Siri novel KALAU AKU KAYA Babb 18

KAK cover copy

“Abi tak setuju dengan cadangan Wardah. Tak sama sekali.” Syuib Soleh bersandar tegak di sofa yang agak lusuh mengadap Wardah dan isterinya, Siti Fadhilah Osman yang dikenali sebagai Umi Siti. Kepulangan Wardah petang itu membawa berita gembira rupanya.

“Tapi kenapa, abi? Wardah dapat duit ni pun berkat doa adik-adik di sini. Berkat doa umi dan abi. Lagi pun Wardah tahu yang abi dan umi memang dah lama bercita-cita nak bina kampung tu. Ini peluang keemasan kita, abi… umi…!” Wardah tidak mahu mengalah. Sudah hampir sejam mereka berbincang. Abi tetap dengan keputusannya.

“Duit tu, duit Wardah. Hak Wardah. Abi dengan umi tahu Wardah bercita-cita tinggi. Abi nak Wardah guna duit tu untuk masa depan Wardah. Jangan risau dengan adik-adik. Kami akan terus berikhtiar. Pasti Allah akan permudahkan satu hari nanti.” Sudah berulang kali, Abi Syuib masih menyebut perkara yang sama.

“Abi, umi, tolonglah Wardah. Sebenarnya Wardah memang nak pulangkan balik pada syarikat tapi bila terdetik dalam hati fasal tanah kampung tu, Wardah terus tekad nak guna duit tu sebaik mungkin untuk masa depan kita bersama. Kenapa abi tak boleh terima kalau bantuan Allah itu datangnya melalui Wardah? Wardah ada hak untuk bantu adik-adik dan bina perkampungan tu memang ada dalam cita-cita Wardah.” Sudah bermacam alasan yang Wardah berikan. Dia amat mengharap yang Abi Syuib sudi menerima sebahagian daripada duit yang tiba-tiba jatuh ke tangannya itu.

“Ambillah, abang. Niat Wardah tu baik. Lagi pun, Pak Haji Karim jual tanah tu murah sangat pada kita. Bukan senang kita nak dapat peluang ni. Nanti ada rezeki, kita bantu Wardah pulak. Dah macam-macam kita rancang untuk tanah tu. Dah Allah datangkan peluang…”

“Saya nak tengok Wardah berjaya. Biar dia simpan duit tu untuk sambung pelajaran nanti kalau dia lulus cemerlang dalam diplomanya. Saya suka tengok anak-anak kita berjaya di dunia dan Akhirat. Kerja saya, tahulah saya nak buat macam mana.” Tukas Abi Syuib, masih tidak berganjak.

“Abi, macam ni, kita anggap ini sebagai pelaburan Wardah. Kita bangunkan tempat tu. Kalau ada rezeki Wardah sambung belajar nanti, Abi ada sumber untuk bantu Wardah secara berterusan. Wardah rasa, itu lebih baik dari biarkan saja duit tu dalam akaun tak bercambah. Betul tak, abi?” Gadis itu memang tak kenal erti kalah. Umi Siti sudah tersenyum-senyum memandangnya bila Abi Syuib kelihatan termenung seketika.

“Betul ke apa yang Wardah cakapkan ni?” Soal Abi Syuib semula mencari keyakinan. Laju Wardah mengangguk. Tak berkelip matanya memandang Abi Syuib.

“Kalau itu yang Wardah rasakan terbaik, abi terima. Tapi kita kena usahalah, moga-moga Allah bantu kita.” Akhirnya Abi Syuib mengalah dalam nada terharu. Wardah tersenyum lebar lalu memeluk Umi Siti seerat mungkin bagi melepaskan kegembiraannya.

