Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 8

KAK cover copy

 

Selesai belajar menunggang, Wardah dan Benn berjalan-jalan di sekitar RPLB sehingga mereka sampai ke jalan utama RPLB yang di kelilingi taman bunga yang cantik. Ada bukit-bukit kecil yang menghijau memagari jalan itu.

Di situ rupanya adalah kawasan rekreasi yang dibina lengkap dengan tiga buah wakaf dan beberapa buah meja dan bangku batu. Di tengah-tengah kawasan itu, dibina kolam kecil yang mengelilingi batu-batu buatan manusia yang dihias dengan tumbuhan berbunga dan rerumput. Bertambah cantik bila ada air pancut di puncaknya. Wardah bukan main seronok menadah air yang berjatuhan. Kemudian habis Benn direnjis-renjis sehingga berlaku adegan kejar-mengejar di sekeliling kolam itu.

Kawasan yang ditanam dengan pokok bunga mawar dan bunga kertas yang tinggi-tinggi itu agak terlindung kerana dipagari pokok teh yang sudah tinggi separas pinggang membuatkan mereka tidak perasan tentang kewujudan tempat itu ketika sampai ke RPLB agak lewat petang kelmarin. Chalet, restoran dan tasik yang besar itu pula terletak agak jauh ke dalam.

Selepas penat berlari, Wardah dan Benn mencari bangku batu untuk melepaskan lelah. Masing-masing meletakkan plastik berisi kuih-muih dan air minuman yang mereka bawa bersama tadi untuk mengalas perut dan menghilangkan haus selepas penat menunggang. Penat dengan rasa cemas dan takut sebenarnya. Cadang mereka hendak makan di bilik sementara menunggu waktu makan tengahari. Tetapi suasana taman rekreasi itu sangat menarik membuatkan mereka membuat keputusan untuk makan di situ saja. Ah… sedap sungguh beristirehat di tempat yang cantik, redup dan berangin seperti itu.

“Siapa agaknya yang dapat anugerah khidmat cemerlang malam nanti ya Arda?” Benn menyedut teh ais limau yang segar itu untuk membasahkan tekaknya.

“Dari marketing department agaknya. Faris?”

“Raymond kata dia dah pernah dapat sebelum ni. Mungkin orang lain pula kot. Entah-entah engkau yang dapat.”

“Wah… memang macam mimpilah kalau aku yang dapat. Aku baru tiga tahun di Kaustiklah. Ramai lagi yang senior,” tukas Wardah sambil membuka bekas polistrin yang berisi ubi rebus. Puas hatinya dapat makan ubi rebus banyak-banyak. Rindu pada arwah ibu dan ayahnya tidak terkata. Itulah makanan kegemaran mereka berdua.

Sebenar tadi sebuah Mercedes menjalar masuk dari arah pintu gerbang RPLB. Zakuan yang berkaca mata hitam pulang bersendirian dari tapak semaian kerana rakan niaganya mahu terus ke bandar Taiping bersama keluarga. Panas matahari yang semakin terik memancar membuatkan Zakuan tidak sabar untuk sampai ke restoran. Namun kelibat dua orang gadis yang berlari-larian mengelilingi kolam kecil di atas bukit itu menarik perhatiannya. Langsung dia memberhentikan kereta di bibir jalan agak jauh ke depan dari taman rekreasi itu.

Zakuan terdiam lama di dalam kereta. Dia tahu dua orang gadis itu adalah Wardah dan Benn. Hatinya tergerak untuk bersama mereka… eh, bukan! Dia cuma mahu memerhatikan mereka. Lagi pun dia perlu bukti kukuh untuk menguatkan hujahnya yang setakat ini hanya berlandaskan gerak hatinya sahaja tentang siapa Wardah yang sebenar.

