RENJANA Prolog

Prolog

1992

Sepasang kaki melangkah laju, masuk ke dalam sebuah restoran berhawa dingin di situ. Hayunan tangannya padu. Jelas pada bahasa tubuhnya yang dia amat fokus terhadap sesuatu. Sepasang matanya menghunjam ke suatu arah.

Langkah kakinya berhenti seraya tubuhnya berpusing sebaik saja dia tiba ke sebuah meja makan yang diapit dua kerusi. Tempat sandar yang lebih tinggi daripada kepala itu memang sesuai untuk menyembunyikan aksi manja pasangan yang makan di situ. Namun dinding kaca lut sinar di tepi meja itu mendedahkan senario di dalam dengan amat jelas pada pandangan umum di luar sana. Senario yang sangat menyakitkan mata dan hatinya sejak tadi!

Yang si lelaki terngadah dan terperanjat. Di sisinya, seorang gadis yang sejak tadi seperti beluncas kelaparan hanya memandang sekilas kemudian berpaling membuang pandang ke arah lain seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku.

“Bad?”

Badariah tak bereaksi bila namanya diseru. Pandangannya terus menghunjam tajam ke wajah yang putih melepak tapi sayang hatinya gelap dan kering.

“Kau memang perempuan tak ada maruah, kan? Aku dah cakap baik-baik dengan kau! Lepas tu, bukan main kau menangis minta maaf. Kononnya kau tak tahu yang jantan ni dah kahwin. Habis tu, sekarang ni apa?” Bergetar suara Badariah menahan amarahnya yang meledak. Sehabis daya dia menahan suara agar tak didengari pelanggan lain yang sedang menjamu selera dalam restoran itu.

Gadis itu hanya tersenyum tanpa memandang sesiapa. Juga tanpa sebarang reaksi balas, dia mencapai gelas kaca berkaki di hadapannya. Belum sempat mencecah bibir, gelas itu terlebih dahulu disambar dan jus oren segar itu disimbah ke mukanya.

“Juliana!” Badaruddin kelam-kabut bangun mencapai tisu yang ada di meja. Bibir merah bergincu dan hidung mancung yang basah itu dilap cepat-cepat. Yang kena simbah diam selamba. Senyumannya masih di bibir. Cuma berubah sedikit kelat.

Dan senyuman itu buat darah Badariah semakin mendidih. Dia melangkah ke tempat duduk berhadapan dengan mereka dan…

Pang! Pipi yang disapu dengan warna merah jambu itu bertukar merah. Hah… baru pipi merah namanya!

“Hei!”

Pang! Sekali lagi pipi itu ditampar sekuat hati. Sampai terteleng kepala mangsa ke dada kekasih gelapnya.

“Sudah!” jerkah Badaruddin. Pergelangan tangan adiknya dicengkam kuat. “Kau ni dah kenapa, Bad?”

“Kenapa? Abang tanya, kenapa?”

“Kau jangan kurang ajar, Bad!”

“Siapa yang kurang ajar kat sini, hah?” pekik Badariah seraya merentap tangannya. Dia tak peduli lagi. Biar semua orang saksikan!

Badaruddin bertindak lebih kasar. Lengan Badariah ditarik kuat sampai tubuh adiknya terhayun keluar dari ruang meja itu. Pinggangnya pula dipaut dan dia diheret keluar dari situ.

“Encik Badar!”

Langkah Badaruddin pula terhenti bila seorang lelaki terpacak berdiri di hadapannya.

“Kau!” Badaruddin tersentak. Serentak itu matanya mencerlung ke arah adiknya. “Kau orang memang nak kenakan aku ya!”

“Lepaslah!” Badariah ambil kesempatan merentap tangannya dan melepaskan diri dari abangnya. Dia berpatah balik ke meja tadi, mengadap gadis yang masih berwajah selamba. Perempuan ini memang berhati batu dan bertelinga tempayan agaknya? Spesis tak berhati perut! Badariah semakin meluap di dalam.

“Hei! Kau dengar ni. Aku dah rakam video kau yang tak senonoh kat sini. Aku bagi ayah kau tengok. Lepas tu, aku sebar biar satu dunia tengok! Kau tak payah tunggu tayangan kat Padang Mahsyar. Lambat! Aku tayang awal kat dunia ni. Kau tak takut neraka, kan? Hah, kau rasa dulu neraka dunia!”

“Badariah!”

“Apa? Anak bini terbiar tunggang-langgang, abang sibuk layan nafsu kat sini?”

“Kau…” Badaruddin laju menghayun tangannya.

Badariah cepat tunduk melindung muka tapi tamparan yang ditunggu tak kunjung datang. Dia mendongak dan terngadah bila melihat lelaki tadi sedang menggenggam lengan abangnya yang terangkat tinggi.

“Sudahlah! Balik dulu, bincang baik-baik. Orang ramai kat sini.” Dia bersuara tegas, cuba menenangkan suasana. Tangan Badaruddin dilepaskan.

Lelaki itu mendengus. Pantas dia berpaling lalu mencapai lengan Badariah sambil melangkah laju keluar dari restoran itu.

Badariah terheret keluar namun sepasang matanya sempat menghunjam tajam ke arah lelaki yang tiba-tiba muncul entah dari mana menjadi penyelamatnya hari ini. Tinggi lampai, segak orangnya, berkulit cerah dan berpakaian kemas. Siapa dia?

“Kau handle Ju!” arah Badaruddin dengan lantang.

Lelaki itu hampir tergelak kuat melihat sepasang mata membuntang ke arahnya. Dia terus berdiri di situ, memandang gadis berani yang berwajah penuh emosi diheret keluar sehingga hilang dari pandangan. Jarang dia bertemu dengan perempuan sepertinya yang begitu tegas mempertahankan hak perempuan lain tanpa mempedulikan dirinya sendiri.

Kemudian dia berpaling ke arah perempuan yang masih  membatu di situ, diam memujuk diri kerana ego dan maruah yang tercalar. Dia amat kenal dengan perempuan itu, yang tak pernah pedulikan orang lain melainkan dirinya sendiri.

Sementara di luar sana, di dalam sebuah kereta, seorang perempuan cantik sedang menangisi nasib diri yang tak dipedulikan. Bahkan dirinya sendiri.

