Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 10 Bahagian I

KAK cover copy

Wardah sudah berkipas-kipas mukanya dengan tangan. Rimas tak terkata. Yang Benn pula terkekek-kekek ketawa macam burung kakak tua.

‘Sudahlah tu, Chon. Tolonglah jangan tebal-tebal. Arda tak suka. Nak pakai lipstick sikit je cukuplah!” Wardah merayu sejak tadi. Benci sungguh dengan tema makan malam tahun ini – Watak lagenda. Tak kiralah siapa nak jadi Mahsuri ke, Laksamana ke atau Sang Gedembal!

“Hah! Eloklah tu, Puteri Gunung Ledang pakai lipstick! Hahaha… pergi ambil daun sirih tu, tenyeh kat bibir dia!” Kurang asam punya Benn. Wardah menjeling marah tanpa suara kerana bibirnya sedang dioles gincu oleh Chon atau nama sebenarnya Siti Solha yang manis bertahi lalat di tepi bibir bawahnya di sebelah kanan.

Chon terhenti menatarias wajah Wardah kerana ketawa mengekek dengan lawak Benn. Lantas kesempatan itu digunakan Wardah untuk melarikan diri ke depan cermin besar di bilik itu.

“Umiiiii!” Wardah menjerit nyaring. Dia sudah tak kenal wajah sendiri! Benn dan Chon yang masih ketawa gelihati terkejut, terdiam dan terpelongo.

“Chon! Kau padam balik. Kalau tak, aku tak nak keluar dari bilik ni!”

Akhirnya Wardah menghayun langkah ke dewan hanya dengan solekan dan gincu yang dioles tipis. Segala bulu mata palsu, pemerah pipi dan celak tebal yang mengelilingi kelopak matanya sudah ditanggalkan. Malah dia hanya memakai gaun putih bersih dengan pending yang melingkari pinggangnya. Itupun dipaksa. Wardah tidak suka berpakaian sendat yang menampakkan susuk tubuhnya. Selendang kuning tipis yang besar dan panjang dipakai di atas tudung putih dan jatuh mengelilinginya sekaligus menutupi bentuk badannya. Aksesori yang dipakai hanyalah di kedua pergelangan tangan yang berbalut sarung lengan dan rantai bercorak kerawang yang besar dan labuh hingga ke dada. Itu pun dia pakai juga kerana Meeta susah payah mendapatkan aksesori itu dari neneknya. Aksesori pusaka keturunan keluarganya.

Semua yang hadir seakan-akan berhenti beraksi. Semua tertumpu di pintu masuk utama. Kerana saat itu Wardah sedang melangkah masuk. Tiupan angin malam nakal berhembus deras hingga selendang Wardah melayang-layang menyingkap susuk dirinya yang selama ini menjadi rahsia di dalam blaus besar dan baju kurung yang menjadi pakaian sehariannya. Wajah Wardah dengan solekan tipis itu sudah cukup menyerlahkan keayuannya.

Dan saat itu juga, seorang lelaki yang sedang berbual nun di tengah dewan terdiam dek kehilangan bicara. Paras yang ayu dan manis itu menarik seluruh perhatian dan derianya hingga ada debar di hatinya. Setiap gerak gaya dan riak wajah itu menjadi santapan pandangannya yang tidak langsung berkerdip.

Di sisi Wardah juga tidak kurang menarik. Di situ melangkah seiring adalah jelmaannya iaitu si Benn Nenek Kebayan yang siap bertongkat lagi. Kedua-duanya memang seperti turun dari Gunung Ledang. Tersipu malu sambil melangkah masuk mencari tempat duduk yang sudah dipersiapkan untuk mereka.

“Jemput masuk mencemar duli, Tuan Puteri Gunung Ledang!” Seru Chon, nakal mengusik. Suaminya yang tertegun berdiri disiku pinggangnya.

‘Macam tak pernah tengok Wardah!” Ujarnya, cemburu. Tersenyum si suami seraya merangkul mesra pinggangnya.

“Hebat sentuhan isteri abang ya!” Cepat dia bertindak sebelum buah hati merajuk.

“Wardah! Puteri Gunung Ledang? Wow, memukau! Cantik sungguh tuan puteri. Boleh hamba masuk meminang? Segala hati nyamuk, hati harimau, gajah segala sanggup hamba carikan!” Zaifunizam sudah berdiri segak, melangkah mengiringi Wardah sambil beraksi lucu.

“Belum tentu aku terima pinanganmu! Kerna yang aku mahu adalah hati lembu yang dimasak kicap untuk aku bersantap!” Sahut Benn seraya mengacu tongkat saktinya. Semua yang ada ketawa dengan lakonannya. Wardah sudah tersipu-sipu. Laju dia berjalan meninggalkan mereka untuk menuju ke mejanya. Dengan kasut tumit tinggi dan hayunan langkah yang teratur cantik, dia persis model yang beraksi di pentas peragaan layaknya.

Sebaik saja dia tiba ke meja, ada sesuatu yang menarik pandangannya ke tengah dewan. Di situ, tiga orang lelaki berbeza usia namun kacak bergaya dalam balutan baju batik segak berdiri sambil berbual.

“Encik Azam!” Terlafaz nama itu di bibir Wardah. Serentak itu, dia melemparkan senyuman paling manis buat majikan yang luhur hatinya yang kebetulan sedang memandang ke arahnya.

Senyuman Wardah tambah menyerikan lagi keayuannya. Azam perlahan mengangguk dan membalas senyuman Wardah. Pandangannya bagaikan ditarik besi berani. Tidak dapat beralih lagi.

