Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 38

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Ahlan wa sahlan ke blog juea yang tak seberapa ni. when wordpress statistic keeps showing viewers location from US, Egypt, Brunei, Singapore and Indonesia, Juea rasa sangat berterima kasih pada Tuhan. kerana dengan izin-Nya, I can reach u guys even when we r at a distance and still strangers. but love knows no bounds… alhamdulillah. thru my writing, I share and care… dengan doa buat kalian, walau di mana berada, moga dalam peliharaan Allah sentiasa. Amin ya Rabbal Alamin.

so, here’s bab 38…

Bab 38

“Mummy! Mummy!”

Nadia yang berdiri di verandah tersenyum melihat Puteri berlari keluar dari kereta mendapatkannya. Namun senyumannya mati apabila melihat gadis itu dengan lebih jelas. Berjubah labuh dan bertudung? Puteri? Dalam terpinga-pinga, tubuhnya didakap erat.

“Rindunya mummy!!”

“Ya… mummy pun rindu!” Mereka berpelukan buat seketika. Kemudian Nadia memegang kedua bahu Puteri, menjarakkan tubuhnya untuk melihat Puteri dari atas sampai ke bawah.

“Look at you! Apa ni, tiba-tiba macam ni?” Nada suara Nadia bercampur. Pelik ada, seperti jengkel pun ada. Puteri ketawa.

“Ika kan baru balik dari Istanbul. Jubah dan tudung-tudung kat sana cantik-cantik sangat, mummy! Ika belilah. Cantik tak?” Soal Puteri sambil berpusing-pusing menggayakan pakaiannya sambil ketawa.

“My daughter, kan… mestilah cantik! So, it’s a change of fashion or for good?” Soal Nadia kembali sambil menjeling seperti tidak puas hati.

“InsyaAllah, mummy. Ika nak pakai terus sebab mummy kata, cantik!” Kedua pipinya dicubit. Dan Puteri ketawa lepas. Ah Puteri! Manja tak habis-habis. Walau setegas manapun dia, gadis itu tetap pandai memanjakan dirinya. Rasa aneh menyerbu dalam hati Nadia dengan sikap Puteri yang begitu ceria. Sudah terlalu lama dia tidak mudah senyum dan ketawa seperti malam ini. Mungkin perubahan angin di Istanbul mengembalikan dirinya yang dulu.

“Ha, Nadia… kenapa berdiri di luar saja? Masuklah… Nor mana?” Tan Sri Hashim beriak selamba, menegur Nadia apabila dia melangkah masuk ke verandah. Pintu rumah sudah luas terbuka tapi wanita itu lebih suka berada di luar.

“Hurmm…,” Nadia menjawab acuh tidak acuh. Perbualan terakhir mereka di telefon masih berbekas di hatinya. Kalau tidak kerana Puteri, tidak mungkin dia menjejakkan kaki di sini. Pesanan ringkas dari Puteri membuatkan dia bergegas datang walaupun sudah terlewat. Dia banyak menghabiskan masa di pejabat menyelesaikan kerja yang tertunggak kerana demam kelmarin. Lagipun dia membawa hajat.

“Jom, mummy! Kita masuk. Mummy tidur sini, ya! Dah lewat ni… tak sangka mummy datang. Ika keluar makan dengan abah tadi…” Puteri memaut pinggang Nadia, mengajaknya masuk ke dalam rumah. Abah sudah berlalu tanpa sepatah kata. Agak pelik sikap abah terhadap mummy malam ini, desis hati Puteri.

“Duduk kejap, mummy. Ika nak ambilkan something untuk mummy, from Istanbul!” Puteri berlari anak ke biliknya. Kalau boleh dia mahu berkongsi segalanya dengan mummy. Tetapi watak mummy tidak seperti ibu atau Maliha atau mama Maliha… Dan mummy juga belum tahu yang dia sudah bernikah! Jadi apa pun kemelut jiwanya, dia tetap tidak punya sesiapa untuk dikongsi.

Nadia tersandar di sofa. Dia benar-benar tidak pasti bagaimana hendak memulakan. Membunuh dua ekor burung dengan seketul batu bukan satu perkara yang mudah. Namun dia bersyukur kerana laluan sudah terbuka. Kedatangan Ammar Bahrain di pejabatnya setelah hampir tiga tahun menghilang benar-benar mengejutkannya. Penat bertelagah dengan Zulkarnain yang tidak membenarkannya keluar ke pejabat kerana belum betul-betul sembuh berganti kejutan yang membuatkan amarahnya memuncak.

Walaupun tidak banyak yang dikongsikan Puteri selama ini tetapi perubahan drastik gadis itu ada kena mengena dengan anak muda yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Hampir setahun Puteri dibelengu kemurungan. Dan selepas itu dia bukan lagi dirinya. Berubah secara drastik, Puteri membimbangkan Nadia dengan gaya hidup bebas bersama teman-teman tetapi memencil diri bila pulang ke rumah. Bagaikan hidup dua alam, dia tahu gadis itu sedang menderita. Jadi, apakah bayaran yang setimpal untuk semua itu? Hanya dengan kata-kata maaf?

Ammar Bahrin diam tidak berkutik. Walaupun marah Nadia berhamburan, tidak seinci pun dia berundur. Tega berdiri di situ menelan apa sahaja kata-kata Nadia. Dan bagi Nadia pula, apa pun yang dikatakannya tidak akan pernah cukup untuk mengubat duka Puteri. Namun sikap Ammar yang menelan semuanya tanpa sepatah kata dan alasan membuatkan Nadia akhirnya terdiam.

“Saya salah, auntie. Apa yang auntie katakan tu betul semuanya. Saya sendiri sedang menanggung akibatnya. Sebab itulah saya sanggup datang jumpa auntie. Esok, adik saya Maliha nak bertunang. Auntie pun tahu mereka berdua rapat sangat. Saya harap auntie sekeluarga dapat datang ke majlis tu bersama Puteri. Tapi kalau dia tahu saya dah balik, dia tak mungkin datang. Maliha nak sangat jumpa dia, auntie. Dan kalau dia datang, saya nak ambil peluang… nak minta maaf pada Puteri. Saya… saya nak tebus balik semua kesalahan saya pada Puteri. Saya merayu pada auntie, tolonglah kami, auntie… tolong bawa Puteri ke majlis tu esok…,” sehabis daya Ammar Bahrin merendah diri dan memujuk. Datin Nadia Ruwaidah sahaja harapan terakhirnya.

Maliha sudah semakin murung menjelang hari bahagianya. Emelnya kepada Puteri sampai saat ini belum berbalas. Entah dibaca, entahkan tidak, Maliha bagaikan putus harapan. Dan Mama… masih menyebut-nyebut nama Puteri… Ammar Bahrain tidak betah lagi melihat kesedihan insan-insan kesayangannya.

“Semudah itu?!” Tukas Nadia, menyerlungkan pandangan matanya.

‘Tolonglah, auntie. Papa dan mama pun sangat berbesar hati kalau auntie sekeluarga dapat datang. Papa selalu sebut, dia banyak terhutang budi dengan keluarga auntie. Datanglah, auntie… saya merayu…”

Dan bukankah hutang budi dibalas budi?

Hati Nadia tiba-tiba bertukar rentak. Tan Sri Khaleef memang pernah menjadi anak didik papa. Hmm… mungkin percaturan ini bukan hanya untuk Puteri. Jadi dia mengubah fikiran. Anak muda ini harus dibantu.

“Taadaaa…! Special untuk mummy! Cantik tak?” Sebuah buku nota buatan tangan dengan potrait Aliye Berkel di muka depannya diletakkan di telapak tangan Nadia. Puteri tahu yang Nadia tidak kenal siapa Aliye Berkel. Puteri pun hanya tahu selepas membelek-belek majalah tentang Turki bersama Nuqman. Tetapi buku nota buatan tangan itu memang cantik dan istimewa.

“Ya… cantik! Aliye Berkel?” Nadia membaca tulisan kecil di kulit buku.

“Ohh… she was a famous Turkish artist back in the early nineties. It’s a handmade, mummy. Macam sesuai untuk mummy, kan?”

“Hurmm… thank you so much, dear. Seronok pergi Istanbul? Ika nampak ceria sungguh…” Soal Nadia sebaik saja Puteri melabuhkan punggung di sebelahnya. Terangkat kening Puteri sambil tersenyum lebar.

“Best sangat, mummy. Nanti kita pergi sama, nak tak? Mesti best kalau buat family trip ke sana, mummy!” Puteri menumpang dagu, mengadap Nadia dengan wajah teruja. Nadia hanya mengangguk.

“Habis tu, kenapa balik cepat sangat? Kata dalam emel, Ahad baru nak balik?!”

‘Sebab… Ika nak pergi majlis pertunangan Maliha esok. Ika tahu pun masa di sana. Kelam-kabutlah Ika balik!” Nadia terjeda seketika. Melindungi wajah terkejut bercampur lega, Nadia mengusap bahu Puteri.

“That’s my girl. Dah lama tak jumpa Maliha, kan?” Ujarnya, cuba menelah hati Puteri, mencari kepastian. Wajah Puteri berubah mendung.

“Yalah, mummy. Tak sampai hati pulak kalau tak pergi. Ika nak pergi kejap je. Nak jumpa Liha. Mummy nak pergi tak?”

“Memang Tan Sri Khaleef jemput kita sekeluarga. Tapi kalau Ika nak pergi, cukuplah jadi wakil. Sebab kebetulan, mummy ada mesyuarat penting esok. Kalau sempat, mummy pergi. Kalau tak sempat… Ika tolong sampaikan salam mummy pada Tan Sri dan Puan Sri ya. Nanti mummy message Ika to confirm.” Puteri mengangguk.

“Ok, mummy. Tapi harap mummy dapat datang. Ika ada teman kalau mummy datang. Eh, mummy duduk kejap, Ika ambilkan minuman,” Puteri bingkas bangun hendak menuju ke dapur. Tetapi lengannya dipaut.

“Tak usah! Mummy nak balik. Dah lambat ni. Mummy datang sebab nak jumpa Ika. Esok jadual mummy padat. Malam esok, kalau free, kita dinner ya. Apa-apa pun, mummy call dulu…” Nadia ikut berdiri. Bahu Puteri diusap lembut.

“Oklah, mummy. Janganlah kerja teruk-teruk sangat, mummy. Kena rehat juga. Tengok muka mummy macam letih sangat…” Puteri menyentuh pipi Nadia, memujuk. Nadia tersenyum sambil mengangguk.

“Ya lah, sayang. Mummy nak balik rehatlah ni!” Nadia melangkah keluar setelah bersalaman dengan Puteri. Puteri ikut keluar untuk menghantar Nadia ke kereta dan melambai sehingga kereta yang dipandu Nadia hilang dari pandangan.

Tubuhnya direbahkan ke katil sebaik sahaja pintu bilik ditutup rapat. Tubuhnya terasa amat letih namun hatinya terawang-awang. Saat dia melihat Nuqman berdiri memandangnya dari atas tangga dan sentuhan jemari Nuqman di ribanya terbayang di ruang mata silih berganti. Puas ditepis tetapi bayangan itu tetap juga datang mengacah di mata, mengocak rasa di hati.

Tuhan… benarkah dia pasangan yang Engkau takdirkan untukku? Bersama dia, aku rasa dekat dengan-Mu. Dalam dirinya, aku temui Engkau, ya Allah. Banyaknya yang aku pelajari tentang Engkau dan Rasul-Mu dari sikap dan didikannya. Beruntungnya kalau dia yang menjadi imam aku dan anak-anakku. Pasti aku dan anak-anakku hidup berlandaskan syariat-Mu kerana pimpinannya. Tetapi benarkah dia pasanganku? Atau apakah dia juga akan menjadi ujian dalam hidupku? Itulah persoalan yang diajukan bertalu-talu dalam hatinya sejak dia terpandangkan Nuqman berdiri di tangga tadi. Yakinkan aku, ya Tuhan. Jangan aku dipermainkan lagi!

“Dah hampir tiga tahun, abah kenal Nuqman. Bermula dengan satu projek perumahan di Johor, kami terus bekerjasama sampai sekarang. Nuqman yang abah kenal, lebih dari seorang arkitek. Pengalaman dia luas sebab dia banyak bekerja sambil belajar. Masa tu dia dah ada firmanya bersama dengan rakan kongsi yang berpengalaman, Barakah Associates di Selayang. Dia juga tubuhkan sebuah pertubuhan atas nama Teman Sejati di Gombak. Dia beli tanah di situ, kalau tak salah abah, lebih dari satu ekar.”

“Teman Sejati tu syarikat juga ke, abah?”

“Bukan. Pertubuhan amal. Nuqman desain seluruh tempat tu lengkap dengan surau, bangunan pejabat, deretan kedai dan dua buah bangunan hostel yang lengkap dengan dapur. Peranan Teman Sejati nak bantu masyarakat yang memerlukan macam gelandangan, penagih dadah, pesakit AIDS, remaja bermasalah dan macam-macam kes. Hostel itu menjadi rumah tumpangan percuma bagi mereka. Dari situ, Teman Sejati akan salurkan ke badan-badan berwajib. Semua perbelanjaan mereka ditanggung Barakah Associates.” Panjang lebar Tan Sri Hashim bercerita dalam perjalanan pulang. Sesuatu yang sudah lama ingin dikongsikan dengan Puteri tetapi dia tidak pernah memberinya peluang. Hanya malam ini, Puteri tenang membuka minda dan hatinya untuk mengenali siapa sebenarnya Nuqman.

“Teman Sejati tu masih ada, bah?”

“Ada. Terus beroperasi sampai sekarang. Bijaknya Nuqman mendidik jiwa orang, ramai gelandangan dan penagih yang berubah bila bersamanya. Nuqman dan teamnya sanggup bimbing mereka jadi manusia berguna dan dibantu bina semula hidup dengan berniaga dan bekerja dengan Teman Sejati. Daripada sampah masyarakat kepada aset. Sebab tu Teman Sejati berkembang laju. Bukan setakat di dalam negara tapi kerja amal mereka sudah dibesarkan sampai ke Afghanistan, Myanmar dan Thailand. Makin lama, makin ramai yang nak ikut membantu dan beramal, pertubuhan itu makin kukuh. Portfolio Barakah Associates juga makin hebat. Projek mereka meluas, dari perumahan, hotel dan pusat peranginan, ada kepakaran dalam merekabentuk kilang dan banyak lagi. Bagi ramai orang, Nuqman is really somebody!”

“Hurmm… kenapa Ika tak kenal dia, ya bah?”

“He’s a camera-shy! He lets his work does the talking. Tapi kami dalam industri, memang kenal dan banyak bercakap tentang Nuqman. Lagipun Nuqman tu, manalah ada skandal ke apa ke untuk digosipkan. Kalau ada, dah tentu Ika kenal!” Usik Tan Sri Hashim sambil menjeling ke arah anak gadisnya.

‘Eh, abah ni! Ingat Ika kaki gosip ke?! Tak ada masa Ika nak layan. Abah, The Turban tu… dia desain ke?” Tan Sri Hashim ketawa. Dia tahu Puteri bagaikan masih tidak percaya.