…Bersambung

psst: Terima kasih sudi singgah. Moga terhibur dengan karya terbaru Kak Juea, RENJANA. Novel ini dahpun siap. Ada dalam versi ebook (ready file) dan versi cetak (dalam proses). Pesanan masih dibuka sehingga 25 Mei ini. Novel ni tak dicetak banyak (ikut pesanan) sebab ramai memilih untuk membaca ebook sekarang.
Untuk pesanan: Whatsapp 011-20503481.

PERSIS AKAR DANI Bab 16

“Malam ni, Ika tak perlu hantar abang ke airport. Lagi pun dah lewat, Ika penat dan …”

“Tak nak! Ika nak hantar abang! Nak bersama abang sampai saat terakhir abang nak berangkat!” Puteri terus tarik muka.

Setiap kali teringat yang suaminya nak terbang ke Istanbul, dia dah meraung dalam hati. Sekarang, nak hantar pun tak boleh? Nuqman melampau! Puteri berpusing laju melangkah ke meja solek. Punggung dihempas ke tempat duduk kecil itu. Rambut yang masih basah disikat kasar. Rambut yang sedia kusut, tambah kusut jadinya.

Helaan nafas kasar Nuqman yang masih duduk di birai katil jelas menerjah ke cuping telinganya. Namun dia tak mahu memandang lelaki itu. Air jernih dah banyak bertakung dalam tubir mata. Tunggu masa nak tumpah berjuraian saja. Hailah hati… tak tertanggung rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan suami sebaik saja lepas diraikan dalam majlis yang sebegini meriah. Entah bagaimana malam nanti… tidur sendirian di kamar pengantin! Mahu basah segala bantal dan cadar…

Teringin sungguh hati nak siapkan sarapan untuk suami esok pagi. Nak bersarapan buat kali pertama bersama seluruh keluarga mentua. Teruja benar dia untuk memulakan kehidupan baru bersama suami tercinta tapi…

“Sayang…”

Bahunya dielus lembut. Entah bila Nuqman berdiri di belakangnya! Puteri telan liur. Jangan menangis, duhai mata! Tolong jangan menangis! Takut nanti tak boleh berhenti…

Kucupan hangat tiba-tiba singgah lembut di pangkal lehernya. Terpejam sepasang mata Puteri dan air jernih itu luruh juga akhirnya. Tuhan!

Dirinya didakap dari belakang. Dan nafas Nuqman mendesah di telinga. Pipi berlaga pipi. Puteri tak daya nak menahan diri. Disandarkan kepalanya ke leher suami dan dia menangis teresak-esak.

Entah berapa lama mereka begitu. Jari jemari saling menggenggam erat, menyalurkan segala rasa yang sudah tak tertanggung di dalam. Kemudian perlahan-lahan Nuqman meleraikan pelukannya, memutar tubuh isterinya yang masih di kerusi dan memaut tubuh itu agar berdiri di hadapannya. Diseka pipi dan hujung mata yang basah itu. Dikucup seluruh wajah isterinya penuh kasih.

Ubati rawan hatinya, ya Tuhan. Dan kuatkan jiwaku untuk terus bangkit berjuang demi agama-Mu. Hatinya berbisik resah, berpaut hanya pada Yang Satu.

“Ika… abang tahu semua ni tak mudah. Sebab tu, abang tak mahu keadaan jadi makin payah. Kalau Ika ikut hantar abang… kalau Ika menangis macam ni… takut abang tak kuat nak tinggalkan Ika. So, please honey… I’m not that strong…” Nuqman merayu sambil buat muka memohon simpati. Senyum dalam payah demi mahu menyembunyikan kelemahan diri.

Puteri tak dapat menahan diri dari ikut tersenyum. Sangkanya Nuqman begitu tega mahu meninggalkannya. Rupanya dia juga sama! Senyuman mereka bertukar tawa walau airmata kian bertakung dalam kelopak mata.

Akhirnya sepasang pengantin baru itu berdakapan erat. Kerana saat-saat seperti ini, tak ada kata-kata yang mampu diluahkan bagi memaknakan rasa di dalam. Biarlah semuanya terluah dalam dakapan itu. Moga denyut jantung yang bersatu memberi kekuatan untuk terus bertabah. Kasih sejati takkan musnah biarpun dilambung ombak selagi diizinkan Tuhan. Maka hanya kepada Tuhan saja, tempat mereka berpaut harap bersama airmata yang mengalir senyap.

“Do you feel me?” bisik Nuqman, lembut di telinga Puteri.

“Hmmm…”

“Feel how much I love you…”

“I do!” Serak suara Puteri dalam menahan sebak.

Nuqman mengeratkan lagi dakapan itu. “Everytime that you miss me, Ika… feel me. Feel how much I love you, need you… always…”

“Abang!” Puteri menangis semahunya. Dibenamkan seluruh mukanya ke dada lelaki itu. Memang dia amat merasainya. Merasai betapa Nuqman mencintainya. Dan tahu betapa dia akan merindu…

********

Lima belas minit kemudian, pasangan itu mengatur langkah dengan senyuman di bibir, keluar dari kamar peraduan untuk meraikan saudara mara dan rakan taulan yang sudah mahu beransur pulang. Berpakaian sedondon rona putih gading, merpati dua sejoli itu turut meraikan tetamu yang sedang menjamu selera di bawah khemah. Usik mengusik dan senda gurau bersama tetamu jemputan sedikit sebanyak mengubat duka yang mereka simpan kemas-kemas dalam dada.

Sebuah teksi merah putih merayap masuk ke sudut halaman rumah yang luas itu, mengundang tanda-tanya di kalangan yang hadir. Siapa yang datang kenduri naik teksi? Sebaik saja pemandunya muncul dari perut teksi, penumpangnya juga turut melangkah keluar.

“Kak Nur!” Puteri terjerit kecil sambil memaut lengan Nuqman. Tergelak Nuqman dibuatnya bila melihat tetamu istimewa mereka datang menaiki teksi. Pemandunya bukan sebarangan orang pula!

Mereka melangkah beriringan menyambut keduanya sambil tertawa kecil. “Ahlan wa sahlan… ingatkan ke manalah korang berdua pergi! Dah petang baru sampai!” Nuqman bersalaman dan berpelukan dengan sahabat lamanya, ASP Rizal. Sempat dia menjeling si mata cantik yang sedang bersalaman dengan isterinya. Ada sesuatu tak kena…

“Nur… okey ke?”

Serentak itu, pandangan Nur beralih ke wajah Rizal. Kemudian dia tunduk melindungi resah yang terlayar di matanya. Pautan tangan Puteri menyedarkannya dan sepasang mata itu cepat tersenyum.

