Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 20

KAK cover copy

Kafe syarikat itu agak riuh kerana waktu makan petang sudah tiba. Ketika Zakuan melangkahkan kaki masuk bersama Azam, beberapa pasang mata tertancap ke arah mereka. Azam mengangkat tangan. Dia cuma mengangkat muka dan tersenyum sedikit kepada semua yang ada yang kebanyakannya tidak mengenalinya kecuali beberapa orang sahaja kerana dia jarang ke sini.

Kafe Kaustik yang berdinding kaca itu menembusi ke sebelah sana bangunan. Menjadi penyambung untuk ke taman rekreasi. Mereka mengambil tempat di sebelah luar dinding kaca sana di bahagian tepi sekali yang dekat dengan permandangan yang indah di taman rekreasi Phileo Damansara yang lengkap dengan kolam buatan dan air pancut. Itu sahaja antara kedamaian yang boleh dicipta manusia di tengah kota batu ini.

“Kenapa tak nak jumpa di pejabat saja?” Soal Azam yang agak pelik bila Zakuan memilih untuk berjumpa di kafe sahaja.

“Saja. Aku bosan. Nak minum kopi di sini. Salah?” Tergelak Azam mendengarnya. Pelik sungguh. Sudah bertahun Kaustik di sini, baru dua kali Zakuan menjengah. Itu pun atas urusan rasmi. Tapi kali ini dia beriya-iya berminat dengan Kaustik. Biasanya dia jarang mahu terlibat sebaliknya menyerahkan bulat-bulat pada Azam dan tim.

Azam terperasankan sesuatu. Di belakang Zakuan, ada Wardah dan Benn bersama Raymond dan tim grafik yang kesemuanya akan bekerja lewat hari itu. Mereka sedang asyik berbual sehingga tidak perasan kehadirannya di situ. Azam mengeluh perlahan. Zakuan yang bosan bertemu Wardah yang manis bukan satu perkara yang baik, desis hatinya.

Azam memanggil pelayan dan membuat pesanan. Jauh di sudut hatinya, dia mahu mereka cepat selesai dan beredar dari situ sebelum Zakuan sedar kehadiran Wardah yang begitu dekat dengannya. Dia menyerahkan salinan draf untuk majalah sisipan yang sudah dirombak sepenuhnya dengan rasa agak cemas kerana dia tidak pasti samada Zakuan akan bersetuju dengan hasil rombakan itu.

Semakin lama semakin ramai staf Kaustik yang melangkah masuk ke kafe itu untuk minum petang. Hari ini antara hari yang panjang kerana ada beberapa seksyen akhbar itu akan diselesaikan mengikut jadual. Zakuan dan Azam tenggelam dalam perbincangan mereka tanpa menghiraukan gelagat orang di sekeliling.

Tiba-tiba seorang staf lelaki melangkah masuk sendirian dan terus ke kaunter. Dia memandang keliling sehingga retinanya tertancap ke susuk tubuh orang yang dicari. Segarit senyum muncul di bibirnya. Lantas dia memesan sesuatu lalu kemudiannya membawa dulang ke luar, ke meja di belakang Zakuan.

“Assalamualaikum. Hai semua….” Sapanya mesra sambil menarik kerusi yang kosong di meja lain lalu mencelah di antara Wardah dan Benn. Kelam kabut gadis itu menganjakkan kerusinya supaya mereka tidak duduk terlalu dekat. Sekaligus membuatkan dia semakin dekat dengan Zakuan.

Salam dan sapaannya dijawab silih berganti. Ada yang tergelak-gelak kerana faham maksud lelaki itu yang sengaja duduk bersama mereka tanpa diundang.

“Wah… semua ada di sini, tengah brainstorm idea ke ni?” Ujar lelaki itu apabila menyedari semua yang ada di situ dari tim grafik.