Zakuan melangkah keluar dari kereta. Dia pasti yang mereka tidak sedar akan kehadirannya kerana kedudukan keretanya agak rendah di balik bukit dan agak terselindung di sebalik deretan pokok teh yang memagari taman rekreasi itu. Berkemeja T putih dengan jeans biru muda, Zakuan tersandar di kereta dengan kaca mata hitamnya. Tiba-tiba dia terpandang kereta tolak yang ada bibir jalan di hadapannya. Mungkin ditinggalkan pekebun untuk ke tempat rehat memandangkan waktu sekarang sudah hampir tengahari. Timbunan kecil rumput-rumput yang dicabut berlonggok di tepi pokok teh itu. Mungkin pekerja itu sedang melakukan rutin harian mencabut rumput di keliling pangkal pokok sebelum keseluruhan rumput dipotong menggunakan mesin rumput pula. Sebuah topi mengkuang yang lebar ditinggalkan di atas kereta tolak bersama dengan peralatan untuk berkebun. Zakuan terus memerhati kereta tolak itu. Lama.

“Bangsawan? Sekarang mana ada wujud bangsawan-bangsawan ni!” Suara Benn meninggi bila mendengar anganan Wardah.

Slow betullah kau ni! Sekarang ni jutawanlah!”

Benn ketawa mengekek. ‘Aku tak pernah sangka aku dapat kawan dengan orang yang berangan nak jumpa dengan jutawan ni, tau tak! Geli!”

“Bukan macam yang kau fikirlah! Aku nak mencontohi Rasulullah yang berjaya dagangkan barang-barang dagangan milik Siti Khadijah, wanita bangsawan yang mulia dan kaya-raya tu!”

“Err… kau tak rasa terbalik ke? Kau lupa ekk? Kau tu, perempuan! Nak berdagang konon! Bukak kedai runcit je lah,” tukas Benn lagi sambil mentertawakankan Wardah. Ada-ada saja cara otak terlebih geliganya berfikir. Sebelum ini, hendak jadi sukarelawan. Mahu menyertai MERCY Malaysia. Tak takut dengan bom dan peluru sesat. Gagah hendak berjuang di Palestin dan Syria. Sekarang hendak berdagang pula!

“Isyhh… sempit betul fikiran kau ni! Kau tak faham, sebenarnya. Kalau aku jumpa orang kaya yang sanggup bagi aku jalankan bisnes dia, aku nak ubah kepada cara perniagaan Rasulullah. Aku banyak belajar dari abi, kau tau tak. Abi tak ikut sistem kapitalis tu. Nanti kalau aku berjaya, lagi untung orang kaya tu. Tapi ada syaratnya. Keuntungan dia mesti dibelanjakan ke jalan Islam. Barulah Islam jadi syumul.” Sepasang mata Wardah menerawang ke langit. Setinggi itulah cita-citanya. Tapi sayang, dia tahu Benn tak akan faham.

Benn semakin laju menggeleng kepala. Letih hendak melayan angan-angan si Wardah. Ramai-ramai gadis yang dia jumpa, tak pernah sepelik Wardah. Angan-angan tak bertapak di bumi sungguh!

“Jadi, kau nak kahwin dengan orang kayalah ni,” soal Benn sambil mengunyah bebola kaya yang sudah suam-suam kuku.

“Aku tak minat nak kahwinlah. Tapi kalau dengan kahwinlah, boleh buat macam tu, apa salahnya. Kahwin atas dasar cita-cita. Bukan atas dasar cinta macam yang kau idamkan tu!”

“Cittt! Bila masa pulak aku mengidam nak bercintan-cintun ni ha? Kau salah oranglah!” Wardah ketawa lepas. Dia sengaja! Benn cukup alergy dengan perkataan ‘cinta’. Sebab itu, dia selesa bersama dengan gadis itu. Rimas bercakap tentang cinta.

“Eh, dah tengahari dah, kesian pakcik tu masih bekerja lagi!” Wardah yang tiba-tiba terkejut apabila ternampak seorang lelaki bertopi mengkuang terbongkok-bongkok di sebalik deretan pokok teh yang memagari lereng bukit dekat dengan tempat mereka duduk. Rasa belas kasihan menyelinap dalam hatinya.

