KALAU AKU KAYA Bab 22

“Arda, kau tolong aku jemput abah, boleh?” Benn mula mengambil kesempatan. Hendak menumpang tuah di kaki Wardah yang kini sudah berkereta ke sana sini. Lagi pun, seronok juga kalau dapat buat kejutan. Abah pasti tidak akan menyangka yang dia berada di lapangan terbang, menunggunya.

“Boleh. Tak ada masalah. Bila dia sampai?” Wardah teruja hendak memandu kereta sendiri sampai ke KLIA. Dia tidak ada alasan untuk memandu ke mana-mana setakat ini kerana sibuk menyiapkan majalah sisipan untuk bulan depan yang akhirnya siap sepenuhnya semalam. Penatnya masih bersisa. Itu pun mujur rekaletak yang baru dengan tema ‘avant garde’ untuk majalah sisipan itu mendapat restu sepenuhnya dari Encik Azam. Hari ini mereka sibuk pula menyiapkan dan mengemaskini akhbar utama yang akan ditutup sepenuhnya dan dihantar untuk dicetak lewat malam ini. Satu hari lagi yang panjang selepas semalam.

“Petang esok kau free ke?” Soal Benn lagi, meminta kepastian.

“Okey, aku free, insyaaAllah. Nanti aku jemput kau di rumah. Kau ingatkan aku, jam berapa kita kena bertolak. Eh, kalau awal, boleh kita merayap kat KLIA. Dah lama tak ke sana,” cadang Wardah pula.

“Aku tak kisah. Lagi best kalau dapat lepak kat sana. Macam ni, aku belanja kau makan di KLIA…” Wardah ketawa girang mendengarnya. Siap kau, Benn! Aku nak makan sedap-sedap! Dua tanduk Wardah sudah keluar.

Jauh di sudut hati, menyelinap rasa cemas untuk bertemu empat mata dengan jejaka yang Benn panggil abah. Amzar Mikail bin Khairuddin adalah bapa saudara sebelah ibu Benn yang masih belum berkahwin. Lelaki yang berhati mulia itu sanggup mengorbankan masa depannya demi melihat kakak dan lima orang anaknya hidup bahagia dan terjamin.

Mengikut cerita Benn, ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Itu juga antara sebab Benn phobia untuk memandu kereta sendiri. Mujur rumah teres di Petaling Jaya yang mereka duduki adalah rumah sendiri tetapi habis wang simpanan KWSP ayah yang dikeluarkan digunakan untuk melangsaikan hutang rumah di bank. Ibu Benn, Makcik Mastura pula tidak bekerja ketika itu membuatkan pemergian ayah menjadikan mereka hilang tempat pergantungan. Ketika itulah abah datang menyelamatkan keadaan. Dia membantu memberikan kakaknya modal untuk menjual kuih-muih secara kecil-kecilan di hadapan rumah mereka untuk menampung perbelanjaan. Seterusnya, dia berpindah tinggal bersama kakaknya dan menyara mereka sekeluarga.

Benn selamanya terhutang budi dengan abah kerana abah sanggup melupakan cita-citanya lalu bekerja sebagai penolong akauntan di salah sebuah syarikat swasta dan pada malam hari dia membantu kawannya membuka gerai makan yang menawarkan makanan barat pula. Tidak cukup dengan itu, abah sanggup hidup membujang kerana tidak mahu kasih sayang dan perhatiannya berbelah bagi jika dia memilih untuk berumahtangga. Abah menjaga Benn dengan adik-adiknya persis arwah abang iparnya sehingga anak-anak yang masih kecil itu tidak terasa kehilangan ayah. Sebagai anak sulung yang sudah cukup dewasa untuk memahami apa yang berlaku, Benn sangat menghargai pengorbanan abahnya.

Tuah menyebelahi lelaki itu apabila syarikat tempat dia bekerja menawarkan biasiswa kepadanya untuk melanjutkan pelajaran di London Chamber of Commerce Institute. Hari ini Amzar Mikail pulang untuk menyambung perkhidmatannya di syarikat yang yang sama. Kata Benn, abah sanggup bekerja separuh masa ketika belajar dan bekerja sepenuh masa ketika cuti semester demi untuk memastikan keperluan Benn dan adik-adiknya tidak tergugat. Cuma dua tahun kebelakangan ini, bebanannya menjadi ringan apabila Benn mula bekerja dan menanggung keluarga. Malah Benn meminta abah berhenti bekerja dan memusatkan perhatiannya hanya kepada pelajaran.

