Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 8

GUARDIAN ANGEL cover copy

 

Tekaknya terasa terlalu kering. Dahaganya! Noura bingkas bangun duduk dengan mata yang masih terpejam. Malas sungguh hendak ke dapur mencari air. Masih sayang dengan lenanya yang nyenyak. Namun tekaknya bagaikan menjerit minta dibasahkan. Langsung akalnya memaksa mata terbuka. Untuk seketika, Noura terpinga-pinga. Di mana dia?

Kejadian semalam menerjah kembali, berbalam-balam dalam ingatan. Wajah Sufyan yang manis muncul mengacah di ruang mata. Sufyan! Aku di rumah Sufyan, bisik hati kecil Noura. Dia teringatkan Syifa. Mesti tidur nyenyak dengan neneknya. Hmm… seronoknya kalau dapat tidur di sisi Syifa.

Jam di dinding dikerling dalam samar cahaya lampu tidur yang baru dibuka. Baru jam empat pagi. Noura mengatur langkah ke dapur setelah mencapai tudung yang disangkut di belakang pintu. Mana tahu kalau-kalau terserempak dengan Pakcik Hamdan atau Sufyan. Hatinya melomjak-lonjak ingin melihat Syifa tidur. Tapi dia tak pasti yang mana satu bilik Makcik Hasyimah. Lagi pun, takkan dia hendak masuk ke bilik pasangan kelamin. Hisy! Jangan buat perangai yang bukan-bukan, Noura. Akhirnya dia berjalan terus ke dapur.

Selepas berkumur dan minum segelas air, Noura tergerak hati untuk duduk di buaian. Pasti nikmat merasai dinginnya embun pagi. Udara waktu itu antara yang pekat kandungan oksigennya. Sangat baik untuk kesihatan. Apa salahnya dia tangguhkan solat tahajud sekejap lagi. Biarlah dia duduk bertafakur sebentar di buaian. Bukankah tafakur itu lebih disukai Allah dari tasbih para wali. Kerana tafakur itu akan membawa diri manusia lebih dekat dengan Allah. Dalam tafakur, kita boleh merenung segala sesuatu itu dengan lebih jauh dan tenang. Akhirnya kita akan sedar bahawa segala sesuatu itu sangat terhubung dengan Tuhan yang Maha Pencipta dan kita akan terasa peranan dan kebesaran-Nya. Bukankah itu lebih besar dari bacaan tasbih yang belum tentu membawa hati sebegitu dekat dengan Sang Khaliq.

Noura membuka kunci pintu kaca gelangsar itu lalu menolak ke tepi perlahan-lahan. Dia melangkah dengan hati-hati kerana suasana agak gelap. Hanya lampu dinding di dapur sahaja yang terpasang. Noora duduk bersimpuh di atas buaian sambil mencari di mana gerangannya bulan. Langit begitu indah bila kelam malamnya dihias cahaya bulan yang malu di balik awan disertai kerlipan bintang-bintang bertaburan. Terpejam mata Noura merakamkan keindahan malam dalam mindanya sambil menyedut udara segar yang sangat bernilai bagi setiap yang bernyawa tetapi hanya percuma dari Allah yang Maha Pemurah. Sungguh, Engkau Maha Pemurah, ya Allah!

Dalam keheningan itu, sayup-sayup terdengar bunyi esakan kecil. Syifakah? Tangan Noura menekap ke dada. Dia menoleh mencari arah bunyi itu datang. Sesekali kedengaran kemudian suasana kembali hening. Noura tersedar di belakangnya juga adalah sebuah bilik yang bertentangan dengan bilik yang dia diami. Bingkas dia bangun dari buaian dan perlahan-lahan menapak ke belakang buaian, mencelah di antara pasu-pasu bunga yang bersusun di tepi dinding. Ada tingkap di dinding itu dan ianya terbuka hanya sedikit.

Noura telan liur. Patutkah aku intai kalau-kalau Syifa perlukan aku? Mungkin Makcik Hasyimah nyenyak kerana keletihan melayani umi dan abi malam tadi. Memujuk hati supaya tidak rasa bersalah, Noura melonjakkan tubuhnya, menjengkit di atas hujung jari-jari kaki agar kepalanya dapat menjengah ke dalam bilik itu melalui ruang tingkap yang sempit.

Terkelip-kelip sepasang matanya memandang. Dalam suluhan lampu tidur di sisi katil, Sufyan sedang duduk termenung di atas sejadah putih. Dia hanya duduk di antara dua sujud dan termenung. Noura meniruskan pandangannya. Ingin melihat samada Sufyan sedang berzikir atau hanya bermenung. Tiba-tiba dia kelihatan menyeka airmata. Dan sesekali bahunya terhinggut.

Sufyan menangis? Kenapa? Perlahan-lahan Noura turunkan kepalanya dan berpatah balik ke arah buaian. Dia serba salah samada hendak duduk kembali di atas buaian atau masuk ke dalam bilik. Bimbang kalau Sufyan tahu kehadirannya di situ. Ah… lebih baik dia masuk mengerjakan solat tahajud saja sebelum azan Subuh berkumandang.