“Dia bukan saja desain The Turban, Ika. Dia juga desain fungsi, aktiviti dan kehidupan dalam The Turban. Itu cita-citanya. Nuqman desain model The Turban dan fungsinya sejak dia masih belajar lagi. Bertuah dia bila ada antara kawan rapat yang tahu, carikan dia peluang untuk merealisasikan The Turban. Ada pula pelabur asing termasuk Ismet, yang ada banyak pelaburan di Malaysia berminat dengan konsep The Turban. Dari situ mereka buat usahasama dan mula terbinanya The Turban. Rangkaian sukarelawan sosialnya pula bersepakat membentuk Peace Yo! International, klon Teman Sejati tapi di peringkat internasional. Sekarang, dah hampir setahun beroperasi, The Turban berjaya menarik perhatian ramai orang. Itu sebabnya Ismet dan rakan-rakannya merancang nak bina sebuah lagi The Turban pada skala mega dan cawangan Peace Yo! di Timur Tengah. Itu sebab Nuqman ke sana.”

Puteri terjeda lama. Jadi betullah apa yang Nuqman katakan padanya sebelum ini. Itukah Nuqman yang sebenar? Sedangkan Nuqman yang dia kenal hanyalah Nuqman yang tenang dan santai, yang selalu lembut memujuk, tersenyum mengusik dan bijak membolak-balikkan jiwanya? Memang dia sangat terkesan dengan jiwa juang Nuqman, penghayatannya kepada agama dan kemanusiaan. Tetapi untuk melihat Nuqman sejauh yang abah ceritakan, lelaki itu terlalu sederhana dan rendah hati pada pandangan matanya.

“Nuqman berjaya bukan sebab dia kerja kuat saja, Ika. Tapi peribadinya, aura dan kepimpinannya luarbiasa. Semua rakan kongsi, pekerja di Barakah dan pekerja khidmat sosial di Teman Sejati dilayan macam ahli keluarga. Mereka bekerja, beribadah dan makan bersama. Bukan saja mereka, siapa-siapa pun yang kenal Nuqman, hati mudah terpaut dengannya. Nuqman mudah ikat hati-hati orang dengan Tuhan dan cara hidup Rasulullah. Itulah rahsia Nuqman.”

Puteri mengangguk perlahan. Ya, dia juga merasakan semua itu. Benar kata abah, Nuqman tidak membawa orang kepada dirinya. Tetapi kepada Allah dan Rasul. Tepat sekali kata-kata abah dalam menilai diri Nuqman.

“Itulah suami Ika. Letakkan diri Ika sebagai seorang ayah, bila kenal lelaki macam Nuqman, Ika tak nak dia sebagai menantu? Sebagai pembimbing, pelindung anak dara kesayangan abah? Cuba Ika terus-terang dengan abah, apa abah silap dalam memilih menantu?” Terpejam mata Puteri mendengarnya. Tak, bah… abah tak silap! Keluh hatinya, mengalah.

“Cuba Ika bagitahu abah, apa yang tak kena dengan Nuqman sampai Ika masih nak tolak dia? Sebab dia tak layan Ika macam lelaki lain? Dia pentingkan kerja dari Ika? Ika nak lelaki yang boleh bagi perhatian pada Ika setiap masa?!”

“Abah!!” Tersentak Puteri dengan pertanyaan bertalu-talu dari abah. Terhenyak dia ke kerusi, tidak terkata.

‘Habis? Apa alasan Ika sebenarnya? Study? Ramai orang yang dah kawin dapat ijazah. Mungkin susah sikit tapi bukan mustahil, kan?” Puteri menelan liur yang terasa kesat. Kenapa abah begitu serius sekali malam ini?

“Abah tanya Ika ni, Ika dengar tak? Sampai bila Ika nak buat Nuqman tertunggu-tunggu?” Nada suara abah semakin menekan. Puteri resah gelisah.

“Ika… Ika belum bersedia, bah…” Dia memaksa diri menjawab pertanyaan abah dengan hati yang berdebar-debar. Semalam dia sudah tekad untuk memutuskan hubungan. Tetapi fikirannya jadi kelam-kabut sejak tiba ke tanahair. Kalaulah mereka berpisah di lapangan terbang semalam, semua ini tidak akan terjadi. Dia memang sudah bulat dengan keputusannya tetapi sekarang…

“Ika… Ika dah cukup dewasa. Sebab tu abah yakin dengan keputusan abah. Nuqman akan bimbing Ika, bantu Ika dalam apa hal sekali pun. Abah yakin sangat dengan Nuqman. Tak ada apa yang Ika nak bimbangkan. Dia cukup matang untuk Ika. Abah nak sangat tengok Ika bahagia dengan Nuqman. Lagipun, abah mengaku, abah gagal didik Ika. Sebab itulah abah pilih Nuqman. Abah nak Ika kenal Tuhan, taat, patuh dengan perintah Tuhan. Abah teringin nak anak yang beriman, yang soleh, solehah. Ika jadilah isteri yang baik pada Nuqman, ya sayang…” Tan Sri Hashim mengambil peluang memujuk anaknya sungguh-sungguh. Dia sudah lama menunggu saat ini untuk dia berterus-terang tentang hasratnya. Dia juga perlu mengungkai hubungan mereka supaya tidak lagi tergantung seperti sekarang. Dia yang memulakan, dia mesti menyempurnakannya.

Sebak hati Puteri mendengar nada suara abah yang sangat mengharap. Puteri sedar, dia banyak membebankan perasaan abah. Malah dia banyak mengambil kesempatan atas kepercayaan yang abah berikan selama ini. Dia masih menyesali perbuatannya yang bebas bersuka-ria di Langkawi setahun lalu sehingga membuatkan abah jatuh sakit kerana risaukannya. Kemarahan abang sulungnya, Hafiz meledak. Memang along yang paling tegas dan mengawal pergerakannya tetapi kerana turutkan kata hati, Puteri tidak mengendahkan itu semua. Dan kerana perbuatannya juga, akhirnya dia terikat dengan lelaki bernama Nuqman. Ya, itulah yang sebenarnya berlaku. Semua ini bermula dari dirinya. Dari kesilapan dan kelemahannya.

“Ika… ikut cakap abah, ya sayang. Kita langsungkan majlis perkahwinan Ika secepat mungkin. Abah nak Ika hidup selesa. Walaupun Ika masih belajar, Man pun banyak ke Istanbul, tapi kalau dah rasmi sebagai suami isteri, dah boleh atur hidup sama-sama. Tak macam sekarang, tak tentu hujung pangkalnya. Ika setuju tak?” Lagi rapat mata Puteri terpejam dengan pertanyaan abah kali ini. Patutkah dia hampakan niat baik abah? Setitis airmata mengalir di pipi. Kalaulah semudah itu, bah!! Bisik hatinya, gundah. Dia menekup muka dengan kedua tangannya. Susahnya, ya Tuhan!

Pertanyaan abah terbiar lama tidak berjawab. Puteri menghela nafas panjang dan membuang pandang menerobos cermin tingkap melihat malam yang semakin pekat. Ada lagi airmata yang tumpah dari tubir mata tetapi dibiarkan saja. Tiba-tiba abah menepuk-nepuk tangan Puteri diribanya. Tersentak dibuatnya hingga Puteri berpaling memandang abah. Abah tersenyum sambil memandang Puteri sekilas. Puteri terjeda dek senyuman itu.

“Tak apalah, Ika. Abah faham…,” Suara abah begitu merendah, bagaikan mengalah. Puteri yang hampir lemas tertekan dengan desakan abah, terkejut dengan perubahan itu.

“Bukan senang nak kahwin, kan? Abah yang lelaki ni pun tak lena tidur bila nak kahwin dengan ibu dulu!” Abah tertawa kecil di hujung kata. Puteri ikut tersenyum. Pipinya yang basah, diseka laju dengan belakang tangan.

“Err… ke-kenapa pulak, bah?” Bukankah abah dan ibu memang saling suka?

“Yalah, dilema juga… hidup bujang, kan seronok?! Boleh buat apa pun, orang tak kisah. Abah baru kerja masa tu, tengah seronok enjoy duit sendiri. Tapi ibu cantik sangat, abah risau kalau dia disambar orang. Selagi tak kahwin dengan ibu, memang abah tak senang duduk!” Cerita abah lagi. Mereka ketawa serentak. Jarang abah membuka sejarah silamnya kepada anak-anak.

“Haa… Ika tak risau dengan Nuqman? Nuqman tu ramai peminat tau, sampai pernah dipinang orang!”

“Hah?!” Jantungnya tiba-tiba hebat berkocak.

“Betul! Abah kenal orangnya. Anaknya berkenan sangat dengan Nuqman. Mak ayahnya siap pergi bertandang jumpa ibu Nuqman di kampung… tapi entahlah, mereka tak ada jodoh. Hmm… Nuqman tu, ke mana pun dia pergi, ada saja anak dara yang berkenan. Jangan kata anak dara, janda pun ada! Tapi Nuqman kekal membujang juga. Rupanya dia ditakdirkan jadi suami Ika. Ika beruntung, tahu!” Tan Sri Hashim sengaja menggiat. Naluri hati tuanya berkata, anak muda yang kuat emosi harus diserang emosinya hingga lemah dulu sebelum akalnya dipimpin.

Puteri tunduk tersipu. Debar hatinya semakin kuat berpalu. Wajah tampan Nuqman malam itu kembali mengocak hati wanitanya. Dan pasti selalu mengocak hati-hati wanita lain juga!

“Tapi abah tengok, Man sayang sangat dengan Ika. Sabar dengan kerenah Ika. Memang bertuah kalau Ika dapat hidup bersama dengan dia…,” abah tersenyum meleret. Terpaku Puteri mendengarnya. Kerana itulah yang dia rasakan sejak bersama Nuqman.

Akhirnya Puteri terlelap. Dengan senyuman Nuqman yang masih mengacah di ruang mata.

p/S: share your thots and comments. means a lot to me. Fee Amanillah…

Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 37

Salam semua,

come and lets get to know Nuqman better!

Bab 37

“Kita nak ke mana ni, bah?” Soal Puteri, teruja ingin mengetahui ke mana destinasi istimewa mereka malam itu. Beriya-iya abah mengajaknya keluar makan malam bersama. Malah meminta dia memakai pakaian yang istimewa juga kerana kata abah, mereka akan makan malam di sebuah tempat yang sangat cantik. Daripada dia melayan perasaan resah gelisah sejak petang tadi, lebih baik dia keluar dengan abah, hiburkan hati.

Tan Sri Hashim tidak menjawab. Cuma tersenyum panjang sambil tenang memandu Volkswagen Passat 1.8 TSI berwarna putih meluncur laju di lebuhraya utara selatan, membelah kegelapan malam. Malam itu dia memandu sendiri kerana dia benar-benar mahu meluangkan masa bersama puterinya. Tambah pula, mereka tidak perlu merentasi kesesakan lalu lintas di tengah kota raya untuk sampai ke destinasi yang dituju. Tidak lama selepas mereka melewati KLIA, Tan Sri Hasyim memberi signal ke kiri dan memandu perlahan di lorong kecemasan.

“Ika tengok di bawah sana tu…,” ujarnya tanpa menoleh. Puteri yang agak terkejut, terus berpaling. Sebuah bangunan kelihatan sungguh unik, putih serlah dan bercahaya di tengah-tengah kegelapan malam. Bumbung putih itu berbentuk seperti kedutan kain membaluti bumbung tengah yang berbentuk hampir seperti kubah dengan struktur granit yang berona hijau kebiruan. Bentuk bangunan itu… seperti serban! Bila mindanya menyebut ‘serban’, hatinya menyebut ‘Nuqman’!

“Cantik, kan? Kita nak ke sana sekarang…” Puteri terlopong.

“Bangunan apa tu, bah? Bentuknya macam serban… Ika tak pernah tengok pulak…”

“Ika… sibuk dengan interior je… bukan dengan bangunan!”

“Tak adalah, abah! Tapi yang ini Ika tak pernah tengok… memang cantik!”

Dari susur keluar tadi, mereka membelok pula ke jalan kecil menuju ke bangunan itu yang dihiasi lampu dan pohon-pohon palma di kiri kanan jalan yang diselangi dengan tumbuhan hiasan. Jelas bangunan itu baru dibina kerana terletak di kawasan yang belum diterokai. Di kiri, kanan dan belakangnya masih dipenuhi pohon-pohon yang merimbun.

Sungguh mengejutkan, walaupun kedudukannya seperti terpencil dan tersendiri namun kereta yang menjalar masuk dan yang memenuhi ruang pakir begitu banyak. Dari pintu masuk dan dinding kaca yang mengelilingi aras bawah bangunan itu, kelihatan simpang-siur pengunjung yang ramai dan meriah. Puteri menapak perlahan sambil tangannya melingkar di lengan abah kerana dia benar-benar menghayati keseluruhan rekabentuk luaran bangunan itu yang sangat menarik. Taman lanskap yang mengelilingi bangunan itu begitu kemas dan cantik selain dari hiasan lampu dan pohon palma, reka bentuk seni topiari bercirikan geometri pada tanaman hiasannya yang terdiri dari pokok-pokok teh liar, melati dan bunga kertas amat mengagumkan.

Dan sebaik saja mereka melangkah masuk, dia terhenti. Di hadapannya, sebuah ruang legar yang indah dan harmoni serta ‘hangat’ seperti ketika dia berada di Turki! Sebuah tangga yang besar berada di tengah-tengah ruang menyambung ke aras mezzanine dengan bercabang dua ke arah kiri dan kanan bangunan itu. Sementara itu, di aras bawah, di kiri dan kanan tangga itu, kelihatan ruang resepsi utama yang unik bagi menyambut kedatangan para tetamu. Menurut abah, di sebelah kiri adalah bahagian protokol dan bankuet untuk menyambut dan melayan tetamu rasmi. Di situ itu juga terletaknya surau yang sangat besar dan bersambung ke aras mezzanine yang menjadi ruang surau muslimah. Selain itu, terdapat juga dewan, bilik mesyuarat, bilik pameran dan di aras dua dan tiga adalah bangunan pejabat.

Bahagian sebelah kanan pula adalah souq bazaar yang terdiri daripada puluhan gerai yang menjual makanan, pakaian, aksesori, hadiah dan cenderahati selain dari butik dan restoran memenuhi aras bawah dan mezzanine sementara di aras dua dan tiga adalah hotel penginapan. Bangunan itu luas mengunjur ke belakang dan mempunyai empat tingkat semuanya termasuk aras mezzanine.

Memang jelas, surau yang berdindingkan kaca menampakkan lampu chandelier utama yang bergemerlapan di samping penataan lampu dinding membuatkan keseluruhan surau itu sangat bersifat mengundang sesiapa yang melihatnya. Bahagian bumbung surau yang kelihatan melengkung dari jauh menampakkan seolah-olah ruang dalamnya luas seperti masjid. Dinding cermin surau itu diselang-selikan dengan pelekat cermin dekorasi di bahagian bawahnya sangat cantik dan rekabentuk dalaman surau yang mudah dengan rona hijau dan putih membuatkan sejuk mata memandang. Dan di bahagian tengah luar surau terdapat laluan berlantai yang berpagar dan almari kasut diperbuat daripada kayu.

“So, malam ni abah nak ajak Ika makan malam dalam taman…” Suara Tan Sri Hashim mengejutkan Puteri yang sedang meneroka dengan pandangan matanya.

“Da-dalam taman?!” Nada suara Puteri jelas terkejut. Dia yang tercegat dan teruja di tengah-tengah ruang legar dan simpang-siur manusia itu tersentak dengan perkataan abah… makan malam dalam taman?! Itu mengingatkan dia kepada peristiwa petang tadi dan…

“Ahh… rezeki kita rupanya malam ini, dapat jumpa pemilik tempat yang hebat ini…,” suara abah putus di situ. Tan Sri Hashim sedang terdongak memandang ke arah tangga membuatkan Puteri ikut memandang ke arah yang sama.