“Dia tak rehat ke? Haa, dah jam dua belas sekarang,” ujar Benn sambil membelek jam tangannya.

“Kesianlah. Dahaga agaknya panas-panas ni. Benn, aku nak bagi pakcik tu durian crepe dengan minuman aku ni. Kau punya rojak tu, share dengan aku, ya?”

“Wahhh…” Benn menjeling panjang. Wardah mengerutkan muka. Teruk sungguh Benn!

‘Durian crepe tu! Aku baru nak rasa!” Tanpa mempedulikan Benn yang memprotes, Wardah bangun sambil meraih bekas minuman dan durian crepe yang belum disentuh. Dia melangkah perlahan-lahan ke tepi pokok teh yang memagari dan memisahkan antara mereka dengan si tukang kebun.

“Assalamualaikum, pakcik,” tegur Wardah dengan lembut. Lelaki itu terkejut lalu terduduk sambil menundukkan kepala.

“Eh, maaf! Saya buat pakcik terkejut. Ni, ada minuman dan makanan sikit untuk pakcik. Ambillah.” Gugup juga Wardah dibuatnya.

Topi mengkuang itu bergerak-gerak bila lelaki itu menggelengkan kepalanya. Wardah tersengih. Pemalu pula pakcik ini.

“Pakcik, tak baik menolak rezeki. Kalau pakcik ambik ni, nanti rezeki saya Allah bagi berganda. Ambillah, pakcik,” pujuknya dengan lemah lembut. Simpatinya melimpah-ruah dengan sikap pekebun itu.

Sekali lagi topi mengkuang itu bergerak-gerak kerana dia tetap menggeleng.

“Pakcik, berkat kalau berkongsi makanan. Saya belum sentuh lagi makanan ni. Kami masih ada makanan yang lain. Pakcik ambil ya,” Wardah sabar memujuk. Tersentuh dia dengan sikap si tukang kebun yang pemalu.

Perlahan-lahan tangan dihulurkan ke atas. Wardah terkejut sekejap tetapi kemudian tersenyum gelihati. Dia mendekatkan bekas minuman dan plastik yang mengandungi bekas berisi durian crepe ke tangan lelaki itu. Kini kedua-dua tangannya mencapai apa yang dihulurkan Wardah tetapi kepala tetap menunduk.

“Makan ya, pakcik,” pelawa Wardah.

“Terima kasih,” suara yang dalam dan maskulin tiba-tiba kedengaran. Wardah tersenyum senang lalu menjawab dan melangkah pergi.

“Jomlah kita balik. Mungkin pakcik tu nak rehat kat sini tapi malu dengan kita,” ajak Wardah bila Benn tak sudah-sudah mengunyah.

“Laaa… aku baru nak makan!”

“Kau ni kan, sensitiflah sikit. Dah, kita makan kat chalet je.” Wardah selamba mengambil bekas minuman dan memasukkan kembali bekas rojak ke dalam plastik. Benn buat muka cemberut tapi dia melangkah juga mengekori Wardah.

“Tangan pakcik tu kan, putih betul. Bersih je. Tak macam tangan tukang kebun, tau tak?”

“Kan orang berkebun pakai sarung tangan. Sebab tulah tangan dia bersih. Apalah engkau ni! Benda macam tu pun aku kena bagitau. Eh, ada tinggal apa-apa tak…,” serentak itu Benn dan Wardah memandang ke belakang. Meja dan kerusi kosong, tiada apa-apa yang tertinggal. Tapi…

Seorang lelaki agak berumur sedang berjalan laju ke arah tukang kebun yang bertangan putih bersih itu. Kedengaran seperti dia menjerit kemudian berlari-lari anak ke arah tukang kebun yang masih duduk di tepi pagar pokok teh itu.

“Siapa pulak tu?” Soal Benn yang agak terperanjat dengan telatah pakcik tukang kebun yang tiba-tiba muncul.

Advertisements

3 thoughts on “Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 8

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s