Siri Novel TUHAN JAGA KAMU Bab 1

Salam ceria! Lamanya tak update blog ni. sibuk sesibuk sibuknya. tapi semangat terus membara untuk berkongsi sebuah cerita baru. So, dalam kekalutan, lahir juga ‘TUHAN JAGA KAMU’ bab satu. Kalau suka cerita ni, sila ‘like’ ya… semangat untuk teruskan. Bagi sesiapa yang merindui Puteri dan Nuqman, insyaAllah Juea akan upoad teaser-teaser yang dapat mengubat kerinduan itu… hehe…

Moga terhibur dengan cerita ini…

TJK Bab 1

“Bestnya air terjun ni!!” Pekik Saidah Basyirah dengan suara yang terketar-ketar. Gigi dan dagunya berkertak, badannya juga menggigil dek kerana kesejukan selepas berendam lama di air terjun. Deru air yang jatuh dari ketinggian hampir tujuh meter itu sangat kuat sehingga menyukarkan mereka untuk berbual melainkan menjerit sekuat-kuat hati. Tetapi Saidah Basyirah yang biasa dipanggil Basy suka teramat suka. Terasa segala tekanan di dalam dadanya terlepas bila dia boleh menjerit sekuat-kuat hati begitu.

“Tt-tapi kenapa tak ada orang yang datang sini, Etai? Sianda?”

“Takut! Jauh sini!” Sianda juga terketar-ketar sambil menjeling marah ke arah adiknya, Etai yang belum cukup umur, baru berusia tiga belas tahun. Kalau tidak kerana mulut luas Etai, pasti doktor muda itu tidak akan mendesak mereka membawanya mudik ke hulu ke kaki gunung yang sudah terkenal dengan tempat sumpahan ini. Sianda, gadis Dusun yang baru berusia tujuh belas tahun, sangat manis dan sopan memikat tetapi selalu berubah menjadi singa betina bila berdepan dengan adiknya yang nakal itu.

“Muli Etaiii!” Jerit Sianda mengajak Etai balik. Etai yang sekejap timbul dan sekejap tenggelam di dalam lubuk yang dalam betul-betul di bawah air terjun itu tidak mempedulikannya. Begitulah Etai kalau bertemu sungai, seperti mahu bertukar menjadi ikan! Dia tidak jemu-jemu berenang berputar-putar di dasar sungai. Mata Sianda dijegilkan luas-luas melihat kedegilan adiknya. Kemudian merawang ke atas, bimbang pula jika suaranya didengari oleh pemilik tempat misteri itu.

Bahu Sianda ditepuk. Basy mengajaknya ke pokok besar di tepi sungai untuk bersalin pakaian. Kain batik dan pakaian kering dikeluarkan dari beg galasnya. Begitu juga Sianda yang membawa pakaian kering dalam kain sarung yang dibunjut dan digalas dibahu. Selesai menyalin pakaian, mereka kembali ke tepi sungai untuk mengajak Etai pulang.

Basy melambai tangan ke arah Etai. Kalau dengan kakaknya, memang susah Etai hendak mendengar kata. Tetapi kalau Basy yang bercakap, dia senang saja menurut. Memang dia sayang sangat dengan Basy sejak kali pertama mereka bertemu hujung tahun lalu. Laju saja Etai berenang ke arah Basy sambil tersengih-sengih.

“Jom kita balik. Dah lewat ni. Nanti abang Basyar marah.” Pinta Basy sambil menunjukkan matahari yang sudah tegak di atas kepala. Laju Etai mengangguk. Mereka mengutip bekas makanan yang sudah kosong dan barang-barang peribadi lalu diisi ke dalam beg galas. Basy menyarung semula kasut but separas betis lalu mula melangkah pulang bersama Etai yang lebih selesa tidak berkasut.

“Nanti! Kalau mau cepat, ada jalan singkat. Jalan darat.”

Sepasang mata Sianda mencerun. Entah oleh dipercayai atau tidak dengan adiknya yang teramat nakal itu. Memang seluruh hutan belantara ini bagaikan taman mainan baginya. Etai terkenal sebagai tanak gansaw di kampung mereka yang bermaksud anak yang suka merayau.

“Eh! Elok sangatlah tu. Letih sangat dah nak lalu kat jeram tadi tu. Jom Etai, tunjukkan jalan!” Lega Basy mendengarnya. Dia perlu ke surau sebelum waktu zohor. Kalau tidak, dia pasti akan disoal-siasat oleh abangnya, Basyaruddin, si jurutera itu.

