KALAU AKU KAYA Bab 23

KAK cover copy

 

Ayam goreng dan sayur goreng campur sudah siap dimasak dan dibungkus dalam pek polistrin lalu disusun dalam empat buah raga besar lalu disusun di dalam but kereta dan di tempat duduk belakang. Kak long, Azwani dan Wardah akhirnya tersandar di sofa di ruang tamu sementara menunggu azan Isyak berkumandang.

“Kak long rasa elok ajak abi sekali, Arda,” cadang kak long untuk entah kali ke berapa. Risau benar dia hendak melepaskan Wardah pergi mengagihkan makanan kepada gelandangan hanya berdua dengan Benn sahaja. Perempuan pula.

“Tak sampai hati nak ajak abi, kak long. Lagi pun waktu macam ni, abi sedang bertungkus lumus di kilang mee. Kak long jangan risau, malam masih awal lagi. Orang masih ramai di kawasan tu. Ardha akan pergi di kawasan orang ramai saja, kak long.” Janji Wardah bersungguh-sungguh. Azwani sudah terbaring keletihan. Dia pakar masak dalam rumah ini. Dialah yang bertungkus-lumus mengerjakan dua belas ekor ayam dan sayur rampai tadi sementara Wardah mengikut arahannya saja. Bimbang kalau Wardah yang masak, padahnya nanti masakan jadi terlalu termasin, termanis dan entah apa yang ‘ter’ lagi seperti selalu…

Viva Putih itu dipandu dengan hati-hati kerana bimbang bungkusan makanan yang tersusun kemas di belakang terbarai pula. Benn sudah siap menunggu di perkarangan rumah.

“Lambat kau sampai?” Soal Benn sebaik saja menjawab salam Wardah.

“Maaflah, Viva bertukar jadi kura-kura hari ni. Terlebih muatan!” Tukas Wardah sambil menunjukkan bekas polistrin yang tersusun menggunung di dalam bakul yang tinggi. Benn tergelak mengekek.

Makcik Mastura ikut keluar untuk melihat Wardah yang datang. Seperti yang telah dijanjikan, beberapa ketul ayam goreng sudah diasingkan untuk mereka sekeluarga dikeluarkan Wardah dari salah sebuah bakul.

“Jadi pergi, Arda?” Makcik Mastura yang memang sudah kenal mesra dengan Wardah menyapa mesra.

“Jadi, makcik. Semua dah siap. Ini untuk adik-adik kat dalam. Dah janji dengan diaorang nak belanja ayam goreng,” ujar Wardah sambil menyerahkan bungkusan itu. Makcik Mastura menyambutnya dengan rasa terharu.

“Baik sungguh hati kamu, Arda. Sebab tu budak-budak tu sayang sangat kat kamu. Kalau dengan kak longnya ni, asyik nak bertekak aje,” usik Makcik Mastura sambil menyinggung pinggang Benn yang bercekak pinggang mendengarnya.

“Amboi, dapat ayam goreng, kita pulak dikutuk ya!” Tukas Benn, geram. Wardah dan Makcik Mastura ketawa. Benn pantang dikutuk!

“Makan ya, makcik. Kami mintak izin nak pergi dulu. Takut balik lewat pulak nanti. Esok kerja.” Pinta Wardah seraya membuka pintu untuk Benn.

“Iyalah. Hati-hati ya. Pergi tempat yang ramai orang saja. Jangan ke tempat yang sunyi-sunyi. Kamu berdua anak dara!” Pesan Makcik Mastura bertalu-talu.

“Mana boleh pergi berdua, perempuan pula tu,” tegur suara lelaki dari arah belakang Benn. Amzar Mikail melangkah mendekat sambil memerhati ‘isi’ kereta Viva itu termasuk ‘tuan’nya sekali.

“Err… dah tak muat nak bawa orang lagi,” jawab Wardah serba-salah. Tadi kak long, sekarang abah pula!

“Benn naik kereta. Abah ikut dengan motor. Kalau dengan kenderaan, tak mengapa lelaki di belakang.” arahnya tanpa dipinta sambil menjeling ke arah Wardah. Dia berlalu masuk ke dalam semula. Benn tergelak apabila melihat Wardah terlopong. Ha! Itulah abah! Poyo!

Mereka bergerak menuju ke jalan Tunku Abdul Rahman dengan hati-hati. Mujur malam ini Ahad malam Isnin. Orang ramai tidaklah sesesak semalam. Pengunjung ke pusat membeli-belah itu semakin beransur pulang memudahkan mereka bergerak mencari sasaran.

