Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 19

KAK cover copy

Zakuan masih mundar-mandir di bilik pejabatnya. Perutnya terasa lapar tetapi seleranya hilang mengenangkan atuk yang sedang bertemu Wardah dan temannya. Ya, atuk bertindak terlalu cepat, mendesak mahu meluangkan masa dengan mereka di bilik pejabat kerana dia merasa bersalah membuatkan tetamunya tertunggu-tunggu. Sambil menjeling kehairanan ke arah Zakuan, atuk melangkah mengiringi dua orang gadis manis itu meninggalkan Zakuan yang akhirnya tercegat tanpa kata.

Habislah aku! Keluh Zakuan berkali-kali. Seratus ribu ringgit! Apa aku dah buat ni? Dia terkial-kial memikirkan tindakannya yang melulu itu. Jarang dia bertindak tanpa memikirkan masak-masak terutamanya bila melibatkan soal wang!

Daun pintu yang terkuak menyentak Zakuan yang sedang berdiri di tengah-tengah biliknya. Atuk muncul dengan wajah ketat lalu duduk di sofa tanpa dipelawa. Sepasang matanya memandang Zakuan dengan pandangan yang amat tajam. Habis! Bisik hati Zakuan.

“Apa yang Kuan dah buat ni? Apa tujuan Kuan? Tak habis-habis nak mainkan perempuan lagi?” Soal atuk bertubi-tubi. Zakuan tercengang. Kenapa sampai ke situ jadinya? Laju dia melangkah menuju ke sofa lalu duduk di sebelah kanan atuk. Sementara mindanya ligat mencari alasan.

“Apa maksud atuk ni? Kuan… Kuan tak faham!” Soalnya kembali, cuba mengagak apa yang atuk tahu dari dua orang gadis itu sebenarnya.

“Jangan berlakon, Kuan! Sebab tu Kuan sengaja bawa atuk ke bilik mesyuarat, kan? Nak elakkan rahsia Kuan terbongkar! Seratus ribu ringgit! Jumlah tu terlalu besar untuk jadi hadiah khidmat cemerlang. Atuk dah check dengan Azam. Dia berterus-terang, cek itu bukan dari Kaustik. Tapi dari Kuan!” Tekan atuk lagi dengan wajah tegang. Dia yang tadi memandang tepat ke arah Zakuan memalingkan wajahnya tanda dia sangat marah.

“Err… Azam tak beritahu siapa dia ke atuk?” Zakuan memberanikan diri, buat-buat bertanya.

“Siapa dia? Budak perempuan tu? Staf Kaustiklah! Budak tu baik, Kuan. Kuan nak buat apa sebenarnya dengan dia? Kuan jangan nak apa-apakan dia pulak!” Bulat sepasang mata Zakuan terkejut disergah atuk.

“Eh! Apa atuk cakap ni! Apa Kuan nak buat dengan dia?”

“Habis tu? Bagi duit sebanyak tu untuk apa? Nak perangkap dia? Bukan atuk tak tau perangai Kuan. Suka mainkan perempuan. Daripada habiskan duit buat dosa, lebih baik kahwin saja! Budak tu pun baik orangnya, manis sangat. Nek kau mesti suka!”

“Apa yang atuk merepek ni!” Zakuan terperanjat. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.

“Dah tu? Nak membazir duit sebanyak tu sia-sia saja? Tak ada maksud apa-apa? Mustahil! Rasa hati atuk… atuk nak masuk meminang budak tu sebelum kamu apa-apakan dia!” Tegas suara atuk menyeramkan Zakuan.

“Jangan! Jangan merepek tuk! Sebenarnya… sebenarnya… ha! Dia yatim piatu, tuk! Dia dibesarkan di rumah yatim piatu. Jadi… maksud Zakuan… duit tu… ha! Duit tu untuk rumah anak yatim tu, tuk! Bukan untuk dia… tapi dah tersalah faham… entah macam mana jadi macam ni…” Zakuan menghela nafas tak keruan. Puas dia berputar belit supaya dia dapat melepaskan diri dari rancangan atuk yang tak masuk akal itu!

“Kalau untuk rumah anak yatim tu, pergi serahkan ke rumah anak yatimlah. Kenapa diberikan pada dia sebagai hadiah?” Sergah atuk lagi, tidak puas hati.

