Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 10 Bahagian I

KAK cover copy

Wardah sudah berkipas-kipas mukanya dengan tangan. Rimas tak terkata. Yang Benn pula terkekek-kekek ketawa macam burung kakak tua.

‘Sudahlah tu, Chon. Tolonglah jangan tebal-tebal. Arda tak suka. Nak pakai lipstick sikit je cukuplah!” Wardah merayu sejak tadi. Benci sungguh dengan tema makan malam tahun ini – Watak lagenda. Tak kiralah siapa nak jadi Mahsuri ke, Laksamana ke atau Sang Gedembal!

“Hah! Eloklah tu, Puteri Gunung Ledang pakai lipstick! Hahaha… pergi ambil daun sirih tu, tenyeh kat bibir dia!” Kurang asam punya Benn. Wardah menjeling marah tanpa suara kerana bibirnya sedang dioles gincu oleh Chon atau nama sebenarnya Siti Solha yang manis bertahi lalat di tepi bibir bawahnya di sebelah kanan.

Chon terhenti menatarias wajah Wardah kerana ketawa mengekek dengan lawak Benn. Lantas kesempatan itu digunakan Wardah untuk melarikan diri ke depan cermin besar di bilik itu.

“Umiiiii!” Wardah menjerit nyaring. Dia sudah tak kenal wajah sendiri! Benn dan Chon yang masih ketawa gelihati terkejut, terdiam dan terpelongo.

“Chon! Kau padam balik. Kalau tak, aku tak nak keluar dari bilik ni!”

Akhirnya Wardah menghayun langkah ke dewan hanya dengan solekan dan gincu yang dioles tipis. Segala bulu mata palsu, pemerah pipi dan celak tebal yang mengelilingi kelopak matanya sudah ditanggalkan. Malah dia hanya memakai gaun putih bersih dengan pending yang melingkari pinggangnya. Itupun dipaksa. Wardah tidak suka berpakaian sendat yang menampakkan susuk tubuhnya. Selendang kuning tipis yang besar dan panjang dipakai di atas tudung putih dan jatuh mengelilinginya sekaligus menutupi bentuk badannya. Aksesori yang dipakai hanyalah di kedua pergelangan tangan yang berbalut sarung lengan dan rantai bercorak kerawang yang besar dan labuh hingga ke dada. Itu pun dia pakai juga kerana Meeta susah payah mendapatkan aksesori itu dari neneknya. Aksesori pusaka keturunan keluarganya.

Semua yang hadir seakan-akan berhenti beraksi. Semua tertumpu di pintu masuk utama. Kerana saat itu Wardah sedang melangkah masuk. Tiupan angin malam nakal berhembus deras hingga selendang Wardah melayang-layang menyingkap susuk dirinya yang selama ini menjadi rahsia di dalam blaus besar dan baju kurung yang menjadi pakaian sehariannya. Wajah Wardah dengan solekan tipis itu sudah cukup menyerlahkan keayuannya.

Dan saat itu juga, seorang lelaki yang sedang berbual nun di tengah dewan terdiam dek kehilangan bicara. Paras yang ayu dan manis itu menarik seluruh perhatian dan derianya hingga ada debar di hatinya. Setiap gerak gaya dan riak wajah itu menjadi santapan pandangannya yang tidak langsung berkerdip.

Di sisi Wardah juga tidak kurang menarik. Di situ melangkah seiring adalah jelmaannya iaitu si Benn Nenek Kebayan yang siap bertongkat lagi. Kedua-duanya memang seperti turun dari Gunung Ledang. Tersipu malu sambil melangkah masuk mencari tempat duduk yang sudah dipersiapkan untuk mereka.

“Jemput masuk mencemar duli, Tuan Puteri Gunung Ledang!” Seru Chon, nakal mengusik. Suaminya yang tertegun berdiri disiku pinggangnya.

‘Macam tak pernah tengok Wardah!” Ujarnya, cemburu. Tersenyum si suami seraya merangkul mesra pinggangnya.

“Hebat sentuhan isteri abang ya!” Cepat dia bertindak sebelum buah hati merajuk.

“Wardah! Puteri Gunung Ledang? Wow, memukau! Cantik sungguh tuan puteri. Boleh hamba masuk meminang? Segala hati nyamuk, hati harimau, gajah segala sanggup hamba carikan!” Zaifunizam sudah berdiri segak, melangkah mengiringi Wardah sambil beraksi lucu.

“Belum tentu aku terima pinanganmu! Kerna yang aku mahu adalah hati lembu yang dimasak kicap untuk aku bersantap!” Sahut Benn seraya mengacu tongkat saktinya. Semua yang ada ketawa dengan lakonannya. Wardah sudah tersipu-sipu. Laju dia berjalan meninggalkan mereka untuk menuju ke mejanya. Dengan kasut tumit tinggi dan hayunan langkah yang teratur cantik, dia persis model yang beraksi di pentas peragaan layaknya.

