CINTA PUTERI vs NUQMAN

BAB 5

Perlahan-lahan tangannya menghulurkan telefon tangan itu kembali kepada Nuqman setelah selesai bercakap dengan abah. Mujur Nuqman cepat bertindak, menghubungi abah walaupun dia tahu Nuqman sebenarnya tak faham apa yang berlaku. Walaupun Puteri sudah agak tenang dengan jawapan abah namun debaran masih kuat terasa. Dia tetap kena berdepan dengan mummy suatu masa nanti. Bagaimana harus dia terangkan tentang pernikahannya dengan Nuqman? Mengenali mummy, Puteri pasti huru-hara jadinya nanti.

Nuqman menggaru kepalanya yang tidak gatal, rasa serabut dengan tingkah isterinya. Hendak disentuh, takut dia terkejut dan merengek lagi. Hentak dibentak, takut lari entah ke mana pula. Wataknya memang sukar dijangka. Hai… Kadang-kadang watak manjanya terserlah sangat. Yang tambah memeningkan kepala, mengapa Puteri terperanjat sangat bila tersedarkan kehadiran dirinya di situ? Dia yang datang terbang ke sini, mengapa dia macam baru sedar dari mimpi?

Nuqman akhirnya terpacak berdiri di hadapan Puteri Zulaikha. Lama mana lagi dia mahu termenung dengan kerut wajah seperti ditinggal kekasih begitu?!

“Ika! Are you REALLY alright?!” Suaranya sedikit jengkel. Perlahan wajah gadis itu terangkat, memandangnya dengan sepasang mata yang basah. Wajah yang sungguh keliru. Hati Nuqman tersentuh dan serba-salah. Apakah yang sedang dilalui oleh Puteri, sebenarnya?

Perlahan dia duduk melutut lalu memaut kedua bahu Puteri, membantu dia bangun berdiri. Dikesat airmatanya dan diusap rambut yang berjatuhan di muka ke belakang. Dia tidak pasti apa yang harus dikatakan kepadanya. Dia langsung tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Wajah keliru itu dipeluk ke dadanya. Didakap erat.

“Awak milik saya, Ika. Apa pun yang berlaku, kita hadapi sama-sama. Saya takkan biarkan apa-apa pun yang tak baik berlaku pada Ika selagi Tuhan izinkan…”

Kedua tapak tangannya meraup wajah itu dan didongakkan sehingga mata mereka saling bertentangan. Anak matanya sayu sungguh.

“Saya nak Ika pergi mandi dan tukar pakaian sebelum saya mandikan Ika. Saya memang nak sangat-sangat mandikan Ika…”

Tak sempat habis ayatnya, mata Puteri membulat. Nuqman mengangkat kening. Dia hanya berterus-terang.

“Awak ni!!” Dalam menahan malu, Puteri menolak tubuh Nuqman sekuat hati. Sambil ketawa gelihati, Nuqman melangkah keluar dan menutup pintu. Sempat dia melihat senyuman malu Puteri Zulaikha.

Nuqman masih ketawa ketika membuka pintu kaca ke arah balkoni. Udara dingin Istanbul rakus menerobos masuk, mengelus sekujur dirinya. Dia melangkah menghadap Selat Bhosporus lalu mendepangkan tangannya seperti yang dilakukan Puteri ketika dia mula-mula masuk ke pangsapuri itu. Dia tersenyum puas sambil matanya terpejam menghayati rasa-rasa yang mekar dihatinya. Membiarkan angin yang bertiup dari Bhosporus memukul-mukul dirinya. Hatinya berbunga bahagia walaupun akalnya masih terpinga-pinga.

Walaupun dia tidak pasti bagaimana untuk terus melangkah dan dia juga tidak tahu entah apa onak dan duri ujian yang menanti, namun hatinya diresapi bahagia. Dia belum pernah merasakan perasaan sebegini selama hidupnya.

Dia membuka mata memandang ke langit yang terbentang luas tergantung tak berpaksi bukti kebesaran Illahi. Dihirup udara dingin itu sehingga terasa sejuk dalam segenap tubuhnya.

“Dan aku sangat bahagia kerana aku yakin rasa-rasa ini datangnya dari-Mu, ya Allah!” Hati kecilnya berbisik. Penuh rasa syukur.

Maha Baiknya Tuhan menciptakan makhluknya berpasang-pasangan. Dicetuskan berbagai rasa bila berpasangan. Kadang-kadang gelisah, sedih, buntu, riang, bahagia, cemburu dan entah berapa banyak rasa yang datang silih berganti. Itu semua membuatkan hidup makhluk-Mu begitu berwarna-warni dan tiada kebosanan.