Etai mula menukar arah. Mereka mendaki tebing yang agak curam. Mujur akar kayu yang besar-besar berjuntai dari tanah tebing memudahkan mereka memanjat ke atas. Dalam soal memanjat, memang Basy angkat tangan dua belah! Anak-anak orang Dusun ini lebih cekap pergerakan mereka bila bersama alam. Terkial-kial dia ketinggalan ke belakang. Tinggi dan curam sungguh tebing itu. Terasa menyesal pula meminta Etai menggunakan jalan pintas.

Hampir sepuluh minit barulah Basy dapat menjejakkan kaki ke tanah yang agak rata dalam keadaa tercungap-cungap. Etai sudah tersengih-sengih sementara Sianda pula asyik memandang keliling dengan wajah cemas.

“Etaii!! Ni tempatnya, kan?!! Mulau-nu?! Ayo kita turun! Inda selamat sini!!” Sianda tiba-tiba menjerit-jerit ke arah Etai dan mencengkam kuat lengannya sehingga menyeringai budak itu dibuatnya.

“Kenapa Sianda? Eh… nanti dulu…!” Etai yang sudah ditolak semula ke tebing oleh kakaknya menoleh. Langkah Sianda juga terhenti.

“Cepat turun doktor! Bahaya sini!!” Jerit Sianda, semakin cemas. Basy yang terpinga-pinga semakin kehairanan. Dia menoleh ke belakang dan melemparkan pandangan sejauh mungkin.

“Tak…! Tak ada apa di sini… cuma macam kawasan pertanian. Etai, arah mana yang kita boleh ikut?” Basy meninjau ke arah kawasan terbuka yang di kelilingi hutan dengan penuh dengan pokok-pokok yang tinggi menjulang. Siapa pula yang bertani di kaki gunung ini? Pantas teropongnya dikeluarkan dari beg sandang.

“Doktorrr!!” Sianda semakin kuat menjerit.

“Syyhhh…” Basy menoleh ke belakang dengan jari telunjuk di bibirnya. Dia kembali meninjau ke kawasan itu dengan teropong. Macam kenal pokok-pokok menghijau itu…

“Kamu tunggu sini. Jangan ke mana-mana…!” Basy memberi amaran lalu berlari sambil tertunduk-tunduk di celah-celah tumbuhan renek di hadapannya meninggalkan Sianda dan Etai terlopong dengan tindakannya. Tidak sampai sepuluh meter, dia tiba ke kawasan yang sudah diterangkan dan kelihatan dijaga rapi.

Pantas dia melutut di tepi pokok yang sudah melebih satu meter tinggi yang subur menghijau itu. Laju tangannya memetik setangkai daunnya. Setangkai pecah lima hingga tujuh daun…! Cannabis sativa! Ganja!

Sepasang mata Basyirah membulat. MasyaAllah!! Serentak itu hati dan anggota badannya bergetar hebat. Ladang ganja!

Derap kaki tiba-tiba kedengaran dan berhenti dekat di belakangnya. Seluruh tubuh Basyirah terais!

‘Sumandak!! Nu maan nu?!!” Basyirah ternganga. Bahasa Dusun! Dia tidak begitu faham. Tetapi sergahan berapi itu bagaikan amaran awal baginya. Mindanya ligat berfikir. Dan saat itu… dia cuma tahu satu perkara. Lariiiiiiiiii!!!!!

Basyirah berlari seperti tidak jejak ke bumi. Betul seperti kata pepatah! Dari kawasan lapang itu, Basyirah menukar arah ke kawasan hutan renek. Tetapi tidak ke arah Sianda dan Etai kerana lelaki itu datang dari arah mereka. Dia berlari dan berlari, menyelinap di celah-celah pokok-pokok, tanpa arah tanpa haluan. Dia tidak mahu menoleh ke belakang. Dia tidak mahu memikirkan tentang siapa lelaki yang datang menyergahnya tadi. Dia hanya mahu lari sejauh yang mungkin! Tidak jauh dari situ, dia nampak pokok-pokok besar menjulang tinggi. Hutan!

Etai!! Sianda!! Sungai!! Mindanya ligat mencari jalan. Basyirah terus berlari ke kawasan hutan itu. Pasti tidak susah mencari sungai di dalam hutan. Sungai itu akan membawanya pulang!