“Kalau macam tu, esok abi dengan umi jemput Wardah lepas waktu pejabat ya. Kita pergi jumpa Pak Haji Karim. Dah selesai urusan nanti, abi tolong hantar Wardah ke pejabat semula. Wardah banyak kerja. Harap-harap abi dapat tolong uruskan pembelian kereta untuk Wardah tu cepat-cepat ya. Tak lah menyusahkan abi dengan kak long, asyik kena tolong jemput Wardah setiap malam. Lepas ni, kerja Wardah makin banyak abi, umi…” dan Wardah terus berceloteh panjang seperti biasa. Sekejap mengeluh sekejap ketawa.

Malam itu, Wardah bermalam di Baitul Mawaddah, rumah tempat dia dibesarkan. Rumah dua tingkat milik Abi Syuib dan Umi Siti, sepasang suami isteri yang tidak dikurniakan anak tetapi di hati mereka melimpah-ruah kasih sayang.

Wardah melangkah kaki masuk ke rumah itu ketika dia berusia sepuluh tahun. Ketika itu dia belum mengerti apa-apa. Cemas melihat rumah besar yang sangat asing baginya. Ketakutan mula meregut hati yang baru merasa seronok dengan perjalanan yang jauh. Airmatanya mula mengalir dan bibir munggilnya berzikir memanggil ibu dan babah dalam diam. Dalam keadaan terpinga-pinga, sedih dan cemas takut ditinggalkan, tiba-tiba dia berada dalam dakapan hangat seseorang. Lama. Kepalanya dielus lembut dan dikucup berkali-kali. Dia terasa seperti ibu kembali hidup dan mendakapnya. Lalu dia mendakap ibu itu kuat-kuat, takut terlepas lagi. Dia tidak mahu kehilangan dakapan itu lagi. Dia sudah merasa peritnya hidup merindui dakapan itu. Tanpa memahami apa yang berlaku, dia mula menangis teresak-esak dalam dakapan itu. Diluahkan segala kebimbangan dan kesedihan di dada ibu itu.

Seketika kemudian dakapan itu dileraikan dan pipinya diusap. Terpujuk dek kata-kata yang lemah-lembut, tangisannya menjadi reda. Namun di saat itu, dia tersedar ada airmata yang mengalir basah di kedua pipi ibu itu. Lalu dia ikut mengusapkan agar pipi itu tidak basah. Langsung tubuhnya ditarik dan didakap dengan lagi lebih erat.

“Umi di sini, nak. Jangan menangis lagi ya. Umi ada, sayang…” Wardah masih ingat kata-kata keramat itu. Dan umi menangis hiba juga. Saat itu dia sangat yakin bahawa umi adalah jelmaan ibunya yang telah dibawa pergi dalam balutan kain putih bersih itu.

Kehilangan kedua ibu-bapanya dan dua orang abangnya dalam kemalangan jalan raya meninggalkan Wardah sebatang kara dan yatim piatu. Dalam kekalutan itu, kakak tunggal kepada ibunya yang hidup miskin dengan enam orang anak yang masih kecil mengambil Wardah yang terkontang-kanting namun manalah dia mampu membesarkannya. Maimunah atau lebih dikenali sebagai Mak Chaq yang mengenali Umi Siti yang berasal dari kampung yang sama di Kodiang, utara tanahair membawa Wardah ke Kuala Lumpur menaiki keretapi. Ditemani anak saudara dari sebelah arwah suaminya, Mak Chaq membawa Wardah ke rumah dua tingkat itu.

Ketika melangkah masuk ke Baitul Mawaddah, Abi Syuib dan Umi Siti sudah pun mempunyai dua orang gadis sunti yang juga yatim piatu dan hilang tempat pergantungan. Merekalah Ummu Saadah atau dikenali sebagai kak long yang hampir tiga tahun lebih tua daripadanya dan Azwani yang sebaya dengannya. Mereka bertiga menjadi akrab seperti saudara kandung. Begitu juga dengan anak-anak yang didatangkan Tuhan seorang demi seorang ke pintu Baitul Mawaddah selepas mereka. Semuanya seperti dirinya juga yang tiada tempat lagi untuk mendapat pembelaan dan kasih sayang.

