sudah berdiri bagi menghormati tetamu dari bumi asing itu.

“Assalamualaikum…,” salam dihulurkan kepada semua yang ada di dalam bilik itu dengan senyuman manis. Maliha bangun menyambutnya, bersalaman dan berpelukan.

“Haida from Bosnia. Haida, this is my darling sister, Maliha and Puteri Zulaikha, her closest friend…” Pandangan mata Ammar dan Puteri bersabung. Puteri cepat-cepat mengalihkan pandangan lalu bersalaman dan berpelukan dengan Haida yang cantik dengan kulitnya putih kemerah-merahan itu. Kekasih baru? Hati Puteri meneka dalam debar.

“Haida isteri Fuad Abdullah, my friend from Jeddah. I met them in Washington last month. Our close friend, Uzair Suleiman from Abu Dhabi is here too. They are exploring parts of Asia and today, they would like to experience a malay tradition of engagement ceremony especially Haida… right, Haida?”

“Yes, we are so lucky to be here and learn more about Malay moslems culture. Thank you so much for having us here, today. I hope we are not interupting the ceremony…,” lembut tuturkata Haida yang tidak lekang dengan senyuman.

“Oh no! It’s great to have you guys here especially today. Guests bring along the barakah, right? Thank you for coming. Come and sit with us…,” tukas Maliha, penuh mesra.

“Fuad is outside taking video, covering the whole ceremony with the help of my friends. So, I should leave Haida with you guys now…” Dengan senyuman manis, Ammar memperkenalkan wanita muda itu kepada mereka. Dan dengan senyuman manis juga terutama kepada Puteri, dia memohon diri lalu keluar dari bilik itu meninggalkan Haida bersama mereka. Senyuman manis yang melekat di kepala Puteri agak lama.

Puteri mempelawa Haida duduk bersama mereka, bersimpuh di atas permaidani baldu mengelilingi Maliha yang duduk di atas kusyen tebal berbalut kain baldu berwarna merah hati bertekat benang emas, seni warisan melayu lama terutama bagi yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak seperti Puan Sri Khadijah.

Di luar kedengaran suara riuh rendah menyambut kehadiran tetamu yang sudah tiba. Maliha tersenyum-senyum penuh debar. Sepupu dan ibu saudaranya pula mengusik dan bertanyakan tentang Taufiq. Maliha tergelak-gelak melihat mereka terhendap-hendap dari tepi pintu untuk melihat sekiranya Taufiq turut hadir dalam majlis itu. Bila ditanya Puteri, Maliha menggelengkan kepala. Dia benar-benar tidak tahu samada Taufiq akan hadir atau tidak.

Puan Sri Khadijah muncul lagi di muka pintu. Dia meminta Puteri tolong bawakan sirih junjung yang tertinggal di meja sisi di bilik itu. Bingkas Puteri bangun mengambilnya lalu membawa keluar. Dia mengambil kesempatan itu untuk meninjau kalau-kalau Taufiq hadir sama bersama keluarganya yang ramai itu. Setelah meletakkan sirih junjung dihadapan sekali di antara dua pihak yang bakal mengadakan perbincangan sebentar lagi, Puteri mengundurkan diri ke bilik semula sambil matanya mencari-cari kelibat Taufiq.

“Oppss…! Maaf…,” Dia terlanggar seseorang lalu terdongak.

“Puteri cari siapa?” Ammar Bahrain!!

“Hurmm… err… Tau-Taufiq…,” jawabnya gugup. Langsung dia berpaling dan melangkah ke arah bilik.

‘Nanti!” Lengannya dipaut. Terbeliak mata Puteri dibuatnya. Berani dia sentuh aku?!! Nasib baik berlapik. Seolah-olah mendengar suara hati Puteri, tangan Ammar segera melepaskan lengan gadis itu. Saat itu juga, sepasang mata merenung tajam ke arah mereka. Raut wajahnya jelas terkejut namun dia diam membatu diri.

“Taufiq ada di luar. Puteri nak jumpa dia? Jom kita keluar…,” pelawa Ammar penuh harap. Puteri menelan liur. Ini peluang keemasan untuk bertanya terus-terang dengan Taufiq. Jika tidak, bila lagi? Mudahkah untuk dia bertemu dengan Taufiq lagi selepas ini? Hatinya berbelah-bagi. Akhirnya dia mengalah. Taufiq mesti ditemui. Dia menukar haluan, melangkah ke arah pintu masuk tanpa mempedulikan si Ammar Bahrain.

Majlis sudah bermula. Wakil keluarga Taufiq sedang membuka bicara bagi memulakan majlis. Semua orang sedang memberi perhatian kepada majlis yang sedang berlangsung. Puteri mengambil kesempatan itu, menyelit keluar dengan harapan tidak ada orang yang sedar tentang pergerakannya. Ammar mengikutnya dari belakang. Ahh! Susah kalau begini, bentak hati Puteri.

Taufiq segak berbaju melayu biru laut, bersongkok hitam lengkap dengan sampinnya, duduk di bangku batu mengadap kolam renang. Dia ditemani dua orang saudara lelakinya. Puteri berjalan mendekati mereka dengan agak laju kerana mahu mengelak dari Ammar yang mahu menyainginya. Dia tidak akan mempedulikan lelaki itu walau apapun yang dia cuba lakukan.

“Assalamualaikum…,” sapa Puteri agak kuat untuk membuat kejutan kepada Taufiq. Serentak itu, dia menoleh. Dahinya berkerut sambil melangkah merapati Puteri. Wajahnya jelas seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Puteri juga ikut berkerut mukanya, memandang pelik ke arah Taufiq. Ada kelainan yang sangat ketara pada lelaki itu.

“Fiq! Ni akulah! Puteri!” Tidak mungkin dia sudah tidak mengenalinya!

“Ya Allah! Subhanallah! Puteri… lainnya kau! Maaf, aku ingatkan siapa tadi. Kau apa khabar?!” Nada gembira dan terharu jelas dalam suaranya. Tidak pula Maliha menyebut apa-apa tentang kehadiran Puteri hari ini. Malah Maliha masih bersedih waktu kali terakhir mereka berbalas pesanan ringkas kelmarin. Setelah sekian lama, tiba-tiba Puteri muncul juga akhirnya. Dan yang lebih menggembirakan adalah kerana hari itu adalah hari bahagia dia dan Maliha Affiah. Puteri tidak dapat menahan senyuman. Dia juga amat rindu dengan Taufiq. Rindu bercampur cemas dengan perubahan Taufiq.

“Alhamdulillah. Tahniah, Fiq! Aku tumpang bahagia…,” kata-kata Puteri hilang di situ. Tiba-tiba dia rasa sesuatu perlu dilakukan. Hubungan Taufiq dan Maliha perlu ditangguh sebelum disatukan. Tetapi bagaimana? Majlis sedang berlangsung! Taufiq pula hanya ketawa ceria, menambah debar di hati Puteri.

“Eh… aku tak nak kau tumpang-tumpang bahagia. Aku nak kau jugak bahagia. Kau tengok siapa di belakang kau tu. Dia dah insaf, dah bertaubat. Dia dah sedar langit tu tinggi atau rendah…,” Tukas Taufiq, selamba dan teramat sinis. Puteri terdiam. Terpaku. Baru dia teringat yang ada kehadiran orang ketiga di antara mereka. Namun dia tidak mampu untuk berpaling.

“Betul kata Taufiq tu, Puteri…,” lembut suara Ammar yang datang berdiri dekat di sisinya. Puteri tunduk memaku pandangan di lantai berjubin itu. Dadanya berkocak hebat. Bukan ini yang dia mahu! Kenapa menganggunya di saat dia sedang memikirkan sesuatu yang sangat penting!

“Puteri, saya tak tahu macammana nak mulakan. Saya memang bersalah sangat-sangat. Saya berdosa! Saya tahu bukan mudah untuk awak maafkan saya. Tapi tolong bagi saya peluang…”

“Fiq, aku ada hal nak jumpa kau. Nanti aku ambik nombor handphone kau dengan Maliha. Tak sesuai nak bercakap di sini. Aku masuk dulu!” Puteri tiba-tiba bersuara tegas, mengejutkan Taufiq dan Ammar serentak. Kata-kata Ammar langsung tidak dipedulikannya. Wajah yang lembut tadi berubah tegang. Taufiq menelan liur. Ammar juga terjeda. Puteri kalau sudah marah…

“Oo-ok, Puteri. Call aku. Anytime!” Taufiq segera bersuara. Puteri sudahpun berpaling. Perlukah dia merayu Puteri bagi pihak Ammar? Kenapa wajah itu berubah tegang? Puteri masih berdendam?

“Puteri! Nanti! Please Puteri…,” Ammar segera berlari mendapatkan Puteri yang sudah berjalan laju ke muka pintu. Panggilan Ammar tidak dipedulikan. Puteri melangkah masuk dan menyelinap ke bilik di mana Maliha sedang menunggu. Ammar tersandar hampa di bingkai pintu. Sepasang mata tadi masih merenung tajam menyaksikan drama ‘hidup’ di depan matanya.

Riak wajah Puteri saat masuk ke bilik menghentikan perbualan Maliha dan Haida. Wajah itu membuatkan Maliha menjadi gusar. Walaupun Puteri kini tersenyum sambil melabuhkan punggung di sisinya, Maliha masih tidak sedap hati. Ada sesuatu yang berlakukah di luar sana?

“Taufiq ada di luar…,” Puteri bersuara tanpa nada. Yong yang duduk di sebelah terdengar kata-kata Puteri langsung berbisik-bisik di antara mereka yang lain. Masing-masing mula memandang-mandang Maliha dengan senyuman mengusik membuatkan Maliha tertunduk-tunduk melindungi rasa malu. Memang majlis pertunangan ini menjadi kejutan bagi ahli keluarga di sebelah mama dan papanya kerana mereka tidak pernah tahu yang Maliha ada teman lelaki sebelum ini. Tiba-tiba pula hendak bertunang. Jadi masing-masing tertanya-tanya siapakan jejaka bertuah pilihan hati Maliha.

Puteri gelisah di tempat duduknya. Melihat Taufiq dengan mata kepalanya sendiri, dia semakin bimbang tentang penglibatan Taufiq dengan kumpulan militan seperti yang dikatakan. Berjanggut seciput, berjambang dan bermisai tipis, Taufiq kelihatan lebih matang dari usianya dan kelihatan agak ‘buas’. Kalau dia tidak tahu dengan penglibatan Taufiq, pasti dia mengatakan jejaka itu sangat terserlah kelelakiannya. Gantang gitu! Tetapi bila mengetahui sisi lain Taufiq, dia dapat merasakan sifat ‘buas’ itu ada dalam dirinya. Langsung hati menjadi teramat bimbang – bimbangkan Taufiq, lebih-lebih lagi Maliha!

Seorang anak gadis sunti bergaun kembang muncul pula di pintu. “Kak Liha, diaorang dah nak masuk. Mak Ngah mintak Kak Liha bersedia, ya!”

Terkelip-kelip mata Maliha mendengarnya. Tangannya mencari jemari Puteri, meramas cemas. Puteri amat faham dan tangan Maliha digenggam kuat, memberinya kekuatan. Yong dan ibu saudara Maliha segera mendekati gadis itu, membetulkan duduk letak pakaiannya dan selendang panjang yang membaluti tudung sutera putih permata yang melilit di kepala Maliha. Puteri pula teringatkan sesuatu.

“Liha! Camcoder aku! Eh, aku naik kejap ya…,” bingkas Puteri bangun meluru ke luar bilik sebelum wakil keluarga Taufiq masuk untuk menyarung cincin pertunangan di jari manis Maliha. Ahh! Detik kemuncak bakal berlangsung, Camcoder pula tidak ada di tangan! Puteri mengutuk kecuaian dirinya sambil berlari ke tingkat atas. Cemas bergayut di tangkai hatinya kalau Camcoder itu hilang!

Pintu bilik itu tertutup rapat. Puteri mengetuk pintu terlebih dahulu. Tidak ada jawapan. Pasti tidak ada sesiapa di dalam. Dia membuka pintu yang tidak berkunci dan Camcodernya kelihatan masih di katil membuatkan dia menghela nafas lega. Laju dia melangkah masuk, mencapai Camcoder dan beg Camcoder yang terbiar di lantai dan berpusing lalu melangkah ke pintu. Dia tidak mahu ketinggalan untuk mengambil gambar Maliha disarung cincin.

