Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 13

“Nama siapa?” Soal Dr. Farah dengan suara lunak. Memandang lembut ke arah gadis yang terbaring di sisinya yang sudah dibuka tudungnya dan rambut hitam pekat terhampar cantik di atas bantal berbalut sarung sutera itu

Wardah yang sudah sedarkan diri selepas diperiksa oleh Dr. Farah memandangnya dengan mata yang berkelip-kelip. Fikirannya masih terawang-awang. Tubuhnya lesu dan longlai. Dia tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya. Malah dia tidak sedar bila jarinya dicucuk sedikit untuk diambil darah bagi ujian glukosa sebentar tadi.

“Saya Dr. Farah. Cik pengsan tadi. Keadaan cik masih lemah. Boleh beritahu saya nama cik?”

“Wardah…,” serak suaranya. Dia masih memandang Dr. Farah yang cantik tersenyum manis itu. Segarit senyum muncul di bibir Wardah. Membalas senyuman doktor yang lembut itu.

“Saya dah periksa tekanan darah. Masih agak rendah. Malam ni, Cik Wardah perlu rehat. Saya dah ubah kedudukan badan Cik Wardah dalam posisi ni supaya perjalanan darah berjalan baik. Cuba kekalkan dalam posisi yang sama ya.” Wardah mengangguk lemah.

“Saya di mana, doktor?” Soal Wardah seraya berkalih pandangannya ke arah lain. Ruang dalam bilik itu begitu asing baginya.

“Di rumah nenek…,” Jawab satu suara dari arah pintu. Dr. Farah bangun berdiri perlahan-lahan, tersenyum seraya menghulurkan tangan kepada Puan Sri Ainon yang baru melangkah masuk.

“Apa khabar, puan sri?”

“Farah! Nak berpuan sri malam-malam ni. Saya sihat, alhamdulillah. Macam mana dengan dia?” Puan Sri Ainon ketawa bergurau sambil bertanyakan tentang gadis yang tiba-tiba ada terbaring di katil bilik tetamu rumahnya.

“Wardah. Namanya Wardah, puan. Dia dah sedar sepenuhnya. Dia cuma pengsan tapi denyutan nadinya masih lemah. Dia perlu rehat. Saya dah periksa secara keseluruhan, untuk malam ni dia okey. Cuma perlu rehat tapi dia perlukan rawatan lanjut selepas ni.” Terang Dr. Farah dengan panjang lebar.

Puan Sri Ainon duduk di birai katil. Wajah Wardah disentuh dengan telapak tangannya.

“Wardah selamat di sini. Di rumah nenek. Nenek akan jaga Wardah malam ni. Jangan bimbang ya…”

Wardah memandang wajah wanita yang sudah berumur itu dengan pandangan yang berbaur. Rasa hairan dan terharu dengan kebaikannya. Perlahan-lahan Wardah menghulurkan tangan untuk bersalaman. Jemari tua itu dikucup lembut. Terasa hangat kemesraannya.

“Kalau macam tu, saya pergi dulu, puan. Wardah juga perlukan rehat yang cukup.”

Pandangan dalam Puan Seri Ainon yang menjamah wajah pucat Wardah tidak beralih tatkala dia menjawab, “ya, Farah. Hari pun dah lewat malam.”

Kepada Wardah, dia bersuara lebih lembut, “Wardah, tidur ya. Bilik nenek di sebelah tangga saja. Kalau ada apa-apa, Wardah panggil nenek ya. Nanti nenek akan datang tengok-tengokkan Wardah.”

Terkelip-kelip mata Wardah sambil dia mengangguk. Tidak terungkap bicara dengan kelembutan dan budi baik wanita yang begitu asing baginya.

“Mari Farah, kita biarkan Wardah rehat.” Puan Seri Ainon bangun perlahan-lahan sambil memandang Wardah sekali lagi. Senyumannya meleret. Dan Dr. Farah ikut tersenyum penuh makna.