Namun Wardah lebih beruntung kerana Mak Chaq tidak pernah melupakannya. Setiap kali menyambut hari raya, Mak Chaq akan membawanya pulang ke rumah mereka di kampung asal ibunya di Kodiang, Kedah. Pertaliannya dengan sepupu-sepupunya menjadi rapat dan terjalin baik hingga kini.

Penghuni Baitul Mawaddah sudah silih berganti kerana yang cukup dewasa untuk berdikari sepertinya akan meninggalkan rumah ini dan diganti dengan anak-anak yatim piatu yang berdatangan dari merata tempat dengan pelbagai kisah hidup yang sedih dan suram.

Seperti biasa sebelum tidur, Wardah akan menjenguk ke dua buah bilik adik-adik yang kebanyakannya masih kecil. Ditatap wajah-wajah comel itu dalam lena. Mereka tidur lasak dan agak saling berhimpit kerana ruang di rumah itu tidak mengizinkan. Wardah tahu, dia dulu seperti mereka. Tidur dalam mimpi yang kosong atau tercari-cari. Entah akan terjaga atau tidak dan tidak pernah pasti yang mentari bakal memancar lagi. Hidup bagaikan tidak pernah akan lengkap dan sempurna.

Kehilangan bukan suatu perkara yang mudah. Kesannya dalam dan panjang. Airmata jadi murah. Seperti saat ini. Setitis demi setitis jatuh ke pipi. Kalaulah dia boleh menggantikan tempat ayah dan ibu mereka…. Kalaulah dia boleh mengisi kekosongan hati mereka… dan kalaulah dia boleh sentiasa ada untuk mengusap airmata yang jatuh saat sendirian…. Kalaulah… dia boleh menidakkan kehilangan itu!

“Mereka yang lahirnya yatim piatu kerana Allah mahu mereka menjadi kuat memperjuangkan kasih sayang sesama insan. Seperti Rasulullah SAW. Rasulullah dilahirkan yatim piatu kerana Allah mahu dia tahu sedihnya hidup tanpa ayah dan ibu. Jadi Baginda akan menjadi sensitif dengan kesusahan dan kekurangan orang lain. Baginda menjadi peka dengan keperluan sesama manusia. Kerana itulah diri Baginda penuh dengan kasih sayang dan kasihan belas. Baginda jadi pembela anak-anak yatim dan janda-janda. Baginda memperjuangkan kasih sayang sesama manusia. Maka hanya orang-orang yang terpilih sahaja yang dilahirkan yatim dan akan bangkit memperjuangkan kasih sayang seperti Rasulullah… tidakkah kamu merasa bertuah kerana kamu sebenarnya mengikuti langkah Rasulullah?” Itulah kata-kata yang sering diucapkan oleh abi dan umi sejak dia kecil. Langsung seluruh sejarah Rasulullah menjadi hafalan mereka. Rasulullah bagaikan hidup dalam diri mereka.

“Rasulullah juga Allah ajar agar tidak bergantung kepada orang lain tetapi dengan Allah. Satu sifat Rasulullah, sejak kecil lagi, Baginda suka mendongak ke langit. Kalau ada pertanyaan atau mahu meluahkan rasa, Baginda akan memandang ke langit. Ketika itu, Islam belum datang tetapi hati Baginda sudah merasa berTuhan. Jadilah seperti Rasulullah yang kuat bersandar dan bergantung kepada Allah yang Maha Pengasih. Baginda tidak sunyi dan sedih kerana merasa Allah sentiasa ada…”

