WANITA – Kau Teristimewa

KAK 1

SAKITNYA TUH DI SINI

Sakitnya tuh di sini, di dalam hatiku. Sakitnya tuh di sini melihat kau selingkuh! Lagu itu sangat jelas kebenarannya. Sakit yang teramat sakit. Tetapi berani saya katakan lelaki lebih sakit walaupun si isteri belum berselingkuh. Tak percaya?

Seorang rakan baik yang dikenali sewaktu usianya sudah mencecah 45 tahun ketika itu baru saja memiliki lesen memandu. Terkejut saya. Di era semua orang memiliki telefon bimbit, dia hanya ada telefon di rumah sahaja. Malah ke Putrajaya pun belum pernah! Itu hampir 10 tahun yang lepas. Saya terkejut kerana seorang guru yang memegang ijazah seperti dia berada jauh ke belakang dari sudut komunikasi dan pengalaman hidup. Terus-terang katanya, dia hanya berada di rumah atau di sekolah tempat dia mengajar sahaja. Berkenalan dengan saya yang memang tak reti duduk di rumah melainkan kalau berkepit dengan buku atau laptop, habis serata lembah kelang saya bawa dia berjalan. Mujur entah bagaimana saya mendapat lampu hijau dari suaminya yang ‘percaya’kan saya untuk membawa isterinya ke mana pun. Syukur.

Rupanya suaminya sakit. ‘Sakitnya tuh di sini’. Merupakan perkahwinan kali kedua, dia mengetahui tentang suami pertama rakan baik saya masih menyayangi bekas isterinya malah selalu mahu berhubung. Cukup sekali surat bernada rindu darinya dibaca sang suami, langsung segala kepercayaan hilang diganti keraguan memanjang. Puas rakan saya menyakinkan suaminya yang dia sudah tidak punya apa-apa perasaan terhadap bekas suaminya, hanya berhubung kerana anak-anak hasil perkahwinan mereka ada bersamanya dan ayah anak-anak itu sangat mengambil berat dan bertanggungjawab. Namun segala penjelasan sudah terlambat. Sakitnya tuh di sini amat dalam membekas. Langsung segala pintu kebebasan tertutup rapat dan dunia rakan saya hanya rumah dan sekolah sahaja.

Yang mengejutkan saya apabila mendengar luahan hatinya ialah lelaki yang kini bergelar suaminya sangat segak orangnya, peramah, budiman dan seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang agama. Jadi saya dapat gambarkan akhlaknya, budinya, ibadahnya dan sabarnya pasti hebat. Rupa-rupanya cemburunya juga hebat.

Ini bukan kes pertama. Ramai lagi wanita di luar sana yang mengalami pengalaman serupa malah ada yang lebih dahsyat sehingga melibatkan penderaan mental dan fizikal. Tidak cukup hanya isteri, malah ada anak-anak, ahli keluarga dan rakan taulan yang menjadi mangsa kesangsiannya. Pantang dia kalau isterinya berhubung dengan sesiapapun!

Hebat sungguh ujian bagi wanita walaupun hakikatnya mereka tidak bersalah. Disayangi orang lain bukan sesuatu yang boleh dikawal oleh sesiapa pun. Tetapi kita juga yang menjadi mangsa keadaan. Mengapa lelaki begini begitu tidak rasional? Mari kita telusuri apa hikmah di sebalik kejadian.
Kerana kasihankan rakan saya dan juga wanita yang senasib dengannya, saya merujuk kes ini kepada seorang ustaz.

Lelaki lebih kompleks jiwanya dari seorang perempuan. Titik. Saya terpelongo.

Kita semua tahu yang selalunya lebih emosi adalah wanita, bukan? Bahu lelaki itu dijadikan tempat untuk kita bersandar dan menangis serta bermanja. Tandanya mereka lebih kuat, lebih gagah dan lebih matang dari segi emosi. Kenyataan yang disampaikan oleh ustaz itu amat menyentak akal saya.

Lelaki, katanya, mempunyai layer atau lapisan emosi yang berlapis-lapis. Sebab itu kemampuan mereka dalam mengendalikan berbagai keadaan tidak dapat dipersoalkan melainkan sesetengah lelaki yang dijadikan agak lemah dalam soal itu. Bukan semua lelaki bersifat pemimpin dan pendidik. Lelaki yang kita bicarakan saat ini adalah dalam kategori matang, berakal, berpengalaman dan berkepimpinan. Namun bila ada lelaki yang menyentuh hati atau diri wanita yang mereka sayang, sakitnya tuh di sini, di lapisan yang paling dalam. Langsung tindakan yang diambil selalunya yang paling drastik. Timbal baliknya begitu.

