Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 4

GUARDIAN ANGEL cover copy

Seorang bayi yang cerah kemerah-merahan, tembam dan teramat comel mendarat ke ribaan Noura tanpa sempat dia mempersiapkan diri untuk menjadi seorang ibu. Jangankan seorang ibu, untuk menjadi seorang isteri pun dia belum sanggup. Namun takdir tertulis bayi yang terkelip-kelip memandangnya dengan sepasang anak mata hitam yang besar itu bakal berada dalam jagaannya. Bibir tipis yang basah memerah itu mengorak senyum mempamerkan gigi yang tiada. Hanya bayi yang comel waktu tidak ada gigi!

Noura yang terkaku, kekok dan kaget itu terhela nafas menatap senyuman yang amat manis yang menimbulkan rasa geram. Serentak itu, bibirnya juga yang sejak tadi diketap rapat mengorak senyuman. Lebar. Comelnya dia! Hatinya berbisik teruja.

“Alhamdulillah, nampaknya dia suka dengan kamu, Noura!” Hasyimah merasa lega. Sejak melihat Noura di kedai kasut tadi, hatinya berkata-kata apakah gadis yang berselubung hitam itu suka dengan bayi? Wajahnya mendung dan banyak termenung. Bila ditanya, hanya dijawab sepatah-sepatah.

“Macam mana mak?” Sufyan yang agak terlambat kerana mengikuti kereta ayahnya dari belakang masuk ke dalam rumah dan terus melangkah ke arah sofa di mana mak dan ayahnya berbual dengan Noura.

“Mak rasa Syifa sukakan Noura, Suf!” Jari telunjuk Noura kini digenggam erat tangan kecil yang gebu berisi itu.

“Alhamdulillah… harap-harap serasi bersama nanti. Mak, Suf tunjukkan bilik pada Noura dulu ya,” pinta Sufyan bila wajah Noura berubah bila memandangnya. Ada riak cemas di wajah itu.

“Iyalah, Noura. Pergi tengok bilik dulu. Mari sini, makcik pegangkan Syifa. Kamu buat macam rumah sendiri ya,” Hasyimah menyentuh kepala Noura, mengusap bahunya. Naluri seorang ibu dapat merasakan Noura yang berpakaian serba hitam itu punya masalah. Anak gadis lain yang sebaya dengannya selalunya ceria dan mesra.

Mereka berdua berlalu meninggalkan ruang tamu menuju ke arah dapur. Noura mengikut dalam diam sambil memerhati keliling. Ruang dapur di sebelah kanan agak besar dan bertentangan dengan dapur itu ada dinding dan pintu kaca yang menghala ke arah sebuah halaman kecil yang ditutup dari pandangan luar. Di situ ada meja makan di bawah bumbung, buaian besi dan ampaian kain yang dikelilingi pokok-pokok kecil menghijau. Wajah Noura berubah bila melihat halaman itu. Terasa ingin berbuai di situ. Setahun lamanya dia berkurung di dalam rumah dan jarang terdedah kepada cahaya matahari. Kalau di situ, dia boleh bermain-main sambil disimbah cahaya.

Bilik yang dimaksudkan rupanya adalah yang bersebelahan dengan halaman kecil itu. Seronoknya. Bila jendela dibuka, haruman frangipani atau kemboja yang ditanam berderet di tepi dinding biliknya menyerbu masuk ke bilik itu. Tenang mendamaikan.

“Suka tak?” Suara Sufyan di pintu mengejutkan Noura yang termenung di jendela memerhati ke halaman.

“Hmm…?”

“Suka dengan bilik ni?”

“Err…” Matanya mengitari bilik itu. Bilik yang biasa saja, tidak sarat dengan hiasan. Hanya ada ayat-ayat Al Quran dalam bingkai kaca yang digantung di dinding. Selainnya, ada meja tulis, cermin berbingkai yang besar, almari dan katil empuk.

“Okey. Suka.” Jawabnya sepatah-sepatah. Selebihnya dia tunduk melarikan diri dari pandangan Sufyan.

“Macammana dengan baby? Awak rasa okey nak jaga dia?”

Angguk.