Namun bukan senyuman Encik Azam yang membuatkan Wardah terais berdiri di situ. Pandangan lelaki cina yang berdiri di sebelah Encik Azam membuatkan jantungnya berdebar. Tiada segarit senyuman di bibirnya. Tetapi pandangannya bagaikan berbicara. Sedetik. Dua detik. Tiga detik. Wardah tersedar yang dia sedang berbalas pandang dengan yang bukan mahram begitu lama. Langsung dia mengalah dan pandangannya dialihkan segera. Mencari Benn untuk melakukan sentuhan magisnya kerana jantung kini kalut bertukar rentak.

“Ardha, jom bergambar dulu. Kejap lagi program dah nak mula,” suara Benn memanggil tepat pada waktunya. Wardah tidak jadi duduk di meja yang masih kosong. Dia berpusing mendapatkan Benn dan berlalu pergi. Namun dia bagai dapat merasakan yang sepasang mata itu masih mengekori langkahnya.

Mereka bergambar beramai-ramai di ruang lobi. Meriah sungguh suasana dengan ayat-ayat yang bersejarah yang pernah dituturkan oleh watak-watak lagenda tanahair menjadi gurauan membangkitkan nostalgia silam.

Acara malam itu dimulakan dengan persembahan pembukaan, sebuah lagu dari tim pengurusan makan malam amal tahun ini. Wah! Berbakat rupanya mereka. Lagu ‘Assalamualaikum dunia’ lagi!

Seterusnya ucapan alu-aluan daripada Encik Azam selaku Ketua Pengarah Urusan yang mewakili pemilik Syarikat Kaustik Sdn Bhd, Encik Muhammad Zakuan bin Muhammad Ridhwan yang tidak dapat berucap atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Seterusnya ucapan pembentangan pencapaian KSB sepanjang tahun dan penglibatan KSB dalam dan luar negara termasuk dalam hal ehwal masyarakat setempat oleh Timbalan Pengarah, Encik Halim Mustaffa.

Majlis kemudiannya dirasmikan oleh penaung KSB, Tan Sri Dato’ Uthman bin Darwisy dari bawah pentas yang menyentuh bebola kaca yang magis bagi memulakan tayangan video ‘Lima tahun bersama KSB’ hidup di layar besar di pentas.

Acara yang dinanti-nanti berupa kejutan dari tim pengurusan pada malam itu adalah satu sesi permainan yang melibatkan nama-nama yang dipilih dari dalam dua buah kotak yang berada di tangan Encik Hairi, Ketua Editor dan Puan Soo Lin yang merupakan Ketua Eksekutif Pemasaran KSB yang kini berada di atas pentas.

‘Kekasih Jangan Merajuk’ menjadi tajuk persembahan yang akan dilakonkan oleh nama-nama yang dipilih dari kotak yang mengandungi nama-nama kakitangan wanita sementara satu kotak lagi mengandungi nama-nama kakitangan lelaki. Mendengarkan tajuk persembahan saja sudah cukup menggamatkan seluruh dewan. Masing-masing cemas kalau nama mereka diumumkan. Wardah dengan Benn sudah saling berpandangan. Habislah kalau nama mereka yang terpilih!

Namun apabila hadiah diumumkan iaitu empat tiket pergi dan balik ke Bandung, Indonesia, semua berubah teruja. Pasangan yang menjadi mangsa pertama mereka pada malam itu ialah Aminah, kerani akaun dari tim pentadbiran dengan Azman Abdullah, jurukamera yang berpengalaman di KSB. Riuh-rendah suara ketawa kerana kebetulan Aminah dan Azman sama-sama comel dan montel. Namun kedua-duanya sudah pun berumahtangga dan hadir bersama pasangan masing-masing. Dengan izin pasangan masing-masing, kedua-duanya begitu ‘sporting’ untuk beraksi.

Aminah berlagak menjadi isteri yang merajuk kerana kononnya hendak makan jambu air ketika bukan musimnya. Jenuh juga Azman hendak menyakinkannya yang dia sudah cuba mencari tetapi adalah mustahil untuk mendapatkan buah itu di luar musim. Sampai menyanyi-nyanyi si Azman memujuk barulah Aminah mula tersenyum dan ketawa.

Pasangan kedua pula dipilih. Seluruh dewan senyap dan berdebar. Apabila nama Meeta dan Zaifunizam diumumkan, sekali lagi dewan menjadi hingar-bingar. Hebat sekali bila kebetulan pasangan itu begitu sepadan. Kali ini Meeta dan Zaifunizam sama-sama tinggi lampai. Meeta, pegawai pemasaran dan Zaifunizam merupakan pengarah seni KSB, sama-sama bujang trang tang tang. Meeta sudah lari keliling dewan kerana tidak mahu terlibat. Tim pengurusan bertindak bijak, menyerahkan pembesar suara tanpa wayar kepada Zaifunizam untuk terus beraksi.

“Meeta, janganlah lari. Penat nak kejar. Langkah kau panjang sangat!” Ayat pertama yang lahir dari mulut Zaifunizam sudah menggamatkan dewan dengan gelak ketawa. Wardah dan Benn menekan perut, ketawa gelihati. Zaifunizam  memang kelakar. Dia tak buat lawak pun, gayanya saja sudah buat orang tersenyum-senyum.

Meeta menekup mulut menahan tawa. Hanya jari telunjuk yang digoyang-goyangkan ke arah Zaifunizam tanda tidak mahu terlibat. Tim pengurusan pula pantas menutup semua pintu keluar menyebabkan Meeta terperangkap dan Zaifunizam semakin hampir.

“Meeta, come on. Aku bukannya reti nak pujuk memujuk ni. Dah la aku lapar ni. Mai la sini!” Zaifunizam berterus-terang tetapi caranya sangat lucu membuatkan dewan sekali lagi gamat dengan gelak ketawa. Meeta sudah tertunduk-tunduk menekan perut kerana senak dek terlalu banyak ketawa bercampur malu.

