Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 10 bahagian II

Hampir semua orang tahu yang Adam memang sedang menganggunya sejak dia putus tunang baru-baru ini. Haru! Adam sudah bangun dengan langkah lelaki budiman mendapatkan alat pembesar suara yang dihulurkan tim pengurusan kepadanya. Dia yang duduk di meja agak jauh dari Wardah yang berada di sebelah kanan dewan melangkah perlahan-lahan menuju ke meja pasangannya. Serentak dengan itu, muzik balada yang dipasang perlahan menjadi lagu latar untuk pasangan itu beraksi menambah debar di dada semua. Mereka tertunggu-tunggu reaksi Wardah yang masih terpaku di kerusinya.

“Benn! Tolong aku!” Bisik Wardah dalam keadaan cemas, bagaikan hendak menangis. Malunya!

“Relakslah. Kau diam je. Biar dia je yang bercakap,” balas Benn dalam serba-salah. Dia yang rapat dengan Wardah amat faham perasaan gadis itu yang selalu menjadi mangsa usikan Adam tidak kira di mana bersua.

“Assalamualaikum, Tuan Puteri Gunung Ledang…” Lemak merdu suara Adam di corong pembesar suara. Romantik sungguh seperti salam seorang kekasih lagaknya. Sudahlah dia berpakaian songket lengkap dengan tanjak dan keris di pinggang, bercakap pula dengan gaya P. Ramlee ketika beliau melakonkan watak Hang Tuah membuatkan Adam menjadi sangat menarik malam itu. Sangat sepadan dengan si Puteri Gunung Ledang! Ramai yang ketawa dan tersenyum-senyum. Tetapi ada hati yang gelisah dan ada juga hati yang jengkel melihat adegan itu. Semua tertunggu-tunggu respon Wardah yang tegak membatu di kerusi. Salah seorang tim pengurusan datang menyerahkan alat pembesar suara tanpa wayar kepada Wardah tetapi langsung tidak diendahkannya. Mereka yang melihat reaksi Wardah dari dekat ketawa tertahan-tahan.

Tiada siapa yang tahu bahawa saat itu, Wardah terpaku kerana pandangannya bersabung dengan pandangan lelaki cina tadi. Pandangan itu bagaikan mengunci hati dan dirinya sehingga dia tidak dapat berbuat apa-apa hatta menarik nafas sekali pun. Hanya jantungnya saja yang berdebar luar biasa dengan kuasa panahan sepasang mata itu.

“Tak sudi memandang, tidak mengapa …” Adam tiba-tiba menyanyi dengan meniru gaya suara Jamal Abdillah, menyanyikan lagu Mati Hidup Semula dengan penuh perasaan. Mujur suara Adam menyentak Wardah dari kuasa magis pandangan lelaki cina itu dan dia tunduk ke riba, buru-buru menarik nafas. Dewan gamat ketawa dengan telatah Adam. Tetapi Wardah terpinga-pinga bagaikan baru tiba dari alam lain. Ramai juga yang bertepuk tangan. Boleh tahan suara mat romeo KSB ini!

“Kerna ku mengerti, aku insan hina…” sambungnya lagi dengan lebih syahdu. Sorakan semakin menggamatkan dewan.

“Bennnn!” Wardah menjeling ke arah Benn sambil mengetap bibir. Malu gila!

Benn yang menahan diri sejak tadi berdekah-dekah ketawa. Wardah terkejut lalu menjeling tajam setajam lembing. Sesekali dia memandang ke arah lelaki tadi tetapi cepat dia mengelak supaya tidak ‘terkunci’ di situ lagi.

“Tak guna punya kawan! Nanti kau!” Gerutu Wardah dari celah gigi yang dikertap dengan suara yang paling dalam. Semakin galak Benn ketawa. Begitu juga dengan teman-teman yang semeja dengan mereka.

“Tapi dengar apa ku katakan…” Adam tiba-tiba berhenti melangkah tidak jauh dari meja Wardah. Dia tidak lagi menyambung nyanyian sebaliknya hanya diam memandang gadis yang sedang dipuja. Seluruh dewan ikut diam menunggu aksi seterusnya. Debar di dada Wardah berkocak dua kali ganda. Cemas dalam diam menanti apa aksi Adam selanjutnya.

“Saya tahu Wardah tak sudi nak jadi pasangan saya malam ni. Tetapi itulah yang dikatakan jodoh…” Gamat seluruh dewan menyambut kata-kata Adam. Ada yang bersiul bersahut-sahutan. Namun ada sepasang mata yang bersinar bagaikan helang ternampak mangsanya.

