Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 7

GUARDIAN ANGEL cover copy

 

Noura menghumbankan dirinya ke tilam empuk sebaik saja menghantar umi dan abi ke kereta. Abang Adam tidak datang sekali. Seperti biasa, dia lebih suka menghabiskan malamnya di luar rumah bersama kawan-kawannya. Sejak perkahwinannya dibatalkan, hidup Abang Adam semakin teruk.

Dadanya ketat dengan rasa sebak melihat umi dan abi pulang. Sebahagian dari dirinya mahu ikut pulang. Lagi pun, umi dan abi sudah mula memahami dirinya. Mungkin ada sesuatu yang telah dikatakan Sufyan kepada mereka. Jika tidak, tak mungkin umi dan abi berubah begitu drastik. Sedangkan baru semalam, mereka memujuknya agar menerima lamaran yang datang. Kata abi, hanya lelaki yang berhati mulia yang sudi mengahwini seorang gadis sepertinya.

Abi tak tahu betapa kata-kata itu menghiris hatinya. Gadis sepertinya? Gadis yang bukan gadis lagi? Kata abi lagi, lelaki itu sudah mengenalinya sejak dia mendapat rawatan di Darul Sakinah. Apakah dia tahu semuanya? Apakah ustaz-ustaz di situ membuka aibnya? Noura marah. Dia marah sungguh. Habis dibanting barang-barang di dalam bilik tidurnya.

‘Dia ikhlas, Noura.’ Kata-kata abi terngiang-ngiang di telinganya. Lelaki itu tidak mengambil kira apa pun sejarah silam yang telah dilaluinya. Sebab itu abi tak mahu Noura menghampakannya. Tapi Noura tak percaya! Noura tak mungkin percaya.

‘Lelaki itu pasti orang gila, abi!’ Kata-kata itulah yang membangkitkan kemarahan abi.

‘Abi nak Noura bahagia. Abi nak Noura keluar dari rumah ni dan bina hidup baru. Dialah satu-satunya peluang untuk Noura. Apa salahnya Noura kenal dulu dengan dia, dengan keluarganya?’

‘Noura tak nak!’

‘Abi merayu, Noura terimalah dia seadanya sepertimana dia menerima Noura seadanya.’

‘Noura tak nak! Tak nak! Tak nak!’

Umi menangis. Abi mengeluh hampa. Dan Noura melarikan diri ke biliknya.

Lelaki gila! Tak siuman! Ustaz tak guna! Mana dia tahu kalau ustaz tak cerita? Dan lelaki tu… kenapa lelaki tu datang ke Darul Sakinah kalau dia tak ada masalah?

Airmata Noura mengalir hangat di pipinya. Sebelum ini, hidup Noura sudah tenang. Dengan bimbingan ustaz di Darul Sakinah, dia sudah mengamalkan zikir dan banyak membaca al Quran serta buku-buku ilmiah yang membincangkan soal hati dan akal. Soal tauhid dan tasawuf.

Dia belajar erti redha. Menerima. Malah dia belajar tentang sesuatu yang mahal. Kata Ustaz Ubaidah, salah seorang perawat di situ, apabila seseorang diuji dengan sesuatu yang dahsyat, yang melibatkan maruah seperti apa yang berlaku ke atas dirinya, itu bermaksud Allah sedang meletakkan dirinya di satu persimpangan.

Di situ perebutan antara malaikat dan syaitan yang berusaha mahu mempengaruhi hati manusia itu. Dia akan merasa rendah diri, hina dan jijik. Syaitan akan berbisik, engkau sudah rosak. Tak ada apa yang perlu dipertahankan lagi. Lebih baik kau terus nikmati hidup bebas. Kenapa nak jadi baik? Sedangkan kau dah tak ada harga. Lebih baik kau keluar hiburkan hati. Ramai lagi yang senasib dengan engkau tapi mereka tak menangis berduka. Mereka hidup ceria dan bahagia. Engkau boleh lakukan apa saja yang kau mahu. Tak ada batasan lagi.

