Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 3

GUARDIAN ANGEL cover copy

SETAHUN BERLALU.

Abu Sufyan Muhamad Hamdan bukan lelaki yang boleh menerima kata ‘tidak’ semudah itu sahaja. Dia dicipta untuk sentiasa berusaha mendapatkan apa yang dia mahu. Dan kali ini dengan nawaitu yang suci, ‘lillahitaala’, lagi-lagilah dia tidak akan mengalah semudah itu.

Dia memarkirkan kereta di bibir jalan itu lagi. Kekecewaan semalam belum terubat. Bukan dia tidak redha. Tetapi dia belum berusaha sehingga sehabis daya. Sememangnya dia sudah cukup yakin bahawa dirinya akan diterima namun sesungguhnya Allah yang merancang. Namun dia belum mahu mengaku kalah. Ikhtiar itu wajib bagi seorang Islam. Siapa tahu kalau ujian ini adalah untuk kifarah kekhilafannya di masa lalu. Khilaf yang pastinya terlalu besar.

Pagar rumah itu tertutup rapat. Seakan pintu hati tuannya juga. Khabarnya sudah puas dipujuk namun dia tetap enggan menerima sesiapa pun. Ah! Sangkanya apa yang berlaku setahun yang lalu sudah sembuh oleh masa dengan izin Allah. Tetapi rupanya masih ada ketakutan yang bersisa. Keadaan itu membuatkan dia semakin resah. Mahu saja direngkuh tubuh itu melewati memorinya yang memenjara. Namun siapalah dia? Hanya seorang hamba Allah yang tiada upaya.

Pandangannya mengitari rumah dua tingkat itu lagi. Sunyi. Sepi. Seperti tidak berpenghuni saja. Di mana dia? Apakah dia masih tidur? Patutkah aku mencuba kali kedua, bersemuka dengan tuan empunya diri bersama ahli keluarganya?

Dia mendongak sambil menghela nafas. Namun nafasnya terhenti tiba-tiba. Ada sepasang kaki menjukur keluar dari jeriji besi yang memagari balkoni di tingkat atas, di sebalik rimbunan pokok buluh hiasan yang agak tinggi. Balkoni itu dihiasi dengan deretan pelbagai jenis pokok hiasan yang menghijau. Malah ada pokok yang menjalar turun mengelilingi tiang sebesar pemeluk itu yang memayungi tempat parkir kereta di bahagian kanan rumah itu.

Satu daripada kaki yang dibaluti seluar panjang dan siap berstokin serba hitam itu turun lagi ke bawah dan terkial-kial mencari tempat berpijak. Apabila kaki itu menyentuh sesuatu, mungkin akar pokok yang membelit tiang itu agak kuat untuk menahan tubuhnya, dia mula menurunkan satu kaki lagi. Kali ini tubuh yang berbaju labuh dan kepala yang bertudung semuanya serba hitam itu muncul memeluk tiang yang tinggi. Sebuah beg yang tergantung di bahu terhayun ke belakangnya.

Sufyan terlonjak di tempat duduk. Cemas melihat tubuh itu mendakap tiang. Lama mana dia boleh bertahan? Kepalanya tertoleh ke kiri dan kanan. Mencari tempat untuk berpaut mungkin. Bingkas Sufyan keluar dari kereta, berlari dalam senyap ke pintu pagar. Mujur tidak berkunci! Dia melangkah terhendap-hendap bagaikan seekor kucing, bimbang kalau gadis di tiang tinggi itu terlepas pegangannya kalau dia terkejut.

Sepasang matanya menerawang ke dalam rumah. Pintu depan tertutup rapat. Tetapi ada tingkap yang terbuka. Dia kini berdiri betul-betul di kaki tiang di mana gadis serba hitam itu berada di atas sana.

Sebelah kakinya menerawang lagi mencari tempat untuk berpijak. Yang ada cuma belitan pokok yang menjalar itu. Setakat mana ia dapat menahan bebanan berat? Namun gadis itu lebih berani dari yang disangkakan. Dia cuba melurut turun seperti tarzan yang berpaut pada tali pokok tetapi sayang, pokok yang menjalar itu tidak sekuat mana, terputus dan…

Tubuh itu melayang jatuh ke dalam pangkuan Sufyan yang cemas menanti. Dan hentakan yang bukan sedikit itu membuatkan kedua-duanya terjatuh ke tanah.