Zaifunizam semakin dekat. Meeta sudah tidak tahu hendak ke mana. Hanya mampu mengangkat tangan memberi isyarat agar jangan datang kepadanya sambil ketawa sampai merembes airmata. Jemarinya yang mengesat hujung tubir mata membuatkan semua orang tahu yang matanya sudah basah dek ketawa gelihati.

“Meeta, please… kau ketawa ke nangis ni?” Zaifunizam merayu dan bertanya. Semua orang semakin kuat ketawa.

Meeta sudah terhinggut-hinggut ketawa tanpa suara. Airmatanya semakin merembes kerana banyak ketawa. Laju dia menggelengkan kepala kemudian mengangguk pula. Zaifunizam tergelak-gelak dengan muka panik, tertanya-tanya.

“Dia geleng. Lepas tu, angguk. Yang mana satu? Matilah aku nak pujuk macam ni!” Rengek Zaifunizam pada tim pengurusan, manja dan keliru. Riuh-rendah suara gelak ketawa menggamatkan dewan. Meeta sudah tidak mampu bertahan lagi. Dalam ketawa, dia mengalah lalu melangkah mendapatkan Zaifunizam.

“Haa… dah tak merajuk dah? Kau dah okey?” Laju Meeta mengangguk. Ketawanya tak juga reda malah bertambah kuat.

“Kita pergi Bandung ya?” Tanya Zaifunizam, nada bercanda. Meeta mengangguk lagi sambil tertunduk-tunduk ketawa malu. Dan seluruh dewan ketawa dan bertepuk tangan tanda Zaifunizam sudah berjaya.

Sekali lagi dewan senyap sunyi di saat Encik Hairi dan Puan Soo Lin menggoncang kotak dan memasukkan tangan untuk mengambil satu gulungan kertas di kotak masing-masing.

“Nama I tak ada, kan?” Soal Puan Soo Lin kepada Encik Hairi dalam nada bergurau. Semua orang tergelak.

“Tak ada agaknya. Tapi kalau ambil nama kita, kita sebut nama orang lain,” jawab Encik Hairi pula. Lagi kuat gelak ketawa semua orang di dewan itu.

Dewan kembali senyap apabila keduanya membuka gulungan kertas kecil itu. Semuanya berdebar menunggu pengumuman seterusnya.

“Wardah dan… Adam!” Semua kakitangan KSB bertepuk tangan kecuali Azam dan Zakuan yang ikut tersentak di tempat duduk sendiri. Masing-masing diam membisu. Hanya mata saling berpandangan. Mereka tidak boleh selamba bereaksi kerana bersama mereka adalah Tan Sri Dato’ Uthman sendiri.

Wardah sudah tidak dapat menarik nafas buat beberapa saat. Dia terlalu terkejut. Dan pasangannya? Oh, tidak!

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 9

KAK cover copy

Laju Zakuan meletakkan jari telunjuknya di bibir. Sementara sebelah telapak tangan lagi memberi isyarat kepada pekerjanya agar menunggu sebentar. Tetapi lelaki separuh abad itu tetap cemas, berlari-lari anak ke arah Zakuan sambil menjerit-jerit.

“Hoi! Buat apa tu? Curi ya?” Jerkahnya dari jauh.

Zakuan kalut memandang antara gadis-gadis yang sudah melangkah pergi dengan pakcik tukang kebun yang semakin hampir. Terbeliak matanya bila melihat kedua-dua gadis itu memandang ke belakang semula. Habis aku!

“Syyhhhh!” Bisik Zakuan sambil memberi isyarat supaya jangan menjerit dengan kedua-dua tangannya. Kemudian dia menoleh ke arah gadis-gadis itu semula. Janganlah mereka berpatah balik, desis hatinya dalam debar.

Saat itu, Wardah yang menoleh ke belakang kelihatan mengangkat bahu. Kemudian dia berkata sesuatu lalu berpusing semula dan menyambung langkah. Diikuti kawan baiknya dengan muka tak puas hati.

Terpejam sepasang mata Zakuan sambil menghela nafas lega.

“Hang buat apa kat sini? Hang mengendap anak dara orang ka?” Sergah si tukang kebun apabila dia perasan yang lelaki muda itu asyik memandang dua orang gadis yang sudah berlalu pergi.

Tertelan liur dibuatnya. Zakuan cepat-cepat membuka topi mengkuang yang lebar dan lusuh itu. Baru tersedar, topi mengkuang sebegitu baru saja berada di atas kepalanya yang bersih dan rambut yang bersikat rapi. Dengan muka jelek, dia cepat-cepat menghulurkan topi itu kepada tuan empunyanya dan memaksa dirinya tersenyum.

‘Sayalah, pakcik! Zakuan.” Dia terpaksa memperkenalkan diri kepada pekerja yang ternyata tidak mengecam majikannya sendiri.

“Astaghfirullah! Mintak maaf, Encik Zakuan. Pakcik tak perasan bila encik pakai… pakai topi pakcik. Encik buat apa kat sini?”

“Saya? Saya… tengah cari… err… barang. Ada barang tertinggal masa saya lalu di sini pagi tadi.” Kelam-kabut Zakuan mencipta alasan. Jangan sampai tukang kebun kata majikannya gatal mengintip anak dara orang pula!

“Oooo… pakcik dok cabut rumput keliling pangkal pokok tadi. Tapi tak nampak apa-apa pulak. Apa barangnya, encik Zakuan? Mana tahu kalau pakcik jumpa…”

“Eh! Tak apalah pakcik. Saya pun dah cari kawasan ni. Tak jumpa juga. Mungkin saya tertinggal di bilik. Err… cuaca panas, saya pinjam topi pakcik,” Zakuan mahu cepat-cepat beredar dari situ sebelum ada orang lain yang nampak.

“Ya, encik! Sila… sila…” si tukang kebun mengundur diri memberi laluan kepada majikannya yang kelihatan amat pelik hari itu. Apa pun dia merasa bangga kerana dapat bercakap dengan tuan empunya rumah peranginan ini yang selama ini belum pernah menyapanya.