Persoalannya, di mana keistimewaan wanita malang yang bersuamikan lelaki yang emosinya berlapis-lapis ini? Istimewanya ialah kedudukan wanita ini sebenarnya di atas sekali. Dia menjadi yang paling penting dalam diri lelaki itu. Namun kerana ‘sakitnya tuh di sini’, lelaki mengambil langkah yang amat menyakitkan juga yakni menjadi obses kepada apa-apa yang mungkin menyakiti atau menganggu wanita miliknya. Macam phsyco bunyinya kan?

Pernah dengar kata-kata ini, ‘put yourself in someone else shoes…’. Cuba letakkan diri kita di tempatnya. Bila dia mengharapkan perhatian sepenuhnya dari wanita kesayangannya atau wanita miliknya tetapi wanita itu diganggugugat oleh orang lain, hati mana yang tidak sakit. Seperti ibu ayam yang anak-anaknya dikacau makhluk lain. Marahnya sekampung!

Bagi wanita yang berada dalam keadaan itu, pinta saya… berhenti memikirkan tentang hati dan diri sendiri. Ini bukan waktunya. Fikirkan tentang ‘dia’. Dia suami. Dia yang diberi Allah satu kuasa veto untuk memiliki diri kita. Di tangannya, Allah alirkan bahagia. Di tangannya, Allah alirkan derita. Percayalah, semua itu dari Allah.

Cuba fikirkan teori ini. Sebuah SEGITIGA CINTA. Watak utamanya di puncak segitiga itu ialah Allah yang Maha Pencipta. Kemudian suami dan diri kita letaknya segaris yang bertapak di bumi – sebagai hamba-Nya. Itulah asas kehidupan wanita. Diri, suami dan Tuhan. Syurga dan neraka samada di dunia atau di akhirat sana bergantung kepada Tuhan yang memberikan suami yang melaluinya Tuhan datangkan berbagai bentuk ujian. Percayalah, apa pun yang berlaku, asalnya dari Tuhan. Kalau kita tidak meminta campurtangan dari Tuhan, ujian itu akan berlarutan dan menyakitkan. Kerana Tuhan itu kunci penyelesai masalah.
Berbalik kepada segitiga tadi, seorang wanita itu punya dua haluan dalam setiap ketika.

Satu; Wanita kepada Tuhan, dari Tuhan kepada suami dan dari suami kembali kepada wanita miliknya. Haluan ini adalah yang terbaik.

Dua; Wanita kepada suami, dari suami kepada Tuhan dan dari Tuhan kepada wanita itu. Haluan ini kurang baik.

Biar saya jelaskan. Contohnya: seorang wanita yang perlukan sedikit wang untuk membeli keperluan dapur.
Haluan yang kedua yang biasa berlaku kerana yang mudahnya, dia meminta kepada suami kerana Allah sudah perintahkan kepada suami untuk memenuhi keperluan isterinya. Maka suami meminta kepada Allah, rezeki untuk memenuhi keperluan isterinya. Itu bagi suami yang hidupnya bertuhan. Langsung rezeki dari Allah itu diberikan kepada isterinya.

Buatnya suami itu jahil, dalam keadaan yang miskin dan sombong atau seorang yang bakhil, mungkin Allah tidak mahu menunaikan keperluannya kerana dia tidakpun pandai meminta kepada Allah. Saat itu, Allah akan memberi samada nikmat atau ujian kepada wanita itu (melalui suaminya). Mungkin suaminya berikan apa yang diminta kerana nafsunya (mahu belaian dan perhatian dari isteri). Mungkin suami biarkan saja (kerana tidak ada hati perut pun.) Atau dipukul suami kerana meminta-minta.

Wanita yang bijak adalah wanita yang memilih haluan pertama yakni meminta dulu keperluannya kepada Allah. Memohon agar dimurahkan rezekinya dan tidak dibebankan suaminya. Hati wanita yang begini, bagaimana agaknya respon Tuhan yang Maha Baik itu. Kalau si suami seorang yang kufur sekali pun, Allah tetap akan menunaikan permintaan wanita itu melainkan jika Dia mahu menguji kesabaran wanita itu dan ditingkatkan keimanannya maka permintaannya itu ditangguh-tangguhkan.

Jika Allah memperkenankan permintaan wanita itu melalui suaminya, itu juga sangat baik kerana suami memberi dengan hati yang lapang kerana Allah. Lagi terpautlah kasih sayang di antara suami dan isteri. Bukankah wanita ini istimewa.