Lebih hebat lagi bila semua rasa-rasa itu membuatkan makhluk-Mu lebih kuat bergantung kepada-Mu kerana selalu tiada daya upaya untuk menanganinya.

Begini istimewa layanan-Mu terhadap kami, makhluk-Mu, ya Allah. Sedangkan kami hanya hamba-Mu. Engkau hiburkan juga dengan rasa-rasa yang seindah ini. Terima kasih, Tuhan!

Dia yang Engkau ciptakan untukku, bantulah aku untuk membahagiakannya…

Wajah Puteri yang lena dengan rambut hitam terhampar cantik menjelma di ruang matanya, menepis kedinginan tubuhnya, hangat mengulit asmara dalam dirinya. Bahagia sungguh apabila keindahan seorang perempuan itu terutama bila ia dipersembahkan hanya untuk suaminya. Tidak pada lelaki lain. Perasaan itu sukar digambarkan. Dan itu juga membuatkan seorang perempuan itu amat istimewa di hati suaminya. Itulah rahsia Tuhan memerintahkan wanita memelihara aurat dan maruahnya untuk suami dan keluarganya. Siapalah yang dapat memahami itu semua jika tidak mahu menghayati kerja Tuhan? Penuh maksud yang tersurat dan tersirat.

“Apa yang awak menungkan tu?” Suara halus itu lembut sekali singgah di pendengarannya. Nuqman berpusing.

Puteri bersandar santai di pintu balkoni, berambut basah dibaluti gaun merah cili bercorak batik, labuh hingga ke buku lali. Angin dari Selat Bhosporus nakal sekali meniup dirinya sekaligus menampakkan susuk tubuhnya.

Nuqman meneguk air liur. Ika!!! Seluruh tubuhnya bagaikan terbakar dalam kedinginan di Istanbul!

Apa agaknya yang akan berlaku jika dia turutkan kemahuannya, berlari merangkul Puteri dalam dakapannya lalu dibawa ke katil yang ditaburi mawar itu? Apakah dia juga mahu apa yang aku mahu…?

Ya Tuhan, sejukkanlah gelojak rasa dalam diriku ini!

Nuqman meraup mukanya keharuan. Entah bagaimana dia harus berhadapan dengan Puteri jika naluri lelakinya terus diuji begini…

“Saya buat awak pening, ya?” Dahi Puteri berkerut, kerisauan. Dia memang agak kaget apabila Nuqman melangkah ke arahnya agak pantas lalu meraih tangannya, menariknya ke sofa. Mereka duduk bersebelahan di sofa empuk, mengadap Selat Bhosporus yang sentiasa diselubungi keindahan.

Apabila Nuqman hanya tersandar keresahan di sofa dengan mata yang terpejam, Puteri memaksa dirinya untuk bertanya.

Matanya masih tertutup. Tetapi jemari Ika diraup ke dalam tangannya. Hangat.

“Awak tak tau apa yang sedang awak lakukan pada saya, Ika…” Dia melepaskan keluhan yang panjang, berterus-terang. Kemudian dia tunduk mengucup jemari Puteri yang berada dalam genggamannya.

Puteri terharu. Bagaimana dia dapat jelaskan sedangkan dia sendiri keliru.

“Saya mintak maaf, awak…” Perlahan kata-kata itu ikhlas terluncur dari bibirnya. Nuqman tersenyum kemudian ketawa tertahan-tahan sampai bergegar bahunya. Puteri semakin kehairanan.

“It’s okay, Ika. Awak tak perlu minta maaf…” Dia gelihati. Gadis itu tidak mungkin mengerti.  Dia kelihatan masih naif tentang lelaki. Dia tidak tahu langsung yang gerak-gerinya akan membuatkan lelaki yang bersamanya boleh panasaran!

“Oh ya… Ika kena makan. It’s been hours… Samada Ika makan atau saya suapkan… Pilih yang mana…”

“Saya nak makan… Makan sendiri!” Puteri duduk tegak mengadap Nuqman. Memang Puteri terasa lapar tahap gaban! Sepanjang 11 jam dalam pesawat MAS MH 0030, KLIA – ISTANBUL, dia tak berselera nak makan. Emosinya kacau mengenangkan Nuqman. Kenapalah dia datang seperti menyerah diri kepada lelaki itu?

“Good! Kalau macam tu, jom ke dapur…” Nuqman tersenyum senang. Nampaknya dia semakin faham bagaimana hendak menguruskan Puteri.