Sebaik saja dia tiba ke meja, ada sesuatu yang menarik pandangannya ke tengah dewan. Di situ, tiga orang lelaki berbeza usia namun kacak bergaya dalam balutan baju batik segak berdiri sambil berbual.

“Encik Azam!” Terlafaz nama itu di bibir Wardah. Serentak itu, dia melemparkan senyuman paling manis buat majikan yang luhur hatinya yang kebetulan sedang memandang ke arahnya.

Senyuman Wardah tambah menyerikan lagi keayuannya. Azam perlahan mengangguk dan membalas senyuman Wardah. Pandangannya bagaikan ditarik besi berani. Tidak dapat beralih lagi.

Namun bukan senyuman Encik Azam yang membuatkan Wardah terais berdiri di situ. Pandangan lelaki cina yang berdiri di sebelah Encik Azam membuatkan jantungnya berdebar. Tiada segarit senyuman di bibirnya. Tetapi pandangannya bagaikan berbicara. Sedetik. Dua detik. Tiga detik. Wardah tersedar yang dia sedang berbalas pandang dengan yang bukan mahram begitu lama. Langsung dia mengalah dan pandangannya dialihkan segera. Mencari Benn untuk melakukan sentuhan magisnya kerana jantung kini kalut bertukar rentak.

“Ardha, jom bergambar dulu. Kejap lagi program dah nak mula,” suara Benn memanggil tepat pada waktunya. Wardah tidak jadi duduk di meja yang masih kosong. Dia berpusing mendapatkan Benn dan berlalu pergi. Namun dia bagai dapat merasakan yang sepasang mata itu masih mengekori langkahnya.

Mereka bergambar beramai-ramai di ruang lobi. Meriah sungguh suasana dengan ayat-ayat yang bersejarah yang pernah dituturkan oleh watak-watak lagenda tanahair menjadi gurauan membangkitkan nostalgia silam.

Acara malam itu dimulakan dengan persembahan pembukaan, sebuah lagu dari tim pengurusan makan malam amal tahun ini. Wah! Berbakat rupanya mereka. Lagu ‘Assalamualaikum dunia’ lagi!

Seterusnya ucapan alu-aluan daripada Encik Azam selaku Ketua Pengarah Urusan yang mewakili pemilik Syarikat Kaustik Sdn Bhd, Encik Muhammad Zakuan bin Muhammad Ridhwan yang tidak dapat berucap atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Seterusnya ucapan pembentangan pencapaian KSB sepanjang tahun dan penglibatan KSB dalam dan luar negara termasuk dalam hal ehwal masyarakat setempat oleh Timbalan Pengarah, Encik Halim Mustaffa.

Majlis kemudiannya dirasmikan oleh penaung KSB, Tan Sri Dato’ Uthman bin Darwisy dari bawah pentas yang menyentuh bebola kaca yang magis bagi memulakan tayangan video ‘Lima tahun bersama KSB’ hidup di layar besar di pentas.

Acara yang dinanti-nanti berupa kejutan dari tim pengurusan pada malam itu adalah satu sesi permainan yang melibatkan nama-nama yang dipilih dari dalam dua buah kotak yang berada di tangan Encik Hairi, Ketua Editor dan Puan Soo Lin yang merupakan Ketua Eksekutif Pemasaran KSB yang kini berada di atas pentas.

‘Kekasih Jangan Merajuk’ menjadi tajuk persembahan yang akan dilakonkan oleh nama-nama yang dipilih dari kotak yang mengandungi nama-nama kakitangan wanita sementara satu kotak lagi mengandungi nama-nama kakitangan lelaki. Mendengarkan tajuk persembahan saja sudah cukup menggamatkan seluruh dewan. Masing-masing cemas kalau nama mereka diumumkan. Wardah dengan Benn sudah saling berpandangan. Habislah kalau nama mereka yang terpilih!

Namun apabila hadiah diumumkan iaitu empat tiket pergi dan balik ke Bandung, Indonesia, semua berubah teruja. Pasangan yang menjadi mangsa pertama mereka pada malam itu ialah Aminah, kerani akaun dari tim pentadbiran dengan Azman Abdullah, jurukamera yang berpengalaman di KSB. Riuh-rendah suara ketawa kerana kebetulan Aminah dan Azman sama-sama comel dan montel. Namun kedua-duanya sudah pun berumahtangga dan hadir bersama pasangan masing-masing. Dengan izin pasangan masing-masing, kedua-duanya begitu ‘sporting’ untuk beraksi.

Aminah berlagak menjadi isteri yang merajuk kerana kononnya hendak makan jambu air ketika bukan musimnya. Jenuh juga Azman hendak menyakinkannya yang dia sudah cuba mencari tetapi adalah mustahil untuk mendapatkan buah itu di luar musim. Sampai menyanyi-nyanyi si Azman memujuk barulah Aminah mula tersenyum dan ketawa.