Sementara malaikat memujuk. Kembalilah kepada Allah. Dia tidak menghukum kamu sepertimana manusia. Jika kamu tidak bersalah maka kamu tidak jijik di sisi Allah. Malah kalau kamu redha dengan ujian Allah, sabar dengan apa pun keadaan yang kamu hadapi kerana Allah maka akan Allah tingkatkan imanmu. Baikilah dirimu dan insyaaAllah, Allah akan mengaturkan kehidupan yang lebih baik untuk kamu kalau tidak di dunia, di Akhirat sana sudah pasti.

Hati yang kuat bergantung dengan Tuhan akan kekal beriman. Sama sekali dia tidak akan memilih jalan yang tak diredhai Allah tetapi kekal membaiki diri menjadi hamba Allah.

Bonus kepada ujian ini adalah hati hamba. Bukan mudah untuk seseorang itu memiliki hati hamba, hati yang sentiasa merasa hina di sisi Allah. Hati yang merasa berdosa dan sentiasa dalam keadaan bertaubat. Hati inilah yang menjadi pilihan Allah. Seperti mana Rasulullah yang Allah panggil sebagai kekasih-Nya tetapi apabila ditanya kepada Rasulullah, siapakah dia di sisi Allah, Rasulullah menjawab yang dia hanyalah hamba Allah.

Rasa kehambaan ini sukar dimiliki walaupun oleh seorang yang warak. Kerana tidak mudah untuk seseorang merasa hina sedangkan dia dipandang mulia oleh masyarakat. Itulah rahsia di sebalik kejadian yang menimpa orang seperti Noura.

Sejak itu, Noura tekad untuk bangkit dan berubah. Cukuplah dia meratap nasib. Sudah sampai masanya dia belajar menghubungkan hatinya dengan Tuhannya. Dia mahu menjadi hamba Allah yang redha. Dia akur dengan takdir dan berjanji akan berusaha untuk membaiki diri demi menjadi muslimah sejati.

Tetapi semalam, dia diuji lagi. Kejutan yang dibawa oleh lelaki itu belum mampu dia hadapi disaat hatinya baru mula sembuh. Pergantungannya kepada Allah yang baru terhubung tersentak dengan ujian itu. Hakikatnya, dia belum bersedia untuk berdepan dengan seorang lelaki. Atau lebih tepat, dia tak mahu disentuh lelaki! Memikirkannya sudah cukup membuatkan dia rasa mahu mati saja!

Biarlah Noura di sini, abi… umi…. Noura nak belajar berdikari. Noura nak bina hidup baru. Hatinya berbisik mengharap. Tolong doakan Noura istiqamah dalam bergantung kepada Allah. Maafkan Noura. Noura belum kuat untuk memenuhi harapan umi dan abi.

Kini Noura berbaring terlentang menatap siling putih yang memayungi kamarnya. Entah kenapa, dia rasa tenang sungguh di sini. Terutama apabila dia memeluk Syifa. Saat Syifa memandang wajahnya dan mengenggam telunjuknya, dia merasa terharu seolah-olah bayi itu yakin dengannya. Bayi itu mempercayainya. Sedangkan saat itu, dia sendiri tak pasti samada dia mampu mengendalikan seorang bayi. Malah dia langsung tidak pasti samada dia dapat mengendalikan hidupnya sendiri atau tidak!

Gelak tawa Syifa sungguh menghiburkan. Sedangkan kalau dia menangis pun, Noura teruja. Cepat-cepat dia mengambil Syifa dan mencari apa yang tak kena. Laparkah dia, basahkah bontotnya yang munggil itu atau dia diserang kantuk? Mendamaikan Syifa menjadi satu pencapaian bagi Noura. Dia bangga bila dia mampu membuat bayi sekecil itu lena diulit bahagia. Dan dengan kepuasan yang memenuhi ruang dadanya, Noura akhirnya terlena.

psst: MINI NOVEL GUARDIAN ANGEL boleh dimiliki dalam bentuk enovel (format pdf). Whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com. Ada sebuah cerpen percuma untuk setiap pembelian GUARDIAN ANGEL

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s