“Aku harap abah akan bertemu jodohnya,” ujar Benn penuh harap ketika mereka dalam perjalanan menuju ke KLIA pada petang Sabtu yang cerah itu.

“Kenapa kau cakap macam tu? Rasanya dah tentu dia ada pilihan hati sekarang ni,” Tukas Wardah sambil memusatkan perhatiannya di lebuh raya.

“Abah tu? He’s a nerd! Dengan poyo dia… memang susahlah! Tak romantik langsung pulak tu.” Benn mengutuk abah sendiri. Teruk betul! Wardah menggelengkan kepala.

“Tahun ni, aku nak fokus sungguh-sungguh cari calon isteri abah. Dia dah tiga puluh tahun tau. Kalau biarkan dia, mahu tak beristeri sampai ke sudah,” Beriya-iya Benn membuat rancangan.

Wardah tersenyum-senyum sendirian membiarkan Benn menyusun strategi untuk menjayakan rancangannya. Wardah mahu membantu. Ya, lelaki sebaik itu ibarat berlian di antara pepasir.

Wardah dan Benn bertolak seawal tiga petang dari rumah Benn di Pantai Hillpark. Mereka belum pernah menaiki kapal terbang ke mana-mana. Jadi kedua-duanya belum pernah ke KLIA.

Papan tanda KLIA2 yang kreatif rekabentuknya menyambut kedatangan mereka berdua. Kemudian kelihatan sayup-sayup menjulang ke udara sebuah menara trafik yang dicanang-canang sebagai menara trafik udara yang tertinggi di dunia menyapa pandangan mata.

Mereka masuk ke simpang menuju ke dewan ketibaan lalu memarkirkan kereta. Jadual ketibaan penerbangan terpapar di skrin besar betul-betul di pintu masuk dewan itu. Oleh kerana waktu masih awal, mereka menapak ke kompleks beli-belah bersepadu atau integrated complex yang bersebelahan dengan dewan ketibaan.

Wajah Wardah dan Benn berubah ceria sebaik sahaja berada dalam kompleks itu. Apa tidaknya, deretan kedai yang bergemerlapan di simbah cahaya menyapa retina mata mereka yang tajam menerawang. Dari satu kedai ke satu kedai mereka telusuri. Membelek itu dan ini tetapi membelinya tidak juga. Kerana semua itu bukan keperluan semasa. Maka walau macammana menarik sekali pun, biarlah dahulu.

“Cantik betullah KLIA tapi sayang tak dapat nak tengok kapal terbang. Hmm… bilalah kita nak naik kapal terbang, kan?” Wardah mula berangan. Pandangan matanya meratah permandangan lelangit bangunan tersohor itu yang indah sekali rekabentuknya.

“Itulah! Kadang-kadang aku menyesal tak belajar ke luar negara tapi aku memang tak sanggup nak tinggalkan ibu dengan adik-adik. Agaknya aku dapat honeymoon ke… eh, Ardha! Bandung!” Sepasang mata Benn membulat sebaik saja dia teringatkan sesuatu. Tiket percuma yang dimenangi Wardah!

“Eh! Ya lah, Benn! Kita ke Bandung yok!” Wah! Serta-merta Wardah bertukar dialek. Pecah ketawa mereka. Apalagi, Bandung terus menjadi topik perbincangan utama sambil mereka meneroka KLIA.

“Benn, jomlah kita makan dulu. Aku dah lapar ni.” Wardah muka buat muka. Bila lagi nak ambil kesempatan!

“Oh, lapar ya. Kejap la. Abah nak sampai dah. Nanti dia mesti nak makan juga. Elok kita makan sekali, kan?” Benn bijak melepaskan diri. Hahaha… KLIA ni! Mahal beb!

Wardah berubah muka tidak percaya. “Bertuah betul kau kan! Abah kau juga yang jadi mangsa!”

Benn ketawa galak. Mereka terus berjalan sambil menjamu mata sementara menunggu waktu ketibaan pesawat penerbangan Malaysia dari Heathtrow, London.

“Ramainya orang! Abah kau boleh nampak ke kau yang kecil ni, Benn?” Soal Wardah sambil ikut meninjau deretan manusia yang melangkah keluar dari pintu ketibaan. Mereka bergegas ke situ sebaik sahaja mendengar pengumuman dari corong pembesar suara tadi. Tetapi antara ramai itu, wajah yang dinanti belum juga muncul.

“Kecil kau kata? Eh, aku dah boleh jadi mak budak tahu?” Benn menjegilkan biji mata.

“Boleh jadi, aku tahu. Hendak jadi, aku tak tahu,” jawab Wardah lagi, tidak mahu mengalah. Sengihnya melebar sambil memandang tepat ke muka Benn. Mencabar.