“Saya tahu siapa yang layak untuk jadi pasangan Wardah. Pasti Wardah mencari lelaki yang mulia sifatnya seperti Rasulullah. Yang penyayang seperti Rasulullah. Yang sabarnya seperti Rasulullah. Saya ingat kata-kata Wardah suatu hari dulu. Lelaki yang mencontohi Rasulullah adalah sebaik-baik lelaki untuk dijadikan pasangan. Betul tak, Arda?”

“Betul!” Seru hampir seisi dewan, menjawab bagi pihak Wardah. Arda? Manja namanya, getus hati seseorang. Tetapi sakit mendengarnya dari bibir lelaki itu.

“Oh, no!” Luah Benn. “Dia tahu apa yang dia buat, Arda!”

Semakin cemberut muka Wardah bila mendengar kata-kata Benn. Tolonglah, ya Allah! Tolong hentikan semua ini…

“Saya juga nak jadi lelaki macam tu. Yang sabarnya sehingga sanggup tidur di lantai jika Wardah tak buka pintu bila saya pulang lewat. Kerana saya tahu, pasti Wardah sudah terlena di lantai yang sama kerana menunggu kepulangan saya.” Seluruh dewan tertegun dengan ucapan itu. Dan Wardah bertambah terkejut sehingga dia terdongak memandang Adam. Dia ingat dengan kata-katanya tempohari tatkala dia diusik tentang lelaki pilihan hatinya?

Zakuan saling berpandangan dengan Azam. Begitukah lelaki impiannya? Soalan itu timbul dalam fikiran mereka hampir serentak. Kemudian sama-sama membuang pandang ke arah lain. Hebat pilihannya, bukan? Tetapi siapa yang begitu hebat dapat mencontohi Rasul yang agung? Detik hati-hati itu terus berkata.

“Tapi saya tahu, tidak semudah itu untuk menjadi pilihan Wardah. Saya cuma harap, Wardah sudi jadi pasangan saya pada malam ni saja. Arda, sudilah…” Adam bagaikan merayu. Wah! Drama sungguh malam ini. Berlatarbelakangkan muzik yang lembut mengusik jiwa, ditambah dengan luahan kata-kata Adam yang disampaikan dengan penuh perasaan, mereka seperti menonton drama realiti yang memukau di depan mata.

Gila! Wardah menjerit di dalam hati. Namun hanya kepalanya yang tergeleng-geleng. Dia tak sanggup walaupun untuk satu malam!

“Saya kenal sangat dengan Wardah. Dia pemalu kalau dalam hal-hal perasaan ni.” Adam memberitahu semua seolah-olah dia cukup kenal dengan Wardah. Bulat mata Wardah berputar.

“Wardah, saya tak akan memaksa. Cuma bertanya. Kalau padi, katakan padi. Usah biarkan hamba tertampi-tampi! Wardah angguklah kalau sudi, jangan biarkan hamba ternanti-nanti.” Bijak sungguh si Adam merayu! Hampir semua orang ikut menyeru kerana simpati. Cuma ada seorang yang terasa jelek mendengarnya. Mual!

“Tolonglah, Arda. Saya nak sangat pergi Bandung ni!” Tiba-tiba Adam berubah nada membuatkan semua orang ketawa. Dia memang pandai ambil kesempatan!

Dan Wardah tidak dapat menahan diri dari tersenyum. Benn semakin galak tergelak-gelak.

“Haa! Dia senyum! Semua nampak, kan? Wardah dah senyum!”

“Nampak!” Ramai pula yang rajin menjawab. Wardah tidak mampu bertahan. Lelaki cina tadi dikerling sekilas. Masam wajahnya. Entah kenapa, Wardah jadi cemas.

“Senyum tanda setuju, kan Wardah? Angguklah. Sekali je…” Adam kembali memujuk. Wardah memandang Benn dengan muka cemberutnya.

Laju Benn mengangguk. Kalau dapat pergi Bandung, boleh dia ikut sekali!

“Angguk jelah! It’s just a game!” Bisik Benn di telinga Wardah. Penuh berhelah!

“Setuju ya, Wardah? Wardah tak merajuk dengan saya, kan?” Adam semakin dekat. Wardah semakin kecut. Muka Benn dipandang cemas. Macam belatuk, Benn terangguk-angguk.

Lalu Wardah pun mengangguk.

“Yesss!” Adam melonjak kegembiraan. Dia dapat jadi pasangan Wardah dan moga-moga dapat pergi Bandung dengan Wardah juga! Dua dalam satu!

Seluruh dewan bertepuk tangan kecuali Azam dan Zakuan. Dan Wardah hanya duduk tegak di kerusi. Menutup segala ekspresi diri. Jenuh menahan matanya dari memandang ke arah itu lagi.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s