Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 24

KAK cover copy

 

“Kau kenal betul dengan abi budak perempuan tu?” Soalan yang muncul tiba-tiba dari bibir Zakuan mengejutkan Azam yang sedang meneliti tiga keping rekabentuk grafik muka depan Akhbar Kaustik yang baru diserahkan oleh Raymond semalam. Dia mahu menunjukkan salinan muka depan itu untuk mendapatkan komen dari Zakuan. Mereka duduk bersantai sambil minum petang selepas bermain golf di Kelab Golf Seri Selangor di Petaling jaya.

“Kenapa kau tanya?” Soal Azam semula. Hati bertukar rentak. Ini mesti fasal ‘budak perempuan’ itu.

“Kalau tak ada sebab, takkan aku nak tanya,” jawab Zakuan acuh tidak acuh. Salinan muka depan akhbar di tangan Azam dicapai lalu diperhatikan penuh minat. Hmm… entah sejak bila dia berminat benar tentang Kaustik?

“Kenal macam tu sajalah. Baru berjumpa sekali saja. Kalau kau ada niat nak buat majlis tahlil atau yassin atau…”

“Aku nak kau pergi jumpa dia. Aku nak jelaskan bayaran duit tanah yang nak dibeli tu. Keseluruhannya.” Tegas suara Zakuan memintas kata-kata Azam. Lelaki itu tercengang sesaat.

“Pemurah kau sekarang!” Azam tersengih penuh makna. Kemudian terais dengan jelingan maut dari Zakuan.

“Apa? Kau ingat aku ni teruk sangat?” Berderai ketawa Azam.

“Tercabar juga kau ya? Malu kan kalau seorang gadis naif, yatim piatu pula tu boleh beli tanah dan bina rumah anak-anak yatim sedangkan kau taukeh kayu jati…”

“Aku suruh kau buat kerja bukan sibuk menyindir aku! Kau tu apa kurangnya?” Tukas Zakuan sambil menempelak teman baiknya. Dua-dua terkena ke batang hidung sendiri akhirnya. Penangan Wardah!

“Eloklah tu. Aku pun dah lama terfikir nak membantu anak yatim. Tapi itulah… asyik terlupa sebab sibuk memanjang,” Azam menutup kelemahan diri dengan mencipta alasan. Zakuan mencebik. Dua kali lima!

“Kau dah selesaikan harga tanah, aku akan bantu tanggung sebahagian daripada kos nak buat rumah tu. Hmm… aku cadang nak ke Mekah sebenarnya tapi tak apalah, peluang nak bina rumah anak yatim bukan datang selalu,” Azam bagaikan memujuk diri sendiri. Kalau Wardah yang sebatang kara itu boleh memikirkan orang lain daripada dirinya, mengapa tidak dia?

“Tak payah. Kau nak ke Mekah dengan mak kau, kan? Kau teruskan saja. Jangan bertangguh lagi. Dah sampai seru tu. Rumah anak yatim tu serah pada aku. Yang penting, kau jumpa abi dulu. Bincangkan keseluruhannya sekali. Tentang harga tanah dan rumah yang nak dibina. Tahulah aku menguruskannya nanti.” Ujar Zakuan penuh yakin. Dia sedar, sudah lama Azam menyimpan angan-angan hendak membawa emaknya mengerjakan haji selepas menunaikan umrah beberapa tahun yang lepas. Biarlah hasrat itu tertunai dulu. Lagi pun, emaknya semakin uzur.

“Okeylah kalau macam tu. InsyaaAllah, aku nak juga bantu apa-apa yang boleh nanti. Kira ini jadi projek amal kau yang pertamalah, Kuan… alhamdulillah!” Azam meraup muka tanda syukur. Zakuan tersengih lucu. Siapa yang memasang perangkap, siapa pula yang terperangkap sebenarnya?

“Lepas ni, kau suruh kawan baik dia tu ajak dia pergi shopping. Kau pulak ajar dia macammana nak buat pelaburan, manfaatkan duit tu sebaik mungkin. Budak mentah macam tu agaknya tak reti nak uruskan duit dengan lebih baik,” usul Zakuan dengan nada kurang senang.

“Wardah ni susah sikit. Pemikiran dia tak sama dengan kita. Tengoklah nanti macam mana… aku akan cuba juga usulkan apa yang baik untuk dia.” Jawab Azam dalam keluhan.