Setelah memarkir kenderaan di lorong sempit di belakang bangunan di situ, mereka bertiga segera bertindak menjinjing pek polistin yang sudah siap diletakkan di dalam plastik. Dari dalam but meletakkan barang, Wardah mengeluarkan plastik-plastik berisi telekung, kain pelekat, sejadah dan tuala serta sabun mandi. Niatnya cuma satu. Biar pun gelandangan, mereka tetap harus menyembah Allah kerana Allahlah yang berkuasa untuk mengubah nasib mereka. Bukan dia atau sesiapa pun yang datang membantu. Setakat sebungkus nasi, mereka hanya terbantu untuk satu malam. Bagaimana malam-malam seterusnya? Sedangkan Allah itu Maha Kaya. Sesungguhnya kepada Allahlah tempat hamba-Nya meminta.

“Kenapa awak buat semua ni?” Tiba-tiba Amzar Mikail bersuara sedang mereka memunggah raga-raga berisi makanan itu keluar dari kereta.

Pergerakan Wardah dan Benn terhenti serentak dan mereka saling berpandangan.

“Err… sebab… sebab saya tahu takdir yang menentukan kita miskin atau kaya tu adalah ujian sebenarnya. Kalau Allah beri kita rezeki, apakah kita mampu berkongsi? Dan kalau Allah jadikan kita miskin, apakah kita redha? Saya harap… saya tak gagal dalam ujian Allah ini…” jawab Wardah dalam keadaan teragak-agak. Amzar Mikail yang memandang tepat ke arahnya sukar ditelah riak wajahnya di bawah samar cahaya yang berbayang dari lampu neon di tepi jalan.

“InsyaaAllah, orang yang ada hati macam hati awak takkan gagal,” ujar Amzar Mikail antara dengar tidak dengar. Kemudian dia menyambung kerja yang terhenti. Benn yang tercegat mendengar ikut sama bergerak pantas memunggah bekalan makanan.

“Kain pelekat berikan pada abang. Kamu berdua dekati yang perempuan saja. Berhati-hati,” pesan Amzar Mikail sambil pura-pura tidak memandang bila kedua anak gadis itu saling berpandangan dan ‘buat muka’. Abang tetap abang! Wardah dan Benn sama-sama mengulum senyum.

Dengan salam dan sapaan yang lembut, Wardah dan Benn mendekati gelandangan wanita yang agak ramai di situ. Seorang demi seorang didekati sambil berbual mesra. Ada yang melayan, ada yang menangis bila diingatkan tentang solat namun ada juga yang marah-marah. Dua orang gadis muda itu terus mendekati dengan hati yang cekal. Rasa hiba dan gementar berbaur silih berganti. Syukur kebanyakannya berjanji akan mengerjakan solat yang telah lama ditinggalkan dengan pelbagai alasan.

“Kakak yakin tak, Allah Maha Mendengar?” Soal Wardah dengan penuh hikmah tatkala dia melutut mengadap seorang wanita yang duduk bersandar di tiang sambil meriba kepala anak lelakinya yang berusia tiga belas tahun. Kepalanya dijatuhkan, mengelak dari terus dipandang. Perlahan dia mengangguk-angguk kecil.

“Kakak, kalau kami tolong kakak, kami tak dapat nak tolong banyak. Serba sikit saja. Tapi kalau Allah tolong kakak, hidup kakak akan berubah. Kakak percaya, tak?” Soal Wardah lagi. Kepala itu terus tunduk semakin rapat. Tiba-tiba bahunya terhinggut-hinggut. Dia menangis?

“Maafkan saya, kak… saya tak bermaksud nak buat kakak sedih…” Suara Wardah sudah sarat dengan rasa sebak. Perlahan-lahan kepala itu menggeleng.

“Akak dah lama tak solat… akak dah lupa…” Akhirnya kepala itu diangkat dan pipinya yang kusam itu basah dengan airmata. Dia memandang Wardah dengan wajah yang sungguh menghibakan. Serentak itu tangannya diraup Wardah tanpa sedar.

“Tak apa, kak. Akak terus cuba. Nanti akak mandi, pakai telekung ni, kalau akak larat, akak pergilah ke masjid. Kalau akak tak larat, akak solat saja di sini. Akak solatlah dengan bahasa hati. Allah akan datangkan orang untuk mengajar kakak nanti. Akak mintak tolong dengan Tuhan, ya kak…” Airmata Wardah turut sama mengalir. Benn terkaku memandang. Dia sudah menelan sebak berkali-kali.