“Puteri…” Langkahnya mati. Ammar Bahrain tercegat berdiri di tengah-tengah bilik! Darah menyirap ke muka Puteri. Berani sungguh dia! Mujur pintu tidak tertutup rapat, terbuka hanya beberapa inci sahaja. Puteri menelan liur. Kalau diikutkan hatinya, mahu dilayangkan tendangan padu yang tepat ke muka lelaki itu tetapi memikirkan itu akan menjadi isu dan dia pula menjadi tetamu di rumah itu, maka impian itu disimpan jauh-jauh. Sambil menarik nafas panjang, Puteri melangkah tanpa memandang ke arahnya dan melencong ke kiri bilik untuk mengelakkannya.

Tindakan Ammar menghalang langkahnya dengan tiba-tiba membuatkan dia hampir terlanggar tubuh lelaki itu sekali lagi. Puteri mencerlungkan mata bundarnya. Mereka berdiri saling bertentangan muka yang hanya tiga inci saja jaraknya. Ammar benar-benar menguji kesabarannya.

“Awak tolonglah! Saya nak ambil gambar Liha!” Desis suara Puteri menahan marah. Ammar memandangnya dalam dengan wajah sedih.

“Saya minta maaf, Puteri. Saya terpaksa buat macam ni. Saya takut nanti tak ada peluang lagi nak cakap dengan awak. Kawan saya ada, jangan risau pasal gambar. We need to talk. Sekejap je, Puteri… please!” Ammar memang terdesak. Bagaimana kalau Puteri mengelak lagi selepas ini? Bukan mudah kalau dia memilih untuk menghindarkan diri.

Puteri menghela nafas dengan kasar. Dia memaksa diri mengalah, mengundur ke belakang supaya mereka tidak terlalu dekat. Namun untuk memenuhi permintaan Ammar, tidak sekali!

“Saya datang sebab Liha. Sebab mama. That’s all. There’s nothing to talk about!” Sampai di situ, Puteri melangkah laju, tekad untuk merempuh saja kalau dia dihalang. Cincin sudah pasti tersarung ke jari Liha waktu ini!

“No, Puteri!” Langkahnya dipintas lagi. Puteri hampir terdorong ke dada Ammar. Mata membulat kerana terlalu terkejut. Berani sungguh…

“I deserve a second chance. I made mistake, yes! But I’m just human…,” bahu Puteri dipegang kemas. Ammar tegas membela diri. Cuba menyedarkannya tentang hakikat itu. Puteri yang terkaku tersedar bila dirinya disentuh. Pantas lengan itu diraih keras dari bahunya. Dia mengundur sekali lagi, menarik nafas menahan emosi daripada meledak.

“You know what? I’m just human too. I just can’t forgive and forget. But I want to move on. Jadi, jangan halang saya lagi. Jangan muncul di depan saya lagi!” Bentak Puteri, keras.

“You can’t forgive and forget because you care too deep, Puteri! What we had… it means a lot to you too…” Nadanya berubah, berkeyakinan. Dia mara selangkah, memaksa Puteri mengundur selangkah. Kata-katanya seperti sembilu yang menghiris dalam. ‘What we had…’, sepasang mata Puteri terpejam mendengarnya.

“Saya sungguh-sungguh minta maaf. Jiwa saya tak tenang tanpa awak. Saya nak tebus dosa… Kali ni, saya bukan nak berkawan atau berkasih, Puteri. Saya nak awak jadi isteri saya, jadi menantu dalam rumah ni. Saya, mama, Liha… kami sayang awak. Saya sayang awak. Saya perlukan awak! Please…” Ammar meluahkan isihatinya. Puteri terkejut, tidak menyangka sampai begitu sekali kemahuan Ammar Bahrain! Kata-katanya, nada suaranya… menyentuh! Dia tertunduk ke lantai, jenuh menahan airmata dari jatuh ke pipi. Puaskah hatinya mendengar itu semua? Benarkah bukan hanya dia yang menderita? Tuhan itu Maha Adil…

‘Lelaki memang tak sempurna. Kami cuma hamba Allah…’ Kata-kata itu menerjah akalnya. Nuqman…!

“Saya buta, ikutkan ego… saya insaf, Puteri. Kasih sayang awak… saya takkan dapat gantinya… saya bukan saja nak jadi suami awak, saya juga nak beri awak seorang ibu, seorang kakak, yang sayang awak sangat-sangat…” Ammar sebak dihujung katanya. Dia tunduk meraup wajah sendiri. Tolonglah hamba-Mu, ya Allah…

Kali ini airmata Puteri gugur juga. Seorang suami, seorang ibu dan seorang kakak… itulah impiannya selama ini. Impian yang hancur… tetapi sekarang sudah terlewat untuk dibina kembali.

‘Ika dari golongan perempuan yang cerdik. Ika takkan letakkan harapan pada lelaki yang tak sempurna macam saya, tapi kepada Allah.’ Ya! Aku takkan salah mengharap lagi…

“Puteri…”

“Hah!” Puteri terngadah.

“Tolonglah terima saya sekali lagi…” Suaranya lirih. Matanya berkaca. Benteng pertahanan Puteri pecah melihat itu semua. Hatinya melimpah simpati.

“Sa-saya maafkan awak, Ammar…,” bergetar suaranya berbisik. Luhur dari hati. Benar… dia juga menginsafi diri. Ammar hanya lelaki yang tidak sempurna seperti aku…

Terpejam mata Ammar mendengarnya. Dia menelan sebak. Hanya Tuhan yang tahu betapa leganya dia dengan kemaafan itu. Kemudian dia membuka mata dan menarik nafas baru. “Terima kasih, Puteri. Terima kasih! Saya yakin… saya memang yakin, kita akan hidup bahagia…”

“Tak…! Saya tak boleh…!” Serentak itu, dia menekup mulut. Menahan sedu tangis yang tiba-tiba datang. Dia tidak sanggup mendengar kata-kata Ammar seterusnya. Kepalanya digeleng-geleng laju. Pandangan mata mereka bertaut lama. Airmata Puteri berlinangan.

“But-but… why?”

“Be-because…” Suaranya terputus di situ. Dia tidak mampu berkata. Kepalanya digeleng lagi. Tersayat hatinya melihat pandangan mata Ammar yang tertanya-tanya.

“Because she’s mine!”

Ammar dan Puteri serentak memandang ke arah pintu. Dan Nuqman berdiri di sana sambil memegang tombol di pintu yang kini terbuka luas.

p/s: Selamat Berpuasa! Moga semakin bertaut kasih sayang antara sesama berkat Ramadhan kali ini… Tunggu 2 bab terakhir yang akan disiarkan di blog ni ya!

RAMADHAN DAN AKU

Walau sakit , walau payah... akan aku terus melangkah menuju-Mu...
Walau sakit , walau payah… akan aku terus melangkah menuju-Mu…

RAMADHAN DAN AKU
Juea Abdullah

“Kita gi terawih kat masjid malam ni? Berkat tau… Malam pertama Ramadhan!”

Mataku terbeliak tidak percaya. Kutoleh ke kiri dan kananku, ternyata hanya ada aku di situ bersama Adawiyah. Teman serumah baruku.

“Errr… Wiyah! Cuba kau tengok aku ni betul-betul! Kau nampak tak ni?! Briefcase seberat hampir dua kilogram itu kuangkat ke mukanya.

“I’m a busy woman, okay! Nak jemput kau hari ni pun dah kira bertuah. Tu pun sebab aku dapat lari dari bertembung dengan boss aku tadi. Kalau tak, haa… berbarislah kau tunggu bas, ya!” Hisshh… biar betul perempuan ni! Getus hatiku, jengkel. Bukan dia tak nampak aku asyik balik lewat setiap hari.

Adawiyah tertawa kecil sambil masuk ke kereta. Suara tawa manjanya menambahkan lagi panas hatiku. Jelingan aku yang setajam itu pun tidak langsung mengusik hatinya. Boleh tertawa kecil lagi?!

“Wiyah memang kesian tengok Nani. Sibuk memanjang. Sampai masa untuk diri sendiri pun tak ada…”

“Tau pun engkau!” Pantas aku memintas. Wajahku yang tadi tegang menjadi kendur dan aku memandang terus ke hadapan, kononnya memberi fokus kepada pemanduan. Hakikatnya aku melindungi sesuatu yang melintas di hati… yang membuatkan aku diserang rasa bersalah.

Tak ada masa untuk diri sendiri?! Biar benar, Nani! Hatiku mula berkata-kata dan itu yang membuat aku tak selesa. Bila hatiku mula berkata-kata… selalunya kata hatiku bukan mengikut kehendak aku lagi. Kata hatikulah yang begitu berani mengutuk diri aku sendiri. Kalaulah aku boleh diamkan saja kata hati ini…

Hmm… malam kelmarin, engkau sempat je keluar dengan Amin, nak cari baju raya yang sedondon, kononnya! Sedangkan puasa pun belum! Boleh pulak kau tinggalkan kerja yang bertimbun tu! Tapi kalau terawih…

Ahh! Diamlah!! Aku mula bengang dengan diri sendiri. Aku jeling lagi ke sebelah. Adawiyah tersandar tenang di tempat duduk.

“Tak apa, Nani… Wiyah faham macammana busynya Nani tu. Don’t worry. Wiyah memang seronok kalau berbuka dan berterawih di masjid. Dah dari kecik macam tu. Lagipun rumah kita dekat je dengan masjid. Nanti kalau ada masa, Nani bolehlah joint sekali…” Lembut suara Adawiyah seolah-olah memujuk. Menambahkan lagi rasa bersalah dalam diriku.

“Hmm…” Aku tersenyum kelat.

“Tapi bulan Ramadhan ni, kalau balik kerja tu, selalu sesak sikit, Wiyah. Biasalah… Dari Phileo Damansara ni, jalan berganda sesaknya.”

“Memang kawan-kawan kat office dah bagitau. Sebab tu Wiyah awal-awal lagi buat surat permohonan. Wiyah minta nak balik awal setengah jam dari biasa. Potong gaji pun tak apa. Tapi, baik pulak boss tu walaupun dia bukan Islam. Dia kata, dia suka tengok Wiyah amalkan cara hidup Islam. Ada disiplin, kerja pun teratur, selesai… jadi dia bagi Wiyah balik awal tapi dia kata cuba masuk kerja lebih awal sikit, tak payah potong gaji.”

“Amboi! Bertuahnya awak!” Aku tumpang gembira.

“Eh, yang lain tu tak jealous ke?”

“Kat department Wiyah, tak ramai Melayu. Lagipun mereka kerja tak tentu masa. Jadi mereka tak kisah sangat.”

“Hmm… boss aku ni Melayu Islam tapi bukannya mudah nak bawa berbincang!” Aku memberi alasan.

Ya Allah! Buruknya perangai! Nak letak kesalahan pada orang lain pulak! Sedangkan aku tak pernah bawa berbincang pun nak minta balik awal dengan majikanku kerana nak berbuka dan solat Terawih di masjid. Nak balik awal sebab tak larat, letih sebab puasa… adalah sangat!

Shut up! Aku mengutuk diri sendiri dan terus memandu.

“Hmm… memang tak ramai orang yang faham, Nani. Bulan Ramadhan ni berharga sungguh. Tuhan bagi pada kita sebab Dia sayangkan kita. Setahun kita asyik dengan kerja, selesaikan hal-hal dunia. Hal-hal Akhirat kita buat sikit-sikit je. Apalagi, sepanjang tahun, hati kita asyik dengan cinta dunia, berdaki, kotor dengan macam-macam dosa yang kita buat. Kita lalai dengan Tuhan, sembahyang tu… tahu je lah. Asal sembahyang… asyik kejar masa, kadang-kadang kita sembahyang ambik syarat je. Betul tak?” Adawiyah tergelak. Entah pada siapa? Aku tidak pasti, patutkah aku tergelak sama…? Pada siapa? Diri sendiri?

“Bila Tuhan bagi pada kita bulan Ramadhan ni… memang kira bonus besarlah untuk kita, Nani. Bayangkan… buat baik sikit pun, Tuhan bagi pahala berganda-ganda. Kita minta ampun, bertaubat… Tuhan bagi keampunan pada kita sebab berkat bulan Ramadhan yang mulia. Kita doa pun Tuhan makbulkan. Issyyhh… memang tak terbayang banyaknya rahmat Tuhan untuk kita kerana berkatnya bulan Ramadhan. Hmm… tu yang orang berlumba-lumba nak sedekah, nak buat ibadah, macam-macam lagi. Tapi itu bagi orang yang dah merdeka dari nafsunya. Dah bebas dari hasutan syaitan. Bagi yang masih dirantai hawa nafsu, memang nafsu tak nak kalah punya! Dihasutnya kita, haa… bulan Ramadhanlah kita nak makan yang sedap-sedap, shopping sakan, nak masak itu ini… nak baju cantik-cantik, tukar perabot… macam-macam lagilah tarikan nak bagi kita cintakan dunia ni. Kalau kita kalah, hmm…memang rugilah sebab Ramadhan cuma setahun sekali… itulah bulan bonus untuk kita. Kan, Nani…? Tapi yang kita ni dok asyik kira berapa bonus gaji yang dapat. Nak shopping sakan!”