Kelam-kabut Fatimah El Noura bangun dari terus menghenyak perut orang yang menyambutnya. Siapa? Sepantas kilat dia berpusing. Buntang matanya melihat seorang lelaki asing menahan senak di atas rumput.

“Awak siapa? Macam mana awak ada kat sini?” Noura berbisik keras. Gila tak terperanjat, tiba-tiba ada lelaki bersongkok menyambutnya dari jatuh ketika sedang melarikan diri! Ustaz ni muncul dari mana? Darul Sakinah? Umi yang panggil dia ke sini? Matanya menerawang memerhati ke dalam rumah. Jangan umi yang sedang sibuk di dapur sedar apa yang berlaku. Dia tidak mahu rancangannya gagal.

“Saya lalu kat depan sana. Saya tengok…”

“Syyhhhh!” Telunjuk Noura mengetuk bibir sendiri, mendiamkan lelaki itu. Kening dan anak mata Sufyan sama terangkat. Mengapa?

“Nanti umi saya dengar. Cepat keluar dari sini sebelum umi datang!” Dia lega kalau ustaz itu bukan dari Darul Sakinah. Apa pun, dia tidak boleh berlengah lagi. Noura berpusing lalu mengangkat kaki dan mencicit berlari keluar. Kasut yang dijinjingnya dari tingkat atas entah ke mana berjatuhan. Dia tak peduli. Yang penting, dia lari! Lagi pun dia bimbang kalau ustaz yang muncul tiba-tiba itu membuka tazkirah pula nanti.

Sufyan bertambah terkejut dengan tindakan gadis itu. Dia menoleh ke dalam rumah dan apa lagi, lebih baik angkat kaki sebelum dia dituduh melarikan anak dara orang. Gadis itu sudah memecut berlari melewati keretanya hingga agak jauh, barulah dia berhenti mengambil nafas. Kelihatan dia tercungap-cungap memegang dada. Kemudian menyambung langkah laju-laju.

Sufyan cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan memandu ke arah gadis serba hitam itu. Dia menurunkan tingkap kereta. Kereta dan sepasang kaki yang hanya berbalut stokin nipis itu bergerak seiring.

“Awak nak ke mana dengan tak berkasut ni?” Dia memang kehairanan sungguh. Kesian pun ada. Hendak ketawa pun ada. Tetapi wajah bengis gadis itu mematikan fikirnya.

“Awak jangan sibuk, boleh? Pergi cepat dari sini! Nanti orang nampak. Saya tahulah apa yang saya buat! Pergi cepat!” Marah punya fasal, Noura sudah tidak ber’ustaz’ lagi.

Sufyan terperanjat dimarahi begitu. Bukan nak ucap terima kasih, dihalau lagi kan ada.

“Kaki awak tu! Berdarah nanti…”

“Hei! Kaki saya, kan? Bukan kaki awak! Baik awak pergi sekarang. Nanti rosak rancangan saya. Cepatlah!” Marahnya kian meledak walaupun dalam keadaan tercungap-cungap kerana berjalan laju. Sesekali dia berdecit bila kakinya terpijak benda keras namun berhenti tidak sekali. Kenapalah ustaz ni degil sangat, menyibuk fasal orang lain. Sufyan terus memandu perlahan mengikut arah langkah kaki gadis itu.

“Saya tolong awak! Saya hantar awak ke mana awak nak pergi. Cepat masuk dalam kereta!” Sufyan menukar rancangan. Daripada dihalang, lebih baik dibantu. Nanti dia akan tahu juga ke mana arah tujuannya.

“Awak ingat saya bodoh? Awak tahu rumah saya di mana. Nanti awak akan beritahu keluarga saya. Eh, pergilah cepat. Jangan ganggu saya!” Tangannya menepis tanda rimas. Tali beg yang digalas yang melurut ke bawah berkali-kali ditarik semula ke bahu. Jalannya tetap laju walau pincang kerana tidak berkasut. Matanya meliar mencari teksi.

“Okeylah! Saya nak patah balik beritahu umi awak!” Jerit Sufyan bila gadis itu membelok ke jalan di antara dua blok rumah teres. Mungkin jalan pintas ke jalan besar.

