Siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 2

GUARDIAN ANGEL cover copy

Rumah dua tingkat itu cerah, terang benderang. Suara riuh senda gurau penghuninya mengisi segenap ruang. Begitu ramai saudara-mara yang berkumpul. Maklum, esok adalah hari pernikahan anak lelaki sulung dalam keluarga itu. Berbagai persiapan terutama menyiapkan dulang-dulang hantaran sedang dibuat sambil disulam senyum tawa keriangan.

Sebuah kereta putih menjalar perlahan di depan rumah yang penuh dengan kereta yang diparkir di sepanjang bibir jalan. Melihat tiada kelibat manusia di perkarangan rumah, pemandu itu memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pagar. Dia keluar dari kereta dan tercegat berdiri memandang keliling mencari kelibat atau bayang sesiapa. Setelah berpuas hati dia membuka pintu kereta di belakang. Sekujur tubuh berbalut selimut sepenuhnya dirangkul keluar dengan susah payah. Pintu pagar yang tidak bertutup rapat itu ditolak dengan kakinya sahaja.

Dalam cahaya samar lampu neon di tepi jalan, halaman rumah itu tidak terlalu terang. Pandangannya mengitari halaman itu sekali imbas. Dia melangkah yakin ke sisi halaman yang dikelilingi deretan pasu-pasu bunga dan pokok hiasan yang berbalam kehijauan di malam hari. Dan perlahan-lahan, tubuh yang berbalut itu diletakkan di atas baldu rerumput. Dia membetulkan balutan selimut yang turut membalut kepala agar hanya muka saja yang terbuka. Wajah yang masih terlena itu dipandang buat kali terakhir sebelum dia melangkah pergi. Wajah yang mungkin bakal menghantui tidur dan jaganya selepas ini.

Dia melangkah laju ke arah kereta tadi tanpa menoleh sedikit pun. Dan beberapa detik kemudian, enjin kereta itu mengaum mengejutkan hening malam yang sedang menuju kemuncaknya lalu menderu laju meninggalkan tempat yang disumpah itu.

Tangannya mencapai telefon bimbit yang berkulit merah jambu yang tadi dicampak di atas kerusi penumpang di sebelahnya. Nama pemanggil dalam senarai panggilan dipilih dan butang hijau disentuh.

“Noura!” Nama itu diseru.

“Noura dah aku hantar balik. Sebagaimana engkau hantar Fina balik.”

Butang merah disentuh. Panggilan itu dihentikan. Butang di pintu sisi ditekan dan cermin tingkap diturunkan. Telefon bimbit itu dicampak keluar sejauh mungkin. Sebagaimana dia mencampak keluar nama yang mengundang dendam itu dari lubuk hatinya. Dan kereta itu terus menderu membelah malam yang pekat.

Bakal pengantin lelaki itu hilang suara sebaik sahaja panggilan itu diputuskan. Dia yang tadi sedang gelak ketawa diusik sanak saudara kini bungkam tidak bergerak. Hanya jantungnya yang berpalu kuat di dalam.

Soalan berdatangan bertanyakan Noura dari saudara mara di sekelilingnya. Memang kelibat Noura dinanti sejak beberapa jam yang lalu. Jadi panggilan itu pastinya membawa berita tentang Noura. Itu yang mereka harapkan.

Deruman enjin yang kedengaran tadi mengingatkan Adam tentang sesuatu. Bingkas dia berlari ke pintu tanpa mempedulikan sesiapa pun yang bertanya. Tanpa sempat menyarung kasut, Adam melompat ke tengah halaman dan… sekujur tubuh yang berbalut selimut di atas rumput menangkap pandangannya.

“Nouraaaaa!” Suara pekikan Adam tiba-tiba menyentak hening malam. Kakinya lemah tiba-tiba namun diheret menuju ke arah tubuh yang terbaring kaku itu. Dia terduduk melutut. Wajah manja adik kesayangannya, Fatimah El Noura yang masih terpejam itu diraup dengan kedua tangannya.

“Noura!”

Tubuh itu digoncang berkali-kali. Pantas nadi di lehernya disentuh. Dia masih bernafas! Syukur, ya Tuhan! Matanya mengelingas keliling tapi tiada kelibat yang kelihatan.

“Noura! Bangun Noura!” Pipi adiknya berkali-kali ditampar perlahan. Adam panik. Noura pengsan?

Dia mendongak menarik nafas. Air! Bingkas dia bangun menuju paip di bucu halaman. Ada gayung di situ. Air ditadah dan dibawa ke tempat Noura terbujur kaku. Muka yang kelihatan pucat itu disapu dengan air berkali-kali.

Pada masa itu juga, abi dan umi serta yang lain sudah mengelilingi Noura dan Adam. Masing-masing cemas dan tertanya-tanya.

“Hmmm….” Noura tiba-tiba bersuara lemah. Anak matanya kelihatan bergerak-gerak di bawah kelopak mata yang masih tertutup.