Daun pintu bilik itu ditutup sebaik saja mereka berdua melangkah keluar. Dr. Farah memberi penjelasan yang sama kepada Zakuan yang bagaikan tidak sabar untuk mengetahui keadaan gadis itu.

Selepas membasahkan tekak dengan air minuman yang dihidangkan, Dr. Najmi dan Dr. Farah meminta diri untuk pulang.

“Eh! Eh! Nak ke mana tu?” Soal Puan Seri Ainon apabila Zakuan melangkah ke pintu bilik tamu sebaik saja kereta pasangan doktor itu hilang dari pandangan.

“Err… nak… nak tengok dia kejap, nek!” Tangan Zakuan sudah memegang tombol pintu. Dia kebimbangan. Kalut dengan rasa bersalah.

“Apa hal nak tengok anak dara orang malam-malam ni? Dia dah tidur tu, jangan diganggu.” Tukas neneknya, tegas.

“Tapi nek, Kuan kena balik KL malam ni jugak. Kuan nak cakap dengan dia kejap,” pandangan yang merayu itu hampir membuatkan Puan Seri Ainon tersenyum tetapi dikulum sedaya mungkin. Wajah serius dipamerkan untuk cucunya yang tiba-tiba berubah tingkah itu.

“Nak cakap apa? Apa yang penting sangat tu? Farah dah suruh dia tidur, rehat. Apa-apa pun telefon dia esok pagi. Kuan kata nak balik KL kan? Elok bertolak sekarang. Esok awal pagi dah nak ke pejabat. Eh, orang Korea menepati masa, tahu?” Tempelak Puan seri Ainon lagi. Sengaja dia mahu mendera anak muda itu. Lagi pun, tak elok biarkan dia di bilik dengan seorang gadis. Apalagi gadis ayu itu sedang terbaring dengan rambut hitamnya yang lurus cantik itu terhampar di bantal. Oh, tidak! Cucunya harus dijauhkan.

Zakuan tidak jadi memulas tombol. Dia buat muka sesaat. Kemudian melangkah kembali ke sofa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Haru! Apa yang akan berlaku esok pagi? Dia bimbang kalau Wardah menceritakan apa yang berlaku pada nenek. Pasti berhambur soalan yang mesti dia jawab pada datuk dan neneknya nanti.

“Kuan, apa yang susah hati sangat ni?”

“Dia tu lah, nek! Esok awal-awal pagi, kawan-kawan dia dah nak bertolak balik ke KL. Kuan pulak dah nak balik malam ni. Entah macam mana keadaan dia esok. Kalau dia sihat, nak kena hantar balik ke chalet supaya dia boleh balik dengan kawan-kawan dia. Tapi kalau dia kena rehat lagi, mungkin Kuan kena balik sini pulak untuk jemput dia balik.” Zakuan cuba memikirkan jalan terbaik untuk tidak memberi ruang kepada nenek meluangkan masa dengan gadis itu.

“Apalah yang kamu peningkan sangat? Esok pagi, kalau dia okey, nenek hantarlah balik ke chalet tu. Kalau dia tak okey, nenek dengan datuk hantar dia balik KL bila dia dah okey nanti. Apa susahnya? Sudah, pergi balik cepat. Nanti sempat kamu tidur sejam dua sebelum ke pejabat.” Zakuan digesa supaya pulang. Puan Seri Ainon tidak mahu cucunya berlama-lama lagi di situ. Bimbang nanti dia mengambil kesempatan menjenguk anak dara di dalam bilik peraduan.

“Hmm… ya lah nek. Kuan mintak diri dulu. Lepas subuh esok, Kuan call. Nanti mintak Pak Hasyim hantarkan ke chalet ya, nek.” Zakuan sudah tidak ada jalan lain. Dia terpaksa pulang dengan hati yang sangat berat. Moga-moga tiada peluang untuk Wardah bercerita esok pagi.