Langkahnya terhenti. Seperti yang dijangka. Cepat-cepat Sufyan membelok ke arah jalan sempit itu dan berhenti betul-betul di hadapannya yang kini sudah bercekak pinggang.

“Kenapa awak sibuk dengan urusan saya? Awak tak faham bahasa ke?” Dia semakin menjerit marah. Peluh di dahi diseka kasar dengan belakang tangan.

“Syhh! Nanti jiran-jiran dengar, habis awak! Saya cuma nak tolong awak sebab awak tu tak berkasut. Kalau awak tak nak saya hantar awak ke mana awak nak pergi, setidak-tidaknya awak ikut saya beli kasut dulu. Lepas tu, awak pergilah ke mana pun. Itu saja.” Sufyan cuba membeli masa. Bukan mudah untuk memujuk orang yang sedang marah. Naluri hatinya bagaikan tahu apa yang sedang berlaku.

Pandangan Noura menirus. Ligat kepalanya berfikir. Betul juga. Tapak kakinya dah terasa sakit. Lagi pun jalan bertar itu semakin panas sebab matahari sudah semakin tinggi. Teksi pun bukan senang nak dapat waktu begini. Hendak ke jalan besar itu mengambil masa juga. Lebih baik dia cepat sebelum umi sedar akan kehilangannya.

Akhirnya dia melangkah mendekati kereta itu. pintu belakang dibuka dan dia memboloskan diri ke dalam kereta. Sufyan tersenyum menang.

“Tolong bawa saya ke kedai di jalan besar tu saja. Ada kedai kasut di sana. Lepas tu, saya nak tunggu bas. Terima kasih sebab tolong saya.” Suaranya keras tanpa nada hampir membuatkan Sufyan tersenyum. Namun hatinya masih bimbang dengan tindakan yang bakal diambil oleh gadis itu.

“Eh, dekat kedai-kedai tu ada Seven Eleven tak?” Dia mula mendapat idea. Idea asal yang diputarbelit.

“Awak… err… ustaz nak buat apa?” Hati Noura bimbang saja kalau ustaz ini cuba membawa dia balik ke rumahnya. Apa pun yang jadi, dia takkan balik ke rumah itu lagi selagi mereka tidak berubah pendirian.

“Saya bukan ustaz. Biasa-biasa saja. Nama saya Sufyan. Saya pusing-pusing cari tempat nak iklankan kerja kosong. Nak cari babysitter. Cik ada kenal kawan-kawan yang cari kerja sementara tak?” Sufyan beramah-tamah, sambil menyelam minum air.

“Babysitter? Err… tak ada pula…” jawab Noura perlahan. Dia menghela nafas lalu duduk bersandar melepaskan lelah.

Kerja? Dialah yang sedang mencari kerja. Memang rancangannya begitu. Sebaik saja dia sampai ke rumah teman baiknya, Rahimah, dia akan mula mencari kerja. Dia harus berdikari untuk hidup sendiri. Duit yang dibawa bersamanya pasti tidak mencukupi untuk menampung hidup selama sebulan. Dan sekarang kerja di depan mata!

“Kita dah sampai di kedai kasut sekarang. Awak tunggu dalam kereta, saya belikan. Saiz awak berapa?” Sufyan memandang gadis itu dari cermin pandang belakang. Dia baru tersedar dan sibuk memandang sekeliling. Mungkin bimbang kalau ada yang mengenalinya.

“Eh! Tak apa. Saya… saya boleh turun beli sendiri. Cukuplah sampai di sini. Terima kasih banyak, ya ustaz.” Noura cepat-cepat keluar dari kereta itu. Sufyan kaget seketika namun dia ikut buru-buru keluar dari kereta.

“Saya tunggu awak beli kasut, lepas ni saya hantar awak ke mana awak nak pergi ya.” Dia mencuba nasib sekali lagi. Noura yang sudah melangkah ke arah kedai kasut itu cepat menggelengkan kepala.

“Tak perlu, ustaz. Terima kasih banyak-banyak.” Dia meneruskan langkah, masuk ke dalam kedai kasut itu. Sufyan menghela nafas kecewa. Tangannya meraup muka sendiri. Apa yang patut dia lakukan lagi? Dia tidak boleh membiarkan gadis itu pergi begitu saja tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Pantas dia melangkah laju masuk ke dalam kedai yang sama.