Kerap kali saya mendengar keluhan para isteri bila suami gagal memberikan keperluannya. Contohnya susu si anak kecil.

“Dah berbuih mulut saya minta belikan susu. Kesian anak saya, masih kecil dan tak tahu apa-apa, selalu kelaparan kerana susu habis.”

Kerap juga saya bertanya, “dah minta dengan Allah?”

Maksud pertanyaan saya itu, mengapa diminta kepada seorang hamba (suami) yang tidak ada daya upaya itu? Sedangkan dia sendiri bergantung dengan rezeki yang Allah berikan kepadanya. Untung kalau dia pandai bergantung kepada Allah. Kalau tidak…?

Pertanyaan saya seringkali dipandang aneh oleh mereka. Meminta kepada Allah itu jadi perkara pelik bagi sebahagian wanita. Kenapa? Sedangkan Allah sukakan hamba-Nya yang meminta-minta!
Contoh kecil ini sudah cukup untuk kita fahami formula tiga segi cinta yang saya sebutkan tadi.
Mengapa meminta kepada si suami (seorang hamba) sedangkan Allah yang Maha Kaya?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata habis semua perasaan luntur! Sebab itu, Islam membenarkan kita berbohong dengan suami – di antara 3 perkara yang kita dibolehkan berbohong. Bohong di sini antaranya ‘merahsiakan perihal orang ketiga/keempat dalam hidup kita’ samada tentang bekas kekasih, bekas suami atau cinta monyet dahulu kala. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku jika tiba-tiba si suami terasa ‘sakitnya tuh di sini’.

Kompleksnya emosi lelaki jangan dibuat main. Tetapi kalau wanita sudah tersilap langkah atau keadaan yang membocorkan rahsia tentang hati kita yang pernah atau masih dimiliki oleh lelaki lain, kembalilah kepada Allah. Usah dicari salah suami atau dikaji mengapa dia berubah menjadi ‘phsyco’.

Tetapi tengok balik rentetan kesilapan atau dosa kita sejak diijabkabulkan dengan suami samada dengan atau tanpa rela kita. Usah berusaha menegakkan benang samada basah atau kering, memang benang tak akan tegak. Tegang adalah kalau ditarik di hujung sana dan di hujung sini.

Dalam hal ini, yang pertama sekali, berhenti menunding jari. Siapapun tidak bersalah kerana ianya adalah ujian dari Allah yang Maha Mengetahui.

Kita wanita tidak akan mampu menguasai emosi lelaki tanpa izin Allah. Takkan mampu mengubah hatinya tanpa izin Allah. Kalau kita tidak boleh mengawal dia atau keadaan, maka kembalilah kepada diri kita. Pasti ada sesuatu dalam diri kita yang boleh kita ubah.

Pertama sekali, semak hubungan kita dengan Allah. Apakah kita benar-benar taat dan menjauhi larangannya? Suluh diri dan bertaubatlah. Cari di mana keikhlasan kita. Apakah kita sudah sungguh-sungguh niatkan apa pun yang kita lakukan adalah semata-mata kerana Allah?
Betulkan hubungan dengan Allah dahulu, melalui solat, doa dan akhlak kita seharian. Dapatkan kemuliaan dari Allah, pasti manusia akan memuliakan kita. Malah hubungan dengan manusia akan secara automatik akan menjadi lebih baik akhirnya.

Dengan suami, bukan janji atau penjelasan yang dia perlukan. Cukup-cukuplah. Usah disebut atau diungkit lagi. Kalaupun dia masih marah dan mengungkit, biarlah dia melepaskan amarah dan perasaannya. Tunduk dan senyumlah. Sabar. Fahami jiwanya yang teramat sakit. Taat. Taat setaat-taatnya. Dalam doa dan ikhtiar, jaga akhlak kita sebaik-baiknya. Biarkan orang kata kita bodoh. Tunduk dengan suami phsyco. Tetapi hati kita sebenarnya sentiasa dengan Allah. Berdoa dan berdoalah. Pohon campurtangan Allah dalam rumahtangga kita. Pohon campurtangan Allah dalam menyejukkan hati suami.

Ini pula pengalaman seorang wanita yang bertuah kerana dibantu Allah dalam menghadapi ujiannya.
Ceritanya; Saya pernah diuji, dimarahi suami sehingga kami hampir berpisah kerana satu rahsia yang diselindungkan dapat saya bongkar. Kelemahannya turut terserlah. Jujur saya katakan, saya tidak menyesal dengan kebenaran yang terungkap. Kerana ada sesuatu yang perlu diambil iktibar dari apa yang berlaku. Ia juga bukan hanya berkait dengan diri saya tetapi apa yang berlaku jelas tidak disukai Allah. Tetapi kenyataan itu terlalu menyakitkan suami walaupun kebenarannya di pihak saya. Saya tahu dia tahu. Tetapi sakit hatinya mengatasi segalanya. Dia benci dengan saya dan benci dengan orang yang mendedahkan rahsia itu kepada saya.