“Kak Nur okey?” Puteri pula bertanya. Memang aneh bila mereka tiba dengan sebuah teksi.

Nur laju mengangguk. Menjaga pandangannya agar tak bertembung dengan pandangan Nuqman. Firasat lelaki itu merisaukannya!

“Okey je, Ika. Jom… akak lapar!” Dia berterus-terang dalam ketawa. Puteri tergelak lalu mempercepatkan langkah mengiringi Kak Nur ke bawah khemah sambil berbual mesra.

“Apa cerita, Zal?” Nuqman tak menunggu lagi. Pasti ada cerita di sebalik teksi merah putih dan pandangan si mata cantik tadi.

“Kami terserempak dengan Remy, Man. Memang dia buru sungguh! Mujur Nur dapat sembunyikan diri sekejap. Sekarang, dia tengah meradang tu. Kita harap dalam keadaan macam ni, sesuatu akan berlaku. Kami tengah intip dia rapat-rapat. Cuma… aku risaukan Nur. Kau rasa, kita perlu pindahkan dia tak?”

Nuqman terdiam lama. Pandangannya menyorot ke bawah khemah sana. Gadis berjubah dan berhijab itu sedang mengambil makanan dan kemudian bergerak menuju ke rumah diiringi isterinya.

“Aku rasa, dia selamat di sini. Buat sementara waktu ni, biarkan dia di sini dulu. Ika akan ke Istanbul dua minggu lagi. Kalau keadaan mendesak, dia boleh bawa Nur sekali.”

Rizal telan liur. Kemudian perlahan-lahan mengangguk. Apa yang ada di fikirannya, dia diamkan saja.

PERSIS AKAR DANI Bab 15

Seluruh tubuh Remy Iskandar terais di situ. Dari tingkap yang dibuka agak luas, kelihatan seorang wanita yang berjubah dan berpurdah rona biru laut keluar dari sebuah teksi, terpaku berdiri memandang ke arahnya. Siapa dia? Pemilik rumah ini? Dia yang sedang cuba mencari kalau mungkin ada barang-barang peninggalan Maya di bilik kurungannya yang boleh dijadikan petunjuk menjadi agak cemas kerana memecah masuk ke rumah itu tanpa izin.

Tiba-tiba wanita itu bergegas masuk semula ke dalam teksi yang bergerak serta-merta sebaik saja pintu ditutup. Kenapa?

‘Dia sempat beritahu aku sebelum Alvin kerjakan dia. Dia kata dia nampak Maya. Dia yakin itu Maya. Dia nampak Maya pakai purdah masa larikan diri dengan lelaki bersongkok … .’ Kata-kata Boy malam tadi menyentak ingatannya. Maya!

Refleks nama itu cukup membuatkan dia berlari turun sepantas yang boleh menuju ke pintu belakang rumah kosong itu di mana keretanya diparkir. Dan demi nama itu juga, seluruh pancainderanya difokuskan untuk mencari arah deruman enjin teksi yang sudah hilang dari pandangan sebaik saja kereta yang dipandu Remy muncul di hujung lorong belakang rumah itu yang bersambung dengan jalan raya utama.

Dia menyumpah dalam hati. Itu pasti Maya. Maya miliknya! Maya yang tergadai kerana sifat gelojohnya. Maya yang dia akan tebus dengan nilai apa pun hatta nyawanya sendiri. Itu janji Remy.

Pagi yang sunyi itu memudahkan dia menjejaki teksi merah yang menumpangkan Maya. Remy tersenyum, kemudian ketawa berdekah-dekah bila deruman enjin teksi itu menyentuh gegendang telinganya. Pedal ditekan rapat-rapat dan kereta meluncur seperti helang yang menjunam ke bumi bila ternampak mangsanya.

Seperti yang dijangka, kelibat teksi merah itu muncul di depan mata. Menyedari yang mereka sedang diekori, pemandu teksi seperti kalut mencari haluan. Habis segala lorong di kawasan perumahan elit yang sunyi itu dipintas. Namun bagai mengejar itik serati, sekejap saja Remy berjaya berada di belakang teksi itu dengan jarak yang sangat dekat. Dia terus-terusan menghentak belakang teksi itu supaya pemandunya berhenti namun sia-sia. Akhirnya mereka tiba di jalan besar. Remy mengambil peluang itu, memintas dan memusing stering secepat kilat sehingga tayar keretanya berdecit nyaring dan terseret lalu berhenti dalam kedudukan melintang di tengah-tengah jalan raya memaksa pemandu teksi itu menghentam pedal brek sehabis daya supaya tidak terlanggar kereta gila yang sedang menghadang jalan. Bukan kereta… tapi pemandunya!

Tanpa menunggu barang sesaat, Remy melangkah laju merapati kereta itu dan membuka pintu belakang. Kosong!

Tubuhnya kejung di situ. Maya tiada! Darah panas menyirap terus ke otak. Tanpa berkata sepatah, pintu kereta di sebelah tempat duduk pemandu direntap dan pemandunya yang masih terkejut dengan kejadian yang berlaku direngkuh keluar dari kereta itu. Lehernya dicekak dengan sebelah tangan yang berotot kekar itu.

“Mana dia? Mana Perempuan berpurdah tadi?” Remy memekik sehabis suara, melampiaskan rasa kecewa dan marah yang amat.

Lelaki yang berkulit cerah itu menggelengkan kepala laju-laju. Dia hanya dapat bernafas sedikit-sedikit saja dek kerana kerongkongnya dicekik. Lehernya semakin sakit bila jemari sasa lelaki itu semakin kuat mencengkam memaksa dia terjerit dalam kepayahan. “Tak… tak ada! Tak ada… perempuan! Tak ada… penumpang. Encik… salah orang!”

Mata helang Remy mencerlung ganas. “Kau jangan nak tipu aku! Aku nampak dia tadi. Kalau kau tak sayang nyawa…”

“Nampak! Nampak! Teksi tu! Bawa perempuan. Dia pecut… potong. Sungguh! Arrgh… arghhh…” Tangannya meronta menolak dada Remy supaya melepaskan lehernya. Dadanya semakin kekurangan oksigen.

Muka pemandu teksi itu dihunjam tajam. Cuba mengagak kebenaran katanya. Tangan yang mencekak itu dilonggarkan sedikit. Remy perlu tahu ke mana mereka kalau benar bagai dikata.