Sup, roti, salad, nasi gandum dan daging terhidang semula di hadapan Puteri. Cay tea, minuman teh yang terkenal di Turki dituang Nuqman walaupun segelas susu suam sudah ada. Bersungguh Nuqman melayannya. Puteri makan sambil memerhatikan Nuqman seperti anak kecil yang sedang dipaksa makan oleh ibunya. Nuqman menahan senyum dan buat-buat tak nampak dengan perlakuan Puteri. Dia melindungi semua itu dengan memberi fokus kepada majalah dalam bahasa Turki yang terlalu sedikit difahaminya. Mereka senyap seribu bahasa.

“Jom kita keluar shopping. Masa pun awal lagi nak masuk waktu zohor. Saya tunggu Ika tukar baju, ya…” Nuqman mencari jalan untuk membawa Puteri keluar dari pangsapuri itu untuk mengurangkan ketegangan di antara mereka sebaik sahaja Puteri menghabiskan susu suam. Banyak juga makanan yang dimakan. Terasa lesu semakin berkurangan.

“Shopping? Hmm…” Puteri menurut tanpa minat. Nuqman tersengih. Jarang ada perempuan yang datang ke Istanbul tak berminat untuk shopping!

Puteri masih tak selesa. Perutnya kecut mengenangkan mummy! Waktu Istanbul lewat 5 jam dari waktu Malaysia. Macammana mummy sampai begitu cepat ke pejabat abah? Mungkin mummy sampai lebih awal dari tarikh yang diberitahunya sebab kata mummy, tarikh itu mungkin berubah. Agaknya mummy terus cari dia… Kesian mummy! Waktu peringatan yang diset di telefon tangannya berbunyi jam 9 pagi waktu Malaysia tadi benar-benar mengingatkannya tentang mummy. Sejak abah sakit kemudian dia bernikah dengan Nuqman dan kembali belajar sehinggalah sekarang dia di Istanbul, selama itu dia bagaikan terlupa pada mummy. Sekarang baru dia teringatkan mummy! Apa dia nak jelaskan pada mummy tentang Nuqman. Abaaaahh!

Namun Puteri agak lega selepas bercakap dengan abah tadi. Rasa nak cepat-cepat email mummy, tapi malu pula nak minta guna komputer riba Nuqman. Telefon tangan Puteri belum di set tetapan internet dan lain-lain.

Akhirnya mereka hanya berjalan-jalan di sekitar hotel dan pangsapuri tempat menginap sahaja. Mereka mengambil masa agak lama di sebuah kedai buku. Nuqman dan Puteri membelek-belek beberapa buku dan majalah tentang sejarah Turki, seni bina dan rekabentuk dalaman dulu dan kini di Turki.

Walaupun Puteri masih mentah dalam bidang itu, baru di tahun dua di peringkat Sarjana Muda Seni Bina Dalaman, namun pengetahuannya dalam bidang itu mengagumkan Nuqman. Mungkin minat yang mendalam mendorong puteri untuk benar-benar menghayatinya. Minat dan kerjaya dalam bidang yang hampir sama membuatkan mereka selesa berbual. Nuqman membeli beberapa buah buku dan majalah tentang Turki dan kehidupan orang Turki untuk Puteri. Tidak ketinggalan sebuah buku hiasan dalaman tradisional Turki yang tidak terlepas dari tangan Puteri sejak masuk ke kedai itu.

Dalam perjalanan balik, sempat Nuqman membeli aiskrim dan kek kegemaran Puteri. Gadis itu tersenyum persis kanak-kanak riang sampailah mereka kembali ke pangsapuri. Mudah juga untuk menghilangkan gundahnya.

Nuqman minta diri untuk siap bersolat. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari waktu tempatan. Awalnya nak bersiap untuk solat! Dia menghilangkan diri di sebuah bilik. Barulah Puteri perasan yang ada satu bilik lagi dalam pangsapuri itu. Puteri juga cepat-cepat ke biliknya, menukar pakaian dan berwudhuk. Entah kenapa hatinya begitu teruja untuk solat bersama Nuqman. Dia merasakan Nuqman seperti abah dalam menguruskan rumahtangga. Dan Nuqman juga melayaninya seperti abah melayan ibu. Penuh hormat dan pandai mengambil hati. Apakah dia juga seperti abah, tegas memimpin ibu dan anak-anak? Apakah Nuqman memang calon terbaik untukku? Ah… Patutkah aku terus mencari kelemahannya? Untuk apa? Kepuasan diri yang bagaimana sebenarnya yang aku mahukan?! Aku masih muda!!! Aku tak mahu terikat!!! Itu yang sebenar-benarnya! Bolehkah mereka jadi kawan saja sebelum err… jadi suami isteri?! Hmm…

Setelah siap bertelekung, Puteri menyelak daun pintu, menjenguk seketika mencari kelibat Nuqman. Dia terkejut melihat seorang lelaki berpakaian serba putih, berjubah dan berserban sedang duduk berselawat.

