Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 9

KAK cover copy

Laju Zakuan meletakkan jari telunjuknya di bibir. Sementara sebelah telapak tangan lagi memberi isyarat kepada pekerjanya agar menunggu sebentar. Tetapi lelaki separuh abad itu tetap cemas, berlari-lari anak ke arah Zakuan sambil menjerit-jerit.

“Hoi! Buat apa tu? Curi ya?” Jerkahnya dari jauh.

Zakuan kalut memandang antara gadis-gadis yang sudah melangkah pergi dengan pakcik tukang kebun yang semakin hampir. Terbeliak matanya bila melihat kedua-dua gadis itu memandang ke belakang semula. Habis aku!

“Syyhhhh!” Bisik Zakuan sambil memberi isyarat supaya jangan menjerit dengan kedua-dua tangannya. Kemudian dia menoleh ke arah gadis-gadis itu semula. Janganlah mereka berpatah balik, desis hatinya dalam debar.

Saat itu, Wardah yang menoleh ke belakang kelihatan mengangkat bahu. Kemudian dia berkata sesuatu lalu berpusing semula dan menyambung langkah. Diikuti kawan baiknya dengan muka tak puas hati.

Terpejam sepasang mata Zakuan sambil menghela nafas lega.

“Hang buat apa kat sini? Hang mengendap anak dara orang ka?” Sergah si tukang kebun apabila dia perasan yang lelaki muda itu asyik memandang dua orang gadis yang sudah berlalu pergi.

Tertelan liur dibuatnya. Zakuan cepat-cepat membuka topi mengkuang yang lebar dan lusuh itu. Baru tersedar, topi mengkuang sebegitu baru saja berada di atas kepalanya yang bersih dan rambut yang bersikat rapi. Dengan muka jelek, dia cepat-cepat menghulurkan topi itu kepada tuan empunyanya dan memaksa dirinya tersenyum.

‘Sayalah, pakcik! Zakuan.” Dia terpaksa memperkenalkan diri kepada pekerja yang ternyata tidak mengecam majikannya sendiri.

“Astaghfirullah! Mintak maaf, Encik Zakuan. Pakcik tak perasan bila encik pakai… pakai topi pakcik. Encik buat apa kat sini?”

“Saya? Saya… tengah cari… err… barang. Ada barang tertinggal masa saya lalu di sini pagi tadi.” Kelam-kabut Zakuan mencipta alasan. Jangan sampai tukang kebun kata majikannya gatal mengintip anak dara orang pula!

“Oooo… pakcik dok cabut rumput keliling pangkal pokok tadi. Tapi tak nampak apa-apa pulak. Apa barangnya, encik Zakuan? Mana tahu kalau pakcik jumpa…”

“Eh! Tak apalah pakcik. Saya pun dah cari kawasan ni. Tak jumpa juga. Mungkin saya tertinggal di bilik. Err… cuaca panas, saya pinjam topi pakcik,” Zakuan mahu cepat-cepat beredar dari situ sebelum ada orang lain yang nampak.

“Ya, encik! Sila… sila…” si tukang kebun mengundur diri memberi laluan kepada majikannya yang kelihatan amat pelik hari itu. Apa pun dia merasa bangga kerana dapat bercakap dengan tuan empunya rumah peranginan ini yang selama ini belum pernah menyapanya.

Zakuan bergegas ke kereta lalu segera memandu pergi dari situ. Dia menghela nafas berkali-kali. Nasib baik dia terselamat tadi! Kemudian segarit senyum muncul di bibir. Seronok juga! Belum pernah dia buat kerja sebegitu. Mengintip anak dara orang!

Hmm… ada hati hendak kahwin dengan jutawan rupanya dia. Perempuan! Kalau yang gedik pun memang terkejar-kejar lelaki kaya, yang nampak baik macam itu pun serupa juga. Perempuan dengan duit macam irama dan lagu, agaknya. Tak boleh dipisahkan!

Belum apa-apa, sudah berangan nak dapat untung. Lepas tu nak korbankan keuntungan ke jalan Islam? Apa yang dia merepek sebenarnya? Kalau dah sanggup kahwin untuk dapat modal berniaga, dia memang tak ada hati dan perasaan! Macam itukah orang yang hendak berkorban untuk Islam? Orang yang tidak ada hati dan perasaan? Kahwin kerana hendak berniaga? Tak ada cinta? Bisnes semata-mata?