“Noura… kita beritahu mak ayah Noura, ya?” Sufyan cuba memujuk sekali lagi. Tadi sementara menunggu mak dan ayahnya datang menjemput Noura, mereka duduk di restoran yang bersebelahan dengan kedai kasut. Sufyan sudah berusaha memujuk Noura untuk meminta izin dari mak ayahnya terlebih dahulu. Sufyan tahu yang Noura cuba melarikan diri.

“Kan saya kata tak nak! Nanti saya beritahulah.” Wajahnya kembali mencuka. Perlahan tubuhnya berpusing kembali ke arah jendela. Sufyan serba-salah.

“Kalau macam tu, Noura rehat dulu. Cuba tengok tapak kaki tu, ada yang luka tak?”

Gadis itu menggeleng.

“Noura nak makan?”

Geleng lagi. Sufyan mengeluh. Tadi di restoran pun dia tak mahu makan. Air yang dipesan pun tidak disentuh. Duduknya jauh dari Sufyan dan wajahnya gelisah sepanjang masa sampailah mak dan ayah Sufyan tiba.

“Noura tak ada pakaian. Kita keluar dengan mak, beli pakaian sikit ya.”

Angguk. Sufyan menarik nafas lega. Noura diajak ke ruang tamu semula. Bayi Syifa diletakkan diribanya sekali lagi. Sufyan tarik tangan ibu lalu di bawa ke dapur. Ada sesuatu yang hendak dibincangkan dengan ibu sementara ayahnya menghilangkan diri sebentar ke biliknya.

“Mak, kalau Suf cerita pada mak hal yang sebenar, mak jangan terkejut ya,” pinta Sufyan lembut. Mereka duduk bersebelahan di meja makan.

“Mak, sebenarnya yang kat depan tu bakal menantu mak.” Mata dan mulut Hasyimah membulat serentak.

“Kau biar betul, Suf!” Bahu anaknya ditampar kuat.

“Syyhhh… tenanglah, mak! Macam ni, Suf saja nak pergi ziarah umi dan abi Noura. Suf nak tahu kenapa Noura tak terima pinangan kita kelmarin sedangkan dia tak kenal Suf. Tapi Suf terserempak dengan dia masa dia nak larikan diri. Suf tawarkan dia kerja kat rumah ni jadi babysitter Syifa. Dia pun agaknya bercadang nak cari kerja, jadi dia terima tawaran Suf. Tapi Suf minta mak rahsiakan perkara ni ya. Suf akan pergi rumah Noura untuk beritahu mereka yang Noura selamat di rumah kita.” Wajah Hasyimah yang berkerut-kerut hampir membuatkan Sufyan ketawa.

“Bertuah, kau Suf! Pinangan kau ditolak, kau bawak lari anak dara orang…”

“Bukan bawak larilah, mak. Dia yang serah diri,” Sufyan menjeling, pura-pura marah dengan usikan emaknya.

“Dah! Dah! Pergi cepat beritahu keluarga dia. Nanti diaorang risau pulak. Yang si Noura ni pun, kenapalah sampai lari dari rumah…” Hasyimah mengeluh bimbang sambil bangun dari kerusi.

“Mak, Suf bawak dia beli baju dulu ya. Lepas tu, Suf ke rumah Noura.”

“Iyalah. Panggillah ayah. Kita semua pergi sekali. Jangan kamu nak mengada keluar bawak anak dara orang tanpa ikatan macam tu!” Sebagai orang tua, kenalah Hasyimah menyelamatkan keadaan. Cukuplah pengalamannya yang lepas. Dia tidak mahu menjadi orang tua yang menggalakkan maksiat. Minta dijauhkan!

Sufyan memandu keretanya sendiri sementara Hamdan dan Hasyimah menaiki kereta lain membawa bersama Noura dan Syifa kerana dia bercadang hendak singgah di rumah Noura sebelum pulang nanti. Mereka yang tinggal di rumah teres di Taman Permata Hulu Kelang tak perlu pergi jauh untuk membeli-belah kerana dekat dengan Giant Taman Permata.

Suasana di Giant agak ramai sebab waktu sudah masuk jam dua belas tengahari. Sufyan mengambil Syifa dari emaknya supaya mudah bagi mak membantu Noura memilih pakaian. Ayah sudah hilang mencari kedai makan untuk membasahkan tekak sambil membaca suratkhabar sementara menunggu mereka memberi barang keperluan.