Zakuan bergegas ke kereta lalu segera memandu pergi dari situ. Dia menghela nafas berkali-kali. Nasib baik dia terselamat tadi! Kemudian segarit senyum muncul di bibir. Seronok juga! Belum pernah dia buat kerja sebegitu. Mengintip anak dara orang!

Hmm… ada hati hendak kahwin dengan jutawan rupanya dia. Perempuan! Kalau yang gedik pun memang terkejar-kejar lelaki kaya, yang nampak baik macam itu pun serupa juga. Perempuan dengan duit macam irama dan lagu, agaknya. Tak boleh dipisahkan!

Belum apa-apa, sudah berangan nak dapat untung. Lepas tu nak korbankan keuntungan ke jalan Islam? Apa yang dia merepek sebenarnya? Kalau dah sanggup kahwin untuk dapat modal berniaga, dia memang tak ada hati dan perasaan! Macam itukah orang yang hendak berkorban untuk Islam? Orang yang tidak ada hati dan perasaan? Kahwin kerana hendak berniaga? Tak ada cinta? Bisnes semata-mata?

Entah kenapa Azam suka sangat dengan perempuan itu? Dia yakin, sahabatnya itu bukan saja suka malah sudah jatuh hati sebenarnya. Cara Azam yang sangat mengambil berat membuatkan dia gusar. Bagaimana kalau Azam betul-betul tersalah pilih? Azam bukan seperti dirinya yang mudah saja tinggalkan perempuan. Dia lelaki budiman. Nanti habis diikut saja apa kata buah hatinya. Isyhh… tak boleh jadi! Nanti Kaustik jadi hak milik perempuan itu pula.

Dia berani mengaku terus-terang yang dia tak minat nak kahwin. Tapi sebab nak ‘berdagang’ kononnya, dia sanggup kahwin. Bayangkan! Kalaulah si Azam yang menjadi mangsanya… oh, tidak! Azam mesti disedarkan dari mimpi. Dia sanggup buat apa saja asalkan Azam sedar yang perempuan itu bukan seperti yang dia sangkakan.

Zakuan berani potong jari, perempuan itu hanya memberi alasan untuk berdaganglah kononnya! Berdagang? Zakuan ketawa kecil sambil menggelengkan kepala. Mana orang di zaman ini hendak berdagang? Sekarang orang berniaga. Macammana hendak untung kalau pemikirannya masih di zaman tok kaduk? Yang sebenarnya dia mahu hidup mewah. Mewah tanpa cinta!

Aduhai… Azam! Azam! Dia tahu ke apa yang dia buat sebenarnya? Zakuan berkata-kata sendirian. Azam mungkin hebat menari di lantai penerbitan tetapi bila mencari pasangan, dia belum berpengalaman. Tidak seperti dirinya. Perempuan seperti ikan di air. Cukup sekilas, dia tahu hati budi mereka.

Zakuan memutar stering ke arah restoran. Sebaik sahaja dia memberhentikan kereta di ruang parkir, nombor telefon bimbit Azam segera didail. Kemudian dia masuk ke bilik VVIP lalu memesan minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga. Minum dulu sementara menunggu Azam tiba.

Jemari Zakuan mengetuk meja dalam satu irama. Itu tandanya dia sedang memerah otak mencari idea. Dia mesti lakukan sesuatu. Mesti ada caranya untuk menguji samada perempuan itu jujur seperti yang dia katakan atau sebaliknya. Apa pun, Zakuan mesti menarik perhatiannya supaya Azam tidak menjadi sasaran.

Hampir sepuluh minit berlalu barulah Azam muncul dalam keadaan tergesa-gesa. Wajahnya agak tegang, tidak seperti biasa.

“Dah lunch?” Tegus Azam bila melihat Cuma ada gelas berisi laici di hadapan Zakuan.

“Belum. Kau?”

“Nak lunch dengan kau lah ni.” Jawab Azam, tersengih. Dia seperti cemas dengan sesuatu. Mesti fasal perempuan itu, getus hati Zakuan.

“Dah lama sampai?” Tanya Azam lagi.

“Baru sepuluh minit.”

“Dah order ke?”

“Belum. Tunggu kau. Kau pergilah tengok apa yang ada. Aku rasa nak makan berhidang pulak hari ni.”

“Okey. Hari ni, aku yang belanja. Kau tunggu kejap.”

Azam keluar ke ruang hidangan di sudut restoran itu. Lama juga dia memerhati dalam diam. Kemudian dia membuat pesanan kepada pelayan yang setia berdiri di sebelahnya.

“Aku cadang nak bawak Halim dan Soeraya jumpa kau petang ni,” ujar Azam sebaik saja dia masuk kembali dan melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Zakuan. Kata-katanya tidak bersahut.

“Nak bincangkan fasal anugerah khidmat cemerlang tu. Yalah, aku rasa…”

“Tak perlu.”

“Hah?” Azam benar-benar terperanjat. Berdebar hatinya. Apakah itu bermaksud…

“Aku percayakan kau. Teruskan.” Mata Azam berkelip-kelip. Mulutnya terbuka tanpa suara. Macam tidak percaya dengan kata-kata Zakuan. Perlahan-lahan nafas lega dihela.

“Tapi dengan syarat, aku ada hadiah misteri untuk dia.” Beritahu Zakuan tanpa memandang. Azam kembali terlopong tanpa suara. Dadanya bergetar. Nafasnya ditarik dan dihela kasar.

“Baiklah. Terima kasih, Kuan.” Dia akur dalam debar.

Zakuan sekadar mengangkat kening. Dia cuba beriak selamba. Namun dalam hatinya bergelora. Engkau tunggu ya, perempuan!