“Amboi! Sedap mulut kau kan… eh! Tu! Tu abah aku!” Benn sudah terlompat-lompat kecil. Menonong-nonong dia bergegas mendapatkan seorang lelaki yang tinggi lampai melangkah serius sambil menolak troli yang penuh dengan bagasi. Banyaknya!

Wardah tumpang gembira melihat Benn memeluk pinggang abahnya tanpa segan silu. Bertahun tidak bertemu, rindu mereka pasti melangit. Amzar Mikail memang jelas terkejut dengan kehadiran Benn dan nampak dia benar-benar terharu. Mereka yang sudah meminggir dari laluan penumpang yang baru tiba berbual seketika sebelum menolak troli ke arah Wardah yang tersipu menunggu.

“Abah, kenalkan… inilah kawan Nuril yang kerja sekali di Kaustik, Wardah.” Benn yang membahasakan dirinya Nuril di kalangan ahli keluarga terus memperkenalkan Wardah tanpa berlengah lagi. Amzar Mikail yang sedari tadi melepaskan pandangan meratah ke seluruh dewan ketibaan KLIA2 yang menjadi kebanggaan tanahairnya tiba-tiba memusatkan fokus retina ke wajah seorang gadis yang tersenyum manis di hadapannya.

“Selamat pulang, abah,” sapa Wardah dengan suara paling lunak.

“Apa?” Terkelip-kelip sepasang mata Amzar Mikail memandang Benn, meminta kepastian kerana dia tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Wardah terkejut dan malu sendiri. Salahkah? Benn ikut terkejut dan mengerutkan dahi.

“Dia panggil apa?” Soal Amzar Mikail sekali lagi.

“Abah!” Mereka berdua menjawab hampir serentak dengan wajah kehairanan. Apa yang tidak kena?

I will not allow that!” Tegas Amzar Mikail sambil menjeling ke arah Benn. Dan di hadapan Wardah, dia menyambung, “call me, abang!”

Terlopong mulut mereka berdua dan Amzar Mikail sudah berlalu sambil menolak trolinya dengan wajah serius.

“Abang?” Serentak perkataan itu terlucut dari mulut kedua orang gadis itu lalu mereka ketawa tertahan-tahan.

“Mana aci! Aku pun tak ada ayah! Kenapa tak boleh panggil ‘abah’?” Soal Wardah, tidak puas hati. Mereka berlari-lari anak mengejar ‘abah’ yang sudah jauh ke depan.

Mereka singgah di restoran Melur and Thyme, kafe yang berlantaikan kayu untuk mengalas perut. Itu pun puas Benn merengek dengan abah kerana dia belum pernah makan di KLIA2. Orang lain yang bermusafir, orang lain yang kelaparan.

“Macam budak-budak!” Tempelak Amzar Mikail yang jelas keletihan selepas penerbangan yang panjang. Namun senyuman manis Wardah menjadi pemangkin untuk dia menarik nafas dan melayan kerenah dua orang gadis yang sekepala itu. Ayam Teriyaki  dan Spaghetti Olio menjadi santapan mereka berdua sementara Amzar Mikail hanya makan roti prata yang dihidang bersama sebiji pisang.

Sepanjang masa makan Amzar Mikail memaksa diri menjawab berbagai-bagai pertanyaan Benn terutama tentang kota London. Wardah yang menyedari lelaki itu sedang keletihan menjadi pendengar setia saja.

“Sudahlah tu, Benn. Macam tak ada esok! Jom kita balik dulu, nanti maghrib tengah jalan pula,” ajak Wardah apabila melihat Amzar Mikail sudah tersandar di kerusi. Makanan sudah lama habis dijamah tetapi Benn becok mengutarakan soalan.

Amzar Mikail mengangguk, “dengar tu! Layan awak punya celoteh sampai bila pun tak habis. Jom!” Benn buat muka sambil ikut bangun dari kerusi. Amzar Mikail menunggu kedua orang gadis itu berjalan terlebih dahulu tetapi Wardah tercegat tidak bergerak.

“Silakan,” pelawa Amzar Mikail tanpa nada.

“Lelakilah dulu. Orang perempuan berjalan di belakang bukan di depan. Dah balik Malaysia, kan? Tinggalkanlah budaya tu di London,” ujar Wardah dengan nada bergurau. Tertelan liur seketika, Amzar Mikail mengangguk kecil lalu melangkah tanpa suara. Benn tersengih-sengih melihat abahnya terpukul dengan bicara spontan Wardah.