“Terima kasih, abi… umi…,” bisik Wardah sambil menyeka airmata. Dia harus kuat dan tabah seperti Rasulullah demi untuk membela anak-anak yang senasib dengannya. Dia akan menyakinkan mereka tentang kebenaran kata-kata abi dan umi. Kerana hingga saat ini, bila dia merasa sunyi dan sedih, hatinya sudah pandai berkata-kata, sudah tahu berbicara dengan Allah. Langsung kesunyian dan kesedihan itu terubat sudahnya. Dan dia jadi kuat untuk terus melangkah. Tidak dapat dia bayangkan kalau dia tidak kenal Tuhan… pasti hidupnya merana dan kesunyian. Betapa dia bersyukur kerana dibesarkan oleh abi dan umi. Diajar dan diasuh untuk hidup bersama Tuhan. Hidup berlandaskan sunnah Rasul-Nya.

Esok, hidupnya bakal berubah. Dia redha dan bersyukur dengan takdir yang ditulis Tuhan. Tiba-tiba dia ditakdirkan kaya. Dia akan menjadi tangan yang berada di atas, bukan lagi di bawah. Dalam rasa syukur, hatinya bergelodak cemas kerana ujian nikmat itu lebih dahsyat dari ujian kesusahan. Janganlah tuah itu membawa padah.

*****

Maklumat dari Azam tengahari itu membuatkan Zakuan tak senang duduk di bilik pejabatnya. Sejak semalam dia cuba memikirkan bagaimana caranya hendak menghalang pertemuan itu. Dan dia masih buntu walaupun masa sudah semakin hampir. Akhirnya dia memanggil Lina, setiausahanya masuk lalu meminta fail yang berisi kertas kerja untuk projek di Korea yang sudah mula masuk fasa awal sejak pertemuan mereka baru-baru ini.

Kemudian Zakuan bergegas ke tingkat lima, ke pejabat atuk. Ibu pejabat Darwisy Corporation Berhad terletak di tingkat empat dan lima di Menara UOA di Jalan Bangsar Utama. Dari situ, mereka menguruskan segala projek tentang perusahaan kayu jati daripada penanaman, pemprosesan dan pengilangan sehinggalah kepada hasil kayu jati yang dikeluarkan dalam bentuk pelbagai jenis perabot untuk pasaran dalam dan luar negara. Zakuan bertanggungjawab dalam pengurusan pengeluaran perabot tetapi turut memantau keseluruhan proses pengeluaran kayu jati bagi meringankan bebanan kerja atuk yang dibantu oleh beberapa orang rakan kongsi mereka. Dan jarang-jarang atuk mahu terlibat dalam urusan pengeluaran perabot namun kali ini, dia terpaksa menggunakan helah itu untuk menarik perhatian atuk.

“Chik Asfa, boleh tolong batalkan appointment atuk untuk tengahari ni? Saya ada perkara penting nak bincang dengan atuk. It’s just personal, right? Chik Asfa tolong ya. Kalau ada apa-apa, text me.” Zakuan singgah sebentar meninggalkan pesan di meja setiausaha atuk sebelum mengetuk pintu dan menghilang ke dalam bilik luas dan mewah dengan perabot jati itu.

Asfalaila terkaku mendengarnya dan hanya mampu memandang cucu majikannya berlalu pergi. Terkelip-kelip matanya cuba mengingati temujanji yang dimaksudkan Zakuan. Ohh! Jam di pergelangan tangan ditelek. Dah sampai waktunya! Dia perlu cepat sebelum mereka sampai…

Zakuan muncul semula bersama Tan Sri yang berkerut-kerut dahinya sambil merungut seperti tidak puas hati dengan cucunya yang seperti hendak cepat sahaja. Mereka bergerak pantas ke arah bilik mesyuarat di sebelah kanan pejabat.

Teringatkan pesanan Zakuan tadi, Asfalaila segera mendail nombor yang tertera di dalam buku catatannya namun seketika kemudian, dia meletakkan semula gagang telefon sambil mengeluh hampa. Orang yang dipanggil sudah sampai di lobi menara itu. Dan mereka sanggup menunggu untuk berjumpa Tan Sri hanya untuk sekejap saja.

