MAKNA PADA RASA Teaser #03

cover Ilham1

Ciptalah kenangan terindah bersamanya, Puteri. Sebelum dia menjadi milik orang lain… Hatinya berbisik sayu. Puteri tertunduk menahan sebak. Jemarinya tiba-tiba diraih Nuqman, dielus lembut. Seakan-akan dia tahu! Mereka melangkah beriringan masuk ke dalam rumah.

“Rumah ni cantik sangat, Ika. Ibu dan adik-adik saya asyik memuji. Saya pun suka. Tapi macam yang saya jangkakan, rumah ni lebih berseri bila Ika ada di dalamnya…” Selamba Nuqman memeluk pinggangnya dari belakang sebaik sahaja mereka berdiri di tengah-tengah ruang tamu untuk menikmati hasil kerja Puteri dengan teman-temannya. Puteri yang terkejut tertunduk mengulum senyum. Siapa yang tidak bahagia dipeluk insan tersayang? Walaupun malu bukan kepalang tetapi dia merelakan. Haruman tubuh Nuqman amat mengasyikkan sampai Puteri rasa tenggelam…

“Ika suka tak berada dalam rumah ni?” Soal Nuqman di tepi telinga, menyentak dirinya sebelum lemas!

“Err… suka!” Dia menghela nafas gelabah dengan senyuman meleret. Jantung sudah semakin kuat berpalu. Tangan Nuqman makin erat melingkari pinggangnya. Ya Tuhan!

“Ni baru ruang tamu, tau! Belum syurga kecil kita lagi… jom?” Terpejam mata Puteri mendengarnya. Syurga kecil? Maksudnya… oh! No! No! No! Cepat matanya terbuka luas.

“Err… awak… lusa awak nak balik dah, kan? Apa kata kalau saya masakkan untuk awak tengahari ni? Awak tak nak rasa masakan saya?” Otak pintarnya pantas bekerja.

“Betul ni? Anak manja Tan Sri Hasyim pandai masak? Wah! Terujanya saya nak rasa… arrghh!” Senak perut Nuqman disiku Puteri. Rasakan! Mengejek ya? Puteri langsung menyinsing lengan, melemparkan beg tangannya ke sofa lalu menuju ke dapur. Nuqman tergelak-gelak sambil menahan sakit lalu terduduk di sofa. Ganasnya isteri!

Sampai di peti sejuk, Puteri cemas sekejap. Apa yang ada agaknya? Boleh ke aku masak kalau bahan tak cukup? Err… menu dalam kepala dah lah limited! Aduhai… nak selamatkan diri punya fasal, akhirnya dia juga yang terjerat.

Dalam ruang sejuk beku ada ayam separuh. Lega! Ada kentang segera yang sudah siap dipotong. Ayam goreng? Nasiblah! Janji kenyang. Puteri menyiasat peti sejuk itu sampai ke bawah. Ada brokoli, lobak merah, cili padi, sedikit rempah ratus, mentega dan jem. Kira jadilah ni! Hati Puteri berbisik sendiri. Pantas tangannya mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan ke sinki. Dia harus menyibukkan diri sebelum Nuqman datang menggoda lagi!

“Apa yang boleh saya bantu?” Kan dia datang lagi! Puteri menjeling sekilas. Nuqman mengeluarkan papan pemotong dan pisau dari laci kabinet dapur.

“Awak! Jangan sibuk, boleh tak?”

“Amboi!”

“Saya tak reti nak masak dengan orang. Selalu saya masak sorang-sorang. Kelam-kabut saya nanti.”

“Alaa… macam tu pulak! Selalunya isteri suka suami bantu di dapur. Eh, bukan Ika ada pembantu rumah ke?”

“Kat rumah tu kan ramai lelaki yang dominan? Macam-macam diaorang demand. Saya kesian kat Cik Nor. Dia tak pandai sangat masak yang bukan-bukan. Kalau masakan kampung, memang Cik Nor pakar. Masa ada ibu dulu, ibu selalu masakkan masakan kegemaran kami macam seafood, western, macam-macamlah. Bila ibu tak ada, terpaksalah saya masuk dapur nak masak untuk selera diaorang yang macam-macam tu. Kalau tak, abah asyik bawak kami makan kat luar je. Sedangkan ibu tak galakkan kami makan di luar.” Bila kerap menyebut ibu, Puteri jadi sebak. Jarang dia bercerita tentang ibu kepada sesiapa. Kerana tidak mudah untuk dia berkongsi kenangan bersama ibu tanpa diruntun perasaan kehilangan.

Nada suara Puteri yang semakin berubah membuatkan Nuqman tersedar. Kehilangan ibu masih terasa. Betapa gadis manja itu sebenarnya sudah menggalas tugas yang berat mengganti ibu di dalam keluarga itu walaupun dialah yang paling muda. Rasa kagum dan terharu datang menyapa. Malah sifat prihatin Puteri terhadap sesama manusia sangat terserlah saat dia sanggup menyerahkan semua wang yang dia miliki kepada pelarian Syria di daerah Al Fateh ketika mereka ke sana dulu.