Bunyi enjin kenderaan tiba-tiba menyentuh gegendang telinganya. Kaki Basyirah terhenti dari berlari. Dia yang sudah lelah tercungap-cungap memang perlu mengambil nafas sekejap. Matanya liar mencari arah. Dia mendongak ke atas, pokok-pokok yang menjulang tinggi kelihatan semakin hampir. Kemudian deruan enjin itu tiba-tiba hilang. Langsung Basyirah berlari lagi sekuat hati untuk masuk ke dalam hutan itu secepat yang mungkin.

Tiba-tiba seperti ada seseorang berdiri terpacak di hadapannya. Basyirah tidak sempat berhenti dan… tubuh sasa itu tidak berganjak sedikit pun bila dirempuhnya! Serentak itu, tangan Basyirah disambar dan dikilas kuat ke belakang tetapi gadis itu meronta dan menerajang sekuat hati untuk melepaskan diri. Sayang, genggaman tangan lelaki itu terlalu kuat mencengkam sampai terasa pergelangan tangannya bagaikan hendak patah. Mujur jaket yang dipakai itu agak tebal, jika tidak pasti kulitnya merah kebiruan! Dek kerana dia terlalu kuat melawan, sebelah tangannya pula dikilas ke belakang. Hanya dengan sebelah tangan, lelaki itu memegang kedua pergelangan tangan Basyirah dan dengan secepat kilat, sebelah tangan lagi membuka bandana yang melilit di kepalanya lalu diikat kedua tangan gadis itu. Basyirah tidak akan menyerah begitu mudah. Kakinya menongkah diri sekuat hati untuk melarikan diri tetapi disadung lelaki itu dan akhirnya dia tersembam jatuh ke tanah. Mujur banyak timbunan daun yang luruh, kalau tidak mukanya pula mungkin pecah!

Basyirah menyeringai kesakitan. Belum sempat dia mengalihkan badan, terasa lengannya dicengkam dan tubuhnya diangkat sehingga dia berdiri. Serentak itu, belakangnya ditolak ke depan, memaksa dia melangkah. Tetapi Basyirah yang terhoyong-hayang melangkah mengambil kesempatan itu untuk membuka langkah seribu! Namun baru mula berlari, tubuhnya sudah terhayun ke belakang dan serentak itu juga dia tersangkut di atas bahu lelaki itu! Senak perutnya hanya Tuhan saja yang tahu! Ini badang Malaysia ke apa?!

“Lepas!!! Lepas!!! Saya bukan orang sini! Lepaskan!! Etaiiiiiii…!!!” Basyirah menjerit sekuat-kuat hatinya. Dan jeritan itu bagaikan bergema ke seluruh alam. Tetapi tidak mengubah apa-apa. Lelaki itu melangkah tanpa terganggu sedikit pun!

Tubuhnya dicampakkan ke tempat duduk di dalam sebuah kereta pacuan empat roda. Kepala Basyirah terhentak ke dinding pintu kereta. Ternganga dia menahan sakit. Namun saat itu juga dia bertindak menerajang perut lelaki itu membuatkannya jadi berang lalu bertindak melompat masuk dan duduk di atas kedua kaki Basyirah yang dapat dipegangnya. Basyirah membeliakkan mata seperti tidak percaya. Lelaki itu terus memecut kereta membelah hutan tebal itu.

ps: Haa… macammana? Jangan lupa ‘like’ kalau suka… and pls comment to help me make it better.

nak share sikit kenapa tetiba ada cerita orang dusun ni ya… Juea pernah ke KK beberpa tahun dulu and I really fell in love dgn budi pekerti orang dusun esp… gadis-gadis Dusun. Terharu dengan kekuatan jiwa mereka dalam menempuh kesukaran dalam hidup dan itu tidak membuatkan mereka menjadi kasar dan keras sebaliknya kelembutan dan keramahan mereka tetap terserlah. Perjuangan mereka untuk kekal bersaudara dan bersatu-padu sangat baik untuk dicontohi. Jika ada pembaca dari orang Dusun, saya mohon tunjuk ajar ya. Bantu saya untuk kemas kini sebarang fakta dan kekhilafan. bagi yang ada pengalaman bersama orang Dusun, please share. Jom kita kenali saudara kita seMalaysia…

Advertisements

One thought on “Siri Novel TUHAN JAGA KAMU Bab 1

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s