Melihat Noura berjalan rapat dengan emak dan sesekali memaut lengan emak membuatkan Sufyan mula mengesyaki sesuatu. Dia kelihatan seperti takut dan marah silih berganti bila berhadapan dengan orang ramai terutama bila berada dekat dengan lelaki. Melihat keadaan itu, Sufyan cepat-cepat berjalan seiring dan melindungi Noura daripada berada dekat dengan orang lain.

“Noura pilihlah. Saya belanja. Beli banyak sikit, mudah nak berganti baju nanti.” Hasyimah tersenyum dengan sikap pemurah anaknya. Bakal isterilah katakan!

“Tak apa. Saya guna duit sendiri…” gumam Noura antara dengar tak dengar.

“Simpan duit awak. Jangan risau, nanti saya potong dari gaji pertama awak. Boleh macam tu?” Sufyan cepat menggunakan taktik lain supaya Noura benar-benar dapat membeli semua keperluannya. Dia bimbang kalau gadis itu tak membawa wang yang cukup.

“Noura nak pakai jubah ke? Kalau di rumah boleh pakai kaftan dari Indonesia tu, selesa.” Soal Hasyimah, cuba membantu. Kebetulan Noura memakai jubah seluar waktu itu jadi mungkin dia selesa berbaju labuh.

“Boleh saja, makcik. Noura tak kisah.” Benar bagai dikata, Noura ikut saja apa yang dicadangkan oleh Hasyimah. Namun sebenarnya dia tidak begitu menumpukan perhatian kepada apa yang dibeli kerana matanya meliar merata. Adakalanya dia berlindung di sebalik tubuh Hasyimah membuatkan wanita itu berkerut-kerut keningnya kehairanan.

Hati Sufyan bagaikan diramas bila melihat keadaan Noura. Simpatinya melimpah. Malah pilihan warna pakaiannya adalah warna-warna gelap dan suram. Sufyan tak dapat berdiam diri lagi. Dia perlu masuk campur.

Bila Noura pilih jubah hitam…

Jangan! Biru laut lebih sesuai.

Bila blaus labuh berwarna kelabu dipadankan di badan…

Merah jambu nampak ayu untuk awak!

Bila palazzo coklat gelap diangkat…

Ambil oren gelap. Lebih bergaya.

Noura telan liur. Hendak bertegas dengan pilihannya, bukan dia yang bayar. Ini pun kira hutang. Mahu tak mahu, dia mengalah. Lagi pun Makcik Hasyimah asyik menyokong pilihan anaknya. Bukan Noura tak suka pilihan warna Sufyan tapi dia sangat bimbang kalau warna-warna itu mengundang pandangan orang terhadapnya terutama lelaki.

Mujurlah sampai di bahagian tudung dan pakaian dalam wanita, Sufyan menjauhkan diri. Lagipun jarang ada lelaki di bahagian tersebut. Dia membawa Syifa berjalan-jalan ke ruangan pakaian bayi yang tidak jauh dari situ. Tapi sempat dia berpesan betul-betul depan batang hidung Noura. “Ingat! Tak ada yang berwarna gelap ya.”

Gadis itu hanya mendengus dan menjeling geram. Sufyan berlalu sambil tersenyum meleret. Sibuklah! Bentak hati Noura.

Di bahagian tudung, Makcik Hasyimah turut mencari tudung baru untuknya sambil menyuruh Noura memilih sendiri yang mana berkenan. Agak lama juga mereka di situ tetapi Noura belum jumpa yang menarik di hatinya. Akhirnya dia mencapai sehelai pashmina yang berwarna krim lembut yang kosong lalu dibalut ke kepalanya, cuba melihat selabuh mana tudung itu dengan dirinya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari Makcik Hasyimah untuk bertanyakan pendapatnya. Tetapi kelibat wanita itu tidak kelihatan. Langsung dia berpusing ke belakang. Tiada juga. Matanya mula meliar ke sekeliling. Di mana makcik? Hatinya mula gelisah. Sepasang suami isteri yang berdiri dekat dengannya kehairanan melihat keadaan dia yang panik dan tercari-cari.

“Kenapa, dik?” Lelaki berbadan sasa dan separuh botak itu merapati.

Noura telan liur berkali-kali. Kakinya mula menapak ke belakang, berundur dan menjauhi.