Tidak berapa lama, dua orang gadis yang amat manis berbaju kurung masuk dengan teragak-agak. Asfalaila menyambut mereka dengan rasa serba-salah lalu meminta mereka duduk di sofa di ruang sisi pejabat itu terlebih dahulu. Pantas Asfalaila menghantar pesanan ringkas kepada Zakuan seperti yang diminta.

Datang juga! Hati Zakuan membentak geram. Dia menjeling ke arah atuk yang sedang khusyuk melihat tayangan slide gambar-gambar rumah tradisional Korea yang dipanggil hanok yang mahu dibina semula dengan menggunakan kayu jati keluaran syarikat mereka. Mindanya ligat memikirkan jalan keluar. Akhirnya…

“Atuk, Kuan nak buat panggilan sekejap. Penting. Atuk tengok dulu ya. Profile syarikat yang terlibat ada di sini. Kejap lagi, Kuan masuk balik. Atuk tunggu tau!” Melihat anggukan atuk yang sedang kusyuk melihat keunikan hanok yang dipaparkan, Zakuan bingkas bangun lalu bergegas ke pejabat atuknya.

Tanpa menoleh ke arah sofa, Zakuan terus memberitahu Chik Asfa yang atuk meminta dia menggantikannya menerima kunjungan peribadi staf Kaustik yang sudah tiba. Dia juga meminta mereka dijemput masuk. Langsung Zakuan terlebih dahulu melangkah masuk ke pejabat atuk tanpa sempat Chik Asfa berkata apa-apa.

Dengan senyum manis, tetamu yang sejak tadi memerhati dijemput masuk ke bilik Tan Sri Dato’ Muhammad Uthman. Dan dengan senyuman manis juga, kedua gadis itu melangkah masuk dalam keadaan teragak-agak.

“Jemput duduk,” tanpa mengangkat muka, Zakuan mempelawa tetamunya sebaik saja menjawab salam dari mereka. Dia pura-pura sibuk meneliti beberapa dokumen yang ada di atas meja. Suasana senyap seketika. Hanya bunyi kertas yang diselak-selak dan nafas kasar lelaki itu.

“Ada apa yang boleh saya bantu? Oh ya, maaf sebab Tan Sri ada urusan penting buat masa ni. Jadi saya ambil alih semua temujanji Tan Sri. Jadi, cik berdua ni khabarnya dari Kaustik atas kunjungan peribadi?” Zakuan memulakan bicara dengan profesional dan penuh pesona. Akhirnya dia memandang tepat ke arah Wardah yang jelas terkejut sebaik saja dia mengangkat muka.

Wardah tersedar dirinya dipandang dalam lalu cepat-cepat tunduk memandang jari-jemarinya yang diramas-ramas sendiri. Lelaki cina itu! Aduh… kenapa dia pula? Sesuaikah untuk disampaikan pesan? Wardah serba-salah. Entah kenapa, lelaki itu selalu buat dia jadi tak keruan setiap kali bertemu. Sesekali dia memandang ke sisi, saling berpandangan dengan Benn tetapi jelas, gadis itu juga tidak pasti apa yang harus mereka lakukan.

“Buat masa ni, saya agak sibuk. Dan sekejap lagi, waktu makan tengahari. Jadi, saya harap cik berdua dapat…”

“Kami minta maaf kerana menganggu. Sebenarnya, saya… saya nak bertemu Tan Sri sendiri untuk mengucapkan terima kasih… tapi…” Wardah kelam kabut. Dia faham kehadiran mereka tidak begitu disenangi. Dia cuba untuk menjelaskan maksud kedatangan mereka namun sukar rasanya dia hendak berterus-terang. Apa lagi bila dia dipandang dengan pandangan aneh itu.