Selepas itu mereka tenggelam dalam perbincangan memilih muka depan akhbar Kaustik yang baru. Zakuan benar-benar memberikan sepenuh perhatiannya dan pada masa yang sama memberi komen membina ke atas ketiga-tiga rekabentuk itu supaya mereka dapat menghasilkan yang terbaik. Bukan setakat pemilihan muka depan akhbar sahaja, perbincangan mereka berlanjutan kepada permasalahan yang dihadapi Kaustik terutama dalam bersaing secara sihat dengan syarikat penerbitan akhbar yang lain. Maklum sajalah, di tanahair ini sudah ada syarikat-syarikat penerbitan gergasi yang menguasai pasaran namun Kaustik harus memastikan ia terus meningkatkan kualiti dan kuantiti supaya tidak terkelar dari persaingan dan sekali gus terus memberi alternatif kepada pelanggan akhbar. Azam terkejut dan berbesar hati dengan perubahan Zakuan. Terasa dia tidak keseorangan dalam menerajui Kaustik.

Akhirnya mereka pulang menaiki kereta masing-masing. Sempat Zakuan berpesan agar hal tanah untuk pembinaan rumah anak yatim itu dapat disempurnakan segera. Perkara yang baik jangan dilengahkan. Azam tersengih saja seraya mengangguk.

Jemari Zakuan mengetuk-ngetuk di stering sambil melayani fikirannya yang dibawa arus ketika memandu pulang dari Kelab Golf Seri Selangor. Ada rasa gusar dan tidak puas hati berlegar di perdu hatinya. Kenapa?

Aku mahu membuktikan yang gadis itu hanya gadis biasa, sama sahaja bila ditaburi wang yang banyak. Sampai sekarang, apa yang terbukti adalah sebaliknya. Dia amat mengotakan apa yang dia kata. Bukan sebahagian malah hampir keseluruhannya kalau mengikut perkiraan daripada jumlah wang yang dia terima. Jadi, mengapa masih ada rasa tidak puas hati? Bukankah sepatutnya aku bangga kerana seorang gadis seperti itu wujud juga di bumi ini?

Fikiran Zakuan bersimpang-siur. Jauh di sudut hatinya, dia juga mahu gadis itu normal seperti gadis lain. Yang keluar membeli-belah untuk keperluannya sendiri. Wajah gadis itu saat bergaun putih dan berselendang kuning beberapa malam yang lepas terlayar di ruang matanya. Ayu sungguh kalau dia berpakaian begitu. Mengapa tidak selalu?

Hisy… kalau diikutkan hati, sekarang juga dia heret tangan putih mulus itu ke butik ternama. Ingin dibalut tubuh itu dengan gaun dan jubah yang cantik. Atau baju kurung pesak yang anggun agar keayuannya lebih terserlah. Mahu saja digantikan sandal di kakinya dengan kasut yang cantik dan beg galas lusuh itu dengan beg tangan yang berjenama. Kemudian gadis itu akan dibawa menikmati juadah makan malam di restoran ternama juga. Di bawah kerlipan lampu chandelier, pasti wajah itu menawan dan memukau seperti pada malam anugerah cemerlang yang lepas. Sungguh, untuk itu semua, dia sanggup melakukan apa saja. Senyuman di bibir yang selalu basah itu dan kerdipan matanya…

Zakuan!

Sebuah lampu isyarat yang bertukar merah hampir dilanggarnya. Astaghfirullahilazim!

Mujur nyawanya tidak melayang bersama fikirannya yang sudah terlalu jauh menerawang. Zakuan yang menekan brek berkali-kali dan berjaya menghentikan kereta betul-betul di persimpangan jalan itu tersandar penuh syukur.

Ahh… Wardah!

Akhirnya nama itu terlafaz juga dari bibir Zakuan. Serentak itu hatinya berdebar luar biasa.

 

*****

 

Amzar Mikail berkalih di katil entah kali yang ke berapa. Namun kantuk tidak juga datang walaupun dia agak keletihan selepas menghantar Wardah pulang tadi. Mengekori lebih tepat sebenarnya. Boleh tahan pemanduan gadis itu, berdesup mencelah kereta yang bersimpang siur. Pemandu KLlah katakan.

Hatinya berbunga dengan senyuman manis dari bibir gadis itu sebaik sahaja dia masuk ke dalam pagar rumahnya. Namun ucapan ‘terima kasih, abah!’ dari Wardah membuatkan hatinya retak seribu. Abah lagi!