Sebaik saja kerongkongnya dilepaskan sedikit, dia terbatuk-batuk. Dan laju pemandu itu memberi keterangan tanpa diminta demi menyelamatkan diri, “saya belum dapat penumpang lagi. Encik salah orang!”

“Mereka ke mana?” herdik Remy dengan geram yang sarat.

Dia yang tak sempat ambil nafas, terus menggeleng laju.

“Arrrghhhhh…!” Sekali lagi leher tadi dicekak dan tubuh pemuda malang itu disentak dan dihenyak ke atas jalan raya tanpa belas kasihan. Tak cukup dengan itu, pintu teksi dihempas sekuat hati untuk melepaskan amarahnya yang melahar.

Remy bergegas ke keretanya dan memecut pergi sebelum ada kenderaan lain tiba. Fokusnya kini cuma satu, teksi merah yang membawa gadis berpurdah! Dan lelaki bersongkok itu yang kononnya mahu jadi hero menyelamatkan Maya dari tangan Alvin… kalau jatuh ke tangannya, akan dia cincang lumat!

****

Rizal bingkas bangun dan duduk di atas jalan raya itu sambil terbatuk-batuk kerana dicekik tadi. Tercungap-cungap dia macam orang lemas. Berkerut mukanya menahan sakit di punggung dan pinggang akibat dihenyak dan dihentak. Remy memang bukan calang-calang lelaki. Tenaga yang bercampur amarah itu sangat luar biasa. Jenuh dia menahan diri dari bertindakbalas. Seluruh ototnya menjerit supaya melawan. Tapi dia harus tampil lemah di hadapan Remy supaya dia benar-benar seperti seorang pemandu teksi biasa.

Dia merangkak ke pintu kereta dan membukanya. Dalam susah payah, dia memaut di mana saja asalkan tubuhnya dapat dianjak masuk ke dalam kereta. Kemudian tangannya menggagau sesuatu dari bawah kerusi yang didudukinya – telefon bimbit yang dicampakkan tadi. Sambil mata mengelingas keliling, dia menghidupkan enjin kereta dan tangannya laju mendail nombor Nasrul untuk mengetahui kedudukan mereka.

““Nur okey?”

“Okey, tuan!”

“Bawa dia ke pejabat. Saya ke sana sekarang.” Dia gagahkan diri bercakap dalam berdecit menahan sakit.

“Tuan okey?”

“KO!”

“Tuan?”

“Gerak sekarang!”

“Baik, tuan!”

Bunyi hon bertalu-talu dari kenderaan yang datang dari arah depan mengejutkan Rizal. Telefon bimbit itu dicampak ke tempat duduk di sebelah lalu tangannya menukar gear dan kenderaan itu berpatah balik dan meluncur laju ke arah yang bertentangan dari jalan yang diambil Remy tadi untuk menuju ke Bukit Aman.

Lega. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia bersyukur bila taktik mereka berjaya. Sebaik saja Nasrul memaklumkan kedudukan mereka yang mengintip kenderaan yang dipandu Remy, Rizal sedar yang mereka semua berada di kawasan rumah yang sama. Bezanya dia dan Nur di jalan hadapan dan mereka yang mengekori kereta Remy berada di lorong belakang rumah besar tiga tingkat yang telah dikosongkan itu.

“Nur, saya turunkan awak di depan sana. Sembunyi dalam longkang. Orang saya akan ambil awak. Saya nak alih perhatian Remy!” Rizal tak menyangka Maya seberani itu bila dia patuh dengan arahannya dan melompat turun dari kenderaan sebelum sempat dia betul-betul berhenti. Dari cermin pandang belakang, dia cemas melihat tubuh Maya berguling-guling di atas rumput namun reda bila gadis itu segera bangun, merangkak dan berlari sebelum menghilangkan diri ke dalam longkang besar di situ.

Rizal terpaksa juga memberhentikan kereta setelah memandu agak jauh untuk menutup pintu belakang yang terhayun kerana tak sempat ditutup oleh Nur Maya. Dan Remy muncul di belakang selepas beberapa minit dia memecut ke kawasan perumahan berdekatan untuk menghilangkan jejak.

Gadis itu kini benar-benar dalam bahaya. Remy sudah tahu kewujudannya dan purdah itu tak lagi dapat menyembunyikan Nur Maya. Hati Rizal mula berkeluh-kesah. Nur harus segera dihantar pulang ke rumah warga emas di Senawang di mana dia disembunyikan selama ini. Keberadaannya di sini amat berbahaya.

Remy dan Alvin Lim sama licik orangnya. Hanya sekali mereka sempat menyerbu premis perniagaan Alvin berpandukan maklumat dari Nur Maya namun premis itu seperti bersih dari sebarang aktiviti tak bermoral. Rumah besar tiga tingkat tadi juga seperti baru saja dikosongkan. Begitu juga megapuri milik Alvin Lim yang masih tak berpenghuni hingga kini. Mereka benar-benar bertindak pantas hingga membuatkan pihak polis menemui jalan buntu.

Terkini, Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) sudah mengesahkan yang kegiatan pelacuran berubah corak dengan menjalankan kegiatan itu di premis kediaman kerana itu lebih menguntungkan dan selamat berbanding di premis perniagaan atau rumah kedai yang kos sewaan jauh lebih tinggi dan mudah dipantau oleh pihak berkuasa.

Pelanggan mereka pula mudah menjadi pelanggan tetap dan tahu sistem kod-kod keselamatan sebelum memasuki rumah-rumah tersebut. Keadaan ini membuatkan kegiatan pelacuran semakin berkembang dan sukar dijejaki kerana turut didalangi oleh pemilik rumah yang mementingkan keuntungan semata.

Kemasukan pelacur asing semakin meningkat bagai tak tersekat. Namun yang lebih memeritkan, gadis-gadis tempatan juga semakin ramai yang diheret ke kancah noda itu seperti apa yang berlaku kepada Nur kerana permintaan terhadap gadis tempatan juga tinggi.

Stering dihentak kuat. Sejak dipindahkan ke D7, Rizal kerap rasa tertekan. Mujur ada Nuqman dan kawan-kawannya di Peace Yo!, The Turban, yang menjadi tempat dia melepaskan tekanan bila ada waktu terluang. Bersama mereka, dia mendapat kekuatan dalaman untuk kembali beraksi di medan tugasan.

