Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 25

KAK cover copy

 

“Err… kita nak ke mana ni, encik?” Wardah panik bila kereta itu meluncur laju melewati Phileo Damansara menuju ke arah Taman Tun Dr. Ismail. Lelaki cina itu sibuk bercakap di telefon tetapi dengan nada yang sangat perlahan. Wardah sudah tidak senang duduk.

Tidak lama kemudian, kereta diberhentikan di hadapan sebuah restoran. Buru-buru Wardah keluar dari perut kereta. Lelaki itu ikut melangkah keluar namun dia tenang selamba sahaja.

“Terima kasih banyak ya encik. Sebab tolong saya,” Wardah cuba tersenyum manis tapi hati di dalam rasa cuak menggila. Tiba-tiba di bawa ke sini tanpa bercakap apa-apa. Lelaki ini memang aneh!

“Eh! Awak nak ke mana tu?” Dia bersuara sebaik saja Wardah melangkah kaki mahu mencari teksi. Mujur di sini mudah hendak dapat teksi.

“Saya nak balik pejabatlah!”

“Kan awak kata belum sarapan?”

“Iyalah. Sebab saya nak sarapan di pejabat.” Wardah membentak geram. Lelaki itu menjeling sekilas sambil menghela nafas kasar. Tangannya menggawang ke atas, ke arah papan tanda restoran di belakang mereka. Wardah pura-pura tak faham, sekadar mengerutkan muka. Malas nak layan orang macam nilah! Bentak hati Wardah. Suka-suka saja bawa anak dara orang ke sana sini! Dia berpusing ke arah jalan raya kembali. Mahu melangkah mencari teksi. Menyesal menumpang orang kaya, beginilah jadinya! Dia ingat pejabat tu bapa aku yang punya agaknya! Hati Wardah membebel tak puas hati.

“Eh! Cik adik! Saya bawak ke sini sebab nak bagi awak sarapanlah! Nanti lepas makan, saya hantar awak ke pejabat. Memang saya nak ke sana pun!” Fasihnya lelaki cina itu berbahasa melayu tapi tak tahu adab melayu. Nada suaranya seperti sedang menahan marah.

Wardah tidak jadi melangkah. Dia mendengus geram. Lelaki ini mesti diajar. Laju dia mengatur langkah mendekati lelaki itu semula.

“Encik, kita ni tak kenal antara satu sama lain. Kita juga tak ada hubungan keluarga. Maksudnya, saya tak boleh sesuka hati nak makan dengan encik. Takut nanti menimbulkan fitnah. Sedangkan fitnah tu wajib dielakkan. Mudah, kan? Saya pergi dulu ya!” Faham tak faham, lebih baik aku cabut dari sini. Buatnya dia dah beristeri atau ada kekasih, tak fasal-fasal aku jadi sasaran. Minta dijauhkan Tuhan! Wardah berkata-kata dalam hati sambil melangkah pergi. Bila Islam melarang lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdua-duaan, pasti besar hikmahnya. Tidak sama sekali patut diambil mudah sebab kesannya akan merosakkan.

Dia menoleh sekilas melihat lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang… menusuk jantung! Memang boleh sakit jantung dibuatnya. Ah! Biarkan… dia ingat aku takut dengan orang kaya macam dia? Aku lebih takut Tuhanlah! Bebel Wardah sambil berjalan laju meninggalkan restoran itu.

Pon!

MasyaAllah! Wardah hampir terlompat bila dihon tiba-tiba oleh sebuah kereta yang lalu di hadapannya. Kereta itu berhenti dan tingkap diturunkan. Berdegup jantung Wardah dibuatnya.

“Eh! Encik Azam!” Terperanjat melihat wajah yang tersenyum manis terlebih gula dari dalam kereta itu.

“Nak ke mana? Saya datang nak sarapan dengan Wardah ni…”

“Apa?”

Akhirnya Wardah melangkah masuk ke restoran itu secara paksa rela. Kalau diikutkan hati, dia tak mahu bersemuka dengan lelaki cina itu lagi. Merisaukan! Tetapi malu pula dengan Encik Azam yang sudah bersusah payah datang menjemputnya dan mendesak agar dia bersarapan dulu.

Wardah memang malu sungguh kerana terpaksa duduk mengadap dua orang jejaka kacak di hadapannya. Iyalah… siapalah dia? Duduk-duduk dengan orang kaya di restoran yang mahal pula tu. Dia kekok yang amat sebenarnya tetapi cuba-cuba bereaksi selamba. Bila menu diberikan pelayan…

Mata Wardah membesar melihat harga-harga yang tertera. Dia melindungi wajah terkejutnya di balik menu yang besar itu. Puas mencari menu yang murah, akhirnya dia cuma memesan roti bakar saja. Itu pun harganya sampai…

“Roti bakar? Tak cukup tu. Awak makan lontong?” Tiba-tiba lelaki cina itu menukas.

“Hah?”

“Makan lontong tak?” Dia ulang dengan gaya memaksa.