Adawiyah berpusing memandang tepat ke arahku, menantikan reaksi. Aku? Aku menelan airliur lagi. Terkedu, tidak terkata.

“Hmm… memang pun, Wiyah. Rugi kita kalau biar Ramadhan berlalu macam tu je…” Suara akukah itu?!

****

“Ssa… saya sebenarnya nak cepat sebab nak ke masjid… nak dengar tazkirah pak imam… err… maksud saya…” Issyyh… susah sungguh aku nak memanggil orang ni. Kalau dah berumur tu, memang sesuai sangat dipanggil Pak Imam tapi… imam yang seorang ni lain sangat! Bergaya korporat, muda lagi dan… handsome pulak tu! Eh! Hah! Dah mulalah nak melalut tu! Tapi memang hakikatnya dia macam tu! Hati dan akalku mula berperang lagi.

“Ooh… baru saya faham. Patutlah sejak tadi cik asyik panggil saya Pak Imam. Cik tinggal di Taman Cheras ya? Saya bertugas di Masjid tu. Saya Dhirar. Kebetulan saya pun memang nak ke Masjid, baru balik dari kerja…” Senyuman Imam Muda membuatkan aku rasa bagai disimbah air sejuk. Sangat menenangkan. Mujur klinik ini hanya bersebelahan dengan stesen minyak tadi dan tidak ramai pesakit yang menunggu. Aku yang sejak tadi cemas menunggu Imam Muda itu dirawat di dalam bilik doktor tak putus-putus berdoa untuknya.

Sedikit pun dia tidak marah dan cacat hati walaupun kena langgar. Aku benar-benar tidak perasan dia sedang berjalan di bahagian belakang kereta sewaktu aku reverse tadi. Mujur juga pekerja di stesen minyak itu cepat berlari dan memapah Imam Muda bangun setelah dia terguling jatuh ke tanah.

Seketika aku tersentak. Macam mana dia nak balik? Mesti dia tak mahu balik dengan aku… hanya berdua?

“Maaf, boleh cik tolong saya tahankan teksi di depan tu? Saya nak balik cepat, nanti tak sempat nak berbuka di masjid pula…” Aku terlopong. Dia dengar suara hati aku? Tajamnya rasa hati dia. Malunya!!

“Eh… boleh. Tapi… kereta encik Dhirar?”

“Tak apa, esok kalau saya dah boleh drive, saya akan ke sini. Parking kat situ, insyaAllah selamat.”

“Oh… ok. Sebentar ya…” Aku bergegas ke tepi jalan sambil menghela nafas lega. Alhamdulillah, tidak ada masalah yang timbul. Hanya lutut dan belakangnya cedera sedikit. Moga-moga Engkau sembuhkan dia sesegera mungkin, ya Allah. Aku benar-benar rasa bersalah. Janganlah kerana aku, jemaah di masjid itu tak dapat mendengar tazkirah imam muda itu petang ini.

Walaupun agak terlewat, aku dan Imam Dhirar sempat sampai ke masjid sebelum berbuka. Walaupun masih berkerut wajahnya menahan sakit apabila bergerak, dia masih mengisi sedikit ruang masa yang ada sementara menunggu waktu berbuka dengan sebuah tazkirah pendek. Sebuah tazkirah yang sangat memberi kesan dalam hidupku.

“Kita biasa mengejar masa kerana dunia. Kerana urusan kerja, urusan keluarga dan macam-macam lagi. Apabila seseorang itu sampai mampu berusaha mengejar masa demi Akhiratnya, demi Tuhannya, insyaAllah, dia akan diselamatkan Tuhannya.”

“Sepotong Hadis riwayat al Bukhari yang bermaksud: Tiadalah seorang hamba yang mendatangi-Ku sejengkal kecuali Aku mendatanginya satu hasta… dan jika ia (hamba Allah) datang pada-Ku dengan melangkah, Aku datang kepadanya dengan bergegas…”

“Begitulah kasihnya Allah kepada hamba-hamba-Nya. Dia sangat menunggu kita datang pada-Nya. Dia yang Maha Baik sangat mahu membahagiakan dan menyelamatkan kita. Hanya kita yang buta terhadap kasih sayang Tuhan selama ini. Moga-moga dengan berkat Ramadhan ini, setiap langkah kita menuju Allah, Allah akan lebih-lebih lagi mendatangi kita. Moga-moga kita selamat sehingga dapat bersama Allah yang Maha Besar di Akhirat sana.”

Airmataku mengalir tak tertahan lagi. Aku datang kepada-Mu, ya Allah. Sudilah Engkau menerimaku… walau aku hamba yang hina dan ingkar dengan perintah-Mu selama ini. Aku sungguh-sungguh buta terhadap-Mu…

Adawiyah yang baru tiba agak kaget dengan airmataku yang tumpah. Senyuman lebarnya setiap kali kami bertemu di masjid hilang dari bibirnya. Memang dia sangat gembira dengan perubahanku dan dapat berteman ke masjid selalu. Dia datang menyentuh bahuku. Aku hanya mampu memandangnya dengan mata yang semakin basah. Dia mengangguk-angguk. Aku yakin dia faham perasaanku. Aku peluk dia sekuat hati melepaskan segala yang terbuku di hati yang kini hancur luluh mengenangkan kehidupan aku. Aku sungguh-sungguh menagih keberkatan Ramadhan…

Aku sudah bersiap-siap untuk pulang. Adawiyah sudah dua hari pulang ke kampung. Pagi itu, aku menghadap cermin dengan hati yang sebak. Sehelai tudung kutatang sejak tadi. Setitis airmata taubat gugur lagi di pipi. Terketar-ketar jemariku menutup mahkota diri yang sekian lama aku banggakan dengan sehelai tudung itu. Walaupun sejak kecil, aku tahu tentang hukuman Tuhan yang menunggu di neraka nanti sekiranya aku tidak menutup rambutku dari lelaki yang bukan muhrim tetapi aku bagaikan pekak dengan perintah itu. Tidak sedikitpun ada ketakutan dengan amaran dan hukuman itu. Tetapi… Ramadhan kali ini menggetarkan jiwaku. Ketakutan datang menguasai diri. Api neraka yang sangat dahsyat itu sering menghantui aku. Kenapa aku ingkar? Hanya untuk membaluti rambutku dengan sehelai tudung yang secantik ini? Kenapa aku begitu lemah pada nafsuku? Tuhan… ampunkan aku…!

“Perintah Tuhan itu penuh dengan hikmah, Nani. Tak sama sekali untuk menyusahkan atau nak mengongkong kita. Sehelai tudung sebenarnya besar ertinya pada perempuan. Kalau kita tutup aurat sungguh-sungguh kerana Allah, tudung tu akan jadi penyelamat kita. Benteng untuk kita dari melakukan dosa atau kalau orang nak ganggu kita. Jadi bermaruah… membezakan kita dengan yang lain. Tapi sekarang ramai yang bertudung bukan dengan niat dan cara yang betul. Sedih, Nani. Kerana tulah, walaupun bertudung, kita masih buat maksiat. Bukan saja kita buat tak ikut kehendak Allah, niat pun bukan kerana Allah, kita jatuhkan maruah Islam pulak tu. Sebab tu, penting untuk kita ada ilmu sebelum amal…”

“Aku tutup auratku kerana-Mu, ya Allah… Engkau lindungilah aku dari melakukan dosa lagi… Engkau lindunglah aku dari maksiat, dari nafsu lelaki. Aku lemah, ya Allah…” Hatiku merayu dan merintih dengan linangan airmata. Ramadhan… tolonglah aku dengan keberkatanmu…

Aku singgah di Masjid. Suasana awal pagi di dalam dan luar masjid agak sunyi. Hanya kedengaran suara beberapa orang sedang membaca al Quran. Aku tercari-cari orang yang menjaga masjid untuk menyampaikan niatku.

Tiba-tiba wajah Imam Dhirar muncul di hadapanku. Aku menelan air liur. Rasa malu tiba-tiba menyelubungi bila terkenangkan detik aku melanggarnya tidak lama dulu.

“Assalamualaikum…” Aku terpaksa menegurnya.

“Waalaikumussalamwarahmatullah…” Dia agak terkejut.

“Maafkan saya, imam Dhirar… apa khabar? Imam dah sembuh sepenuhnya ke?”

Dia bertambah terkejut. Aku tunduk bila dia benar-benar memandang. Malunya!

“Eh… maaf, cik… yang… eh maaf, saya tak perasan tadi…” Memanglah! Aku dah bertudung! Aku menghela nafas lalu tersenyum sambil mengangkat muka.

“Ya, Imam. Saya… yang melanggar Imam dulu tu…”

“Hmm… alhamdulillah, saya tak apa-apa… Ada apa cik datang pagi-pagi ni?”

“Saya dah nak balik kampung. Ni ada beberapa sumbangan untuk sambutan hari raya nanti di masjid ni…” Secepat mungkin aku beredar dari situ sebaik sahaja aku serahkan beberapa sampul surat yang berisi sumbangan kecilku kepada Imam Dhirar. Aku tidak dapat menahan sebak. Untuk pertama kali seumur hidupku, aku melakukan itu. Sumbanganku untuk syiar Islam yang teramat kecil yang selama ini tidak pernah aku pedulikan kerana aku sibuk memenuhi keperluan kehidupanku dan keluarga.

Dalam salah satu sampul itu, sepucuk surat buat Imam Dhirar sebagai ucapan terima kasihku kerana menjadi orang yang berkorban diri membantu menyampaikan segala peringatan dan nasihat demi membawa manusia lain kepada Tuhan. Aku juga mengharapkan doanya sebagai orang yang soleh untuk aku terus berjuang mengenal Allah dan mencintai-Nya.

Aku tinggalkan kota metropolitan dengan hati yang berbaur. Kota yang mengkhayalkan aku dengan syurga dunia yang penuh tipuan dan Kota itu jugalah yang mengenalkan aku kepada Tuhan. Di mana pun ada pilihan. Dan aku yang harus memilih.

Ibu dan adik-adik terkejut dan terharu menyambut kepulanganku yang sudah berubah wajah terutama ibu. Dia menangis mengucup anaknya ini, merangkul erat penuh kasih.

“Cantik sungguh anak ibu… bertahun ibu doakan. Syukur ya Allah…” Aku juga tidak dapat menahan airmata. Aku tahu betapa ibu menderita kerana kedegilanku yang tidak menutup aurat selama ini. Memang segalanya berkat doa ibu.

Dan malam itu mengubah seluruh kehidupan kami seterusnya. Aku, anak sulung yang harus menjadi perintis kepada keluarga dalam mencari jalan menuju Tuhan.

Selepas berterawih di masjid, kami semua berkumpul melihat sebuah tayangan kehidupan manusia yang berbeza dalam dunia yang sama. Itulah yang aku lakukan demi mencari jalan pulang.

Rakaman video yang memaparkan kehidupan yang penuh dengan kesempitan dan kesusahan di lorong-lorong terbiar, di rumah-rumah buruk dan keadaan-keadaan yang menyedihkan dipancarkan dari komputer ribaku memenuhi dinding putih di ruang tamu rumahku. Aku sendiri yang menyusuri tempat-tempat itu di sekitar ibu kota bersama Adawiyah. Aku lakukan itu demi mahu benar-benar menghayati Ramadhan yang selama ini datang dan pergi tanpa apa-apa pengertian dalam hidupku. Cerita Adawiyah tentang watak Rasulullah SAW menghayati Ramadhan sangat menginsafkan aku sehingga aku rasa mahu menyembamkan mukaku ke dalam bumi kerana malu sungguh dengan Tuhan. Betapa nikmat yang melimpah-ruah hanya untuk memuaskan nafsuku semata-mata sedangkan dalam nikmat itu, ada hak orang lain di dalamnya. Aku menafikan hak mereka kerana cintaku pada dunia sudah terlalu sebati.

Wajah seorang nenek yang masih mampu tersenyum sedang cuba menutup dinding rumahnya yang terkopak selepas di tiup angin ribut malam sebelumnya. Wajah seorang anak yang sedang memujuk sambil mengendong adiknya yang sakit ke sana ke mari di hadapan rumah usang kerana ibunya keluar bekerja mencari nafkah. Dan berbagai wajah lagi muncul satu persatu dengan cerita dan derita yang berbeza. Ibu dan adik-adik juga seperti aku, tidak dapat menahan airmata menatap semua itu yang memang realitinya berlaku di sekeliling kita.

Dengan senyum yang pahit, aku menatap adik-adikku seorang demi seorang.

“Kak Long tak beli baju raya tahun ni untuk kita semua. Setuju tak dengan Kak Long?” Mereka mengangguk hampir serentak.