“Tak adalah. Teks banyak belum masuk. Kebanyakannya dah lewat baru masuk. Sekarang minum dululah,” jawab Raymond sambil mengeluh.

“Bestlah kerja korang. Tak macam aku. Masuk office stress. Keluar jumpa pelanggan lagi stress. Balik rumah pun stress. Tak boleh lupakan hal pejabat. Tambah sekarang banyak majalah baru, lagi susah nak dapat pengiklan. Aduh, pening!” Keluh lelaki itu, jelas di pendengaran Zakuan yang sedang meneliti kertas yang sarat dengan aksara di tangannya. Sedikit sebanyak kehadiran lelaki itu agak menganggu konsentrasinya. Sesekali dia menjeling ke belakang dengan ekor mata.

“Cool la, Adam. Asyik stress je, cepat tua tau. Kenapa hal kerja sampai bawa ke rumah? Cuba take it easy sikit.” Bukan main si Benn memberi nasihat. Raymond buat muka. Mata Wardah sudah berputar memandang langit.

“Lepas ni, kalau kau stress bila buat design, jangan menjerit tau. Belajar macam mana nak…”

“Take it easy!” Kata-kata Raymond disambut hampir serentak oleh semua yang ada. Mereka ketawa suka hati bila dapat mengenakan Benn. Tapi dia hanya ikut ketawa selamba.

“Kalau nak cool, belajar dari Wardah… kerja overloaded macammana pun, cool saja,” sambung Fauzi pula.

Wardah? Pergerakan Zakuan terhenti. Pendengarannya difokuskan apabila nama itu disebut.

“Betul? Wardah is a cool girl? Hmm… apa rahsianya, kongsilah please…” Adam mula membuka topik demi untuk mendengar gadis itu bersuara.

“Haa… aku kalau stress sangat, kau tahu apa aku buat?” Pintas Adam pula.

“Manalah aku tau!” Tempelak Raymond. Terhambur lagi tawa semua.

“Aku menggilap. Habis rumah tu aku cuci. Aku gilap. Daripada Harley aku sampailah ke bilik air. Siap boleh tidur lagi dalam bilik air tu, berkilat!” Jawab Adam pula.

“Wah! Untung besarlah isteri engkau nanti. Kalau aku jadi isteri kau, setiap hari aku bikin kau stress,” Benn ketawa besar, disambut oleh yang lain. Adam mendengus marah. Cepat-cepat dia beralih ke arah Wardah yang ikut tertawa kecil.

“Kongsilah, Arda. Macammana kau elakkan stress? Kesian kat aku…” Pujuk Adam lagi tanpa mempedulikan dirinya yang sedang diketawakan.

Arda? Berdenyut hatinya bila lelaki itu menyebut manja nama timangan Wardah. Zakuan mengalih duduknya. Ekor matanya meliar ke belakang.

“Kita kan solat?” Jawab Wardah, sepatah. Terdiam semua orang mendengarnya. Termasuk Zakuan. Suara gadis itu bagaikan bergema menguasai dirinya. Lembut, halus dan menyakinkan.

“Haah… kau solat ke tak ni?” Tebak Benn lagi, tak sudah-sudah mengenakan Adam. Mereka tersenyum-senyum melihat Adam terkulat-kulat.

“Aku solatlah. Memanglah kadang-kadang tak penuh tapi aku solat. Tapi macammana nak hilangkan stress dengan solat? Maksud kau, masa solat ke? Memanglah masa solat tak stress. Tapi lepas solat, stress balik!” Keluh Adam, kurang mengerti.