Lama Noura berteleku selepas selesai melakukan solat witir penutup ibadah malam. Hati dan fikirannya kembali memikirkan Sufyan. Mengapa? Dia kelihatan termenung jauh, sayu dan hiba. Apa yang membuatkan dia sedih? Sangka Noura, Sufyan seorang yang tenang dan tak ada masalah dalam hidup. Malah dia boleh mengambil anak angkat untuk mengubat kesunyian emak dan ayahnya kerana belum menemui calon isteri seperti yang diceritakan kepada umi dan abi ketika makan malam. Segala tentangnya begitu teratur.

Seorang lelaki menangis di hadapan Tuhannya. Apakah maksudnya? Hati Noura terus berkata-kata. Apakah Sufyan kesunyian sampai membuatkan dia begitu sedih? Isyhh… tak mungkin. Atau sebenarnya dia kematian isteri? Mungkin dia sedang meratapi kehilangan… atau mungkin… ah! Sudahlah, Noura! Jangan menyangka yang bukan-bukan. Tak baik! Hatinya berbisik mengingatkan. Noura beristighfar beberapa kali. Kemudian dia berselawat ke atas Rasulullah sementara menunggu masuknya solat Subuh.

****

Ketukan di pintu mengejutkan Noura yang leka bermain dengan Syifa di atas katil. Bingkas dia bangun menuju ke pintu.

“Masuklah, makcik. Pintu tak berkun…” Kata-kata Noura putus di situ sebaik saja pintu dibuka. Sufyan!

Dum! Pintu ditutup kuat kerana terlalu terkejut. Sangkanya Sufyan sudah keluar ke tempat kerja kerana dia terdengar Sufyan memberitahu emaknya yang dia mahu keluar awal pagi itu selepas solat Subuh berjemaah pagi tadi.

Sufyan yang turut terkejut, tersenyum dengan rezeki yang hadir di depan mata. Itulah wajah Noura yang dia rindui. Tersenyum ceria, manja dan manis. Dan rambutnya yang panjang beralun melepasi bahu itu menggetarkan jiwa lelakinya.

“Awak!”

Terkelip-kelip mata Sufyan kerana tidak sedar bila pintu itu dibuka semula. Pasti Noura sempat melihat dia tersenyum-senyum sendirian. Noura kini sudah berbalut tudung hitam labuh hingga menutup dada.

“Awak nak apa ketuk bilik orang pagi-pagi ni?” Sergah gadis itu lagi. Senyum ceria, manja dan manis sudah hilang berserpihan bila dia menyinga. Sebenarnya Noura cuba menutup malu yang teramat. Apalagi bila melihat Sufyan tersenyum-senyum sendirian di hadapan pintu yang tertutup!

“Saya nak jumpa nyawa sayalah sebelum pergi kerja,” jawab Sufyan dengan suara yang amat lunak. Tertelan liur Noura dengan bahasa dan nada romantis lelaki itu. Entah kenapa hatinya bergetar dan seram sejuk dibuatnya. Nyawa? Dia?

“Boleh saya jumpa dia? Ada dengan awak, kan?” Soal Sufyan lagi kehairanan bila Noura tertunduk dengan wajah yang berona. Eh… mungkin dia tersalah…

“Syifa? Ada!” Noura yang terngadah baru tersedar. Malunya!

“Kejap awak!” Dia berlari masuk ke dalam lalu mencempung Syifa ke dalam pelukannya lalu dibawa ke pintu. Muka tebal usah dicakap lagi. Hanya Tuhan yang tahu. Entah di mana dia hendak sorokkan muka. Harap-harap Sufyan tak perasan!

Habis merah pipi tembam Syifa digomol abahnya. Ketawa mengekek dia sampai boleh nampak anak tekak yang merah menyala itu. Noura juga tak dapat menahan ketawa. Suara mengekek Syifa bagaikan irama yang membahagiakan sekali.

“Okey sayang, abah nak pergi kerja dulu. Nanti abah balik, kita main lagi. Sekarang, Syifa main dengan Kak Noura ya. Abah nak pergi kerja,” beriya-iya Sufyam berpesan dengan anaknya. Atau sebenanya dia berpesan kepada penjaganya.

Noura menyambut syifa dari tangan Sufyan. Walaupun mereka amat berhati-hati agar tidak bersentuhan namun hati terlebih dahulu terkena arusnya.

Pandangan mata asyik berlari. Bimbang terpanah kalau bertembung nanti. Payah kalau ada jiwa yang terbakar. Akhirnya, Sufyan melangkah pergi dengan wajah-wajah kesayangannya terakam kemas di kotak fikiran. Sementara Noura menghantar lelaki itu dengan pandangan yang berbaur berbagai rasa.

psst: MINI NOVEL GUARDIAN ANGEL boleh dimiliki dalam bentuk enovel (format pdf). Whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com. Ada sebuah cerpen percuma untuk setiap pembelian GUARDIAN ANGEL

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s