Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 11

Salam Ramadhan Al Mubarak untuk semua pembaca KALAU AKU KAYA (KAK). Selamat menjalani ibadah berpuasa dan seribu satu ibadah demi meraih keberkatan Ramadhan. Jangan lupa banyak-banyak berdoa sebelum masuknya waktu berbuka puasa ya. Doakan juga penulisan KAK berjalan lancar… dan Juea doakan agar kita semua dibantu Allah dalam mensucikan hati kita yang penuh karat…

 

KALAU AKU KAYA Bab 11

Acara kemuncak pada malam itu adalah penyampaian hadiah bagi tim-tim yang berjaya dalam berbagai acara sukaneka. Seterusnya hadiah untuk acara paling hangat pada malam itu iaitu “Kekasih jangan merajuk” diumumkan. Semua jadi berdebar kerana tidak pasti pasangan mana yang paling bertuah.

Sekali lagi Wardah menekup bibir apabila namanya dan Adam diumumkan oleh pengerusi majlis untuk naik ke pentas bagi menerima hadiah dua keping tiket percutian ke Bandung setiap seorang. Riuh rendah dewan bertepuk tangan dan ada yang bersiul nakal. Mahu tidak mahu, Wardah memaksa dirinya bangun dan melangkah ke atas pentas untuk menerima hadiah. Adam yang sudah berdiri di hujung pentas menanti dengan senyuman paling menawan.

Wardah serba-salah. Berkerut mukanya waktu melangkah kerana malu dengan aksi Adam. Dan sebaik saja dia naik ke pentas, Adam begitu budiman, mengiringinya ke tengah pentas untuk menerima hadiah dari Encik Azam yang sabar menunggu tetapi gelisah dek cemburu melihat Adam yang kacak bergaya berjalan di sisi Wardah.

‘Tahniah, Wardah. Nak pergi dengan siapa nanti?” Sempat Azam bertanya.

Wardah ketawa. Dia tidak terfikirkan pun tentang itu.

“Dengan Encik Azam, boleh?” Jawab Wardah sambil menjungkit kening. Nakal! Azam hanya ketawa sambil mengangguk. Dia faham gurauan Wardah. Bertuahlah badan kalau jadi kenyataan!

Adam pula menghulurkan tangan, bersalaman lalu menerima hadiah yang diharap-harapkan. Kini dia menaruh harapan pula untuk pergi bersama Wardah.

“Terima kasih, Encik Azam. Nanti kita pergi sekali ya,” sambungnya dalam nada bergurau.

Azam ketawa lagi sambil mengangguk lagi. Dan Wardah sudah laju berjalan menuruni anak tangga di sisi pentas sebelum sempat Adam menyainginya.

“Tahniah! Bestnya kau dapat melancong. Mahal betul anggukan kepala engkau kan?” Usik Benn sebaik saja Wardah melabuhkan punggung ke kerusinya semula. Mahu rasanya diketuk kepala Benn yang tadi beriya-iya mengangguk. Sekarang dia pula yang mengejek. Namun ucapan tahniah dari Chon dan yang lain-lain di meja membuatkan Wardah sibuk mengucapkan terima kasih.

Seterusnya, penaung Kaustik Sendirian Berhad, Tan Sri Dato’ Muhammad Ridhwan bin Uthman dijemput untuk naik ke pentas bagi menyampaikan beberapa anugerah untuk kakitangan KSB termasuk anugerah khidmat cemerlang yang ditunggu-tunggu. Akhirnya anugerah itu jatuh ke tangan Wardah Sakinah Abdul Hanif. Gemuruh tepukan dari semua yang hadir menunjukkan bahawa mereka semua setuju yang Wardah layak menerimanya. Zakuan yang berdiri di sebelah datuknya, memerhati setiap langkah yang dihayun Wardah dengan sopan menuju ke pentas.

Wardah yang sebenarnya gugup kerana terlalu terkejut jenuh mengawal diri agar dapat sampai ke pentas sekali lagi dengan jayanya. Dia masih terpinga-pinga kerana merasakan ramai lagi yang lebih layak. Mengapa pula dia yang terpilih.

“Tahniah, Wardah Sakinah! Syabas! Teruskan berkhidmat dengan cemerlang ya.” Ucap Tan Sri Dato’ Muhammad Ridhwan yang kini sudah berusia 72 tahun tetapi kelihatan masih segak dan bertenaga.

“Terima kasih, Tan Sri. InsyaaAllah!” Balas Wardah, penuh rasa terharu. Wajah majikannya, Encik Azam sempat direnung dengan tandatanya. Mengapa dia?

You deserve it, Wardah. Tahniah!” Ujar Azam dengan ikhlas. Dia merasa amat gembira dan bangga kerana mempunyai seorang kakitangan seperti Wardah.

“Terima kasih, Encik Azam… kerana banyak bimbing saya. Terima kasih!” Azam tersenyum manis, mengangguk. Dan lelaki cina tadi berdiri di sebelah Tan Sri Dato’ Muhamad Ridhwan membuatkan langkah Wardah terhenti. Seperti biasa, tiada segarit pun senyum di bibirnya. Apatah lagi ucapan tahniah. Berdiri di situ memandangnya dengan pandangan yang dalam persis seorang model kacak yang sedang beraksi di hadapan kamera. Dalam debar, Wardah hampir tersenyum tetapi ditahan lalu dia hanya mengangguk tanda hormat ke arah lelaki itu.

