Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 17

KAK cover copy

Belum sempat Azam bernafas lega, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Sepasang anak matanya berputar ke siling sebaik saja dia melihat nama yang tertera di skrin.

“Majalah apa ni, Zam? Ini majalah yang budak perempuan tu cadangkan, bukan? Kau pun kalau nak terima idea dia, tengok-tengoklah dulu. Kalau macam ni, beratus syarikat pun boleh terbitkan. Dah berlambak majalah macam ni. Tak ada kelainan langsung. Kamu semua fotostat ke?” Suara Zakuan kedengaran tegang di hujung talian. Serentak itu, Azam duduk tegak di kerusi. Dia tengok juga majalah itu akhirnya!

“Errr… apa maksud kau, fotostat?” Pelik pula dengan bahasa dari orang yang tak pernah berminat dengan dunia penerbitan ini.

“Isi majalah kau ni lah! Asyik-asyik isu yang sama, tips yang lapuk dari zaman tok kadok, ulasan dari orang-orang bijak pandai tapi tak reti berniaga… apa kau buat ni, Zam? Kenapa susah-susah terbitkan majalah kalau kualitinya macam ini?” Sergah Zakuan dalam nada kesal.

Terpinga-pinga Azam mendengarnya. Dia tidak menjangka langsung komen berapi yang bakal dilontarkan Zakuan. Terkelip-kelip sepasang matanya memerah minda untuk memberikan jawapan yang berasas tanpa melibatkan mana-mana pihak.

“Kau kata budak perempuan tu punya idea, kan? Takkan kau tak boleh pertimbangkan. Apa yang dia tahu fasal bisnes? Inilah jadinya!” Tempelak Zakuan lagi.

“Maksud kau, Wardah? Err… dia cuma cadangkan majalah sisipan. Tapi bukan dia yang…”

“Dia tu entah tahu entah tidak fasal majalah! Dah kau suka sangat dengan dia, semua idea dia kau terima bulat-bulat!” Tuduh Zakuan bertalu-talu. Terpejam sepasang mata Azam menahan sinisnya sindiran itu.

“Sebenarnya kami nak masukkan ruangan tips berniaga dalam akhbar utama tapi hasil perbincangan, kami sepakat untuk terbitkan topik itu dalam majalah sisipan sebagai daya penarik. Itu saja.” Azam cuba bertenang. Ketegasan Zakuan bila berbincang hal bisnes memang sudah maklum. Dan dia sendiri harus berdepan dengannya secara profesional.

“Okey, aku faham tu. Budak perempuan tu buat design majalah ni kan? Eh, dia ingat usahawan ni semuanya orang seni ya? Kenapa majalah untuk profesional tapi designnya fancy, abstrak, tak serius langsung! Ini masalah design ciplaklah ni. Susah kalau bekerja tapi tak menghayati!” Marah terus berhamburan. Entah kenapa, semuanya bagaikan tertumpu kepada Wardah. Sedangkan seluruh tim yang bertanggungjawab. Ah! Di mana silapnya, keluh Azam dalam diam.

“Kami akan perhalusi lagi dari sudut tu. Mungkin terlepas pandang…,” akui Azam tanpa mahu memperpanjangkan isu.

“Aku nak kau rombak isi kandungan. Jangan bercakap tentang tips hanya sekadar atas dasar ilmu dan logik tanpa pengalaman dan asas yang kukuh. Tolong jangan fotostat semata-mata dari majalah luar negara, dari internet atau dari entah mana sumber yang tak pasti. Mana tim penulisan? Buat kerja betul-betul. Interview orang yang berpengalaman dan mahir dalam perniagaan bukan ilmuan. Buat dengan profesional. Jangan terbitkan majalah murahan macam ini.” Bertubi-tubi komen Zakuan meluru bagai peluru berpandu meledak dalam kepala dan dada Azam. Seminggu lebih sahaja lagi masa untuk isu seterusnya. Sempatkah?

“Rasanya isu untuk bulan yang akan datang, kita tak sempat buat perubahan lagi. Tinggal seminggu lebih dan kebanyakan mukasurat dah siap layout. Jadi kami akan bincangkan dan rombak semula untuk bulan seterusnya.” Ujar Azam dengan agak bersemangat.

“Jangan! Rombak sekarang. Semua dah cukup terlatih untuk majalah sisipan sekecil itu.”

Dan talian itu diputuskan. Azam terdiam sambil terus memegang telefon bimbit tanpa sepatah jawapan.

****

Kafe Kaustik kelihatan lengang petang itu. Azam melangkah masuk sendirian lalu memesan nescafe. Dia mahu duduk-duduk di situ bagi melepaskan ketegangan selepas seharian dia memerah otak menyemak beberapa artikel mingguan selain dari merangka rombakan isi dan rekabentuk untuk majalah sisipan.

Dia memandang sekeliling lalu ternampak Wardah dan Benn sedang menikmati aiskrim. Awal mereka turun petang ini. Lalu dia melangkah ke arah mereka lalu meminta izin duduk di meja yang sama.