“Noura! Buka mata, sayang. Ni umi… buka mata nak…” Sebak dan hiba suara Umi singgah ke pendengarannya. Umi!

“Umi…” Rengek Noura perlahan. Serentak itu, kelopak matanya terbuka. Payah.

“Umi…”

“Noura!” Umi memangku kepala anaknya dan memeluknya erat, menangis hiba. Apa yang berlaku, ya Allah?

‘Umi?” Noura benar-benar sedar kini. Sepasang matanya membesar melihat begitu ramai yang mengerumuninya. Dan langit kelam yang menyapanya membuatkan matanya buntang.

“Umi… kenapa Noura kat sini?” Dia terkejut dan cemas. Umi hanya menangis sementara yang lain diam dengan wajah-wajah keliru.

“Umi!” Susah payah Noura cuba bangun dibantu oleh Adam. Namun selimut yang melurut turun dari kepala dan bahunya menghentikan pergerakannya. Dan sebahagian tubuhnya yang mula terdedah membuatkan dia menyedari sesuatu. Dia hanya ada selimut itu!

“Umi… ke…kenapa dengan Noura? Kenapa…?” Dia mendongak merenung wajah Adam yang tercengang memandang. Umi yang terkejut cepat-cepat merangkul Noura, memeluknya erat sambil menutup kembali tubuh yang hampir terdedah itu.

“Abang Adam?” Noura menjerit tidak percaya. Di mana pakaiannya? Wajah seorang lelaki menjelma dalam ingatannya. Pelukan umi tidak dipedulikannya.

‘Tunggu Adam?’ Pertanyaan itu memutar memori. Apa yang telah berlaku?

“Abang Adam!” Noura meraung menangis ketakutan.

Rashdan yang baru tiba terkejut melihat keadaan anak gadisnya. “Tolong ke tepi semua. Adam, bawa Noura ke dalam. Cepat!”

Adam menggagahkan diri merangkul tubuh adiknya ke pangkuan dan membawanya ke dalam rumah, terus ke bilik tamu di tingkat bawah. Tangisan Noura yang ketakutan membuatkan dia semakin dijerut rasa cemas.

‘Noura dah aku hantar balik. Sebagaimana engkau hantar Fina balik.’ Kata-kata yang sarat dengan nada dendam itu benar-benar menggugat dirinya.

Di bilik, Rashdan bertindak mengunci pintu setelah dia memimpin isterinya, Madihah yang sudah tersedu sedan menangis ke birai katil, di sisi anak mereka, Fatimah El Noura. Di luar sana, pelbagai kebarangkalian berlegar dalam minda masing-masing. Suasana meriah bertukar suram. Berita buruk itu berpindah dari mulut ke mulut bagai api dalam sekam. Semarak dalam diam.

“Noura! Noura sayang… jangan menangis nak! Umi ada… cakap pada umi apa yang berlaku Noura,” Madihah merapati Noura yang sudah melarikan diri ke kepala katil sambil duduk memeluk dirinya. Dia yang masih di dalam selimut itu menangis dengan wajah takut dan keliru. Kenapa dia jadi begini? Di mana pakaiannya? Apa yang telah diperlakukan ke atasnya? Jari jemari Noura meramas-ramas tangan sendiri. Sekejap mengenggam, sekejap mengusap kasar tubuhnya, cuba menepis segala rasa yang jijik dan kotor. Apa yang berlaku? Kenapa dia jadi begini? Kenapa? Hatinya menjerit bertalu-talu namun hanya airmata yang mengalir deras.

Rasydan laju melangkah mendapatkan Noura, mahu merangkul anaknya ke dalam pelukannya tapi sebelum sempat dia menyentuh, gadis itu sudah mendongak memandangnya dengan sepasang mata yang mencerun takut.

‘Jangan! Jangan! Jangan sentuh Noura!” Dia menjerit, menggeleng-gelengkan kepala, takut dan cemas. Tubuhnya mengesot menjauhi ayahnya sendiri.

“Noura… ini abi, sayang…”

“Tak nak! Jangan dekat Noura. Tolong jangan sentuh Noura! Umi! Umi!” Noura meracau, menjerit dan meraung pada masa yang sama. Madihah menerpa ke arah anaknya, merangkul dan memeluk tubuh malang itu sekali lagi ke dalam pelukannya. Bala apakah ini, ya Allah? Hatinya meratap melihat anak kesayangannya tiba-tiba berubah sekelip mata.

Noura menangis dalam pelukan ibunya. Hiba meregut jantung hati sesiapa yang mendengar. Rashdan yang terkaku dengan respon anaknya tadi jatuh terduduk di birai katil. Pandangannya menerawang. Apa yang telah berlaku?

“Adam!” Pandangannya menirus ke arah anak lelakinya yang terduduk di lantai dan tersandar ke dinding, memandang cemas ke arah adiknya yang bagaikan orang hilang punca. Adam terdongak memandang abinya. Bingkas dia bangun sambil meraup mukanya yang sedang menahan kesedihan.