Tiba-tiba Rizal teringatkan Nuqman. Kenduri sambut menantu! Rasa bersalah terus menyerang benaknya. Bagaimana dia dapat menghadiri majlis itu bersama Nur dalam keadaan mereka sedang diburu. Nalurinya kuat mengatakan yang Nur bukan hanya diburu Remy tetapi juga kuncu-kuncu Alvin.

Dia sudah memohon untuk Nur dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi (Akta 696). Soalnya di mana paling selamat? Nuqman akan bertolak ke Istanbul jam satu setengah pagi nanti. Rizal maklum tentang itu. Apakah sempat kalau diuruskan Nur ke sana untuk disembunyikan?

****

Nur Maya masih menggigil di dalam kereta yang dipandu dua anggota polis yang berpakaian biasa. Saat terpandangkan Remy tadi, dia rasa bagai hendak tercabut nyawa. Sebab itulah bila Rizal minta dia turun dari kereta dan bersembunyi, tanpa sedar, dia melompat turun ketika kereta masih belum betul-betul berhenti dan jatuh berguling di atas rumput di tepi jalan.

Sakit? Hanya Tuhan yang tahu. Tapi sakit fizikal itu langsung tak dipedulikannya. Malah dia memaksa diri menongkah bangun, merangkak dan berlari menyusup masuk ke longkang besar di situ. Kemudian, barulah dia terduduk memeluk lutut di tebing longkang yang hanya sekaki lebarnya. Kepalanya disandarkan ke dinding konkrit. Lemah longlai rasa tubuhnya yang menggeletar ketakutan. Ya Allah, hanya kepada-Mu, aku memohon perlindungan, rintih Nur dengan linangan airmata penyesalan.

Hari ini, memori malam dia diselamatkan Nuqman dan Miqdam kembali segar dalam ingatan. Dan kocakan jantungnya saat ini persis ketika dia dibawa lari oleh Amir dan mereka dikejar oleh orang-orang Alvin. Jantungnya berdegup kuat seperti mahu luruh. Airmatanya merembes tak terseka. Dia takut sungguh! Takut kalau jatuh ke tangan mereka lagi.

Mukanya terdongak ke langit. Tuhan! Engkau kirimkan hamba-hamba-Mu menyelamatkan aku! Syukur, ya Allah. Hanya kepada-Mu, aku mohon perlindungan. Ampunkan aku, ya Tuhan, atas segala dosaku!

Dia memang tak tahu entah bagaimana dia dapat kekuatan saat kali pertama dia terpandangkan Nuqman di sebuah kafe. Ketika itu, mereka terpaksa menunggu di situ kerana pelanggannya belum tiba. Lelaki yang mengiringinya keluar sebentar selepas memesan minuman, meninggalkan Nur sendirian di meja.

Waktu itulah, dia tersedar Nuqman memandangnya. Di sebalik topi dan net hitam yang dipakainya, dia dapat melihat reaksi wajah lelaki itu yang langsung tak memandangnya seperti lelaki lain. Tiada pandangan menghina. Tidak juga dia tergoda. Dia hanya lurus memandangnya tanpa riak prejudis. Namun hatinya berdebar dengan pandangan itu. Saat gadis pelayan kafe datang menghantar minuman yang dipesan, dia mengambil kesempatan itu meminta pen dan buku nota kecil yang ada di poket bajunya. Menggigil jemarinya saat dia menulis hanya dua patah perkataan di atas kertas kecil itu.

TOLONG SAYA

Mujur Nuqman ketika itu kembali berbual dengan temannya. Nur menunjukkan kepada gadis itu kepada siapa nota itu patut dihantar. Dan ketika itu juga, bahunya disentuh. Degupan jantungnya seakan terhenti. Memang dia akan dihukum seberat-berat hukuman sekiranya ditangkap cuba melepaskan diri. Mujur gadis itu sudah berlalu dan lelaki pengiringnya datang memanggil kerana pelanggan sudah tiba. Laju saja dia bangun meninggalkan kafe itu dengan hati yang berzikir dalam sebak. Tuhan, tolong aku!

Dan Tuhan benar-benar menolongnya! Langsung dia tak menyangka, doa seorang pelacur yang jijik sepertinya dimakbulkan Tuhan!

Nuqman, lelaki berhati mulia itu sanggup menggadaikan nyawa, datang bersama teman seperjuangannya menjejaki Nur dan bawa dia keluar dari dunia gelap itu. Maka sejak itu, Nur tak mahu berpaling lagi. Walaupun seumur hidupnya dia harus bertaubat, dia sanggup!

Segala kenangan hitam dia bersama Remy kembali menerjah ingatan. Puas ditepis namun ia tetap datang mendera hati dan mindanya. Rasa jijik dan hina mula menguasai diri. Serentak itu, airmata taubat bagaikan tasbih yang terputus talinya, berjuraian jatuh ke pipi.

“Aku sanggup mati dari disentuh lagi, ya Allah! Selamatkan aku dari mereka, ya Tuhan!” Nur menangis mengogoi di situ.

Tiba-tiba bunyi enjin kereta yang menderum kuat melintas laju dan perlahan-lahan hilang dari pendengaran. Terpejam sepasang mata Nur yang pernah menjadi kegilaan Remy satu waktu dulu. Itu pasti kereta Remy! Jantungnya berdegup kencang, cemas menunggu pegawai polis yang disebut Rizal. Mujur mereka muncul tak lama selepas itu.

Sepanjang perjalanan ke Pejabat Polis Bukit Aman, Nur membulatkan tekad. Dia akan berusaha untuk membantu pihak polis menghancurkan kongsi gelap milik Alvin termasuk Remy. Dikerah mindanya untuk mengingati apa lagi maklumat yang dapat membantu pihak polis. Hampir semua nama dan gambaran orang-orang Alvin sudah dimaklumkan kepada pihak polis. Dia harus menjejaki semula ingatannya ke tempat-tempat yang pernah dia kunjungi untuk melayan para VIP durjana itu. Memang payah kerana dia selalu diikat matanya. Atau dikepit oleh orang-orang Alvin sehingga dia susah hendak bergerak. Malah sepanjang masa bersama pelanggan, segala perbuatannya didengari melalui telefon bimbit yang tak boleh dimatikan panggilannya selagi khidmatnya tak selesai.

Apapun, dia mesti memberi bantuan sehabis baik kepada pihak polis. Dia takkan bersembunyi lagi. Tak mahu menjadi pelarian juga. Bulat hatinya mahu mengheret mereka ke muka pengadilan. Malah dia sanggup kalau terpaksa dijadikan umpan sekalipun!