Dan jantungnya berhenti berdegup sebaik sahaja dia melihat siapa yang sedang berdiri segak di atas tangga, yang sedang bersalaman dan berpelukan dengan seseorang!

“The lord of the house… Muhammad Nuqman! Abah ingat dia mungkin balik ziarah ibunya tapi dia di sini…” Tan Sri Hashim tersenyum lebar memandang Puteri yang terkaku memandang suaminya.

Saat itu, Nuqman sedang bergegas turun ke aras bawah untuk menyambut Dr Mustafa yang datang sebaik sahaja mendengar berita kepulangannya. Di pertengahan tangga, dia terserempak dengan Amir Hamzah yang mahu ke bilik mesyuarat. Sangkanya mereka akan bertemu dalam video conference sekali lagi. Jadi memang dia terkejut sangat apabila bertemu Nuqman di situ. Sebaik saja Amir terus ke bilik mesyuarat, Nuqman ternampak seorang gadis tercegat berdiri di tengah-tengah ruang legar The Turban dan sedang memandang ke arahnya. Dan gadis jelita yang memakai abaya hijau zamrud dan bertudung ayu berwarna senada itu adalah… isterinya!

Puteri Zulaikha!

Bagaikan mimpi melihat Puteri di situ. Puteri yang mengisi ruang hati dan mindanya sejak petang tadi, yang membuatkan dia tidak keruan kerana meninggalkannya dalam persoalan. Dan kejelitaan Puteri Zulaikha menyerlah sungguh malam itu, tambah pula bila disimbahi cahaya chandelier yang tergantung di tengah ruang. Abaya yang dipilih Nuqman ketika mereka membeli-belah di Grand Bazaar, Istanbul, menyerlahkan keangunannya.

Langkah Nuqman yang menuruni anak tangga satu demi satu dengan begitu perlahan amat mendebarkan jantungnya yang mula berdegup kembali setelah terhenti beberapa ketika. Dibaluti thawb atau jubah dan berserban serba putih serlah, ketampanan Nuqman amat menyerlah. Karismanya tersendiri. Gerak gayanya santun berbudi. Melihatkan jernih wajahnya, luhur senyumannya, marah dan curiga yang bersarang di hati Puteri terbang berserpihan. Betapa saat itu, dia ingin berlari ke pangkuan lelaki itu. Ya, lelaki itu miliknya! Suaminya!

“Assalamualaikum!”

Nuqman tersentak lalu berpaling ke arah suara yang memberi salam. Dr Ashraf yang baru tiba bersama isterinya Dr Maisarah, tersenyum lebar melihat Nuqman. Mereka bersalaman dan berpelukan, kemudian saling bertanya kbabar. Namun pandangan Nuqman bagai ditarik besi berani, mencari kelibat Puteri. Atau apakah dia sebenarnya terbayang-bayangkan…

“Assalamualaikum…” Tan Sri Hashim menegur penuh mesra. Dr Ashraf yang sememangnya mengenali Tan Sri Hashim pantas menjawab dan turut bersalam dan berpelukan. Puteri jadi kaget melihat suasana begitu, bagaikan orang Arab lagak mereka. Dia yang masih terpaku berdiri merasa sangat terasing dan serba-salah. Kenapalah dia berada di sini malam ini! Abaaah!!

“Kenalkan anak saya, Dr… Puteri Zulaikha,” Tan Sri Hasyim memaut lengan anaknya yang hampir bertukar menjadi patung di situ. Dr Maisarah menyambut huluran tangan Puteri, bersalaman dan menyentuh pipinya kiri dan kanan. Sementara Dr Ashraf, tersenyum lebar, mengangguk tanda perkenalan. Dan Nuqman…

Puteri tidak berani memandang wajah Nuqman. Dia tundukkan pandangan melindungi rasa gementar dan mengundur berdiri di sebelah abah. Seolah-olah mencari perlindungan. Nuqman pula tegak berdiri selepas mencium tangan mertuanya, kelu tak bersuara.

Dr Ashraf mengambil peranan, memperkenalkan Tan Sri Hashim kepada isterinya dan mereka berbual tentang perkembangan terkini di The Turban bagi memberi ruang kepada merpati dua sejoli itu untuk saling menyapa. Nuqman yang faham maksud mereka, melangkah mendekati Puteri.

“It’s so good to see you… here in The Turban…” Puteri menelan liur, memberanikan diri mengangkat mukanya, membalas pandangan Nuqman. Dia hanya mampu tersenyum. Nuqman terjeda dengan senyuman itu. Tiba-tiba dia rindu. Rindu teramat sangat pada Puteri. Ingin diraih Puteri ke dadanya. Ingin dikucup dahi itu untuk melepaskan rindu. Tetapi menjadi mustahil untuk dia lakukan semua itu di situ, di tengah ramai yang tidak tahu tentang hubungan mereka. Rindu yang terpaksa dia simpan demi untuk tidak mengundang fitnah.

“Kami cadang nak makan malam di sini, Man. Nak bagi Ika rasa suasana di sini. Mungkin sesuai dengan jiwanya…” Tan Sri Hashim menepuk bahu Nuqman sambil mengusik keduanya. Nuqman tersenyum dalam tersipu. Puteri langsung tunduk lagi memandang lantai. Dalam maksudnya!

“It’s beautiful here, Puteri. InsyaAllah, you’ll enjoy it…,” sampuk Dr Ashraf. Puteri hanya mampu tersenyum lagi dan mengangguk.

“Kami mintak izin pergi dulu, Tan Sri. Ada meeting di atas. Man, you’ll stay here. Abang uruskan apa yang patut dulu. Katanya Dr Mustafa nak datang?”

“Ya, abang. Man turun ni pun nak jumpa dia. He should be here now…”

“Ok. Man layan Tan Sri dengan Puteri makan malam di sini. Her first experience. So, jangan hampakan dia. Abang akan sambut Dr Mustafa dan bawa dia ikut meeting sekali. So, Tan Sri, insyaAllah kita jumpa lagi. Silakan menjamu selera…” Bijak Dr Ashraf mengatur suasana dan Tan Sri Hashim senang sekali dengan sikapnya. Selepas saling meminta diri, mereka beredar ke sebelah kanan bangunan itu menuju ke sebuah restoran dalam kaca!

Di tangga, Dr Maisarah memaut lengan suaminya, menghentikan langkahnya. Dr Ashraf berpaling kehairanan.

“Tengok tu…” Dr Maisarah memberi isyarat mata ke aras bawah. Dr Ashraf ikut memandang.

“Nuqman dan Puteri Zulaikha… padan, kan?” Dr Ashraf ketawa. Dahi Dr Maisarah berkerut memandang suaminya.

“Kenapa abang ketawa? Sarah rasa, Man sukakan Puteri. Sarah tak pernah tengok gelagat Man macam tadi dengan mana-mana perempuan…” Naluri wanita selalunya tepat. Dr Ashraf meraih tangan isterinya, menyambung langkah memanjat anak tangga.

“Kalau Man suka, apa salahnya? Elok sangatlah tu! Yang awak gelisah tu kenapa?”

“Man tu…!”

“Kenapa? Biarlah dia mengorat sekali sekala…”

“Isyhh! Abang ni!!”

Restoran itu benar-benar dalam kaca. Berbentuk segi empat tepat, seluruh dindingnya diperbuat daripada kaca. Bumbungnya juga dari kaca melengkung tetapi dilitupi tumbuhan menjalar berbunga kecil yang jatuh bergayutan ke dinding-dinding itu. Dikelilingi taman hiasan, ada binaan seperti kolam kecil yang dibina mengelilingi sebahagian daripada dinding kaca itu dan yang paling istimewa, ada air yang mengalir dari bumbung seperti air hujan yang turun dari cucur atap rumbia tetapi kali ini, air itu mengalir di sebahagian dinding-dinding restoran itu dan terus masuk ke dalam kolam itu. Tidak hanya cantik, tetapi juga nyaman dan damai.

Puteri melangkah masuk ke restoran itu dengan rasa kagum dan tertanya-tanya. Benarkah Nuqman pemilik tempat ini seperti kata abah? Atau dia hanya bertanggungjawab merekabentuk bangunan ini termasuk restoran kaca ini? Malu untuk bertanya dan rasa terkilan seolah-olah hanya dia yang tidak mengenali siapa Nuqman sebenarnya, dia memilih untuk diam dan memendam rasa.

Mereka bertiga duduk di meja kecil di tepi di mana air mengalir di dindingnya dan berjatuhan ke kolam kecil. Nuqman duduk di sisinya, membelakangi dinding. Dekat tapi jauh. Mereka selalu begitu. Di hadapan abah, Nuqman seperti kekok untuk berbicara dengannya. Tidak seperti di Istanbul, ada saja yang hendak dikongsikan. Dia rancak berbual dengan abah. Hanya sesekali bertanya itu dan ini kepada Puteri. Melindungi rasa sedih dan tersisih, Puteri menumpukan perhatiannya kepada rekabentuk dalaman restoran itu yang dikelilingi tumbuhan hiasan yang berbunga.

Asyik sungguh Puteri melihat suasana itu hingga tidak sedar, jemari diribanya diraup lembut. Dia yang tersentak cuba mengawal diri dan cepat-cepat dia melihat ke arah Nuqman. Lelaki itu berbual dengan mertuanya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Puteri tunduk melihat tangan Nuqman diribanya dengan rasa tidak percaya. Jemarinya dielus lembut. Puteri menelan liur. Bagaikan dia tahu betapa aku merinduinya!

Ingin dibalas sentuhan itu tetapi dia malu. Sentuhan Nuqman bagaikan membelai sekujur dirinya. Seolah-olah dia juga sedang melepaskan rindu. Wajah Puteri terasa hangat. Sentuhan Nuqman ketika di balkoni di Istanbul kembali terasa. Sentuhan yang membuatkan dia rasa dihargai dan disayangi. Rasa sebak datang menyerbu dalam dadanya. Nuqman!

“Ika! Haa… kenapa diam saja?” Puteri tersentak dan terngadah. Cepat-cepat ditarik tangannya tetapi saat itu juga Nuqman menggenggam tangannya dengan lebih kuat. Serentak itu, Puteri memandangnya dengan dahi yang berkerut. Dia masih selamba melihat menu dengan tangan kanannya. Bagaikan menyedari yang Puteri sedang melihatnya, dia menggelengkan sedikit kepalanya. Kemudian membalas pandangan Puteri sambil mengerdipkan mata. Amboi! Aneh sungguh lelaki ini!

“Tengoklah menu tu, kalau rindukan Istanbul, boleh order kebab…,” tegur Tan Sri Hashim sambil mengusik. Nuqman tersenyum, memandang Puteri sekilas. Terjeda Puteri seketika. Amat memahami maksud senyuman Nuqman.

“Ika…?”

“Err… ya bah! Ika… Ika tengok jap…” Kelam-kabut sungguh dibuatnya. Dengan hanya sebelah tangan kiri, Puteri membuka menu yang direkabentuk begitu cantik sambil mengerling ke arah Nuqman. Dia tersenyum simpul di sebalik menu. Puteri menghela nafas. Memandang abah sambil tersenyum. Rindukan Istanbul? Rindu sangat, abah!!

Mereka memesan makanan dan terus berbual. Pelayan di restoran itu semuanya lelaki dan memakai thawb, pakaian sunnah. Walaupun tidak sekemas kemeja dan seluar panjang serta tali leher kupu-kupu atau bow-tie, tetapi mereka nampak segak, bergaya, tetap pantas dan kemas bekerja. Jadi, etika pakaian dalam kerjaya bukan sebenarnya terletak pada rekabentuk pakaian tapi jatidiri seseorang itu. Bila makanan yang dipesan datang, barulah Nuqman melepaskan tangan Puteri tetapi tidak pandangannya yang membuatkan muka Puteri terus hangat dan memerah.

“Man, sementara Man di Malaysia, kalau Man nak tinggal dengan abah di rumah tu, bagi abah tak ada masalah. Ika pun nak balik hostel. Tinggal angah dengan abah saja di rumah…,” pelawa Tan Sri Hashim penuh makna. Dia sedar apa yang berlaku di depan mata. Dan dia bahagia. Cuma dia sangat keliru dengan sikap anak gadisnya sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, Puteri sukakan Nuqman. Di rumah tadi, hendak senyum pun susah. Tetapi di sini, bersama Nuqman, wajahnya berseri dan tingkahnya berbeza. Tan Sri Hashim menghela nafas sambil tersenyum memandang Nuqman yang terdiam lama. Puteri pula terkejut sungguh dengan pelawaan abah. Biar betul?!!

“Hurmm… rasanya Man terpaksa berkampung di sini, bah. Jadual Man penuh. Memang seronok kalau dapat berehat di rumah tapi dah macam ni cara hidup Man, harap sangat abah faham…,” Nuqman berterus-terang. Tan Sri Hashim mengangguk-angguk. Dia faham sangat. Hidup Nuqman tidak seperti orang lain. Dia tidak kenal erti penat.

“Ika, inilah Nuqman. Susah nak jumpa lelaki macam dia. Di sinilah rumahnya, pejabatnya, pertubuhannya, kawan-kawannya dan perjuangannya. Dari sini saja, semuanya berkembang di merata dunia. Ika kena belajar sesuaikan diri. Yang terbaik, kalau Ika dapat membantu apa saja yang dia ceburi. Beruntung kalau bersama Man. Sebaik-baik manusia adalah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lain, betul tak, Man?” Tersedak-sedak dibuatnya Nuqman. Puteri pula tercengang. Tidak percaya apa yang didengarnya. Kerana Nuqman yang dia kenal, santai saja orangnya.

“Abah, sebelum ni Man bujang. Cuma nak mudah saja. Nanti Man kena duduk di rumah juga dengan isteri dan anak-anak,” jawab Nuqman, hati-hati dan penuh makna. Puteri menelan liur. Tan Sri Hashim ketawa. Nuqman, sekusut mana pun masalah, sebanyak manapun kerja yang dipikul, Nuqman tetap Nuqman. Tenang saja orangnya dan menenangkan orang lain juga. Pemikirannya matang, menjangkau jauh dan sentiasa di luar kotak. Peribadinya bagaikan intan di antara pepasir. Kalau wanita lain, Nuqman memang menjadi suami idaman. Entah apa yang tidak kena dengan Puteri Zulaikha!

“Apa program di sini hujung minggu ni, Man?” Soal Tan Sri Hashim ketika mereka berjalan beriringan meninggalkan restoran itu usai makan malam.

“Man tak pasti, bah. Baru sampai petang tadi, tak sempat lagi meninjau program di sini. Kalau yang biasa tu, kuliah subuh setiap pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad berjalan seperti biasa. Kalau ada apa-apa nanti, Man hubungi abah…” Tan Sri Hashim mengangguk. Puteri tercengang-cengang. Abah mengikuti program di sini?

“Abah nak bawa Ika pusing-pusing di Souq sebelum balik. Man pun ada meeting, kan? So, oklah Man, ada masa kita jumpa lagi, makan tengahari atau makan malam ke, bila-bila Man free…” Tan Sri Hashim menepuk bahu Nuqman. Sudah banyak masa Nuqman yang diambil untuk melayani mereka. Sedangkan dia ada perkara yang lebih penting untuk ditangani. Walaupun sebagai bapa, dia mahu melihat Nuqman menghabiskan banyak masa dengan anak gadisnya, tetapi dia tidak boleh mementingkan diri. Perjuangan Nuqman mesti dibantu bukan diganggu.