Pasangan kedua pula dipilih. Seluruh dewan senyap dan berdebar. Apabila nama Meeta dan Zaifunizam diumumkan, sekali lagi dewan menjadi hingar-bingar. Hebat sekali bila kebetulan pasangan itu begitu sepadan. Kali ini Meeta dan Zaifunizam sama-sama tinggi lampai. Meeta, pegawai pemasaran dan Zaifunizam merupakan pengarah seni KSB, sama-sama bujang trang tang tang. Meeta sudah lari keliling dewan kerana tidak mahu terlibat. Tim pengurusan bertindak bijak, menyerahkan pembesar suara tanpa wayar kepada Zaifunizam untuk terus beraksi.

“Meeta, janganlah lari. Penat nak kejar. Langkah kau panjang sangat!” Ayat pertama yang lahir dari mulut Zaifunizam sudah menggamatkan dewan dengan gelak ketawa. Wardah dan Benn menekan perut, ketawa gelihati. Zaifunizam  memang kelakar. Dia tak buat lawak pun, gayanya saja sudah buat orang tersenyum-senyum.

Meeta menekup mulut menahan tawa. Hanya jari telunjuk yang digoyang-goyangkan ke arah Zaifunizam tanda tidak mahu terlibat. Tim pengurusan pula pantas menutup semua pintu keluar menyebabkan Meeta terperangkap dan Zaifunizam semakin hampir.

“Meeta, come on. Aku bukannya reti nak pujuk memujuk ni. Dah la aku lapar ni. Mai la sini!” Zaifunizam berterus-terang tetapi caranya sangat lucu membuatkan dewan sekali lagi gamat dengan gelak ketawa. Meeta sudah tertunduk-tunduk menekan perut kerana senak dek terlalu banyak ketawa bercampur malu.

Zaifunizam semakin dekat. Meeta sudah tidak tahu hendak ke mana. Hanya mampu mengangkat tangan memberi isyarat agar jangan datang kepadanya sambil ketawa sampai merembes airmata. Jemarinya yang mengesat hujung tubir mata membuatkan semua orang tahu yang matanya sudah basah dek ketawa gelihati.

“Meeta, please… kau ketawa ke nangis ni?” Zaifunizam merayu dan bertanya. Semua orang semakin kuat ketawa.

Meeta sudah terhinggut-hinggut ketawa tanpa suara. Airmatanya semakin merembes kerana banyak ketawa. Laju dia menggelengkan kepala kemudian mengangguk pula. Zaifunizam tergelak-gelak dengan muka panik, tertanya-tanya.

“Dia geleng. Lepas tu, angguk. Yang mana satu? Matilah aku nak pujuk macam ni!” Rengek Zaifunizam pada tim pengurusan, manja dan keliru. Riuh-rendah suara gelak ketawa menggamatkan dewan. Meeta sudah tidak mampu bertahan lagi. Dalam ketawa, dia mengalah lalu melangkah mendapatkan Zaifunizam.

“Haa… dah tak merajuk dah? Kau dah okey?” Laju Meeta mengangguk. Ketawanya tak juga reda malah bertambah kuat.

“Kita pergi Bandung ya?” Tanya Zaifunizam, nada bercanda. Meeta mengangguk lagi sambil tertunduk-tunduk ketawa malu. Dan seluruh dewan ketawa dan bertepuk tangan tanda Zaifunizam sudah berjaya.

Sekali lagi dewan senyap sunyi di saat Encik Hairi dan Puan Soo Lin menggoncang kotak dan memasukkan tangan untuk mengambil satu gulungan kertas di kotak masing-masing.

“Nama I tak ada, kan?” Soal Puan Soo Lin kepada Encik Hairi dalam nada bergurau. Semua orang tergelak.

“Tak ada agaknya. Tapi kalau ambil nama kita, kita sebut nama orang lain,” jawab Encik Hairi pula. Lagi kuat gelak ketawa semua orang di dewan itu.

Dewan kembali senyap apabila keduanya membuka gulungan kertas kecil itu. Semuanya berdebar menunggu pengumuman seterusnya.

“Wardah dan… Adam!” Semua kakitangan KSB bertepuk tangan kecuali Azam dan Zakuan yang ikut tersentak di tempat duduk sendiri. Masing-masing diam membisu. Hanya mata saling berpandangan. Mereka tidak boleh selamba bereaksi kerana bersama mereka adalah Tan Sri Dato’ Uthman sendiri.

Wardah sudah tidak dapat menarik nafas buat beberapa saat. Dia terlalu terkejut. Dan pasangannya? Oh, tidak!

Advertisements

3 thoughts on “Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 10 Bahagian I

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s