“Kita kan ada baju yang sedondon warnanya yang kita pakai masa kenduri kahwin makcik Sarah… baju-baju tu baru sekali pakai, jadi… kita semua pakai baju tu raya nanti ya…” Suara ibu lembut memujuk. Aku tersenyum terharu. Jemari tua ibu kuraup dengan kedua tanganku. Selama ini kata-kata ibu tidak aku pedulikan. Aku tetap mahu limpahkan kemewahan kepada ibu dan adik-adikku setiap kali hari raya tiba kerana mahu memberikan kebahagiaan kepada mereka. Namun bukan kebahagiaan seperti itu yang membawa mereka ke syurga.

“Esok hari terakhir kita puasa. Nak tak ikut akak shopping?” Iffah, Aina, Ateh dan Waqar terkejut. Dahi ibu juga berkerut memandang aku.

“Tapi kali ni bukan untuk kita. Rasanya kita dah serba cukup kan? Kita beli apa yang perlu sekadar nak raikan tetamu je ya. Kali ni kita shopping untuk orang lain. Orang yang lebih memerlukan… macam yang kita tengok tadi…” Adik-adik kesayanganku ceria mengangguk. Syukur, wahai Tuhan!

Aku memandu menyusuri jalan-jalan kecil ke kampung-kampung yang berhampiran. Adik-adik merasa pelik awalnya kerana kami shopping di kedai-kedai kecil di kampung-kampung itu juga. Aku jelaskan kepada mereka, itu juga caranya hendak membantu peniaga-peniaga kecil itu untuk meraikan hari raya nanti dengan lebih sempurna. Wajah-wajah mereka ceria bila aku berbelanja besar di kedai mereka. Dari maklumat dan petunjuk merekalah, aku dapat menjejaki orang-orang kampung yang benar-benar perlukan bantuan. Ramai yang terkejut dan terharu dengan kedatangan kami yang tidak mereka kenali. Banyak sungguh airmata mereka yang mengalir sambil mengucapkan syukur dan terima kasih, sangat menghibakan.

Ramadhan kali ini benar-benar mengubah kehidupan kami dan Syawal yang akan tiba esok dinantikan dengan debaran. Moga-moga cahaya Syawal tahun ini bukan sahaja membahagiakan aku dan keluargaku tetapi juga insan yang lain. Nikmat dan ujian itu rupanya menjadi penghubung kasih sayang dan kebahagiaan sesama insan. Inilah rupanya erti keberkatan Ramadhan dan Syawal yang sebenar. Indah sungguh percaturan-Mu, Tuhan, buat hamba-hamba-Mu yang mengerti. Sesungguhnya agama-Mu adalah kehidupan yang sempurna di dunia dan Akhirat.

Kemuliaan Syawal kusambut dengan hati yang penuh mengharap. Sebulan Ramadhan berlalu, moga-moga aku dapat merdekakan diri dari belengu nafsu dan cinta dunia. Agar Syawal dapat kusambut dengan kemenangan itu. Dan kebesaran Syawal dapat aku hayati dengan membesarkan Tuhan yang Maha Baik. Aku juga mahu membina kehidupan dengan manusia yang lain berlandaskan kasih sayang.

Buat pertama kalinya aku dan ibu serta adik-adik duduk bersama bertakbir pada malam raya, menghayati kebesaran Allah. Walaupun kepenatan menyiapkan semua persiapan menyambut hari raya namun kebahagiaan jelas terpancar di wajah-wajah kami.

Syawal kusambut dengan rasa yang berbeza. Airmata asyik mengalir terutama sekali ketika takbir berkumandang. Kami sekeluarga ke Masjid yang berdekatan untuk solat sunat hari raya. Penghayatan khutbah menyentuh hati dan menginsafkan. Meriah sungguh lahir dan batin dalam membesarkan Allah.

Selepas solat sunat, aku dan keluarga terus berziarah. Kalau dulu, aku tidak teruja sangat hendak ke hulu dan ke hilir tetapi kali ini berbeza. Terasa sungguh kasih sayang yang terjalin dengan sesama. Saling berkunjung, bertanya khabar dan berita, berkongsi bahagia dan derita.

Kasih sayang itulah penyelamat sebenarnya. Kehadiran Adawiyah bersama keluarganya mengharukan aku. Kusambut mereka dengan penuh gembira.

“Tahniah, Nani. Wiyah bersyukur, tumpang gembira tengok Nani sangat menghayati bulan Ramadhan. Berkat Ramadhan melimpah sungguh pada Nani…” Pelukan erat Adawiyah penuh bermakna membuatkan aku semakin sebak. Aku peluk dia erat-erat. Tanpa dia, tak mungkin aku dapat hayati semua ini. Keberkatan Ramadhan itu sebenarnya adalah dirinya.

Sebaik saja melepaskan pelukan, Adawiyah merangkul pinggangku sambil memperkenalkan ahli keluarganya. Ibu, ayah, kakak dan suaminya dan adik lelakinya.

“Ada seorang lagi… haa… tu baru keluar kereta. Yang tu pemalu sikit! Kami ni on the way nak ziarah adik ayah. Tu yang dapat datang beraya jumpa Nani, nak kenal keluarga Nani…” Adawiyah ramah berbicara. Keluarganya memang berwajah manis belaka.

“Assalamualaikum…”

Jantungku bagaikan berhenti berdegup. Suara tu?!

“Pak Imam?!” Aku terjerit tidak percaya. Dan pecah derai tawa semua. Syawal kali ini terlalu membahagiakan. Terima kasih Tuhan.

p/s: Moga manfaatnya dapat kita amalkan bersama berkat kebesaran Ramadhan. Tunggu 3 bab terakhir MAKNA PADA RASA ya! Juea sangat memerlukan doa dari kalian. Selamat berpuasa. semoga dibantu Allah dalam mensucikan hati-hati kita. salam penuh kasih sayang dari utara!

Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 40

Kaabah

Assalamualaikum warah matullah…

TK sudi singgah atau tersinggah… moga persinggahan ini tidak sia-sia.

Dalam menulis, banyaknya yang Juea belajar.selain dari mengembara menimba ilmu sambil mencari bahan untuk tulisan, Juea juga semakin cuba mendalami bahasa ibunda tercinta. teguran demi teguran dari sang editor menyedarkan Juea, betapa kita memang akan terus belajar sampai ke liang lahad.

bayangkan, punya lah khusyuk menulis, sampaikan macam-macam ayat yang ditulis. cuba kalian perhatikan ayat ni: “pokok-pokok hiasan mengelilingi rumah kayu itu…”. bandingkan dengan ayat ini: “rumah kayu itu dikelilingi pokok-pokok hiasan…”.

bila sang editor menyebut ayat yang pertama tu sambil buat gaya sekali (bayangkan ya… bagaimana pokok-pokok hiasaan itu melompat-lompat bergerak mengelilingi rumah!) Juea memang gelak nak pecah perut dengan kedunguan sendiri! hehehe…

Maafkan Juea atas segala kelemahan ya. semoga terhibur dengan bab 40 dan seterusnya…

Bab 40

Lena Nuqman terganggu lagi. Puas dia beralih tempat tetapi rasa berbahang semakin kuat sehingga seluruh tubuhnya basah bermandikan peluh. Dalam kepekatan malam itu, hanya ada cahaya jingga kemerahan yang kelihatan semakin terang bersama bahang yang sangat panas. Nuqman bingkas bangun dari pembaringan, mencari arah untuk melarikan diri dari bahang dan cahaya yang menyala-nyala itu.

“Tolongggggg!!” Laungan meminta tolong tiba-tiba bergema berulang-ulang kali sehingga membuatkan seluruh tubuhnya gementar. Suara itu menggigil ketakutan, berterusan meraung dan menangis meminta tolong. Nuqman kini tidak lagi mencari arah untuk lari dari situ tetapi kalut berlari mencari si empunya suara. Apa yang sedang berlaku? Di mana dia? Kenapa begitu sekali dia menjerit dan meraung?

Apa pun tidak kelihatan dalam kepekatan malam itu. Yang ada hanyalah cahaya yang amat panas itu. Nuqman berhenti berlari dan meneliti dari arah mana suara itu datang. Dari cahaya itu! Dia menelan liur yang terasa kesat. Gema suara meminta tolong itu semakin sayu dan lemah. Nuqman menarik nafas dan memaksa kakinya berlari ke arah cahaya itu. Dalam menahan bahang yang semakin membakar kulitnya, dia terkejut apabila melihat cahaya itu datangnya dari lurah yang sangat dalam dan ada api yang menyala-nyala. Suara itu kedengaran semakin dekat membuatkan dia terus melangkah. Dia tidak lagi peduli di mana dia berada. Hatinya tekad untuk menyelamatkan si empunya suara.

Bunyi dentuman menggegarkan bumi dan serentak itu suara tadi menjerit-jerit meminta tolong. Nuqman cepat-cepat merapatkan tubuhnya ke tanah dan merapati bibir lurah dari arah suara itu datang dan hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terkejutnya dia apabila melihat seorang gadis berpakaian serba hitam sedang menjerit ketakutan. Dia hanya bergayut pada bongkah batu di tepi lurah dan kakinya yang tergantung menerawang ketakutan kerana tidak tahan bahang api yang sedang membakar.

‘Sini! Capai tangan saya! Cepat!” Jerit Nuqman sekuat hati. Gadis itu mendongak cemas. Sekali lagi Nuqman tersentak kerana wajah gadis itu sama seperti wanita di Kafe tadi.

Bongkah batu tiba-tiba bergerak dan mata gadis itu terbeliak.

“Tolongggg!!” Jeritan nyaringnya bergema.

“Ya Allah!!” Nuqman tersentak lalu terbangun duduk di katil. Nafasnya tercungap-cungap dan peluh memercik di mana-mana. Dia bermimpi! Dan gadis itu… yang di kafe semalam!

Puas Nuqman beristighfar menenangkan dirinya. Perlahan-lahan dia bangun lalu membuka pintu kaca sorong ke balkoni. Angin malam yang berhembus lembut menenangkan dirinya. Dalam nafas yang semakin teratur, dia mula memikirkan maksud mimpinya tadi. Dan sekeping kertas kecil yang bertulis, TOLONG SAYA!

‘Buatlah solat hajat untuk dia. Kalau Allah memang sedang menolongnya, siapa tahu kita yang dipilih Allah untuk jadi penolong…’

Kata-kata Ayah Nizamuddin terngiang-ngiang di telinganya. Betul juga! Kalau hendak difikirkan tentang mimpi dan nota itu, sampai bila pun dia tidak akan faham. Nuqman masuk semula ke dalam sambil mengerling jam di dinding. 3.30 pagi! Waktu paling sesuai untuk bertahajud.

Lama tafakur Nuqman selepas qiamullail, memohon petunjuk dari Yang Maha Mengetahui atas setiap langkah dan keputusan, dalam setiap usaha dan ikhtiarnya dan dalam setiap apa pun yang dilakukannya. Sebagai hamba, dia hanya alat, yang tidak berbekas dan tidak memberi bekas. Melainkan jika digunakan dan diizinkan oleh ‘tuan’nya. Kemudian dia bermunajat lagi, memohon petunjuk tentang mimpinya, gadis serba hitam dan nota semalam.

Subuh itu, Nuqman diminta mengimamkan solat Subuh di surau The Turban. Seperti biasa, pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad, surau itu penuh dengan jemaah. Selain dari tetamu yang menghuni di hotel itu, staf dan pengurusan The Turban dan Peace Yo!, ramai juga orang luar yang berdatangan entah dari mana untuk solat Subuh berjemaah dan mengikuti kuliah Subuh, kemudian memenuhi restoran dan kafe di The Turban untuk bersarapan pagi. Itu antara pakej istimewa yang semakin mendapat sambutan di The Turban. Yang lebih menarik, kebanyakan yang datang adalah golongan atasan yang punya nama dan pangkat. Satu gelombang fenomena yang berlaku di tangan seorang lelaki bernama Nuqman.

Usai solat Subuh, Nuqman dikejutkan dengan permintaan istimewa dari seluruh warga The Turban dan Peace Yo! yang merindui kuliah Subuhnya. Terharu dan serba-salah, Nuqman tampil juga di hadapan jemaah Subuh pagi itu dan menyampaikan kuliah Subuh tentang Pertolongan Allah. Entah kenapa tajuk itu yang menjadi topik pilihannya. Mungkin kerana terkesan dengan mimpinya malam tadi. Mungkin kerana dia amat merintihkan pertolongan Allah ke atas umat Islam yang sedang diuji dengan kezaliman dan penindasan di merata dunia. Dan mungkin juga kerana dia sendiri merasa tiada daya upaya untuk mengemudi diri, keluarga dan perjuangannya tanpa pertolongan dari Allah SWT. Dan pagi itu juga menyaksikan banyaknya airmata yang mengalir dalam diam di kebanyakan pipi ahli jemaah kerana tersentuh dengan perkongsian dari hati nurani seorang lelaki bernama Nuqman.

