KALAU AKU KAYA Bab 21

Hati Wardah melonjak gembira. Rasanya hari ini, hari yang paling gembira dalam hidupnya kerana bukan sahaja impian dia tetapi cita-cita abi dan umi yang terpendam sekian lama bakal menjadi kenyataan. Tanah seluas satu ekar itu yang dipenuhi pokok-pokok renek dan belukar mereka terokai diiringi tuan tanah, Pak Haji Karim yang merupakan kawan baik abi sejak mereka belajar di madrasah yang sama.

“Dekat hujung sana ada kolam kecil. Dulu aku bela ikan. Tapi dah dua tahun aku berhenti. Dah tak larat nak bangunkan kawasan ni. Anak-anak, semua dah bekerja. Itulah yang aku cadang nak jual pada kau je, Shuib sebab aku tau kau dah lama cari tapak untuk rumah anak yatim tu. Anak-anak aku pun dah setuju, aku bagi kau separuh harga saja beda aku nak sara diri dengan orang rumah. Sebahagian lagi tu, aku sedekah untuk anak-anak fakir miskin dalam jagaan kau tu,” demikian lafaz akad Pak Haji Karim yang baik hati.

Selepas berjanji yang mereka akan bertemu lagi esok pagi di pejabat tanah daerah Kuala Selangor, mereka pulang dengan penuh harapan agar semuanya menjadi kenyataan. Wardah sudah melukis pelan di dalam mindanya dan tidak sabar rasanya untuk mencetak dan menunjukkan pelan itu kepada abi dan umi.

“Ha, kereta Wardah siap esok. Lepas buat pembayaran, Abi hantar ke pejabat ya? Sebab janji dengan tuannya dalam jam tiga petang esok. Elok abi hantar terus pada Wardah,” beritahu abi sambil memandu keluar dari kawasan itu. Terkejut Wardah yang sedang mengukur pelan dalam fikirannya.

“Wah! Cepatnya abi! Okey jugalah sebab esok memang Wardah balik lambat. Tak perlu susahkan kak long dengan Wanie datang ambil Wardah tengah-tengah malam.” Teruja Wardah mendengarnya.

“Abi risaulah dengan kerja Wardah ni. Selalu balik lewat malam. Kalau Wardah memandu seorang diri pun bahaya juga. Apa kata kalau Wardah cari kerja kat tempat lain pula,” cadang abi untuk kesekian kalinya. Wardah terdiam lama.

“Bukan Wardah tak fikir macam tu, abi. Tapi jiwa Wardah suka sangat dengan Kaustik. Sebab Wardah suka dengan dunia perniagaan. Jadi sambil buat design, Wardah banyak membaca tentang hal-hal perniagaan. Secara tak langsung, Wardah banyak belajar,” terang Wardah bersungguh-sungguh.

Melihatkan abi dan umi diam, Wardah menyambung lagi. “Lagi pun kalau kami balik, Raymond selalu ikut dari belakang sampailah lalu depan rumah sebab rumah dia di taman sebelah saja, abi. Abi dengan umi jangan risau ya. InsyaaAllah, Wardah pandai jaga diri.”

“Yalah, kalau itu kata Wardah. Kalau perlu, pastikan Wardah panggil abi. Abi boleh jemput dengan umi ya,” akhirnya Abi Syuib mengalah.

“Kalaulah Wardah dapat jodoh di Kaustik tu, kan mudah jadinya. Kan, bang?”

“Umi!” Terjerit Wardah mendengarnya. Pecah derai tawa mereka berdua.

 

 

******

 

 

“Apa?” Hampir tersembul biji mata Zakuan mendengar kata-kata Azam. Azam mengangguk laju. Dia pun belum habis terkejut lagi.

Laporan bergambar yang dihantar melalui aplikasi whatsapp daripada Benn benar-benar mengejutkannya. Perlahan dia menyerahkan telefon bimbitnya kepada Zakuan. Di skrin terpapar teks dan gambar-gambar yang dihantar Benn. Zakuan sempat menjeling tajam ke arah Azam sambil mencapainya. Ibu jarinya menyentuh skrin dan paparan demi paparan meraih perhatiannya. Gambar budak perempuan itu bergaya dengan keretanya di kawasan parkir kenderaan Phileo Damansara. Viva saja pun! Terpakai pula.