“Err… cik! Maaf, sebentar ya…” Sufyan menegur Noura yang sedang mencuba sepasang kasut sandal. Gadis itu berpaling mengadapnya dengan wajah kelat. Matanya liar menerawang ke luar kedai.

“Saya nak bagi kad saya. Manalah tahu kalau ada kawan-kawan cik yang nak cari kerja. Gaji boleh dibincangkan. Saya sebenarnya terdesak sebab mak saya tak berapa sihat nak jaga baby. Itulah yang saya harapkan kalau ada sesiapa yang nak bekerja dengan saya secepat mungkin.” Sufyan cuba menjelaskan keadaan. Dia bukan menipu. Memang itulah yang sedang berlaku tetapi dia tidaklah di dalam keadaan terdesak.

“Isteri ustaz di mana? Kenapa dia tak boleh jaga baby tu?” Bentak Noura, kehairanan.

“Saya ambil anak angkat. Mak dengan ayah saya sunyi sangat. Asyik nak cucu. Tapi saya belum jumpa jodoh. Jadi saya ambil anak angkat, nak hiburkan hati mak ayah saya yang sunyi duduk berdua saja,” Sufyan selamba bercerita. Berkerut dahi Noura mendengarnya. Macam ni pun boleh, ya?

Keadaan itu mula membuatkan Noura teragak-agak. Bagaimana kalau dia terima tawaran kerja yang datang menggolek ini? Tapi bolehkah lelaki ini dipercayai? Sepasang matanya merenung tajam ke arah lelaki di hadapannya dari atas hingga ke bawah.

“Kenapa cik pandang saya macam tu?” Sufyan serba salah samada mahu tersenyum atau berwajah serius.

“Macammana kalau saya yang nak kerja? Tapi saya… rumah kawan saya… jauh. Saya tak pasti… nak ulang alik macam mana?” Noura serba-salah kerana dia belum tahu samada rumah lelaki itu dekat dengan rumah Rahimah yang bakal dia duduki.

“Oh… cik boleh tinggal terus dengan mak ayah saya. Tak perlu berulang alik. Kalau cik setuju, sekarang juga saya bawa cik ke rumah mak ayah saya.” Hati Sufyan berbunga riang. Tak dapat dibawa balik sebagai menantu, sebagai babysitter pun tak mengapa! Semuanya dalam percaturan Tuhan belaka.

“Err… tak apa. Saya… saya cari rumah mak ustaz sendiri. Berikan saya alamatnya saja.” Noura tidak mahu lagi menaiki kereta lelaki itu. Dia serik. Cukuplah tadi dia melanggar janji kepada diri sendiri. Dia cukup serik untuk mendekati lelaki asing. Cukuplah apa yang pernah terjadi. Lagi pun tadi dia terdesak. Sekarang, dia harus ke rumah Rahimah dahulu. Mungkin dia boleh pergi mencari rumah yang dimaksudkan bersama Rahimah nanti.

Sufyan bimbang kalau Noura terus menghilangkan diri dan tidak muncul-muncul lagi. Dia tidak boleh mengambil risiko. Noura perlu diselamatkan. Dia faham kenapa Noura tidak mahu mengikutinya. Gadis itu masih phobia.

“Saya tak boleh tunggu, cik. Kalau boleh, saya nak cik mula kerja hari ni juga. Kita tunggu di sini sampai mak ayah saya datang. Mereka boleh datang jemput cik, tak ada masalah.” Dup! Hati Noura dipagut bimbang. Jangan nanti umi dan abi pula yang datang. Tapi manalah ustaz ni tahu nak hubungi umi dan abi?

Setuju sajalah, Noura. Banyak masalah kau selesai kalau kau terima tawaran ni, desis hati kecilnya. Perlahan-lahan dia mengangguk setuju. Sufyan meraup muka dengan rasa bersyukur. Akhirnya dia berada dalam jagaanku juga.

psstt: Nak baca keseluruhan cerita? Dapatkan novel ini dalam format pdf. Whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com. [Jom selamatkan pokok dengan baca enovel!]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s