“Abang Man, maaf ganggu. Ada beberapa orang nak jumpa abang personally, maybe over breakfast, kalau abang sudi…” Miqdam datang menemui Nuqman yang baru saja melangkah keluar dari Surau untuk bersarapan bersama Norhan dan Nabil yang baru tiba Subuh tadi.

Pertemuan yang tidak dirancang itu mengambil tempat di luar Kafe Peace Yo!, di dalam taman, pojok kesukaan Nuqman. Di situ mereka berkenalan dengan Muaz Kamaruzzaman dan Ammar Bahrain yang meraikan sahabat-sahabat mereka dari Jeddah dan Abu Dhabi, Fuad Abdullah bersama isterinya Haida dan Uzair Suleiman yang memilih untuk tinggal di The Turban sepanjang lawatan mereka ke Malaysia dan bertemu pengasas Peace Yo! International adalah antara agenda yang sangat-sangat mereka harapkan. Rezeki mereka kerana Nuqman kembali ke tanahair tanpa dirancang.

Sambil menjamah sarapan, mereka rancak berbual tentang pelbagai topik tetapi yang paling utama ialah asas perniagaan Islam yang berjaya lahiriah dan spiritualnya seperti yang mereka lihat sedang berlaku di The Turban dan Peace Yo! International. Nuqman yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan pengalaman cuba memberikan tips yang ringkas dan praktikal untuk mereka. Di hujung perbualan, mereka rupanya membawa hajat yang sangat besar iaitu mengusulkan satu usahasama dengan Peace Yo! untuk membentuk sebuah syarikat multimedia yang bertapak di Abu Dhabi dengan memfokuskan projek utama mereka iaitu saluran televisyen percuma di laman sesawang. Bagi mereka, Peace Yo! mempunyai banyak sekali pengisian yang boleh dikongsi dalam bentuk yang pelbagai. Usul bernas itu benar-benar menarik perhatian Nuqman dan timnya. Dia meminta Miqdam dan Nabil membawa Fuad dan sahabat-sahabatnya ke pejabat Peace Yo! untuk berbincang dengan panjang lebar bersama dengan Amir Hamzah dan Dr. Ashraf. Dia akan menyemak pelan cadangan itu apabila mereka sudah mencapai kata sepakat nanti.

Sebelum meminta diri, Nuqman dikejutkan dengan pelawaan Ammar Bahrain untuk makan tengahari di rumahnya yang kebetulan akan mengadakan kenduri kesyukuran. Juga menjadi harapannya jika Nuqman dapat hadir kerana dia dan ayahnya menyimpan hasrat untuk mendapat khidmat Barakah Associates untuk projek membina semula pusat peranginan di tanah milik keluarganya di Port Dickson dengan konsep The Turban yang semakin dikenali itu. Fuad dan sahabat-sahabatnya turut meminta Nuqman menyertai mereka kerana rasa tidak puas dengan pertemuan yang singkat itu. Kebetulan Norhan dan Miqdam terlibat dengan program yang telah disusun di The Turban, jadi tinggal Nuqman yang dapat memenuhi undangan walaupun dia juga mempunyai banyak perkara yang perlu ditangani dan yang paling penting, ibu!

“Ya Allah! Macam mimpi dapat jumpa Man! Ibu rindu sungguh dengan Man!” Basah pipi tua Aisyah saat dia dapat mendakap tubuh anak muda kesayangannya itu.

“Man lagi rindu, ibu! Rindu sangat dengan ibu! Tengok Man ni, dah kurus sebab lama tak makan masakan ibu!” Luah Nuqman sambil bergurau setelah mengucup lama dahi tua ibu.

“Iyalah tu! Atau asyik dengan kerja sampai tak sempat nak makan?! Macamlah ibu baru kenal Man sehari dua…,” pipi Nuqman ditampar manja. Anak sulungnya hanya ketawa.

Bagasinya dibuka. Semua hadiah untuk ibu dikeluarkan dan diletakkan ke riba ibu. Sampai kosong bagasi kecil itu tetapi ibu tetap terjengah-jengah seolah-olah mencari sesuatu.

“Itu saja yang dapat Man belikan untuk ibu. Man balik tak rancang, jadi memang Man tak sempat shopping, bu!” Nuqman merasa serba-salah.

“Pakaian Man mana?” Dia terjeda.

‘Err… Man tak bawak baju, bu. Man balik kejap je. Man kena balik sana tengahari ni…”

“Sampai hati Man buat ibu macam ni?!” Berkerut seribu wajah Aisyah memandang anaknya. Tidak sempat dia tersenyum dengan hadiah yang berlambak di riba, hatinya jadi sebak dan hiba.

“Bu! Man… Man balik kejap je sebab nak bawak ibu ke sana…” Nuqman sudah melutut di kaki ibunya. Kelam-kabut dia menjelaskan niatnya sebelum airmata ibu gugur lagi!

“Haa?!” Terlopong Aisyah dibuatnya. Buang tebiat agaknya dengan si Nuqman hari ini? Nuqman menghela nafas sambil meraup tangan ibu di riba.

“Kali ni, ibu mesti setuju. Man, Norhan, Nabil dan Najjah, semua nak ibu ke sana. Kalau ibu nak duduk di The Turban pun boleh, di apartment Man pun boleh. Kami semua ada kerja tapi kami nak ibu ada dengan kami. Masakkan untuk kami. Jadi… ibu simpan hadiah ni semua, Man nak tolong kemaskan pakaian ibu, kita gerak balik sebelum tengahari ya…” Lembut Nuqman memujuk. Jenuh dia menyusun ayat sepanjang perjalanan ke kampung tadi. Bukan mudah mahu membawa ibu keluar dari rumah itu apatah lagi untuk bermalam di tempat lain.

“Patutlah Najjah merengek mintak ibu pergi! Tapi dah kamu semua nak bekerja, tinggal ibu sorang-sorang jugak nanti. Baik ibu duduk di rumah ni saja…,” jelingan ibu memberi isyarat yang Nuqman akan gagal lagi kali ini.

“Macam ni… err… Man… Man nak ibu kenal-kenal dengan bakal menantu…”

“Haa?!! Betul ke ni, Man? Kalau macam tu, sekarang juga ibu bersiap!” Nuqman tersandar lega. Kemudian dadanya pula tiba-tiba berdebar. Idea yang muncul tiba-tiba itu menjerat dirinya. Puteri menolak lagi untuk diraikan. Apakah Puteri sudi untuk diperkenalkan sebagai bakal isteriya? Bagaimana kalau hubungan mereka tidak menjadi? Bimbang ibu kecewa pula nanti.

“Luluskah aku nak jadi menantu?” Puteri bertanya pada diri sendiri. Memasak tak pandai, tapi kalau bab makan, memang aku handal! Hatinya menjawab soalan sendiri. Isyhh! Kenapa dengan aku ni? Maliha yang nak bertunang, aku pulak yang berangan nak jadi menantu! Tapi iyalah, dia baru nak jadi tunangan orang, aku dah jadi isteri orang!!

Puteri bermonolog sendirian sepanjang perjalanan ke rumah Maliha. Entah kenapa sejak awal pagi tadi, dia berubah hati. Entah dari mana keyakinan datang, hatinya tiba-tiba mahu mengenali Nuqman dengan lebih dekat lagi. Mungkin! Mungkin dia benar-benar bukan seperti lelaki yang lain.

Dadanya berdebar sebaik sahaja rumah Maliha muncul dalam pandangan matanya. Kenderaan agak banyak yang dipakir di kawasan luar perkarangan rumah itu. Matahari sudah meninggi. Khemah-khemah dan meja sudah siap disusun rapi. Besar sungguh nampaknya majlis pertunangan Maliha.

Hatinya sangat berharap agar lelaki itu tidak ada dalam majlis hari ini. Mungkin dia masih di luar negara. Mungkin dia sedang berbulan madu dengan isterinya. Mungkin… Ahh! Puteri tahu, harapannya amat tipis. Walau apa pun, demi Maliha dan Taufiq, dia cekalkan hati. Langkah diatur perlahan, masuk ke perkarangan rumah besar itu. Beberapa orang sedang sibuk ke hulu dan ke hilir untuk menyusun hidangan di atas meja. Ada yang duduk-duduk berbual di balkoni dan di tepi kolam renang di sisi kiri rumah. Puteri terus menuju ke arah pintu masuk tanpa berlengah lagi. Jantungnya berpalu laju kerana dia semakin cemas dan merasa tidak selesa untuk berlama-lama di situ.

“Assalamualaikum…” Tutur Puteri di muka pintu sambil matanya mencari-cari wajah-wajah yang dia kenali.

“Waalaikummussalam…” jawab beberapa suara. Sudah ramai ahli keluarga dan kenalan rapat Maliha yang berada di ruang tamu. Tiba-tiba lengannya disentuh. Dia berpaling. Puan Sri Khadijah merenungnya lama. Puteri menelan liur, menahan debar.

“Puteri!”

“Mama!”

“Puteri…” Puan Sri Khadijah meraih gadis itu ke dalam pelukannya. Puteri didakap erat namun dia tidak bersuara. Hanya airmatanya yang mengalir dalam diam. Puteri sebak dan terharu, seolah-olah dia sedang didakap ibu. Langsung airmatanya turut mengalir, membasahi bahu Puan Sri Khadijah. Lama mereka begitu sehingga Puan Sri Khadijah meleraikan pelukan dan memandang Puteri dari atas ke bawah. Dia hampir tidak mengenali Puteri yang kini berjubah dan bertudung, anggun bersopan.

“Ma-mama rindu…” Suaranya tersekat-sekat. Di bibirnya muncul segarit senyum. Kedua tangannya meraup muka Puteri. Gadis itu tersenyum juga sambil menelan sedu-sedan, hanya mampu mengangguk sambil menatap wajah Puan Sri Khadijah dengan mata yang basah.

“Liha… Liha di atas… naiklah Puteri…” Dia menekup bibir menahan tangis di hujung katanya. Hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya dia dengan kehadiran Puteri kerana Maliha bagaikan patung tak bernyawa di atas sana.

Puteri juga tidak mampu berkata melainkan mengangguk laju. Dia tunduk mengambil beg-beg kertas yang jatuh di kaki saat dia mendakap wanita itu tadi.

“Untuk mama…” Tuturnya dalam payah. Beg itu disambut dan dahinya dikucup lama.

“Terima kasih, sayang. Pergilah…,” pipinya yang basah diseka dengan ibu jarinya. Bahu Puteri diusap lembut. Puteri tunduk mengangguk. Lalu mengundur diri dan melangkah menuju ke anak tangga untuk ke tingkat atas.

Di pintu masuk, Ammar Bahrain yang baru tiba terjeda lama. Dia mulanya kehairanan dengan kehadiran gadis yang cantik berjubah itu. Yang pasti, dia bukan ahli keluarganya. Tetapi sebaik sahaja mama menyebut ‘Puteri’, Ammar tersandar di pintu masuk. Benarkah dia Puteri?! Terpaku menyaksikan pertemuan antara dua orang wanita yang amat dikasihinya, Ammar diam tidak bergerak. Sebak dan syukur berbaur. Dia meraup muka, menahan perasaan. Detik itu juga hatinya berdebar, begitu sekali gadis itu berubah. Hatinya terharu dan teruja. Cemas sungguh dia menanti peluang untuk bersemuka dengan Puteri. Moga hatinya juga berubah dan dapat memaafkannya. Melihat penampilan Puteri yang begitu anggun menutup aurat sepenuhnya membuatkan hatinya semakin kuat mahu memiliki Puteri semula. Memang dia lelaki bertuah andainya Puteri dimiliki. Sesalnya meninggalkan Puteri semakin mencengkam dan mendalam.

Maliha termenung berdiri di jendela kamarnya. Tubuh kecil yang langsing itu berbalut sepasang baju potongan ‘peplum’ biru laut membuatkan dia kelihatan manis dan anggun. Dulang hantaran tersusun di atas katil, semuanya sudah ditatahias dengan warna biru-putih. Namun wajahnya mendung tidak berseri walau sudah cantik disolek.

“Liha!” Dia terus diam dalam menungan.

Puteri sebak melihat sahabat kesayanganya. Entah apa yang ada di dalam fikirnya. Akukah yang membuat dia sedih? Atau dia tahu tentang Taufiq?

“Liha!” Bahu gadis itu disentuh. Perlahan dia menoleh, diam memandang dengan wajah tidak percaya. Puteri tersentuh melihatnya. Airmatanya gugur setitis. Lalu kedua tangannya didepang luas.