 

 

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 8

KAK cover copy

 

Selesai belajar menunggang, Wardah dan Benn berjalan-jalan di sekitar RPLB sehingga mereka sampai ke jalan utama RPLB yang di kelilingi taman bunga yang cantik. Ada bukit-bukit kecil yang menghijau memagari jalan itu.

Di situ rupanya adalah kawasan rekreasi yang dibina lengkap dengan tiga buah wakaf dan beberapa buah meja dan bangku batu. Di tengah-tengah kawasan itu, dibina kolam kecil yang mengelilingi batu-batu buatan manusia yang dihias dengan tumbuhan berbunga dan rerumput. Bertambah cantik bila ada air pancut di puncaknya. Wardah bukan main seronok menadah air yang berjatuhan. Kemudian habis Benn direnjis-renjis sehingga berlaku adegan kejar-mengejar di sekeliling kolam itu.

Kawasan yang ditanam dengan pokok bunga mawar dan bunga kertas yang tinggi-tinggi itu agak terlindung kerana dipagari pokok teh yang sudah tinggi separas pinggang membuatkan mereka tidak perasan tentang kewujudan tempat itu ketika sampai ke RPLB agak lewat petang kelmarin. Chalet, restoran dan tasik yang besar itu pula terletak agak jauh ke dalam.

Selepas penat berlari, Wardah dan Benn mencari bangku batu untuk melepaskan lelah. Masing-masing meletakkan plastik berisi kuih-muih dan air minuman yang mereka bawa bersama tadi untuk mengalas perut dan menghilangkan haus selepas penat menunggang. Penat dengan rasa cemas dan takut sebenarnya. Cadang mereka hendak makan di bilik sementara menunggu waktu makan tengahari. Tetapi suasana taman rekreasi itu sangat menarik membuatkan mereka membuat keputusan untuk makan di situ saja. Ah… sedap sungguh beristirehat di tempat yang cantik, redup dan berangin seperti itu.

“Siapa agaknya yang dapat anugerah khidmat cemerlang malam nanti ya Arda?” Benn menyedut teh ais limau yang segar itu untuk membasahkan tekaknya.

“Dari marketing department agaknya. Faris?”

“Raymond kata dia dah pernah dapat sebelum ni. Mungkin orang lain pula kot. Entah-entah engkau yang dapat.”

“Wah… memang macam mimpilah kalau aku yang dapat. Aku baru tiga tahun di Kaustiklah. Ramai lagi yang senior,” tukas Wardah sambil membuka bekas polistrin yang berisi ubi rebus. Puas hatinya dapat makan ubi rebus banyak-banyak. Rindu pada arwah ibu dan ayahnya tidak terkata. Itulah makanan kegemaran mereka berdua.

Sebenar tadi sebuah Mercedes menjalar masuk dari arah pintu gerbang RPLB. Zakuan yang berkaca mata hitam pulang bersendirian dari tapak semaian kerana rakan niaganya mahu terus ke bandar Taiping bersama keluarga. Panas matahari yang semakin terik memancar membuatkan Zakuan tidak sabar untuk sampai ke restoran. Namun kelibat dua orang gadis yang berlari-larian mengelilingi kolam kecil di atas bukit itu menarik perhatiannya. Langsung dia memberhentikan kereta di bibir jalan agak jauh ke depan dari taman rekreasi itu.

Zakuan terdiam lama di dalam kereta. Dia tahu dua orang gadis itu adalah Wardah dan Benn. Hatinya tergerak untuk bersama mereka… eh, bukan! Dia cuma mahu memerhatikan mereka. Lagi pun dia perlu bukti kukuh untuk menguatkan hujahnya yang setakat ini hanya berlandaskan gerak hatinya sahaja tentang siapa Wardah yang sebenar.

Zakuan melangkah keluar dari kereta. Dia pasti yang mereka tidak sedar akan kehadirannya kerana kedudukan keretanya agak rendah di balik bukit dan agak terselindung di sebalik deretan pokok teh yang memagari taman rekreasi itu. Berkemeja T putih dengan jeans biru muda, Zakuan tersandar di kereta dengan kaca mata hitamnya. Tiba-tiba dia terpandang kereta tolak yang ada bibir jalan di hadapannya. Mungkin ditinggalkan pekebun untuk ke tempat rehat memandangkan waktu sekarang sudah hampir tengahari. Timbunan kecil rumput-rumput yang dicabut berlonggok di tepi pokok teh itu. Mungkin pekerja itu sedang melakukan rutin harian mencabut rumput di keliling pangkal pokok sebelum keseluruhan rumput dipotong menggunakan mesin rumput pula. Sebuah topi mengkuang yang lebar ditinggalkan di atas kereta tolak bersama dengan peralatan untuk berkebun. Zakuan terus memerhati kereta tolak itu. Lama.

“Bangsawan? Sekarang mana ada wujud bangsawan-bangsawan ni!” Suara Benn meninggi bila mendengar anganan Wardah.

Slow betullah kau ni! Sekarang ni jutawanlah!”

Benn ketawa mengekek. ‘Aku tak pernah sangka aku dapat kawan dengan orang yang berangan nak jumpa dengan jutawan ni, tau tak! Geli!”

“Bukan macam yang kau fikirlah! Aku nak mencontohi Rasulullah yang berjaya dagangkan barang-barang dagangan milik Siti Khadijah, wanita bangsawan yang mulia dan kaya-raya tu!”

“Err… kau tak rasa terbalik ke? Kau lupa ekk? Kau tu, perempuan! Nak berdagang konon! Bukak kedai runcit je lah,” tukas Benn lagi sambil mentertawakankan Wardah. Ada-ada saja cara otak terlebih geliganya berfikir. Sebelum ini, hendak jadi sukarelawan. Mahu menyertai MERCY Malaysia. Tak takut dengan bom dan peluru sesat. Gagah hendak berjuang di Palestin dan Syria. Sekarang hendak berdagang pula!