Hampir sebulan dia tidak pulang ke rumah. Hanya pulang untuk memberi wang keperluan dan bertemu dengan anak-anak. Saya langsung tidak disentuh. Tidak disapa. Saya berhenti menangis, meminta maaf dan memberi penjelasan. Saya biarkan dia. Sangka saya kami mungkin berpisah. Sedih hanya Tuhan yang tahu.
Itulah yang saya lakukan. Saya kembali mencari dosa-dosa silam. Pasti ini kifarahnya. Taubat dan taubat tak berhenti. Airmata taubat mengalir setiap malam yang hening. Saya qiamulail setiap malam. Bertaubat dan mendoakan suami. Saya mohon campurtangan Tuhan dalam meredakan amarah suami. Kalau saya bersalah, saya rela dihukum dan saya bertaubat. Tetapi kalau saya benar, saya mohon Allah kembalikan suami saya sebagai orang yang lebih baik. Saya mohon pimpinan Allah untuk teruskan hidup. Hari demi hari berlalu dalam sakit yang teramat. Hanya sabar dan ikhtiar menunggu bantuan Allah.

Takdir pada suatu hari, suami bertemu seorang ustaz dan ditemani oleh isterinya yang menyampaikan kepada saya tentang apa yang mereka bualkan. Ustaz itu berbincang tentang perasaan marah. Tentang marah yang sukar dikawal. Marah yang membuahkan dendam. Firasat orang yang bertaqwa, saya kira begitulah. Tidak sepatah kata pun yang terlontar dari suami saya waktu itu. Selepas bersurai, isteri kepada ustaz yang ada bersama waktu itu menghantar pesanan ringkas kepada saya menyatakan rasa aneh melihat keadaan suami saya yang begitu tegang pada mulanya. Tetapi saat dia bersalaman dengan suaminya, wajah suami saya berubah kendur dan tenang. Apabila pulang, suaminya memberitahu, bahang panas amat terasa dari tangan suami saya. Firasat sang ustaz, ada amarah dalam diri suami saya, langsung didoakannya. Syukur kepada Tuhan, wajah suami saya kembali tenang sebelum mereka berpisah.

Pesanan ringkas itu amat mengejutkan dan mendebarkan hati saya. Malam itu saya gelisah langsung qialmulail lagi. Terus berdoa dan merintih. Keesokan harinya, saya terserempak dengan suami. Serta merta saya hampiri dia dan hulurkan tangan. Ternyata kali ini dia menyambut huluran tangan saya dan ketika itu juga dahi saya dikucup lama. Sebak di dada saya hanya Tuhan yang tahu. Tuhan datangkan seseorang untuk menyejukkan amarahnya – sang ustaz. Sejak hari itu, hati saya berlagu syukur dan semakin yakin dengan campurtangan Tuhan bila kita menagihnya kerana hubungan kami lebih kuat selepas diuji. Alhamdulillah.

Sungguh bagi saya, dia wanita yang istimewa kerana mendapat perhatian Tuhan. Saya teringat kisah Sayidatina Aisyah ketika beliau difitnah. Hatta Nabi juga berdiam diri. Maka pulanglah Aisyah ke rumah orang tuanya dengan hati yang remuk redam malah lebih pedih bila dia tidak dibela oleh Rasulullah SAW, suaminya yang tercinta. Apakah suaminya juga tidak mempercayai kata-katanya malah meraguinya? Hanya kepada Allah, Aisyah mengadu.

Lihatlah betapa istimewanya wanita yang teraniaya. Dia dibela Allah yang Maha Mulia! Sehingga turunnya ayat al Quran yang membela Aisyah dari fitnah itu lalu Rasulullah SAW menjemput Aisyah dari rumah orang tuanya dan kembali ke sisinya.

Yakinlah wahai wanita. Kejadian dirimu amat istimewa ciptaan Allah. Kembalilah kepada Allah walau apapun musibah yang melanda. Dia yang menciptakan engkau lemah dan lembut, Dia jugalah yang akan membela dan memberi kekuatan. Lupakan egomu, padamkan api nafsumu yang menyala. Takuti Allah dan bertaubatlah. Allah pasti campurtangan kerana engkau wanita teristimewa.
Wallahualam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s