“Puteri! Puteri!” Seru Maliha bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Bingkas dia menerpa dan memeluk Puteri. Terima kasih, Tuhan!! Maliha menangis di bahu Puteri. Kelam-kabut Puteri menenangkannya. Bimbang nanti solekan Maliha rosak dibasahi airmata. Belakang gadis itu diusap dan ditepuk.

“Syyhh… Liha… don’t cry! Aku mesti datang! Hari ni kan hari bahagia kau dengan mama bouncer!”

“Kau!” Pelukan itu terlerai. Sepasang mata Maliha membulat.

“Sampai hati panggil tunang aku macam tu!!” Bentak Maliha. Puteri ketawa mengekek. Helahnya berjaya kerana Maliha kini tersenyum. Kemudian mereka kembali berpelukan melepaskan rindu.

Akhirnya mereka duduk bersebelahan di birai katil. Masing-masing tidak mampu berkata-kata kerana terlalu banyak yang mahu dibicarakan sampai mereka tidak pasti yang mana satu yang hendak didahulukan. Saling berpegangan tangan dan senyuman menguntum di bibir, akhirnya mereka saling sandar-menyandar, kepala bertemu kepala, diam tanpa kata.

“Kau cantik sangat, Liha…”

“Tapi tak secantik engkau…”

“Aku tak cantiklah…”

“Kau tambah cantik, sekarang. Eh! Kau bertudunglah! MasyaAllah! Alhamdulillah…! Sejak bila, Puteri?!” Maliha bagaikan baru sedar dari mimpi, memusingkan bahu Puteri dan mengadapnya sambil melihat Puteri dari atas sampai ke kaki membuatkan Puteri tersenyum-senyum antara malu dan gelihati.

“Baru je… dah sampai seru!” Mereka ketawa serentak. Bertahun dulu, Maliha selalu memujuk Puteri supaya bertudung sepertinya dan setiap kali itulah Puteri akan menjawab, ‘tunggu sampai seru!’

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya Maliha bila melihat Puteri seperti kembali kepada asalnya, mudah ketawa dan bergurau. Detik itu juga, Maliha teringatkan abangnya. Bagaimana kalau Puteri jumpa Ammar sekali lagi? Apakah senyum tawanya akan hilang semula seperti dulu?! Ya Allah… janganlah hati sahabatku terluka lagi!

“Kenapa kau ni, tiba-tiba termenung pulak. Teringat Taufiqlah tu! Pukul berapa rombongan nak sampai?” Maliha tersenyum menyimpan gelodak hatinya. Jam di dinding dikerling entah kali yang ke berapa sejak pagi tadi.

“Eh! Dalam setengah jam lagi! Papa nak majlis dimulakan awal supaya selesai sebelum zohor…”

“Alamak, Liha… make-up kau! Err… siapa yang make-up kau tadi, minta dia tolong touch up! Sorry, Liha… nanti Taufiq marah tunangnya comot. Lagi dia marah kalau dia tahu aku yang buat kau jadi comot!” Puteri sudah mula berdrama membuatkan Maliha ketawa besar.

“Apa punya merepeklah kau ni…! Cousin aku yang… ha! Yong! Tolong akak, touch up sikit ya…,” seorang gadis yang datang menjenguk ke bilik itu segera dipanggil masuk. Setelah diperkenalkan kepada Puteri, Yong lincah mengemaskini solekan di wajah Maliha. Berseri sungguh Maliha Afiah hari ini. Tiba-tiba Puteri merasa tidak sampai hati untuk bertanyakan tentang Taufiq. Tunggulah selepas majlis nanti…, bisik hati kecilnya.

Beberapa orang saudara perempuan Maliha masuk ke bilik, minta bersedia kerana rombongan sudah hampir tiba. Mereka mengangkat semua dulang hantaran ke tingkat bawah untuk dipersembahkan kepada keluarga bakal tunang Maliha nanti.

“Assalamualaikum,” tegur satu suara di pintu sebaik sahaja dulang hantaran terakhir dibawa pergi. Maliha yang sedang berdiri di sudut katil untuk diambil gambar tersentak. Puteri yang duduk di birai katil dan sedang beraksi dengan lensa Camcodernya juga turut terkaku. Suara itu! Dia tidak mampu bergerak mahupun menjawab salam, hanya menyahut dengan hati yang berdebar-debar.

“Waalaikummussalam, abang!” Jawab Maliha dengan nada terperanjat. Dia memandang wajah abangnya dan Puteri silih berganti. Detik cemas yang dia asyik fikirkan dari tadi berlaku juga dan sungguh, dia tidak bersedia. Melihatkan Puteri yang kaku memegang Camcodernya dengan wajah yang tertunduk ke dulang hantaran di hadapannya, dia tahu yang gadis itu juga tidak bersedia.

“Hurmm… masuklah, abang. Ni… abang kenalkan, Puteri…,” Maliha terasa seperti orang bodoh kerana memperkenalkan mereka yang sudah saling kenal. Tetapi dia benar-benar buntu, tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Tidak mungkin dia meminta abangnya pergi dari situ supaya Puteri merasa selesa. Lagipun, pertemuan ini memang amat-amat diharapkan oleh mereka berdua.

“Apa khabar, Puteri?” Puteri menelan liur. Sukarnya untuk dia menoleh ke belakang. Nafasnya terasa sesak. Dadanya mula sebak. Jangan Puteri! Jangan sekali-kali menangis di hadapannya! Sambil menarik nafas dalam-dalam, dia meletakkan Camcodernya di atas katil lalu bangun dan berpusing mengadap lelaki itu, Ammar Bahrain.

“Baik, alhamdulillah…,” jawabnya tanpa sebarang riak di wajah.

Ammar Bahrain tersenyum lama. Sepasang matanya tidak berkedip memandang Puteri. Walaupun gadis itu hanya memandangnya sekilas, tetapi sudah cukup baginya. Puteri masih sudi memandang dan bercakap dengannya. Puteri tidak lagi beku seperti dulu. Ini petanda baik!

“Mar…mana Liha? Mereka dah nak sampai tu! Haa… Puteri, jom kita bawa Liha ke bawah, ya…” Puan Sri Khadijah anggun bertudung dan berjubah, mencelah di antara mereka berdua, menghulurkan tangan mahu memimpin anak gadisnya untuk bertemu keluarga bakal menantunya. Maliha teragak-agak menyambut huluran tangan mama. Dia mencapai tangan Puteri dan bertanya dengan pandangan mata samada Puteri mahu ikut turun ataupun tidak. Dia tidak mahu Puteri merasa tertekan dan selesa. Dan Puteri mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri, terus mengikut langkah Maliha dan Puan Sri Khadijah keluar dari bilik itu menuju ke tingkat bawah.

Saat Puteri lalu paling hampir dengannya, Ammar Bahrain merasa terharu. Gadis yang selama ini sentiasa bertapak di hatinya, semakin hampir dengan dirinya.

ps: Mohon doakan buku ini dapat disiapkan sebelum raya ya! Sempena Ramadhan yang bakal tiba, Juea memohon ampun dan maaf dari semua dan Juea doakan moga kita dianugerahkan keberkatan Ramadhan yang mulia. Episod pembersihan diri bakal bermula. Moga mujahadah kita dibantu.

Berkat Ramadhan yang mulia tahun ini, moga-moga berlakulah:
– TAKHALLI (mengosongkan diri atau membuang sifat-sifat buruk),
– TAHALLI (mengisi sifat-sifat yang baik) dan
– TAJALLI (merasa dan menghayati kebesaran dan kehebatan Allah) dalam diri-diri kita, InsyaAllah. ameen, ya Rabbal Alamin.

Siri novel MAKNA PADA RASA bab 39

cover MAKNA PADA RASA copy

Assalamualaikumwarahmatullah hiwabarakatuh…

Doa keselamatan buat semua. Moga diri-diri kalian dalam peliharaan Allah sentiasa. Terima kasih kerana sudi mengikuti kisah ini…

At this moment, MAKNA PADA RASA sedang di’belasah’ oleh personal editor saya. Makkk aii! ada je perkataan yang tak sesuai, ayat tak bawa maksud hehe… dan fakta-fakta habis kena digeledah… adeh! banyaknya kelemahan dan kecuaian. tapi apa pun, syukur ya Allah kerana datangkan hamba-Mu yg sudi memaksa diri mengedit tulisan Juea yang caca merba ni. (sebab dia jenis tak baca novel!)

mohon doa semua ya. bab-bab yang akan bersiaran di blog juga dah nak sampai ke penghujung. moga2 semuanya berjalan lancar sebelum Juea mulakan novel baru di blog ini, insyaAllah. berkat sokongan kalian juga!

so, enjoy bab 39 here…

Fee Amanillah!

Bab 39

Ketika menuruni anak tangga bersama teman-teman seperjuangannya setelah selesai perbincangan di bilik mesyuarat tadi, langkah Nuqman terhenti. Dia terpandang ke tengah-tengah The Turban di mana Puteri terpacak berdiri dan terpaku melihatnya. Sekarang Puteri tidak ada lagi di situ. Hanya simpang-siur manusia yang semakin kurang bila malam semakin lewat. Tiba-tiba The Turban terasa sunyi dan tidak berseri.

“Abang! Kenapa?!” Najjah menegur dari belakang.

“Ha! Najjah ke mana tadi? Habis meeting, terus hilang…,” Nuqman bijak mengawal diri. Najjah sudah menyainginya dan menyambung langkah menuruni anak tangga bersama.

“Najjah ke pejabat. Hantar fail-fail tadi. Lepas tu order makan untuk kita semua. Heavy discussion, kan… mesti semua lapar dan penat!” Nuqman tersenyum bangga dengan Najjah yang memang peka dan prihatin dengan sesiapa saja.

“Yang abang tiba-tiba tegak termenung di tangga tu, kenapa?” Najjah menyoal juga, tidak dapat menghalang rasa curiga yang membuak di dalam hati.

“Bila? Ohh…! Tak ada apa, abang teringatkan ibu. Rasa macam nak balik malam ni juga tapi nanti tidur ibu terganggu. Abang balik esok sajalah. Nak ikut?” Cepat Nuqman berdalih. Memang ibu yang berada dalam fikirannya tadi tetapi itu sebelum langkahnya terhenti.

“Hurmm… naklah sangat! Tapi… Najjah baru balik sini pagi tadi. Kak Sarah bagi banyak kes untuk team kami buat kaji selidik hasil program LGBT tempohari. Lepas tu Najjah nak prepare barang-barang nak balik asrama lagi… macammana ya…?!” Wajahnya gundah, berkerut seribu. Hatinya melonjak-lonjak hendak balik bersama Nuqman. Bukan mudah untuk dia dapat meluangkan masa dengannya. Ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.

“Macammana apanya? Stay and do your work. Baru je balik bercuti lama dengan ibu, kan? Tak habis nak bermanja lagi?!” Usik Nuqman, menduga hati gadis itu.

“Isyhh.. abang ni!” Bentak Najjah dengan muka yang semakin mencerut. Nuqman ketawa lepas.

“Ala… abang balik kejap je. Kalau dapat bawa ibu ke sini, abang bawa. Sebab abang tak boleh lama di kampung. Macam-macam hal di sini yang perlukan perhatian abang. Najjah call ibu, pujuk ibu supaya ikut abang, ya…” Dia tiba-tiba mendapat idea.

“Great! Kita bagi ibu rasa duduk kat The Turban ni, tengok berapa hari ibu boleh bertahan!!” Mereka ketawa serentak. Bukan mereka tidak tahu, ibu paling tidak betah kalau tinggal di bandar. Tidak ada tempat yang lebih istimewa di dunia ini bagi ibu melainkan Mekah dan rumah peninggalan arwah ayah tersayang.

“Abang Nuqman!”

“Ha! Miq… nak ke mana ni?” Nuqman yang sudah menjejakkan kaki ke lantai aras bawah The Turban terkejut melihat Miqdam yang berlari menuruni anak tangga di belakangnya.

“Nak ke RC, Bukit Bintang, bang. Saya tak dapat join makan-makan raikan abang balik. Maaf ya. Saya nak jumpa ayah Nizam. Ada hal sikit. Esok, saya update abang…” Miqdam mohon diri sambil melangkah ke pintu masuk utama.

“Eh! Tunggu! Abang ikut…”

“Abang! Semua orang tengah tunggu abang tu! Nak makan sama malam ni…!” Terjerit Najjah dibuatnya, terkejut dan tidak percaya dengan tingkah Nuqman yang tiba-tiba mahu pergi begitu saja.

“Najjah, sampaikan salam abang. Tak apa, tadi dah jumpa. Esok pagi abang belanja sarapan di sini. Abang ada hal penting nak jumpa ayah… abang pergi dulu, ya!”