“Err… makan!” Wardah memang suka lontong.

“Bawakan dia roti bakar dan lontong ya. Untuk saya…” dia terus membuat pesanan sambil disampuk oleh Encik Azam yang juga membuat pesanan untuk dirinya. Bibir Wardah terlopong memandang. Main suka-suka saja buat pesanan untuk orang lain! Dia memang suka paksa orang eh?

“Lontong di sini sedap.” Tiba-tiba dia bersuara. Macam tahu saja yang ada orang tak puas hati dengan tindakannya. Wardah menjeling sekilas. Tapi mahal! Sambungnya di dalam hati.

“Macam mana kereta boleh rosak?” Encik Azam bertanya bila Wardah mendiamkan diri memandang meja yang kosong itu kecuali tiga kuntum mawar merah yang segar di dalam vas kecil di tengah-tengah meja.

“Entahlah, Encik Azam. Tiba-tiba saja kereta tu perlahan-lahan berhenti. Tadi kata Encik Amzar…”

“Hos radiator bocor. Entah apa lagi yang bocor dalam kereta tu. Beli kereta terpakai memang macam tulah… asyik berhenti tepi jalan saja nanti,” tiba-tiba lelaki cina itu menyampuk sambil siap membebel lagi! Ewah-ewah…

“Saya pun pelik kenapa Wardah beli kereta terpakai. Orang perempuan susah kalau beli kereta terpakai ni. Macam-macam masalah yang kita tak tahu.” Encik Azam pula menyokong. Wah! Angin satu badan Wardah dibuatnya.

“Beli kereta baru pun bukan jaminan tak ada masalah langsung, Encik Azam. Yang penting, saya kena selalu bawak jumpa mekanik. InsyaaAllah, kereta tu okey. Kereta baru atau lama, mahal atau murah bukan soalnya. Yang penting, saya dapat sampai ke tempat yang nak dituju juga, kan? Masih kena tempuh jalan yang sesak juga. Tak ada banyak beza. Kalau rosak pun, melatih diri saya supaya semakin tahu tentang keadaan kereta sebenarnya. Dari tak tahu kepada tahu.” Panjang jawapan Wardah membuatkan Encik Azam tersengih sambil menggeleng-gelengkan kepala dan encik yang seorang lagi itu menghunus pandangan tajam. Tersentak juga hati Wardah dengan pandangan itu. Rasa hendak masukkan kepalanya ke dalam cengkerang seperti kura-kura. Tapi dia tak ada cengkerang!

Makanan yang tiba mengubah emosinya. Aroma yang enak mencecah deria baunya membuatkan Wardah tersenyum penuh syukur. Nasiblah! Bukan dia yang mengada hendak memesan makanan yang mahal-mahal tapi ada orang yang sibuk memesan untuknya. Lebih baik dia bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan untuknya hari ini. Sekali gus mengubat kekecewaannya dengan kereta yang meragam tadi. Teringatkan abah, rasa bersalah bergayut di tangkai hatinya. Mesti lelaki itu sedang bersusah payah menguruskan keretanya. Dia pula sedap-sedap makan di restoran mewah. Dia mesti tebus kesusahan abah. Belanja dia dengan benn makan? Hmm… mesti abah suka. Benn dah memang pasti!

Apabila semua mendapat makanan yang dipesan, mereka mula menjamu selera. Tetapi Wardah cuma tersenyum memandang.

“Eh! Jemput makan, Wardah,” pelawa Encik Azam penuh hormat. Wardah mengangguk dan tersenyum manis. Lantas dia mengangkat tangan membaca doa makan. Terkelip-kelip matanya dengan rasa penuh syukur dengan hiburan dari Allah pagi ini. Rezeki terpijak namanya!

Kemudian lontong dijamah dengan penuh selera. Memang sedap. Wardah menikmati sungguh sampai tidak sedar dirinya sedang diperhatikan.

“Kau kata nak cakap fasal paper tadi? Kau dah dapat copy?” Soal Azam sambil mengunyah mee goreng basah. Dia yang memang tak sempat bersarapan di rumah kerana ada temujanji di awal pagi memang memberi sepenuh perhatian kepada makanan yang dijamahnya.

“Hmm… dah dapat,” jawab Zakuan acuh tak acuh. Pandangannya yang tadi memandang geram dengan celoteh gadis itu yang menjawab ikut sedap mulut saja berubah lembut apabila melihat dia menghayati doa makan yang dibaca penuh tertib. Termalu sendiri, dia dan Azam ikut menadah tangan mengaminkan doa.

Dan cara gadis itu makan mengusik hatinya. Penuh sopan dan dia seperti mensyukuri sungguh dengan nikmat makanan di hadapannya. Jarang Zakuan melihat orang makan begitu melainkan samada teruja dengan keenakan makanan atau gelojoh disebabkan lapar atau sambil lewa sambil berbual itu dan ini. Ada juga yang malu-malu kucing seperti beberapa orang gadis yang pernah dibawa makan bersamanya. Tetapi gadis ini makan dengan wajah begitu manis. Jelas rasa kesyukuran yang terlukis di wajahnya dengan rezeki yang terhidang. Pernahkah aku makan dengan rasa syukur? Soal Zakuan di dalam hati.