“Kereta Viva terpakai? Entah tahun berapa ni? Dia kedekut ke apa sebenarnya?” Soal Zakuan, benar-benar tidak puas hati. Gambar-gambar itu ditatap dengan rasa tidak percaya. Sudahlah sepasang baju pun tidak berganti. Beg galas lusuh itu juga yang diusung ke hulu ke hilir. Sedikit pun penampilannya di dalam gambar-gambar itu tidak berubah dengan duit sebanyak itu? Pelik!

Kemudian gambar-gambar yang menunjukkan kawasan tanah yang sedang diuruskan jual belinya pula dipaparkan. Sepasang mata Zakuan semakin membulat. Gambar budak perempuan itu bersama lelaki yang sudah agak berusia bersama seorang lagi lelaki yang lebih berumur muncul beberapa kali di skrin. Selebihnya gambar-gambar kawasan itu dari sudut-sudut yang berbeza.

“Ini… ini apa? Kawasan tanah mana ni?” Soal Zakuan dengan kerutan di dahi.

“Kau bacalah teks di bawah tu. Benn kata, Wardah nak beli tanah tu untuk buat rumah anak yatim,” perlahan suara Azam menjelaskan dan dia seakan dapat mengagak apa yang akan berlaku seterusnya.

“Kenapa? Dia berlagak nak jadi macam orang kaya? Nak bina rumah anak yatim konon. Siap beli tanah bagai!” Zakuan menyikat rambut ke belakang dengan jemarinya seolah-olah rimas dan terganggu dengan kenyataan itu. Azam sudah mengangguk-angguk sendirian. Tepat telahannya! Telefon bimbit Azam diletakkan dengan kasar di atas meja. Cepat-cepat diambil semula oleh Azam. Blackberry kesayangannya!

“Dia nak buat amal jariah, Kuan. Biarlah…” Pujuk Azam walau pun dia sendiri masih terpinga-pinga sebenarnya dengan tindakan Wardah.

“Aku tak faham sungguh dengan budak tu. Aku ingat dia fikirkan masa depan dia, sebab tu aku hadiahkan duit tu. Tapi begini pulak jadinya.” Keluhnya tidak putus-putus. Sakit pula hatinya dengan tindakan gadis itu. Kalau orang kaya seperti dia yang bina rumah anak yatim, masuk akallah juga. Tetapi kenapa dia tak membinanya? Zakuan terkedu sendiri.

“Habislah duit dia? Dapat kereta buruk saja? Seratus ribu ringgit… dapat kereta buruk?” Suara Zakuan sarat dengan ejekan dan rasa jengkel. Azam yang sudah habis menjamah nasi kerabu kegemarannya mengangkat bahu lalu mencapai gelas minuman pula. Zakuan sudah berhenti makan sejak dia mendapat berita itu tadi. Seleranya mati.

“Kau dah berikan hadiah, dah jadi hak dia, sudahlah! Kenapa kau masih nak ambil tahu lagi?” Soal Azam yang memang sudah lama memikirkan punca semua ini berlaku. Sampai semua gerak-geri dan tindakan Wardah dipersoalkan. Apa kes?

Zakuan diam. Keadaan tidak memihak kepadanya sekali lagi. Tidak ada sesuatu yang berasas untuk dia nyatakan siapa Wardah sebenarnya di hadapan Azam. Dia kalah lagi kali ini. Bagaimana seorang gadis yang sekecil dan senaif itu, mentah dan tidak berpengalaman boleh memikirkan masa depan anak yatim yang ramai tetapi tidak diri sendiri?

“Okey. Sekarang, duit pun dah habis jadi habis ceritalah ya. Kita biarkan Wardah dengan apa sahaja tindakannya. Lagi pun, apa yang dia buat tu kerja mulia. Hasilnya dikutip sampai ke Akhirat sana. Aku pun tak suka nak mengintip bagai. Tak pernah dibuat orang! Kita tutup buku, okey?” Azam bertegas untuk capai satu kata putus. Dia benar-benar mahu menghentikan semua yang karut ini dan menjauhkan Wardah dari Zakuan.

“Nanti!”

Azam tercengang. Mau apa lagi, Zakuan? Hatinya berdrama.

“Aku nak kau pantau pembelian dan pembinaan rumah anak yatim tu. Tak kira apa cara sekali pun. Aku mahukan laporan. Lebih baik lagi, kalau kita dapat tengok tapak rumah yang dah dibeli tu.”