“Nak ke Tuhan tolong orang macam kakak, dik…” Dia tunduk memandang tangan Wardah yang memegang tangannya dalam kabur airmata.

“Takkan hina orang yang memuliakan Allah, kak. Percayalah… di sisi Tuhan, akak dengan saya sama saja. Yang membezakan kita adalah hati kita, kak. Akak jangan putus asa ya. Jangan tinggal solat…” Wardah bagaikan merayu. Tangan wanita itu diusap lembut, memujuk.

“Terima kasih, dik. Akak nak solat. Adik tolong doakan akak ya…” pintanya dengan hati yang lirih. Laju Wardah mengangguk tanpa suara. Dia sudah tidak mampu hendak bersuara. Satu sampul surat dari beg sandangnya diletakkan dalam telapak tangan wanita itu. Mereka bersalaman tanpa kata kerana airmata sedang sibuk berbicara. Dan kakak itu ditinggalkan kerana yang lain sudah menunggu.

Seorang lagi wanita tidak jauh dari situ mereka dekati. Dia berpakaian agak kemas sedang menepuk-nepuk seorang anak perempuan yang masih kecil, tidur diribanya. Sesekali anak kecil itu batuk-batuk. Namun batuk yang kedengaran amat merisaukan. Tambah teruk bila angin malam berhembus dingin.

Salamnya dijawab. Sekali lagi Wardah berlutut bertanya khabar setelah mengesat airmata sendiri dengan belakang tangannya. Senyum dari bibir wanita itu melindungi cerita sedih yang mengepungi diri dan anaknya sudah dapat dibaca dan ditafsirkan.

“Akak kerja, dik. Akak basuh pinggan di kedai makan dekat sini. Tapi gaji akak dua puluh ringgit sehari, tak cukup nak sewa bilik. Akak tak mintak sedekah, dik. Selagi terdaya akak nak usaha sendiri,” luah wanita berusia empat puluh tiga tahun itu.

“Tak apa, kak. Saya niat nak buat kenduri hari ni. Itu yang datang bawak makanan. Akak sudilah ambil ya, kak.” Pujuk Wardah bila dia tidak mahu menerima bungkusan nasi yang diberikan.

“Anak akak sakit?” Tegur Wardah bila batuk anak itu berterusan. Dia dan Benn sudah berpandangan. Bunyinya semakin teruk dan menggusarkan.

“Ya, anak akak lelah, dik…” jawabnya dengan suara sebak. Dada anak kecil itu diurut-urut. Apa lagi yang mampu dia lakukan?

“Umur dia berapa tahun, kak? Dia tak sekolah?” Tanya Benn pula. Anak kecil itu amat menarik perhatiannya. Nafas anak itu berbunyi kuat.

“Baru enam tahun. Akak terpaksa bawa dia ke tempat kerja. Itulah, dia susah sikit nak sembuh.” Dia memberikan alasan.

“Kak, akak nak tak kalau anak akak tinggal di rumah anak yatim? Anak akak boleh bersekolah.” Tiba-tiba Wardah bertanya. Wanita itu tersentak. Airmata hangat mengalir di pipinya.

“Akak memang harap sangat dapat sekolahkan dia, dik. Tapi ayahnya ceraikan akak. Halau kami dari rumah. Dia nak kahwin lain. Akak tak kisah hidup menderita tapi anak akak…” Dia menangis meratap.

“Memang ada orang yang datang nak ambik dia, nak sekolahkan dia tapi akak tak sanggup. Akak tak nak berpisah dengan anak akak….” Tangisnya berhamburan. Kepala anak kecil yang sudah terjaga itu dikucup bertalu-talu lalu dipeluk erat seolah-olah takut anak itu dirampas daripadanya. Sekali lagi airmata Wardah tumpah. Tuhan!

“Akak ikut saya balik, ya?” Pinta Wardah seakan merayu. Wanita itu terdongak dan terngadah. Terpinga-pinga.

“Ada bakeri yang perlukan pekerja. Ada rumah untuk akak tinggal dengan anak akak. Akak boleh hantar dia ke sekolah tadika yang dekat dengan bakeri tu, akak nak tak?” Soal Wardah sungguh-sungguh.

“Hanya Tuhan yang dapat balas budi adik. Akak janji akak akan kerja sungguh-sungguh nak balas budi adik…” Tangan Wardah dicapai dan diciumnya membuatkan Wardah terkejut dan tersentak.