Dan Zakuan yang memandang tajam mengangkat kening. Tunduk saja? Tak ada terima kasih? Tak ada senyum? Namun gadis ayu itu sudah berlalu.

Akhirnya semua selesai dan makan malam mula dihidangkan. Mereka menjamu selera sambil menyaksikan persembahan dari wakil-wakil setiap bahagian di KSB. Untuk tim editorial, suara emas Raymond Yap menyelamatkan semua daripada membuat persembahan.

Persembahan terhenti seketika bagi memberi laluan kepada penaung KSB untuk beransur pulang atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk berlama-lama di dalam majlis. Kemudian sebuah sketsa yang mencuit hati daripada tim pemasaran dipersembahkan dengan jayanya dan banyak lagi persembahan yang menarik dan menghiburkan semua sehingga ke penghujung majlis.

Jam sudah menunjukkan hampir dua belas malam. Persembahan penutup sudah pun melabuhkan tirai. Sekelian yang hadir mula beransur pulang. Cuma ramai yang masih di dalam dewan untuk sesi bergambar yang bersambung daripada sebelum acara majlis tadi. Macam-macam watak yang digayakan malam itu, ada yang menjadi Ali Baba, Dato’ Maharaja Lela, Mahsuri, Puteri Hang Li Po dan berbagai watak lagi. Memang meriah dalam suasana nostalgia.

Berderet-deret pula yang mahu bergambar dengan pemenang anugerah khidmat cemerlang pada malam itu. Wardah tiba-tiba jadi sibuk dan mendapat perhatian seperti seorang artis. Dan yang ikut popular juga adalah Benn yang mendapat anugerah kostum tema bintang lagenda terbaik – si nenek kebayan dari Gunung Ledang. Apa tidaknya, Chon solek dia memang macam nenek kebayan. Tak sangka Chon begitu berbakat. Dengan gaya Benn yang berjalan terbongkok-bongkok dan suaranya yang agak parau itu dilengkapi pula tongkat yang Benn beli dari orang kampung di situ yang kelihatan seperti akar menyerupai ular berdiri! Wardah pun naik seram bila berdiri di sebelahnya.

Penat bergambar, Wardah mengajak Benn pulang ke chalet.

“Berikan dia sampul surat tadi. Minta dia buka dan rahsiakan kandungannya. Aku nak tengok reaksinya dari kereta. Aku pergi dulu,” ringkas arahan Zakuan seraya menyerahkan sekeping sampul surat berwarna putih ke tangan Azam.

Azam tercegat berdiri di kaki lima di hadapan dewan. Kaku memegang sampul surat itu di tangannya. Ada rasa cemas di dalam hati dengan permintaan Zakuan. Dia bimbang kalau-kalau…

“Encik Azam nak balik dah?” Tegur satu suara dari belakang. Sepantas kilat Azam berpusing. Tidak syak lagi, memang suara itu milik Wardah yang sedang melangkah menuju ke arahnya.

Dengan kasut tumit tinggi, Wardah kelihatan seperti gadis yang tinggi lampai, sepadan bila berdiri agak dekat dengan Azam. Zakuan yang duduk di tempat duduk belakang di dalam keretanya memandang dengan berbagai perasaan yang berbaur.

“Belum. Tunggu Wardah.” Azam memaksa diri memulakan bicara.

“Eh, kenapa?” Tergelak Wardah mendengarnya. Asyik Azam memandang wajahnya yang lain dari biasa.

“Kenapa Encik Azam tenung saya macam tu, tak baik!” Wardah jujur berterus terang.

“Maaf!” Azam tergelak sendiri lalu tunduk memandang sampul surat di tangannya.

“Ni… saya nak bagi Wardah sampul surat ni. Pihak syarikat nak berikan Wardah hadiah misteri sebab commitment Wardah dalam menghasilkan majalah sisipan kita. Ini agak personal. Bukan untuk semua pemenang anugerah khidmat cemerlang, ya.” Beritahu Azam dengan panjang lebar. Dia sebenarnya ligat mencari alasan sejak menerima sampul surat itu tadi.

“Bukalah,” pinta Azam kerana itu pesan Zakuan. Dan dia sendiri terlalu ingin tahu.

Perlahan-lahan sampul surat itu disambut. Wardah masih menatap wajah Encik Azam dengan rasa tidak percaya. Rasanya cukuplah dengan anugerah khidmat cemerlang yang diterimanya. Apa perlu diberi hadiah misteri lagi.

“Saya… saya dah terlalu banyak kejutan malam ni, Encik Azam. Sakit jantung saya dibuatnya!” Gurau Wardah dalam nada gementar. Menghormati permintaan majikannya, dia membuka juga sampul surat di tangannya.

“Encik Azam! Tak mungkin…! Aduh!” Wardah terkejut amat. Kepalanya tergeleng-geleng. Dan dadanya tiba-tiba berdenyut menggila. Dan sekeping cek bernilai Ringgit Malaysia seratus ribu ringgit renyuk di dadanya dek kerana menahan sakit yang tiba-tiba datang.

“Wardah!” Azam terperanjat melihat tubuh Wardah tiba-tiba lemah dan terkulai rebah ke lantai.

Advertisements

2 thoughts on “Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 11

    • salam dear Has, Juea terjumpa jenis penyakit mudah pengsan. Sesuai dengan watak Wardah hehe…

      Selamat menyambut Eid Fitri buat Has sekeluarga ya. Moga dapat meraih kemenangan di Syawal yang mulia. Ampun maaf Juea pinta sepanjang pertemuan kita di sini…

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s