Sudah jauh dia mengembara. Serata tanahair sendiri hingga ke bumi asing. Namun Wardah menyerlah dari gadis-gadis yang ditemuinya mahupun yang dikenali. Bukan saja parasnya yang manis tetapi cahaya di wajahnya dan sinar dari sepasang matanya yang bening.

Melihat dia bertungkus-lumus membantu dan bermesra dengan gelandangan tadi amat menyentuh hati lelakinya. Amzar yang agak biasa melibatkan diri dengan kerja-kerja amal memang terkejut dan terharu dengan cara pendekatan Wardah yang sangat berhemah dalam membawa gelandangan itu kembali ke pangkal jalan yakni pergantungan kepada yang Maha Berkuasa. Tiada langsung rasa jijik menyapa di riak wajahnya tatkala meluangkan masa dengan gelandangan yang berbagai rupa dan keadaan yang kebanyakannya menyedihkan. Busuk, kotor, malah ada yang sudah sebati dengan sampah di keliling mereka. Namun tangan kecil gadis itu ramah menyentuh, menepuk dan mengusap wanita dan anak-anak kecil mereka. Seolah-olah kasih sayang dan kemesraan mengalir tanpa batas. Malah mudah saja tutur kata dan cerita gelandangan itu menyentuh emosinya, menjemput tangisnya dalam diam. Sampaikan ada waktunya Amzar Mikail lebih tersentuh dengan sepasang matanya yang basah dari kisah duka gelandangan itu sendiri.

Ah! Tidurlah mata. Padamkan wajah Wardah buat seketika, rayunya dalam hati. Apatah lagi, esok adalah hari pertamanya melapor diri sebagai Penganalisis Bajet di syarikat lama di mana dia pernah bertugas dulu. Tanggungjawabnya untuk membangunkan dan menguruskan pelan kewangan beberapa organisasi di bawah seliaan syarikatnya memerlukan kemahiran kuantitatif yang baik selain dari komunikasi kerana ia juga melibatkan tugas rundingan. Hubungan dengan majikannya yang tidak pernah putus selama dia belajar di luar negara membuatkan jawatan itu semakin penting demi untuk membuktikan kesungguhannya dan sebagai membalas budi syarikat yang sanggup menanggung segala perbelanjaan pengajiannya.

Tidak sabar rasanya untuk dia membawa keluarganya berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik. Kak Mastura sudah mula sakit-sakit. Bukan mudah hendak menguruskan anak-anak yang sedang meningkat dewasa sambil berniaga secara kecil-kecilan itu. Entah berapa banyak pekerjaan sambilan yang dilakukan oleh kakaknya yang seorang itu demi kelangsungan hidup sepanjang peninggalannya. Menjahit, mengambil upah masak untuk katering yang kecil jumlahnya selain mengasuh anak orang membuatkan kakaknya tidak sempat duduk punggung. Simpatinya melimpah namun demi masa depan yang lebih baik untuk diri dan anak-anaknya maka diharung juga tempoh pembelajaran yang memeritkan itu. Perit kerana dia sendiri terpaksa bekerja sambil belajar untuk menampung kehidupan kakak dan anak-anaknya di tanahair. Sekarang, biarlah Kak Mastura beristirehat. Cukuplah untuk dia memasak dan menguruskan mereka sekeluarga. Selebihnya, Amzar Mikail mahu kakak kesayangannya berehat dan meluangkan masa untuk beribadah.

Zanuril sudah semakin matang sekarang. Sudah menjadi anak dara. Dia bakal dipersiapkan untuk menjadi seorang isteri. Tanggungjawabnya sebagai abah adalah untuk melihat dia berumahtangga dengan sempurna. Zain, anak kedua pula bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah tidak lama lagi. Begitu juga Zaid yang bakal menduduki SPM pada tahun ini. Semua itu membuatkan dia memasang azam untuk bekerja keras agar masa depan mereka semua tidak tergugat.

