Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 43

cover MAKNA PADA RASA copy

Bab 43

“Tak ada?”

‘Ya, encik. Dato’ dah keluar sejak tengahari tadi.”

“Ada dia bagitau nak ke mana?”

“Maaf, encik. Tak ada pulak dia bagitau apa-apa…”

Zulkarnain menghenyakkan tubuhnya di kerusi pemandu, hampa. Hasrat hatinya hendak ‘menculik’ Nadia dan membuat kejutan tetapi hampa. Telefon bimbitnya sudah dihubungi bertalu-talu tetapi semuanya masuk ke peti simpanan suara.

Sambil menghela nafas, Zulkarnain menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi menuju ke rumah Fahmi seperti yang dijanjikan. Sebolehnya dia mahu Nadia ada bersamanya dalam pertemuan itu. Begitulah manusia, hanya mampu merancang.

Semalam Nadia pulang lewat walaupun sudah berkali-kali dia berpesan supaya bekerja separuh hari saja. Mungkin dia mahu mengelakkan diri dari meluangkan masa bersamanya. Sikap Nadia memang aneh sejak dia demam tempohari.

Dia gelisah. Sekejap-sekejap termenung. Selalu menangis dalam diam. Dalam keadaan itu, tidak pula dia menolak kehadiran Zulkarnain seperti sebelum ini. Bila Zulkarnain membawa makanan ke biliknya, dia makan dengan patuh. Ikut solat berjemaah, malah Zulkarnain sudah membawa beg pakaiannya ke dalam bilik Nadia, dia diam tidak membantah.

Saat Zulkarnain memanjat katil, berbaring di sebelahnya seperti malam sebelumnya, dia diam tidak berkata sepatahpun. Menganggap itu sebagai undangan, Zulkarnain tidak dapat menahan diri dari menyentuh isterinya, meluahkan rasa kasih dan rindu yang membara di dalam. Nadia terus diam seolah-olah merelakan sehingga akhirnya mereka terdampar bahagia setelah dilambung ombak asmara. Cuma selepas itu, Zulkarnain dikejutkan dengan airmata Nadia di dadanya. Sukar untuk mentafsir tangisan itu, Zulkarnain mengeratkan lagi dakapannya, mengucup ubun-ubun dan membelai rambut isterinya hingga dia terlena.

Hampir sejam lebih Zulkarnain memandu keretanya menuju ke selatan tanahair. Fahmi di sebelahnya menunjuk arah sehingga mereka tiba ke perkampungan Melayu Senawang. Bersama mereka, ibu Fahmi, Mak Pah atau nama sebenarnya Hanipah, yang pernah Zulkarnain temui ketika mengunjungi Nadia suatu masa dulu.

Rumah sepupu Mak Pah sangat menarik. Rumah kayu tradisional yang bahagian anjungnya masih bertiang tinggi, bersambung dengan bahagian tengah yang rendah dan dapur rumah pula dibina di atas tanah. Bertiang cengal berdindingkan meranti, rumah itu bertambah istimewa dengan ukiran kerawang halus bertemakan flora dan fauna.

“Tak ada oranglah, abang…,” suara Fahmi mengejutkan Zulkarnain yang sedang terpesona meneliti setiap sudut luar rumah itu.

“Dah pindah ke?”

“Eh, tak lah! Mak Ngah memang tinggal di sini. Nanti saya cuba tengok kalau ada sesiapa di bengkel kayu…”

Fahmi mengatur langkah ke arah sebuah bangunan yang kelihatan seperti gudang lebih kurang dua ratus meter dari rumah itu. Di hadapan gudang itu terdapat banyak jenis wakaf atau gazebo yang sedang disiapkan. Seorang lelaki separuh abad dibantu oleh dua orang pemuda sedang sibuk bekerja.

“Yang tua tu, adik ipar kepada sepupu Mak Pah. Gudang tu anak sulungnya yang usahakan dengan arwah suaminya dulu. Harap-harap dia tahu di mana Aisyah.”

“Aisyah…?”