“Eh! Pak Arab mana pulak tu!! Nuqman tak cakap pulak yang dia jemput tetamu… Ala… seganlah macam ni!” Puteri teragak-agak untuk keluar. Nuqman belum ada jadi…

“Silakan….” Suara Nuqman mengejutkannya. Oh! Nuqma n rupanya! Puteri menelan liur, menahan jantung yang berdegup kencang. Handsomenya dia! Macam pak Arab bila berserban macam tu! Getus Puteri sambil tersipu-sipu, melangkah ke saf putih yang terhampar, mengelak dari bertentangan mata dengan Nuqman yang masih memandangnya dengan senyuman.

Nuqman berpaling semula mengadap ke arah kiblat lalu menyambung selawat Badawi yang dialunkan tadi. Terkaku Puteri dengan suasana seperti itu. Bau harum semerbak wangi menyentuh deria baunya. Tak pernah Puteri melihat seseorang yang bersiap untuk bersolat sebegini sekali bagaikan ada majlis istimewa menanti. Selalunya orang bergegas bila nak berwuduk dan bersolat, jarang berlama-lama. Apatah lagi nak menunggu masuknya waktu seperti ini! Tak pernah berlaku dalam diari hidup Puteri!

Tapi kan solat ini pertemuan hamba dengan Tuhannya… Kalau jumpa boyfriend pun bukan main bersiap dan berwangi-wangian, ini kan jumpa Tuhan?! Entah dari mana suara itu datang dalam dirinya. Puteri tunduk, malu sendiri. Betapa aku tak beradab dengan Tuhan selama ni… Hatinya tiba-tiba dipagut rasa sesal dan malu.

Perlahan-lahan Puteri juga ikut berselawat sambil memerah minda cuba mengingati bait-bait kata yang dialunkan seperti yang dilagukan Nuqman. Puteri pernah ikut berselawat ketika di asrama penuh dulu namun kerana tak tahan berjauhan dengan abah, akhirnya Puteri memilih untuk bersekolah di sekolah swasta yang berhampiran dengan kediaman mereka. Sudahlah abah jarang berada di rumah, kalau Puteri tinggal di asrama, makin tipislah harapan untuk berjumpa abah selalu.

Kenapa Nuqman menjadi pilihan abah? Itulah keluhan Puteri hampir setiap kali mengadap wajah Nuqman. Luaran saja mereka bagaikan langit dengan bumi. Dia dengan pakaian rangginya berdiri di sebelah Nuqman yang sentiasa kemas, sopan bersongkok!!! Aduh! Memang berat nak berjumpa Nuqman sejak awal lagi. Puteri bimbang kalau-kalau terserempak dengan teman-teman. Nanti mereka pasti mengejeknya, berkawan dengan Ustaz!! Lagi-lagilah dia tekad hendak merahsiakan pernikahannya! Sementara dia mencari jalan keluar dari ikatan itu!

Tetapi anehnya, Nuqman tak pernah kelihatan tak selesa bersamanya dan dia juga tak pernah menegur penampilannya. Tapi Puteri sedar, sejak di lapangan terbang tadi, Nuqman memang agak berubah. Mungkin kerana Puteri bertudung dan mengubah sedikit penampilannya membuatkan riak wajah Nuqman seperti ceria berbanding dulu yang selalunya selamba atau serius. Tapi baginya, masih terasa seperti bersama dengan Ustaz saja. Peliknya, kali pertama kawan-kawannya keluar bersama Nuqman, tak sedikit pun mereka endahkan yang Nuqman tu bersongkok. Hmm… Malah mereka pulak terpikat dengan Nuqman… Oooh! Sebab Ustaz sorang ni handsome dan macho… ha ha! Puteri tertawa besar di dalam hati.

Suara Nuqman mengalunkan azan menyentak Puteri. Ya Allah! Selawat entah ke mana, jauh pulak aku mengelamun! Tak menghayati langsung! Teruknya aku niii! Puteri mengutuk diri sendiri dengan rasa sesal.

Kelam-kabut Puteri ikut berdiri, bersiap untuk menjadi makmum, di belakang Nuqman. Dia ikut menadah tangan, terangkak-rangkak membaca doa menjawab azan, cuba mengikuti bacaan Nuqman yang tak berapa jelas kerana dia membacanya dengan suara perlahan. Maklumlah, entah berapa lama Puteri tak membaca doa tersebut. Kalau bersolat pun dah di hujung-hujung waktu, manalah sempat nak iqamat dan berdoa lagi melainkan terburu-buru mengangkat takbir…

 

Nota: Kalau nak teaser lagi, email azuraabd@hotmail.com @ whatsapp 011-12541676. Salam sayang!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s