Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 5

GUARDIAN ANGEL cover copy

Noura dibawa ke biliknya. Hasyimah duduk di birai katil bersama Noura yang dipeluk bahunya sejak tadi. Gadis itu sudah berhenti menangis. Tunduk diam tidak berkutik. Namun jemari di ribanya diramas-ramas gelisah. Hasyimah melepaskan bahu Noura dan meraup tangan di riba itu ke dalam genggamannya.

“Noura jangan risau, ya. Makcik jaga Noura di sini. Makcik minta maaf tinggalkan Noura sekejap tadi. Makcik nak cuba tudung saja. Noura marah dengan makcik ke?”

Laju Noura menggelengkan kepala. Sepasang matanya memandang Hasyimah dengan pandangan yang sayu. Kepala gadis itu diusap lembut. Sebak hati Hasyimah melihat keadaannya.

“Noura rehat dulu, makcik nak ambilkan air. Mari makcik bukakan tudung ni,” pinta Hasyimah. Dia mahu Noura merasa selesa. Namun gadis itu menggelengkan kepala.

“Tak nak buka?”

Geleng lagi.

“Okey, Noura baring dulu. Kejap lagi makcik datang temankan Noura ya,” pujuk Hasyimah lagi.

Angguk.

Hasyimah bangun berdiri sambil memaut bahu Noura agar dia berbaring di bantal. Gadis itu diam menurut saja. Dia yang berbaring mengadap jendela yang terbuka hanya memandang kosong entah ke mana. Kedua tangannya dirapatkan dan diletakkan di bawah pipi. Bimbang sungguh hati tua Hasyimah melihat keadaan gadis itu.

Suami dan anak lelakinya sedang berbual di ruang tamu. Kelihatan Syifa sedang nyenyak tidur di atas tilam kecilnya yang diletakkan di atas sofa. Syukurlah dia tak meragam dalam keadaan begini.

“Macam mana dengan Noura, mak?” Soal Sufyan sebaik saja Hasyimah melabuhkan punggung duduk bertentangan dengan mereka.

“Dia diam je. Baring kat bilik. Apa sebenarnya berlaku ni, Suf?” Soal Hasyimah, tidak sabar hendak mengetahui siapa sebenarnya gadis itu.

“Beritahu mak apa yang Suf cerita pada ayah tadi. Ini bukan perkara kecil yang boleh dibuat main-main,” Hamdan bersuara tegas sambil merenung jauh melewati pintu utama yang masih terbuka. Dia bersandar di sofa sambil berpeluk tubuh.

“Mak, Suf kenal Noura masa bawak Fina dapatkan rawatan di Darul Sakinah. Suf banyak berbual dengan umi dan abi dia. Doktor sahkan dia mengidap PTSD. Posttraumatic Stress Disorder, maksudnya emosi bercelaru yang berpanjangan. Dia alami hyperarousal mak, ayah… mudah terkejut dan resah kalau ada orang ramai, susah nak tidur, cepat marah dan jadi murung. Dia dah hampir sembuh lepas dapat rawatan di Darul Sakinah. Cuma tadi tu, dia dah lama tak keluar rumah rasanya. Itu yang dia jadi takut bila mak tak ada, orang pula agak ramai…”

“Apa yang berlaku sampai dia jadi macam ni?” Rasa ingin tahu membuak-buak di dalam hati Hasyimah.

Sufyan membuka mulut untuk menjawab tetapi tidak ada perkataan yang melewati bibirnya. Akhirnya dia jatuhkan kepala, menekur lantai.

“Suf?”

“Suf tak tahu, mak…” Jawabnya, perlahan.

“Kau tak tahu apa-apa fasal dia, lagi kau nak pinang jadikan isteri? Tak dapat jadi isteri, kau bawak dia balik rumah? Apa yang kau buat ni, Suf? Nanti kalau bertambah teruk lagi, macam mana?” Hamdan bersuara tegas. Memanglah dia turut simpati tetapi dia hairan kenapa Sufyan melibatkan diri. Biarlah gadis itu selamat dalam jagaan emak dan ayahnya.

“Dia… dia takutkan lelaki, ayah. Suf nak tolong dia. Nak bantu dia atasi phobia. Lagi pun dia baik orangnya, ayah.” Dalam serba-salah, Sufyan membuka sedikit cerita.

“Habis, dengan kau dia tak takut?”

“Dia takut juga, yah. Tapi mungkin Suf pakai songkok macam ustaz-ustaz di Darul Sakinah. Jadi dia boleh terima. Dia dah biasa dirawat oleh ustaz-ustaz tu yang semuanya bersongkok.”

“Suf nak tolong macam mana? Suf dengan dia bukan mahram,” Hasyimah mengingatkan anaknya. Apakah Sufyan jatuh hati dengan Noura sehingga dia sanggup mahu memperisterikan gadis itu walaupun tahu yang dia sedang sakit? Naluri yang berdetik dalam hatinya tambah meresahkan. Bukan dia tidak simpati pada gadis itu yang dirasakan bagai anak sendiri tetapi perlukah Sufyan mengorbankan masa depannya. Sufyan sajalah satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Harapannya menggunung untuk melihat Sufyan hidup bahagia membina rumahtangga. Bukan menangung beban dengan mengahwini seorang isteri yang sakit dan bermasalah.

MasyaAllah! Astaghfirullah… Hasyimah beristighfar di dalam hati. Memang tak baik dia berfikir begitu. Tapi ya Allah, bagaimana kalau Noura tak sembuh-sembuh?

“Suf tahu, mak. Sebab tu, Suf nak kahwin dengan dia. Suf nak jaga dia. Suf yakin, kalau dia dah bersuami, keyakinan diri dia akan pulih perlahan-lahan. Suf yakin, mak… ayah…” Dia terngadah mohon pengertian.

“Suf nak kahwin dengan dia kerana simpati?” Soal Hamdan sekali lagi. Itu bukan alasan yang baik untuk membina rumahtangga. Bimbang kalau rasa simpati itu pudar bila keadaan tidak berubah.

“Suf nak kahwin kerana Allah, ayah.” Tegas jawapan Sufyan mengejutkannya. Jawapan yang sukar untuk dipersoalkan lagi.

“Mak, Suf keluar belikan makanan dulu ya. Nanti lepas solat, baru Suf pergi ke rumah Noura.” Hasyimah mengangguk. Mengalah. Sufyan bukan seorang yang lemah. Dia tahu, jiwa anaknya cukup kuat selepas apa yang menimpa keluarga mereka baru-baru ini.

Nota: Jika ingin memiliki mini novel ini dalam bentuk enovel format pdf, whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com. Selamat datang ke dunia tanpa kertas.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s