“Sepupu Mak Pah…” Zulkarnain mengangguk. Sebenarnya sejak tadi, dia menunggu Mak Pah membuka mulut tentang anak kandungnya tetapi Mak Pah banyak berdiam diri. Sejak berjumpa Zulkarnain, Mak Pah kelihatan gelisah dan cemas, membuatkan Zulkarnain serba-salah untuk bertanya. Tetapi naluri seorang ayah terlalu mendesak.

“Mak Pah, makcik Aisyah ke yang jaga anak saya selepas dia dilahirkan?”

“Haa… err… ya, encik Zul…”

“Panggil saya Zul je, makcik…”

Angguk. Diam lagi.

“Nadia kenal makcik Aisyah?”

“Err… tak… tak kenal…” Geleng. Diam lagi.

Dada Zulkarnain makin berombak. Sampai siapa yang memelihara anak sendiri pun dia tidak kenal atau mungkin tidak mahu kenal?!

“Macammana dengan belanja makan minum dan sekolah anak saya? Nadia ada bagi?”

Angguk dan geleng. Hati Zulkarnain mula mendidih. Dia memang tidak ambil tahu?! Wajah Mak Pah ditenung dalam-dalam. Mak Pah semakin gelisah seperti takutkan sesuatu. Dahi Zulkarnain berkerut rapat. Apa sebenarnya yang berlaku? Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan tentang anaknya!

***

Nadia tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan cemas dan takut yang menghantui dirinya. Dia tidak percaya. Sungguh dia tidak percaya yang Mak Pah akan menjual anak yang ditinggalkannya. Dia kenal Mak Pah. Dia lahir di tangan Mak Pah. Hati Mak Pah yang pengasih tidak akan tergamak menjual anaknya walau apa pun yang berlaku.

Lagipun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Setiap bulan wang perbelanjaan untuk anaknya dimasukkan ke dalam akaun bank yang sempat dia buka untuk Mak Pah sebelum dia meninggalkan daerah itu. Bukan sedikit jumlah wang yang dimasukkan setiap bulan ke akaun itu. Malah wang perbelanjaan yang dimasukkan ke dalam akaun banknya dari Zulkarnain selama mereka berpisah juga dimasukkan ke dalam akaun Mak Pah untuk perbelanjaan anak yang dia tinggalkan.

Nadia tidak sanggup berdepan dengan Zulkarnain lagi. Sejak petang kelmarin dia cuba bertenang dan berfikir. Tetapi dia semakin lemah dan lemas dalam rasa bersalah dan cemas. Mak Pah harus dijejaki. Tetapi bagaimana?

Nadia memberi lampu isyarat ke kiri lalu memberhentikan keretanya di bibir jalan. Rumah Tan Sri Khaleef sudah jauh ditinggalkan. Mujur Puteri sudah pulang. Pertemuan dengan Tan Sri dan Puan Sri tadi amat bermakna. Mereka berjanji untuk membantu WWT sementelahan Puan Sri Khadijah memang aktif dalam kerja-kerja amal. Dari sudut itu, Nadia sudah menarik nafas lega. Sekarang dia punya ruang untuk menyelesaikan masalah peribadinya. Mak Pah mesti dijejaki!

Lama dia tersandar di situ, berfikir dan berfikir. Kepala sudah semakin berdenyut. Akhirnya, Nadia tekad untuk menghubungi lelaki aneh itu sekali lagi. Dia tidak ada jalan lain.

“Saya nak jumpa keluarga angkat anak saya. Tolonglah, encik…,” Nadia merayu sebaik saja panggilannya dijawab. Dia sanggup lakukan apa sahaja dan walau berapa pun bayarannya. Jiwanya sudah terlalu menderita kerana semua ini.

Lelaki itu senyap tidak bersuara. Nadia jadi gugup. Payah sungguh hendak berbincang dengan lelaki ini!

“He-Hello! Encik Fadhlan…! Saya Nadia yang call encik kelmarin. Tolong saya, encik! Saya cuma nak tengok anak saya. Itu saja…!” Nadia cekalkan hati. Hanya lelaki itu yang dapat menghubungkan dia dengan anaknya buat masa ini.

Tetapi kenapa Fadhlan hanya mendiamkan diri? Jantung Nadia kuat berdebar. Hanya nafas kasar lelaki itu yang kedengaran di hujung talian. Dan jam terus berdetik.

