Siri Novel KALAU AKU KAYA Bab 1

KAK cover copy

Assalamualaikum wbr…

Syukur alhamdulillah, manuskrip terbaru sedang asyik ditulis setelah lama menarik nafas selepas MAKNA PADA RASA (MPR) disiapkan sepenuhnya. Maaf kerana manuskrip TUHAN JAGA KAMU yang sudah diupload bab 1 tidak dapat diteruskan buat masa ini kerana ada banyak fakta yang perlu dicari untuk cerita itu yang lebih kepada aksi. In syaa Allah, cerita itu akan disambung sekiranya direzekikan Allah masa dan tenaga lagi untuk menulis.

Untuk pembaca setia MPR, tunggu di hujung post ini untuk mengetahui BONUS yang menunggu khusus untuk pembaca setia MPR yang sangat istimewa bagi saya.

Sementara tu, enjoy!

 

KALAU AKU KAYA (KAK) Bab 1

Kalau aku kaya
Hari-hari hari raya
Bil-bil jiran keluarga
Aku belanja selamba
Kalau aku kaya
Aku beli segalanya
Bungkuskan semua
Hadiahkan paada mama

“Ya Allah! Bingitnya telinga. Suara siapalah yang buruk sangat tu?” Seorang lelaki yang terhayun-hayun lembut di dalam buaian yang diikat di antara dua pohon mangga yang rendang di tepi tasik itu mendengus. Topi yang diletakkan di atas mukanya untuk melindungi mata dari simbahan cahaya lampu di tiang tinggi di tepi tasik itu diangkat dan diletakkan ke dada. Dia yang sudah hampir melelapkan mata tadi berkalih ke kiri dan ke kanan. Hayunan buaiannya berkocak. Dengan sepasang mata yang dikecilkan dan dahi yang berkerut runsing, dia memandang keliling, mencari-cari siapakah pemilik suara yang buruk itu. Bingit dan sengau!

Lagu yang dilontarkan sumbang itu akhirnya berhenti dengan derai tawa yang pecah. Pandangannya yang menyentuh sasaran kini tertancap ke arah dua susuk tubuh yang sedang berdiri mengadap tasik tidak jauh dari tempat istirehatnya. Macam anak dara….
Jam dua pagi! Anak dara jenis apa ni, keluar melalak-lalak di tepi tasik? Mujur tasik itu tak berpenunggu. Kalau tidak, mahu saja penunggu itu keluar dan ketawa bersama. Haa… baru boleh tengok hilai tawa siapa yang lebih hebat!

Puas membebel di dalam hati, dia merebah badannya semula ke dalam buaian yang diperbuat dari kain nilon yang kini terolang-aling. Topi diletakkan semula ke atas mukanya. Matanya cuba dipejamkan semula dan mindanya menyeru lena agar datang kembali. Dia sanggup datang sejauh ini untuk merehatkan minda dan emosinya yang cukup tertekan sejak akhir-akhir ini. Jadi, hati mana yang tidak panas kalau terganggu dengan suara katak pagi-pagi buta!

“Kau ni, Arda… kalau sehari tak melalak lagu tu, tak sah! Bangga betul la Awi Rafael dapat peminat tegar macam kau ni!” Kata-kata perempuan itu kedengaran agak jelas dibawa angin yang bertiup lembut. Tetapi suara itu kasar macam lelaki. Eh, susuk tubuh tadi kedua-duanya perempuan! Mereka ketawa lagi. Isyhh… sakit betul telinga mendengarnya. Kalaulah earphone ada, bagus juga. Tetapi bukan caranya dia tidur dengan muzik di telinga. Rimas. Orkestra alunan muzik alam lebih hebat lagi. Gabungan suara unggas, cengkerik, burung but-but, katak dan… ahh! Bukan macam katak tadi tu! Langsung tak boleh lena dibuatnya.

“Aku suka sangat lagu tu, Benn. Rasa macam lagu hati aku je.”