>>>Novel Persis Akar Dani sudah dibuka preorder hingga 15 Ogos ini. Harga preorder hanya RM27 sahaja.
Hubungi 011-20503481 untuk pesanan.

Terima kasih sudi singgah!

PERSIS AKAR DANI Bab 13

Rambut di kepala dicengkam sekuat tenaga. Menyalurkan amarah dan tekanan yang amat kuat dalam diri. Pandangan helangnya semakin mencerun dan tajam, mengitari sekeliling kelab malam yang bingit dan sesak itu, mencari jalan keluar dari kebuntuan ciptaannya sendiri. Pelayan kelab yang baru disoal siasat kelihatan menikus, perlahan-lahan mengundurkan diri dari kaunter dan cepat-cepat melayani pelanggan lain yang baru datang.

Maya tak ada di mana-mana! Dan Alvin seperti menghilangkan jejak. Sudah tiga empat tempat kegemaran Alvin dia jejaki namun bayang lelaki itu tidak meninggalkan bekas. Termasuk pangsapuri milik Alvin, tidak berpenghuni. Semua orang seperti sudah diberi amaran untuk mengunci mulut. Remy Iskandar hilang punca. Wajah Maya semakin kuat mengach. Antara mengejek dan mencaci!

Atau mungkin Maya sudah melupakannya. Pasti Alvin menabur segala kemewahan yang diidamkan gadis itu. Impiannya untuk hidup seperti seorang bintang jadi nyata. Semuanya kerana aku! Remy rasa semakin terjerut. Buta dengan duit berkepuk, dia sanggup menyerahkan Maya. Sekarang, siapa yang merana? Siapa? Rambut disikat kasar ke belakang dengan jemari sendiri.

Dia keluar semula dari syurga dunia bagi yang buta, tuli dan pekak itu termasuk dirinya sendiri. Sambil membolos diri ke dalam keretanya, pandangannya tertancap ke arah dua orang lelaki sedang berjalan sambil bergelak ketawa. Aksi Remy terhenti. Boy! Dia kenal salah seorang lelaki itu yang bekerja sebagai budak pengantar gadis-gadis Alvin untuk menghiburkan para pelanggannya di tempat pilihan mereka. Dia dipanggil Boy. Bingkas Remy keluar semula dari keretanya dan melangkah laju lalu berhenti betul-betul di hadapan mereka.

Pucat. Boy yang Remy kenal itu yang tadi sedang bergelak ketawa tiba-tiba keras seperti ternampak mayat. Ahh… dia pasti tahu sesuatu.

“Kau! Ikut aku…” Hanya dengan jari telunjuk dan sepatah dua kata, boy yang dimaksudkan itu tergeleng-geleng kepalanya dan kelihatan menggeletar. Terteleng sedikit kepala Remy sambil menghunjam pandangan. Bingo!

“Aku… aku ada hal kat dalam. Sorry, bro… aku tak dap…”

Kolar jaket yang tersarung ditubuhnya dicekak dan direntap kasar. Tiba-tiba kakinya terhayun-hayun tak mencecah bumi.

“Aku tak ada masa, faham?” Hanya sebaris ayat dan tenungan helang menghunjam tepat ke matanya yang kini separas dengan lelaki bertubuh sasa itu.

“Hei, bro! Apasal ni? Main kasar pulak?”

Boy perlahan-lahan diturunkan tanpa kolar jaketnya dilepaskan. Lelaki yang bercekak pinggang sebelah dan sedang menengkingnya dipandang tajam. “Aku cakap dengan engkau?”

Terbeliak mata lelaki yang lebih kecil dan muda dari lawannya itu. Pertanyaan itu hanya dijawab dengan suara tawa yang tak tentu arah.

“Err… bukan apa! Kita bincanglah bro…” Lehernya tiba-tiba dikilas dan pandangannya berubah kepada bibir jalan berturap saja. Melengking batuknya akibat kerongkong dihenyak lengan sasa lelaki tadi. Dunia jadi tunggang-terbalik!

“Bro! To… tolong! Lepaskan dia. Lepaskan kami! Kami tak tahu apa-apa! Tolong…” Boy yang dilepaskan mendadak tak sempat menarik nafas lega selepas terhenyak ke atas jalan, kelam-kabut bangkit merayu bila melihat kawannya pula diserang.

“Macam mana kau tahu yang aku nak tahu apa-apa dari kau?”

Tertelan liur, riak muka boy berubah bila sedar yang dia sudah masuk perangkap sendiri.

“Masuk!” Lurus telunjuk Remy mengarah ke keretanya.

Boy maklum siapa Remy. Hanya maut saja yang ada kalau menentangnya. Antara sebab lelaki itu jadi kesayangan majikannya, Alvin. Dan dia terfikir, apakah status itu akan kekal selepas apa yang berlaku pada Maya?

********

Nur Maya melangkah keluar dari biliknya dengan rasa serba-salah. Dia bermalam di situ dan tak pulang ke Seremban dengan keluarga Nuqman yang lain atas permintaan Rizal dan persetujuan Nuqman tanpa tahu kenapa. Namun panggilan dari Rizal pagi tadi yang menjelaskan kenapa dia perlu berada di sini bagai menghidupkan semula memori yang cuba dia benam jauh-jauh ke dasar waktu. Tapi demi keselamatan ramai gadis yang sudah dan bakal menjadi mangsa, dia cekalkan hati.

Hari masih pagi. Suasana dalam The Turban sunyi sepi. Hanya kelibat staf pengurusan di sana sini yang sudah bergerak selepas Subuh bagi memastikan semuanya siap teratur. Begitu juga kafe dan restoran yang beroperasi tanpa henti, bersedia memberikan khidmat dan layanan terbaik kepada pengunjung The Turban.

Langkah Nur Maya terhenti di tangga. Memorinya berputar mengingati kejadian semalam. Di situ dia dengar segalanya. Lafaz cinta Nuqman yang amat mahal terhadap isterinya. Nur Maya tersenyum. Namun dadanya sebak. Dia takkan pernah layak untuk itu semua. Sambil menarik nafas dalam-dalam, dia kembali mengatur langkah menuruni anak tangga sambil matanya mencari kelibat Rizal. Dia perlu teruskan hidup demi membantu orang lain. Dia juga perlu teruskan hidup untuk menebus dosa-dosa pada ibu kandung dan adik-adiknya. Satu hari nanti, dia mahu kembali dan membela nasib mereka. Untuk itu, dia mesti bebas. Bebas dalam ertikata tidak lagi menjadi buruan lelaki-lelaki durjana yang akan mengheretnya kembali ke kancah noda itu. Tapi itu hanya terjadi jika mereka semua berada di balik tirai besi!