“Kalau boleh Man nak temankan sekali…” Nuqman serba-salah. Pandangannya tertancap ke wajah Puteri yang tiba-tiba mendung.

“Abah faham, Man. Tapi Man ada kerja yang lebih penting. Ika pun faham. Pergilah. Nanti banyak pula ketinggalan…” Tan Sri Hashim mencapai tangan Nuqman untuk bersalaman. Nuqman tunduk mencium tangan lelaki yang amat memahami dirinya. Kemudian dia tegak berdiri mengadap Puteri yang sudah terpaku memandangnya.

“Maaf, saya tak dapat nak bersalam dengan Ika. Bimbang jadi fitnah nanti. Esok, Ika nak jumpa Maliha, kan?” Puteri hanya mengangguk. Kemudian tertunduk memandang lantai. It’s a good bye, now…, hatinya berbisik lirih.

“Ingat pesan saya. Be there for her. Jangan bimbang sangat tentang Taufik. Kami akan bantu sedaya upaya. Take care of yourself…” Puteri mengangkat muka, mengangguk lagi sambil menelan liur, mengulum sebak yang tiba-tiba datang menyesakkan dadanya. Tidak mampu bersuara, dia hanya terngadah memandang Nuqman.

“Assalamualaikum…” Nuqman memandangnya buat beberapa ketika dan kemudian memohon diri lalu melangkah berat meninggalkan isteri dan mertuanya.

Dari aras mezzanine, di kepala tangga, seorang gadis memandang lama. Raut wajahnya kelat. Ada marah dan cemburu lahir dari pandangan matanya.

ps: ‘like’ if you like the story! Take care…

Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 36

Bab 36

“Sayang…! Sayang…!!”

“Hurmm…” Bahagianya!

“Kita dah sampai…” Sayup-sayup suara Nuqman menyedarkan Puteri dari lena yang panjang.

“Bangun, sayang…!” Bahunya dikocak lembut. Puteri memaksa matanya terbuka. Penglihatannya kabur tetapi perlahan-lahan semakin jelas. Dia di dalam kenderaan dan sedang terlentok manja di dada Nuqman. Bahunya diusap lembut. Terkelip-kelip matanya, terpinga-pinga.

“Bangunlah…” Bisik Nuqman lagi. Segera Puteri duduk tegak dan melihat keliling. Rumah agam milik keluarganya mengisi ruang mata menyentak kantuknya. Serentak itu dia berpaling.

“Kita dah sampai!!”

“Ya, sayang… kita dah lama sampai. Pakcik teksi ni dah lama tunggu kita turun dari teksi dia…,” ujar Nuqman lembut sambil meraih beg tangan Puteri lalu digalaskan ke bahu gadis itu. Kemudian dia mencapai dua jaket diriba lalu keluar dari kereta. Puteri menekup muka, malu!

“Err… mintak maaf, ya pakcik!” Pakcik teksi berpusing ke belakang sambil tersenyum, mengangguk. Pintu keretanya dibuka. Nuqman berdiri menunggu dia keluar. Beg bimbitnya dan bagasi mereka sudah dikeluarkan dari but teksi. Puteri keluar setelah mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi.

Tan Sri Hashim Fadhlullah keluar ke verandah, menyambut kepulangan anak dan menantunya. Nuqman sudah memberitahunya sebelum mereka bertolak dari Istanbul lagi. Hanya Tuhan yang tahu betapa bahagia hatinya melihat mereka berdua di depan mata.

“Abah!!” Puteri berlari mendakap abahnya. Rindu sungguh dengan abah! Dahinya dikucup dan Puteri terbuai dalam dakapan abah.

Nuqman memberi salam, cemburu melihat Puteri bermanja. Tan Sri Hashim menjawab salam dan menghulurkan tangan bila Puteri tersedar dan cepat-cepat meleraikan pelukannya. Nuqman tunduk mencium tangan mertuanya. Puteri tersipu. Dia ikut bersalam dan mencium tangan abah.

“Macammana perjalanan, Man?”

“Okay, abah. Alhamdulillah. Semuanya lancar. Cuma Ika mungkin penat sikit sebab tak sempat rehat lama…” Nuqman tersenyum memandang wajah isterinya yang ikut tersenyum tapi senyumannya kelat.

“Ya? Ika penat sangat? Anak abah ni selalunya lasak…” Tan Sri Hashim memaut dan mengusap lembut bahu Puteri yang makin tersipu.

“Eh! Ok dah. Tadi dah rehat sebelum ambik flight ke KL. Ika ok, bah…” Puteri tersenyum menyakinkan abah sambil menjeling tajam ke arah Nuqman. Detik-detik bersamanya sepanjang perjalanan pulang kembali menerjah fikirannya. Dan Puteri tertunduk malu. Tan Sri tersenyum senang, amat mengerti.

“Kalau macam tu, Ika pergi tengok apa yang Makcik Nor siapkan kat dapur tu. Boleh hidangkan, kita minum petang sama-sama… Man, mari masuk!” Puteri laju saja mengangguk patuh dan beredar ke dapur. Entah kenapa dia rasa malu sangat dengan abah…

“Berehat di mana tadi, Man? Berapa jam di Singapore?” Soal Tan Sri Hasyim sambil melabuhkan punggung di sofa.

“Kami ambil bilik hotel, abah. Tengok Ika penat sangat, bagi dia tidur sejam dua lepas sarapan. Lepas tu, baru nampak segar sikit. Sempat jugalah pusing-pusing bandar dalam sejam sebelum check in…” Nuqman ramah bercerita. Hatinya yang berbunga menguntum dalam nada suaranya.

Letih juga bahunya menjadi bantal tidur Puteri hampir sepanjang perjalanan. Manja sungguh anak Tan Sri Hasyim tatkala nyenyak dibuai mimpi. Sampai lengannya hangat dipeluk erat dalam lenanya. Tidak pasti kerana Puteri memang mahu bermanja dengannya atau mungkin kerana sudah biasa memeluk patung beruang. Namun dia bahagia sungguh saat bersama dengan gadis itu. Walaupun pada awalnya Puteri masam mencuka. Malah waktu makan di salah sebuah restoran di lapangan terbang itu, dia berkeras tidak mahu makan apa-apa. Puas Nuqman memujuk dan meminta maaf. Puteri terasa hati kerana dipermainkan. Dan juga kerana malu rahsia hatinya dapat dihidu. Akhirnya Nuqman diam membisu, membiarkan Puteri melayan rajuknya sendiri. Dia makan dengan berselera sekali. Lama kelamaan, Puteri jamah juga hidangan di depan mata.

“Kerja Man di sana, macammana? Dah selesai?” Sebenarnya Tan Sri Hasyim terkejut dengan kepulangan Nuqman. Tetapi baginya itu satu petanda yang sangat baik.

“Belum, abah. Semuanya dah selesai dianalisa dan dikemaskini. Sekarang tunggu kelulusan pihak-pihak berwajib. Man balik kejap sebab masih ada cuti berbaki. Dah Ika nak balik, Man temankanlah. Risau pulak dia travel seorang diri…”

“Hmm… elok sangat tu, Man. Abah pun risau masa dia ke sana. Tapi memang tak ada siapa yang free nak temankan dia waktu tu. Dah kebetulan Man balik ni, abah ingat nak raikan kamu berdua. Tak perlu tunggu lagi rasanya. Apa pendapat, Man?” Suara Tan Sri Hasyim sarat dengan harapan.

“Eh… Man tak ada masalah, abah. Mana yang baik, Man ikut je. Ibu di kampung dah lama bising nakkan menantu…” Nuqman tersenyum simpul. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tan Sri Hasyim ketawa mendengarnya.

“Nanti abah bincangkan dengan Ika dan abang-abangnya dulu. Oh ya, Ika ke mana, tak muncul-muncul? Man rehat kejap. Nanti kita minum sama ya. Waktu Asar pun dah masuk ni. Abah solat dulu. Man nak solat sekali ke?” Tan Sri Hasyim mahu memberi ruang sebenarnya. Dia amat mengharapkan Puteri duduk-duduk sambil berbincang dengan Nuqman tentang hajatnya. Mereka sudah kelihatan intim di matanya.

“Hmm… kami dah jama’ tadi, bah…”

“Ya tak ya, jugak. Ok, Man duduk kejap ya…”

“Ya, bah… silakan…” Tan Sri Hasyim berlalu ke dapur, singgah untuk berpesan kepada anak gadisnya, tetamu jangan ditinggalkan sendirian.

Sendirian di ruang tamu, Nuqman mengeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor Miqdam. Dia mahu memastikan yang Miqdam dapat datang menjemputnya di sini seperti yang dijanjikan. Dia perlu ke The Turban dengan segera tetapi harus meraikan mertuanya terlebih dahulu. Suara Miqdam memberi salam disambut mesra.

“Macammana, dalam setengah jam lagi boleh sampai? Abang boleh tunggu, tak ada masalah…”

“Iya?!” Nuqman ketawa.

“Hmm… oklah. Kalau macam tu, minta dia tunggu. Jangan ke mana-mana. Tapi jangan bagitahu dia yang abang nak datang. Biar jadi suprise! Tolong book untuk abang, special table in the garden, ya. Make an appointment with her so that she’ll be there when I come. And, can you get me her favourite chocolate ice-cream cake on the way here? Kalau boleh, belikan sejambak ros putih sekali. Kedai tu bersebelahan saja…”

Ada bunyi retak dan pecah di dalam dadanya. Ada rasa sakit bagai dihiris-hiris di dalam hatinya. Dulang ditangan digenggam sekuat hati, bimbang ada yang pecah berderai di lantai pula! Puteri terkaku mendengar perbualan Nuqman secara tak sengaja. Baru tiba, sudah ada temujanji?!! Special table in the garden?! Wow!! Panasnya hati! HER favourite chocolate ice-cream cake? Sejambak ros lagi?! Aku pun tak pernah dapat bunga?! Patutlah selalu belikan dia kek dan aiskrim kegemarannya, memang pandai ‘membeli’ hati perempuan rupanya!

Nuqman menyambung perbualan tentang hal-hal lain pula. Puteri menarik nafas dalam-dalam, mengumpul kekuatan. Dia tidak boleh melatah. Lelaki ini mesti dikaji sampai ke akar umbi sebelum dia tertipu lagi!!

“Jemput minum, encik Nuqman…,” pelawa Puteri dengan senyuman manis sebaik saja dia meletakkan dulang minuman di atas meja. Berkerut dahi Nuqman dengan kelembutan suara Puteri yang luarbiasa. Sampai dia tak mampu membalasnya tapi hanya tersenyum memandang Puteri yang sopan menuang air teh ke dalam cawan.

Puteri berlalu ke dapur sekali lagi, masih dengan senyuman manis. Senyuman itu bertukar menjadi jelingan berapi sebaik saja dia meninggalkan ruang tamu. Hatinya bagai disiat-siat. Mindanya berputar ligat. Mencari jalan bagaimana untuk dia tahu siapa gadis istimewa yang menunggu kepulangan Nuqman!

Sengaja Puteri berlama-lama di dapur. Walaupun kuih-muih sudah diangkat dengan minuman tadi, dia mengambil kek buah di dalam peti sejuk dan dipotong lambat-lambat. Makcik Nor yang becok bertanya khabar pun akhirnya terdiam bila melihat Puteri termenung jauh dengan pisau di tangan.

Suara abah mengejutkannya. Cepat-cepat Puteri menyudahkan kerjanya dan menatang piring kek itu ke ruang tamu sebelum namanya diseru abah. Padan muka tetamu itu yang tidak dilayan!

“Hah… Ika, abah ingatkan ke mana tadi!” Puteri tersengih.

“Bila Ika nak balik ke hostel?”

“Rabu, bah. Cuti umum Isnin dan Selasa. Lambat lagi… kenapa, bah?” Puteri melabuhkan punggung di sebelah Tan Sri Hasyim.

“Hmm… tadi abah ada bual dengan Man, kalau boleh abah nak langsungkan majlis kamu berdua. Dah kebetulan Man balik ni, abah rasa sesuailah kita buat perancangan. Sekarang pakai wedding planner je, mudah. Man dah setuju. Jadi elok kita langsungkan saja ya…”

“Ika tak setuju!” Bentak Puteri yang terkejut sungguh dengan bicara abah.

“Apa salahnya, Ika? Perkara baik tak elok kita tangguhkan…”

“Kan dah janji! Ika nak pegang pada janji. Ika belajar lagilah, abah…!”

“Janji tu tak salah diubah kalau sama-sama setuju. Ika teruslah belajar sampai habis. Man pun belum selesai tugas dia di sana. Jadi, abah rasa tak ada masalah. Cuma abah rasa tak elok kita sorok dari ahli keluarga dan orang lain. Eloklah kita buat majlis kenduri sikit, sederhana cukuplah.” Tan Sri Hashim cuba memujuk selembut mungkin. Sukar untuk menelah sikap anak gadisnya itu. Namun dia harus cuba mengubah keputusannya.

“Ika tak nak!” Tan Sri Hashim mengeluh. Sampai ke Istanbul bersama, hendak diraikan menolak pula. Sungguh dia tidak faham watak anak zaman sekarang.

“Tak apalah, abah. Saya tak ada masalah. Ika dah sah jadi isteri saya. Buat kenduri atau tidak, dia tetap isteri saya. Cuma yang penting, dalam apa pun keadaan, Ika dapat jaga status sebagai isteri saya. Itu saja yang saya minta…” Tenang Nuqman menyuarakan isihatinya demi mahu mengendurkan keadaan. Rasa kecewa dan terkilan dengan sikap Puteri disimpan jauh-jauh di dalam hati.

Tan Sri Hashim menghela nafas panjang. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Jelas raut kecewa terpamer di wajahnya.

“Baiklah, Man. Abah pun serba-salah. Abah tak suka nak memaksa. Cuma… fikir-fikirkanlah. Kalau itu lebih baik, kita bincang semula ya. Abah doakan yang baik-baik untuk kamu berdua. Minumlah, Man. Dah sejuk airnya…”

“Ya, abah…”

“Kuih orang lama-lama ni, Man. Tepung pelita ni favourite Ika, abah minta makcik Nor buatkan. Dengan Puteri tidur sebilik ni, makcik Nor buat sedap. Dia orang Kedah…” Tan Sri Hashim ramah melayan Nuqman sementara Puteri membatu mendiamkan diri. Nuqman yang sudah kenal lama dengan Tan Sri Hashim tidak kekok untuk berbual panjang. Dari kuih-muih sampailah kepada hal-hal perniagaan, macam-macam topik yang mereka bincangkan. Tinggallah Puteri yang menjamah tepung pelita dengan perasaan remuk-redam.

Bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah itu menghentikan perbualan mereka. Nuqman memohon diri dari mertuanya sementara Puteri bingkas bangun mahu mengelakkan diri.

“Ika, hantar Man ke kereta. Bungkuskan kuih untuk Man. Berselera dia makan tepung pelita tadi…” Tan Sri Hashim meningkah langkah Puteri. Anak mata Puteri berputar. Langsung dia menukar arah menuju ke dapur. Berselera konon! Entah-entah lakonan semata-mata!!

“Bila kita boleh jumpa lagi…?” Soal Nuqman, lembut setelah Puteri tunduk mencium tangannya.

“Entah!”

“Kenapa ni?!”

“Tak ada apa!”