Benn? Matanya yang tertutup, terbuka sebelah. Takkan lelaki pakai tudung kot? Lelaki tadi menutup matanya semula.

“Kau memang nak kaya, ek?”

Isyh, tak sedap hati betul! Takkan dia lelaki yang sanggup pakai tudung semata-mata nak mengorat perempuan? Tapi gaya percakapan mereka macam kawan rapat saja. Dia gelisah di dalam buai yang berayun.

“Hei! Ada orang tak nak kaya ke? Cuba kau dengar lagu tu betul-betul! Kalau aku kaya, aku belanja semua…” Dia menyanyi lagi!

“Best tu!” Hujungnya, dia ketawa sendiri.

Dasar perempuan mata duitan! Wah, sekarang bukan telinganya saja yang panas, hati pun sudah menggelegak. Nasiblah lelaki mana yang dapat perempuan suara buruk, perangai buruk macam itu.

“Ye lah tu! Yang aku tau, orang kaya asyik tertekan je. Sikit-sikit stress. Sikit-sikit stress. Duit dah banyak pun, asyik risau duit tak cukup. Duit banyak pun, asyik buat hutang sana-sini jugak sebab nak besarkan bisnes, nak besarkan rumah…” Suara yang bernama Benn itu bukan main lagi mengutuk orang kaya. Entah berapa ramai orang kaya yang dia kenal agaknya?

“Nak besarkan nafsu sebenarnya!” Sampuk yang si kaki melalak pula. Pecah lagi derai tawa mereka.

Melampau! Bunyi macam menyindir aku je. Isyhh… tak boleh jadi dengan perempuan-perempuan ni. Bercakap ikut sedap mulut betullah!

Dia berbelah bahagi. Samada hendak dijerkahnya mereka atau mengalah saja ke chalet miliknya yang tidak sampai enam langkah sahaja dari buaian itu. Chalet yang berhawa dingin itu pasti dapat menahan suara-suara sumbang itu dari menganggu pendengarannya.

“Kalaulah aku kaya, pertama sekali aku nak tambah oven besar berderet untuk ummi. Haa… cuba kau bayangkan berapa banyak cupcake dan biskut ummi yang sedap tu akan berada di pasaran seluruh negara! Untung besar ummi nanti. Lepas tu aku nak beli van berderet untuk abi. Sebab permintaan produk makanan dari kilang abi tinggi tapi abi tak cukup kenderaan untuk buat penghantaran. Lepas tu, aku nak repair rumah Mak Chaq bagi cantik-cantik. Lepas tu…”

Huh! Orang miskin bila berangan, setakat itu sajalah. Tapi memang manusia macam tu. Bila tengah tak ada duit, berangan nak tolong orang sana-sini. Bila kaya nanti, semua entah ke mana. Belum nampak duit, memanglah macam tu! Jengkel sungguh lelaki itu dengan angan-angan perempuan. Masa tak ada duit, nak buat macam-macam. Bila ada duit, kerja goyang kaki dan berhibur saja. Lagi-lagilah perempuan. Mulalah shopping sakan dan pasang badan. Dia sudah masak sangat dengan watak-watak begitu. Sebab itulah bangsanya susah hendak menguasai ekonomi dalam negara sendiri. Mujur ada juga segelintir yang jenis rajin berusaha, tak kira berapa kali gagal tetapi tidak mengalah.

Bukan dia tidak tahu malah sudah ramai yang dibantunya. Ternyata mereka bersungguh-sungguh. Tetapi bilangan yang berwatak begitu masih sedikit berbanding yang jenis suka berangan macam minah jenin yang kaki melalak itu. Antara orang yang bercita-cita dan berjiwa besar jauh bezanya dengan orang yang suka berangan. Angan yang takkan pernah menjadi kenyataan pun!

“Cukup-cukuplah tu, Arda. Kau asyik fikir orang lain je. Aku rasa kau kena fokus dengan diri kau jugak. Tengok badan tu, dah sekeping! Dengan kerja selalu overtime, lepas tu kau buat part time lagi. Weekend pulak terkejar-kejar dengan kelas. Asyik ngadap komputer je, macam dah tak ada life! Risau pulak aku tengok kau!”