Bagaimana tentang masa depannya? Amzar Mikail terdiam memandang siling putih yang setia memayunginya di bilik itu. Tiba-tiba wajah Wardah terlukis di situ. Senyum muncul segarit di bibir yang berkumis nipis itu. Sepasang matanya bersinar dengan harapan dalam samar cahaya di kamarnya. Sejak kali pertama pandangannya tumpah ke wajah itu yang berada di sebelah Zanuril yang ikut tercari-cari dirinya di celahan penumpang yang melangkah keluar melalui pintu ketibaan semalam, hatinya berdetak hebat. Namun sedaya mungkin dia menutupnya kerana mungkin gadis itu sudah berpunya. Semakin dekat, wajah itu semakin menyejukkan hatinya dan sinar matanya yang bening hingga terasa ke ulu hatinya. Namun siapalah dia… langsung dia berusaha untuk membatu diri dan mengeraskan hati.

‘Lelakilah dulu. Orang perempuan berjalan di belakang bukan di depan. Dah balik Malaysia, kan? Tinggalkanlah budaya tu di London…’

Amzar Mikail takkan lupa kata-kata itu. Melekat sungguh di hati. Kuat menjaga syariat rupanya dia sedangkan kebanyakan gadis sekarang lebih suka dilayan seperti gadis di Barat. Ladies first! Sampai lupa adab di dalam Islam lebih mulia dan selamat. Wardah tiba-tiba mendapat mata lebih di hatinya.

Peluang untuk bersamanya malam tadi menghangatkan kembali segala rasa-rasa itu. Sifat prihatin dan kemanusiaannya yang tinggi semakin mengocak hatinya. Minat dan naluri mereka seakan sama – suka melibatkan diri dengan kerja amal begitu. Wardah bukan setakat suka tetapi bagaikan sudah sebati. Entahlah… untuk mengenali gadis itu, dia malu mahu membuka langkah. Harapannya disandarkan pada Zanuril. Ya, anak sulungnya itu pasti mahu membantunya memasang perangkap dan denak agar gadis manis itu tertawan nanti. Satu kerja yang belum pernah terlintas di hatinya selama ini. Memasang denak…

‘Terima kasih, abah…’

Suara halus itu gemersik menerjah gegendang telinganya. Oh! Janganlah Wardah! Abang, bukan abah!

 

*****

 

Wardah terkocoh-kocoh ke pejabat pagi itu. Walaupun pada hari Isnin, kakitangan Kaustik dari bahagian editorial diberi kebebasan untuk datang lewat kerana belum ada berita yang masuk namun Wardah sudah terlalu lewat pada pagi itu. Sudah jam sepuluh!

Dia tertidur semula selepas solat Subuh kerana terlalu letih. Malah dia tidak solat berjemaah dengan kak long dan Azwani kerana bangun agak lewat. Sebaik saja tersedar dari lena, baru dia teringat yang di rumahnya ada ‘tamu’! Pasti kak long dan Azwani terkejut dengan kehadiran orang asing di rumah itu.

Kelam-kabut Wardah bergegas untuk menjenguk bilik kecil di tingkat bawah di mana wanita yang bernama Hasnah dengan anak kecilnya tidur semalam. Langkahnya terhenti di anak tangga bila melihat semuanya sedang rancak berbual sambil bersarapan di meja makan. Mereka sudah berkenalan rupanya. Wardah hanya mempamerkan senyuman malu-malu apabila semua mata tertancap ke tubuhnya yang masih berbaju tidur. Sambil memberi isyarat yang dia mahu bersiap, Wardah berpatah balik ke biliknya lalu bersiap untuk ke pejabat.

Trafik agak lancar pada pagi itu. Namun kereta yang dipandu Wardah semakin perlahan walaupun pedal minyak semakin kuat ditekan. Panik, Wardah serta-merta memberi isyarat untuk berhenti di tepi jalan. Kelam kabut dia keluar dari kereta dan membuka bonet. Sempat dia memerhati sekeliling. Ah! Bangunan Phileo Damansara sudah kelihatan tetapi untuk berjalan kaki, masih terlalu jauh. Kenapa pula kereta tiba-tiba buat hal?

Enjin diperhati dengan menyeluruh namun Wardah tidak faham apa-apa pun. Radiator diperiksa. Air kering! Alamak… macam mana boleh kering pula? Rasanya dia baru saja tambah air sebelum keluar ke Jalan Tunku Abdul Rahman semalam. Jadi apa pula yang tidak kena? Teringatkan botol air mineral di dalam kereta, Wardah segera mendapatkannya lalu radiator diisi semula. Habis air dalam botol dituang tetapi tidak juga penuh. Wardah semakin panik. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa yang harus dilakukan?