“Bila solat, kita dilatih untuk buat mental block. Kita asingkan diri dari dunia. Kita bawa diri ke hadapan Tuhan, kan? Itulah sebenarnya latihan untuk akal dan hati kita. Bila kita buat sesuatu perkara, kita mesti fokus dan tak campur aduk dengan perkara yang lain. Barulah setiap sesuatu yang kita kerjakan tu akan berjaya dan berkesan. Kalau kita campur aduk, memang hasilnya tak sebaik mana. Kadang-kadang menambah tekanan lagi. Jadi, kalau kita latih diri fokus dalam solat, di luar solat pun kita dapat fokus dalam sesuatu perkara.” Jelas patah-patah perkataan itu singgah ke pendengaran Zakuan yang mengikuti perbualan mereka dalam diam. Termanggu dia seketika dengan jawapan di luar jangkaan itu.

“Seperti dalam solat, kita tinggalkan dunia dan mengadap Tuhan. Bila kita masuk rumah, kita tinggalkan hal pejabat di luar rumah dan beri perhatian pada yang ada di rumah. Anak isteri contohnya. Jadi di rumah, kita dapat berikan tumpuan atau rehat sepenuhnya. Nanti bila tiba ke pejabat, kita boleh bekerja dengan lebih baik sebab dah cukup rehat, betul tak?” Tambah Wardah lagi. Semua terangguk-angguk mengiyakan.

“Betullah, Arda! Aku tak pernah terfikir pun macam tu… teori yang sangat bagus!” Seru Adam berlebih-lebih.

“Teori, kau kata? Itu praktikallah Adam!” Tukas Fauzi sambil tergelak-gelak. Hendak mengorat punya fasal, otak pun boleh jadi blurr.

“Wardah, jomlah. Kita dah lama kat sini. Boss kat sebelah!” Bisik Benn yang menyedari Encik Azam muncul entah bila di meja sebelah. Wardah terperanjat. Memang mereka dah ambil banyak masa di luar hari ini daripada bekerja. Cepat dia mengangguk lalu bangun untuk beredar.

“Okeylah, Fauzi, Raymond, korang layan stress Adam ya. Kami nak naik dah…” Sempat Benn menyindir si Adam. Namun lelaki yang bermuka tebal itu hanya tersenyum manis kepada Wardah yang sudah bangun berdiri memohon permisi. Bingkas Adam menarikkan kerusi untuknya mempersilakan dia pergi. Tidak cukup dengan itu, pintu kaca juga dibuka untuk Wardah dan dia melepaskan pintu itu saat Benn melaluinya. Mujur gadis itu cepat bertindak sambil menjeling maut kepada si Adam yang tersengih berdiri di situ, melihat gadis pujaannya berlalu.

“Siapa lelaki tu?” Soal Zakuan tiba-tiba. Azam yang ikut membaca draf yang dibawanya mengangkat muka dan ternampak Adam yang masih tercegat berdiri di pintu kaca menghantar Wardah pergi dengan pandangannya. Azam menggeleng-gelengkan kepala.

“Adam. Malam tu, yang berpasangan dengan Wardah, kau ingat tak?”

“Oh…” Jawab Zakuan, sepatah.

“Macam sedang memburu saja…” Telah Zakuan lagi. Dia mencapai muk yang berisi kopi pekat yang masih berasap lalu disua ke bibir sendiri. Menambah rasa panas yang entah kenapa meluap di hati. Namun retinanya masih tertancap ke arah gadis yang sudah melangkah jauh itu. Dia hanya berbaju kurung dari kain kapas berwarna kuning dengan taburan bunga-bunga kecil. Mudah gayanya. Manis. Asli.

“Hmm… sejak putus tunang dua bulan lepas, dia asyik mengacau si Wardah. Kesian Wardah. Nampak dia rimas. Dia bukan gadis yang suka dipuja puji.” Sempat Azam menyindir. Zakuan menjeling sekilas kemudian kembali memusatkan pemerhatiannya ke arah Wardah sehingga gadis itu hilang dari pandangan. Namun kata-katanya tadi bagaikan tertinggal kekal di hati. Kekal mengusik mindanya juga. Sebijak itu dia mengawal stress dan sebegitu berdisiplin apabila dia bersolat? Itu bukan sembarangan!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s