“Abang!”

Panggilan Najjah tidak bersahut kerana Nuqman dan Miqdam pantas melangkah pergi. Najjah menghela nafas hampa. Nuqman selalu buat dia begini, ditinggalkan begitu saja kerana sentiasa ada hal lain yang lebih penting darinya.

Mengeluh dalam setiap langkah yang diatur lambat ke kafe Peace Yo!, Najjah memujuk hatinya yang terasa remuk. Entah kenapa, bahagia bersama Nuqman selalu datang sekejap saja. Kejutan petang tadi di meja makan di taman bunga membuatkan hatinya berlagu riang. Hampir lima belas minit dia resah gelisah menanti siapakah yang akan muncul. Meja di kafe Peace Yo! yang dipilih itu terletak di tepi sekali, paling dekat dengan rimbunan pokok-pokok bunga melur dan melati. Kafe Peace Yo! direkabentuk seperti gerai dalam taman atau kiosk. Memang cantik dan suasananya romantik. Malu pula bila teman-teman melihat dia bersendirian di situ menunggu seseorang yang tidak muncul-muncul. Entah-entah si Miqdam mahu mempermainkannya, sampai begitu sekali fikiran Najjah kerana terlalu gelisah.

Tiba-tiba Nuqman muncul dengan sejambak mawar putih di tangan kanannya dan kek coklat aiskrim kegemarannya di telapak tangan kirinya. Ya Tuhan! Hampir pengsan Najjah dibuatnya kerana terlalu terkejut bercampur bahagia. Orang yang dirindui sekian lama tiba-tiba muncul di depan mata.

Ternyata bukan hanya dia saja yang terkejut, tetapi seluruh staf Peace Yo! yang sedang bertugas di situ. Habis Nuqman dan Najjah dikerumuni dan suasana begitu meriah dengan gelak tawa kerinduan. Dalam keriuhan itu, Najjah sedikit hampa kerana kalau boleh, Najjah mahu Nuqman meluangkan masa dengan dia seorang sahaja tetapi terpaksa akur yang dia harus berkongsi detik manis itu dengan yang lain juga.

Apapun, Nuqman membuatkan dia merasa sangat istimewa. Ah! Hati wanita mana yang tidak melonjak gembira bila menerima sejambak mawar dan kek kegemarannya dari lelaki sehebat Nuqman? Hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya rasa di dalam. Najjah tersenyum berseri sejak petang tadi sampai ramai yang menegur. Namun hatinya yang berlagu bertukar bisu tiba-tiba tatkala melihat Nuqman bersama dengan gadis itu beberapa jam yang lalu. Bukan Nuqman tidak pernah bertegur sapa dengan mana-mana gadis selama ini. Tetapi bersama gadis itu, tingkah dan riak wajah Nuqman terlalu berbeza. Mereka seperti di alam lain dan sedang sangat berbahagia?! Kalau itu benar, mengapa aku tak rasa bahagia bila melihat abang aku sendiri bahagia? Bukankah itu yang aku mahukan? Kenapa aku hanya mahu abang Nuqman untuk aku seorang sahaja? Ya Allah! Kenapa aku jadi begini? Hatinya tertanya-tanya dalam perasaan kusut dan keliru.

Siapa gadis itu? Persoalan itu terus berlegar dalam fikiran Najjah. Suasana dalam kafe agak hingar-bingar dengan perbualan mereka yang kebanyakannya masih membicarakan tentang topik perbincangan mereka yang hangat pada malam itu. Najjah makan hanya sedikit bagi mengalas perut kerana seleranya hilang entah ke mana. Akhirnya dia meminta diri untuk kembali ke biliknya terlebih dahulu dengan alasan yang dia keletihan.

Suara gelak tawa abang Norhan dan abang Nabil di rumah awal pagi tadi mengacah di ruang fikirannya. Mereka tahu yang Najjah mahu pulang ke asrama. Jadi mereka balik ke kampung untuk membuli Najjah, minta dimasakkan itu dan ini. Memang begitulah perangai pelik abang-abangnya. Dan dia teringatkan sesuatu… Ya! Senarai nama calon itu! Najjah terduduk di katil bujangnya. Bilik itu dikongsi bersama dengan lima orang lagi staf Peace Yo! yang bertugas secara tetap di The Turban. Mujur waktu ini ada yang masih di pejabat dan sebahagiannya ikut makan bersama di kafe tadi.

“Abang Man dah ada puterilah!” Tempelak abang Nabil selepas melihat apa yang tercatat di sehelai kertas yang abang Norhan ambil dari meja kopi di ruang tamu. Kemudian mereka berdua sama-sama ketawa, seolah-olah mentertawakan Najjah!

Najjah yang sedang mengacau ikan patin masak tempoyak di dalam periuk terhenti dan berpaling. Puteri?! Matanya membulat bila menyedari senarai nama calon isteri abang Nuqman berada di tangan abang Norhan sambil diperhatikan abang Nabil sambil tergelak-gelak. Panas hatinya lebih menggelegak dari panas kuah patin masak tempoyak di hadapannya.

Najjah berlari mendapatkan mereka berdua dan merampas kertas itu dari tangan abang Nabil. Cepat-cepat dia mengoyak kertas itu dan meramas-ramas sampai jadi kecil dalam tapak tangannya sambil matanya menyerlung dan giginya diketap rapat. Puas hati?!

“Menyibuk!!” Jeritnya lalu berlari ke dapur semula. Tergamam dan terkejut dengan tindakan Najjah, mereka berdua memprotes tidak puas hati dan waktu itulah ibu melangkah masuk membawa daun kesum.

“Bu! Teruklah Najjah ni, bu! Dia buang senarai nama calon isteri abang Nuqman. Kami pun nak tengok jugak!” Abang Nabil mula mengelenyar! Abang Norhan tersenyum-senyum lalu mencapai daun kesum di tangan ibu dan membawanya ke sinki untuk dibasuh. Sempat dia menjeling ke arah Najjah dan pandangan mereka bertaut seketika. Abang Norhan tidak pernah menang, pasti dia mengalah kalau bertentangan mata.

“Yang korang sibuk tu buat apa? Bukan untuk kamu, pun. Biarlah si Najjah buat projek dia…!” Tukas si ibu, tersenyum-senyum kerana amat memahami keletah anak-anaknya.

“Amboi! Siap buat projek lagi, Najjah?! Untuk abang dengan abang Norhan tak ada ke?!”

“Carilah sendiri! Sibuk je!” Najjah menjerit, geram. Tiba-tiba abang Norhan berdiri di sebelahnya, hanya diam memandang. Najjah yang tergamam, terkaku memandangnya. Abang Norhan meletakkan daun kesum ke dalam periuk, tersenyum dan berlalu pergi.

Puteri?! Diakah Puteri yang dimaksudkan abang Nabil? Rupa dan gaya gadis itu sememangnya persis seorang puteri. Benarkah abang Nuqman dalam diam-diam sudah berpunya? Tiba-tiba Najjah terasa pilu dan kehilangan.

“Ayah habis pukul berapa?” Soal Nuqman sambil menyedut minuman di kafe di lobi Hotel, tempat yang paling dekat dengan pintu masuk utama hotel itu supaya mudah melihat ayah Nizamuddin keluar setelah seminar selesai.

“Dalam lima belas minit lagi. Tapi mungkin lewat sikit sebab malam ni penutup. Semua panel utama hadir.” Beritahu Miqdam sambil menikmati Chicken Maryland di pinggannya. Nuqman mengangguk-angguk. Dia tidak ada selera hendak makan. Lagipun dia sudah makan lewat petang tadi bersama Najjah. Seronok melayan Najjah, dia tidak sedar berapa banyak dia makan. Itupun disebabkan ada sahaja menu baru yang disajikan staf Peace Yo! untuk dia mencuba. Demi meraikan mereka, dia yang tersandar kekenyangan.

Wajah Puteri muncul lagi dibenaknya. Ah! Malam ini Puteri tidak ada bersamanya. Terasa janggal dan bagaikan ada yang tidak kena. Berat rasa hatinya hendak balik ke The Turban tanpa Puteri di sana. Itulah antara sebab mengapa dia mahu mengikut Miqdam berjumpa dengan ayah Nizam. Selain memang ada perkara yang hendak dibincangkan, dia juga mahu menyibukkan diri dari memikirkan Puteri. Dan dia juga sedang berusaha menahan diri dari memandu ke rumah Tan Sri Hashim lewat malam ini!

Seorang wanita berpakaian serba hitam turun dari sebuah BMW 6-series hitam berkilat tiba-tiba menarik perhatiannya. Wanita itu memakai sesuatu di kepalanya seperti topi dan kain jarang yang menutupi kepala dan sebahagian mukanya. Baju yang dipakainya seperti kot yang besar dan labuh menutup seluruh tubuhnya. Dia diringi dua orang lelaki tetapi bukan seperti teman atau pasangan. Watak mereka seperti pengawal peribadi. Nuqman memandang dengan penuh minat dari dalam Kafe yang berdinding kaca.

Mereka melangkah masuk melewati pintu masuk utama dan kemudian berdiri di tengah-tengah lobi. Salah seorang daripada lelaki itu bercakap di telefon bimbitnya. Kemudian dia mengarahkan temannya membawa wanita itu pergi sementara dia menuju ke kaunter resepsi. Lelaki yang seorang lagi membawa wanita itu ke kafe di mana Nuqman dan Miqdam sedang menjamu selera.

Wanita itu duduk di meja yang berdekatan dan bertentangan dengan Nuqman sementara Miqdam pula membelakanginya. Lelaki itu berlalu dan memesan sesuatu kepada pelayan dan terus melangkah keluar dari kafe itu. Wanita itu hanya duduk diam di meja dan tunduk memandang meja yang kosong. Gerak gayanya seperti seorang model dan bukan wanita melayu. Walaupun sebahagian daripada wajahnya terlindung di bawah topi dan kain yang jarang itu, tetapi Nuqman dapat mengagak dari hidung dan bibirnya yang kelihatan cukup untuk menunjukkan dia seorang yang jelita. Anggun, tersendiri dan terasing, wanita itu benar-benar memukau. Tersedar beberapa pasang mata turut memerhatikan wanita itu, Nuqman kembali memberi tumpuan kepada Miqdam.

“Macammana dengan cadangan Dr Mustafa tu, abang boleh?”

“Haa? Hurmm…” Nuqman berfikir sejenak.

“Rasanya abang boleh luangkan masa sekejap esok malam. Taufiq mesti didekati cara santai. InsyaAllah, abang rasa tak ada masalah. Mungkin dia boleh jadi laluan kita untuk dapatkan pelajar-pelajar IPT yang berpengaruh untuk kita dekati. Peace Yo! mesti masuk ke semua IPT secara serius. Lepas tu, kita launch kempen Jihad di Timur Tengah. Abang perlu masa untuk bincangkan perkara ni dengan IHH supaya nanti mudah kita perpanjangkan ke sana. Strategi penglibatan golongan ni mesti dirangka lebih awal supaya mereka yakin hendak bersama dengan kita, bukan cakap kosong saja. Golongan muda lebih praktikal, nak cepat tengok hasil dan tindakan.” Miqdam mengangguk. Jentera Peace Yo! International mesti digerakkan mulai sekarang dengan kefahaman yang tepat. Peluang keemasan untuk mencipta gelombang persepaduan pemuda-pemudi Islam seperti ini mesti digunakan sebaik mungkin untuk mereka bersatu dan membina kekuatan secara global. Timur Tengah mesti dibantu secara menyeluruh, sistematik dan terancang.

Tiba-tiba seorang pelayan Kafe itu mendekati Nuqman dan menyerahkan sekeping kertas kecil yang berlipat. Nuqman teragak-agak mengambil dan membukanya.

TOLONG SAYA!

Nuqman terjeda lama kemudian terngadah memandang pelayan muda itu. Dia hanya tersenyum sambil memberi isyarat dengan mata ke arah luar. Nuqman ikut memandang. Wanita serba hitam tadi sudah bangun dan melangkah keluar dari kafe itu sambil diiringi dua orang lelaki yang datang bersama dengannya.

“Dia dah pergi…,” ujar Nuqman, terpinga-pinga. Miqdam mencapai kertas kecil itu dan membacanya. Pelayan itu berlalu.

“Eh! Tunggu! Adik…!” Miqdam cepat bertindak.

‘Ya, abang?”

“Adik kenal ke perempuan tu?” Soal Nuqman.

“Tak. Tapi biasa nampak dia ke sini…”

“Regular customer?”