Telefon bimbit segera dikeluarkan dan nombor Benn didail. Mujur panggilannya segera dijawab.

“Benn! Kereta aku mati kat tepi jalan ni.” Wardah bersuara kalut. Cemas seorang diri di tepi jalan begini walaupun siang-siang buta. Buatnya ada orang asing yang berhenti, entah membantu entahkan mengambil kesempatan nanti!

“Mati? Laa… apasal pulak? Semalam elok je!” Benn ikut terperanjat.

“Aku pun tak tau kenapa. Tadi aku tengok, air tak ada tapi bila aku isi air, tak jugak penuh-penuh. Macam mana ya? Kau dah ada kat pejabat? Tolong tanya Raymond ke sesiapa ke, apa yang patut aku buat?” Macamlah dia pandai sangat! Tetapi sudah alang-alang berkereta, kenalah dia beranikan diri.

“Kau kat mana sekarang?”

“Tak jauh dari pejabat dah. Sebelum lampu isyarat terakhir nak ke pejabat. Tolong tanya kejap. Aku tak tau nak buat apa ni!”

“Okey, kau tunggu situ. Apa-apa aku telefon kau balik.” Talian diputuskan. Wardah menghela nafas lega. Dia masuk semula ke kereta di sebelah tempat duduk penumpang untuk menunggu hero dari tim editorial datang membantu.

Tidak sampai lima minit…

“Assalamualaikum…” Tubuh Wardah mengeras di kerusi bila mendengar suara itu. Seorang lelaki muncul di tepi pintu yang sedia terbuka.

“Abah! Err… waalaikumsalam…” Wardah yang terdongak kelam-kabut menjawab salam. Kenapa abah pula yang datang? Motosikal lelaki itu diparkir dekat di belakang kereta Wardah. Entah macam mana dia tidak perasan bunyi motosikal itu mendekat. Mungkin tenggelam dalam deru enjin kenderaan yang bersimpang-siur.

“Apa yang jadi? Mari abang periksa…” Amzar Mikail sempat menjeling sambil menekankan perkataan ‘abang’ seraya melangkah ke depan, mengadap bonet kereta yang sedia terbuka. Bingkas Wardah bangun dan keluar dari kereta sambil buat muka. Susahnya hendak ber’abang’ dengan lelaki yang seorang ini. Sepasang matanya mengelingas ke sekeliling mencari kelibat Benn. Tak ada!

“Patutlah kering, hos bocor teruk ni. Di tengah-tengah pulak tu. Kalau di hujung, boleh potong dan sambungkan balik,” beritahu Amzar Mikail sebaik sahaja Wardah berdiri di sisinya. Terkebil-kebil sepasang mata gadis itu, cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh abah… err… abang!

“Habis tu, macam mana…?” Perkataan abang tersangkut di anak tekak.

“Hmm… masuk bengkellah! Jom, abang hantar Wardah ke pejabat dulu. Lepas tu, abang uruskan kereta ni. Ambik beg, kunci kereta. Bagi abang kuncinya…,” Amzar Mikail mengarah satu persatu. Tetapi gadis itu tetap tercegat di hadapannya.

“Cepatlah!”

“Hah? Emmm… nak… nak naik motor?”

“Ya lah! Takkan nak jalan kaki?”

“Saya… saya tak naik motor… maksud saya…” riak wajah Wardah serba-salah.

“Dengan lelaki?” Soal Amzar Mikail, mengulum senyum. Dah agak!

Saat itu juga sebuah kereta memberi isyarat lalu berhenti tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Seorang lelaki keluar dengan wajah ketat dan mengatur langkah demi langkah mendekati mereka.

Wardah dan Amzar Mikail serentak saling berpandangan dan menunggu lelaki itu mendekat. Entah kenapa, jantung Wardah seperti ada ombak yang menggulung. Lelaki cina itu lagi! Segak bergaya.

“Apasal?” Soalnya sepatah. Salam pun tak ada. Amzar Mikail memandang Wardah dan lelaki itu silih berganti. Mereka saling kenal?

“Hos radiator bocor. Kena ke bengkel. Tak apa, encik. Saya boleh uruskan. Cuma nak hantar cik ni ke pejabat dulu.” Amzar Mikail menawarkan senyuman namun tidak bersambut.