Kejar duit sampai tahap tu? Gila! Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala. Tiba-tiba dia terhenti. Topi di atas muka ditarik sedikit. Matanya nakal melirik ke arah susuk tubuh gaya anak dara yang sedang membaling batu ke tengah tasik. Bersaing siapa yang lebih jauh agaknya. Mereka tidak kelihatan begitu jelas walaupun dekat kerana dibayangi tiang. Yang mana satu yang dikatakan sekeping itu? Huh! Dua-dua pun sekeping! Sama saja.
Topi dianjak semula menutupi matanya. Bibirnya menjuih. Hendak kaya, konon! Ini memang antara perempuan yang bakal tersenarai dalam kategori pisau cukur. Minta dijauhkan! Dia cukup pantang dengan perempuan pisau cukur.

Mereka terus berbual dan suara semakin mendekat. Si minah kaki melalak itu menyambung lagi lagu kegemarannya. Muka lelaki tadi sudah cemberut. Beberapa kali nafas dihela kasar. Baik aku sergah sebelum telinga aku…

Topi dialihkan lagi ke dada. Dia terpandangkan payung yang ada tergantung di dahan tidak jauh dari buaian itu. Perlahan dia bangun lalu mencapai payung itu. Kaki payung dihalakan ke atas dan dicangkuk ke sebatang dahan yang kecil. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dan serentak itu, dia menarik dahan mangga yang berdaun lebat itu sekuat tenaga. Dilepaskan dan ditarik lagi berulangkali sehingga dedaunan mangga itu berkocak hebat.

“Makkkkk!”

“Hantuuuu!”

Lagu tiba-tiba bertukar lirik. Jeritan mereka tenggelam-timbul kerana mereka sudah berlari tidak cukup tanah!

Bibir lelaki tadi tersenyum senget. Perempuan! Kaki payung di sangkut ke tempat asal. Dia berbaring dan topi diletakkan semula ke muka. Lega! Suara macam katak, ada hati nak menyanyi. Eh, bukan menyanyi tapi melalak. Nafas ditarik dalam-dalam. Orkestra muzik alam kembali berdendang menghiburkan hatinya yang… err… stress?

Jauh dari sudut hatinya mengakui juga kebenaran kata-kata mereka. Entah apa lagi yang dia kejar? Harta sudah melimpah-ruah. Yang tinggal hanya dia seorang. Abang dan kakaknya sudah berumahtangga dan meneruskan kerjaya masing-masing. Mereka tidak berminat dengan dunia perniagaan. Tinggallah dirinya sendirian meneruskan legasi keturunan moyangnya, Darwisy Ibrahim yang menguasai pasaran hasil kayu jati di negara ini yang sudah berkembang ke Indonesia.

Ridhwan bin Uthman bin Darwisy. Itulah antara nama-nama yang berjaya meletakkan hasil kayu jati negara di persada Asia Tenggara. Dan dia, Muhammad Zakuan bin Muhammad Ridhwan sama sekali tidak akan membiarkan legasi Darwisy terkubur begitu saja. Stress? Pasti saja ada tekanan dalam perniagaan. Orang tidak berniaga untuk rugi. Orang hanya berniaga untuk meraih keuntungan. Dan kalau tekanan demi tekanan itu harus dilalui untuk meraih keuntungan, ianya amat berbaloi.

Apalah seorang gadis miskin yang suka berangan itu tahu tentang tekanan dan keuntungan bila dia hanya asyik berkhayal?

Nota: Moga ada yang sudi like dan komen untuk membakar semangat saya supaya terus menulis. Terima kasih.

Dannnn… tak lupa untuk pembaca setia MPR, jika mahu memiliki e-book MAKNA PADA RASA, Sila hubungi saya di whatsapp 011-12541676 atau email saya di azuraabd@hotmail.com.

Salam sayang!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s