Sepanjang perjalanan pulang, masing-masing diam melayan lamunan sendiri. Saat keemasan itulah, Amzar Mikail ‘berkenalan’ dengan wajah Wardah yang ditelek dari cermin pandang belakang sepuas-puasnya tanpa disedari oleh tuan punya badan.

“Benn, kalau kau free, nak minta tolong temankan aku ke KL esok malam. Boleh ke?” Soal Wardah ketika bersalaman dengan Benn selepas selamat menghantar Benn dan abahnya pulang ke rumah. Melihat adik-adik Benn riang mengerumuni abah mereka dan saling berpelukan membuatkan dada Wardah sebak. Apatah lagi bila ibu Benn, Makcik Mastura asyik mengesat tubir mata dengan hujung tangan baju kurungnya. Sebelum airmatanya tumpah, lebih baik dia beredar.

“Eh, aku boleh je. Kau nak shopping ya?” Telah Benn sambil tersenyum-senyum mengendeng. Yeayyy!

“Haah… aku nak shopping…” Sengaja Wardah mengiyakannya.

Yesss!” Benn kegirangan. Dah ajak aku, mesti belanja aku sekali. Wah! Tak sabar…

“Untuk gelandangan. Tolong aku ya!” Selamba saja Wardah memberitahu Benn seraya memboloskan dirinya ke dalam kereta semula.

“Apa? Gelandangan? Kau biar betul!” Impian Benn punah. Segera dia menerpa ke tingkap kereta Wardah yang sedang diturunkan. Gadis itu sedang sibuk membetulkan kedudukan kerusi dan cermin pandang belakang kerana tadi abah yang agak tinggi itu yang memandu. Wardah mengambil kesempatan duduk di belakang menjadi datin.

“Betullah!” Jawab Wardah, acuh tidak acuh sambil memasang tali pinggang keselamatan.

“Err… kau nak buat apa sebenarnya ni?” Benn mendesak kerana ingin tahu. Wardah ini macam-macam! Ada sahaja tindakannya yang mengejutkan saraf otak.

“Kau pun tahu, tiap-tiap rezeki yang kita dapat, sebahagiannya bukan milik kita. Tapi milik orang yang memerlukan. Jadi, aku…”

“Kan kau nak buat rumah untuk anak yatim! Itu dah kiralah tu,” Benn menggaru kepalanya yang tak gatal. Apa saja lagilah Wardah!

“Aku tahulah. Tapi malam tadi waktu aku bawa kak long ke KL beli barang, hati aku tersentuh tengok ramai gelandangan kat kaki lima waktu kami nak balik. So, aku niat nak buat kenduri untuk diaorang. Itu pun kalau kau free. Sebab yang kat rumah aku dah nak tolong aku masak dan packing, jadi mesti dah tak larat nak ikut.” Jelas Wardah satu persatu.

“Wah! Kau ni betul-betul dermawan sungguh! Okeylah, esok kau jemput aku. Kita pergi sama,” Benn memberi kata putus sambil menyimpan rasa terharu. Sebentar tadi pun, Wardah sempat memberikan sampul duit kepada setiap orang adiknya ketika mereka bersalaman. Gadis itu sangat pemurah sedangkan masa depan dia sendiri belum jelas terbentang.

“Okey, Benn. Aku jemput kau lepas isya’ ya. Lega aku. Kalau macam tu, aku balik dulu sebab banyak barang tak beli lagi ni untuk esok.” Wardah mohon permisi.

“Kenapa tak makan malam di sini dulu? Dah nak masuk waktu maghrib sekarang,” Amzar Mikail tiba-tiba bersuara. Entah bila dia tiba-tiba muncul di sebelah Benn.

“Ha? Eh, tak apalah. Masih sempat lagi ni. Saya minta diri dulu,” jawab Wardah, agak kekok kerana tidak boleh memanggilnya ‘abah’. Dan sama sekali Wardah segan untuk memanggil ‘abang’!

Akhirnya kereta Viva putih milik Wardah meninggalkan perkarangan rumah teres itu dengan hati yang lapang. Banyak perkara sudah diselesaikan. Wardah mengira-ngira sendirian. Yang penting, dia mahu membuat sebanyak-banyak kebajikan dari hadiah yang dia terima. Dan dia niatkan kiranya ada pahala dari apa yang dia lakukan, dia hadiahkan kepada kedua ayah dan ibunya serta orang yang bermurah hati memberikan hadiah wang sebanyak itu. Moga-moga orang itu dikurniakan Allah petunjuk dan hidayah agar dia benar-benar beriman ke jalan Allah. Amin.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s