Zakuan menaiki anak tangga menuju ke biliknya dan mengambil beg bagasi yang sudah siap sebelum dia ke majlis tadi. Di muka pintu utama, beg itu diserahkan pada Zali yang setia menunggu, Tangan neneknya dikucup lembut penuh kasih. Ingin dia berpesan-pesan lagi tetapi tidak pasti apa yang patut dia katakan. Akhirnya dia bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan hati yang gundah gulana. Wajah Wardah yang lesu terbaring di biliknya mengacah di ruang mata. Entah mengapa, hatinya bagaikan ingin berada di sisinya sehingga matahari menjelma.

Teringatkan Azam, dia menelefon lelaki itu dan berpesan agar mereka menunggu Wardah di chalet pagi esoknya sebelum bertolak balik kerana Wardah sudah sedarkan diri dan berehat di rumahnya untuk malam itu.

“Jangan beritahu dia lagi tentang cek itu. Jangan berbincang apa-apa lagi selagi sebelum sampai ke Kuala Lumpur. Lepas ni, kau tolong pastikan Wardah datang ke Klinik Dr. Qushairi untuk rawatan lanjut.” Pesan Zakuan bertalu-talu. Azam hanya mengiyakan tanpa banyak bicara. Tidak seperti ketika dia menelefon awal tadi. Zakuan kaget juga dengan perubahan itu tetapi dia membiarkan saja.

Azam meletakkan telefon bimbitnya kembali ke atas meja. Jam sudah menunjukkan angka dua. Dia berkira-kira samada hendak menelefon Benn dan yang lain yang sedang merisaukan Wardah. Akhirnya dia hanya mengirim pesanan melalui aplikasi grup whatsapp bahawa Wardah sudah sedarkan diri dan berehat untuk malam ini. Dia akan pulang ke Kuala Lumpur bersama mereka semua esok pagi.

Dek kerana resah memikirkan Wardah, Zakuan dan cek yang bernilai RM100,000 itu, kantuk Azam tidak juga datang-datang. Dia teramat bimbang kalau tiba-tiba Wardah menjadi ‘mainan’ Zakuan yang seterusnya. Entah bagaimana dia dapat menyelamatkan Wardah kalau itu yang terjadi. Azam sukar melelapkan mata. Puas dia berkalih ke kiri dan kanan namun fikirannya terus menerawang. Akhirnya jam berbunyi dengan suara azan Subuh berkumandang dari telefon bimbitnya. Bingkas dia bangun dan bersiap. Sugul. Riak wajahnya benar-benar sugul pagi itu.

Selepas sarapan pagi, mereka semua tertunggu-tunggu kelibat Wardah di hadapan restoran. Azam meminta yang lain supaya bergerak pulang dulu sementara dia dan Halim serta Siti Solha dan suaminya serta Benn sahaja yang menunggu Wardah. Gadis itu memang ke RPLB dengan menumpang kereta Siti Solha bersama Benn.

Benn becok bertanya itu dan ini kerana dia tidak berada di sisi Wardah ketika Puteri Gunung Ledang itu pengsan semalam. Tetapi melihatkan wajah Encik Azam yang ketat dan jawapannya hanya angguk atau geleng atau mengangkat bahu, akhirnya Benn terdiam sambil berbalas pandang dengan Chon.

Selepas lama masing-masing diam membisu menunggu Wardah, barulah Encik Azam bersuara. Dia sekadar berpesan supaya Wardah tidak ingat-ingatkan tentang kejadian semalam. Katanya lagi, Wardah sudah diperiksa oleh doktor dan dia perlu mendapatkan rawatan lanjut. Bagi menentukan dia dalam keadaan stabil, semua diminta tidak menyebut apa-apa yang boleh membuat Wardah terkejut atau murung. Dan apa yang berlaku semalam, biarkan dulu tanpa perlu diungkit-ungkit. Bimbang nanti Wardah menjadi tidak stabil semula. Kenapa dan mengapa Wardah jadi begitu semalam, tidak pula disentuh oleh Encik Azam.

Benn memandang Chon dengan pandangan tidak puas hati. Tetapi keadaan Encik Azam yang begitu tegang membuatkan dia menyimpan rasa ingin tahu itu dalam-dalam.

Leave a comment