“Akak!”

Mereka menapak lagi ke belakang bangunan. Kelihatan sepasang suami isteri sedang menidurkan dua orang anak mereka di atas kotak-kotak yang disusun di koridor bangunan itu. Suasana agak kelam di situ. Bila dilihat betul-betul, kelihatan berderet-deret lagi manusia yang duduk atau berbaring beralaskan kotak di sepanjang koridor itu. Wardah dan Benn saling berpandangan. Amzar Mikail yang melihat senario yang sama datang menghampiri keduanya. Dengan isyarat mata, dia mengajak mereka mendekati keluarga itu bersama.

Sejam kemudian, tugas mereka selesai. Hampir sepanjang jalan Tuanku Abdul Rahman mereka telusuri dan menyapa gelandangan yang sudah bersiap-siap mencari tempat masing-masing untuk melarik mimpi. Entahkan indah entahkan ngeri. Hanya Tuhan yang Maha mengetahui cerita dan derita mereka sebenarnya.

Malam itu juga Wardah tekad. Dia mungkin tidak dapat membantu semuanya. Tetapi cukuplah seorang. Berapa ramai warga kota yang hidup senang kalau hendak dinisbahkan dengan berapa ramai gelandangan yang ada. Kalau di hati ada Tuhan, gelandangan pasti tidak wujud di mana-mana. Seperti kedatangan Rasulullah yang membawa Islam, para hamba hidup bebas merdeka. Begitulah yang sepatutnya tetapi siapalah dia yang dapat mengubah semua ini melainkan Allah jua. Wardah melangkah pulang bersama wanita itu dan anaknya dengan hati yang pasrah.

 

****

 

Di tingkat atas di sebuah rumah agam, Zakuan berdiri mengadap kelam malam di balkoni di luar biliknya. Angin malam yang bertiup lembut dan bintang-bintang yang bertaburan di dada langit sedikit sebanyak menghiburkan hatinya yang resah gelisah. Hawa dingin dari alat penghawa dingin di biliknya tidak mampu mengundang kantuk yang hilang. Hilang dek pesanan-pesanan dan gambar-gambar yang dikirimkan Azam sebentar tadi melalui telefon bimbitnya.

Memang dia terkejut melihat gambar Wardah bersama gelandangan di ibukota. Sampai sejauh itu dia bertindak bila poketnya berisi! Itu memang di luar dari jangkauan akal Zakuan. Tak pernah! Tak pernah terlintas di hatinya untuk membantu gelandangan. Entah kenapa, selama ini dia merasa jelek bila terserempak dengan mereka. Dapat dibayangkan sifat mereka yang pemalas dan pengotor sehingga sanggup hidup berpeleseran begitu. Bukankah Malaysia cukup harmoni dan banyak peluang pekerjaan? Mengapa tidak berusaha untuk hidup lebih baik?

Tetapi bila melihat riak wajah Wardah melayani gelandangan itu seperti orang yang dia kenali malah sampai ada yang disentuhnya, hati Zakuan jadi terganggu. Kenapa dia sanggup bersusah payah sampai begitu sekali? Apakah gelandangan itu memang wajar dibantu?

Teks pesanan ringkas yang dihantar oleh kawan baiknya kepada Azam mengocak hati lelaki Zakuan. Dia buat semua itu kerana dia tahu takdir yang menentukan seseorang itu miskin atau kaya adalah ujian. Kalau Allah beri kita rezeki, apakah kita mampu berkongsi? Kalau Allah jadikan kita miskin, apakah kita redha? Dan gadis naif itu takut dia kalau dia gagal dalam ujian Allah! Bagaimana dengan aku? Kekayaan yang aku miliki ini adalah ujian sebenarnya! Hati Zakuan berbisik resah.

“Wardah!” Terluncur nama itu melewati bibir Zakuan di malam yang sunyi. Hati yang bagaimana yang ada dalam dirimu sebenarnya?

Bunyi pesanan masuk menyentak lamunan Zakuan. Telefon bimbit di tangan dibuka segera.

Dup! Jantungnya kuat berpalu.

Gambar Wardah bersama seorang lelaki segak bertinggung di hadapan sebuah keluarga gelandangan. Bukan keluarga gelandangan itu yang mengejutkan Zakuan. Tetapi Wardah dan lelaki itu yang sedang berbalas pandang. Dan pandangan itu… mengocak hati Zakuan hingga seperti ada lahar yang tumpah. Panas menyirap!

Siapa dia?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s