“Apa yang berlaku, Adam? Abi di bilik tadi. Abi tak sedar apa yang berlaku di luar. Bagitau abi, Adam! Kenapa dengan Noura?” Tegas Rashdan bersuara sambil menahan segala rasa yang berombak di dalam dadanya.

“Adam… Adam tak tahu, abi. Adam dengar bunyi kereta mengaum di luar. Lepas tu… Adam dapat call dari handphone Noura. Tapi suara lelaki. Dia kata… dia kata…” Suara Adam yang sebak tersekat-sekat dan terputus di situ sedang matanya tertancap kepada tubuh adiknya yang hanya berbalut dengan selimut itu…

‘Dia kata apa, Adam?” Jerkah Rashdan tanpa dapat ditahan lagi. Jantungnya berdenyut sakit hanya Tuhan yang tahu. Pada masa yang sama, dia sebenarnya amat takut dengan apa yang bakal Adam katakan.

“Dia kata… dia dah hantar Noura balik…” Kata-kata itu hanya berdesir dari bibirnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hatinya kecut untuk mengulang kata-kata lelaki durjana itu. Kepalanya dijatuhkan. Pandangannya dilarikan dari tubuh Noura dan hanya mampu menekur ke lantai. Dan dia amat tahu saat itu, pandangan abi menikam ke tubuhnya.

“Adam kenal siapa dia?” Bentak Rashdan lagi. Emosinya memuncak membuatkan dia jadi tertekan sekali.

Laju Adam menggelengkan kepala. “Tak! Adam tak kenal, abi?”

“Betul Adam tak kenal? Macam mana dia tahu nak call Adam kalau dia tak kenal Adam?” Soal Rashdan lagi. Tubuhnya terlonjak berdiri kerana marah. Kakinya melangkah mendekati Adam.

“Be… betul! Betul, Adam tak kenal, abi! Mungkin dia redial nombor pemanggil sebab… sebab Adam call Noura banyak kali tapi dia tak angkat. Adam nak bagitau dia yang tayar kereta Adam pancit. Sebab tu, Adam lambat jemput dia. Bila Adam sampai, dia dah tak ada. Adam… Adam ingat dia balik naik teksi. Adam call, tak angkat juga. Adam balik rumah dia tak ada. Sampailah…” cerita Adam sampai di situ sahaja dan pandangannya lirih memandang adiknya.

Rashdan menghela nafas kasar. Pandangannya mengitari seluruh bilik, mencari jawapan. Akhirnya singgah ke wajah anak gadisnya yang basah memerah. Tuhan!

“Adam call handphone Noura lagi. Sampai dijawab. Cari lokasi handphone tu di mana. Sekarang!” Pekik Rashdan sekuat hati. Amarahnya yang sejak tadi bergelora ganas di dalam, dihamburkan di situ. Menikus Adam dibuatnya. Pantas anak muda itu mengambil telefon bimbit dari poket seluarnya dan mengambil tempat di pojok bilik itu untuk melakukan apa yang disuruh.

“Noura… sayang… ini abi, Noura,” Rashdan merapati anaknya sekali lagi. Hiba hatinya bila seorang anak melarikan diri dari ayahnya sendiri. Betapa dia mahu memeluk anaknya dan mengembalikan dia kepada asalnya. Kepada seorang Fatimah El Noura yang periang, manja dengan keletahnya yang selalu membahagiakan.

Noura berhenti menangis tiba-tiba apabila mendengar suara ayahnya. Suara lelaki! Dia mahu apa lagi?

‘Saya nak berkawan dengan adiknya dulu. Boleh macam tu?’

Kawan? Kawan apa sampai dia hanya berselimut begini? Dia menjerit marah di dalam hati. Sepasang matanya membesar memandang tanpa arah. Langsung tubuh yang sedang memeluknya dipaut erat. Tolong! Tolong jauhkan aku dari lelaki itu!

Tangan Rashdan menyentuh bahu anaknya perlahan. Serentak itu kepala Noura mendongak. Serta-merta wajahnya mengerut ketakutan. Nafas makin laju, tangisnya kembali kedengaran.

“Noura sayang…” Rashdan tunduk merapat.

“Pergiiiiiii!” Noura menjerit sekali gus membenamkan mukanya ke bahu insan yang memeluknya erat, insan yang melahirkannya ke dunia ini yang sedang bergegar tubuhnya menahan tangis. Madihah memeluk anaknya sekuat hati, cuba mententeramkannya walau hatinya pedih pilu dihiris kejutan dan kekecewaan yang amat. Dan Rashdan tertegun berdiri semula.

Fatimah El Noura tiba-tiba hilang kewarasan diri.

Nota: Mini novel ini hanya boleh dimiliki dalam format pdf (enovel). Whatsapp 011-12541676 @ email azuraabd@hotmail.com jika berminat. Moga terhibur!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s