“Ketat muka Encik Azam hari ni,” tegur Benn, selamba. Azam tersenyum tawar.

“Entahlah… saya mengharapkan keajaiban,” jawab Azam dalam keluhan. Nescafe panas itu dihirup perlahan.

“Keajaiban…?” Soal Wardah tanpa sedar. Wajah Azam ditenung dalam. Tersenyum Azam dibuatnya. Jarang Wardah merenung lelaki. Selalu pandangannya ditundukkan atau beralih ke tempat lain. Jarang dia dapat bertentang mata dengan gadis itu seperti sekarang.

“Ya, Wardah. Majalah sisipan kita… perlu dirombak untuk isu bulan depan. Kusut fikiran saya. Mana nak fikirkan isinya, design juga perlu diubah sedangkan akhbar utama pun belum selesai.” Tanpa sedar, Azam meluahkan apa yang bersarang di kepalanya. Jarang dia berkongsi hal kerja dengan staf bawahan seperti Wardah dan Benn.

“Tapi… tapi kenapa, Encik Azam? Bukan dah okey ke majalah tu?”

“Ada teguran dari pihak atasan. Kita perlu beri perhatian. Lagipun memang kita banyak menggunakan sumber internet dan media asing. Apa yang ditegur tu banyak juga betulnya. Kita harus berani menggali sesuatu yang baru,” Azam berterus-terang. Apa salahnya sekali-sekala berkongsi walaupun mereka pasti tidak tahu perubahan yang bagaimana yang harus dilakukan kerana bidang mereka hanya dalam seni grafik.

“Encik Azam! Kenapa tak guna saja tips perniagaan yang sudah pernah membuktikan kejayaan sehingga ke tiga per empat dunia?” Soal Wardah tiba-tiba dengan wajah teruja. Azam terdiam memandang sementara Benn pula tercengang.

“Maksud Wardah?” Perlahan Encik Azam bertanya, mewakili Benn juga yang terangguk-angguk dengan pandangan ingin tahu.

“Perniagaan Rasulullah! Perniagaan Islam. Kaedah berniaga Rasulullah yang membawa pulang keuntungan berganda sampai Siti Khadijah menjadi teruja dengan siapa Rasulullah. Malah selepas kedatangan Islam, ekonomi umat Islam semakin kukuh sehingga mereka menawan tiga per empat dunia bersenjatakan akhlak dan perniagaan. Sampai Yahudi gulung tikar di pasar Ansar! Profesional mana yang lebih hebat dan agung berbanding Rasulullah? Dan kita cari di kalangan ahli perniagaan hari ini yang berjaya membuktikan yang cara Rasulullah itu sememangnya menguntungkan. Mereka akan mengukuhkan fakta dan sejarah!” Wardah bercakap sampai tidak sempat menarik nafas.

“Betullah teguran yang kita terima, Encik Azam. Saya pun perasan yang kita banyak menyalin daripada mencungkil sendiri dari sejarah dan pengalaman orang yang terlibat secara langsung dengan perniagaan Islam. Saya sendiri banyak ikuti perkembangan ahli perniagaan di media sosial dan ternyata begitu ramai yang sudah berbalik kepada kaedah perniagaan Rasulullah berbanding kapitalis…”

“Hmm… memang satu cadangan yang baik. Tapi Wardah… ianya agak tidak selari dengan konsep yang kita bawa dan imej Kaustik, membawa maklumat yang terkini.” Dengan suara tenang dan perlahan, Encik Azam bersuara dari hujung meja panjang itu.

“Maksud Encik Azam, kaedah Rasulullah hanya sesuai di zaman unta? Begitu? Maka kita tinggalkan saja dan contohi Barat yang kononnya hebat sedangkan hujungnya kita tahu, mereka memerangkap diri sendiri dalam sistem kapitalis yang mereka banggakan? Encik Azam mahu Kaustik membawa negara kita kepada ketidakseimbangan ekonomi dan kehidupan double standard seperti yang sedang melanda Barat dan sekutunya? Yang miskin semakin miskin, yang kaya semakin kaya, begitu? Sedangkan Encik Azam pasti tahu yang kapitalis itu ciptaan Yahudi yang mereka sendiri tidak menggunakannya terutama sistem riba yang meluas merata di negara Islam.” Suara Wardah begitu tegas membuatkan Encik Azam keras di kerusinya. Mana Wardah tahu semua ini?

“Encik Azam, sistem perbankan di negara kita berlumba-lumba mempromosi dua sistem kewangan, sistem komersial dan sistem patuh syariah dalam satu bank yang sama? Jadi, apa salahnya Kaustik bawa dua kaedah berniaga yang berbeza?” Hujah Wardah penuh yakin. Benn mengangguk-angguk tanda setuju. Memang masuk akal apa yang diutarakan gadis itu.

Encik Azam yang tadi terdiam kini seperti bermenung. Dia sedar yang pandangan dua orang gadis di hadapannya sedang tertancap ke arahnya, menanti jawapannya.