‘Hurmm… tak juga, bang. Cuma kalau datang tu, dua tiga malam berturut-turut. Lepas tu lama tak datang. Dia cuma duduk, minum, lepas tu pergi… itu saja, bang…” Pelayan itu seperti jujur berkongsi maklumat. Nuqman mengangguk. Dia mengucapkan terima kasih dan pelayan itu pun berlalu pergi.

“Apa maksud dia, Miq?” Nuqman tersandar ke kerusi. Pelik! Nombor telefon tidak ada, alamat juga tidak ada, bagaimana hendak ditolong?

“Mungkin dia nak cepat tadi agaknya…”

“Atau mungkin dia takut?”

“Maksudnya mungkin dia akan muncul lagi…?”

Berbagai-bagai telahan mereka bincangkan. Tetapi semuanya menemui jalan buntu. Untuk mengekori wanita itu, memang sudah terlambat.

“Abaikan sajalah…”

“Apa yang nak diabaikan?” Singgah satu suara dari belakangnya. Nuqman terkejut dan berpusing. Ayah Nizamuddin tersenyum berdiri di sisinya.

‘Ayah!” Saling berpelukan melepaskan rindu, terasa sungguh kuatnya ikatan hati yang terjalin. Ayah Nizamuddin menepuk-nepuk dan mengusap bahu Nuqman, seorang anak lelaki sepertinya menjadi idaman kebanyakan pasangan suami isteri. Mengenali dan menjadi sebahagian daripada diri Nuqman sudah cukup membuatkan Ayah Nizamuddin bangga dan bahagia. Miqdam ikut berdiri, bersalam dan berpelukan dengan ayah Nizamuddin.

“Minta maaf ayah, tak sedar ayah masuk tadi…” Miqdam tersenyum dalam serba-salah.

“Itulah… lama juga ayah perhatikan. Asyik sungguh berbincang sampai tak dengar ayah bagi salam…,” giat Ayah Nizamuddin selepas mengambil tempat di sebelah Nuqman. Anak muda di hadapannya tersenyum-senyum dan saling berpandangan seolah-olah ada sesuatu yang dirahsiakan.

“Apa yang nak diabaikan tu?” Soal ayah Nizamuddin membuatkan Miqdam dan Nuqman terjeda.

“Err… hmm… Man dapat nota, ayah… dari seorang perempuan yang duduk kat meja belakang kita ni tadi.”

‘Amboi! Baru balik Malaysia, dah ada yang terpikat? Kuatnya aura Istanbul, Man?!” Mereka ketawa dengan gurauan Ayah Nizamuddin. Jarang-jarang Ayah Nizamuddin bergurau, tetapi bila sesekali terkeluar, boleh tahan gurauannya.

“Err… bukan macam tu, ayah. Sebab lain benar bunyinya. Cuba ayah tengok ni…” Tukas Nuqman, malu-malu. Kertas kecil yang berlipat itu diserahkan ke tangan Ayah Nizamuddin.

“Hmm… kalau orang perempuan minta tolong pada lelaki yang sopan bersongkok, elok jangan abaikan. Selalunya untuk kebaikan. Buatlah solat hajat untuk dia. Kalau Allah memang sedang menolongnya, siapa tahu kita yang dipilih Allah untuk jadi penolong. Buat kerja Allah, besar ganjarannya.” Dalam maksud kata-kata yang dilontarkan perlahan dari bibir Ayah Nizamuddin. Nuqman dan Miqdam menghela nafas lega. Hilang sudah kebuntuan mereka.

Oleh kerana malam sudah lewat, Ayah Nizamuddin segera menyerahkan fail yang berisi modul seminar dan pembentangan serta perbahasan yang dibuat sepanjang seminar Rumahtangga Asas Pembentukan Masyarakat Islam itu kepada Miqdam.

“Feedback yang kami dapat dari kuliah Solat Membina Peribadi Agung yang menjadi asas kekuatan rumahtangga dapat perhatian dan dibahaskan lebih lanjut di kalangan ahli panel. Hasil daripada itulah, mereka minta satu bentuk persembahan yang lebih dinamik dibuat samada dalam bentuk dokumentari atau pun makalah untuk diperpanjangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mungkin sebaiknya kita serahkan kepada Amir dan tim Seni Grafik untuk fikirkan perkara ni. Kalau ada masa, Man tolong tengokkan. Tambahkan mana yang perlu ditambah. Lepas tu, berikan satu salinan lengkap pada Dr Maisarah kita untuk rujukan kelab Adam dan Hawa.”

Jelas dan tegas aturan kerja yang diberikan Ayah Nizamuddin yang sangat memudahkan kerja Miqdam. Nuqman mengangguk tanda bersetuju. Ini memang satu anjakan paradigma yang besar dalam program meningkatkan prestasi institusi kekeluargaan dan seterusnya masyarakat Islam.

Giliran Nuqman pula meringkaskan hasil perbincangan mereka tadi kepada Ayah Nizamuddin yang tidak dapat hadir. Dia juga melontarkan beberapa kemusykilan atas gerakerja yang mereka rancangkan terutama sekali dalam program gerak-gempur pendedahan kronologi kemelut di Timur Tengah yang dicadangkan. Kata hatinya ada sesuatu yang lebih patut didahulukan daripada perkara itu.

“Macam ni lah, Man, Miq… kalau kita hebahkan tentang kekejaman, penganiayaan, natijah-natijah peperangan yang dahsyat tu, apa yang akan berlaku? Marah! Benci! Timbul rasa dendam, mula bersemangat untuk bangkit melawan. Semua tu atas dasar emosi, betul tak? Cuba kita kaji dalam sejarah dunia pula, apa hasilnya berjuang atas dasar emosi? Pemberontakan, penggulingan, perpecahan, rampasan kuasa, perang dan makin ramai yang jadi mangsa. Bila berjaya pun, hasil pemerintahan belum tentu cemerlang. Negara dah punah ranah.

Kalau kita war-warkan tentang penderitaan mangsa perang, derita kanak-kanak, wanita dan orang awam, itu sudah pasti meraih sifat kemanusiaan, semua akan simpati, tak kira bangsa dan agama. Semua orang berdatangan, bertungkus-lumus membantu. Itu satu perkara yang mulia. Tapi peperangan berhenti tak? Syria belum reda, Gaza terus bergolak, Rohingya pula semakin kronik. Di mana tanda-tanda semua itu akan berakhir?

Jadi, apa sebenarnya yang boleh mengubah nasib Islam? Kuasa? Duit? Pemimpin yang bijak? Jom kita rujuk balik dengan Al Quran, Surah Ar-Ra’d ayat ke sebelas yang bermaksud:

‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri.’

Maksud ‘diri’ di sini ialah hati. Bila hati berubah, barulah diri berubah. Jadi jelasnya, kalau kita mahu nasib umat Islam dibela Allah, kita mesti mengubah hati-hati kita supaya sungguh-sungguh cintakan Allah dan Rasul. Rujuk balik dengan sejarah kegemilangan Islam dari zaman ke zaman. Bukankah nasib umat Islam itu berubah bila mereka benar-benar cintakan Allah dan Rasul? Persoalannya di sini, bagaimana mahu mengubah hati manusia, betul tak?” Nuqman dan Miqdam mengangguk serentak. Dan mereka memandang tepat ke wajah Ayah Nizamuddin kerana mereka tidak punya jawapan kepada persoalan itu.

“Peperangan itu sendiri sebenarnya dapat mengubah hati manusia tapi hanya bagi yang mahu memikirkannya. Itulah hikmah peperangan, untuk menginsafkan kita dan bawa kita balik kepada Allah dan Rasul. Hidup sebagai orang Islam sebenar seperti yang diajarkan Rasulullah. Jadi, ayah cadangkan, kempen jihad di Timur Tengah mesti disertakan dengan ilmu mendidik hati dan penghayatan solat. Sertakan juga bagaimana Islam kembali gemilang selepas jahiliah. Waktu ini memang tepat sebab di saat manusia rasa insaf, mudah kita tunjukkan jalan pulang…,” lembut sekali nada suara Ayah Nizamuddin dalam memberikan solusi. Nuqman dan Miqdam mengangguk puas.

“Memang sangat mulia untuk pergi berjihad. Tetapi berjihadlah dengan hati yang sungguh-sungguh cintakan Allah dan Rasul. Hanya jihad dengan hati yang begitu yang akan bawa kemenangan pada diri sendiri dan pada Islam seluruhnya. Jadi, kena persiapkan hati dari sekarang…” Satu konklusi yang mudah tetapi memerlukan proses yang sangat panjang. Tetapi itulah hikmah peperangan. Ia boleh menjadi pemangkin yang sangat hebat kepada perubahan hati-hati manusia.

Mereka berdua pulang ke The Turban selepas menghantar Ayah Nizamuddin ke rumahnya. Nuqman sangat puas kerana sepanjang perjalanan, banyak perkara yang dapat diperincikan lagi oleh Ayah Nizamuddin. Isu Timur Tengah bukan perkara kecil dan mudah. Susur galur dan simpang siurnya amat rumit dan untuk ditangani mengikut panduan Al Quran dan Hadis, mereka perlu sangat teliti dan harus merujuk kepada ulama yang lebih berpengalaman. Moga-moga pertemuan dengan beberapa ulama seperti yang dicadangkan oleh Ayah Nizamuddin dapat dibuat sebelum Nuqman kembali ke Istanbul bersama perancangan yang lengkap untuk diajukan kepada IHH. Itulah harapannya dan seluruh ahli Peace Yo! yang sudah bersemangat jitu untuk membantu kemelut yang melanda Timur Tengah. Bantuan kali ini pasti bukan hanya dari bentuk kewangan, keperluan asas dan perubatan tetapi program bina insan untuk sama-sama berusaha menjadi masyarakat Islam yang bermaruah dan merdeka.

Rasa letih menguasai dirinya sebaik sahaja kepala mencecah bantal. Dan serentak itu juga kelopak matanya tertutup rapat. Namun lenanya tidak lama. Bunyi ledakan bom mula kedengaran. Diikuti tembakan peluru misil dan mesingan yang sangat kuat bergema dari setiap sudut. Asap berkepulan dan keadaan jadi gawat. Itu yang dilihat dari jauh di perbukitan.

Dia sangat tahu apa yang sedang berlaku di sana. Kemanusiaan sedang diratah oleh iblis yang bertopengkan manusia. Kezaliman dan penganiayaan menguasai di mana sahaja mereka berpijak. Jeritan dan laungan silih berganti di antara ledakan-ledakan itu. Tubuh-tubuh yang menjadi mangsa letupan bom yang tidak bermata berkecai dan bersepai bersama bangunan tempat berlindung yang turut runtuh berserakan. Darah berhamburan di mana-mana. Nyawa menjadi begitu murah tidak bernilai. Cukuplah! Suara batinnya menjerit. Sampai bila agama suci ini akan terus dipijak-pijak? Allah Maha Pembela… kita mesti bangkit bertaqwa sehingga Allah membela kita! Bukankah Allah itu Pembela bagi orang-orang yang bertaqwa?!

Kelopak mata Nuqman tiba-tiba terbuka. Secepat kilat dia terbangun dan duduk tegak di birai katil. Ya Tuhan… keluhnya tidak berkesudahan. Lenanya tyerganggu lagi. Siapalah yang tahu betapa derita hatinya di dalam. Menyaksikan pertempuran antara tentera pembebasan Syria dan tentera Basyar dengan mata kepalanya sendiri ketika dia berpeluang melawat sempadan Turki bulan lepas membuatkan Nuqman sukar melelapkan mata setiap kali hendak tidur.

Suara meminta perhatian dan pertolongan serta laungan Allahu Akbar sentiasa kedengaran ketika dia berada di hospital di mana tentera pembebasan yang cedera dibawa keluar dari daerah Syria untuk mendapatkan rawatan. Namun itu tidak mematahkan semangat pemuda-pemuda tentera pembebasan yang terus mara dan masuk secara bergilir untuk meneruskan perjuangan. Jiwanya meronta, diri terasa amat kerdil dan tidak berupaya. Tuhan! Bantulah tentera muslimin! Menangkanlah agama-Mu di bumi ini, ya Allah! Dan bantulah kami mengubah hati-hati kami dan Engkau ubahlah nasib kami! Nuqman meraup muka, bermunajat sepenuh hati.

‘Sabarlah awak. Kan awak dah kata, Islam akan bangkit di hujungnya nanti. Masih ada masa kita nak baiki diri sebagai orang Islam. InsyaAllah… kita akan kuat semula…’

Kata-kata Puteri terngiang-ngiang di telinganya. Dan masih dia ingat bila tangan gadis itu melekap di dadanya, menenangkan gelodak jiwanya. Puteri! Kalaulah dia ada di sisinya saat ini seperti malam-malam sebelum ini…

Nuqman kembali merebahkan badannya. Bibirnya membaca beberapa surah dan dia terlelap juga akhirnya.