Saat itu, sepasang kaki melangkah masuk ke restoran dan terhenti di muka pintu sebaik sahaja terpandang wajah Zakuan yang asyik memerhati seorang gadis yang sedang makan di hadapannya.

Eureka!

Hatinya berteriak gembira dengan pertemuan itu! Benar sekali khabar angin yang bertiup kencang mengatakan lelaki yang pergi membawa hati yang hancur itu kembali semula ke sini untuk membina hidup baru. Dan itu tidak akan berlaku! Selagi dia hidup, perkara itu tidak akan dibenarkan berlaku!

Dia menyambung langkah yang terhenti lalu duduk di satu pojok restoran itu yang agak terlindung dengan pokok hiasan. Namun mangsa sorotan sepasang matanya cukup jelas dari arah tempat duduk itu.

Keasyikan lelaki itu memandang ke wajah gadis di hadapannya membuatkan dia tergerak hati untuk memerhati siapa gerangannya. Oh! Manis sungguh. Santun orangnya. Makan dengan khusyuk dan lembut. Hatinya ikut tersentuh dengan perlakuan gadis manis itu. Wah! Ini lebih baik. Membunuh dua ekor burung dengan seketul batu tiba-tiba saja menjadi impiannya saat ini. Bukan. Bukan membunuh keduanya. Cukup seorang. Dan seorang lagi bakal menjadi anugerah bagi meraikan kejayaannya. Dia ketawa kuat di dalam hati. Sejarah bakal berulang!

Kembali ke meja makan itu, Azam pelik dengan sikap acuh tak acuh Zakuan. “Okey tak majalah yang dah dirombak tu, Kuan?”

Kuan? Oh, memang orang cina rupanya. Fasih sungguh dia berbahasa melayu. Agaknya sebab berkawan rapat dengan Encik Azam, bisik hati Wardah yang sekian lama berteka-teki.

“Kau nak buat majalah agama ke atau kau nak buat majalah bisnes?” Terkedu Azam dengan persoalan Zakuan. Wardah pula terkelip-kelip mata memandang, cuba memahami apa yang mereka bualkan.

“Bisnes. Bisnes cara Islam. Kami cuba nak bawa kelainan dan nak beri kesedaran kepada masyarakat tentang perniagaan Islam yang selama ini belum meluas pendedahannya. Aku rasa ini satu isu besar yang boleh dikupas secara berpanjangan. Lagipun ekonomi Islam memang menjadi kajian barat sejak lama. Sebagai orang Islam, kita mesti tahu kelebihan dan kekuatan ekonomi Islam tu sendiri berbanding mereka.” Terang Azam dengan panjang lebar.

“Sejak bila kau tukar aliran ni?”

“Hah? Eh! Bukan tukar aliran. Dah memang orang Islam pun cuma nak mendalami lagi cara hidup Islam,” tukas Azam sambil tersenyum menjeling ke arah Wardah dengang senyuman penuh makna. Wardah mengangguk-angguk tanda setuju sangat dengan pendirian Encik Azam. Dia memberanikan diri mengerling ke arah Encik Kuan di sebelah. Mukanya jelas tidak puas hati. Moga-moga dia dapat hidayah dari Allah, doa Wardah di dalam hati.

Mereka terus berbual dan banyak lagi persoalan yang ditimbulkan Encik Kuan. Wardah mengambil langkah mendiamkan diri saja. Segan dia mahu menyampuk. Siapalah dia hendak ikut berbincang soal bisnes sedangkan dia cuma pekerja biasa. Jenuh juga encik Azam bersilat menjelaskan banyak perkara yang kelihatannya tidak memuaskan hati Encik Kuan. Yang penting, Wardah terus mendoakan yang baik-baik untuknya. Mana tahu, kalau dia dapat menghayati isi kandungan majalah sisipan mereka, terbuka hatinya untuk memeluk agama suci ini. Hati Wardah berbisik mengharap rahmat Allah ke atas lelaki itu. Walaupun dia agak sombong orangnya…

Usai makan, Wardah ucapkan terima kasih. Encik Kuan sekadar mengangguk. Tiba di kereta, Wardah segera mendekati Encik Azam. Dia malu hendak menaiki kereta majikannya. Sekali lagi, dia meminta izin untuk balik ke pejabat dengan teksi. Encik Azam berkeras meminta Wardah menaiki keretanya. Dia yang faham dengan pendirian Wardah terus membuka pintu di tempat duduk belakang. Wardah akur dan dia menyedari yang lelaki cina itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih tidak faham agaknya! Pasti dia dipandang kolot. Biarlah! Apa orang lain fikir tak penting baginya melainkan apa pandangan Tuhan terhadap dirinya. Mereka berlalu pulang ke pejabat sambil diperhatikan Encik Kuan yang jengkel.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s