siri Novel GUARDIAN ANGEL Bab 1

GUARDIAN ANGEL cover copy

Tawa gadis itu gemersik memecah hening suasana. Sayup-sayup menyentuh deria dengarnya. Dua orang temannya ikut tertawa. Mereka bergurau senda sementara mengusir bosan menunggu teksi yang tak kunjung tiba. Simpang siur manusia semakin hilang kelibat kerana malam kian larut meninggalkan sisa-sisa senja.

Bagaikan sebuah kamera polaroid, mata dan akalnya merakamkan aksi-aksi gadis itu. Saat dia ketawa sambil menekup bibir, manis bersopan. Ada waktu, mata dan mulutnya sama bulat bila terkejut dengan cerita temannya, comel mencuit hati. Dan sesekali dia berpusing memandang ke sisi jalan, mencari kelibat yang dinanti. Saat itu wajahnya yang lembut menawan jelas terserlah. Hampir setengah jam berlalu, sedikit pun dia tidak terasa bosan memandang dan menunggu.

Sebuah teksi hitam putih muncul di antara kenderaan yang lalu lalang di jalanraya di hadapan bangunan itu. Dia yang sedari tadi duduk bertugu di dalam keretanya yang diparkir tidak jauh dari tempat anak-anak gadis itu menunggu teksi hanya memandang sambil hatinya berlagu penuh harap. Peluang terakhir malam ini. Dia tidak boleh gagal lagi.

Teksi tadi membawa pergi dua orang rakannya meninggalkan dia sendirian menilik waktu dari jam tangan merah jambu di pergelangan tangannya. Tangan kanan masih setia memeluk fail dan buku sementara beg galas merah jambu bersilang di belakangnya. Selendang labuh yang dipakainya beralun lembut ditiup angin malam. Jelas dia resah menunggu. Apatah lagi sendirian begitu.

Dia tersenyum. Waktu yang sangat sempurna. Kaca mata hitam dari papan pemuka dicapai lalu dipakai. Malam menjadi semakin pekat pada pandangan kacamatanya. Cermin pandang belakang ditelek untuk melihat imej sendiri. Kumis diperiksa rapi. Puas hati. Zip pada jaket pula ditarik rapat. Sejambak bunga mawar di tempat duduk penumpang di sebelahnya diambil sambil matanya tidak lepas memandang ke arah gadis itu. Dengan langkah teratur dan penuh yakin, dia keluar dari kereta.

Gadis yang tidak sedar dirinya diperhatikan itu asyik memandang ke depan. Menunggu penuh setia. Dia tersenyum. Yang ditunggu takkan kunjung datang. Dia sudah memastikannya.

“Tunggu Adam?” Sapanya lembut namun cukup untuk menyentak sekujur tubuh gadis itu. Dia tertawa malu kerana terkejut begitu. Lelaki asing yang mungkin merupakan teman abangnya.

“Ya. Mana awak tahu?” Suaranya lunak bertanya.

“Saya tahu.” Senyum dipamerkan segarit cuma.

“Untuk awak.” Jambangan bunga itu dihulurkan. Wajahnya beriak ikhlas. Gadis itu terkejut dan serba-salah. Jambangan bunga dan jejaka tampan, satu kombinasi yang sukar ditolak.

“Jangan hampakan saya.” Nada suaranya direndahkan. Mohon simpati. Teragak-agak si gadis menyambut huluran bunga yang amat menggoda itu.

“Saya harap harumnya masih ada.” Dia berbahasa. Tunduk tersenyum memandang hujung kasut. Lelaki budiman tidak akan memaksa. Segalanya harus penuh seni dan gaya. Gadis itu tertawa kecil. Ada nada kagum dalam suara itu. Kemudian dia tunduk menyedut haruman mawar yang masih segar itu.

“Suka?”

“Suka!” Dia tertawa malu. Ceria wataknya. Kemudian sepasang matanya merawang jauh. Meninjau yang dinanti, pastinya.

“Apa kata saya hantar awak balik?”

“Ha?” Ha… ha… hasssyyummm! Dia terbersin kuat. Kelam kabut dia menutup hidung.

“Mmm… maaf!”

“Tak apa. Sejuk angin malam tu.” Sehelai saputangan dihulurkan ke muka si gadis yang sudah kemerah-merahan itu.

“Eh… tak apa!” Hah… ha… hassyyumm!

“Kan makin teruk tu. Ambillah…” Sekali lagi, dia tidak akan memaksa.

“Hmm… terima kasih.” Saputangan diambil juga dengan serba-salah. Langsung dibawa ke hidung. Entah kenapa tiba-tiba dia bersin. Bukan tak biasa pulang selepas habis kelas malam-malam begini.

“Betul tak nak saya hantarkan balik?” Lembut dan lunak suaranya membuatkan gadis itu tersipu menggeleng. “Abang mesti dah dalam perjalanan sekarang. Saya tunggu saja. Terima kasih ya.”

Dia hanya mengangguk. “Kalau macam tu, saya temankan sampai abang awak sampai.”

“Awak kawan abang ke?” Soalnya, ingin tahu sejak tadi lagi. Kenapa tiba-tiba muncul dengan bunga bagai?

“Kenal. Belum berkawan. Saya nak berkawan dengan adiknya dulu. Boleh macam tu?” Soalan itu hanya disambut tawa malu lagi. Tertunduk-tunduk dia melindungi wajah yang berona. Dan bila dia mendongak semula…

“Eh…” Jemarinya cepat memegang kepala.

“Kenapa?’

“Entah kenapa saya rasa… pening…” Berkerut-kerut dahinya menahan rasa. Sepasang mata yang beralis lentik itu terkelip-kelip gelisah. Berdirinya mula goyah. Dan sebelum dia rebah…

“Biar saya tolong awak…” Tangan sasanya sudah mendarat ke pinggang, membantu gadis itu terus berdiri.

“Kenapa dengan saya ni…? Awak… saya…” dan dia terus rebah ke dalam pangkuan lelaki yang tinggi lampai itu. Rebah yang dinanti. Ada senyuman yang mekar. Ada nafas yang dihela puas.

Sambil memaut rapat tubuh gadis itu, dia membawanya ke kereta yang sudah lama diparkir tidak jauh dari situ. Buku dan fail yang bertaburan dikutip kemudian. Dan tanpa sesiapa pun menyedari, sepasang insan itu hilang dari pandangan, meluncur laju membelah malam di ibukota dengan kereta putih milik lelaki itu.

Nota: Mini novel ini boleh dimiliki hanya dalam format pdf. Whatsapp 011-12541676 @ azuraabd@hotmail.com.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s