Entah kenapa Azam suka sangat dengan perempuan itu? Dia yakin, sahabatnya itu bukan saja suka malah sudah jatuh hati sebenarnya. Cara Azam yang sangat mengambil berat membuatkan dia gusar. Bagaimana kalau Azam betul-betul tersalah pilih? Azam bukan seperti dirinya yang mudah saja tinggalkan perempuan. Dia lelaki budiman. Nanti habis diikut saja apa kata buah hatinya. Isyhh… tak boleh jadi! Nanti Kaustik jadi hak milik perempuan itu pula.

Dia berani mengaku terus-terang yang dia tak minat nak kahwin. Tapi sebab nak ‘berdagang’ kononnya, dia sanggup kahwin. Bayangkan! Kalaulah si Azam yang menjadi mangsanya… oh, tidak! Azam mesti disedarkan dari mimpi. Dia sanggup buat apa saja asalkan Azam sedar yang perempuan itu bukan seperti yang dia sangkakan.

Zakuan berani potong jari, perempuan itu hanya memberi alasan untuk berdaganglah kononnya! Berdagang? Zakuan ketawa kecil sambil menggelengkan kepala. Mana orang di zaman ini hendak berdagang? Sekarang orang berniaga. Macammana hendak untung kalau pemikirannya masih di zaman tok kaduk? Yang sebenarnya dia mahu hidup mewah. Mewah tanpa cinta!

Aduhai… Azam! Azam! Dia tahu ke apa yang dia buat sebenarnya? Zakuan berkata-kata sendirian. Azam mungkin hebat menari di lantai penerbitan tetapi bila mencari pasangan, dia belum berpengalaman. Tidak seperti dirinya. Perempuan seperti ikan di air. Cukup sekilas, dia tahu hati budi mereka.

Zakuan memutar stering ke arah restoran. Sebaik sahaja dia memberhentikan kereta di ruang parkir, nombor telefon bimbit Azam segera didail. Kemudian dia masuk ke bilik VVIP lalu memesan minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga. Minum dulu sementara menunggu Azam tiba.

Jemari Zakuan mengetuk meja dalam satu irama. Itu tandanya dia sedang memerah otak mencari idea. Dia mesti lakukan sesuatu. Mesti ada caranya untuk menguji samada perempuan itu jujur seperti yang dia katakan atau sebaliknya. Apa pun, Zakuan mesti menarik perhatiannya supaya Azam tidak menjadi sasaran.

Hampir sepuluh minit berlalu barulah Azam muncul dalam keadaan tergesa-gesa. Wajahnya agak tegang, tidak seperti biasa.

“Dah lunch?” Tegus Azam bila melihat Cuma ada gelas berisi laici di hadapan Zakuan.

“Belum. Kau?”

“Nak lunch dengan kau lah ni.” Jawab Azam, tersengih. Dia seperti cemas dengan sesuatu. Mesti fasal perempuan itu, getus hati Zakuan.

“Dah lama sampai?” Tanya Azam lagi.

“Baru sepuluh minit.”

“Dah order ke?”

“Belum. Tunggu kau. Kau pergilah tengok apa yang ada. Aku rasa nak makan berhidang pulak hari ni.”

“Okey. Hari ni, aku yang belanja. Kau tunggu kejap.”

Azam keluar ke ruang hidangan di sudut restoran itu. Lama juga dia memerhati dalam diam. Kemudian dia membuat pesanan kepada pelayan yang setia berdiri di sebelahnya.

“Aku cadang nak bawak Halim dan Soeraya jumpa kau petang ni,” ujar Azam sebaik saja dia masuk kembali dan melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Zakuan. Kata-katanya tidak bersahut.

“Nak bincangkan fasal anugerah khidmat cemerlang tu. Yalah, aku rasa…”

“Tak perlu.”

“Hah?” Azam benar-benar terperanjat. Berdebar hatinya. Apakah itu bermaksud…

“Aku percayakan kau. Teruskan.” Mata Azam berkelip-kelip. Mulutnya terbuka tanpa suara. Macam tidak percaya dengan kata-kata Zakuan. Perlahan-lahan nafas lega dihela.

“Tapi dengan syarat, aku ada hadiah misteri untuk dia.” Beritahu Zakuan tanpa memandang. Azam kembali terlopong tanpa suara. Dadanya bergetar. Nafasnya ditarik dan dihela kasar.

“Baiklah. Terima kasih, Kuan.” Dia akur dalam debar.

Zakuan sekadar mengangkat kening. Dia cuba beriak selamba. Namun dalam hatinya bergelora. Engkau tunggu ya, perempuan!

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s