“Itulah Azam ni! Lain orang cakap, lain yang dibuatnya, tuk!” Wah! Bukan main seronok Zakuan dapat melepaskan diri dan meletakkan kesalahan itu pada Azam. Padan muka dia! Siapa suruh lurus bendul beritahu atuk! Zakuan gelak jahat di dalam hati. Atuk pandang dengan muka yang masam mencuka. Cucunya dijeling tajam. Kecut juga perut Zakuan melihat jelingan atuk..

“Habis tu, nak buat macam mana sekarang? Takkan nak ambil semula dari dia? Dah kenapa kamu dengan Azam ni? Dah besar panjang, masing-masing dah matang, boleh salah faham sampai macam ni?” Marah atuk belum sudah lagi rupanya. Zakuan buat muka sedih.

“Dah rezeki dialah kalau macam tu, tuk!”

“Mudahnya kamu cakap! It’s a hundred thousand ringgit, Zakuan! There’s a lot of money. Sebelum jadi apa-apa pada budak perempuan tu, lebih baik kamu kawin.” Ketegasan pada suara atuk buat wajah Zakuan berubah pucat. Belum sempat Zakuan berkata apa-apa, atuk bingkas bangun menuju ke pintu.

“Atuk!” Zakuan menerpa laju.

“I mean it, Kuan. And she’s worth the money!”

“Atuk!”

Atuk sudah hilang di balik daun pintu.

****

“Wah, sejak kau jumpa Tan Sri tadi, bukan main happy lagi ya. Mekar bak bunga matahari.” Omel Benn sebelum menyuap nasi kandar kegemarannya ke mulut. Kemudian mulut becok itu sibuk mengunyah sambil retinanya masih tertancap ke wajah Wardah yang sudah tersedak-sedak dengan kata-katanya. Mereka baru saja pulang dari pejabat Tan Sri menaiki LRT. Kemudian hampir sejam juga menunggu giliran mendapatkan teksi dan terpaksa meredah kesesakan lalu lintas waktu puncak. Mujur mereka sudah mendapat keizinan untuk masuk lambat hari ini. Dan untuk meraikan rezeki yang terpijak, Wardah belanja nasi kandar! Letih dan lapar membuatkan mereka laju saja melangkah ke restoran nasi kandar yang memang menjadi pilihan ramai di Phileo Damansara.

“Kau ni, Benn! Sejak bila pandai berbahasa puitis ni? Terkejut aku!” Ujar Wardah dengan suara yang tersekat-sekat dek kerana tersedak tadi. Berona mukanya. Malu pula tersedak-sedak di restoran yang begitu ramai pengunjung bila tiba waktu makan tengahari. Mujur mereka mendapat tempat di bahagian tepi dinding.

“Kau jangan tak tau, aku ni serba boleh!” Benn masuk bakul angkat sendiri.

“Kau ingat tak lagu yang…”

“Kalau aku kaya?” Tebak Benn. Tepat.

“Haa… entah macam mana, tiba-tiba aku jadi kaya. Aku pun susah nak percaya. Tapi kan Benn, aku jadi bingung dibuatnya. Tadi Tan Sri call Encik Azam. Lepas tu, Tan Sri kata hadiah tu dari seorang dermawan atas nama syarikat. Maksudnya, dari seseoranglah kan? Dan orang tu bukan Tan Sri? Aku nak tanya tapi seganlah pulak!” Wardah masih tidak puas hati lagi. Sudah sepanjang jalan Benn mendengar persoalan yang sama.

“Sudahlah, Arda! Dah memang rezeki kau. Tak payahlah kau cari siapa orangnya. Yang penting, kau fikir apa nak buat dengan duit tu!” Tukas Benn lagi. Susah sangat, bagi aku! Benn tersengih dalam hati.

“Hmm… aku dah bincang dengan abi dan umi. Hari ni aku nak beli kereta dan uruskan hal nak beli tanah. Macam tak percaya, kan?”

“Perghh… terus nak beli kereta dan tanah! Macam petik jari je kan? Tiba-tiba kau jadi kaya! Mana pernah orang dapat hadiah sebanyak tu untuk khidmat cemerlang. Siapalah dermawan bertuah… eh, kalaulah kau kenal dengan dermawan tu, apa kau nak buat? ” Tiba-tiba Benn bertanya.

“Aku? Aku… aku nak kahwin dengan dia.” Jawab Wardah, selamba.