“Ya Allah… apa yang kau merepek ni, Kuan? Aku banyak kerjalah. Pandailah Wardah menguruskannya. Lagipun Abi Syuib yang buat semuanya bagi pihak Wardah.” Tukas Azam, tidak puas hati.

“Aku taulah kau banyak kerja. Tapi takkan dua puluh empat jam kau bekerja? Bukannya kena buat apa pun. Cari maklumat saja. Lagi pun, buatnya budak perempuan tu kena tipu, macammana? Hangus duit macam tu saja!” Zakuan bijak mencipta alasan. Azam terlopong. Kalau dah risau sangat duit tu hangus, simpan sajalah! Desis Azam, panas pula hatinya.

“Habis, sekarang aku kena kerja part-timelah?” Sindir Azam dalam menahan sabar.

“Alah kau ni! Itu pun nak berkira. Kau kan suka sangat dengan budak perempuan tu? Apa salahnya ambil tahu fasal dia?” Sergah Zakuan, menutup rahsia hati.

Ke situ pula perginya! Azam kehilangan kata.

 

*****

 

Pagi itu, Wardah tiba awal ke pejabat. Kawasan parkir kereta masih banyak yang kosong. Senang hatinya memandu kereta sendiri. Tak perlulah melangut menunggu bas yang kadang-kadang tidak tepat pada waktunya.

Setelah memerhatikan keliling yang lengang, Wardah cepat-cepat keluar dari kereta dan bergerak menuju ke lif. Lega melihat lif terbuka sebaik sahaja dia menekan butang, Wardah segera masuk lalu menekan butang untuk menutup pintu lif dengan segera. Bersendirian di kawasan parkir memang bahaya bagi kaum hawa.

Tiba-tiba pintu yang tertutup terbuka semula dan sesusuk tubuh yang tinggi dan sasa melangkah masuk. Pintu tertutup dan lif mula bergerak ke atas. Wardah yang terkejut dan berdebar-debar terngadah memandang.

“Wardah! What a surprise? You drive?

Adam!

Wardah mengangguk dengan segarit senyuman yang dipaksa-paksa.

“Entah apa tuah saya hari ni, dapat jumpa Wardah awal pagi macam ni. Terasa bersemangat nak bekerja. Wardah sihat?”

Angguk lagi. Senyum lagi. Sikit saja. Adam menatap lembut ke wajah Wardah membuatkan gadis itu semakin gelisah. Dia melangkah setapak. Wardah mengundur dua tapak. Adam melangkah setapak lagi. Wardah sudah terkurung dek dinding lif yang sempit. Tuhan! Dia semakin susah hendak bernafas.

“Cuba Wardah cium haruman perfume saya. Wangi tak?” Selamba Adam mendekat lagi sehingga jarak mereka hanya dua tiga inci sahaja. Wardah sudah tunduk rapat ke lantai. Laju dia mengangguk. Senyum lagi tapi senyum dalam ketakutan.

“Suka?”

Angguk lagi.

“Wardah pemalu sekali. Saya suka…”

Ting! Pintu lif terbuka. Wardah laju mengangkat muka yang sudah memerah. Muka mereka begitu dekat.

“Sampai jumpa lagi…” ujar Adam perlahan sambil tidak lepas menatap sepasang mata Wardah.

Wardah? Tertelan liur sendiri. Sedetik. Dua detik. Akhirnya Adam mengundur selangkah, memberi ruang untuk Wardah keluar.

Dan gadis itu bergegas keluar tanpa pamitan lagi. Dia buru-buru menarik nafas kerana sebentar tadi, dia kelemasan!

Adam memang gila! Kecut hati perut segala. Dan… ouch!

Sorry!” Wardah terjerit bila dia terlanggar seseorang di pintu masuk ke pejabatnya.

“Wardah!”

“Encik Azam!” Wardah yang terdongak bertambah terkejut.

“Kenapa Wardah macam orang ternampak hantu?” Berkerut dahi Azam melihat wajah Wardah yang cemberut dan pucat.

“Err… memang ada hantu!” Jawab Wardah sambil tunduk dan bergegas pergi. Azam terperanjat dengan jawapan gadis itu lalu terdongak dan dia melihat pintu lif yang sedang tertutup. Adam? Hantu?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s