“Jumpa saya di stesen komuter Shah Alam satu jam dari sekarang.” Talian diputuskan. Nadia tercengang. Jam di pergelangan tangan ditelek. Masih ada masa! Tanpa berfikir panjang, Nadia memecut keretanya ke Shah Alam dengan hati yang tertanya-tanya. Kenapa tiba-tiba lelaki itu berubah hati?

Patutkah dia membawa Zulkarnain bersama? Tetapi dia belum pasti tentang anaknya lagi. Biarlah dia mendapat maklumat lengkap tentang anaknya dahulu. Cukuplah kalau dia tahu yang anaknya hidup bahagia. Dia sudah tidak punya hak lagi untuk menganggu hidup anaknya setelah sekian lama ditinggalkan. Ya. Dia cuma mahu pastikan yang anaknya bahagia. Itu sahaja.

Tetapi bagaimana dengan Zulkarnain? Cukupkah kalau dia hanya diperkenalkan kepada zuriatnya dan kemudian teruskan kehidupan seperti biasa? Ah! Kalau itu yang berlaku, segalanya akan jadi mudah. Tolonglah Zulkarnain… janganlah dikucar-kacirkan lagi hidupnya!

Impian Zulkarnain bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Hidup berkongsi kasih? Dato’ Puteri Nadia Ruwaidah berpoligami?! Hah! Meletup berita di seluruh tanahair nanti! Kalau sebagai isteri pertama, dia akan dianggap sebagai mangsa. Tetapi jika dia sebenarnya isteri kedua, sudah pasti dia digelar perampas! Bagi seorang pejuang hak wanita, itu semua adalah penghinaan belaka.

Sedar-sedar Nadia sudah tiba ke stesen komuter Shah Alam di Seksyen 19. Suasana masih lengang kerana masih di awal petang dan hari Sabtu pula. Termanggu-manggu Nadia memerhatikan sekelilingnya dengan debaran di dada. Dia tidak kenal Fadhlan!

Deringan telefon bimbit membuatkannya hampir terlompat dari tempat duduk dek kerana terkejut. Kelam-kabut dia menjawab.

“Saya di belakang awak. Cepat masuk kalau nak bincang!” Sekali lagi talian diputuskan. Nadia tercengang. Tubuhnya gementar. Cepat dia melihat ke cermin pandang belakang. Sebuah kereta merah menyala berhenti mengejut di belakang keretanya. Terkelip-kelip mata Nadia. Hendak pergi atau tidak? Tangannya pantas mencapai beg tangan.

Bingkas dia keluar dari kereta menuju ke arah tempat duduk pemandu kereta merah itu. Cermin tingkap yang gelap itu tiba-tiba bergerak turun.

“Masuk!” Lelaki berkaca mata hitam itu langsung tidak menoleh ke arahnya. Belum sempat Nadia berkata apa-apa, cermin tingkap dinaikkan semula. Mahu tidak mahu, Nadia memberanikan diri, dia membuka pintu kereta di bahagian penumpang di belakang lalu masuk.

“Tutup pintu!” Sergah lelaki itu lagi. Nadia mendengus marah tetapi pintu ditutup juga. Sebaik saja pintu dirapatkan, kereta itu berderum dan meluncur laju meninggalkan stesen komuter. Nadia yang tidak bersedia, terhenyak di tempat duduk.

“Awak nak ke mana ni? Berhentikan kereta! Bincang di sini saja!” Nadia separuh menjerit.

“Nak jumpa anak, kan? Tutup mulut tu. Kalau tak, aku stop, kau boleh blah!”

Nadia terdiam. Wajahnya tidak keruan. Hatinya makin kecut dan ragu dengan lelaki ini. Demi anaknya, dia memaksa dirinya duduk diam di belakang. Hatinya sudah berkira-kira, bersedia jika berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap dirinya.

Dia dibawa ke sebuah kondominium, di jalan 17, tidak jauh dari dari pejabat WWT. Dia arif sangat tentang jalan dan lokasi kondominium itu. Anaknya di sini?