“Sudahlah tu. Abah tanya saja. Kalau Ika tak setuju, tak apalah…”

“Hmm… saya ok je lah! Cepatlah! Nanti lambat pulak. Orang dah menunggu tu!” Dengan nada suara yang teramat jengkel, ditambah dengan jelingan maut, Puteri melangkah pergi meninggalkan Nuqman terpinga-pinga. Oleh kerana mertuanya masih tercegat berdiri di muka pintu, Nuqman cepat-cepat melemparkan senyum dan mengangkat tangan mohon permisi sebelum masuk ke dalam kereta dan berlalu pergi. Tan Sri membalas senyuman dan mengangkat tangan. Namun senyumannya hilang bila melihat Puteri melangkah laju masuk ke dalam rumah dengan wajah masam mencuka.

p/s: enjoy! [kalut… dah tak sempat msg melalut. kena kejar dateline! a self dateline!]

Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 35

Salam semua…

Bye bye Istanbul!

Bab 35

Tanpa menunggu jawapan, Nuqman melangkah keluar dari kereta. Bila Puteri tidak keluar sama, dia segera bergerak ke arah pintu kereta di sebelah penumpang. Pintu itu dibuka.

“Jom… last shopping sebelum balik. Hari ni dah tak boleh belek-belek lagi ya. Take it or leave it. Takut nanti terlepas flight…” Nuqman sempat mengusik. Puteri pula hanya memandang, terpinga-pinga.

“Shopping?!”

“Yes! Tuan Puteri di Grand Bazaar sekarang. Tempat yang kita datang dulu. Kalau nak ke Spice Market pun boleh lepas ni tapi kena cepatlah… nak balik packing lagi…” Nuqman serius risaukan waktu penerbangan malam itu kerana sikap Puteri yang tidak menentu. Macam tak mahu balik…

“Tak nak lah! Duit saya dah habis. Lagi pun tak ada apa yang penting nak dibeli…” Puteri masih bersandar di kerusi. Mukanya berkerut, memuncung.

“Ika! Saya kan ada! Cepatlah…,” Nuqman cuba memujuk. Puteri pula berpeluk tubuh.

“Saya tak nak! Kalau awak banyak sangat duit, baik awak bagi je kat diaorang tadi. Diaorang lebih perlu dari saya!” Dia berkeras. Nuqman menutup pintu lalu kembali duduk di kerusi pemandu.

“Ika… sebahagian dari pendapatan saya memang untuk orang yang memerlukan. Tapi sebahagiannya lagi untuk isteri dan keluarga saya. Ika bukan selalu datang Istanbul. Belilah apa-apa yang berkenan di hati untuk kenangan…”

“Dah! Dah beli dah tadi! Cukuplah tu… kita balik je, please…” Puteri mula terasa sebak tanpa sebab. Nuqman! Tolonglah jangan baik hati sangat! Lagi susah nak tinggalkan nanti… Puteri menghempas diri ke kerusi. Marah pada diri sendiri. Apa yang sudah berlaku pada dirinya?! Emosi tak tentu pasal!

Nuqman mengeluh. Dan mengalah. Kereta dipandu keluar dari kawasan itu dan terus menuju ke pangsapuri mewah yang mencatat begitu banyak kenangan manis antara dia dengan Puteri. Mungkinkah semua itu akan berulang lagi? Hatinya memanjat munajat.

Puteri terus ke bilik sebaik saja mereka masuk ke pangsapuri. Nuqman terpinga-pinga dengan sikapnya. Beg-beg kertas yang berisi cenderahati diletakkan di meja makan. Dia terkilan kerana tidak sempat membeli apa-apa untuk ibu dan adik-adiknya, juga team Peace Yo! dan staf The Turban. Jam ditangan ditelek. Masih ada masa! Nuqman terus ke bilik air, mandi dan berwuduk kerana azan asar akan dilaungkan sebentar lagi.

Pintu kayu itu hendak diketuk tetapi tidak jadi. Hasrat Nuqman mahu mengajak Puteri solat bersama tetapi pintu yang tertutup rapat sejak tadi buat dia ragu-ragu. Mungkin Puteri berehat dulu kerana keletihan. Ahh… biarlah. Akhirnya dia bersolat sendirian.

Sekeping nota memberitahu Puteri yang dia keluar sebentar dan akan pulang untuk solat maghrib bersama diletakkan di atas meja makan. Selepas itu, Nuqman keluar membelah kesesakan lalulintas di Sultanahmet untuk membeli beberapa cenderahati dan makanan istimewa Turki terutama Baklava!

Puteri yang baru selesai solat terdengar bunyi pintu utama ditutup. Bingkas dia bangun selepas mengaminkan doa sendiri. Pintu biliknya dikuak. Nuqman tiada. Dia keluar ke ruang tamu dan terus ke meja makan untuk mengambil beg-beg kertas di situ. Dan nota yang ditinggalkan Nuqman dibaca.

Puteri mengeluh lalu kembali ke biliknya. Beg bagasi terbuka di atas katil dengan segala isinya berhamburan memenuhi ruang katil. Dia memaksa diri menyambung kerja mengemas beg dengan berbagai rasa yang berbaur.

Patutkah aku beritahu dia sebelum balik? Atau lebih baik aku emel saja? Hmm…emel lebih mudah! Kalau dulu, waktu inilah waktu kemenangan baginya. Bila dia berjaya menawan hati lelaki, membuai perasaannya dan selepas itu mengoyak-rabakkan hati mereka. Bila mereka merayu dan mengharap, saat itulah dia akan menghancur-lumatkan hati mereka! Kemudian dia akan meraikan kemenangan itu dengan teman-temannya. Dia menikmati kepuasan dan kebebasan hidup. Dia menari berlantaikan duka hati insan bernama lelaki!

Tapi hari ini dia tidak pasti hati siapa yang akan koyak-rabak dan hancur-lumat. Yang pasti, Nuqman bukan lelaki yang mendewakan wanita. Jiwanya lain dari yang lain. Dan jiwa itu pastinya tidak akan mampu dihancur-lumatkan kerana dia jenis yang pasrah dan redha dan akan terus bergantung dengan Tuhannya.

Dan aku? Apakah aku akan rasa puas dan gembira? Mampukah aku menari selepas aku melukakannya? Sedangkan saat ini, aku dah gelisah separuh nyawa walaupun baru hendak berpisah! Persoalannya petang tadi sudah cukup menyentak diri. ‘Don’t you want me to be a hero?’ Aku tiba-tiba tidak sanggup kehilangannya!

Baju tidur yang dibeli Nuqman harum selepas didobi. Baju itu diraih ke dada, dipeluk erat seolah-olah mahu mengubati rasa pedih dan sedih di dalam. Bagaimana hidup aku nanti setelah meninggalkan Istanbul… dan Nuqman?!

Bagasinya sudah siap diletakkan di pintu. Puteri memandang sekeliling. Meja makan, sofa di ruang tamu dan balkoni itu merakamkan memori indah bersama Nuqman. Terutama di balkoni. Saat pertama kali dia benar-benar disentuh Nuqman. Seluruh tubuhnya terasa hangat dengan hanya mengingati saat itu.

Puteri menapak perlahan ke balkoni. Matahari semakin berlabuh. Cahayamya jingga kemerahan membias dalam riak gelombang Selat Bosphorus. Angin masih dingin cuma tidak sedingin waktu awal dia menjejakkan kaki ke Istanbul hanya beberapa hari yang lalu. Di sini dia menari. Dan di sini… dia jatuh dalam pelukan Nuqman. Like home… ya, bersama Nuqman selalu membuat dia terasa seperti sangat selesa. Walaupun saat bersamanya juga dia selalu teruji, hatinya mudah tersentuh dan jiwanya mudah bergetar. Tapi semua itulah yang membuatkan Puteri rasa kehilangan bila tidak lagi bersamanya seperti saat ini, dia hanya bersendirian di balkoni ini. Tanpa Nuqman, Selat Bosphorus seperti kelam menanti malam…

‘Ika pasti ke yang Ika boleh hidup tanpa lelaki? Sunyi tak berteman? Boleh uruskan hidup Ika dengan tak tersalah langkah?’ Kata-kata Nuqman kembali berputar dalam kotak fikirannya. Sunyi? Sunyi itu sudah menjadi sebahagian dari diriku, Nuqman…, bisik hati kecil Puteri.

Kehilangan seorang ibu yang lembut dan penyayang sudah cukup mencampakkan diri Puteri Zulaikha ke lembah sunyi. Tak tahu kepada siapa dia hendak mengadu, dia cuba meraih perhatian abah yang selama ini terlalu sibuk dengan kerjayanya. Sangkanya abah akan mengambil tempat ibu, menyayanginya sepenuh hati. Tapi sayang, setiap kali memandang wajahnya, abah jadi sedih dan mengurung diri. Kerana wajah ibu persis wajahnya. Tinggal dia terkapai-kapai dengan juraian airmata di luar pintu bilik bacaan abah yang terkunci dari dalam.

Ketiga-tiga orang abangnya dihantar ke sekolah berasrama penuh. Jarak umur di antara mereka secara tidak langsung turut menjarakkan hubungan. Mereka sudah matang berdikari. Hanya Puteri yang masih terpinga-pinga, saban hari semakin sedih semakin sunyi. Hanya ada anak-anak patung yang kaku tak bernyawa mendengar rengekannya yang rindukan ibu saban waktu. Hanya ada simpati orang gaji mereka, Mak Cik Nor yang tak punya masa kerana sibuk menguruskan rumah itu seorang diri tanpa ibu. Puteri sampai lupa bagaimana hendak ketawa sehinggalah mummy datang menghiburkannya. Sejak itu dia kerap keluar bersama mummy.

Tapi dunia mummy juga penuh dengan kesedihan. Di pejabat mummy, orang perempuan selalu datang menangis. Mummy dan kawan-kawannya setia mendengar dan menolong. Puteri juga ikut mendengar. Sejak itu, hidup Puteri bagaikan sentiasa suram. Tidak pernah berseri lagi seperti waktu ibu masih hidup. Sampailah waktunya Puteri menginjak dewasa, dia cuba untuk memberi ruang dalam hidupnya seperti gadis lain – untuk mencintai dan dicintai seorang yang bernama lelaki. Sayang seribu kali sayang, hidup Puteri bukan lagi suram. Cahaya pelangi yang datang rupanya tipuan semata-mata hinggakan pelangi itu bertukar menjadi malam yang panjang, pekat tidak berbintang. Puteri semakin sunyi dan tenggelam.

Entah bagaimana, akhirnya dia dapat bangun dari mimpi buruk yang panjang. Dia bebaskan diri yang terbelengu dengan harapan yang tak sudah. Pengalaman bersama dengan perjuangan mummy dan apa yang diharungi oleh diri sendiri membuatkan dia tekad untuk hidup sendiri. Tidak akan pernah mengharapkan sesiapa lagi. Dan kesunyian itu sudah menjadi dunianya. Jadi apa yang hendak dihairankan lagi, Nuqman?

Tapi kesunyian itu bagaikan hilang bila dia bersama Nuqman. Kenapa? Soalan Nuqman tadi berlegar lagi dalam fikirannya. Mampukah aku hidup tanpa lelaki? Pasti boleh! Selama ini aku hidup tanpa lelaki. Pasti aku boleh hidup tanpa Nuqman juga! Walaupun mungkin kesunyian itu akan berganda tanpa Nuqman… Puteri memejamkan mata. Rasa sebak semakin kuat dalam dada. Biarlah aku sakit sekarang daripada lebih menderita kemudian hari!

“Nuqman…!” Bibir Puteri membisikkan namanya.

‘Say my name…’ Suara Nuqman garau meminta.

“Nuqman…!” Bibir Puteri bergetar. Airmatanya mengalir juga ke pipi. Kenapa aku seperti tak sanggup kehilangannya?!

“Ika…?!” Namanya diseru. Puteri terngadah. Nuqman berdiri di sisinya, memandang kehairanan.

“Hei… kenapa ni?” Ibu jarinya sudah di pipi, menyeka airmata tanpa sempat disorok lagi.

“Sedih nak tinggalkan Istanbul?” Soalnya sambil tersenyum manis. Hati Puteri bagaikan luruh! Setitis airmata gugur lagi. Dagu Puteri diraih.

“Saya lama kat sini. Ika boleh datang lagi bila-bila masa Ika nak. Just let me know, okay?” Dia memujuk lembut. Puteri cuba tersenyum. Mata tak mampu menatap anak matanya. Kerana hati sudah menangis. Sebab dia tak mungkin akan ke sini lagi untuk bersama Nuqman. Tak mungkin!

“Oh! Come on…, senyumlah sikit!” Hidung Puteri ditarik membuatkan dia terngadah semula. “Ika cuma nak tinggalkan Istanbul. Bukan nak tinggalkan saya selama-lamanya, kan?” Dia ketawa mengusik. Puteri tersentak sungguh. Dia tak mampu ketawa. Apa lagi tersenyum. Dan airmata kian laju berguguran.

Tawa Nuqman hilang. Kepala Puteri diraih ke dadanya. Dipeluk erat. Apalagi, airmata Puteri bagaikan empangan pecah. Terlepas apa yang terbuku di dadanya. Tetapi Nuqman takkan faham. Sebab Nuqman tak tahu yang dirinya bakal ditinggalkan. Dan bukan Nuqman yang akan parah terluka tetapi…

Bunyi loceng di pintu mengejutkan keduanya. Puteri cepat-cepat menjauhkan diri, tunduk menekup muka yang basah. Tetapi tangannya diraih, pipinya diseka lagi dan dahinya dikucup lama.

“Please don’t cry… it hurts me to see you cry…,” parau suara Nuqman, sarat dengan rasa yang berbaur. Dan dia mengundur selangkah dua, masih memandang Puteri, kemudian berpaling dan bergerak pantas menuju ke pintu. Puteri menarik nafas yang makin sesak.

‘It hurts me to see you cry…’ Ohh Nuqman!

Kelibat seorang lelaki berbangsa Turki mengejutkan Puteri. Cepat-cepat dia mengeringkan airmata dengan baju di lengannya. Tak pasti samada dia harus ke ruang tamu atau tidak, dia membatu diri di jeriji besi itu. Seketika kemudian, Nuqman bergegas datang. Dia melemparkan senyuman. Puteri memaksa diri, cuba membalas senyuman itu.

“That’s Hussain, my PA kat sini. Dia datang nak transfer barang-barang dan fail-fail saya back to our office, dekat dengan site. Saya tinggal di sana juga. Cadangnya nak bawa Ika tengok tempat kerja saya tapi dah tiba-tiba kena balik, maybe next time…,” jelas Nuqman.

“Yeah… may be…,” halus suara Puteri, hampir tidak kedengaran.

“Jom… Hussain teringin nak jumpa Ika. Ismet dengan Khadeeja memang nak raikan kita, makan dengan kawan-kawan yang lain tapi… maybe next time…” Nuqman ketawa. Puteri ikut ketawa. Next time yang tak mungkin berlaku…, jawab hatinya, menahan sebak.

Puteri berkenalan dengan Hussain, kacak dan peramah orangnya. Fasih berbahasa Inggeris. Lebih mengejutkan, dia membawa bersamanya beberapa hadiah dari dia dan juga teman-teman yang tidak berkesempatan menemui Puteri. Terharu Puteri dibuatnya. Seolah-olah dia benar-benar menjadi sebahagian hidup Nuqman. Bagaimana kalau mereka tahu yang hubungan dia dengan Nuqman hanya sekejap cuma. Sambil menahan perasaan, Puteri minta diri ke bilik untuk memberi laluan kepada Nuqman dan Hussain mengemas barang dan apa yang patut.