“Isyhh… sempit betul fikiran kau ni! Kau tak faham, sebenarnya. Kalau aku jumpa orang kaya yang sanggup bagi aku jalankan bisnes dia, aku nak ubah kepada cara perniagaan Rasulullah. Aku banyak belajar dari abi, kau tau tak. Abi tak ikut sistem kapitalis tu. Nanti kalau aku berjaya, lagi untung orang kaya tu. Tapi ada syaratnya. Keuntungan dia mesti dibelanjakan ke jalan Islam. Barulah Islam jadi syumul.” Sepasang mata Wardah menerawang ke langit. Setinggi itulah cita-citanya. Tapi sayang, dia tahu Benn tak akan faham.

Benn semakin laju menggeleng kepala. Letih hendak melayan angan-angan si Wardah. Ramai-ramai gadis yang dia jumpa, tak pernah sepelik Wardah. Angan-angan tak bertapak di bumi sungguh!

“Jadi, kau nak kahwin dengan orang kayalah ni,” soal Benn sambil mengunyah bebola kaya yang sudah suam-suam kuku.

“Aku tak minat nak kahwinlah. Tapi kalau dengan kahwinlah, boleh buat macam tu, apa salahnya. Kahwin atas dasar cita-cita. Bukan atas dasar cinta macam yang kau idamkan tu!”

“Cittt! Bila masa pulak aku mengidam nak bercintan-cintun ni ha? Kau salah oranglah!” Wardah ketawa lepas. Dia sengaja! Benn cukup alergy dengan perkataan ‘cinta’. Sebab itu, dia selesa bersama dengan gadis itu. Rimas bercakap tentang cinta.

“Eh, dah tengahari dah, kesian pakcik tu masih bekerja lagi!” Wardah yang tiba-tiba terkejut apabila ternampak seorang lelaki bertopi mengkuang terbongkok-bongkok di sebalik deretan pokok teh yang memagari lereng bukit dekat dengan tempat mereka duduk. Rasa belas kasihan menyelinap dalam hatinya.

“Dia tak rehat ke? Haa, dah jam dua belas sekarang,” ujar Benn sambil membelek jam tangannya.

“Kesianlah. Dahaga agaknya panas-panas ni. Benn, aku nak bagi pakcik tu durian crepe dengan minuman aku ni. Kau punya rojak tu, share dengan aku, ya?”

“Wahhh…” Benn menjeling panjang. Wardah mengerutkan muka. Teruk sungguh Benn!

‘Durian crepe tu! Aku baru nak rasa!” Tanpa mempedulikan Benn yang memprotes, Wardah bangun sambil meraih bekas minuman dan durian crepe yang belum disentuh. Dia melangkah perlahan-lahan ke tepi pokok teh yang memagari dan memisahkan antara mereka dengan si tukang kebun.

“Assalamualaikum, pakcik,” tegur Wardah dengan lembut. Lelaki itu terkejut lalu terduduk sambil menundukkan kepala.

“Eh, maaf! Saya buat pakcik terkejut. Ni, ada minuman dan makanan sikit untuk pakcik. Ambillah.” Gugup juga Wardah dibuatnya.

Topi mengkuang itu bergerak-gerak bila lelaki itu menggelengkan kepalanya. Wardah tersengih. Pemalu pula pakcik ini.

“Pakcik, tak baik menolak rezeki. Kalau pakcik ambik ni, nanti rezeki saya Allah bagi berganda. Ambillah, pakcik,” pujuknya dengan lemah lembut. Simpatinya melimpah-ruah dengan sikap pekebun itu.

Sekali lagi topi mengkuang itu bergerak-gerak kerana dia tetap menggeleng.

“Pakcik, berkat kalau berkongsi makanan. Saya belum sentuh lagi makanan ni. Kami masih ada makanan yang lain. Pakcik ambil ya,” Wardah sabar memujuk. Tersentuh dia dengan sikap si tukang kebun yang pemalu.

Perlahan-lahan tangan dihulurkan ke atas. Wardah terkejut sekejap tetapi kemudian tersenyum gelihati. Dia mendekatkan bekas minuman dan plastik yang mengandungi bekas berisi durian crepe ke tangan lelaki itu. Kini kedua-dua tangannya mencapai apa yang dihulurkan Wardah tetapi kepala tetap menunduk.

“Makan ya, pakcik,” pelawa Wardah.

“Terima kasih,” suara yang dalam dan maskulin tiba-tiba kedengaran. Wardah tersenyum senang lalu menjawab dan melangkah pergi.

“Jomlah kita balik. Mungkin pakcik tu nak rehat kat sini tapi malu dengan kita,” ajak Wardah bila Benn tak sudah-sudah mengunyah.

“Laaa… aku baru nak makan!”

“Kau ni kan, sensitiflah sikit. Dah, kita makan kat chalet je.” Wardah selamba mengambil bekas minuman dan memasukkan kembali bekas rojak ke dalam plastik. Benn buat muka cemberut tapi dia melangkah juga mengekori Wardah.

“Tangan pakcik tu kan, putih betul. Bersih je. Tak macam tangan tukang kebun, tau tak?”

“Kan orang berkebun pakai sarung tangan. Sebab tulah tangan dia bersih. Apalah engkau ni! Benda macam tu pun aku kena bagitau. Eh, ada tinggal apa-apa tak…,” serentak itu Benn dan Wardah memandang ke belakang. Meja dan kerusi kosong, tiada apa-apa yang tertinggal. Tapi…

Seorang lelaki agak berumur sedang berjalan laju ke arah tukang kebun yang bertangan putih bersih itu. Kedengaran seperti dia menjerit kemudian berlari-lari anak ke arah tukang kebun yang masih duduk di tepi pagar pokok teh itu.

“Siapa pulak tu?” Soal Benn yang agak terperanjat dengan telatah pakcik tukang kebun yang tiba-tiba muncul.

Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 7

KAK cover copy

Jam sudah hampir satu pagi. Semangat Wardah berkobar-kobar selepas balik dari program perbincangan tentang dunia penerbitan dengan Dr. Kamsina di dewan tadi yang tamat hampir jam sebelas setengah malam. Tidak cukup di situ saja, pertemuannya secara tak sengaja ketika jamuan ringan di restoran dengan Dr. Kamsina beserta lampu hijau dari Encik Azam memberi peluang untuk dia berbicara terus dengan wanita yang berpengalaman luas dan mempunyai asas pendidikan di bidang yang mencabar itu. Apa lagi, berbagai persoalan yang selama ini bersarang di kepalanya diluahkan dan alangkah gembiranya dia bila dijawab dengan terperinci oleh wanita itu dengan sesekali dibantu Encik Azam.

Sudah berkali-kali Benn menutup mulut kerana menguap dan sudah sakit kakinya dipijak Benn berkali-kali kerana mengajaknya balik ke chalet. Tetapi Wardah semakin banyak bertanya itu dan ini kepada Dr. kamsina yang peramah dan bersifat merendah diri itu. Akhirnya mereka pulang ke chalet selepas jam dua belas tengah malam dan saat ini, dia terkebil-kebil di katil bersendirian sambil menganalisa semula perbualan mereka tadi ditemani dengkuran kecil si Benn.

Pola pemasaran penerbitan akhbar dan majalah di seluruh dunia amat pelbagai. Kaustik memilih untuk menjadi akhbar percuma Bahasa Melayu yang tunggal di negara ini. Ternyata strategi yang biasa digunapakai di banyak negara itu berjaya melonjak pengedaran Kaustik sehingga mampu memberi saingan hebat kepada akhbar yang lain. Malah peningkatan edarannya yang meningkat kepada 200,000 naskah pada tahun ini amat memberangsangkan memandangkan ianya baru dua tahun dilancarkan. Dr. Kamsina memperjelaskan bagaimana strategi pengedaran akhbar ini mampu memberi keuntungan yang memberangsangkan kepada semua kakitangan Kaustik samada yang lama dan baru. Dan untuk mengekalkan atau meningkatkan pencapaian itu, seluruh tim mesti memberikan komitmen yang padu dan terkini.

Wah, Wardah paling suka dengan konsep ‘percuma’. Ternyata dengan ‘percuma’ itu masih tetap memberikan pulangan yang hebat. Selari sungguh dengan apa yang abi amalkan. Edaran percuma produk makanan keluaran syarikat abi yang dibuat secara berkala memang selalu melonjakkan jualan.

Wardah tersenyum dalam angan-angan. Moga-moga satu hari nanti dia berjaya dalam bidang penerbitan sepertimana abi dan umi yang berjaya dalam perniagaan mereka dalam mengeluarkan makanan yang bersih dan halal untuk masyarakat. Seperti mereka, dia juga akan memulakan dari bawah. Dan dia juga mahu menjadikan konsep ‘percuma’ itu sebagai sandaran.

Semua itu bukan mustahil. Malah ideanya untuk menerbitkan dan mengedarkan majalah sisipan secara bulanan dalam Kaustik yang mendapat sokongan dari Encik Azam dan Encik Halim ternyata memberikan impak selepas tiga bulan edarannya. Kini setiap satu haribulan pada setiap bulan, Kaustik mencatat edaran yang paling tinggi.

Wardah suka sangat makan pulut kuning dengan rendang. Hari yang bersejarah itu, umi dan abi masak pulut kuning dan rendang untuk tiga ratus orang sempena majlis yang diadakan. Wardah gembira tak terkata. Semua adik-adik yang dia sayangi dan kawan-kawan rapat yang sama-sama membesar dengannya suatu waktu dulu ada bersama meraikan kejayaannya. Wardah berdiri anggun di hadapan pintu bangunan miliknya diapit oleh abi dan umi.

Reben besar yang merentang di pintu masuk itu hijau berkilat dan ada bunga kuning dan oren yang besar di tengah-tengahnya. Benn datang membawa dulang yang ada gunting di atasnya lalu berdiri dekat dengan Wardah. Benn berbaju kurung, cantik sangat. Senyumannya berseri luar biasa! Mereka semua baru saja selesai mengaminkan doa selamat yang dibacakan Encik Azam sebentar tadi. Jadi sampai masanya Wardah mengunting reben untuk merasmikan bangunan yang bakal menjadi pusat penerbitan majalah dan buku-buku yang bakal memeriahkan lagi media cetak di negara ini. Tiba-tiba…

‘Adoiii!” Guntingnya dirampas seseorang. Kelam-kabut dia mencari-cari gunting yang hilang.

“Kau cari apa?”

“Gunting aku… gunting!”

“Ya, Allah! Teruknya engkau mengigau!” Wardah tersentak amat. Benn muncul dalam pandangannya yang kabur dan berbalam. Kenapa Benn pakai baju tidur? Tadi dia cantik memakai…

“Aku ingat kau kena sampuk dengan hantu kat pokok mangga chalet hujung sana tu, tau tak! Dah tegak bulu roma aku tadi. Dah, bangunlah Wardah. Macam budak kecik mengigau!” Wardah tergelak dengan mata yang sudah terpejam kembali. Nasib baik masa pulang dari dewan tadi, mereka terlupa fasal hantu pokok mangga. Dia serik hendak menyanyi di luar rumah waktu malam lagi. Cukup sekali dia buang tebiat seperti itu!

“Aku pun tertidur tak tukar baju jugak tapi taklah mengigau teruk macam kau! Pergi basuh muka, tukar baju tu! Nasib baik aku bangun sebab nak ke bilik air tadi. Kalau tak, hancur bantal tu kena lenyek. Silap hari bulan, kau berjalan masuk dalam tasik pun tak sedar,” bebel Benn bagaikan tak mahu berhenti.