“Adik cari siapa?” Beg-beg yang berisi pakaian yang baru dibeli dibawa ke dadanya. Peluh dingin memercik di dahi. Noura rasa lemas bila lelaki itu melangkah mendekat. Tetapi suaranya tersekat di kerongkong untuk menghalang. Hanya kepalanya sahaja menggeleng-geleng laju.

“Adik sakit ke?” Dia makin hampir. Noura pejam mata. Ketakutannya memuncak. Kenapa dia tak mahu pergi? Kenapa dia makin dekat? Tubuh Noura berlaga dengan rak tudung yang mengelilingi dinding. Tuhan! Jangan biarkan dia apa-apakan aku! Tolong jangan apa-apakan aku! Jeritan itu bergema di dalam dadanya. Dan Noura mula menangis ketakutan. Kedua tangannya memeluk beg-beg itu lebih erat ke dada, mahu melindungi dirinya dari lelaki itu. Dia tunduk membongkokkan badan, bimbang kalau dirinya diapa-apakan.

“Kenapa, bang?” Ada perempuan datang mendekat.

“Abang tak tahu. Adik ni tiba-tiba ketakutan. Dia sakit agaknya…”

Tak! Aku tak sakit! Noura menggeleng-gelengkan kepalanya. Pergi! Pergi jauh-jauh! Dia menjerit bertalu-talu. Namun suaranya tidak terlontar keluar. Hanya wajahnya berkerut dengan sepasang matanya yang basah mengelingas ketakutan. Airmata sudah merembes laju di pipi.

“Dik… kenapa ni? Jangan takut, dik. Adik datang dengan siapa?” Perempuan itu datang menyentuh bahunya. Noura terdongak memandang tetapi kembali menyorokkan muka bila dia nampak lelaki tadi ada di belakang perempuan itu. Bukan dia saja, ada orang lain lagi yang datang dengan lelaki itu. Apa yang mereka mahu? Kenapa mereka tak pergi jauh-jauh! Noura menangis melepaskan marahnya.

“Noura! Noura!” Hasyimah yang datang kembali untuk mendapatkan Noura selepas mencuba tudung labuh tadi mencari-cari Noura yang tidak kelihatan di mana-mana. Beberapa orang kelihatan mengerumuni sesuatu di tepi rak tudung. Noura! Hatinya berdetak bimbang. Laju dia menapak ke arah mereka.

“Ya Allah! Noura!” Hasyimah segera mendapatkan Noura selepas menyelit di celah-celah orang yang berkerumun di situ.

“Anak saya! Dia anak saya… tak apa… minta maaf, ya!” Hasyimah memeluk Noura yang sudah duduk bertinggung di lantai sambil memeluk erat beg-beg yang berisi barangan yang baru dibeli. Mendengarkan suara Makcik Hasyimah, segera Noura memeluk wanita itu dan membenamkan mukanya di bahu. Beg-beg yang dipegang jatuh ke lantai. Hasyimah meminta orang di keliling mereka bersurai dengan isyarat mata dan anggukan kepala.

“Mak! Mak! Kenapa ni…” Suara Sufyan yang tiba-tiba kedengaran di belakangnya membuatkan Hasyimah lega. Noura semakin kuat dipeluk dan diusap belakangnya.

“Noura… kenapa dia jadi macam ni, Suf? Mak tinggal dia sekejap je tadi,” Hasyimah mengeluh kesal. Kalaulah dia tahu…

“Mak… tak apa, mak. Jom kita bawak dia turun. Mak bawak dia. Suf ambil beg-beg ni semua ya. Noura… kita balik dengan mak ya. Kita naik kereta balik rumah, okey?” Noura yang masih menangis, mengangguk-anggukkan kepala. Ya, dia nak balik! Dia tak mahu berada di sini lagi.

Tubuh Noura dipaut untuk berdiri namun rangkulannya tidak Hasyimah lepaskan. Mereka berjalan perlahan-lahan, berpelukan sambil diikuti oleh Sufyan yang kalut antara Syifa dan beg-beg yang perlu dibawa bersama.

Nota: Mini novel ii boleh dimiliki dalam bentuk enovel (format pdf). Whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com. Lets go paperless, guys!

terima kasih sudi baca!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s