Tiba-tiba orang yang duduk di belakang Wardah terbatuk-batuk dengan teruk sekali. Laju Wardah menekup mulutnya dan matanya membulat memandang Benn.

“Eh, dia tersedak sebab dengar apa aku cakap ke?” Bisik Wardah di sebalik tapak tangannya sambil mendekatkan mukanya dengan Benn. Tergelak besar Benn dibuatnya.

Wardah yang membelakangkan lelaki itu cuba melihat orangnya tetapi dia tertunduk-tunduk kerana masih terbatuk-batuk menghilangkan sedaknya sambil mengelap bajunya dengan sapu tangan. Wajah Benn dipandang semula dengan wajah cemas.

“Itulah kau! Berangan nak kahwin dengan orang kaya sampai tak kira tempat!” Tempelak Benn sambil ketawa terkekek-kekek.

“Syhhh!” Wardah mengerut muka tanda marah.

“Tahu pun malu!” Cebik Benn sambil menyambung makannya yang terhenti. Wardah menjeling tajam lalu berpaling lagi ke belakang, cuba melihat lelaki itu sekali lagi tetapi dia sudah menghilangkan diri meninggalkan minumannya yang belum habis diminum.

Wardah jadi lega lalu menyambung makan. Mujur orang itu membelakanginya. Malu kalau dia kenal Wardah nanti! Tidak lama selepas itu, mereka beredar dari restoran itu.

Di pintu masuk, Wardah hampir terlanggar seseorang. Encik Azam!

“Eh, Encik Azam baru nak makan ke?”

“Ya. Wardah dengan Benn dah makan? Tak tunggu saya?” Usik Encik Azam sambil tersenyum manis.

“Err… kami tak tau Encik Azam nak ke sini. Kalau tak, apa salahnya.” Laju saja Benn menjawab.

“Encik Azam makan seorang saja?” Soal Wardah pula.

“Ada kawan saya dah menunggu… saya masuk dulu!” Encik Azam berlalu dan kepala kedua gadis itu ikut berpusing ke arah yang sama. Di sana, lelaki cina yang mereka temui di pejabat Tan Sri tadi sedang berdiri di kerusi di belakang kerusi yang baru saja diduduki Wardah! Wardah terlopong. Lama.

*****

Zakuan tercegat berdiri di meja sebaik saja keluar dari bilik air mencuci pakaiannya yang berwarna kemerah-merahan dek semburan air tembikai tadi. Dua kerusi di meja di hadapannya sudah kosong. Mujur mereka sudah beredar. Bertuah punya Wardah! Bukan main terkejut dia apabila terdengar kata-kata gadis itu tadi. Kahwin! Atuk pun sebut kahwin. Gila!

Memang perempuan ni kaki berangan sampai tak tahu malu! Ada hati nak kahwin dengan aku? Zakuan merungut di dalam hati sambil melemparkan pandangan keluar restoran. Pandangannya terpaku di situ, bersabung dengan pandangan Wardah yang tercegat berdiri selepas bercakap dengan Azam. Jantung Zakuan berdenyut seketika. Dan Wardah cepat-cepat berlalu, mengheret lengan kawannya sekali. Zakuan tersengih sinis bercampur geram. Tahu pun malu!

Kalau berangan, bukan main hendak belikan orang itu dan ini. Mahu bantu orang, kononnya! Tetapi bila duit jatuh ke tangan, semuanya untuk diri sendiri. Kereta dan rumah! Bukan main lagi dia. Macammana dia hendak membuka mata Azam untuk melihat siapa gadis itu yang sebenarnya? Zakuan melurut rambutnya ke belakang. Menghela nafas kasar. Macam itu atuk kata baik? Rupanya perempuan sama saja. Pentingkan diri!

Azam yang baru tiba berkerut dahi melihat kemeja putih bersih yang dipakai Zakuan kemerah-merahan di bahagian dada. Terdongak dia memandang dan bertanya dengan anak mata. Zakuan sekadar menjeling lalu menghempaskan punggung ke kerusi, mengambil tempat bertentangan dengan Azam. Malas dia hendak memperpanjangkan cerita. Nanti Azam pasti akan mengetawakannya. Lagi pun perutnya sudah terlalu lapar. Cepat dia memanggil pelayan yang sedang sibuk ke sana ke mari menjalankan tugas.

“Apa yang kau cakap dengan atuk?” Soal Zakuan tiba-tiba sebaik saja pesanan dibuat.

“The truth.”