“Kita mesti mencari tokoh-tokoh perniagaan yang benar-benar berjuang di atas landasan syariah. Kita tak boleh menulis tanpa fakta yang kukuh.” Ujar Encik Azam perlahan, melindungi rasa serba salah di dalam.

“Kita ada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary…”

“Kita ada Sulaiman Al Rajhi dari Arab Saudi untuk tokoh internasional.”

“Kita ada Dato’ Ramly…”

“Khaleef Syamsudin…” Suara dua orang gadis itu saling bertingkah.

“Dan kita ada Sayidina Abdul Rahman Bin Auf, tokoh sejarah dan model sebenar seorang usahawan Islam,” sambung Wardah dengan tegas.

Azam mengangguk-angguk. Ada bernasnya buah fikiran gadis itu. Sesuatu yang tidak terfikir oleh mindanya. Bukan tidak terfikir, mungkin tidak begitu yakin sebenarnya. Tidak seyakin gadis yang kelihatan naif ini.

Mereka terus berbual berkisar tentang topik yang sama sambil menghabiskan minuman dan aiskrim masing-masing. Masa yang terus berdetik memaksa mereka bersurai untuk meneruskan kerja sebelum tiba waktu pulang.

“Wardah…” Suara Encik Azam menghentikan langkah Wardah yang berada di belakang Benn. Wardah tidak jadi melangkah, berpatah balik mendapatkan Encik Azam.

“Saya rasa ada baiknya awak beli kereta bagi memudahkan pergerakan awak. Kita ada banyak kerja dan awak perlu bersedia untuk kerja lebih masa. Saya bimbangkan keselamatan awak kalau selalu balik dengan teksi bila lewat malam.” Ujar Encik Azam sebaik sahaja gadis itu mendekatinya.

Wardah tunduk. Diam tidak berkutik. Ada isyarat mengatakan dia tidak bersetuju atau dia ada masalah.

“Awak gunalah duit tu. Sebab itu juga untuk memudahkan awak bantu tingkatkan pengeluaran syarikat. Atau awak nak guna kereta syarikat? Saya boleh usahakan…”

“Eh! Tak payah, Encik Azam. Tak apa. Nanti saya fikirkan macam mana,” jawabnya, lemah dan mengalah.

“Okeylah kalau awak faham. Terima kasih.” Ucap Encik Azam tanda perbincangan sudah tamat. Wardah menghela nafas.

“Sama-sama.” Tutur Wardah perlahan lalu berpusing mengatur langkah mengejar Benn yang sudah keluar dari kafe itu.

****

Di pejabat Zakuan, majalan sisipan itu dicampakkan ke dalam tong sampah. Hasil kerja orang berangan! Hatinya berkata-kata sendirian. Tak profesional langsung! Tak sesuai dengan imej Kaustik yang dibinanya bersama Azam dan rakan-rakan mereka.

Perempuan itu, bukan saja penampilan dan perawakannya perlu diubah, pemikirannya lebih-lebih lagi perlu di’basuh’ dan digilap. Berkarat!

Dalam keadaan itu pun dia berani mencabar? Double standard? Huh! Entah dia faham atau tidak apa yang dia katakan. Tengok nanti sejauh mana aku akan ajar dia. Aku akan bukakan tempurung untuk si katak tengok dunia luar yang teramat luas. Baru dia akan tahu langit itu tinggi atau rendah!

Deringan dari telefon bimbitnya menghentikan lamunan Zakuan. Nama yang tertera menjentik debar di hati. Laju dia menjawab panggilan dengan memberi salam.

“Nek dengan Atuk dah sampai rumah ni. Bila Kuan nak balik?”

“Err… Nek dah sampai? Kuan masih di pejabat,” Zakuan telan liur. Atuk dah sampai!

“Baliklah cepat. Atuk ajak makan malam. Esok Atuk nak pergi awal ke pejabat. Ada hal katanya. Tengahari sampai malam, atuk makan di luar. Banyak temujanji. Itulah dia ajak Kuan makan malam di rumah malam ni.” Beritahu nenek, menambah resah di dadanya.

“Okey, nek. Kejap lagi, Kuan balik. Nek dengan atuk berehat dulu ya,” Zakuan berjanji sebelum memutuskan talian. Banyak temujanji? Tak boleh jadi!

Laju Zakuan mendail nombor setiausaha atuk yang dipanggil Chik Asfa, wanita yang sudah biasa dengannya selama dua puluh tahun dia berkhidmat dengan atuk.

“Betul ke atuk banyak appointment esok, Chik Asfa?” Laju saja Zakuan bertanya selepas memberi salam.

“Err… tengahari dengan siapa pula?” Kedengaran suara Zakuan bertanya lagi.

“Dua orang staf Kaustik? Perempuan?” Soalnya lagi bersama debaran yang makin tinggi. Dan Zakuan terus terdiam bila mendengar nama yang disebut Chik Asfa. Wardah!

Sekarang, siapa yang akan tahu langit itu tinggi atau rendah?

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 17

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s