“Assalamualaikum,” suara Rizal dari arah belakang mengejutkannya. Lelaki itu suka muncul entah dari mana. Nur Maya menjawab salam sambil mengitari keliling, malu mahu bertentangan mata.

“Dah sarapan?”

Geleng.

“Jom!”

Nur Maya akur. Mereka bersarapan di kafe Peace Yo!.

“Nur cari siapa?”

“Hah? Err… tak! Tak ada siapa.”

Rizal senyum. Sepasang mata beralis lentik itu asyik berlari-lari sepanjang mereka bersarapan menarik perhatiannya. Sesekali pandangannya menjurus ke pintu kafe seorang-olah mengharapkan seseorang muncul di sana.

“Nabil balik semalam?”

“Hmm… ya. Semua balik. Kan ada kenduri tengahari ni?”

Angguk. Dan senyum lagi. Jadi hanya Nuqman yang masih berada di sini. Kelibat Nuqmankah yang dia tunggu-tunggu? Nurani lelakinya kuat mengatakan Nuqman pasti bertapak kukuh di hati gadis ini. Lelaki itu hero, kan? Begitu berani menyelamatkan ayam tambatan seorang bapa ayam yang bukan calang-calang orang. Ketua kongsi gelap itu punya rangkaian di China, Filipina dan Indonesia. Tapi Nuqman tak pernah tahu tentang itu. Dia hanya seorang lelaki yang lurus mengambil tanggungjawab sebagai seorang insan, tekad menyelamatkan seorang wanita walau dalam keadaan apa sekali pun. Tindakan berani Nuqman akhirnya membawa pihak berwajib semakin dekat dengan kongsi gelap yang amat dikehendaki bukan saja di Malaysia malah di negara-negara terbabit.

“Bila kita boleh bertolak balik? Kesian ibu Aisyah. Mesti sibuk tu. Saya pula tak ada nak membantu,” Nur Maya luahkan juga gusar di hatinya. Memang dia tak bersetuju bila diminta bermalam di sini tapi bila Nuqman memujuk, bolehkah dia menang?

Memang semua urusan majlis sambut menantu di rumah Ibu Aisyah yang terletak di Senawang sudah ada yang menangani. Nuqman dan adik-adiknya memang cekap dalam menyusun atur tugasan. Ibu mereka amat dimudahkan. Hanya duduk melayan tetamu saja dan bergembira menyambut kedatangan menantu. Tapi keberadaannya sangat penting setidak-tidaknya untuk membalas budi baik keluarga itu yang takkan pernah dapat dibalas.

“Nur, saya faham sangat. Tapi perkara ni penting. Laporan Nur banyak yang tak lengkap terutama dari segi lokasi. Nur banyak beritahu arah bukan alamat. Setakat ni, tiga dari tempat yang Nur maklumkan, dah kami siasat. Hanya satu daripada tempat tu, kami dapat maklumat tentang Alvin. Tapi hari kami serbu, Alvin dapat larikan diri. Remy pula baru saja balik dari LA. Saya baru dapat maklumat semalam. Jadi kami perlukan bantuan Nur untuk jejaki mereka.

“Saya cuti hari ni tapi saya rasa waktu ni paling tepat untuk kita bergerak tanpa orang tahu. Kami syak, ada maklumat bocor dari bilik gerakan. Sejak dapat maklumat tentang Alvin, dia macam hilang terus. Tak dapat dikesan. Dua tempat lagi yang kami serbu – clear. Seolah-olah tak ada apa-apa kegiatan yang salah dari segi undang-undang. Kami makin buntu sekarang. Saya harap sangat Nur dapat bantu. Fokus utama, nak cari rumah tempat mereka simpan mangsa dan pusat mereka beroperasi,” Rizal cuba buat Nur Maya fokus.

Dia agak hairan dengan sikap Nur Maya. Tak ramai mangsa berubah sikap sepertinya. Ketakutan seperti tak ada dalam dirinya. Dia seolah-olah tak pernah datang dari dunia gelap itu. Hidup tenang seperti babak hitam itu tak pernah berlaku. Malah dia macam tak pedulikan dirinya yang sebenarnya dalam keadaan yang sangat berbahaya. Apa kekuatannya? Kalau gadis lain, pasti masih dalam keadaan trauma sekarang.

Mungkin Nuqman orangnya. Rizal yang cukup kenal dengan Nuqman amat tahu kemampuan lelaki itu dalam mentarbiah hati orang lain termasuklah dirinya sendiri. Sejak kenal Nuqman dari dulu lagi, Rizal jadi semakin kuat bergantung dengan Tuhan dalam menjalankan tugasannya. Dia tidak lagi tertekan bila kes-kes yang ditangani menemui jalan buntu. Malah dia sampai mampu untuk bangun malam merintihkan segala permasalahan yang mendatanginya. Rokok yang dulu berganti batang menjadi peneman kala tertekan, kini sudah lama ditinggalkan. Sikap baran yang menjadi-jadi akibat tekanan dari pelbagai tugasan yang berat akhirnya semakin surut.

Jadi dia amat percaya jika Nuqman juga yang menjadi kekuatan bagi gadis itu. Cuma yang dia bimbangkan, kalau hati Nur Maya turut terpaut pada lelaki itu. Kalau dia juga menaruh harapan pada Nuqman. Kalau itu yang berlaku, apakah Nur Maya akan lemah semangat setelah Nuqman dimiliki gadis lain?

Nur Maya menarik nafas panjang. Dia sudah nekad untuk melupakan semua ini sebenarnya. Tak sanggup lagi mengimbau peristiwa yang paling hina dan jijik sekaligus menghancurkan hati wanitanya sehancur-hancurnya. Sedangkan selepas kejadian itu, seluruh hati dan jiwanya ditumpukan kepada taubat dan membaiki diri. Dia sibuk menguruskan rumah warga emas dan belajar agama bersama mereka. Dan Nuqman yang sentiasa memantau keadaannya dan tak pernah lupa menitipkan kata-kata nasihat membuatkan dia semakin lupa tentang sejarah hitam yang cuba dia padamkan dari kotak memori.