“Mudah je kau, ya! Masak aku kena marah dengan atuk. Lebih parah lagi, atuk tiba-tiba nak kahwinkan aku dengan perempuan tu!” Berhamburan marah Zakuan.

Kahwin? Azam sentap. Oh, tidak! Minta dijauhkan. Wajah Azam kelat tiba-tiba.

“Habis tu, kau setuju?” Soalannya diiringi degupan jantung yang sangat tidak normal.

“Kau gila?” Bentak Zakuan. Sepasang anak matanya berputar memandang silling.

Selamat! Namun Azam hanya tersengih.

Mereka makan tengahari dalam senyap. Azam membiarkan marah Zakuan reda dahulu. Kemudian perlahan-lahan dia membuka topik tentang majalah sisipan. Azam mengajak Zakuan ke pejabatnya untuk melihat draf awal isi kandungan majalah itu. Zakuan minta ditangguhkan ke petang nanti kerana dia perlu balik menukar pakaian. Mana mungkin dia ke pejabat dengan baju yang begitu. Menyebut fasal baju mengundang senyum di bibir Azam dan rasa marah kembali berkocak di hati Zakuan. Wajah Wardah kembali mengacah di ruang mata mereka.

Dia memandu pulang selepas selesai makan tengahari. Fikirannya masih menerawang kepada gadis yang pernah berada dipangkuan dan terlena di bilik tidur di rumah atuk…

Entah kenapa gadis itu menganggu fikirannya. Ada sesuatu pada gadis itu yang membuatkan dia tidak lekang dari hati dan fikirannya. Siapa dia sebenarnya?

Bagaimana seorang yatim piatu boleh berangan sejauh itu? Nak kahwin orang kaya! Ingin berniaga konon. Senyuman kecil muncul di hujung bibir Zakuan. Apa agaknya yang dia faham tentang berniaga? Dapat duit saja bukan hendak fikirkan pelaburan atau dijadikan modal untuk berniaga. Sebaliknya terus beli kereta dan rumah! Memang dia tidak boleh dipercayai. Nampaknya perangkap yang dipasang sudah mengena. Walaupun dia kehilangan sejumlah wang tapi dia sangat puas hati.

Bukan sesuatu yang aneh bila Zakuan membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk perempuan. Dia teringatkan jambangan mawar putih yang tiba di pejabatnya pagi tadi. Jemari di stering menari, mencipta rentak. Adakalanya pelaburannya menguntungkan. Namun adakalanya membuat dia runsing. Seperti Farah Ain yang masih belum jemu memburunya. Senyuman kecil tersungging di hujung bibir. Gadis itu cantik… tapi membosankan. Cantik… tapi terlalu biasa. Sukakan pujian, hadiah melimpah, dibawa ke hulu dan ke hilir, bangga dipertontonkan malah ucapan cinta dan sayang asyik bermain di bibir. Namun mengapa tiada di antara kata-kata itu yang singgah di hatinya?

Akhirnya dia jemu. Maka Farah Ain ditinggalkan. Sekarang dia rimas pula kerana gadis itu asyik menganggunya, menagih perhatian dan cinta. Hah! Macamlah aku ada masa untuk itu semua, desis hati Zakuan.

Farah Ain tiada bezanya dengan gadis lain yang pernah ditemuinya. Melainkan dengan gadis itu! Gadis yang berangan mahu jadi kaya tetapi dengan cara yang berbeza. Dia tidak merengek, tidak merayu, tidak berpeleseran tetapi seperti menabur umpan dari jauh. Permainannya sukar ditelah.

Dapat duit saja, terus fikirkan rumah dan kereta. Bukan aksesori atau pakaian. Bukan membeli-belah atau bercuti ke mana-mana. Bukankah dia pelik?

Zakuan menjeling jam di pergelangan tangan. Dia perlu cepat kembali ke pejabat. Kerana petang ini dia mahu ke Kaustik pula. Sejak Kaustik ditubuhkan, baru dua kali dia menjejakkan kaki ke pejabat itu untuk berjumpa Azam.

Entah kenapa kali ini mudah saja dia membuat temujanji di sana. Di Kaustik. Kerana di situ ada Wardah, bisik hati kecilnya yang paling dalam.

Ah! Gila! Dengus Zakuan, menidakkan apa yang terlintas di hatinya. Kahwin? Tak masuk akal!

Terima kasih sudi baca. Harap sudi komen juga!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s