Sebaik saja menutup pintu biliknya, dia berlari ke katil lalu membenamkan muka ke bantal dan menangis semahu-mahunya. Selepas itu, dia berkurung di dalam bilik air, membasuh muka yang sembab memerah sampailah azan maghrib berkumandang. Digagahkan kaki melangkah keluar dari bilik itu untuk solat berjemaah dengan Nuqman buat kali terakhir. Hussain sudahpun pergi. Sempat dia menitip salam buat Puteri. Nuqman juga sudah siap berserban, berjubah putih dan harum semerbak kasturi.

Puteri cuba menghayati solatnya, mengharapkan agar Allah mengurniakannya sedikit kekuatan untuk menempuh saat-saat seterusnya. Dan dalam dia memohon ampun, rasa bersalah dan berdosa semakin kuat terasa. Hanya pengampunan dari Allah yang dia harapkan di atas segala kelemahannya.

Usai berdoa, Puteri terlebih dulu menghulurkan tangan menyalami Nuqman sambil tunduk mencium tangan lelaki itu. Dan dia merelakan pipi dan dahinya dikucup lama. Kemudian cepat-cepat puteri melarikan diri ke bilik sebelum airmatanya jatuh lagi di hadapan Nuqman.

Jemari Puteri bergetar ketika bersiap diri untuk pulang. Nafasnya tersekat-sekat kerana menahan sebak. Dia beristighfar berkali-kali mencari kekuatan. Dia harus melalui detik yang amat payah ini supaya hidupnya lebih selesa dan kembali tenang.

Akhirnya, setelah menarik nafas dalam-dalam, Puteri meninggalkan bilik peraduan itu di mana dia dan Nuqman pernah melewati detik-detik manis bersama. Bibirnya tidak dapat menahan diri dari tersenyum bila teringat Nuqman pernah memanggilnya sayang… Tersedar yang dia akan jadi lemah dengan semua itu, pantas dia melangkah keluar dan menahan diri dari berpaling. Nuqman sudah siap berpakaian kemas menunggunya di ruang tamu.

Mereka ke lapangan terbang menaiki teksi, terus menuju ke balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk. Di kaunter daftar masuk bagasi, Nuqman mengeluarkan pasport dan dua pas berlepas. Kemudian dia meminta pasport Puteri. Dalam kehairanan, Puteri menyerahkan juga pasport yang diminta. Apabila Nuqman menyerahkan bagasinya untuk diperiksa oleh pegawai kastam, Puteri terlopong. Nuqman hendak ke mana? Sangkanya Nuqman membawa bagasinya untuk kembali ke tempat tinggal dekat dengan tempat kerjanya.

Kemudian bagasi dan beg bimbit Puteri pula diperiksa. Selesai pemeriksaan, Nuqman membawa bagasi mereka ke kaunter untuk ditimbang dan dihantar ke pesawat yang bakal mereka naiki. Sebaik saja Nuqman meninggalkan kaunter itu, Puteri menarik lengan Nuqman sekuat hati.

“Awak! Awak nak ke mana?!”

Nuqman mendekatkan wajahnya sambil tersenyum lebar. “I’m going back with you…!”

Bibir Puteri terus terlopong. Dadanya yang tadi sesak tiba-tiba ringan. Tetapi mata yang membulat itu semakin bulat. Dia terpaku memandang Nuqman dengan wajah yang tidak percaya!

“Kenapa awak tak beritahu yang awak nak balik sekali?!” Suara Puteri bergetar.

“Kenapa saya perlu beritahu?” Soal Nuqman semula sambil mengulum senyum. Hati Puteri makin panas dengan senyuman itu. Separuh mati aku berhempas-pulas menahan perasaan!

“Awak sengaja ya?!” Jari telunjuknya ditujah geram ke dada Nuqman. Sedikitpun dada itu tidak berganjak. Lelaki itu mengerutkan dahinya tetapi bibir mula menguntum senyum.

“Memang awak sengaja!!” Sakitnya hati! Puteri benar-benar tidak percaya. Hatinya jadi nanar. Rasa hendak melompat ada, hendak menjerit pun ada, hendak menumbuk lelaki itu lagi ada! Tetapi lelaki itu pula hanya ketawa.

“Isyyhh!!!” Dada lelaki itu ditolak sekuat hati dengan kedua tangannya, melepaskan perasaan. Dan Puteri berpusing lalu melangkah selaju yang boleh. Namun tidak sempat dia menjauh, lengannya ditarik kuat dan dia kembali terdorong ke dada lelaki itu lagi. Hidung bertemu hidung.

“You are not an open book. So, I have to have my ways to read what’s within…” Ujar Nuqman dengan senyuman kemenangan yang membuatkan amarah Puteri meledak dalam dadanya tetapi lidahnya kelu tak bersuara!

p/s: like if you want to read more… Bahagia selalu!

Siri Novel MAKNA PADA RASA Bab 34

Salam semua…

Here’s bab 34. enjoy! Moga ceria selalu…

Bab 34

Nadia terjaga dan terlelap semula beberapa kali. Tubuhnya masih lemah tetapi rasa makin selesa. Selesa dan damai. Apa tidaknya, sudah terlalu lama dia tidak dimanja. Terlalu lama!

Hakikatnya seorang perempuan, setabah manapun dia, sekuat manapun jiwanya, tapi bila diri dimanja, luruh segala lelah, dan hidup jadi teramat manis. Itulah yang dirasai Nadia saat ini walau sekuat mana dia cuba menafikannya.

Subuh tadi, dia dikejutkan dengan usapan lembut dibahu dan kucupan rama-rama di dahi dan di pipi. Kemudian dia dipimpin Zulkarnain ke bilik air, bimbang kalau jatuh lagi. Dia duduk bersolat di belakang Zulkarnain. Tak mampu solat berdiri. Entah kenapa, dia rasa tidak pernah setenang itu. Selepas berdoa, Zulkarnain merangkulnya ke riba, kepalanya bersandar di dada, dahinya dikucup dan kepalanya diusap. Lama mereka duduk begitu, di atas sejadah, diam tanpa sepatah kata. Biarlah hanya hati yang berbicara.

Usai sarapan pagi, tubuh Nadia dilap dengan tuala basah. Kemudian dia memakai pakaian yang bersih. Sekali lagi, Nadia dibelai hingga terlena. Dia tidur nyenyak, senyenyak bayi. Sehinggalah masuk waktu zohor. Zulkarnain mengejutkannya lembut. Dia akur, bangun mengerjakan solat bersama suaminya. Ya, suami yang dulu pernah membahagiakannya. Kini dia kembali… tetapi untuk entah berapa lama. Yang pasti dia akan pergi lagi…

Nadia sebak dihujung doa yang diaminkan. Dia tidak pasti kenapa. Yang dia pasti, dia ingin menikmati saat-saat bahagia ini sebelum dia pergi jauh membawa diri… untuk selamanya.

Sesuatu menyentak fikiran Nadia. Dia bingkas bangun duduk sambil bersandar di kepala katil. Kepalanya terasa ringan sedikit. Nafasnya semakin bertenaga. Syukurlah. Dia memandang keliling mencari kelibat Zulkarnain. Sunyi. Sepi. Perlahan-lahan dia menongkah tubuhnya, turun dari katil. Ke mana dia? Tak mungkin di dapur kerana mereka sudah makan tengahari selepas solat zohor tadi. Selepas itu, Zulkarnain berehat di sisinya di katil sehingga dia hanyut terlena sekali lagi.

Nadia bergerak ke tingkap. Langsir diselak dan kereta Zulkarnain tidak ada digaraj. Dia keluar?! Ke mana? Ahh… pasti balik bertemu isteri tercinta!

Langsir dihempas ke tingkap kaca. Dia memejamkan mata, menahan pedih yang menusuk. Aku tak hadap dia di sini! Dia memaksa kenyataan itu dipahat kukuh di hatinya. Pantas matanya menerawang ke seluruh bilik. Mencari beg tangan dan beg bimbitnya. Dia mesti bekerja!

Tubuhnya dihempas ke sofa. Telefon sudah ditekap ditelinga sementara tangannya membuka fail sambil dia meneliti sesuatu di dalamnya.

“Hadi…? – Emailkan akaun sumbangan ASAP! – OK, saya call balik nanti. Terima kasih.”

Komputer ribanya dibuka. Hadi yang hampir tiga puluh tahun berkhidmat di MegaSteel Berhad sangat cemerlang dalam tugasnya. Nadia yang masih menjadi salah seorang lembaga pengarah MegaSteel Berhad dengan pemilikan saham tiga puluh lima peratus di syarikat itu berhak untuk mengetahui aliran keluar akaun syarikat.

Dia mahu meneliti semula akaun sumbangan MegaSteel untuk membuat permohonan kepada Lembaga Pengarah supaya lima puluh peratus berbanding hanya sepuluh peratus sumbangan kebajikan syarikat yang disalurkan ke WWT yang kini semakin kekeringan dana sejak mereka dihujani pelbagai isu akhir-akhir ini. Dan untuk itu juga, dia terpaksa berdepan dengan abang iparnya, Tan Sri Hasyim Fadhlullah, Ketua Pengarah Eksekutif MegaSteel Berhad. Keupayaan Tan Sri Hasyim mengambilalih syarikat papa memang tidak boleh dipersoalkan walaupun pada masa yang sama, dia terus menerajui syarikat miliknya sendiri. Pengarah-pengarah yang memang sudah terlatih sejak berkhidmat dengan papa lagi memudahkan kerja Tan Sri Hasyim.

Emel sudah pun diterima. Nadia menghela nafas. Matanya meneliti senarai penerima sumbangan secara berkala dari MegaSteel Berhad. Dan penerima terbanyak antara empat puluh hingga lima puluh peratus adalah Peace Yo! yang didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Nadia terngadah. Siapa sebenarnya mereka? Jemarinya pantas mendail nombor peribadi Tan Sri Hashim Fadhlullah.

“Assalamualaikum…” Suara Tan Sri Hashim kedengaran agak tegas di hujung talian, tidak cuba bermesra seperti biasa.

“Waalaikumussalam… are you free? Need to talk…” Nadia sememangnya mengelak dari berbual kosong.

“Haa… Nadia, ya… ada apa macam tergesa-gesa saja ni?” Pernahkah Nadia tidak dalam keadaan tergesa-gesa sebelum ini? Tan Sri Hashim menghela nafas. Entah sampai bila Nadia tidak mahu menganggap dia sebahagian dari keluarganya?

“I dah semak akaun sumbangan. Ada pertubuhan baru – Peace Yo! dalam senarai penerima sumbangan, I tak tahu pun?” Kejengkelan jelas dalam suaranya.

“You’ve been abroad, Nadia. Lagipun Nadia lupa ke yang Nadia dah setuju untuk menyerahkan semua keputusan yang melibatkan dana dan sumbangan kepada budi bicara mesyuarat ahli lembaga pengarah bila Nadia berada di luar negara?”

“But why Peace Yo!? Sumbangan paling tinggi mencecah sampai enam puluh peratus? What does the company got to do with them?” Nadia menelan liur setelah menyedari kebenaran kata-kata abang iparnya. Namun kegusarannya tetap diluahkan.

“Kami buat keputusan tu berdasarkan cabang kerja amal pertubuhan tu sangat mencapah, Nadia. You can have the detail from Hadi…”

“When is the next review?” Pintas Nadia. Menyimpan gelodak rasa tidak puas hati.

“Kalau tak salah abang, sebulan lagi. Kita buat quarterly, kan?”

“WWT perlukan dana lebih. Banyak kerja yang perlu kami buat. So, I nak apply untuk dapat sumbangan lebih, mungkin lima puluh peratus. And I need your support supaya semua ahli lembaga pengarah setuju.” Nadia terus kepada topik yang mahu dibincangkan.

“Banyak kerja yang macam mana? To support LGBT? Nak buat seminar untuk bebaskan wanita dari kongkongan suami? Come on, Nadia! And you expect that the board of directors will go along with your agenda? I don’t think so…” Sinis sekali nada Tan Sri Hashim dalam menahan amarah yang mula hendak meledak. Nadia menelan liur. Pasti artikel tentang konferens tempohari sudah disiarkan. Dan program LGBT yang mendapat liputan media juga sudah sampai ke pengetahuan abang iparnya.

“Please be fair, Tan Sri! Mereka tu manusia macam kita jugak!” Nadia takkan mengalah. Apa lagi dengan abang iparnya yang tidak pernah dipanggil abang.

“Sebab mereka manusia macam kitalah, kita kena buat perkara yang sepatutnya, Nadia. Mereka memang tak salah tapi perbuatan mereka yang salah. Apa yang mereka lakukan tetap maksiat dan natijahnya buruk. Kalau benar Nadia ikhlas nak perjuangkan nasib mereka, then, bawak mereka balik ke pangkal jalan. Selamatkan mereka. Bukan perjuangkan hak mereka supaya hidup selesa dan terus bergelumang dosa. Itu bukan menyelamatkan! Itu sebenarnya menghancurkan! Abang betul-betul tak faham macammana Nadia berfikir! Nadia orang Islam, Islam ada caranya. Kenapa terikut-ikut dengan ideologi kawan-kawan seperjuangan Nadia yang dah jelas tak betul tu!

Lepas tu nak perjuangkan nasib wanita dengan menyalahkan undang-undang syariah, nak salahkan lelaki?! Fikir jauh, Nadia. Undang-undang yang sama di zaman Rasulullah dan para Sahabat, hidup wanita selamat dan bermaruah. Kaji sejarah, Nadia. Bukan menghukum dengan apa yang berlaku hari ni saja. Nak ubah hidup kita bukan dengan cara ubah orang lain tapi ubah apa yang ada dalam diri kita dulu. Nak ubah orang lebih susah dari nak ubah diri sendiri. Selamatkan nasib wanita dengan cara pimpin mereka jadi wanita solehah. Tuhan akan ubah nasib mereka!

Jadi Nadia jangan harap abang dengan ahli lembaga pengarah yang lain akan bantu Nadia dengan agenda-agenda yang merosakkan semua tu. Kami tak mahu terlibat. Tapi kalau Nadia nak perjuangkan nasib LGBT, nak bimbing mereka hidup normal, nak bimbing wanita taat kepada Allah, abang sanggup! Abang sanggup bantu apa saja yang Nadia nak. Nadia fikirkan dalam-dalam apa yang abang katakan ni…”

Tap. Talian diputuskan. Sebab semua ahli lembaga pengarah yang lain adalah lelaki seperti kamu…! Hati Nadia bergelodak marah. Kenapa tidak cadangkan kaum lelaki dipimpin supaya taat kepada Allah, supaya bela nasib wanita? Telefon tangannya dicampakkan ke sofa. Dia terhenyak sambil memejamkan matanya. Harapannya makin pudar. Matanya berputar memandang siling, mencari alternatif.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Pantas dia menyelongkar beg tangan mencari sekeping kertas yang tertulis nombor telefon di atasnya. Jumpa! Pantas jemarinya mencari telefon tangan di sofa lalu mendail nombor yang tertera.

Seorang lelaki bersuara garau menjawab panggilannya membuatkan hatinya berdebar-debar dan teragak-agak hendak memulakan bicara. Nadia menarik nafas dalam-dalam, mengumpul kekuatan dan membulatkan tekad. Anak kandungnya mesti ditemui.

“Saya cari mak… mak encik Fadhlan. Namanya Hanipah Hussin kan?” Nadia mencari kepastian.

“Ya.” Jawapannya ringkas bernada jengkel mematikan bicara Nadia. Sekali lagi dia menarik nafas, memaksa mindanya ligat bekerja mencari jalan.