Mereka menaiki lif ke tingkat tujuh dan Fadhlan membawanya ke unit di hujung sekali. Suasana lengang di dalam bangunan itu. Pintu gril dan pintu kayu dibuka Fadhlan. Pelik? Rumahnya sendiri?

“Isteri encik ada?” Nadia teragak-agak.

“Di dalam… masuklah,” pertama kali Fadhlan bersuara agak lembut. Nadia makin cemas tetapi memaksa dirinya melangkah masuk. Ruang tamu yang kemas dengan dekorasi moden mengurangkan tekanan perasaannya. Tidak mungkin dia seorang lelaki yang jahat. Lagi pun dia anak Mak Pah yang baik hati.

“Duduk!”

Nadia menelan liur. Matanya menerawang ke segenap ruang, mencari kelibat isteri Fadhlan.

“Dia di bilik. Tak sihat.” Nadia serba salah. Fadhlan sudah terhenyak bersandar di sofa, memandangnya tajam. Perlahan-lahan Nadia ikut melabuhkan punggungnya.

“Kau nak apa?”

“Hah? Nak… nak jumpa Mak Pah. Nak jumpa anak saya… maksud saya, ke-keluarga angkatnya…” Gugup Nadia dibuatnya bila disergah-sergah begitu. Lelaki itu sangat menakutkan. Tak reti nak bincang baik-baik ke? Tak bertamadun langsung! Hati Nadia membentak di dalam.

“Lupakan mak aku! Anak kau, aku dah jual. Aku tak kenal siapa. Kau dah buang anak kau, kenapa kau sibuk nak kutip balik?!” Sinis menghiris.

“Habis, kenapa awak bawa saya ke sini?” Nadia masih bersabar. Hendak berbincang atau apa sebenarnya? Hatinya tidak tenteram. Mindanya kalut.

“Sebab kau ada apa yang aku nak. Kalau kau nak sangat jumpa anak kau, ada syaratnya.”

Nadia kini di hujung sofa. Laju dia mengangguk. Apa saja syaratnya, dia akan setuju.

“Aku nak duit. Bukan senang aku nak cari balik orang yang bela anak kau tu!”

Sudah jual anak orang, sekarang hendak menuntut upah untuk mencari pula?! Lelaki ini memang kurang ajar! Namun Nadia menahan diri dari melepaskan amarahnya yang sudah terkumpul sejak kali pertama mereka bercakap di talian.

“Berapa awak nak?!”

“Dua puluh ribu.”

Mata Nadia terbeliak.

“Tak perlu cari. Bagi saya nama mereka saja…”

“Hei perempuan! Tak payah nak ajar aku…! Kau nak ke tak nak?!”

“Nak! Tapi saya tak ada duit sebanyak tu!”

“Jangan nak berlagak la! Kau nak ke tak nak?”

“Saya balik dulu. Bagi saya masa nak fikir… nak cari duit tu.”

“Kau memang ingat aku bodoh, ya? Kau takkan dapat keluar dari rumah ni selagi kau tak bagi aku duit tu…”

Ugutan?! Nadia pening…

“Eh…! Jap! Jap! Aku kenal kau! Kau yang sibuk agihkan kondom masa kempen safe sex dulu! Aku kenal kau!!” Tiba-tiba Fadhlan bertempik menyinga, menunding jari telunjuknya tepat ke arah Nadia. Dan wanita itu terkejut bukan kepalang. Apa kaitannya?!

“Fadh…” Satu suara garau memecah hening suasana selepas tempikan Fadhlan. Tiba-tiba lelaki itu jadi kendur. Dia terhenyak semula ke sofa. Riak mukanya tiba-tiba muram dan hiba. Mata Nadia menerawang mencari suara yang tiba-tiba muncul.

Seseorang sedang berusaha menolak kerusi rodanya dalam keadaan lemah untuk keluar dari biliknya yang tidak jauh dari ruang tamu. Nadia terlonjak berdiri.

“Stay there! Jangan keluar, aku kata!!” Sekali lagi Fadh bertempik.

“Fadh…” Dia sudah berjaya keluar dari biliknya. Dan Nadia terpaku memandangnya, ngeri!