Apakah Nuqman masih ada untuknya selepas ini? Sepanjang di The Turban tadi, dia amat mengharapkan kelibat lelaki itu muncul di mana-mana. Selepas solat Subuh berjemaah di surau The Turban pagi tadi, pasangan suami isteri itu tidak lagi kelihatan. Pasti sedang mengulit bahagia. Nur Maya menggigit bibir sendiri, menahan sebak yang tiba-tiba datang.

Tuhan! Terima kasih kerana membahagiakan dia…

“Nur?”

“Err… ya?”

“Nur yakin masih ingat rumah tu?”

Angguk. Penuh keyakinan.

Memang dia tak tahu alamat penuh tempat-tempat neraka terutama rumah kurungan itu. Dia cuma pernah mendengar nama kawasan itu dari perbualan antara dua orang ‘boy’ yang mengiringinya. Tapi dia takkan lupa. Setiap kali keluar dan masuk dari rumah neraka itu, dia menghafal setiap selekoh bila tubuhnya terhayun mengikut haluan kenderaan yang sentiasa bercermin gelap bagi menyukarkan mereka mengecam tempat yang dilalui. Lebih susah bila dia diasingkan dengan yang lain. Waktu dia keluar masuk juga tak sama dengan orang lain. Malah tugasannya juga berbeza.

Dia perlu melayan Alvin terlebih dahulu tak kira bila saja dia dipanggil lelaki itu sebelum dia melakukan tugasan lain. Tapi itulah tugasan yang paling perit dan jijik. Lelaki itu lebih dahsyat dari binatang. Hati dan fikiran usah dicakap lagi. Setiap kali itu jugalah, dia harapkan maut menjemputnya. Tak ada yang lebih hina dari kehendak nafsu Alvin bila dia mengganas. Itulah yang membuatkan Nur Maya tekad memohon pertolongan orang. Betapa bertuahnya dia bila lelaki itu adalah Nuqman.

“Nur…”

Nur Maya mengangkat muka. Tubir matanya berkaca. Dia tahu, walau macam mana sekali pun, dia perlu melakukan semua ini.

“Saya dah bersedia.”

Mereka keluar dari The Turban lebih kurang jam lapan setengah pagi. Hari ini kebetulan adalah cuti umum di Kuala Lumpur. Suasana agak lengang memudahkan kerja mereka. Rizal memandu sebuah teksi sebagai penyamaran. Nur Maya duduk di kerusi belakang sebagai penumpang. Jadi orang takkan pelik bila melihat sebuah teksi berlegar-legar berbanding kereta persendirian.

Rizal baru saja mendapatkan maklumat dari Asmadi dan Nasrul, dua pegawai polis yang bertugas mengawasi pangsapuri Remy sejak mereka diberitahu oleh pihak Kastam yang Remy sudah kembali ke tanahair. Sejak itu, Remy diekori tanpa sebarang tindakan diambil supaya dia bergerak bebas dan membuka laluan kepada banyak maklumat lain.

“Remy baru saja keluar dari kondo. Ada orang saya ikut dia. Sekarang, Nur bawa saya ke rumah tu dulu ya,” pinta Rizal sekali lagi. Dia sangat mengharapkan memori gadis itu masih kuat. Mereka sudah berkali-kali meronda di kawasan perumahan elit yang dimaklumkan Nur Maya sebelum ini namun tiada rumah seperti yang digambarkan gadis itu.

Nur Maya yakin sekali bila menunjuk arah. Baru tiga bulan lebih dia dapat melarikan diri dari rumah neraka itu namun ingatannya sangat jelas seolah-olah baru semalam dia tinggalkan. Sejak meninggalkan The Turban tadi, rasa gelisah dan cemas kembali bertandang. Semakin dekat dengan destinasi, semakin rasa-rasa itu kuat mencengkam. Bayangan peristiwa demi peristiwa hitam yang pernah berlaku yang selama ini dia buang jauh-jauh kembali menguasai dirinya. Puas dia beristighfar mencari kekuatan.

Mereka akhirnya tiba ke kawasan itu dan Nur Maya minta Rizal mencari lampu isyarat yang mengadap kawasan yang berbukit. Kerana dia paling ingat setiap kali pulang, kenderaan selalu berhenti seketika sebelum bergerak semula dan menaiki sebuah bukit yang agak tinggi dan jauh jaraknya. Rizal memandu ke tempat yang dimaksudkan oleh Nur Maya. Memang mereka semuanya bermula dari situ tetapi akhirnya menemui jalan buntu.

Nur Maya memejamkan matanya, memberi tumpuan seluruh pancainderanya terhadap pergerakan kenderaan itu dan sekaligus memberitahu Rizal arah mana yang perlu diambil. Mereka akhirnya berhenti di sebuah rumah yang berpagar rapi dan berkunci yang betul-betul terletak di sebuah selekoh.

“Kami dah siasat rumah ni, Nur. Dah tak berpenghuni. Tak ada orang keluar masuk. Jiran-jiran beritahu yang rumah ni nak dijual oleh tuannya.” Rizal jadi agak kecewa kerana mereka juga rupanya buntu.

“Tak mungkin!” Nur Maya tak percaya.

Telefon bimbit Rizal tiba-tiba berbunyi. Nur Maya tersandar di belakang. Dia juga kecewa. Tak mungkin mereka berpindah! Dia masih ingat rumah itu yang agak jauh dari kejiranan. Mungkin jiran-jiran tak tahu. Dia yang setiap kali dibawa masuk atau keluar dari pintu belakang terpaksa mengelilingi pagar rumah itu dengan susah payah dalam keadaan samar cahaya. Mungkinkah itu sebenarnya satu cara mereka bersembunyi dalam rumah itu?

Nur Maya bagaikan dipukau memori silam. Dia membuka pintu lalu keluar dari kenderaan tanpa berkata apa-apa kepada Rizal yang sedang bercakap di talian.

“Nur! Tunggu! Masuk cepat!” Suara Rizal yang tiba-tiba kuat mengarahkannya masuk menyentak dia yang sedang terngadah memandang rumah kosong itu.

Saat itu, dia terpandang sesusuk tubuh di tingkat tiga. Di bilik kurungannya!

***Bersambung.

***20hb Julai 2019
Preorder novel PERSIS AKAR DANI sudah dibuka sehingga 15 Ogos 2019. Harga preorder hanya RM27 sahaja. Whatsapp 011-20503481 untuk memiliki naskhah ini.

Terima kasih sudi singgah.

Salam sayang!