“Err… di-di mana puan Hanipah sekarang? Saya… saya perlu sangat nak jumpa dengan dia. Boleh encik berikan alamat dia?” Nadia seakan merayu. Bimbang sungguh dengan nada dan aura lelaki itu walaupun hanya di talian.

“Kamu siapa?!” Semakin tegas suaranya. Nadia terlopong. Perlukah dia berterus-terang?

“Saya anak Tengku Nuruddin, puan Hanipah pernah bekerja dengan ayah saya.”

“Dia dah lama diberhentikan.” Ringkas kata-katanya semakin menyukarkan Nadia. Dia buntu.

“Ya. Sebab tu saya nak jumpa dia. Tolonglah encik Fadhlan. Tolong berikan alamat dia…”

“Kenapa? Kenapa tiba-tiba?” Ahh! Lelaki ini memang boleh buat orang jadi paranoid!

“Err… saya… saya dah lama cari… tapi tak jumpa. Saya ke kampung. Saya dapat nombor ni dari orang…”

“Ya lah! Tapi kenapa? Sibuk nak jumpa mak saya, kenapa?” Nadia menghela nafas lelah, mengalah.

“Anak saya! Saya nak jumpa anak saya. Mak Pah jaga anak saya!” Akhirnya terluah juga. Nadia sudah penat mencari helah daripada membuat pengakuan. Tawa lelaki itu yang kedengaran di hujung talian membuatkan dia rasa tercekik.

“Ohh… aku kenal kau! Anak datuk yang tak berhati perut! Hei! Kau ingat mak aku siapa haa?! Dah la jadi babu kat rumah kau, lepas tu kena jaga anak haram kau?!”

Nadia menekup mulut sebelum sempat jeritannya terkeluar. Airmatanya berhamburan. Anak aku bukan anak haram!! Ya Allah!! Dia sunguh-sungguh kehilangan kata.

“Hei perempuan! Kau dengar sini! Anak kau, aku dah jual. Aku tak bagi mak aku jaga anak haram kau! Jangan cari mak aku lagi! Kau faham!!” Dan talian itu terputus di situ. Seperti terputusnya nafas Nadia yang terhenyak ke sofa.

Jarum jam sudah menunjukkan angka enam. Zulkarnain memecut pulang. Pasti Nadia tertanya-tanya ke mana dia pergi. Sengaja dia keluar sebaik saja Nadia terlena selepas makan tengahari tadi. Sebab susah dia hendak memberi alasan kalau Nadia terjaga.

Kata-kata ibu Fahmi tadi sangat melegakan hatinya. Fahmi akan membawanya ke rumah sepupu ibu Fahmi yang selama ini memelihara anaknya. Walaupun sudah bertahun tidak mendengar khabar dari mereka tetapi menurut ibu Fahmi, sepupunya sangat menyayangi anak itu. Kerana mereka sudah sekian lama mendambakan seorang anak perempuan. Itulah yang paling penting bagi Zulkarnain. Sebak meruntun tangkai hatinya. Anaknya terpaksa menumpang kasih dengan orang lain kerana kesilapan dirinya. Dia berjanji, dia akan menebus segala kesalahannya dan seluruh kasih sayang dan perhatian akan diberikan kepada anaknya bila mereka bersama kelak. Untuk itu dia terpaksa memisahkan anaknya dari keluarga angkat yang sudah banyak berjasa itu. Dia terpaksa!

p/s: Sabar tunggu kesinambungannya ya!

Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 33

Assalamualaikum wbr…

Selamat hari pekerja! Tak kira apa pun pekerjaan kita, moga diterima sebagai ibadah di sisi Allah. Kerja apa pun selagi dalam syariat Islam, jika disertai dengan pergantungan kepada Allah dan tawakkal, insyaAllah akan sentiasa dibantu dan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Moga dimurahkan rezeki dalam kehidupan.

Ulasan Hakikat Cinta yang disiarkan dalam akhbar bila naskah itu diterbitkan, tulisan Juea dikatakan menongkah arus. Memang betul. Kerana penulis juga berhijrah! Banyak beza antara Cebisan Memori, novel pertama Juea dengan Hakikat Cinta. Malah di antaranya, ada sebuah novel yang hampir siap tapi Juea tinggalkan begitu saja. Kenapa? Sebab Juea belajar bahawa penulis sangat bertanggungjawab terhadap penulisannya hingga ke Akhirat sana! Jadi walaupun menongkah arus, Juea gagahkan juga demi misi perjuangan dalam diri.

Ceria selalu!

Bab 33

Nuqman mengerling jam tangan selepas selesai menikmati makan tengahari. Kemudian dia bangun sambil mengajak Puteri ke dek peninjau semula. Puteri teragak-agak. Rasanya dia serik untuk ke situ lagi.

“Saya kan ada?” Nuqman tersenyum mengerti. Tangan dihulurkan dan perlahan-lahan disambut Puteri. Mereka keluar melalui salah satu pintu restoran itu untuk keluar ke dek. Nuqman hanya membawa Puteri bersandar di dinding menara tanpa melepaskan genggaman tangannya. Puteri ikut bersandar dengan hati tertanya-tanya.

Tiba-tiba azan zohor kedengaran sayup bersahut-sahutan dari beberapa arah dan kemerduan serta kesyahduannya amat menyentuh hati seolah-olah memenuhi ruang udara bandaraya Istanbul. Puteri tegak berdiri menghayati laungan azan yang kedengaran amat luar biasa dari ketinggian menara itu. Entah kenapa, airmatanya mengalir. Kebesaran Allah sungguh terasa bila azan dihayati. Kata-kata Nuqman tentang bagaimana Allah memujuk dan memanggil hamba-hamba-Nya sangat terasa kebenarannya di saat itu. Maha Baiknya Engkau, ya Tuhan!

Selesai menjawab azan, mereka turun dari menara dengan perasaan yang berbaur. Nuqman memberitahu Puteri supaya berniat jamak takhir kerana mereka akan bersolat bila balik ke pangsapuri nanti. Puteri teringatkan sesuatu.

“Awak! Awak ada cerita pasal Atartuk dah tukar azan ke bahasa Turki kan? Jadi… macammana dapat tukar balik azan dalam bahasa Arab?”

Awak?! Bukan main sedap dia ber’awak’ dengan suami! Sabarlah duhai hati… bisik Nuqman sambil menghela nafas. Dia belum faham tentang isteri solehah. Hendak jadi isteri sebenar pun masih berdolak-dalik. Bagi Nuqman, apa yang dibuat dari hati yang rasa berTuhan, insyaAllah akan kekal dan ikhlas. Jadi, tak guna dia memaksa. Lebih baik dia terus mendoakan.

“Menderes… seorang pejuang agama. Ceritanya, dia naik kapal terbang. Something went wrong. Bila pilot umumkan yang mereka berada dalam kecemasan, Menderes bersumpah, jika Allah selamatkan dia, dia akan kembalikan Islam di Turki. Takdir Allah, hanya dia yang selamat dalam nahas tu. Wallahualam. Kalau kejadian tu benar, itulah bukti betapa Allah Maha Mendengar.

Jadi Menderes berjuang lunaskan nazarnya. Dia jadi calon pilihanraya, wakil parti Demokrat. Dia berani berkempen untuk kembalikan azan ke dalam bahasa Arab, izinkan ibadah haji, buka sekolah-sekolah agama, batalkan dasar kerajaan larang muslimah berhijab dan betulkan macam-macam lagi kerosakan hasil tangan Atartuk. Dia kejutkan semua orang bila menang pilihanraya dengan manifesto-manifesto tu dan jadi Presiden Turki. Sejak tu, Turki balik kepada cara hidup Islam sebenar tapi masih belum menyeluruh. Masih banyak sisa kerosakan yang Atartuk tinggalkan. Tapi Menderes dah buktikan kata-katanya, Islam dah kembali ke Turki, Alhamdulillah…” Nuqman bercerita secara ringkas.

Puteri menghayati setiap patah perkataan. Betapa sejarah lalu banyak meninggalkan pengajaran untuk masa yang akan datang. Benar kata Nuqman, menghayati sejarah bukan untuk lulus periksa saja. Tapi sejarah mampu mengubah diri kita malah dunia sekalipun.

“Waktu tu, apa yang terjadi dengan Atartuk?”

“Parti Demokratik pimpinan Atartuk kalah. Atartuk pulak mengadap kematian yang dahsyat. Khabarnya, dia rasa panas teramat panas sepanjang masa sampai dia arahkan bomba siram istananya dua puluh empat jam. Tak cukup dengan tu, mereka letak ketulan aisbatu dalam selimutnya. Tapi dia tetap menjerit kepanasan sepanjang masa sampai satu istana boleh dengar jeritannya. Sampai satu tahap, dia pengsan selama empat puluh lapan jam sebab panas melampau. Bila bangun, dia hilang ingatan, akhirnya meninggal dunia. Tapi tak ada seorang pun yang memandikan dan mengafankan dia sampai mayatnya diawet selama sembilan hari sembilan malam. Adik perempuan dia datang menebus mayat dan jalankan upacara pengkebumian tapi tak dapat sebab bumi tak terima. Mayatnya susah nak masuk ke liang lahad. Jadi mayat terpaksa diletakkan dalam keranda dan disalut dengan batu marmar sampai sekarang.”

“MasyaAllah… dahsyatnya!”

“Allah Maha Mengetahui…”

Mereka menyusuri semula lorong dan jalan yang sempit, berliku dan berbukit itu tanpa sepatah kata. Banyak sungguh yang berputar di minda dan bergelodak di hati. Nuqman mengajak Puteri singgah di antara kedai-kedai cenderahati yang berderetan. Dengan separuh hati, Puteri melihat-lihat juga apa yang dipamerkan untuk dibawa pulang. Namun sungguh, hatinya teramat berat untuk pulang!

Nuqman sekadar memerhati dari jauh dan sibuk dengan telefonnya. Dia juga membuat beberapa panggilan dan bercakap agak lama di talian. Dia sengaja berada di kedudukan yang agak jauh dari Puteri supaya perbualannya tidak didengari. Lagilah bergelodak hati Puteri dibuatnya. Hanya beberapa jam lagi mereka akan berpisah. Nuqman sudah mula sibuk dan macam tidak sudi melayannya lagi?! Hati Puteri mendongkol. Entah apa yang dibeleknya dan diperhatikan, dia sendiri tidak tahu. Hati dan perasaannya tiba-tiba kabur. Kabur dengan emosi yang bercampur aduk.

“Cantik tu, kenapa tak nak?” Suara Nuqman mengejutkannya di saat dia meletakkan semula replika menara Galata dalam bekas kaca di tempatnya. Puteri menelan liur. Tiba-tiba muncul! Tadi sibuk sangat…, hati Puteri membentak marah. Kenapa dalam sekejap saja rasa terasing dengan Nuqman buat dia marah dan gelisah? Macammana bila sudah berpisah selamanya nanti?

“Belilah untuk abah, along, angah dengan achik… saya belanja…,” Nuqman memujuk bila dia tersedar, wajah Puteri seperti orang makan jeruk yang masam.

“Isyhh… saya boleh beli sendirilah!” Tukas Puteri, menjeling dan menonong pergi ke bahagian lain. Ah! Sudah! Kenapa pula ni…? Hati Nuqman tertanya-tanya.

Puteri mencapai beberapa cenderahati yang ada sekitar tempat dia berdiri. Gadis penjual yang cuba memperomosi barang-barang cenderahati di kedai itu tidak dipedulikannya walaupun bukan main mesra dan petah dia berbahasa Inggeris. Tidak ramai penjual dan peniaga yang boleh berbahasa Inggeris di Istanbul.

Nuqman segera menuju ke kaunter dan mengeluarkan kad kredit sambil menunjuk ke arah Puteri yang sedang menuju ke kaunter. Tersenyum senang gadis di kaunter menyambut Puteri yang sudah kehilangan senyumannya.

Puteri terus membisu sepanjang perjalanan pulang ke Sultanahmet. Jambatan Galata yang bertingkat dengan rekabentuk menarik itu sudah tidak lagi menarik minatnya. Pemancing yang berderetan itu sudah tidak mahu diperhatikan lagi. Simpang siur kereta dan tram di atas jambatan besar itu tidak mahu dipandang lagi. Dia sedang sibuk, sibuk mengusir rasa sedih, sebak dan gelisah yang bergelodak dalam hatinya. Dia sedang sibuk menyakinkan dirinya yang dia harus pulang. Pulang dan meninggalkan Istanbul… dan Nuqman, untuk selamanya. Dan dia akan kembali tenang dalam kehidupannya tanpa gangguan lagi! Tenang? Tenangkah dia nanti?

Nuqman memang suka meneroka. Namun dia tidak pasti samada dia suka meneroka alam wanita. Dia tidak yakin yang dia akan tahu apa yang dia terokai. Alam wanita selamanya kekal misteri baginya. Sukar sungguh untuk memahami hati dan perasaan wanita yang lebih cepat berubah dari kerdipan mata!

Puteri mula tersedar yang mereka tidak menuju ke Sultanahment. Kalau tidak pulang ke pangsapuri, ke mana pula?

Kereta membelok ke kanan selepas menyeberangi Jambatan Galata, memecut laju di jalan raya. Tidak lama kemudian, Nuqman memperlahankan pacuannya. Dia asyik menoleh ke kiri jalan raya itu. Puteri ikut memandang sama. Sepanjang jalan itu, ramai sungguh orang yang menumpang teduh dengan keluarga masing-masing di kaki lima jalan di bawah deretan pepohon tinggi. Mereka kelihatan seperti gelandangan, dengan barang dan beg pakaian, juga pakaian di gantung dan dijemur di tali yang diikat di pagar jalan dan di pokok-pokok. Wajah mereka begitu asing… begitu tidak berdaya. Wajah-wajah yang kehilangan…

“Mereka tu antara ramai pelarian Syria yang melimpah-ruah di Turki. Kebanyakannya perempuan yang sudah kematian suami, bawa anak-anak lari selamatkan diri. Lelaki Syria kalau pun masih hidup, kebanyakannya tak sanggup tinggalkan negara, mereka bangkit berjuang lawan musuh…”

Puteri hampir tak dapat bernafas. Paparan video peperangan di Syria kembali terlayar di ruang mata. Dan orang-orang yang pernah melalui semua itu kini benar-benar wujud di depan matanya! Patutlah! Patutlah wajah-wajah mereka… oh! Tuhan…

“Itulah yang betul-betul dikatakan berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit. No toilet, no rooms, no nothing… mereka teruskan hidup hanya dengan ihsan manusia lain… tapi itu lebih baik dari terus jadi mangsa kekejaman peperangan…” Puteri yang mendengarnya merenung ke arah pelarian itu dengan rasa kengerian. Hatinya tersayat pedih.

“Awak… awak boleh berhentikan kereta tak…?” Soal Puteri menggumam sebak. Nuqman kehairanan tapi dia akur. Lampu isyarat di pasang dan perlahan-lahan dia memberhentikan kereta di laluan kecemasan. Puteri membuka beg tangan dan mengeluarkan beg duitnya.

“Ika?! Awak nak buat apa tu…?” Puteri hanya menggelengkan kepala. Sebak sudah menunda dalam dada. Dia tak mampu bersuara kerana menahan tangis yang bakal berhamburan. Dia mengambil semua wang lira yang ada dalam simpanannya yang memang belum pernah digunakan kerana Nuqman yang asyik berbelanja. Kemudian dia cepat-cepat membuka pintu kereta. Lengannya dipaut, Puteri terkejut dan berpaling…

“You’ve got to be very fast… mereka terlalu ramai dan semuanya terdesak. Nanti mereka akan kerumun dan mendesak. Bahaya…! Balik ke kereta secepat yang boleh… don’t linger!” Nuqman tegas berpesan. Puteri mengangguk. Jantungnya berdebar. Cemas juga namun dia faham keadaan mereka.