Dia lelaki! Sebelah matanya hampir tidak boleh dibuka. Terlalu banyak biji-biji yang tumbuh hampir memenuhi ruang mukanya, di keliling mata, hidung dan mulut. Menyedari kehadiran orang yang tidak dia kenali, dia teragak-agak, tertunduk-tunduk untuk melindungi wajahnya dan tangannya bersusah-payah cuba menutup kepala dengan penutup kepala dari bajunya.

“Fadh…” Dia bersuara lagi, lemah kedengarannya.

“Aku cakap jangan keluar, jangan keluarlah!” Tengking Fahdlan lagi yang sudah menapak ke arah lelaki malang itu. Nadia bingkas berlari mendapatkan lelaki itu, bimbang kalau dia diapa-apakan.

“It’s okay…! Jangan… jangan marah dia!” Nadia cekalkan hati, memaut kerusi roda itu dan menolaknya ke ruang tamu. Langkah Fadhlan terhenti. Lelaki yang lemah itu tertunduk-tunduk, serba tidak kena. Mungkin tidak selesa.

“Kenapa marah-marah, Fadh…” Nadia tercengang. Romantik sekali bunyinya walaupun lemah…?! Pandangannya jatuh ke arah lelaki yang duduk di kerusi roda di hadapannya.

“Kenapa marah?! Kau tanya aku, kenapa aku marah?! Sebab perempuan nilah kau jadi macam ni, Syah! Sebab dia!” Nadia semakin terperanjat dan terpinga-pinga.

Tiba-tiba tangannya yang memegang kerusi roda itu direntap kuat. Dalam sesaat tubuh Nadia diheret menuju ke ruang lain di pangsapuri itu – ke dapur. Sakit bukan kepalang dan Nadia menjerit-jerit sekuat hati hati, meronta mahu melepaskan diri. Hanya Tuhan yang tahu betapa kuatnya cengkaman lelaki yang sedang diamuk amarah itu di pergelangan tangannya. Tiba-tiba sebilah pisau berkilat menusuk ke lehernya yang hanya dibaluti selendang tipis.

“Jerit! Jeritlah! Jerit aku kata!!” Mata Nadia terbelalak. Pisau itu semakin kuat menusuk dan menyakitkan lehernya membuatkan dia terkaku, takut hendak bergerak. Lelaki ini memang gila! Gila!!!

Sebelah tangan lelaki itu membuka laci kabinet di belakang Nadia dan menyelongkar seperti mencari sesuatu. Seketika kemudian, tubuh Nadia ditolak ke depan, kembali ke ruang tamu. Dia dipaksa duduk di kerusi makan dan dengan tali di tangannya, Fadhlan mengikat tubuh Nadia yang menggeletar ketakutan ke kerusi itu.

“Fadh… apa yang you buat ni, sayang? Fadh…! Please don’t hurt her…!”

Dalam ketakutan, mata Nadia semakin mencerun dan dahinya berkerut. Bulu romanya ikut berdiri. Drama apakah ini, ya Tuhan?!!

“I’m doing this for you! For the both of us, Syah!”

p/s: So, akhirnya… MAKNA PADA RASA di blog ini tiba ke penghujungnya. Kalau nak tau penyudahnya… haaa! Sabar menunggu ya. Mohon doa kalian.

Juea akan mulakan manuskrip baru dengan mengambil keberkatan Syawal nanti. Tajuknya pun dah ada… Jangan lupa singgah2 ke sini lagi dan berkenalan dengan watak—watak istimewa dalam TUHAN JAGA KAMU. InsyaAllah.

Buat yang selama ini mengikuti MPR, terima kasih yang tidak terhingga Juea ucapkan. Kesudian kalian membuatkan Juea semakin serius menulis. Terima kasih Tuhan!

Salam penuh kasih dan selamat menyambut Lebaran! Juea mohon Maaf Zahir dan Batin.

 

NOTA: E-book MAKNA PADA RASA, Sila hubungi azuraabd@hotmail.com @ whatsapp 011-12541676.

Salam sayang!

5 thoughts on “Siri Novel MAKNA PADA RASA bab 43

Leave a reply to faizah rambely Cancel reply