“Kalau macam tu, naik kereta saya saja. Memang saya nak ke Kaustik…” Dia bersuara tegas. Pandangannya lurus ke wajah Wardah. Seketika kemudian, dia berpusing lalu melangkah ke kereta.

“Err… encik. Tak apalah. Saya… saya naik teksi saja!” Wardah hampir terjerit untuk memastikan lelaki itu mendengar kata-katanya yang hampir tenggelam dalam deruan kenderaan. Lelaki itu berpusing memandangnya.

“Apa bezanya teksi dengan kereta saya?” Soalnya ringkas. Wardah terlopong. Tiada jawapan. Dan lelaki itu sudah membuka pintu untuknya.

Wajah Amzar Mikail dipandang dengan rasa serba salah.

“Saya… saya nak naik teksi…” adu Wardah dengan muka sedih. Dia tak mahu membonceng motosikal dengan lelaki mahu pun menumpang kereta lelaki… berdua pula tu! Mana boleh berdua, nanti ‘pak tan’ ada di tengah-tengah. Abi dan umi sangat melarang anak-anak gadisnya berkereta berdua dengan lelaki. Tidak bersyariat sebenarnya. Namun perkara itu dianggap remeh oleh kebanyakan orang sedangkan sangat penting di sisi Tuhan kerana ia mudah membuka pintu maksiat antara lelaki dan perempuan.

‘Pergilah… duduk di belakang,” suara Amzar Mikail bagaikan memahami dan memujuk. Wardah menelan liur. Wajah Amzar Mikail dipandang seketika. Lelaki itu mengangguk, memberi isyarat supaya dia pergi. Serius. Ketat.

Telapak tangannya tiba-tiba menadah.

“Kunci kereta.”

Lambat-lambat Wardah menyerahkannya.

“Saya pergi…”

Angguk.

“Terima kasih…”

Angguk lagi. Mana ‘abang’? Namun dia diam. Setidak-tidaknya, tiada lagi ‘abah’.

“Saya pergi dulu…” Wardah cuba tersenyum. Kelat. Serba salah. Amzar Mikail angguk lagi dengan berat hati. Mengalah.

Wardah melangkah mendekati kereta mewah itu. Lelaki tadi bersandar di situ sambil berpeluk tubuh. Tanpa memandang ke arahnya, Wardah melangkah terus dan membuka pintu di tempat duduk belakang. Dan tanpa sempat lelaki itu berkata apa-apa, pintu kereta cepat-cepat ditutup.

Pintu kereta hadapan yang terbuka ditutup kuat. Lelaki itu masuk ke tempat duduk pemandu tanpa berkata sepatah. Kereta meluncur laju ke Phileo Damansara.

Panas sungguh hatinya. Dari jauh dia melihat Viva milik gadis itu tersadai di tepi jalan raya. Kebetulan lampu trafik masih merah dan kereta berderet menunggu lampu bertukar hijau. Tengok! Siapa suruh beli kereta terpakai! Zakuan mengutuk dalam hati. Kemudian seorang lelaki tiba-tiba datang menghampiri, memberi bantuan sebelum sempat dia sampai. Lelaki dalam gambar semalam! Hati yang panas jadi membuak. Tak boleh jadi! Melihat dua helmet di motosikal itu, Zakuan cepat bertindak memberhentikan keretanya selepas lampu bertukar warna. Takkan dia mahu memberi peluang lelaki itu mengambil kesempatan!

Wardah diperhati melalui cermin pandang belakang. Tunduk saja sejak tadi tanpa sepatah kata. Sesekali dia memandang ke kiri dan kanan kereta kemudian tunduk lagi. Macam orang bisu! Agaknya kecewa kerana tidak dapat membonceng motosikal lelaki itu. Peluang keemasan sudah dirampas olehnya. Zakuan tersenyum senget.

“Kenapa duduk di belakang?” Soalnya ringkas. Memang dia sakit hati bila pintu yang sudah sedia dibuka tidak dipedulikan oleh gadis itu. Malah dengan selamba dia duduk di belakang seolah-olah ada pemandu peribadi saja layaknya.

“Encik kata tak ada beza dengan teksi…,” lurus Wardah menjawab. Zakuan mengetap bibir. Kereta aku dijadikan teksi? Memang tak puas hati!

Sepasang matanya menjeling lagi ke arah gadis di tempat duduk belakang. Berani dia! Kalau aku bawa lari macam mana? Hati Zakuan berbisik jahat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s