Dia berlari menghampiri salah satu kelompok di antara deretan pelarian yang panjang. Dia memberi salam dan menghulurkan tangan, bersalaman. Ramai yang sudah memandang. Puteri sedar keadaan itu. Dia mencapai tangan salah seorang wanita itu lalu memberikannya sejumlah wang yang dibawa. Beberapa orang sudah mula berdiri. Ada yang menuju ke arahnya. Puteri makin cemas. Wajah-wajah mereka mengadah simpati, meluah cerita tanpa suara. Puteri pantas berjalan lagi mendekati yang lain. Dia memberi salam dan menghulurkan tangan, bersalaman dan memberikan sejumlah wang. Makin ramai yang berdiri dan melangkah mendekati. Mereka mula bersuara tapi dia tak memahaminya. Tangannya diraih. Ada yang memeluk kakinya. Puteri hampir terjatuh. Dia tahu dia tak boleh terus berada di situ lagi. Mereka terlalu ramai. Mereka amat terdesak. Dan dia tak punya banyak wang untuk membantu.

Seorang wanita meluru ke arahnya, mengendong anaknya yang kelihatan amat menyedihkan. Pastinya kanak-kanak itu sedang sakit. Yang lain juga datang, menarik tangannya, bajunya, kakinya dan terus merayu dalam bahasa mereka… Puteri panik, derap tapak kaki kedengaran kuat di telinganya. Dia mencampakkan baki wang di tangan ke arah anak yang dikendong dan mengundurkan diri dari mereka. Namun tangan dan pautan mereka semakin kuat. Rayuan datang bertalu-talu dari berbagai arah. Dan pandangan Puteri kabur dengan airmata… seluruh tubuhnya lemah menggigil.

“Ika!” Tangannya direntap. Tubuhnya dirangkul. Dan pautannya dengan mereka terlerai. Nuqman membawa Puteri secepat yang boleh lalu masuk ke kereta semula dan dia tergesa-gesa memandu pergi sebelum perkara yang tidak diingini berlaku. Puteri hanya mampu memandang. Wanita-wanita dan kanak-kanak yang masih berlarian cuba mendapatkannya. Ada yang terduduk menangis kecewa. Ada yang melambai memanggilnya kembali ke sana. Semua itu makin kabur kerana airmatanya sudah berhamburan. Apalah dayanya…

Nuqman memandu dalam diam. Membiarkan Puteri reda dengan emosinya. Dan dia sendiri terkejut dan terharu… gadis itu sangat sensitif dengan penderitaan orang lain tanpa memikirkan risiko ke atas dirinya sendiri.

Audi A4 yang mereka naiki menyusur ke suatu kawasan yang agak kurang sibuk dan suasana nampak tenang dan harmoni. Bangunan kedai bertingkat gaya Eropah berderetan di kiri kanan jalan. Puteri menyeka airmata, menarik nafas dalam-dalam. Dia meraup muka yang basah berkali-kali. Tisu dikeluarkan dari beg tangan dan ditekap ke mata dan hidung yang sudah memerah. Dia cuba memberi fokus kepada keadaan sekeliling untuk meredakan perasaannya.

Kebanyakan orang yang berada di kawasan ini berpakaian sopan dan menutup aurat. Ramai muslimah yang berniqab dan lelakinya berjubah. Kedai-kedainya besar-besar dan… banyak sungguh kedai pakaian pengantin! Dia menelan liur, menoleh ke arah Nuqman yang masih tenang memandu.

“Ini daerah Fatih, daerah lama di Istanbul tapi bangunan dan perumahan di sini lebih moden, kalau tengok binaan tu memang ada ciri Eropah. Kawasan ni antara yang masih mengamalkan cara hidup Islam sampai sekarang.”

Mujur Nuqman tidak berhenti untuk memilih gaun pengantin! Kereta itu terus meluncur perlahan keluar dari daerah bandar Fatih dan melewati kawasan perumahan yang damai namun agak berselirat jalannya. Bangunan flat dan pangsapuri di situ tersusun cantik tapi di bahagian yang agak jauh ke belakang, kebanyakannya sangat dhaif dan banyak yang perlu dibaikpulih. Dari luar, kelihatan pakaian begitu banyak sekali bergayutan di tali-tali jemuran. Ada beberapa kelompok kanak-kanak bermain di kaki lima dan wanita-wanita yang duduk berbual di hadapan rumah sambil membuat kerja-kerja ringan.

“Ada kawasan yang agak terbiar dan banyak bangunan yang rosak. Macam kawasan ni… yang penuh dengan pelarian Syria. Satu-satu rumah tu walaupun dah buruk tapi ada tiga empat keluarga Syria di dalamnya.”

“Awak! Awak tolong berhentikan kereta boleh tak?”

“Kenapa…?” Kereta sudah diberhentikan.

“Sa-saya nak jumpa budak-budak tu…”

“OK… take these with you,” Nuqman mencapai salah satu beg yang berada di kerusi belakang kereta itu. Beg yang mengandungi coklat dan manisan yang sempat dicapai di kedai cenderahati tadi, diserahkan kepada Puteri. Wajah Puteri bertukar ceria. Ada buah tangan untuk kanak-kanak comel itu!

Puteri bingkas keluar dari kereta dan memberi salam kepada beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain di kaki lima bangunan tiga tingkat itu. Mereka menjawab salam tapi seperti terpinga-pinga. Puteri tidak teragak-agak duduk bersila bersama mereka di kaki lima sambil mengeluarkan hadiah dari beg kertas yang dibawanya. Wajah kanak-kanak itu bertukar ceria. Mereka bercakap malu-malu tapi sayangnya Puteri tidak faham walau sepatah. Dia hanya tersenyum dan ketawa dengan keletah mereka yang tidak sabar membuka kotak coklat dan manisan di tangan masing-masing. Kesempatan itu diambil Puteri untuk menyentuh rambut-rambut perang yang kerinting berketak-ketak, yang agak kusut dan tidak terurus. Pipi putih mulus itu berdebu dan comot tapi tetap comel. Pakaian mereka lusuh. Hatinya tersayat pilu. Saat kanak-kanak lain bergembira di sekolah bersama kawan-kawan, kanak-kanak ini hanya menghabiskan masa di kaki-kaki lima, di kawasan perumahan yang kotor dan tidak terurus.

Tiba-tiba kanak-kanak itu bangun berlari ke arah kereta. Rupanya Nuqman keluar mendekati mereka. Masing-masing mengerumuni Nuqman dan bertanya itu dan ini. Nuqman hanya senyum dan ketawa, menjawab sepatah dua dan selebihnya bahasa isyarat. Nuqman tidak kekok memeluk dan mencium kanak-kanak itu silih berganti. Puteri terkejut dan terpinga-pinga. Beberapa orang wanita yang duduk-duduk tidak jauh dari situ juga ikut berdiri dan menegur Nuqman. Dia hanya membalas dengan senyuman dan anggukan kepala.

Selepas bersalaman dengan kanak-kanak itu, Nuqman menggamit Puteri, mengajaknya pulang. Masa semakin suntuk. Puteri akur lalu melangkah ke arahnya. Dia juga bersalaman dengan kanak-kanak itu. Ada yang dicium dan didukung sekejap. Dia ketawa riang bersama tapi hatinya menangis dengan nasib mereka. Kemudian Nuqman dan Puteri bergerak pergi sambil melambai sehingga kanak-kanak itu hilang dari pandangan mata.

“Dia-diaorang kenal awak…?” Puteri teragak-agak. Nuqman tersenyum.

“Saya memang kerap datang ke Fatih. Selalu jugak singgah di sini… tapi selalunya dengan Ismet, Hussain atau Mustafa dengan kawan-kawan lain. Jadi mudah untuk berkomunikasi.” Puteri mengangguk. Patutlah kanak-kanak itu seperti kenal dengannya.

Kereta membelok ke kawasan pekan kemudian masuk ke sebatang jalan yang di kiri kanannya bangunan yang agak tinggi. Nuqman berhenti di hadapan sebuah bangunan yang bertulis IHH di pintu masuknya.

“Kami selalu datang ke sini, salurkan bantuan, bawa orang-orang yang mahu membantu secara langsung. Saya ingat nak bawa awak jumpa dengan muslimah yang bertugas di sini, banyak cerita dan pengalaman mereka tentang Syria dan Gaza yang dapat dikongsi tapi kita kesuntukan masa. Dari sini, kita boleh ikut group yang pergi ke kem-kem pelarian di sempadan. Saya juga terfikir nak bawa Taufik dan kawan-kawannya ke sini. Melalui IHH, banyak cara kita dapat bantu mangsa keganasan di Syria dan Palestin.”

“Maksud awak… pe-pergi ke Syria dan Palestin?” Darah Puteri mula berkocak. Nuqman memandu kereta itu keluar semula ke jalan raya.

“Ya. Samada ke Syria atau ke Palestin atau ke kem-kem pelarian sekitar sempadan Turki-Syria, terpulang kepada diaorang. Boleh bantu pelarian di kem-kem atau kalau betul diaorang pilih nak angkat senjata tegakkan Islam, sanggup syahid pertahankan agama, boleh ikut kumpulan Mujahiddin…” Puteri yang duduk tegak mengadap Nuqman merenung kengerian.

“You-you yourself said that it’s a huge war, Nuqman…,” suaranya hampir tidak terkeluar, kedengaran seperti berbisik.

“It is, Ika. Perang yang sangat dahsyat. Perang yang nak melenyapkan Islam dari muka bumi ni. Susur galur rentetan peperangan yang sedang berlaku ni teramat panjang. Dan sedang menuju ke penghujungnya. Kalau Ika baca hadis-hadis dan ayat-ayat Quran tentang akhir zaman, sebelum berlakunya kiamat, Ika akan lebih faham tentang apa yang sedang berlaku sekarang.”

Kiamat?! Apa yang disaksikan pagi tadi sudah cukup ngeri untuk diingati, macammana pula dengan kiamat? Ya Allah… aku belum benar-benar memikirkan kiamat sebelum ini!

“Kita di penghujung zaman, Ika. Inilah zaman fitnah, zaman terkumpulnya segala sifat jahiliah. Cuba perhatikan hebatnya penangan media sosial. Berapa banyak kes fitnah yang berlaku sewenang-wenangnya melalui Facebook, Whatsapp, blog dan website? Betapa mudahnya fitnah disebarkan dalam sekelip mata saja. Everything goes viral. Walaupun kesahihan cerita dan berita tu tak diketahui, semua tu tetap disebarkan. Ayat Quran, hadis dan kata-kata ulama diubah ikut kehendak masing-masing. Itu semua jalan-jalan mudah bagi musuh mencipta fitnah. Sebab sikap kita yang suka mengambil sesuatu tanpa dalil dan nas. Ambik mudah! Kesannya? Berlakulah zaman fitnah!

Nak lepasi fitnah bukan senang. Sebab tu kita diminta sungguh-sungguh amalkan doa elakkan fitnah ketika hidup dan jauhkan fitnah dari dajjal. Nak bersama dengan kebenaran waktu ni, tipis sangat-sangat. Hanya orang yang terpilih, yang hatinya betul-betul takutkan Allah dan cintakan Allah, hati yang betul-betul cintakan Rasulullah, orang-orang itulah yang akan selamat dari fitnah akhir zaman. Perang yang berlaku ni sebenarnya bukan hanya melibatkan mereka, Ika… tapi kita! Kita semua! Apakah kita sanggup ikut berjuang mempertahankan agama? Kalau sanggup, kumpulan mana yang kita nak ikut berjuang? Siapa yang benar dalam perang ni?

Orang yang nak berjihad fisabilillah pun akan diuji. Sebab kumpulan yang sedang berperang ni macam-macam. Ada yang jelas musuh, ada yang menjulang nama Islam, berjuang menegakkan kebenaran tapi cara hidup tak ikut sunnah Rasululah. Berperang ikut nafsu, dicatur musuh dalam diam, zalim tak bertimbangrasa. Jadi, macam mana nak ikut kumpulan yang betul-betul berjihad di jalan Allah?

Kalau tak betul-betul kenal Rasulullah, ikut cara Rasulullah, macammana nak pastikan kita ikut berjuang dengan kumpulan yang betul-betul berjuang kerana Allah? Bukan berjuang kerana politik, ideologi, kuasa dan kerana nak kehidupan lebih selesa? Siapa antara kelompok yang berperang ni yang betul-betul kerana Allah dan tak ada langsung kepentingan diri? Itu yang kita, Taufik dan sesiapa saja yang terpanggil nak membantu dalam peperangan ni mesti tahu dan yakin. Kalau tak, kita jugak akan hanyut dalam fitnah. Kita sangka kita berjuang untuk Islam tapi sebenarnya kita diperalatkan musuh, berpecah belah, memusuhi sesama sendiri.

Itulah maksudnya ujian ni menguji siapa kita, di mana iman kita. Peperangan ini walaupun dahsyat tapi sebenarnya akan selamatkan ramai terutama orang-orang yang dapat ambil iktibar darinya. Macam umat Islam di zaman Rasulullah yang disiksa dan diperangi ketika jahiliah, iman mereka memuncak dan tak gentar dengan ujian. Kebanyakannya syahid ke jalan Allah. Akhirnya Islam beroleh kemenangan. Islam gemilang selepas jahiliah. Itulah yang sedang berulang sekarang. Bagi mereka yang diperangi dan diuji, semakin diuji dan diseksa, iman mereka makin kuat, makin kental. Mereka sanggup bangkit demi mempertahankan iman. Dalam berjuang tak sama sekali mereka guna cara yang bathil. Mereka akan tetap ikut cara Rasulullah berperang. Jadi samada mereka syahid atau terus hidup, mereka akan selamat di sisi Allah, insyaAllah. Tapi bagi kita? Macammana dengan iman kita?”

Puteri yang mendengar dan menghayati setiap patah perkataan terkejut dengan persoalan yang diajukan. Anak matanya berputar. Bagaimana hendak dijawab? Semua ini menjurus kepada Taufik, Maliha dan dirinya…?

“Kita tak tahu, Ika… mungkin hati Taufik bersih dan terpanggil untuk syahid. Mungkin Maliha termasuk dalam golongan wanita yang redha dengan suami yang sanggup syahid di jalan Allah. Kita cuma kena bantu diaorang faham apa yang sedang berlaku. Supaya diaorang buat keputusan yang betul. Ika faham tak apa yang cuba saya cakap ni?” Nuqman sudah memberhentikan keretanya di sebuah kawasan yang agak sibuk. Puteri yang berpaling mengadap Nuqman, terngadah.

“Macammana kalau saya yang terpanggil untuk berjihad? Ika sanggup…?” Mata bundar Puteri terbeliak mendengarnya! Jantungnya seakan berhenti berdegup. Paparan video tentang lelaki yang cuba menyelamatkan gadis yang dicampak separuh bogel di atas jalan dan ditembak bertubi-tubi berulang tayang di depan matanya. Bagi Puteri, lelaki itu adalah seorang hero…

“Don’t you want me to be a hero…?” Puteri lemas, tak mampu bernafas.

p/s: Bukankah hero jadi impian wanita? Tapi hero yang macammana sebenarnya ya?