“Ya, Cik Wardah… terima kasih untuk apa? Kalau boleh saya tahu…” Wardah terngadah bila mendengar namanya dilontarkan dari lelaki yang penuh gaya itu. Mata mereka bersabung dan terkunci di situ. Serentak itu debaran di dada Wardah semakin laju.

“Saya… err…” Dia kehilangan bicara.

“Saya akan sampaikan apa pun pesanan dari Cik Wardah. Jangan bimbang. Untuk pengetahuan Cik Wardah, Tan Sri jarang masuk ke pejabat atas faktor kesihatan. Jadi saya yang uruskan semua urusan rasmi dan peribadi beliau. Melainkan kalau Cik Wardah ada rahsia yang ingin disampaikan sendiri…”

“Tak… tak! Bukan rahsia. Saya cuma… hmm… nak ucapkan terima kasih atas hadiah yang Tan Sri berikan kepada saya. Saya… saya rasa tak layak menerimanya tapi…” bicaranya hilang lagi bila lelaki di hadapannya merenung dalam dan bibir yang tiba-tiba mengorak senyum sinis itu mengocak hatinya.

Zakuan mengangkat kening, menunggu bicara Wardah selanjutnya. Renungannya membuatkan Wardah seperti tidak cukup nafas. Dia menoleh memandang Benn seolah-olah meminta tolong. Benn mengangguk laju tanda mahu Wardah melanjutkan saja bicaranya. Wardah tunduk lagi memandang tangan yang gelisah di riba. Nak cakap apa lagi?

“Saya… err… saya terharu. Saya nak ucapkan terima kasih kepada Tan Sri dan saya… saya berjanji akan berkhidmat sebaik mungkin di Kaustik…” Dia terhenti di situ. Dan perlahan-lahan dia mengangkat muka, memberanikan diri memandang lelaki yang tidak langsung mahu memperkenalkan dirinya.

Dia tersenyum sambil merenung dalam. Manis! Desis hatinya. Naif. Hanya kerana itu dia bersusah payah datang untuk berjumpa dengan atuk.

“Baiklah.” Lafaz Zakuan dengan keluhan yang panjang.

“Kalau itu saja, saya akan sampaikan. Saya mewakili at… err… Tan Sri, ucapkan terima kasih kerana susah payah datang untuk ini. Terus-terang saya katakan, Tan Sri memang suka beri hadiah kepada pekerja-pekerja yang cemerlang. Ini perkara biasa saja. Apa pun, saya harap awak sungguh-sungguh kotakan janji awak tadi. Ada apa-apa lagi yang saya boleh bantu?” Mata Zakuan tidak lepas memerhati wajah gadis yang kini berona kemerahan itu.

“Err… tak ada apa-apa lagi, encik. Kami minta diri dulu. Kalau ada peluang, saya ingin menyatakan sendiri kepada Tan Sri…”

“Eh, tak perlu. Ini perkara kecil saja, Cik Wardah. Tak perlu susah-susah. Tan Sri tak punya banyak masa untuk hal-hal yang sekecil ini. Terima kasih kerana sudi datang.” Zakuan berdiri di belakang mejanya tanda masa urusan sudah selesai. Dia menjeling ke arah jam tangan dan dia tahu masa untuk beredar sudah tiba.

Wardah dan Benn ikut berdiri sambil mengucapkan terima kasih. Sedikit tersinggung dengan kata-kata lelaki itu namun mereka tetap tersenyum lalu meminta diri. Zakuan ikut menghantar mereka ke pintu dan sebaik saja mereka melangkah keluar…

“Tan Sri!” Suara Wardah dan Benn berteriak serentak.

Tan Sri Dato’ Muhammad Uthman tercegat berdiri di hadapan meja setiausahanya yang sedang berkata sesuatu. Mereka terdiam dan saling berpandangan. Terutama Zakuan yang sedang berada di muka pintu.

“Kuan!” Seru Tan Sri Dato’ Muhammad Uthman dengan wajah tidak percaya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s