Puteri tidak sedar dirinya ditenung lama. Air yang bertakung di dalam kolam matanya melimpah. Cepat-cepat dia mengesat dengan belakang tangan, kemudian laju dia mencapai papan pemotong yang dikeluarkan Nuqman untuk memotong brokoli yang sudah dibilas.

“Ika tahu tak, dalam tak sedar, Ika ada sifat keibuan yang tinggi. Bertuah anak-anak saya nanti…” Kata-kata Nuqman singgah di pendengarannya membuatkan tangannya terhenti dari memotong brokoli. Nuqman sudah berlalu ke peti sejuk. Anak-anak saya nanti? Tak, Nuqman! Anak-anak awak nanti bukan lahir dari rahim saya. Dalam sebak hati Puteri berbisik. Pedih sungguh dengan kenyataan itu. Namun ditelan juga walaupun payah. Dia yakin, Najjah pasti lebih layak. Dia bukan saja punya sifat keibuan, bijak malah solehah. Amat jauh lebih layak berbanding dirinya.

“Okey, Ika masak. Saya buatkan air. Apa yang ada ni? Kita ada ribena, oren dan laici. Hmm… memanglah…!” Nuqman mengomel sendirian. Puteri hanya mendengar di hujung telinga. Perasaan sedih cuba dibuang jauh-jauh. Brokoli yang sudah siap dipotong diletakkan ketepi. Ayam yang masih beku dikeluarkan dari plastik dan dimasukkan ke dalam besen untuk direndam terlebih dahulu. Air paip dibuka perlahan.

“Ika suka ribena?”

“Suka!”

“Hmm… dah agak dah! Sama je, kanak-kanak ribena jugak!”

“Eh! Awak mengumpat saya ya?”

“Mana ada! Saya cakap yang betul je. Ika tahu tak, Ika dengan Najjah banyak persamaan. Sama-sama manja, macam kanak-kanak ribena!”

“Memanglah! Dah kami sep…” Puteri menekup mulut dengan lengan.
Nuqman yang baru menutup peti sejuk terdiam sekejap. “Ika dah kenal dengan Najjah ke sebelum ni?”

“Eh! Tak de lah. Saya kenal masa di kampung tu lah. Maksud saya, kami kan masih belajar lagi. Tapi tak bermakna kami belum matang, ya! Awak cakap elok-elok sikit!”

“Hmm… tak taulah saya kalau Ika dan Najjah duduk serumah. Mesti pening saya dibuatnya!”

“Amboi! Sedapnya mulut!” Laju tangan Puteri mencubit pinggang Nuqman yang sedang membuka pintu kabinet yang melekat tinggi di dinding di sebelahnya. Geram!

“Adoi! Apa ni!”

“Padan muka! Sedap mengata orang!”

“Betullah apa yang saya kata, kan?”

“Saya bukan budak-budak lagi lah!”

“Ye ke? Saya pegang pun dah takut!”

“Siapa kata saya takut?”

“Betul awak tak takut?” Muka Nuqman sudah tersembul dalam jarak tiga inci dari mukanya.

‘Mestilah saya tak takut!” Geram punya fasal, tak sedar mukanya didekatkan lagi satu inci sambil mata bundarnya semakin dijegilkan.

Kemudian keduanya terdiam. Terkaku. Pandangan yang saling menikam menjadi kendur. Nafas mereka berlaga. Getar di hati terserlah di mata. Pandangan Nuqman jatuh ke hidung Puteri, kemudian turun lagi ke bibir yang terbuka.

“Then, let me touch you…” Kata-kata itu hilang dan diganti dengan sentuhan lembut di bibir Puteri. Kini Puteri benar-benar hilang rasa takut. Rasa takut dan gementar diganti dengan seribu gelombang rasa yang mengharukan! Puteri tidak mampu lagi menolak saat Nuqman menghirup kemanisan cinta yang selama ini amat didambakannya.

Ayam sudah tenggelam lemas di dalam sinki. Air paip yang terbuka terus mengalir rakus. Saat bagaikan berdetik laju kerana cemburu. Akhirnya ada yang melimpah basah di kaki.
Serentak itu Puteri dan Nuqman memandang ke bawah. Banjir!

Moga terhibur!

Salam sayang!

Advertisements

8 thoughts on “MAKNA PADA RASA Teaser #03

  1. gak tau bilang ini part paling sedih atau bahagia, satu sisi ini bahagia bagi nuqman dan menyedihkan bagi puteri,, ahhh terlalu sullit menyelami hati mereka,,
    thanks akak
    semoga setelah ini lahir novel yang lebih hebat dan banyak manfaat bagi pembaca.

    Salam sayang dari negeri seberang

    Liked by 1 person

  2. As salam…. novel makna pada rasa ni dah diterbitkan ke. Sebelum ni baca di ilham karangkraft. X sabar nak tengok kesudahan ika dan nuqman

    Like

    • Waalaikumussalam Annna,

      Buat masa ni, manuskrip novel ni masih di tangan penerbit untuk proses penilaian. Bab2 awal novel ni diupload di Ilham atas permintaan pihak penerbit. mohon doakan moga2 novel ni diterbitkan ya.

      Terima kasih kerana sudi mengikuti cerita ni. InsyaaAllah, tak lama lagi kot, Annna akan tahu kesudahannya.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s