Wardah terpisat-pisat bangun. Jam di telefon bimbit direnung sungguh-sungguh. Empat pagi? Kelam-kabut dia bangun berdiri. Betul! Dia masih berjubah yang dipakai ke program semalam. Ya, Allah… entah bila dia terlena.

“Gunting! Gunting! Kau nak buat apa dengan gunting, hah?” Sergah Benn lagi. Terkelip-kelip sepasang mata Wardah.

“Aku… aku… err… tak ada apa-apalah. Aku nak ke bilik air. Kau tidurlah ya.” Ujar Wardah, malu-malu sendiri bila teringatkan peristiwa tadi. Mimpi rupanya!

Benn ketawa mengekek dan mengejek sambil merebahkan tubuhnya semula ke tilam empuk.

“Wardah… Wardah… ada-ada sajalah kau ni.”

Wardah tersengih, tidak menjawab. Cepat-cepat dia menghilangkan diri di dalam bilik air.

Pagi itu mereka belajar menunggang kuda. Menggeletar hati Wardah tetapi dilindung sedaya mungkin. Menyakini diri bahawa sunnah berkuda itu membawa banyak kebaikan untuk dirinya, dia gagahi juga untuk menyertai yang lain. Sepertimana yang disabdakan Rasulullah SAW:

‘Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah.’ – Riwayat Bukhari/Muslim.

Sebelum belajar menunggang, mereka diberi taklimat ringkas tentang hikmah berkuda. Memang banyak sekali manfaat menunggang kuda selari dengan sabda junjungan Rasulullah SAW. Selain dari membantu membaiki imbangan dan menguatkan otot serta membentuk kelembutan, menunggang juga membantu individu yang mempunyai masalah mental dan emosi, membina konsentrasi, kesabaran dan disiplin yang tinggi. Tapi yang paling penting untuk orang seperti Wardah ialah untuk mengatasi ketakutan.

Wardah tahu masalah dirinya. Di sebalik keberanian yang dipamerkan, dia sebenarnya menyembunyikan ketakutan. Gementar. Itulah yang sering menguasai diri. Merasakan diri sebatang kara membuatkan dia merasa serba tidak sempurna, serba kekurangan. Kadang-kala Wardah mengurung diri bagi mengatasi sifat gementarnya. Mujur bimbingan umi dan abi yang mengetahui kelemahannya selama ini banyak membantu namun sesekali perasaan itu tetap menguasai diri.

Untuk pertama kalinya juga Wardah dan Benn mengetahui tentang seorang perempuan pemanah berkuda kerana gambarnya yang besar melatari salah satu dinding di situ. Erina Emelina Ismail. Wah! Benn dan Wardah serta yang lain memang teruja melihat ketangkasannya yang terpamer dalam gambar itu. Bertudung lagi! Langsung Erina, Pemanah Berkuda Wanita dari tanahair itu menyuntik semangat dalam diri Wardah untuk jadi lebih berani. Benn pula tiba-tiba berangan untuk menjadi sehebat Erina. Ahh… Benn! Kalau berangan, mesti yang hebat-hebat belaka!

Panduan keselamatan diperincikan kepada kakitangan Kaustik. Masing-masing terangguk-angguk. Kemudian seekor kuda dibawa ke hadapan mereka untuk sesi mengenali susuk tubuh kuda. Seterusnya, yang paling menyeronokkan adalah sesi berkomunikasi dengan kuda. Wardah yang mulanya cuak melihat kuda yang besar dan tinggi dengan kaki-kakinya yang berladam besi itu mula merasa teruja untuk mendekati dan menyentuh kuda itu sekaligus bercakap dengannya. Namun debaran di dada tetap ada. Kuda bila dilihat dari dekat nampak ganas tetapi adakalanya manja. Akhirnya masing-masing tampil ke depan untuk bermesra dengan kuda-kuda yang dibawa keluar oleh pasukan berkuda yang bertugas hari itu.

Demo menunggang kuda dipertontonkan satu demi satu. Bermula dengan berjalan, berlari agak cepat atau trot, berlari pantas atau canter dan memacu atau gallop. Semuanya nampak mudah dan menyakinkan. Nampak saja! Bisik hati Wardah. Rama-rama sudah banyak berterbangan di dalam perutnya. Peluh dingin memercik di dahi. Tapi, demi Rasulullah SAW, dia tetap akan melakukannya. Moga berkat sabda nabi, sifat gementarnya selama ini dapat diatasi.

Azam memerhati dari jauh apabila giliran Wardah pula belajar menunggang. Manis berbaju kemeja longgar dengan seluar khaki. Dia memakai topi dan kasut boot yang disediakan oleh RPLB. Nampak dari jauh, Wardah nampak ketakutan dan teragak-agak sampai tidak sedar kaki Azam mula melangkah untuk mendapatkannya. Namun apabila melihat Wardah semakin bersemangat bila sudah berada di atas kuda. Dia dibawa berjalan oleh petugas mengelilingi lapangan berkuda itu perlahan-lahan. Lama-kelamaan, Wardah sudah mampu menunggang kuda bersendirian. Satu pencapaian dalam masa yang singkat!

Dalam lega, hati Azam masih dipagut resah. Kelibat Zakuan tidak kelihatan sejak pagi tadi. Azam tahu dia pasti ke tapak semaian pokok jati seperti yang dikatakannya semalam. Entah bagaimana dia dapat mengubah pandangan Zakuan terhadap Wardah. Semalaman dia berfikir tetapi hingga ke saat ini dia masih buntu. Dia mengharapkan tengahari nanti, dia dapat membuat Zakuan mengubah fikiran. Wardah mesti tetap menjadi calon anugerah itu. Dan selepas majlis itu nanti, Wardah mesti dijauhkan dari Zakuan!